Wednesday, May 20, 2009

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah
Oleh Musa Awang

MATA pena wartawan bisa menjadi selembut lidah, bisa menjadi setajam pedang. Jika mengkaji sejarah, pembentukan negara Israel adalah rentetan tulisan wartawan Israel, Theodor Haerzl, yang bertanggungjawab membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai matlamat membentuk negara haram mereka.

Sejarah juga membuktikan, media penulisan sudah lama menjadi medium dakwah cendekiawan, pemikir dan ulama Islam. Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, Tok Kenali antara tokoh pemikir Islam terbabit dalam dunia penulisan dan kewartawanan untuk dakwah Islam yang berkesan.

Menyusuri susur galur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanah air seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi dan Said Zahari, jelas penulisan adalah kembar mereka dalam memperjuangkan nasib bangsa.

Wartawan juga berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Wartawan adalah pengantara bagi masyarakat meluahkan perasaan suka, duka, marah dan kecewa, terhadap apa juga isu atau permasalahan melanda.

Inilah tanggungjawab sosial yang berat dipikul setiap wartawan. Sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak, positif atau negatif.

Mutakhir ini, kehadiran wartawan di mahkamah syariah untuk melaporkan kes adalah suatu yang positif. Malah, kebanyakan akhbar utama sudah mewujudkan ruangan mahkamah khusus untuk melaporkan kes dibicarakan.

Media adalah alat yang mampu merangsang kesedaran dan mempengaruhi sikap serta membentuk pandangan sarwa individu atau masyarakat terhadap sesuatu isu diketengahkan. Fungsi media sudah menjadi pelbagai, selain menjadi penyalur maklumat, penyampai berita, penglipur dan penghibur.

Laporan media di mahkamah syariah secara tidak langsung memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hukum syarak dan undang-undang.

Mengambil beberapa contoh, dalam kes Ako Mustapha yang dipenjarakan tiga bulan kerana berkhalwat dengan bukan Islam, ia memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa berkhalwat dengan bukan Islam juga adalah satu kesalahan.

Dalam kes pemain badminton negara (Faizah Mohamad lawan Roslin Hashim), masyarakat mendapat ilmu baru iaitu jika tidak berlaku persetubuhan antara suami isteri, talak yang disabitkan ialah bain sughro, yakni talak yang tidak boleh dirujuk, melainkan dengan akad baru.

Sementara dalam kes penyanyi popular Jamal Abdillah, masyarakat didedahkan bahawa persetubuhan semata-mata tanpa rujuk walaupun berlaku dalam tempoh edah bukan rujuk, tetapi adalah zina.

Sebelum ini, mungkin ramai tidak tahu perkara itu tetapi apabila didedahkan di media, ia menjadi satu bentuk pendidikan kepada mereka. Dari satu sudut, apabila sesuatu kes itu mendapat liputan media, perjalanan kes menjadi lebih cepat dan pantas, berbanding kes tidak mendapat liputan.

Peranan media memartabatkan undang-undang syariah diiktiraf Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mana suatu kerjasama diadakan antara Media Prima-UIA-JKSM-PGSM pada 10 Februari lalu, untuk menerbitkan rancangan Kes Syariah di TV9. JKSM juga mengadakan kerjasama dengan rancangan Sebutan Syariah-Astro Oasis.

Bagaimanapun, hak umum untuk mengetahui sesuatu maklumat mestilah diseimbangkan dengan hak individu mengekalkan maklumat peribadinya sebagai suatu hak persendirian yang sulit dan tidak dihebahkan kepada umum.

Maruah mana-mana individu tetap dipertahankan. Laporan yang sensitif, keterlaluan dan secara sensasi perlu dielakkan, kerana Islam menggalakkan kemuliaan insan dipelihara dalam semua keadaan. Semua pengamal media perlu sedar bahawa mereka tertakluk kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Peranan dan pengaruh yang besar ini dalam sesetengah keadaan boleh merosakkan imej serta identiti Islam dan umatnya. Berita bersifat provokatif dan suara sebelah pihak, tanpa penyiasatan atau penyelidikan perlu dielakkan.

Menjadi satu kebaikan kepada wartawan Islam untuk berusaha memperbetul dan memperkasakan mahkamah syariah, tetapi dalam batasan yang tidak merosakkan imej Islam serta umatnya. Tanggungjawab seorang wartawan Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya.

Pada era mencabar ini, sudah tiba masanya pengamal media membuat anjakan paradigma dengan mengambil kira pendekatan pendidikan dan berdakwah. Tidak salah menyajikan hiburan tetapi perlu diimbangi dengan maklumat yang membina peribadi dan peradaban.

Akta Kebudayaan Kebangsaan 1971 memperuntukkan tiga unsur utama perlu didukung semua rakyat, iaitu unsur kebudayaan asal rantau ini, unsur kebudayaan lain yang wajar dan unsur Islam sebagai unsur terpenting.

Memanfaatkan media sama ada media elektronik atau cetak sebagai media dakwah bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, maka barulah usaha diketengahkan akan benar-benar menghasilkan sesuatu yang berfaedah dan dihargai semua.

Media perlu tampil dan menyiarkan lebih banyak program ilmiah berteraskan syariat bagi mendidik minda dan hati masyarakat, yang boleh memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah masyarakat terpuji dan boleh diteladani menurut tuntutan agama.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kepakaran bagi menghasilkan produk media yang Islamik untuk menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat Islam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Tuesday, May 19, 2009

AGAMA : SELASA 19 MEI 2009

Image
Wajib mempertahankan keimanan anak
Menghayati ayat Allah SWT sebagaimana yang dicatatkan di atasseharusnya membawa makna yang cukup besar bagi individu yang bergelarMuslim.

Ummu Hakim mohon pengampunan nabi
UMMUHakim lahir dalam keluarga bangsawan Quraisy yang disegani pada ketikaitu. Ayahnya adalah Al-Harith bin Hisyam iaitu saudara kandung kepadaAbu Jahal.

Maksiat berleluasa undang azab Allah
Mega: Apabila berlaku musibah, orang beriman akan menganggapnya sebagaiujian. Adakah terdapat perbezaan antara bala dan azab Allah?





Musibah ujian tentukan tahap nilai diri umat
APABILAseseorang itu tiba-tiba mendapat kesusahan, kegagalan dalam perkaratertentu atau ditimpa musibah berat dalam kehidupan, mereka menganggapAllah sudah tidak sayangkan mereka. Lebih jauh daripada itu, ada beranimengatakan Allah telah berlaku zalim kerana diberikan kesusahan.

Perspektif Ikim: Memperdagang piawaian halal tak boleh sambil lewa
PAMERANHalal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 menyaksikan pelbagai rencampedagang, pembeli serta barangan dan perkhidmatan dalam pasaran halal.Ada yang gembira kerana mendapat kontrak niaga, tidak kurang jugapulang dengan perasaan hampa.

Tajdid Iman: Wahyu, sunah sumber motivasi kesihatan jiwa
RAMAImenangis ketika menghadapi sakaratul maut. Apakah makna tangisan itu?Sebenarnya, tangisan itu membawa makna manusia tidak mahu berenggangdengan dunia kerana begitu cintakannya mengalahkan cinta kepada Allahdan mengatasi keinginannya untuk kembali bertemu Allah.

Wajib mempertahankan keimanan anak

Wajib mempertahankan keimanan anak


Adalah penting bagi ibu bapa mendidik anak dengan ilmu Islam agar hidup mereka sejahtera dunia dan akhirat. - Gambar hiasan


Menghayati ayat Allah SWT sebagaimana yang dicatatkan di atas seharusnya membawa makna yang cukup besar bagi individu yang bergelar Muslim.

Ini kerana ayat tersebut memberi pengiktirafan dan mengesahkan bahawa hanya Islam adalah agama yang benar dan akan menyelamatkan umat manusia daripada seksaan api neraka di akhirat kelak.

Justeru, memelihara agama adalah antara lima tonggak yang perlu dipertahankan dalam maqasid (matlamat) syariah yang digariskan oleh Islam.

Sebagai Muslim, kita wajib mempertahankan agama yang suci ini waima terpaksa mengorbankan nyawa sekali pun.

Islam pula tidak pernah memaksa orang bukan Islam memeluk agama suci ini. Namun, selepas mengkaji dan mendapat hidayah Allah, biasanya individu itu akan terbuka hatinya kepada Islam. Ini bertepatan dengan maksud firman Allah: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan (kufur)...(al-Baqarah: 256)

Termasuk dalam tugas mempertahankan agama adalah memastikan anak-anak terutama bagi golongan mualaf turut bergelar Muslim dan kekal di dalam Islam sehingga akhir hayat.

Inilah yang menjadi mauduk perbincangan dalam forum 'Anak Mualaf dalam Syarak' yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, Rabu lalu.

Forum anjuran Institut Islam Hadhari UKM itu menampilkan dua ahli panel iaitu Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan Setiausaha Peguam Pembela Islam, Zainul Rijal Abu Bakar.

Pemudah cara forum ialah penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim di UKM, Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Ia diadakan untuk membincangkan implikasi dan memberi respons kepada keputusan Kabinet bahawa kanak-kanak kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Pada 23 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, keputusan itu sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Beliau merujuk kes Mohd. Ridzuan Abdullah atau K. Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam.

Menurut Sheikh Ghazali, tugas ibu bapa dalam membentuk keperibadian anak telah dijelaskan menerusi ayat Allah dan sunah Nabi SAW.

Antaranya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Ibu bapanya yang menentukan sama ada ia majusi, nasrani atau yahudi. (riwayat Bukhari)

Justeru itu, kata beliau, para fuqaha sepakat bahawa anak-anak akan mengikut agama ibu atau bapa mereka jika mereka memeluk Islam.

Sebabnya, kata beliau, Islam adalah agama yang lebih baik malah ia bertepatan dengan beberapa hadis Rasulullah SAW antaranya yang bermaksud, "kanak-kanak orang Islam itu beserta ibu bapa mereka dalam syurga".

"Demikian juga firman Allah dalam surah at-Tuur ayat 21 yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami himpunkan zuriat mereka (di dalam syurga)," kata beliau.

Sementara itu, Zainul Rijal berkata, keputusan Kabinet itu juga membelakangkan Bahagian Syariah di Pejabat Peguam Negara, para mufti dan Mahkamah Syariah.

Katanya, ia juga campur tangan Kerajaan Persekutuan ke atas hal ehwal agama di mana bidang kuasanya terletak pada undang-undang negeri.

"Dalam Islam memelihara agama adalah salah satu daripada maqasid syariah yang perlu dipertahankan.

"Walaupun seorang anak mualaf murtad itu menjadi masalah bagi kita apatah lagi kalau separuh daripada mereka murtad," tegas beliau.

Kata Zainul Rijal, masyarakat sering membahaskan tentang kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.

Namun, katanya, hak orang Islam mempertahankan kebebasan beragama sering disalah tanggap dan diketepikan terutama dalam kes melibatkan anak mualaf.

"Apa yang berlaku akan berlaku lagi kerana kita selalu ambil pendekatan mahu melihat keharmonian atau menjaga hati orang lain dengan mengorbankan prinsip kita," katanya.

Seorang peserta forum iaitu Presiden Dakwah Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Semalaysia (Al-Hidayah), Abdul Latif Abdullah berharap, satu garis panduan mengenai perkara itu diwujudkan.

Katanya, ia kemudiannya diserahkan kepada menteri yang berkenaan dan pihak-pihak yang terlibat.

"Kita jangan pandang ringan isu ini. Memang pada mulanya ia kena pada mualaf tetapi lama kelamaan ia akan melibatkan orang Melayu juga," tegasnya.

Pada akhir forum, semua peserta bersetuju sebulat suara menyerahkan memorandum bantahan kepada kerajaan berhubung isu tersebut.

Ini kerana, perkara itu bukan saja menyalahi hukum syarak tetapi ia dilihat sebagai tunduk kepada desakan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Ismail pada sesi penggulungan forum berkata, memorandum itu penting bagi memastikan kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan negara terpelihara.

Beliau menegaskan, forum itu tidak mahu Kabinet membuat keputusan berdasarkan kes tertentu akibat laporan tertentu.

