Showing posts with label YaPEIM. Show all posts
Showing posts with label YaPEIM. Show all posts

Thursday, August 27, 2009

Bersama YaPEIM: Perubahan ekonomi ummah perlu dibuat secara berterusan

Bersama YaPEIM: Perubahan ekonomi ummah perlu dibuat secara berterusan
Oleh Dr Abd Malek Awang Kechil

DUNIA Islam memerlukan perubahan (transformasi). Ikatan emosional umat Islam yang mendalam terhadap Islam memiliki potensi yang besar bagi mencetuskan perubahan dan pembangunan sosioekonomi. Dalam konteks Malaysia, sejak negara ini mencapai kemerdekaan, tahap pencapaian ekonomi termasuk sosioekonomi ummah mengalami perubahan ketara. Walaupun pada awal pasca kemerdekaan, perkembangannya agak perlahan, pengalaman yang dilalui terus mendewasakan kepemimpinan dan cendekiawan dari kalangan umat ini dalam menganalisis, mengolah dan menemukan strategi dianggap segar sebagai langkah memperkasa ekonomi ummah pada dekad seterusnya.

Di Malaysia, pelbagai dasar (Dasar Ekonomi Baru), Wawasan (Wawasan 2020), Konsep (Konsep 1 Malaysia), pelan dan strategi diperkenal dan dilaksanakan kerajaan bagi memacu ekonomi negara dan ummah. Di samping itu, strategi memperkasakan ekonomi ummah juga disokong kuat dengan kesepakatan idea yang dicapai melalui siri pertemuan berasaskan wacana intelektual dan perhimpunan solidariti umat khususnya melalui penganjuran seminar, konvensyen pendidikan Islam dan penganjuran siri Kongres Ekonomi Islam dan Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijayakan dari semasa ke semasa. Semua dasar dan kesepakatan idea ini mempamerkan keprihatinan dan bermotif ke arah memperkasakan ekonomi ummah.

Perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan memberi perlindungan dan memberi hak keistimewaan kepada orang Melayu (Islam) adalah sumber kekuatan ummah berteraskan undang-undang. Berasaskan rujukan undang-undang dan kebijaksanaan pemimpin dalam menghadapi kemelut yang melanda umat, Dasar Ekonomi yang menggariskan strategi utama bagi menangani kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat diperkenalkan kerajaan.

Di samping itu komitmen tinggi kerajaan terhadap usaha mendaulatkan syiar Islam diteruskan dengan memperkenalkan pelbagai dasar berhubung Islam (Dasar Penerapan Nilai Islam). Dasar berhu-bung ekonomi dan Islam ini dilihat mempunyai impak yang tersendiri dalam usaha memperkasa ekonomi ummah.

Hakikatnya, walaupun pelbagai dasar yang mempunyai motif yang murni telah diperkenalkan dan dilaksanakan, pencapaian yang diperlukan oleh dan dari umat ini perlu dilihat sebagai aspek yang berbeza. Atas dasar itu transformasi (perubahan) yang diperlukan oleh dan dari umat ini dilihat sebagai suatu proses pembaikan yang perlu berlaku secara berterusan. Perubahan ekonomi ummah kini dilihat sebagai persoalan yang semakin kritikal dalam ekonomi negara yang berasaskan masyarakat majmuk (penguasaan ekonomi negara berada di luar kawalan umat), mahupun dalam suasana dunia yang dilanda krisis kewangan yang parah kini.

Menggerak Potensi Memperkasa Ekonomi Ummah yang menjadi tema Kongres Ekonomi Islam Ketiga, dilihat sebagai suatu tema yang bukan saja relevan untuk usaha memperkasa ekonomi ummah di Malaysia, malah juga untuk rantau ini dan dunia Islam amnya. Atas dasar itu, kesepakatan yang tercapai pada kongres berkenaan dilihat amat relevan untuk dicadangkan sebagai asas kesepakatan baru di kalangan pemimpin ummah di rantau ini (negara Mabims khasnya), dalam kerangka melakukan transformasi ekonomi ummah pada masa depan.

Dari sudut bahasa transformasi boleh membawa maksud perubahan. Bagaimanapun terdapat beberapa istilah yang agak dekat dengan istilah transformasi, seperti istilah reformasi dan islah.

Bagaimanapun, bagi menghuraikan tajuk yang dikemukakan ini, istilah perubahan akan digunakan berpandukan kepada maksud ghaiyyara (ubah) seperti yang terungkap dalam Surah Ar Ra'd Ayat ke 11 yang bermaksud "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri".

Ayat ke 11 surah Ar Ra'd dengan maksud seperti yang dinyatakan diatas, mengikut Tafsir Al-Azhar, Prof Dr Hamka menyimpulkan bahawa "inilah ayat yang terkenal tentang kekuatan dan akal budi yang dianugerahkan Allah kepada manusia sehingga manusia itu dapat bertindak sendiri dan mengendalikan diri di bawah naungan Allah. Dia berkuasa atas dirinya dalam batas yang ditentukan oleh Allah. Sebab itu manusia itu pun wajiblah berusaha sendiri pula menentukan garis hidupnya".