"Sebaliknya, ia perlu melihat kepada implikasi undang-undang dan implikasi agama.

"Justeru, forum juga bersetuju untuk mencari jalan memperhebatkan penerangan secara sistematik termasuk kepada orang bukan Islam," kata beliau.

Ummu Hakim mohon pengampunan nabi

Ummu Hakim mohon pengampunan nabi

UMMU Hakim lahir dalam keluarga bangsawan Quraisy yang disegani pada ketika itu. Ayahnya adalah Al-Harith bin Hisyam iaitu saudara kandung kepada Abu Jahal.

Ibunya ialah Fatimah binti Al-Walid, saudara kandung Khalid Al-Walid. Suaminya pula adalah Ikramah bin Abu Jahal yang pada mulanya merupakan ketua pasukan tentera Quraisy yang menentang tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad.

Ikramah membawa isterinya berangkat ke medan peperangan ketika Perang Uhud meletus. Ummu Hakim berbaris dengan wanita lain di belakang pasukan tentera Quraisy memukul gendang untuk menaikkan semangat para pejuang mereka untuk bertempur dengan tentera Islam.

Mereka memusuhi agama Islam dan nabi Muhammad kerana dorongan ayahnya, Abu Jahal yang menentang keras agama Islam. Ini semua berlaku sebelum hati Ikramah dan Ummu Hakim terbuka pada agama Islam.

Apabila kota Mekah jatuh ke tangan pasukan tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad, Ummu Hakim bersama sepuluh wanita Quraisy telah pergi berjumpa dengan nabi Muhammad untuk memohon pengampunan dan memeluk agama Islam.

Menggoda

Ummu Hakim mendapat tahu bahawa suaminya termasuk dalam senarai orang yang akan dihukum mati kerana menentang pihak Islam dengan keras dan kejam.

"Ya Rasulullah, saya memohon agar suami saya diberi pengampunan di atas kesalahannya selama ini," pohon Ummu Hakim yang datang berjumpa Nabi Muhammad untuk mendapat jaminan keselamatan bagi suaminya.

"Baiklah," Nabi Muhammad meluluskan permohonannya.

Namun Ikramah yang mendapat tahu bahawa dirinya sedang diburu tentera Islam melarikan diri ke negara Yaman. Ummu Hakim berasa kecewa dengan tindakan Ikramah itu dan mengambil keputusan untuk menjejaki suaminya sehingga menemuinya.

Dia berjumpa dengan Rasulullah untuk meminta izin bagi mencari suaminya dan dibenarkan oleh Nabi SAW.

Ikramah yang telah tiba di negara Yaman seterusnya bertekad untuk meninggalkan semenanjung Arab menuju negara Habsyah (Ethiopia) di benua Afrika.

Dia pun menaiki kapal di pelabuhan Yaman untuk meneruskan rancangannya. Namun kapal yang dinaikinya di landa taufan lalu merempuh ombak besar. Ikramah menjadi takut dan kecut lalu berjanji untuk memohon maaf dari Nabi Muhammad sekiranya selamat dari bencana itu. Kapal itu selamat dengan izin Allah.

Ketibaan Ikramah di pantai Tihamah di sambut oleh isterinya, Ummu Hakim dengan wajah ceria. Ummu Hakim telah menempuh pelbagai rintangan dan halangan untuk berjumpa dengan suaminya. Ummu Hakim ditemani oleh seorang hamba lelaki berbangsa Rom ketika keluar kota Mekah menuju destinasi mencari suaminya.

Hamba lelaki itu menggoda Ummu Hakim lalu mendesaknya untuk melakukan perkara yang terkutuk. Namun Ummu Hakim berjaya menjaga maruah dirinya dengan menolak keinginan hambanya itu dengan bijaksana.

"Hasrat kamu akan ku tunaikan setelah bertemu dengan suami saya," Ummu Hakim memperdayakan hambanya dengan berjanji palsu dengannya.

"Baiklah," balas hambanya dengan penuh harapan.

Kemudian dia meneruskan perjalanannya menuju ke pantai Tihamah kerana mendapat berita bahawa suaminya berada di situ.

"Saya sudah memohon pengampunan dari Nabi Muhammad untuk diri kamu. Beliau telah mengabulkan permohonan saya. Kamu selamat pulang ke Mekah," ujar Ummu Hakim kepada suaminya yang khuatir untuk pulang bersamanya.

"Betulkah apa yang dikatakan oleh kamu itu," Ikramah kelihatan was-was.

"Ya. Nabi Muhammad berjanji tidak akan menghukum kamu".

Selepas berbincang dengan panjang lebar, hati Ikramah menjadi lembut dan tenang untuk mengikut Ummu Hakim pulang ke Mekah.

Mereka akhirnya tiba di depan pintu nabi Muhammad dan memohon izin untuk berjumpa dengan beliau. Nabi Muhammad gembira menyambut ketibaan Ikramah dan isterinya.

Ikramah melafazkan dua kalimah syahadat di hadapan nabi Muhammad lalu memeluk agama Islam. Ikramah memohon pengampunan dari nabi Muhammad di atas kesalahannya selama ini memusuhi agama Islam dan diri nabi Muhammad. Nabi Muhammad mengampuni segala kesalahannya selama ini dan menikahkan Ikramah dengan Ummu Hakim.

Ketika Perang Yarmuk meletus, Ummu Hakim keluar bersama suaminya, Ikramah yang memimpin pasukan tentera Islam untuk bertempur dengan orang Rom.

Ummu Hakim tidak melepaskan peluang untuk turut berjuang bersama pasukan tentera Islam untuk membunuh pasukan tentera Rom yang memusuhi mereka.

Dengan menggunakan pedang untuk menebas dan menikam tentera Rom yang cuba menghalang pergerakannya. Hatinya puas apabila melihat beberapa orang tentera musuh rebah menyembah bumi akibat tikaman dan tebasan pedangnya.

Jiwanya yang berani dan kental mengatasi ketakutan yang biasa ada pada diri wanita untuk menentang pihak musuh Allah. Ummu Hakim kehilangan suami tercintanya dalam Perang Yarmuk, namun hatinya gembira kerana Ikramah mati kerana menegakkan agama Islam.

Selepas tamat tempoh idah, Khalid bin Said telah melamarnya ketika pasukan tentera Islam sedang menanti serangan dari pasukan tentera Rom dalam Perang Maraj Ash-Shuffar.

Sengit

Ummu Hakim menerima lamaran Khalid bin Said lalu mereka bernikah di sebuah jambatan di Safar, selatan Damsyik yang kini dikenali sebagai jambatan Ummu Hakim.

Mereka mengadakan jamuan makan kepada pasukan tentera Islam sempena majlis pernikahan mereka. Namun sebelum sempat mereka makan, pasukan tentera Rom sudah menyerang mereka. Khalid bin Said bertempur dengan berani untuk melawan kemaraan tentera Rom.

Ummu Hakim pula mengikat pakaiannya lalu turut serta bertempur melawan pasukan tentera Rom. Pertempuran antara dua pasukan tentera itu berlangsung berhampiran sungai.

"Walaupun ini merupakan hari pernikahan saya dengan Khalid, namun saya tak akan meraikannya sehingga Allah memberi kemenangan ke atas pasukan tentera Islam," detik hati Ummu Hakim yang memegang pedang menebas dan menikam pihak musuh.

"Serang dan tentang pihak musuh sehingga titisan akhir darah kamu!," jerit komander pasukan tentera melihat kemaraan pasukan tentera Rom yang semakin mengasak kubu pertahanan tentera Islam.

Pertempuran itu berlaku dengan begitu sengit sehingga Khalid bin Said dan ramai tentera Islam terkorban dalam peperangan itu. Ummu Hakim berjaya membunuh tujuh orang tentera Rom dalam peperangan itu.

Ummu Hakim tidak sedih atau sayu dengan kematian Khalid bin Said pada hari pernikahannya. Ini adalah kerana suaminya terbunuh ketika menentang pihak musuh Islam.

Ummu Hakim menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 14 Hijrah. Semoga Allah menempatkan Ummu Hakim di kalangan orang yang dikasihi-Nya.

Maksiat berleluasa undang azab Allah

Maksiat berleluasa undang azab Allah

Mega: Apabila berlaku musibah, orang beriman akan menganggapnya sebagai ujian. Adakah terdapat perbezaan antara bala dan azab Allah?

ZAHAZAN: Secara literal, al-bala' bermakna al-ikhtibar (ujian). Istilah bala' sendiri digunakan untuk menggambarkan ujian yang baik maupun yang buruk (Imam ar-Razi, Mukhtar al-Shihah, hal. 65).

Dalam kitab al-Tibyan fi Tafsir Gharib al-Quran dinyatakan, bahawa bala' itu memiliki tiga bentuk;

1. Nikmat (kenikmatan),

2. Ikhtibaar (cubaan atau ujian), dan

3. Makruuh (sesuatu yang dibenci) (Syihab al-Din Ahmad, al-Tibyan fi Tafsir Gharib al-Quran, juz 1, hal. 85).

Di dalam al-Quran, kata bala' disebutkan di enam tempat dengan makna yang berbeza-beza. Ada yang bermakna cubaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala' hasanan).

Bala' dalam konteks ujian yang buruk, misalnya terdapat di dalam firman Allah SWT yang berikut: Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu. (al-Baqarah: 49).

Musibah adalah al-baliyyah (ujian) dan semua perkara yang dibenci oleh manusia. Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisan al-Arab menyatakan, bahwa musibah adalah al-dhar (kemalangan, musibah, dan bencana) (Imam Ibnu Mandzur, Lisan al-Arab, juz 1, hal. 535).

Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW, "Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah". (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 1, hal. 431).

Azab pula secara literal adalah al-nakal wa al-'uqubah (peringatan bagi yang lain, dan seksaan [hukuman]) (Imam Ibnu Mandzur, Lisan al-Arab, juz 1, hal. 585).

Al-nakal adalah peringatan yang berupa seksaan atau hukuman kepada yang lain. Kata al-adzab biasanya digunakan merujuk kepada hukuman atau seksaan kelak di hari akhir. Allah SWT berfirman: Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat. (al-Baqarah: 7).

Azab Allah SWT ada dua jenis. Pertama, azab yang ditimpa kepada penduduk suatu negeri yang berakibat musnahnya keseluruhan penduduk kota tersebut (isti'sal). Misalnya, kaum Tsamud yang dimusnahkan dari muka bumi.

Kedua, azab yang sangat keras, akan tetapi tidak sampai memusnahkan penduduk negeri tersebut. Contohnya, tsunami hanya kena pada sesuatu tempat dan penduduk sahaja.

Dalam ayat 58 surah al-Israk, Allah menegaskan bahawa bala itu diturunkan bagi penduduk yang mengingkari Allah. Bolehkah kita kaitkan dengan kemunculan pelbagai penyakit termasuk H1N1 ini dengan peringatan tersebut?

ZAHAZAN: Pada dasarnya, penyebab datangnya azab Allah SWT adalah kezaliman, kemaksiatan dan kefasikan.

Allah SWT telah menyatakan hal ini di beberapa ayat. Antaranya adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman. (al-Qashash: 59).

Maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik. (al-Ahqaf: 35).

Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrim). (ad-Dukhan: 37).

Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa azab Allah hanya akan dijatuhkan kepada penduduk negeri yang melakukan kezaliman, kemaksiatan, dan kefasikan. Dengan kata lain, azab Allah hanya akan dijatuhkan, tatkala peringatan-peringatan Allah SWT melalui dakwah Rasul-Nya telah diabaikan dan didustakan.

Jika melihat kepada ayat-ayat di atas kita tidak boleh menolak kemungkinan munculnya influenza A ini adalah akibat keingkaran manusia kepada Allah.

Adakah benar tersebarnya penyakit membawa maut, berleluasanya zina dan maksiat adalah merupakan antara tanda-tanda kecil menjelangnya hari kiamat?

ZAHAZAN: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya di antara tanda-tanda dekatnya hari kiamat ialah hilangnya kemanfaatan ilmu dan makin ketara kebodohan dan banyaknya peminum arak dan meluasnya perzinaan dengan terang-terangan. (riwayat al-Bukhari).