Sementara Tafsir Fi Zilal lil Quran pula merumuskan bahawa ayat tersebut ini sebagai "itulah suatu hakikat yang meletakkan tanggungjawab yang berat ke atas manusia".

Berasaskan kepada rujukan yang dikemukakan ini, transformasi dalam konteks perbincangan ini lebih merujuk kepada perubahan seperti yang digariskan dalam al-Quran ayat ke 11, surah Ar Ra'd dan mendekati maksud islah seperti yang didefinisi dalam Kamus Dewan, di mana perubahan yang dimaksudkan tidak sampai menyentuh persoalan dasar seperti persoalan akidah yang menjadi pegangan umat selama ini dan tidak dapat menerima sepenuh maksud transformation seperti yang didefinisikan dalam Oxford Advanced Learner's Dictionary yang membawa maksud a complete change. (bersambung)

Penulis ialah Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang menyampaikan ucapan bertajuk Transformasi Ekonomi Ummah: Pengalaman dan Peranan Semasa Negara (Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura) Mabins (Perspektif Malaysia) sempena Muzakarah Ulama Mabins di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wednesday, August 19, 2009

Bersama YaPEIM: Faham, hayati kandungan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup

Bersama YaPEIM: Faham, hayati kandungan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup

Oleh Penulis Khas YaPEIM

AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada Ramadan, kitab Allah yang akan kekal sehingga Hari Kiamat. Kitab suci itu satu-satunya wahyu yang terpelihara daripada penyelewengan seperti dijanjikan Allah menerusi firman-Nya, bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kami (Allah) tetap memeliharanya." (surah al-Hijr, ayat 9).

Umat Islam perlu memastikan al-Quran tetap terpelihara kesucian dan martabatnya. Ia dapat direalisasikan apabila umat membaca, menghafal, memahami dan mengambil pengajaran ayat itu.

Dalam konteks pembacaan al-Quran, Rasulullah dalam sabdanya daripada Ibn Mas`ud, yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca al-Quran satu huruf daripada kitab Allah baginya satu kebaikan dan kebaikan itu ganjarannya sama dengan sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, dan Lam satu huruf, dan Mim satu huruf." ( Sunan al-Tirmidhi).

Al-Quran perlu dibaca dengan betul mengikut hukum tajwid, secara tartil dan tertib. Firman Allah bermaksud: "Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil." ( Al-Muzammil: 4).

Rasulullah ialah pembaca al-Quran paling bagus diakui al-Barra' `Azib. Beliau mendengar Nabi membaca surah al-Tin ketika solat Isyak dan tidak pernah mendengar suara merdu dan elok seperti Baginda (Riwayat al-Bukhari). Kemahiran membaca al-Quran harus digabungkan dengan kemahiran memahami apa yang dibaca.

Al-Marhum Sheikh Muhammad al-Ghazzali mengkritik sikap sesetengah masyarakat yang terlalu menumpukan soal pembacaan tanpa meneliti dan memahami apa yang dibaca. Beliau juga mempersoalkan mereka yang membaca al-Quran semata-mata untuk meraih keberkatan daripadanya.

Tindakan umat Islam yang menjadikan al-Quran sebagai khat menghiasi rumah, membiarkan al-Quran berada di rak yang hanya dibuka dan dibaca dalam keadaan tertentu seperti kematian, khatam al-Quran ketika kenduri, menjadikannya simbol menghalau unsur jahat boleh dikategorikan sebagai memohon keberkatan. Firman Allah bermaksud: "Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan padamu dengan berkat supaya memikirkan ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran." (Surah Sad, 29)

Beliau turut kecewa sikap sesetengah umat Islam yang tidak tersentuh perasaannya ketika membaca ayat al-Quran. Orang yang membaca buku menjiwai kandungan dibaca seolah-olah terbabit secara langsung dengan faktanya. Jika ini boleh berlaku ketika membaca buku, apatah lagi ia harus, malah lebih afdal, berlaku ketika membaca al-Quran.

Ada juga sesetengah kita membaca al-Quran untuk memastikan orang lain mendapat bencana atau kecelakaan. Contohnya, apabila seseorang hilang barang berharga, dia lantas membaca ayat al-Quran, selalunya surah Yasin supaya orang yang mengambil barangnya sakit.

Keadaan ini memaksa kita bertanya apakah al-Quran diturunkan untuk menjadikan orang lain sakit akibat perbuatannya sedangkan Allah berfirman maksudnya: "Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa." (surah al-Baqarah, ayat 2). Apabila seseorang mahir dan memahami bacaan al-Quran, dia harus memastikan dirinya memanfaatkan ayat itu.