Demikian juga pendapat Imam Baidhawi apabila menafsirkan ayat 41 dari surah al-Rum di atas.

Kata Imam Baidhawi, "yang dimaksud dengan kerosakan (pada ayat tersebut) adalah kemarau al-jadb), kebakaran yang bermaharajalela, tenggelam, hilangnya keberkatan dan banyaknya kelaparan, akibat kemaksiatan dan perbuatan manusia. (Tafsir al-Baidhawi, juz 2, hal. 106).

Kata beliau, musibah diturunkan oleh Allah kerana lima sebab.

Pertama, zina dibiarkan berleluasa dan jalan-jalan melakukannya seolah-olah terbentang luas melalui 'iklan' yang disiarkan. Apabila berlaku begini, akan diturunkan penyakit taun kepada sesuatu kaum itu.

Para ulama moden mengkiaskan taun itu sebagai wabak penyakit baru seperti meningitis, hepatitis, Aids, lembu gila, selesema burung dan H1N1. Sebelum ini, kita tidak pernah mendengar tentang penyakit-penyakit tersebut. Punca utamanya adalah zina terlalu berleluasa.

Kedua, berlaku kemarau disebabkan umat Islam tidak menunaikan zakat. Malah ulama menyebut, jika bukan kerana binatang dan tumbuh-tumbuhan yang melata, tentulah Allah tidak menurunkan walau setitik pun hujan di muka bumi ini.

Ketiga, perbuatan menipu dalam timbangan atau sukatan. Maka, Allah akan menimpakan inflasi menyebabkan kita sentiasa berasa tidak cukup walaupun dikurniakan rezeki.

Keempat, apabila kita tinggalkan undang-undang Allah maka musuh-musuh Islam akan berkuasa melakukan apa sahaja ke atas umat Islam. Ini termasuk merampas harta dan kita hanya boleh melihat tanpa boleh berbuat apa-apa.

Kelima, lanjutan daripada itu Allah akan menimbulkan prasangka antara satu sama lain di kalangan umat Islam. Menyebabkan kita tidak boleh bersatu.

Apakah prinsip yang perlu ada bagi umat Islam apabila berhadapan dengan musibah seperti H1N1 sekarang?

ZAHAZAN: Sesungguhnya, musibah maupun azab yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia ditujukan agar mereka kembali mentauhidkan Allah SWT. Dan menjalankan seluruh syariat-Nya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang maksud-Nya: Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepadanya hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (al-Taghabun: 11).

Sayangnya, banyak orang memandang musibah sebagai peristiwa dan fenomena alam biasa, bukan sebagai peringatan dan pelajaran dari Allah SWT. Akibatnya, mereka tetap tidak mahu berubah dan memperbaiki diri.

Mereka tetap melakukan kemaksiatan dan mensia-siakan syariat Allah SWT. Mereka lebih percaya kepada kekuatan ilmu dan teknologi yang dicipta manusia untuk menahan bencana dan musibah, dari pada Kekuatan dan Kekuasaan Allah SWT.

Adanya musibah tidak menjadikan mereka rendah diri dan bersandar kepada Allah, namun menyeret mereka untuk semakin ingkar kepada Allah SWT.

Benar, salah satu bentuk pertahanan diri untuk menjaga kepentingannya adalah berusaha semaksimum mungkin untuk menangkal bencana dan musibah dengan berbagai saranan dan prasarana.

Misalnya merancang pelan induk yang komprehensif, membangun sistem hujan yang baik, mendirikan tembok dan benteng yang kukuh dan sebagainya.

Namun, ia harus tidak hanya berhenti pada aspek-aspek fizikal seperti ini saja, akan tetapi harus mencakupi peningkatan spiritual yang mampu membawa kepada ketakwaan yang hakiki. Iaitu mentauhidkan Allah SWT dan menjalankan seluruh syariat-Nya.

Ini kerana penyebab utama datangnya azab adalah kemaksiatan, bukan semata-mata kerana lemah mahupun kurangnya infrastruktur fizikal.

Musibah ujian tentukan tahap nilai diri umat

Musibah ujian tentukan tahap nilai diri umat


APABILA seseorang itu tiba-tiba mendapat kesusahan, kegagalan dalam perkara tertentu atau ditimpa musibah berat dalam kehidupan, mereka menganggap Allah sudah tidak sayangkan mereka. Lebih jauh daripada itu, ada berani mengatakan Allah telah berlaku zalim kerana diberikan kesusahan.

Anggapan demikian tidak benar. Mereka tidak sepatutnya berprasangka tidak baik terhadap Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah sekali-kali menganiaya atau berlaku zalim kepada hamba-Nya.

Allah sentiasa bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah tetap memberi kurnia dan rahmat-Nya kepada semua umat Nabi Muhammad SAW. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seorang pun walaupun sebesar zarah.” (Surah An-Nisa’, ayat 40)

Sebenarnya jika ada kepayahan dan kegagalan berdepan dengan sesuatu perkara yang mungkin membuat kita kecewa dan putus asa, itu adalah pengajaran. Ada sesuatu yang perlu kita renungkan dan sekali gus pelajari daripada kepayahan atau kegagalan itu kerana pasti ada hikmah di sebaliknya.

Menurut Jaddal Atiff dalam tulisannya, hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh didikan langsung daripada Allah melalui ujian-Nya.

Sehubungan itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan seorang hamba itu berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Sementara dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Musibah tidak datang begitu saja tanpa ujian. Allah menurunkan musibah (besar atau kecil) untuk menguji hamba-Nya sejauh mana mereka tabah, sabar dan reda.

Imam Inu Qayyim al-Jauziyah berkata, ada ujian untuk kesabaran, ujian untuk bersyukur, ujian untuk memberi petunjuk, ujian sebagai hukuman, ujian sebagai cubaan, ujian untuk memajukan diri dan ujian supaya mendapat pahala. Siapa yang tidak merasakan ujian atau musibah, maka dia tidak mengetahui tahap nilai dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami adanya orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita keadaan kamu.” (Surah Muhammad, ayat 31)

Pernah suatu hari, Saad bin Abi Waqash berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, siapakah yang paling berat cubaannya? Rasul menjawab: Para nabi, kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Seseorang akan diuji sesuai dengan kadar agamanya; jika agamanya bagus di dalam lubuk hatinya, maka dia akan menjadi orang yang berat ujiannya, dan jika dalam agamanya agak tipis, maka sesuai dengan itu pula ujiannya. Begitulah ujian hidup, ia akan terus bersama seorang hamba, sehingga ketika ujian itu pergi meninggalkannya, maka dia bebas berjalan di muka bumi ini tanpa ada kesalahan lagi.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Sementara itu, Anas meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah berfirman: “Jika Aku menguji hamba-Ku dengan dua benda yang paling dia sayangi, lalu dia bersabar menghadapinya, maka Aku akan menggantikan keduanya dengan syurga. Yang dimaksudkan dua benda itu adalah kedua matanya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jelaslah Allah menimpakan musibah kepada seseorang anak Adam itu ada hikmah dan ujian-Nya. Justeru itu sesiapa yang ditimpa musibah hendaklah sabar menghadapinya.

Firman Allah yang bermaksud: “(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal dan sesungguhnya Kami membalas orang sabar dengan memberikan pahala lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 96)

Oleh itu, apabila berhadapan ujian, jangan buruk sangka sebaliknya hadapinya dengan reda serta keyakinan bahawa selepas kesusahan itu akan ada kemudahan menanti.

Perspektif Ikim: Memperdagang piawaian halal tak boleh sambil lewa

Perspektif Ikim: Memperdagang piawaian halal tak boleh sambil lewa
Oleh Mohd Noor Omar

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2009 menyaksikan pelbagai rencam pedagang, pembeli serta barangan dan perkhidmatan dalam pasaran halal. Ada yang gembira kerana mendapat kontrak niaga, tidak kurang juga pulang dengan perasaan hampa.

Ada juga syarikat yang tidak dapat memasuki negara kerana ancaman penyakit berjangkit. Paling menyedihkan, ada syarikat yang dapat masuk pameran tetapi merintih kerana menanggung kos penyewaan tapak pameran ditambah kos pengangkutan, penginapan dan penyimpanan.

Nampaknya, menjadi penyedia dan penyelenggara tapak pameran lebih menguntungkan, sama seperti memperdagangkan piawaian halal untuk tujuan niaga tanpa menghiraukan kewibawaan halal itu sendiri.

Kini menjadi budaya menaja pameran halal kemudian giat disambung agensi lain di seluruh negara. Mungkin sudah tiba masanya kita merencana kembali arah tuju industri halal yang makin condong ini.

MIHAS bukan tempat untuk menjual tetapi salah satu acara antarabangsa bagi memasarkan barangan dan perkhidmatan halal. Membina pasaran dan menjual adalah dua perkara berbeza. Memang mudah jika kita mengupah orang untuk melakukan sesuatu tetapi kita mestilah mengekalkan kawalan ke atasnya.

Penubuhan sekretariat bukannya bertujuan semata-mata untuk melantik penyedia pameran, sebaliknya mengurus keseluruhannya supaya selari dengan matlamat perusahaan halal dan pada masa sama tidak mengorbankan kewibawaannya.

Kepada peniaga, mengambil bahagian bukan untuk tujuan menjual barangan tetapi menjadikannya medan perantara yang bakal menemukan matlamat urus niaga antara sesama peniaga. Marilah kita cuba bezakan di antara pameran MIHAS dan pasar malam.

MIHAS adalah satu jenama Malaysia dan menjadi tempat untuk memperkenalkan jenama barangan Malaysia kepada seluruh dunia. Maklum balas diterima daripada peniaga terutama pengusaha tempatan ialah kadar sewa ruang pameran terlalu tinggi menyebabkan peniaga menumpukan kepada jumlah jualan untuk mengimbangi kerugian berbanding membentuk rangkaian pasaran.

Sementara itu, pengusaha luar yang datang mengeluh melihatkan betapa pendekatan Islam di Malaysia terlalu terbuka sehingga mengabaikan sudut aurat, hak milik pameran dan keagungan Islam apabila melihat pengendali pameran bukan daripada mereka yang selayaknya atau orang Islam sendiri.

Justeru, kenapa mereka perlu menghiraukan aurat atau menjaga penampilan lebih halal? Apa yang kita harapkan jika kita abaikan pengurusan pameran? Memang ‘halal’ memberi makna kepada mereka, tetapi tidak kepada tuntutan Islam lain kerana kefahaman berbeza. Yang menjadi dalang kepada kemusnahan imej inilah yang perlu dipertanggungjawabkan.

Begitu juga persoalan dalam persijilan halal. Halal bukannya satu perniagaan tetapi piawaian. Pola fikrah pengurusan persijilan perlu dianjak daripada menghitung jumlah syarikat atau barangan yang diberi sijil halal kepada usaha mengangkat kewibawaan halal itu sendiri.

Mengangkat industri halal tidak dinafikan memanglah bagus tetapi mengangkat martabat kewibawaan halal tidak boleh dikesampingkan begitu saja. Sudah sampai masanya pengurusan halal dilembagakan supaya kawalan dan penguatkuasaan menjadi lebih telus dan meyakinkan.

Seiring dengan penstrukturan ekonomi, politik dan kemasyarakatan yang rancak diusahakan sekarang, adalah wajar kita melihat kembali di mana letaknya kewibawaan industri ini. Rombakan bukan saja ke atas struktur sedia ada tetapi meliputi wadah baru mengangkat kembali keyakinan kepada persijilan halal di Malaysia.

Kita tidak mahu kerana kurang prihatin, akhirnya tanpa disedari kita seolah-olah menjadi tali barut yang menyusahkan pengguna Islam sendiri. Tahap keyakinan persijilan makin hari makin luntur bukan saja di kalangan rakyat tempatan malah masyarakat antarabangsa.

Berapa banyak barangan halal di Malaysia yang jika diselidiki sebenarnya tidak halal. Itu belum dikira dari sudut ‘halalan thoyyiba’ yang menyentuh mengenai mutu. Tahap kewaspadaan pengguna yang mencari barangan halal perlu ditingkatkan.

Sebagai menyahut tanggungjawab ini, badan pemantau perlu disegerakan. Mereka boleh memasuki gedung beli-belah dan melihat sendiri satu persatu kesemua barangan yang sudah diiktiraf halal. Adakah kandungannya kekal seperti semasa permohonan dibuat atau sudah berlaku perubahan.

Melangkah masuk ke ruang pameran cukup untuk menceritakan bahawa Islam ditinggalkan sedang mercu tanda halal dinaikkan untuk menarik amalan urus niaga. Nampaknya, pihak terbabit perlu dulu dihalalkan barulah masyarakat akan yakin dengan pensijilan halal yang kita canang.

Jika masyarakat Islam sendiri sudah mengalpakan fahaman halal sehingga mampu dijadikan sebagai sasaran serangan kembali ke atas ummah, apa faedahnya industri ini kepada ummah?

Agama Islam bukan terhad kepada halal saja, tetapi mencakupi keseluruhan kehidupan manusia. Halal adalah ketetapan utama kepada kepenggunaan kini sudah diiktiraf dan dipiawaikan bagi tujuan persijilan di seluruh dunia.

Persijilan dijadikan satu peluang perniagaan menguntungkan. Ketegasan makin luntur ditambah keinginan mengaut keuntungan, menjadikan badan persijilan menjadi makin lemah dan tidak meyakinkan pengguna. Akibatnya, pengguna menjadi bingung dengan mutu dan tahap piawaian.

Pengguna bukannya menghadapi masalah kerana tiadanya logo halal tetapi kegusaran kepada sejauh mana barangan itu betul-betul mematuhi piawaian halal yang dikehendaki Islam.

Badan pelaksana amanah piawaian perlu memikul tanggungjawab menjamin kewibawaan piawaian itu supaya dapat mengangkat kembali Islam di tempat selayaknya dan bukan dijadikan kenderaan mengaut keuntungan.

Tajdid Iman: Wahyu, sunah sumber motivasi kesihatan jiwa

Tajdid Iman: Wahyu, sunah sumber motivasi kesihatan jiwa
Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

Mukmin berdisiplin menjaga iman mampu peroleh ketenangan hidup dunia, akhirat

RAMAI menangis ketika menghadapi sakaratul maut. Apakah makna tangisan itu? Sebenarnya, tangisan itu membawa makna manusia tidak mahu berenggang dengan dunia kerana begitu cintakannya mengalahkan cinta kepada Allah dan mengatasi keinginannya untuk kembali bertemu Allah.

Dia benci kepada kematian, padahal itu perjumpaan istimewa antara hamba dengan Allah. Mereka mahu setiap hari adalah hari yang gembira seolah-olah menyambut kelahiran baru. Padahal, kelahiran dan kematian tidak akan membawa sebarang makna kepada seseorang jika mereka lupa diri dan lupa jalan pulang ke akhirat.

Dunia begitu manis dan lazat sehingga mampu mempengaruhi manusia ke tahap mabuk yang teruk dan seterusnya lupa kepada akhirat, walaupun al-Quran sudah mengingatkan manusia dengan ayat yang mendekatkan mereka kepada alam akhirat, namun rangsangan dunia terbukti mampu memutuskan tali ingatan itu perlahan-lahan.

Semakin manusia lalai dan lupa, maka semakin sakitlah jiwa, kerana jiwa itu sebenarnya rindu kepada akhirat tetapi dipaksa juga cinta kepada dunia. Bukankah manusia dijadikan daripada dua elemen berlainan?

Jiwa atau roh dicipta untuk merindui Allah sedangkan jasad sebagai alat sokongan membolehkannya hidup di dunia. Jasad dan roh saling memerlukan untuk berperanan sebagai hamba Allah. Jika manusia hanya mementingkan jasad dan lupakan kedudukan roh, maka tempanglah hidup dan terseksalah roh selama-lamanya.

Roh atau jiwa manusia layaknya seperti jasad, boleh mengalami sakit yang teruk dan ada kalanya beransur-ansur pulih menjadi sihat semula. Seorang mukmin mengambil berat mengenai kesihatan roh dan jiwa.

Dia faham simptom tidak sihat yang mempengaruhi jiwa. Untuk itu, dia berusaha menjaga pantang larang yang boleh menjejaskan kesihatan jiwa. Dia hendaklah berpantang daripada melakukan maksiat, asyik dengan perkara mubah sehingga menjejaskan ibadah dan mengikut kata nafsu melulu.

Bukan hanya berpantang saja diperlukan untuk memastikan jiwa insan sihat, tetapi dia juga mesti melakukan langkah pembinaan dan pembaharuan jiwa iaitu:

Mencari sumber motivasi

Roh memerlukan suntikan motivasi untuk membolehkannya hidup dan cergas. Rasulullah SAW hanya menggunakan pendekatan al-Quran dan hadis untuk membangkitkan roh manusia.

Sahabat sentiasa mendapat tiupan nafas baru setiap kali mendengar sabda Rasulullah SAW dan ayat al-Quran yang diturunkan. Semua yang mereka dengar adalah motivasi, tiada kekecewaan dan kerunsingan selepas mendengar pengajaran Baginda SAW. Bahkan mereka akan berasa lemah dan sedih, kacau dan gelisah jika tidak berdekatan dengan Baginda SAW.

Daripada Abu Rib'ie Hanzalah bin Rib'ie Al-Usaidi (beliau salah seorang setiausaha Baginda SAW) berkata: "Saya berjumpa dengan Abu Bakar kemudian beliau bertanya: Bagaimana keadaanmu wahai Hanzalah? Saya menjawab: Hanzalah sudah munafik! Abu Bakar berseru: Subhanallah, apa yang kamu katakan tadi? Saya menjelaskannya: Jika kami bersama Nabi SAW, kami memikirkan syurga dan neraka seakan-akan kami melihatnya, tetapi apabila kami pulang dan bergaul dengan isteri dan anak serta mengurus pelbagai urusan maka kami sering lupa. Abu Bakar berkata: Demi Allah, kami juga begitu. Kemudian saya dan Abu Bakar pergi menghadap Rasulullah SAW lalu saya berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya Hanzalah sudah munafik. Rasulullah SAW bersabda: Mengapa begitu? Saya berkata: Wahai Rasulullah apabila kami berada dihadapanmu kemudian engkau menceritakan mengenai neraka dan syurga, kami seolah-olah melihatnya dengan mata kami, namun setelah kami keluar dan bergaul dengan isteri dan anak serta mengurus pelbagai urusan maka kami sering lupa. Rasulullah SAW bersabda: Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, apabila kamu tetap dalam keadaanmu seperti ketika berada di depanku dan sentiasa mengingatnya nescaya malaikat akan bersalaman denganmu di tempat tidurmu dan di jalan. Tetapi wahai Hanzalah, sesaat dan sesaat. Baginda mengulanginya tiga kali." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Betapa Hanzalah memerlukan bimbingan wahyu dan hadis Rasulullah SAW untuk menyuntikkan motivasi ke jiwanya yang gelisah. Tetapi anehnya manusia kini, mencari ketenangan dengan mengikut hawa nafsunya menerusi harta, hiburan, wanita, perniagaan dan mengikuti ajaran sesat serta menyeleweng daripada al-Quran dan hadis yang menyebabkan jiwa mereka semakin gelisah.

Ia bagaikan dadah yang memberi ketenangan sekejap saja kemudian semakin melaratlah jiwa tanpa bimbingan wahyu. Ada pula yang mencuba pelbagai teknik untuk mendapat ketenangan jiwa, seperti meditasi gaya Hindu Buddha, mengamal tarekat songsang, menokok tambah amalan ibadat yang kononnya memberi kepuasan lebih kepada jiwa.

Padahal iblis sudah menipu lintasan hati mereka sehingga menimbulkan keraguan dan seterusnya mencadangkan untuk mengamalkan perkara bidaah yang secara langsung menafikan sunnah Rasulullah SAW.

Suatu hari, tiga orang datang ke rumah isteri Rasulullah SAW. Mereka bertanya ibadah Nabi SAW. Setelah diberitahu, mereka menganggap seakan-akan ibadah Nabi SAW hanya sedikit. Mereka bertanya: "Di manakah tempat kami berbanding Nabi SAW padahal Baginda sudah diampuni semua dosanya baik yang lalu mahupun akan datang. Salah seorang di antara mereka berkata: Saya akan sentiasa sembahyang sepanjang malam. Yang lain berkata: Saya akan berpuasa setiap hari. Yang lain berkata: Saya akan menjauhkan diri daripada wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya. Kemudian Rasulullah SAW datang dan bersabda kepada mereka: Kaliankah yang berkata begini dan begini? Demi Allah. Sesungguhnya aku adalah orang yang paling takut dan paling bertakwa kepada Allah di antara kalian, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat dan tidur, aku juga mengahwini wanita. Sesiapa yang menyimpang daripada sunnahku, maka dia bukan golonganku." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sesiapa mencari sumber motivasi lain selain sunah Rasulullah SAW yang berpaksikan wahyu-Nya, nescaya mereka akan tertolak. Usaha mereka sia-sia dan jalan yang mereka pilih sesungguhnya menipu diri sendiri.

Allah berfirman bermaksud: "Katakanlah, wahai Muhammad: Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni kamu." (Surah Ali-Imran, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan ini adalah jalan-Ku yang lurus, Maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan (yang lain), kerana jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya, yang demikian itu diperintahkan Allah supaya kamu bertakwa." (Surah Al-An'am, ayat 153)

Mengapa sisihkan terus agama dari jiwa dan memilih maksiat sebagai dadah yang memberi kepuasan sementara? Akhirnya jiwa dan roh itu semakin tenat dan mati sebelum jasad dikuburkan. Berjalan seperti mayat yang hidup. Hanya jasad tiada roh!

Tidak mustahil ketenangan yang dirasai Hanzalah dapat dirasai jiwa kita, tetapi dengan satu syarat, ikutilah jalan Sunnah Nabi SAW.

Disiplin menjaga iman

Kesihatan roh dan jiwa hanya dapat dirasai dengan disiplin dalam menjaga iman. Usaha menilai diri dan mengenal pasti keadaan iman setiap masa adalah amalan Rasulullah SAW dan sahabat. Pelik tetapi benar, keadaan manusia zaman sekarang boleh berdisiplin untuk kebaikan dunianya, tetapi menyerah kalah untuk iman.

Mereka boleh berdisiplin menjaga diet pemakanan, bersungguh mencergaskan badan dengan senaman, susah payah hadir dalam kelas pendidikan, mengikuti kursus keusahawanan, bergiat mencapai cita-cita, tetapi malangnya tidak pandai berdisiplin menjaga keimanan.

Sembahyang dilakukan apabila perlu, majlis ilmu agama dipinggirkan berbanding ilmu dunia, usaha mencari hidayah ditinggalkan kerana terlalu sibuk mencari habuan dunia. Bagaimana mungkin jiwa akan tenang dalam keadaan sebegini. Tiada disiplin dalam mencari akhirat.

Iman dan hidayah boleh bertambah serta berkurang bergantung sejauh mana seseorang berusaha mengekalkan dan mempertingkatkannya. Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang berjihad mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang yang berbuat baik" (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Setiap mukmin mempunyai sensitiviti kuat mengenai jiwanya, tiada seorang doktor pun boleh mengubat penyakit dalam jiwa melainkan diri kita sendiri yang berpegang kepada motivasi wahyu serta berani berdisiplin menjaga iman. Inilah jihad sebenar!

Monday, May 18, 2009

AGAMA : ISNIN 18 MEI 2009

Peranan ulama Patani di dunia perantauan
PERANAN ULAMA PATANI DI SIAK SERI INDERAPURA Salah seorang ulama Pataniyang terkenal dan menghasilkan beberapa karangan adalah Sheikh AbdurRahman Gudang. Beliau merupakan sahabat kepada Tok Kelaba dan jugasama-sama menjadi murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani.

Mengembala kambing sunah Rasulullah
PEPERANGAN FUJJAR tentunya memberikan pengalaman yang menguji kekuatan,kepintaran, kepantasan dan kecekapan Rasulullah SAW. Namun untukmenjadi pemimpin umat malah pemimpin atau ketua dalam keluarga yangberjaya perlu mempunyai pengalaman yang lebih berkaitan tanggungjawabberat itu.