Jika ayat yang dibaca mengenai nikmat Ilahi yang wajib disyukuri, pembaca harus bertanya kepada dirinya adakah dia benar-benar termasuk orang mensyukuri nikmat itu. Begitu juga jika ayat mengenai seksaan api neraka, pembaca harus muhasabah.

Renungkan kisah Khalifah Umar Abd Aziz ketika membaca ayat 22-24 surah al-Saffat yang maksudnya: "(Kepada malaikat diperintahkan): kumpulkan orang zalim berserta teman sejawat mereka dan sembahan yang selalu mereka sembah, selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka. Tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya; kenapa kamu tidak tolong- menolong?" beliau terpegun dengan ayat itu hingga ke subuh.

Walaupun ayat itu menggambarkan seksaan orang zalim ketika kiamat kerana musyrik yang mereka lakukan, Umar Abd Aziz merasakan ayat itu ada kena mengena dengan dirinya.

Wednesday, August 12, 2009

YaPEIM budayakan infaq bantu perkasa sosioekonomi ummah

YaPEIM budayakan infaq bantu perkasa sosioekonomi ummah

Oleh Penulis Khas YaPEIM

SUATU ketika Abdul Rahman Auf menghadap Rasulullah SAW sambil membawa 4,000 dirham untuk disedekahkan. Abdul Rahman berkata: "Aku mempunyai 8,000 dirham, aku simpan 4,000 dirham daripadanya untuk diriku dan keluargaku, 4,000 dirham lagi aku pinjamkan untuk Tuhanku. Lantas Rasulullah SAW bersabda: "Semoga Allah memberkati kamu pada apa yang kamu simpan dan apa yang kamu berikan."

Saidina Uthman pula berkata: "Menjadi tanggungjawab saya menyediakan kelengkapan untuk orang yang tidak memiliki kelengkapan dalam peperangan Tabuk".

Lalu beliau menyediakan 1,000 unta dilengkapi tali hidung dan pelana. Beliau juga mewakafkan periginya, bir ruumah, kepada kaum Muslimin.

Abu Said al Khudri berkata: "Saya melihat Rasulullah SAW menadah tangan ke langit seraya berdoa untuk Uthman, Ya Tuhan, sesungguhnya aku meredai Uthman Affan, maka Engkau redailah dia". Baginda terus menadah tangan sehingga terbit fajar.

Sempena dua peristiwa di atas, Allah SWT berfirman bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan harta pada jalan Allah..." (Surah al-Baqarah, ayat 261).

Ayat sebelumnya banyak berkaitan hari kebangkitan. Allah memberikan penegasan berhubung manusia akan dibangkitkan di suatu tempat untuk disempurnakan ganjaran mereka sesudah dihisab.

Ayat di atas pula diturunkan dengan memfokuskan kelebihan dan ganjaran infaq (mengeluarkan harta untuk kebajikan) di jalan Allah. Ia boleh dianggap usaha atau amal kebaktian yang bakal menjadi sebahagian pertimbangan pada hari kebangkitan kelak.

Ada banyak kupasan kebaktian yang boleh dikategorikan 'pada jalan Allah' seperti disebutkan dalam ayat itu antaranya ialah menyebarkan ilmu, usaha membasmi kejahilan, kemiskinan dan penyakit.

Tahap tertinggi ialah jihad memartabatkan kalimah Allah (Islam). Sesiapa berjihad selepas mengenal pasti dalil seperti ditunjukkan Nabi SAW, ia mendapat ganjaran besar.

Al-Quran berkali-kali menggalakkan supaya umat melakukan infaq kerana ia wasilah bagi menghimpun kekayaan dan menjamin kesenangan untuk semua. Ia satu-satunya cara untuk memelihara kekuatan dan kemuliaan umat, di samping mengalahkan musuh yang menindas mereka.

Jika umat kedekut dengan hartanya, pasti mereka dicengkam kehinaan dan kemelesetan. Ibn Umar berkata: "Tatkala ayat di atas diturunkan, Rasullah SAW bersabda, ya Allah, tambahkanlah untuk umatku."

Susulan itu diturunkan firman Allah bermaksud: "Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya?" (Surah al-Baqarah, ayat 245).

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit dan kelakuan yang menyakiti." (Surah al-Baqarah, ayat 264).

Allah berfirman bermaksud: "Mereka mendapat pahala di sisi Tuhan dan tidak ada kebimbangan (berlaku kejadian tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita." (Surah al-Baqarah, ayat 262).

Infaq sebenarnya mempunyai kedudukan dan peranan yang penting dalam sistem ekonomi. Istilah infaq termasuk zakat, sedekah dan segala perbelanjaan untuk jalan kebajikan (sedekah jariah dan wakaf).