Menghayati manhaj Nabawi
Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian ke hadrat Allah Tuhan Semesta Alam.






Generasi muda beriman perkukuh perjuangan Islam
GENERASImuda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara.Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderunglasak, sukakan cabaran, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahuberkawan malah suka bercinta.

Gurau senda melampaui batas jejas keharmonian masyarakat
BUDAYAbergurau senda secara melampau batas mula menjadi amalan di kalanganpelajar serta remaja. Antara budaya bergurau yang cukup popular sejakdulu ialah buli yang banyak diamalkan pelajar sekolah berasrama.

Amalan bersedekah lebih afdal utamakan keluarga
TANGANdi atas lebih baik daripada tangan yang menerima ialah galakan supayakita menjadi orang suka memberi, bukan yang meminta kerana kedudukanbersedekah lebih baik terutama jika mereka melakukannya dengan hatiyang ikhlas.

Peranan ulama Patani di dunia perantauan

Peranan ulama Patani di dunia perantauan

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


PERANAN ULAMA PATANI DI SIAK SERI INDERAPURA

Salah seorang ulama Patani yang terkenal dan menghasilkan beberapa karangan adalah Sheikh Abdur Rahman Gudang. Beliau merupakan sahabat kepada Tok Kelaba dan juga sama-sama menjadi murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani.

Nama beliau bukan saja terkenal di Mekah, tetapi juga termasuk di Patani dan Semenanjung Tanah Melayu. Dalam satu catatan yang diperoleh di Siak Seri Inderapura, dicatatkan beliau pernah tinggal di Kerajaan Siak Seri Inderapura mengajar agama Islam, terutama ilmu Falakiyah kepada masyarakat dan kerabat Diraja Siak.

Bagaimana riwayat kedatangannya ke Siak tidak begitu jelas, yang diketahui jelas seorang anak beliau iaitu Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani berkahwin dengan anak pembesar Kerajaan Siak Seri Inderapura, iaitu anak Datok Hamzah bin Endut, Bentara Kiri Kerajaan Siak Seri Indrapura. Hasil perkahwinan itu beliau memperoleh keturunan yang ramai.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani ini bukan lahir di Siak, tetapi di atas kapal di Sabang. Bagaimana riwayat beliau mendapat jodoh dengan anak pembesar Siak juga tidak diketahui. Pengaruh beliau dalam Kerajaan Siak Seri Inderapura sangat besar, kerana beliau memang seorang ulama besar yang menguasai banyak bidang ilmu.

Setelah Indonesia merdeka, Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani dilantik sebagai pegawai tinggi di Departmen Agama Republik Indonesia. Pernah bertugas di beberapa tempat di Riau dan selanjutnya di Palembang, Sumatera Selatan sehingga beliau meninggal dunia di sana.

Kiai Haji Muhammad Shalih al-Fathani sempat menghasilkan beberapa karya di antaranya Risalah Sullamit Tarsyid fi Ahkamit Tajwid, cetakan pertama Anglo Asiatic Press, Singapura tahun 1932, Hisab dan Falak Yang Dapat Digunakan Selama-lamanya, sebuah Ensiklopedia dan lain-lain.

PERANAN ULAMA PATANI DI JAMBI

Ketika terjadi pertikaian khilafiah di Mekah, kemenangan berada di tangan golongan Wahhabiyah. Ia menyebabkan beberapa ulama tidak aman tinggal di Mekah. Di antara mereka termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mengambil Jambi sebagai tempat persinggahan pertamanya.

Di Jambi secara tidak langsung beliau mendapat tempat dan ramai orang datang mengunjungi beliau kerana ingin menuntut ilmu. Dalam tempoh yang relatif tidak memakan masa yang lama beliau dan kawan-kawan berhasil mendirikan tempat pendidikan di Tahtul Yaman.

Oleh kerana Sultan Sulaiman Selangor mengajaknya pindah ke Selangor, lalu beliau meninggalkan Jambi, tetapi tempatnya di Jambi diganti oleh anaknya, Tengku Muhammad bin Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani.

Pengaruh dan peranan Tengku Muhammad al-Fathani di Jambi sangat besar, sangat ramai muridnya. Di Jambi beliau dikenali dengan nama 'Ulama Jubah Hitam' kerana setiap kali mengajar beliau memakai jubah hitam dan berserban dengan kemas.

Penulis telah dua kali datang ke Jambi (1985 dan 1986) menginap di rumah anaknya bernama Zakaria. Daripada wawancara yang diperoleh, hampir seluruh pendapat masyarakat, bahawa setelah Tengku Muhammad al-Fathani tiada, memang tidak ditemui lagi ulama yang setaraf dengan beliau baik dari segi keilmuan ataupun besar pengaruhnya kepada masyarakat.

Sewaktu berada di Jambi, penulis sempat menyalin kandungan Harian Ampera yang ada dalam simpanan penduduk.

Harian Ampera hari Selasa, 28 Disember 1976, halaman 6 mencatatkan, "Seorang Tokoh Agama Islam yang terkenal di Jambi Tuan Guru Zuhdy, hari Minggu, 26 Disember tutup usia di Jakarta. Almarhum singgah di Jakarta dalam perjalanan kembali ke Jambi dari Tanah Suci Mekah. Jenazah Tokoh Islam Jambi itu, Senin kelmarin tiba di lapangan Pal Merah dengan pesawat terbang milik National Air Charter.

"Ribuan masyarakat termasuk sejumlah besar pejabat pemerintah di sini menyambutnya di lapangan terbang. Dari Pal Merah jenazah dibawa ke Mesjid Raya Jambi untuk disembahyangkan dan hari Senin petang kelmarin dikebumikan di seberang Kota Jambi".

PERANAN ULAMA PATANI DI ACEH

Hubungan antara Patani dan Aceh sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara berjalan sudah demikian lama. Barangkali sejak diperkenalkan agama Islam di Asia Tenggara, hubungan kekeluargaan antara kedua-dua tempat tersebut sudah terjalin dengan eratnya.

Dapat dicatat di antara ulama Aceh yang datang menyebar Islam ke Patani ialah Sheikh Muhammad Sa'id dan Sheikh Shafiyuddin (Tok Raja Faqih).

Penulis difahamkan bahawa ulama dan tokoh Aceh yang sangat terkenal iaitu Teungku Daud Beureueh (1896-10 Juni 1987) termasuk salah seorang keturunan ulama Patani yang berhijrah dari Patani ke Aceh pada zaman dulu. Sampai di mana kebenaran cerita ini masih dalam tahap penelitian.

Mengenai Teungku Daud Beureueh di sini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sudah cukup banyak diketahui oleh orang, juga pernah dimuatkan dalam ruangan ini.

Jika kita kaji watak peribadi Teungku Daud Beureueh dan keseluruhan watak masyarakat Aceh dengan watak ulama-ulama Patani dan keseluruhan watak masyarakat Patani, sangat banyak persamaan terutama sekali sikap cenderung kepada pemerintahan bercorak Islam dan anti kafir. Maka sangat boleh diterima bahawa orang-orang Patani memang terjalin pertalian kekeluargaan dengan orang-orang Aceh.

Oleh itu, kisah mengenai Teungku Daud Beureueh adalah berasal dari keturunan Patani masih dapat diterima.

PERANAN ULAMA PATANI DI BRUNEI DARUSSALAM

Tersebut di dalam buku Tokoh-tokoh Agama Brunei Darussalam Pengenalan Ringkas tertulis, "Sulaiman bin Abdul Rahman bin Abdullah Nurullah hidup sezaman dengan seorang pengembang Islam di Leren Geresik Jawa, Indonesia iaitu Maulana Malik bin Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 822 Hijrah. Dipercayai bahawa Maulana Malik Ibrahim adalah mempunyai hubungan keluarga dengan Sultan Syarif Ali...".

Jika benar Sultan Syarif Ali itu adalah keluarga dengan Maulana Malik Ibrahim, bererti jelas bahawa para penyebar Islam yang datang ke Brunei Daussalam ada hubungan kekeluargaan pula dengan penyebar-penyebar Islam yang menjadi datuk nenek para ulama Fathani Darus Salam.

Ini kerana Maulana Malik Ibrahim adalah anak saudara Ibrahim al-Hadhrami al-Fathani. Maulana Malik Ibrahim itu sebelum ke Jawa pernah dibesarkan di Kerisik, Patani, menurut versi Patani.

Dalam Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, "Dan lagi Raja Brunei itu jadi dua beradik dengan bapa Tok Nyang Sheikh Abdur Rahman itu". Dimaksudkan dengan "... bapa Tok Nyang Sheikh ..." pada kalimat tersebut ialah Sheikh Abdul Mubin al-Fathani.

Walau bagaimanapun perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik beradik sebelah laki-laki ataupun dari adik beradik perempuan, yang dimaksudkan sehingga terjadi "dua beradik..." seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.

Namun, yang sempat penulis catat selain manuskrip Hikayat Tuan Wali Allah Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu bahawa adik beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra ada 11 orang. Beberapa orang di antaranya dilahirkan di Kerisik Fathani Darus Salam.

Dua orang terakhir di antara mereka ialah Wan Muhammad Arifin Syah digelar Tok Kelupang al-Jarimi al-Fathani, beliau ini adalah datuk nenek Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Adik Wan Muhammad Arifin Syah al-Fathani yang bongsu namanya sewaktu di Pauh Bok Fathani Darus Salam ialah Wan Nik (nama timang-timangan, nama sebenar tidak diketahui).

Wan Nik al-Fathani inilah yang pergi ke Brunei menyebarkan Islam. Sewaktu di Brunei tidak diketahui beliau memakai nama apa. Namun yang jelas beliau sezaman dengan Syarif Ali yang juga menyebarkan Islam di Brunei, kemudian menjadi Sultan Brunei (sultan ke-3).

Ada kemungkinan beliaulah yang dimaksudkan dengan Syarif Ali, jika dihubungkaitkan dengan kalimat "... Raja Brunei itu dua beradik ..." dengan ulama Patani seperti tersebut pada kalimat. Bererti Wan Nik al-Fathani itu jauh ke atas, hingga ke bawahnya masih ada hubungan terus menerus, kerana satu silsilah keturunan ini pernah ditulis oleh salah seorang keturunan Sheikh Abdul Mubin al-Fathani yang berada di Brunei yang bernama Haji Sulaiman.

Haji Sulaiman ini pernah datang ke Pauh Bok, Patani menyerahkan sepotong salasilah kepada waris di Pauh Bok, Patani. Salah seorang anak beliau yang menjadi pembesar di Brunei ialah Pehin Orang Kaya Di Gadong Awang Syihabuddin.

Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani juga pernah datang ke Brunei dan dikenali di Brunei dengan gelaran 'Tok Lubuk'. Selain mengajar beliau berkahwin di sana, meninggalkan keturunan yang ramai. Hubungan Patani - Brunei ini masih merupakan maklumat awal, justeru ia memerlukan kajian yang lebih mendalam.

PERANAN ULAMA PATANI DI SEMENANJUNG TANAH MELAYU

Penulis gunakan istilah Semenanjung Tanah Melayu untuk wilayah yang bersempadan dengan Patani iaitu bahagian Utara yang terdiri dari Perlis, Kedah dan Kelantan hingga ke Johor.

Sangat ramai orang yang berasal dari Patani atau keturunan mereka yang berperanan di Semenanjung Tanah Melayu, baik peranan sebagai ulama atau pun dalam bidang-bidang lainnya.

Dalam bidang agama Islam terutama pengajian-pengajian pondok di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pada peringkat awal hingga ke zaman hampir mencapai kemerdekaan adalah diasaskan oleh orang-orang yang berasal dari Patani.

Demikian dalam hal menjadi Mufti, Kadi dan lain-lain. Sebagai contoh: Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Tok Bukit Bayas, Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani, Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung kesemua mereka adalah berasal dari ataupun keturunan dari Patani yang sangat terkenal sebagai ulama Terengganu.