Infaq juga boleh meraih keredaan Allah (merealisasikan perhambaan diri) serta membersih dan menyucikan harta (mengikis sifat cintakan harta, bakhil dan tamak) serta menetapkan matlamat sebenar penguasaan harta.

YaPEIM menerusi misi besarnya 'Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah' mempunyai peranan penting dalam membudayakan amalan sedekah jariah seperti ini.

Di negara kita, amalan ini dipraktikkan secara meluas sama ada menerusi saluran diinstitusikan, mahupun saluran tidak rasmi. Ada banyak institusi ibadah, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah ini.

Dua perkara penting yang harus diberi perhatian ialah:

# Semangat beramal jariah ini jika digerakkan bersungguh-sungguh dan melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional (seperti di YaPEIM) dan didukung semua lapisan masyarakat berdasarkan tahap keupayaan masing-masing dapat mewujudkan dana yang besar serta boleh berperanan dengan lebih berkesan bagi membantu pembangunan sosioekonomi umat dan negara.

# Pelaksanaan Program Amal Jariah berdasarkan tafsiran yang luas, akan memungkinkan kita dapat menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat di samping mempamerkan keindahan Islam yang sebenar.

Wednesday, July 15, 2009

Bersama YaPEIM: Menjadikan keusahawanan sebagai wasilah makmurkan ummah, negara

Bersama YaPEIM: Menjadikan keusahawanan sebagai wasilah makmurkan ummah, negara

SELARAS perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam sistem ekonomi pada peringkat global, Malaysia sebagai negara membangun turut berhadapan cabaran serta tekanan besar mendepani persaingan abad ke-21 ini.

Persaingan daripada negara lain menuntut kita melakukan satu anjakan besar untuk melangkah ke peringkat pembangunan seterusnya dan mencapai matlamat Wawasan 2020. Demi mencapai matlamat itu, negara memerlukan satu peningkatan tahap produktiviti dan daya saing.

Oleh itu, Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) mengenal pasti pembangunan modal insan sebagai satu daripada teras utama dalam membawa transformasi negara kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

Modal insan adalah aset yang boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya. Pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara.

Bersesuaian dengan kehendak industri serta pasaran semasa dan masa hadapan, pembangunan modal insan perlu dirancang dengan rapi supaya dapat meningkatkan bina daya generasi muda ke arah melahirkan guna tenaga terlatih dan berdaya saing.

Pendekatan kepada pembangunan modal insan harus dibuat secara menyeluruh, menekankan kepada peningkatan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran dan modal intelektual termasuk ilmu sains, teknologi dan keusahawanan.

Seiring penekanan ilmu, tumpuan juga perlu diberi kepada pembudayaan sikap progresif dan memupuk masyarakat memiliki kekuatan nilai dan moral. Kegagalan membentuk modal insan yang berkeupayaan, profesional, inovatif dan memiliki nilai moral tinggi boleh menyebabkan pendidikan terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi.

Dengan ruang lingkup penting, membangunkan modal insan perlu diselaraskan dengan pembangunan insan. Pembangunan insan pula tentunya berada dalam situasi yang selaras dengan keimanan. Hasilnya, membangun modal insan sama seperti dikehendaki dalam ajaran Islam.

Antara langkah sewajarnya diambil ialah memastikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diajar, digabungkan dengan aspek tanggungjawab dan amanah, mengajak setiap insan bergabung dan bekerjasama bukan saja demi pembangunan material, tetapi juga kemanusiaan.

Memastikan ilmu adalah untuk masyarakat dan alam sekitar, menjelaskan aplikasi ilmu adalah untuk menjadi pemimpin atau pentadbir yang adil (khalifah) dan sentiasa berwaspada pada aspek kesan yang berkebajikan (amar makruf nahi mungkar).

Sehubungan langkah yang disarankan itu, ia akan dapat dizahirkan melalui pengajian agama. Pada asasnya, konsep pengajian agama merujuk amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan bersifat komprehensif serta seimbang.

Ini merujuk kepada keperluan menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi, dan kejayaan peribadi serta kesejahteraan masyarakat. Aspek penguasaan ilmu sebagai satu asas utama dalam pengajian agama.

Kemampuan menguasai ilmu pengetahuan secara bersepadu menjadikan umat Islam memiliki kekuatan pengetahuan yang pelbagai dan bersifat semasa supaya kecemerlangan intelektual mampu dikembangkan.

Proses itu perlu bagi mengembangkan potensi melahirkan insan seimbang dan harmonis seperti tercatat dalam matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini bertepatan firman Allah yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu, dan orang diberikan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan Ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan." � (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Islam mendorong umatnya mencari bukan sekadar ilmu, melainkan ilmu yang bermanfaat kerana pencarian intelektual tidak dapat dipisahkan daripada etika dan ia harus ditempatkan dalam arus kehidupan spiritual.

Ketibaan alaf baru hari ini akan terus menawarkan cabaran teknologi dan maklumat bercirikan globalisasi. Kesinambungan ciri tamadun abad lalu pada alaf ini hakikatnya tidak menjanjikan sebarang perubahan, bahkan akan terus mendominasi struktur dan asas ketamadunan manusia.

Cita-cita berteraskan materialisme, sekularisme dan penguasaan empayar tidak menggambarkan suatu hala tuju jelas melainkan pada sesuatu yang bersifat duniawi semata-mata. Ini disebabkan arus globalisasi yang menyelubungi arus perdana masa kini didominasi dunia Barat. Justeru, perkiraan agama dan apa yang berkaitan dengannya terus terpinggir dalam arus ini.

Proses globalisasi dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan sesiapa yang tidak turut serta akan ketinggalan. Proses globalisasi berlaku dalam tiga bentuk utama iaitu teknologi, ekonomi dan ideologi. Ketiga-tiga bentuk ini saling berkaitan antara satu sama lain dan mempunyai hubungan secara langsung dengan dunia pendidikan.

Seterusnya, cabaran yang terkini datang daripada keadaan ekonomi antarabangsa. Ekonomi global mengalami kemelesetan akibat krisis kewangan global semakin meruncing. Ia turut menyumbang kepada keadaan tidak menentu dalam sistem kewangan dan ekonomi global.

Sehubungan cabaran globalisasi dan kemelesetan ekonomi dunia secara luaran, ada juga cabaran secara dalaman iaitu pembudayaan keusahawanan. Agenda membangunkan usahawan adalah agenda penting kerana usahawan penggerak dan penjana utama ekonomi dalam negara yang mengamalkan sistem pasaran ekonomi terbuka.

Negara atau masyarakat memiliki budaya keusahawanan tinggi akan menjadi lebih makmur daripada negara yang kurang budaya keusahawanan. Cabaran keusahawanan yang dominan adalah pada sistem nilai masyarakat, di mana masyarakat perlu meletakkan keusahawanan sebagai kerjaya serta aktiviti mulia, tinggi dan penting.

Keusahawanan perlu diberikan penghargaan tinggi dalam masyarakat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang paling baik antara kamu ialah orang paling banyak memberi manfaat."

Oleh itu, menjadikan agenda keusahawanan sebagai wasilah atau jalan untuk kita menyebarkan manfaat atau memakmurkan ummah dan negara.

Jelaslah kepada kita cabaran itu memberikan kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada pembudayaan keusahawanan. Kementerian Pelajaran sudah merangka beberapa pelan strategik dalam usaha memantapkan dan merealisasikan pembudayaan keusahawanan menerusi Sistem Pendidikan Kebangsaan.

(Kertas kerja Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd Dom, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3))

Wednesday, July 8, 2009

Bersama YaPEIM: Nilai ekonomi daripada perspektif agama dan budaya

Bersama YaPEIM: Nilai ekonomi daripada perspektif agama dan budaya

ETOS keusahawanan berkait dengan nilai ekonomi oleh itu, umat harus disedarkan mengenai hakikat setinggi mana Islam membuat gambaran dan menempatkan harta kekayaan, seterusnya sejauh mana Islam menghargai kegiatan perekonomian.

Yang jelas, harta (mal) termasuk dalam senarai lima keperluan asasi yang menjadi matlamat syariat atau maqasid al-shariah. Selain kata mal (harta), al-Quran juga menggunakan kata lain untuk harta iaitu khayr yang bermakna kebaikan.

Oleh itu, harta dianggap suatu yang perlu, mulia dan dilindungi sehingga pencerobohan terhadap harta orang lain adalah jenayah berat yang membawa hukuman potong tangan. Bekerja mencari harta halal adalah amal mulia di jalan Allah.

Ketika ditanya apa yang terbaik untuk dimakan, Rasulullah SAW menjawab, yang terbaik adalah hasil titik peluh sendiri dan perniagaan halal.

Sekembalinya dari perang Tabuk, Rasulullah SAW melihat tangan Sa’d ibn Musa al-Ansariy melepuh, sementara kulit tubuhnya tampak kehitam-hitaman akibat terpanggang oleh panas matahari, lalu Baginda SAW bertanya kenapa tangannya menjadi seperti itu.

Sa’d menjawab: “Kerana saya mengerjakan tanah dengan cangkul ini untuk mencari nafkah keluarga tanggungan saya. Mendengar jawapan itu Baginda SAW segera menyambar tangan yang melepuh itu lalu menciumnya sambil berkata: Inilah tangan yang tidak akan disentuh api neraka.”

Peristiwa dan dialog itu berlaku begitu singkat, tetapi cukup untuk mengungkapkan hakikat ketinggian nilai ekonomi yang jika diletakkan dalam perspektif Islam adalah suatu bersifat murni. Kegiatan ekonomi adalah amal pengabdian dan wahana mendapatkan rahmat kasih sayang Tuhan.