Apabila kita membicarakan ulama-ulama Kelantan sangat sukar memisahkan apakah seseorang itu berasal dari Patani ataupun dari Kelantan. Memang pertalian kekeluargaan antara Kelantan dengan Patani adalah tidak dapat dipisah-pisahkan, yang memisahkan hanyalah geografi dalam pemetaan politik atau pemerintahan saja.

Sekarang Patani dalam kekuasaan penjajahan, sedang Kelantan dalam pemerintahan Malaysia. Sebagai contoh; ulama dan tokoh Kelantan yang erat hubungannya dengan Patani seumpama: Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (1235 H/1820 M-1331 H/1913 M), Sheikh Abdus Samad atau Tuan Tabal, Nik Mahmud bin Ismail lebih dikenal dengan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan lain-lain.

Tok Kenali pula datuk neneknya berasal dari Cahaya (sekarang Chaiya) iaitu satu negeri yang terletak di Utara Patani. Demikian halnya dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang/Seberang Perai dan Perak.

Penutup

Ada pun peranan orang-orang Patani di tempat-tempat lainnya iaitu di Mekah, Mesir, dan Turki tidak dibicarakan lagi kerana sudah cukup banyak penulis perkenalkan dalam beberapa tulisan yang melibatkan ulama-ulama Patani. Kesimpulan dari peranan di Mekah bermula dengan penonjolan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, manakala di Mesir dan Turki bermula dari aktiviti Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Mengembala kambing sunah Rasulullah

Mengembala kambing sunah Rasulullah

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PEPERANGAN FUJJAR tentunya memberikan pengalaman yang menguji kekuatan, kepintaran, kepantasan dan kecekapan Rasulullah SAW. Namun untuk menjadi pemimpin umat malah pemimpin atau ketua dalam keluarga yang berjaya perlu mempunyai pengalaman yang lebih berkaitan tanggungjawab berat itu.

Oleh itu baginda mendapatkan semua pengalaman untuk menjadi pemimpin yang baik dengan menghabiskan sebahagian usia muda baginda sebagai pengembala kambing!

Kambing-kambing peliharaan baginda itu merupakan milik keluarga dan dikatakan juga mengambil upah mengembala kambing yang dimiliki oleh penduduk Mekah.

Namun tugas ini sebenarnya mempunyai falsafah yang unik lagi tinggi. Ia tidak sekadar mengembala kambing supaya tidak berkeliaran dan hilang dari kawalan.

Oleh kerana semua nabi sebelum ini pernah menjadi pengembala ternakan semasa mereka menjalankan amanah sebagai pembawa ajaran dari Allah. Lalu pengikut Rasulullah bertanya sendiri kepada baginda: "Adakah Wahai Rasulullah juga pernah menjadi gembala?" Lalu baginda menjawab: "Ya, selama beberapa waktu saya mengembalakan domba milik penduduk Mekah di daerah Qararit".

Justeru, kita hayati apa yang ditulis oleh penulis sejarah terkenal, Hussein Haekal mengenai corak kehidupan Rasulullah sebelum baginda mendirikan rumahtangga dengan wanita bangsawan yang terkenal, Siti Khadijah Khuwailid ini.

Kata Haekal, seperti yang kita ketahui, Perang Fijar atau Fujjar itu berlangsung hanya beberapa hari saja setiap tahun. Selebihnya masyarakat Arab kembali meneruskan pekerjaan masing-masing.

Pahit getirnya peperangan yang tergores dalam hati mereka tidak akan menghalangi mereka daripada kegiatan perdagangan, menjalankan riba, minum minuman keras serta pelbagai macam kesenangan dan hiburan dengan sepuas-puasnya.

Maka adakah Nabi Muhammad juga ikut serta dengan mereka dalam hal-hal yang seperti ini? Atau sebaliknya?

Menurut Haekal, telah berlaku pelbagai gejala yang teruk melanda anak-anak muda di kota Mekah ketika itu.

"Sudahlah mereka tinggal di pinggiran Mekah, yang tidak mempunyai mata pencarian, hidup dalam kemiskinan dan kekurangan namun merekalah yang ikut hanyut dalam hiburan itu.

"Bahkan di antara mereka lebih gila lagi dari golongan ternama Mekah dan bangsawan-bangsawan Quraisy dalam menghanyutkan diri dalam kesenangan demikian itu," katanya.

Akan tetapi Nabi Muhammad kata Haekal adalah anak muda yang ingin melihat, mendengar dan mengetahui.

"Itu sifat yang ditunjukkan oleh baginda," kata penulis sejarah Nabi yang terkenal ini.

Oleh itu baginda tidak ikut serta seperti yang dilakukan teman-temannya dari anak-anak bangsawan kerana baginda lebih berminat untuk memiliki pengetahuan berbanding berhibur dan menjauhi hidup ber foya-foya.

"Baginda mendambakan cahaya hidup yang akan lahir dalam segala manifestasi kehidupan dan yang akan dicapainya hanya dengan dasar kebenaran.

"Kenyataan ini dibuktikan oleh jolokan yang diberikan kepadanya dan pembawaan yang ada dalam dirinya.

"Itu sebabnya, sejak zaman kanak-kanak gejala kesempurnaan, kedewasaan dan kejujuran hati sudah tampak, sehingga penduduk Mekah semua memanggilnya Al-Amin (yang dapat dipercayai)," kata Haekal.

Ini menyebabkan baginda lebih banyak merenung dan berfikir melalui pekerjaannya menggembalakan kambing sejak sejak usia remaja baginda.

Baginda sendiri dikatakan begitu gembira dengan tugas sebagai pengembala kambing itu.

Haekal dapat mengutip kata-kata rasa gembira baginda di saat-saat mengembala ternakan itu, iaitu: "Nabi-nabi yang diutus Allah, kesemua mereka mengembala kambing. Ini termasuklah Nabi Allah Musa, Nabi Allah Daud sehinggalah aku sendiri meneruskan usaha murni ini mengembala kambing milik keluarga ku di Ajyad.

"Baginda mempunyai hati yang terang, menjalankan tugas dalam udara yang bebas di siang hari sehinggalah membawa kepada kemilau bintang di langit apabila malam menjelma.

"Ini menjadikan tugas baginda itu amat sesuai dan serasi untuk pemikiran dan merenung kejadian alam bagi mendapatkan sesuatu di atau penafsiran tentang penciptaan semesta ini," katanya.

Baginda membawa kambing-kambingnya jauh merentas padang sehinggalah ke kaki-kaki gunung dan bukit, jauh dari kesibukan kota Mekah.

Namun apabila kambing-kambing yang ada di hadapan Nabi Muhammad itu menarik kesedaran dan perhatiannya supaya jangan ada serigala yang akan menerkam kambing-kambing itu atau jangan sampai ada yang hilang dan sesat lalu baginda tidak lagi dalam dunianya yang tersendiri itu.

Baginda akan berusaha segenap tenaga dan akal pemikiran terhadap tahap keselamatan kambing-kambingnya itu.

Baginda akan mengawal dan memastikan sepenuhnya supaya ternakan tersebut dapat meragut rumput tanpa gangguan, hidup dan membiak dengan banyaknya.

Namun seperti yang ditulis oleh pakar sejarawan yang lain, Jaafar Subhani, apa yang penting mengembala kambing mengajar baginda supaya meningkatkan kesabaran dan ketabahan dalam 'memimpin' kambing-kambing itu.

Setiap ekor kambing akan mempunyai kerenah mereka yang tersendiri, begitu juga yang bakal dihadapi oleh baginda ketika baginda memimpin umat manusia.

"Apabila seseorang itu dapat menanggung kesukaran dalam menguruskan haiwan, yang tidak mempunyai akal dan kearifan, maka tentunya dia juga dapat bertanggungjawab untuk memimpin manusia yang sesat akal fikiran dan cara hidup mereka," kata Jaafar.

Malah dikatakan terdapat hadis Rasulullah sendiri yang menyebut: "Allah tidak mengangkat seorang nabi pun yang sebelumnya tidak dijadikan pengembala supaya mereka dapat belajar bagaimana hendak membimbing manusia."

Namun ada ketikanya, baginda hampir terpukau juga dengan kilauan segala macam maksiat dan hiburan yang berleluasa di Kota Mekah.

Ini apabila pada suatu hari ketika baginda menggembala kambing dengan seorang kawannya berkata bahawa baginda ingin bermain-main seperti pemuda-pemuda lain dengan menyertai pelbagai hiburan di kota Mekah dengan meminta kawannya itu menjaga kambing-kambing peliharaan baginda.

Tetapi sesampainya di hujung kota Mekah, perhatiannya tertarik pada suatu pesta perkahwinan dan baginda ingin hadir di tempat itu.

Tetapi tiba-tiba baginda terjatuh dan tertidur.

Begitu juga pada malam berikutnya, baginda lagi sekali cuba hendak mengunjungi Mekah, dengan maksud yang sama.

Baginda telah terdengar dari jauh kemeriahan irama muzik yang indah, seolah-olah turun dari langit.

Ini membuatkan baginda terleka namun menyebabkan baginda akhirnya tertidur lagi sehingga keesokan paginya.

Lagi sekali baginda gagal menyertai hiburan seperti pemuda-pemuda yang lain dan bagai direncanakan oleh Allah supaya baginda tidak terlibat dalam hiburan yang bakal melalaikannya.

Sebagai pengembala kambing tentunya tidak menjanjikan keuntungan, jauh sekali kemewahan tetapi baginda lebih mengejar 'kemewahan' yang menjanjikan kekuatan kepada jiwa dan minda. Semua ini diperolehi walau sekadar bergelar pengembala kambing!

Baginda sendiri pernah menyebut, "Kami adalah golongan yang hanya makan bila merasa lapar, dan bila sudah makan tidak sampai kenyang!"

Mengembala kambing bukan sekadar satu tradisi lama, wajar sekali dijayakan oleh kalangan anak-anak muda hari ini. Tidak sahaja untuk tujuan komersial tetapi bagi melahirkan pemimpin yang tabah dan tahan lasak sebagaimana yang menjadi rahsia di sebalik kejayaan si pengembala kambing, Nabi Muhammad SAW.

Menghayati manhaj Nabawi

Menghayati manhaj Nabawi

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan.


Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji-pujian ke hadrat Allah Tuhan Semesta Alam.

Semulia-mulia selawat dan salam ke hadrat Rasulullah berserta ahli keluarga dan sahabat Baginda.

Lumrah kehidupan manusia tidak akan sunyi daripada ujian dan cabaran. Bahkan memang hidup kita ini hakikatnya adalah suatu medan ujian besar. Ia seperti dinyatakan dalam al-Quran yang maksud-Nya, Dialah Tuhan yang mencipta hidup dan mati untuk menguji kamu siapakah di kalangan kamu yang lebih baik amalannya. (al-Mulk: 2)

Oleh sebab itu, cabaran dalam bentuk pelbagai masalah dan krisis akan terpaksa dihadapi meskipun oleh seorang hamba Allah dan masyarakat yang soleh dan baik agamanya.

Pada masa yang sama, kita diajar oleh ulama bahawa setiap musibah dan masalah yang menimpa harus menjadi ruang untuk kita bermuhasabah diri. Memeriksa dan meneliti kalau-kalau masalah yang muncul adalah akibat kesilapan dan kealpaan kita sendiri.

Kebelakangan ini ketenangan dan ketenteraman kita agak terganggu dengan pelbagai isu yang lazimnya tidak wajar menjadi terlalu besar dalam sebuah masyarakat beragama dan maju seperti kita. Isu-isu yang kita maksudkan adalah bermacam-macam gejala sosial dan jenayah seperti ragut dan fenomena 'Mat Rempit' di samping suhu pertembungan politik yang panasnya melebihi tahap biasa.

Nilai rahmat, kasih sayang dan cinta

Walaupun kita reda menerima semua ini sebagai ujian Ilahi, kita juga patut menganggap semua ini sebagai isyarat untuk menilai semula keberkesanan, ketepatan pendekatan dakwah dan tarbiah keagamaan yang dihayati dalam masyarakat.

Melihat tahap gejala sosial dan moral dalam negara kita, mungkin ada yang belum tepat dan perlu dipertingkatkan dalam pendekatan Islamisasi kita.