Nilai ekonomi juga termasuk dalam komponen nilai utama kebudayaan Melayu. Harta kekayaan selalu dilambangkan dengan kata emas. Memang sudah sejak lama Melayu menyedari emas mempunyai nilai kewangan lebih kukuh.

Pemberian mas kahwin oleh suami kepada isteri dalam akad nikah walaupun dalam bentuk wang tunai tidak hanya sebagai keperluan sara hidup, lebih daripada itu ia adalah lambang maruah atau kehormatan diri.

Etos keusahawanan juga harus berteraskan nilai ilmu, tidak hanya kerana tuntutan k-ekonomi yang banyak dikaitkan dengan realiti perekonomian masa kini, tetapi memang Islam selamanya menjunjung tinggi nilai ilmu.

Sejarah Islam sendiri bermula dengan revolusi keilmuan dengan bukti nyata perkataan iqra’ (bacalah) sebagai kalimat pertama ditanzilkan. Betapa kritikalnya nilai ilmu dapat difahami daripada kenyataan bahawa dalam lima ayat pertama surah al-‘Alaq, iqra’ diulang dua kali.

Kata ilmu diulang tiga kali dan disebut perkataan al-kalam iaitu alat tulis terpenting sepanjang sejarah. Ilmu dalam pengertian Islam bukan sekadar maklumat, tetapi kebenaran. Selain itu, kata ilmu selalu terangkai dengan kata manfaat.

Sebutan ilmu bermanfaat terasa lebih kuat dan lebih tepat berbanding istilah ilmu yang produktif yang popular ketika ini. Ilmu bermanfaat tidak cuma harus produktif, tetapi relevan dan membawa kebaikan.

Revolusi keilmuan sudah tersebar luas menjadi bahagian daripada proses Islamisasi di mana-mana, termasuk alam Melayu. Gerakan pendakwahan di rantau ini, dari satu segi adalah gerakan revolusi celik huruf.

Dengan demikian kemahiran tulis baca dan seterusnya tradisi ilmu tidak lagi menjadi monopoli pujangga istana, tetapi sudah tersebar luas, merakyat dan membudaya. Demikianlah buat kali pertamanya proses pendemokrasian ilmu berlaku di bumi Melayu.

Gerakan itu berhasil mentransformasikan masyarakat setempat daripada masyarakat berbudaya mitos, tahyul dan dongeng kepada masyarakat bertradisi ilmu berasaskan kebenaran wahyu dan pemikiran ilmiah akliah.

Sejak itu kesedaran mengenai nilai ilmu tumbuh dan berkembang menjadi nilai kolektif seperti diabadikan dalam pantun tradisional, timang tinggi-tinggi, sampai cucur atap, belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab.

Baca kitab adalah kata-kata jelas mengungkapkan makna keilmuan. Pantun yang cukup merakyat itu juga membawa mesej bahawa usaha menguasai ilmu harus bermula seawal mungkin (belum tumbuh gigi). Selain itu, penguasaan ilmu dalam perspektif etos Melayu mencapai tahap setinggi mungkin.

Demikianlah mesej yang terkandung dalam pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa belang belang kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi.

Ungkapan berguru kepalang ajar adalah pernyataan menolak penguasaan ilmu yang alang-kepalang atau tidak mencapai tahap memadai. Dengan kata lain, sebenarnya sudah sejak lama Melayu menolak kualiti tidak berapa baik dalam bidang penguasaan ilmu.

Sebagai suatu idealisme bangsa, nilai ilmu turut mencorakkan perwatakan wira tradisional Melayu, Hang Tuah yang disebut menguasai 12 bahasa dunia. Demikianlah, Hang Tuah sebagai wira zaman tradisi adalah perwujudan citra manusia ideal yang mencerminkan nilai bangsa Melayu, termasuk nilai ilmu.

Andainya citra kecendekiawanan Hang Tuah hendak diungkapkan dalam bahasa masa kini, mungkin kita dapat mengatakannya sebagai ilmuwan global yang menguasai ilmu pelbagai budaya dan dengan demikian berkompetensi menjadi pemain global.

Manusia ideal dalam budaya Melayu juga diungkapkan dengan kata orang budiman. Yang menjadi kata kuncinya adalah budi, kata yang selalu terangkai dengan kata-kata lain seperti akal budi, budi bahasa dan budi pekerti.

Dengan demikian, orang budiman adalah ungkapan yang mengekspresikan keutuhan dan keseimbangan watak manusia unggul yang dicirikan oleh sejumlah kualiti: manusia berilmu, bijaksana, taat beragama, berakhlak mulia dan suka berbakti.

Sambungan kertas kerja Felo Utama Akademi Pengurusan YaPEIM, Datuk Dr Siddiq Fadzil, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)

Wednesday, July 1, 2009

Bersama YaPEIM: Ummah gagal terjemah nilai ajaran dalam kehidupan harian

Bersama YaPEIM: Ummah gagal terjemah nilai ajaran dalam kehidupan harian

UMAT Melayu/Islam seharusnya mampu 'menangkap' saat strategik dalam sejarah rantau ini dengan menjadi peserta kebangkitan Asia. Untuk itu agenda penciptaan semula budaya seperti disarankan Yoshihara Kunio adalah relevan.

Perlu ditegaskan bahawa budaya pada hakikatnya adalah nilai dihayati dan dijelmakan dalam rupa amal nyata. Dalam konteks umat Melayu, nilai dasar budayanya tidak lain, dan tidak boleh lain daripada nilai bersumberkan agama Islam.

Wacana bernada meremehkan kekuatan nilai Islam seperti sering terungkap dalam tulisan orientalis seharusnya dianggap sebagai kekarutan masa lalu. Bryan S Turner dalam sanggahannya terhadap tulisan Weber (yang meremehkan nilai Islam) menyatakan bahawa Islam banyak berkembang di kota, bersifat komersial dan penganutnya pandai tulis baca.

Makkah terletak secara strategik pada jalur perdagangan antara Laut Tengah dengan Samudera India. Kaum Quraisy, suku Rasul sendiri mencapai kedudukan politik yang penting sekali, berkat kekuatan perdagangan mereka di daerah ini.

Rasul sendiri pernah bekerja dengan kafilah yang mengangkut barang dari Bizantium ke pasar di Makkah. Al-Quran sendiri penuh dengan istilah dagang.

Pembinaan ciri keusahawanan dalam konteks umat Melayu pada hakikatnya bukanlah suatu yang sama sekali baru. Kita tidak memulakannya daripada kosong kerana budaya keusahawanan sudah pun wujud sejak awal sejarah Islam di rantau ini.

Clifford Geertz yang melakukan penelitian lapangan di Mojokuto pada 1950-an mendapati kebanyakan pedagang berjaya adalah daripada pendatang Muslim yang taat, datang dari pesisir utara Pulau Jawa, di mana terletaknya pusat perdagangan dan pendidikan Islam.

Mereka yang hemat, tidak mudah putus asa dan taat mewarnai kota dengan suasana pasar yang meriah. Dan terlepas daripada kelebihan prestij kultural para priyayi, pedagang ini adalah unsur masyarakat yang paling dinamis waktu itu.

Sebagai umat beragama Islam, daya maju umat Melayu sangat ditentukan oleh keupayaannya menterjemahkan nilai ajaran agamanya menjadi kerja dan budaya keusahawanan. Dengan kata lain, Islam harus difahami dan dihayati kembali sebagai cara hidup.

Dalam kaitan inilah pentingnya memastikan Islam sebagai kekuatan yang mampu memberi bimbingan menuju matlamat kejayaan duniawi-ukhrawi, memberikan landasan moral, motivasi kerohanian, membina optimisme, membangun harapan, menyuntik semangat dan daya juang dalam kehidupan keusahawanan.

Islam adalah agama mendorong kejayaan dan kemenangan. Panggilan 'marilah menuju kejayaan' diulang-ulang saban hari berkali-kali. Setiap orang yang peka tentunya dapat merasakan betapa kuatnya orientasi kejayaan dalam Islam.

Ciri keusahawanan harus bertitik tolak daripada pandangan sarwa Islami bagaimana Islam sebagai cara hidup. Manusia sebagai khalifah Allah di bumi harus menginsafi ketinggian martabat dirinya dan misi kehadirannya di bumi.

Sebagai khalifah di bumi, manusia harus menginsafi misi kehadirannya adalah untuk bertugas dan bekerja membangun alam. Tanggungjawab itu tidak boleh diabaikan hingga ke akhir hayat manusia, hingga ke akhir usia bumi ini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila tiba kiamat, sedang di tangan kamu ketika itu masih ada benih yang hendak ditanam, jika masih sempat menanamnya, tanamlah."� (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Justeru, untuk membangun dan mengimarahkan alam diperlukan daya kreatif yang berterusan. Andainya hakikat itu benar-benar disedari, lalu diikuti dengan usaha memupuk dan mengembangkan daya kreativiti yang relevan dengan bidang keusahawanan. Memang usahawan selamanya dituntut untuk menjadi kreatif.

Di samping akrab dengan Allah, manusia juga harus akrab dengan alam. Melayu adalah bangsa yang cukup akrab dengan alam. Daripada hubungan dengan alam, Melayu mendapat ilham yang terungkap dalam peribahasa.

Daripada alam jugalah Melayu mendapat petunjuk berharga sehingga tahu menghargai potensi segala sesuatu untuk dikembangkan menjadi kekayaan pada masa depan. Siapa tahu yang kini hanya setitik boleh dikembangkan menjadi luas melaut, dan yang sekarang hanya sekepal boleh dibangunkan menjadi besar menggunung.