Kita tahu bahawa Islam sebagai agama dan cara hidup seharusnya sangat berkesan untuk membentuk generasi dan masyarakat yang perkasa. Jika silapnya bukan pada Islam, maka mungkin kurangnya adalah kegagalan kita sendiri menepati acuan dan manhaj (pendekatan) sebenar yang pernah diamalkan oleh generasi Salaf dan Khalaf yang terbukti berjaya.

Sirah dan sejarah dipenuhi dengan catatan kejayaan risalah Islam dalam merobah kejahilan kepada ilmu, kasar kepada sopan, khianat kepada amanah dan seumpamanya. Apabila Islam difahami dan dihayati bertepatan dengan acuan dan manhajnya yang murni.

Hakikatnya, acuan dan pendekatan sebenar risalah Islam mempunyai ciri-ciri khusus yang mesti dipenuhi jika kita ingin menghasilkan citra keagamaan yang bertenaga, bersemangat dan segar-menawan bukannya yang kasar, kering-gersang ataupun lesu. Ciri-ciri khusus manhaj Nabawi inilah yang harus kita temukan, teliti dan hayati semula.

Antara ciri utama citra keagamaan Nabawi yang ingin disentuh dalam kesempatan ini adalah nilai rahmat, kasih sayang dan cinta. Dalam manhaj Nabawi Muhammadi SAW, sifat rahmat dan cintalah yang ditekankan dan diutamakan dalam hubungan antara Khaliq SWT dan makhluk, antara Nabi SAW dan umat, antara sesama Islam dan juga sesama insan.

Dalam hadis yang sangat masyhur, Rasulullah SAW bersabda, Orang-orang yang kasih-mengasihi akan dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih, kasihilah penduduk di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh penduduk langit. (riwayat al-Bukhari dalam al-Kuna dan al-Adab al-Mufrad, Ahmad dalam al-Musnad, Abu Daud dalam al-Sunan, Hakim dalam al-Mustadrak, al-Tirmizi dalam al-Jami', al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman dll).

Hadis ini amat diberi perhatian oleh para ulama. Sehingga sebahagian mereka membiasakan membacanya sebagai hadis pertama yang mereka baca secara musalsal dalam mana-mana majlis pengajian sehingga hadis ini dikenali sebagai hadis Musalsal bil Awwaliyyah (Musalsal Permulaan).

Menurut Imam al-'Iraqi, hadis ini diutamakan dari hadis-hadis lain dalam periwayatan hadis bagi para penuntut ilmu untuk mengajar. Juga memberitahu mereka bahawa ilmu itu terbina di atas sifat kasih sayang dan saling menyayangi, bukannya di atas permusuhan, pertengkaran dan pertelagahan.

Islam merupakan agama berkasih sayang. Bukannya agama yang kasar dan gersang dari kasih sayang terutamanya di antara Allah dan hamba-Nya. Hubungan di antara Allah dan orang-orang Islam bukanlah hubungan kepatuhan atau ketaatan kepada kehendak Allah semata-mata dan secara paksaan tetapi lebih kepada hubungan kasih dan cinta yang suci.

Inilah yang tergambar dalam firman Allah SWT, Tanyalah (wahai Muhammad SAW), milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi? Katakanlah: (Semuanya itu) adalah milik Allah. Dia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. (al-An'aam: 12)

Bahkan, semboyan Ilahi yang tertulis di atas Arasy-Nya berbunyi: Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku (azabKu). (Sahih al Bukhari, Kitab Bad' al Khalq, no hadis: 3194 dan Kitab Tauhid, no hadis 7404)

Di ketika-ketika yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

l "Tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling menyayangi". (riwayat al-Hakim dan al-Tabrani).

l "Kasihilah orang lain, nescaya kamu akan dikasihi, maafkanlah orang lain nescaya kamu akan dimaafkan". (Lihat Sheikh Muhammad Abdul Baqi al Laknawi, Manahil al Silsilah, H: 11).

Tidak sekadar itu, penekanan atau keutamaan aspek kasih sayang sebagai suatu keutamaan dalam Islam juga dapat dilihat dalam pelbagai suruhan-Nya yang lain.

Di antaranya, Islam menyuruh memulakan setiap amal yang baik dengan bacaan Basmalah iaitu dengan nama Allah, al-Rahman dan al-Rahim bagi mengajar umat manusia supaya mengutamakan sifat kasih sayang dalam setiap perkara, selain daripada untuk meraih keberkatan.

Apa yang wajar dikesali, tanpa disedari, citra Islam yang kita garapkan hari ini, sama ada dalam bentuk kata-kata, perbuatan, polisi, slogan atau motto tampak gersang daripada rahmat dan kasih sayang. Sehingga akhirnya ia menjadi suatu yang asing dan jauh daripada jiwa-jiwa manusia.

Akibatnya, ikatan ketaatan dan kepatuhan sekadar berlegar di tahap akal dan faham tanpa sampai dirasai hangat, segar dan manis di dalam hati dan perasaan.

Keislaman dan perasaan beragama di tahap ini sudah pasti tidak akan cukup kukuh untuk menghadapi pelbagai serangan musuh-musuh iman, zahir dan batin.

Akhirnya, walaupun tidak sedikit wang ringgit dan masa kita habiskan, pelbagai dasar dan program yang kita gagaskan, kita masih seolah gagal menandingi arus syaitan yang hakikatnya lebih lemah daripada arus iman seperti yang disebut dalam firman Allah SWT, Sesungguhnya tipu-daya syaitan itu adalah lemah. (al-Nisa': 76)

Iman, Islam dan ihsan

Sebaliknya kita pula yang merasa lemah berhadapan dengan arus syaitan dalam kehidupan serba moden ini.

Atas kesedaran itulah, kita harus menilai secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh manhaj dan acuan pendekatan keagamaan yang kita hayati dan kemukakan kepada masyarakat.

Dalam kesempatan ini, kolum ini ingin menarik perhatian bahawa antara yang pincang dalam pendekatan keagamaan kita adalah kurangnya keseimbangan dan penekanan terhadap aspek tasauf dan kerohanian. Sedangkan ia jelas merupakan satu daripada sendi al-Deen seperti yang zahir dalam hadis Jibril yang masyhur itu.

Para ulama dalam tradisi Ahlus Sunnah wal Jamaah sentiasa mengutamakan keseimbangan penggarapan tiga sendi agama iaitu iman, Islam dan ihsan yang terjelma dalam munculnya secara saksama tiga cabang disiplin ilmu agama iaitu Akidah-Tauhid, Syariah-Fiqh dan Akhlak-Tasauf.

Ketiga-tiga cabang ilmu ini perlu dihayati secara bersama dan saksama. Barulah akan muncul generasi ulama dan umat yang murni pegangan akidahnya, teguh penguasaan hukumnya serta tinggi makam rohaninya.

Satu lagi di antara ciri utama pendekatan dakwah dan tarbiah para ulama muktabar ialah menyuburkan perasaan cinta dan kasih umat terhadap Nabi Muhammad SAW.

Para Ulama sangat menyedari bahawa peranan dan keutamaan Rasulullah SAW tidak hanya terhenti setakat penyampai wahyu daripada Tuhan SWT kepada manusia.

Lebih daripada itu, Nabi SAW adalah pintu dan jalan utama sepanjang zaman untuk sekalian Umat agar mereka benar-benar dapat menghayati dan mengangkat martabat diri mereka ke tahap yang dikehendaki oleh wahyu Ilahi tersebut.

Oleh itu Rasulullah SAW perlu benar-benar sentiasa didekati, diingati, dikasihi dan dicintai. Rasulullah SAW sendiri telah menegaskan hal ini melalui sabdanya: Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari anak dan bapanya serta manusia seluruhnya. (riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Nasaei dalam kitab al Iman)

Keterampilan Rasulullah SAW sebagai Rahmatan Muhdatan (Rahmat Kurniaan Tuhan), seperti yang disebut dalam hadis lain (Riwayat al-Tabrani dan al-Baihaqi), perlu diteladani dengan cermat dan diaplikasikan. Sebabnya, inilah modal utama terciptanya kejayaan yang gemilang dan kebahagiaan yang hakiki umat Islam di dunia dan akhirat.

Hari ini kita melihat manhaj Nabawi dalam menghayati Islam seperti yang difahami zaman berzaman oleh para ulama banyak dilupakan. Lebih malang lagi, ada pula yang mentohmah pendekatan para ulama bagi menghidupkan manhaj Nabawi ini sebagai bidaah dan sesat yang menimbulkan gejala perpecahan di kalangan Umat Islam.

Pada masa yang sama pendekatan-pendekatan yang jauh lebih rendah mutunya pula diberi keutamaan yang akhirnya gagal membuahkan hasil yang diinginkan.

Akhirnya, kita menyaksikan al-Quran diraikan tetapi Tuhan ditinggalkan, Sunnah dislogankan tetapi Rasulullah SAW dilupakan, Islam hendak ditegakkan tetapi para ulama dikesampingkan.

Jika itu yang berlaku, mana mungkin akan terhasil masyarakat dan individu Muslim yang salim-sejahtera yang diingin-inginkan dan kita akan tetap gagal mencari formula berkesan bagi mengharungi pelbagai cabaran duniawi yang terpaksa dihadapi.

Dengan latar tersebut, ruangan baru ini berhasrat untuk turut menyumbang kepada menekankan semula manhaj Nabawi dalam penghayatan agama seperti yang diwarisi oleh generasi demi generasi para ulama muktabar umat ini.

Di antara ciri utama pendekatan ini adalah keseimbangan sendi-sendi iman, Islam dan ihsan dalam kehidupan beragama. Menyedari bahawa dimensi ihsan atau tasauf sering kurang mendapat penekanan yang wajar, ruangan ini akan turut banyak menceduk dari kitab-kitab tasauf muktabar terutama kitab Al-Hikam oleh Ibnu 'Atoillah al-Sakandari r.a.

Semoga usaha ini mendapat taufik, inayah dan tilikan rahmat Ilahi Rabbul Jalil. Wallahu a'lam.

lYAYASAN SOFA adalah pertubuhan pendidikan, kebajikan dan dakwah dibawah pimpinan Ustaz Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Beliau adalah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Pandangan boleh disalurkan melalui e-mel: panelsofa@gmail.com.

Generasi muda beriman perkukuh perjuangan Islam

Generasi muda beriman perkukuh perjuangan Islam
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

MAJLIS khatam al-Quran antara kegiatan yang dapat mantapkan jati diri belia Muslim. - Gambar hiasan

Sumbangan belia bertakwa penting bantu kejayaan, pencapaian ummah sepanjang zaman

GENERASI muda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara. Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, sukakan cabaran, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta.

Inilah perkembangan naluri dan fitrah generasi muda dalam proses membentuk diri menuju kematangan dan masuk ke alam dewasa. Sebagai pemuda Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan.

Potensi yang dimiliki boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara, tetapi ia juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan negara. Isu utama ialah bagaimana potensi itu digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna secara bermanfaat.

Islam meletakkan generasi muda pada kedudukan mulia dan hal ini berbeza berbanding pada zaman sebelum kedatangan Islam. Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya, tetapi sejurus selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab.

Corak remaja atau belia pada zaman itu terbentuk melalui kesan tarbiah rohaniah dan jasmaniah yang dipimpin melalui pendekatan wahyu iaitu melalui cara hidup Islam. Budaya atau cara hidup bersandarkan reda Allah wujud pada diri pemuda ketika itu.

Ini menyebabkan mereka tidak saja memiliki pedoman dan dorongan terbaik untuk memandu jalan hidup, tetapi budaya reda Allah itu membentuk kedewasaan remaja yang akhirnya menjadikan mereka taat serta patuh terhadap perintah Allah dan sentiasa mengelak melakukan apa dilarang.

Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk." (Surah al-Kahfi: 13)

Allah juga memasukkan belia dan remaja yang menghabiskan masa mengabdikan diri kepada Allah dalam kegiatan hidupnya sebagai manusia yang dimasukkan ke dalam golongan mendapat perlindungan lembayung payung Allah di Padang Mahsyar kelak.

Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, pemuda yang hidup dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua untuk menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan antaranya mempunyai banyak masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai kecerdasan akal fikiran, mempunyai daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain.

Pada ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati."

Pemuda pada awal Islam menjadi tonggak dakwah dan ejen pembangunan dalam membina kekuatan. Nama seperti Mus'ab Umair, Usamah Zaid, Ali Abi Talib, dan Bilal Rabah, membuktikan kepada generasi berikutnya bahawa remaja tonggak kekuatan ummah pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat.

Rasulullah SAW berpesan supaya ummah memberikan perhatian kepada mendidik dan menjaga belia dalam sabda Baginda bermaksud: "Aku berpesan kepada kamu supaya memberi perhatian kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka lembut. Allah mengutuskan aku membawa agama hanif lalu pemuda menyokong aku sedangkan orang tua menentang aku."

Justeru, dalam beramal, pemuda dianjurkan sentiasa mengambil peluang melaksanakan ibadat tanpa perlu bertangguh kerana usaha meningkatkan takwa dalam hidup bukan bermusim. Firman Allah bermaksud: "Dan dirikan oleh kamu sembahyang dan tunaikan zakat, dan apa juga yang kamu dulukan daripada kebajikan untuk diri kamu, tentu kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah." (Surah al-Baqarah: 110)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga pernah melahirkan perasaan takjubnya kepada pemuda yang sentiasa bersungguh-sungguh menjunjung nilai takwa dalam kehidupannya dan bukan bersikap seperti kebudak-budakan. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat kebudak-budakan."

Ketika hayatnya, Baginda SAW selalu berpesan kepada belia dan remaja supaya memperlihatkan sifat matang, sesuai dengan kekuatan fizikal sehingga dapat dibezakan dengan golongan tua. Lantaran itu, ketika usia Baginda menginjak ke angka 40, terjadi peristiwa kenabian pada waktu yang dianggap sempurnanya kematangan umur dewasa. Ketika itu, kebanyakan pendukung kuatnya ialah pemuda.

Saidina Abu Bakar, tua tiga tahun daripada umur Baginda, Saidina Umar pula berusia 27 tahun ketika memeluk Islam, Saidina Othman lebih muda daripada Baginda dan Saidina Ali jauh lebih muda daripada sahabat lain.

Begitu juga sahabat yang terkenal sebagai pendamping dakwah yang dibawa Baginda SAW seperti Abdullah Mas'ud, Said Zaid, Abdul Rahman Auf, Bilal dan Musab Umair yang berusia muda. Nama seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, malah Abu Talib yang tidak menerima dakwah Baginda SAW ialah kalangan generasi tua.

Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi, justeru pengiktirafan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong. Benar dan tepat kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah, tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal. Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadah.

Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Jelebu, Negeri Sembilan

Gurau senda melampaui batas jejas keharmonian masyarakat

Gurau senda melampaui batas jejas keharmonian masyarakat
Oleh Nazri Hussein

BUDAYA bergurau senda secara melampau batas mula menjadi amalan di kalangan pelajar serta remaja. Antara budaya bergurau yang cukup popular sejak dulu ialah buli yang banyak diamalkan pelajar sekolah berasrama.

Walaupun niatnya baik iaitu hendak mendisiplinkan pelajar baru, amalan yang keterlaluan itu boleh menimbulkan kesan negatif. Banyak kes jenayah di kalangan remaja seperti buli, bergaduh, mencederakan rakan hatta membunuh dikesan berpunca daripada sikap gemar bergurau senda yang melampau batas serta tidak mengikut syariat ditetapkan Islam.

Islam agama yang mementingkan tatacara berakhlak serta tingkah laku beradab, menggariskan panduan dan etika ketika bergaul sesama rakan sebaya.



Menurut Imam al-Ghazali, antara aspek bergurau senda yang wajar dipelihara ialah seseorang perlu menjaga lidah daripada menutur perkataan boleh menyinggung, menjaga keaiban daripada terdedah kepada umum, tidak berdusta serta mengelak perbuatan mengumpat atau menabur fitnah.

Diriwayatkan Abdullah Amr, katanya seorang lelaki bertanya Rasulullah SAW, orang Islam bagaimanakah paling baik? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang Islam yang paling baik serta dimuliakan Allah ialah di kalangan mereka yang menjaga orang Islam lain daripada bencana lidah dan perbuatannya."

Perbuatan bergurau secara keterlaluan sehingga mengaibkan orang lain amalan yang ditegah serta bertentangan dengan nilai murni diterapkan dalam masyarakat bagi memupuk toleransi dan persefahaman. Amalan keji seperti suka menyindir serta memberikan pelbagai gelaran buruk kepada seseorang perlu dijauhi kerana boleh mengundang prasangka buruk selain menimbulkan perasaan marah dan dendam. Akibatnya, masyarakat akan menjadi huru-hara dan kacau bilau.

Walaupun dari sudut psikologi, bergurau senda dapat meredakan tekanan perasaan disebabkan pelbagai musibah yang ditimpakan kepada seseorang, perlakuan itu jika melampau batas serta bertujuan menjauhi diri daripada mengingati Allah akan menjadi sia-sia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanya hiburan yang melalaikan (gurau senda) serta permainan yang sementara." (Surah Hadid, ayat 20)

Rasulullah SAW ialah contoh terbaik yang sentiasa menjaga perilaku daripada perkara tidak bermanfaat, dipandang jelek serta boleh menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan sahabat. Dalam soal bergurau senda, Baginda mementingkan batas ditetapkan syarak serta meletakkan soal kebenaran sebagai perkara utama.

Menurut riwayat, sepanjang hidup Rasulullah SAW, Baginda hanya beberapa kali berjenaka dan bergurau senda di depan sahabat. Antara kisah menarik mengenai gurauan Baginda ialah ketika didatangi perempuan tua yang bertanya usia penghuni syurga.

Kata Baginda, semua penghuni syurga muda dan bukan mereka yang sudah lanjut usia. Perempuan itu menangis teresak-esak apabila memikirkan dirinya yang tidak berpeluang menjadi penghuni syurga.

Lantas, Rasulullah SAW yang hanya ingin bergurau menjelaskan perkara sebenar mengenai usia penghuni syurga yang sentiasa kekal muda tanpa bertambah umur sebagai tanda nikmat Allah kepada mereka. Penjelasan Baginda menceriakan wanita itu.

Malangnya, dalam soal pergaulan hidup seharian, tidak ramai yang menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan. Masih ramai yang mengamalkan gurauan melanggar sunnah, tidak beradab, mempunyai niat untuk mengaibkan serta sekadar ingin berseronok melalui jalan batil.

Keseronokan dan gurau senda melampaui batas adalah budaya yang dibawa Barat bagi melalaikan umat Islam daripada penghayatan serta perjuangan jihad sebenar.

Firman Allah bermaksud: "Adakah di antara kamu umat yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh mengerjakan yang benar dan melarang membuat salah. Mereka itulah orang yang beruntung (menang)." (Surah al-Imran, ayat 104)

Budaya bergurau senda jika diamalkan tanpa lunas syariat dan sunnah boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat dan umat sejagat. Sehubungan itu, berhati-hati dalam setiap gerak dan tindakan supaya kita terhindar daripada sikap buruk dan tercela.

Amalan bersedekah lebih afdal utamakan keluarga

Amalan bersedekah lebih afdal utamakan keluarga
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Wajib penuhi keperluan mereka di bawah tanggungan sebelum menolong orang lain

TANGAN di atas lebih baik daripada tangan yang menerima ialah galakan supaya kita menjadi orang suka memberi, bukan yang meminta kerana kedudukan bersedekah lebih baik terutama jika mereka melakukannya dengan hati yang ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Siapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Amalan sedekah yang dianjurkan Islam bertujuan melengkapkan kitaran hidup antara yang kaya dengan miskin kerana sebagai pihak mempunyai kelebihan, mereka bertanggungjawab membantu saudara yang memerlukan.

Mereka yang gemar bersedekah dijanjikan Allah ganjaran pahala yang besar. Firman-Nya yang bermaksud: "Siapakah yang mahu meminjamkan (hartanya) kepada Allah dengan pinjaman yang baik (iaitu dengan mendermakannya pada jalan Allah), lalu Allah melipatgandakan (balasannya) dan untuknya pahala yang mulia." (Surah al-Haddid, ayat 11)

Saranan supaya dimulakan sedekah kepada mereka yang menjadi tanggunganmu menjelaskan keutamaan bersedekah iaitu dengan mendahulukan keluarga di bawah tanggungan yang memerlukan bantuan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dinar (wang) yang engkau infakkan (belanjakan) di jalan Allah, dinar yang engkau infakkan untuk membebaskan hamba abdi, dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dinar yang engkau nafkahkan kepada keluargamu, pahala yang paling besar adalah dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu." (Hadis riwayat Muslim)

Niat bersedekah juga perlu melihat kepada pihak yang ingin diberi sumbangan kerana ada sesetengah pihak bersedekah kepada orang lain, tetapi ahli keluarga tidak diberi perhatian sedangkan mereka juga mengharapkan sumbangan.

Rasulullah SAW menjelaskan melihat keperluan bersedekah kepada golongan yang ingin dibantu. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim." (Hadis riwayat Ahmad)

Jika seseorang bersedekah sedang dia tidak memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya, maka dia dianggap berdosa kerana mengutamakan amalan sunat bersedekah berbanding amalan diwajibkan baginya iaitu memenuhi segala keperluan keluarganya.

Sabda Nabi SAW: "Cukup seseorang dinilai berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya." (Hadis riwayat Muslim)

Jangan pula kerana terlalu ghairah untuk bersedekah, konon ingin mendapat keredaan serta ganjaran pahala, kita lupa tanggungjawab menyelesaikan urusan termasuk melunaskan hutang.

Menjelaskan permintaan hamba kepada Allah supaya dicukupkan keperluan dan dijauhkan daripada amalan meminta-minta, supaya umat Islam menjaga kehormatan diri serta berusaha mencari rezeki dengan kudrat yang ada.

Sebaiknya, orang miskin tidak menampakkan kekurangan dalam hidupnya dan sentiasa bersabar serta reda dengan ketentuan Ilahi. Perbanyakkan doa kepada Allah supaya terpelihara diri dan keluarganya daripada sikap suka meminta. Menerusi sikap sedemikian, Allah akan memberinya kelapangan dalam hidup (meskipun tidak mewah) dan menetapkan sifat qana'ah (cukup) dalam jiwanya. Sebaliknya bagi mereka yang tidak memohon kepada Allah, tidak akan mendapat pertolongan-Nya.

Jika seseorang jauh daripada pertolongan serta perlindungan Allah, jiwanya lebih cenderung untuk melakukan perkara diharamkan.

Selagi seseorang itu mampu untuk bekerja dia perlu berusaha bersungguh-sungguh memenuhi keperluan hidup bagi diri dan keluarga daripada hasil titik peluhnya dan jangan mengambil jalan mudah dengan menjadi peminta sedekah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Salah seorang daripada kalian yang mengambil tali lalu tali itu digunakan untuk mengikat kayu bakar di atas punggungnya lalu dia menjualnya, maka dia menutup wajahnya (menjaga kehormatannya dengan bekerja) lebih baik daripada dia meminta daripada manusia, yang ada kalanya memberi atau tidak memberi." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini ialah dalil diharamkan seseorang itu menjadi peminta sedekah selagi dia masih mampu bekerja. Mereka yang suka meminta sedangkan mampu bekerja tetapi malas ialah golongan yang dicela.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seseorang lelaki yang sentiasa meminta daripada orang lain, pada hari kiamat yang akan datang, pada wajahnya tidak ada sedikit daging pun." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Justeru, berusaha untuk mengelakkan diri daripada sikap suka meminta, apatah lagi bagi mereka yang sudah dicukupkan Allah rezeki, tetapi masih suka mendapat barangan yang diberi orang lain semata-mata untuk menambah apa yang ia ada.

Lebih baik pihak yang dikurniakan Allah rezeki, bersedekah kepada mereka yang memerlukan terutama barangan yang ia sayang, tetapi barang itu mendatangkan manfaat lebih kepada orang lain.