Sesungguhnya pandangan sarwa lslami dan sistem nilai memang sangat mendukung pembinaan ciri keusahawanan yang kuat. Dalam kaitan itu, seorang tokoh pemikir bidang falsafah dan kebudayaan di rantau ini, Sutan Takdir Alisjahbana menyatakan optimisnya terhadap nilai budaya Islam sebagai wahana kebangkitan umat.

Tokoh yang selama berdekad-dekad mempromosikan nilai Barat, akhirnya kecewa dengan hasil eksperimen pembaratan budaya yang hanya melahirkan bangsa yang kepalang tanggung. Di hujung usia, beliau sempat menyedari dan mengakui kekuatan nilai Islam, keagamaan, ilmu dan ekonominya.

Pemerhatian Sutan Takdir itu memang benar, hanya yang menjadi masalah adalah kegagalan umat menterjemahkan nilai terkandung dalam ajaran Islam itu menjadi ciri kehidupan harian mereka.

(Sambungan kertas kerja Felo Utama Akademi Pengurusan YaPEIM, Datuk Dr Siddiq Fadzil, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3))

Wednesday, May 27, 2009

Bersama YaPEIM: Saham amanah Qadrul Hassan mampu lonjak kewangan Islam

Bersama YaPEIM: Saham amanah Qadrul Hassan mampu lonjak kewangan Islam


SKIM pelaburan 'Sinking Fund' sebagai penggenap untuk pinjaman mikro dan Industri Kecil Sederhana. Setiap pinjaman diberi kepada peminjam akan digenapkan dengan sejumlah pelaburan yang bersamaan.

Jika seorang peniaga kecil ingin meminjam RM100,000, sebanyak RM200,000 pinjaman akan diluluskan. RM100,000 diserahkan kepada peminjam sementara RM100,000 lagi akan dilabur di dalam skim 'pelaburan sinking fund' yang berisiko rendah dan dengan kadar pulangan tinggi.

Dalam tempoh lapan hingga sepuluh tahun, pelaburan akan berganda dan dapat menampung pinjaman awal. Apabila peminjam memulangkan pinjaman asalnya sebanyak RM100,000, ia menjadi 'bonus' kepada kumpulan dana itu. Jadi tiada kemungkinan 'hutang lapuk' dan risiko pinjaman.

Skim Pelaburan Saham Amanah boleh diwujudkan berasaskan konsep Qadrul Hassan. Amanah Saham Qardul Hassan boleh diwujudkan untuk pembiayaan projek pembangunan Islam. Contohnya, minat terhadap pendidikan berasaskan semangat Islam semakin tinggi kebelakangan ini.

Minat yang besar itu perlu cuba disambut oleh masyarakat dengan penubuhan sekolah dan Kolej Islam secara meluas serta profesional. Rancangan itu bagaimanapun memerlukan satu skim pembiayaan yang besar.

Kesedaran tinggi di kalangan ibu bapa mewujudkan komitmen untuk melabur dalam sistem pendidikan Islam. Menggunakan contoh University College London, institusi asal University of London ditubuhkan kaum Yahudi dengan menjual saham wakaf kepada orang ramai bagi membolehkan anak orang Yahudi belajar pada peringkat universiti kerana sebelum itu semua institusi penggajian tinggi menutup pintu kepada anak Yahudi.

Amanah saham Qardul Hassan boleh distrukturkan sama seperti amanah saham biasa yang diuruskan sebuah syarikat pengurusan saham amanah. Amanah saham ini akan dilancarkan dengan menjual saham kepada pelabur yang berminat.

Perbezaan pokoknya ialah matlamat pelaburan. Jumlah modal yang dikutip dari pelabur akan digunakan untuk melabur dalam projek tertentu. Konsep amanah saham Qadrul Hassan itu sama seperti konsep 'bon berkadar sifar'.

Amanah saham Qadrul Hassan ini, kadar pulangan tidak ditetapkan dan pelabur ditonjolkan peranan mereka sebagai penyumbang. Tidak ada dividen tetap yang akan dikeluarkan. Dividen boleh dikeluarkan dalam bentuk saham bonus.

Saham amanah Qadrul Hassan akan disenaraikan di pasaran saham sebagai saham harta tanah. Harga saham akan menggambarkan nilai harta dilaburnya. Saham akan dijual beli antara pelabur terdiri dari umat Islam yang ingin membuat kebajikan dengan wang lebihan yang ada pada mereka.

Setiap pemegang saham berhak mendapat kembali wang pelaburannya apabila mereka memerlukannya dengan menjual saham di pasaran kepada pelabur baru. Pemegang saham juga boleh terus memegang saham dan mewariskannya atau mengkhairatkan kepada masjid dan badan amal Islam.

Jika konsep ini boleh diamalkan secara terus-menerus bagi semua projek pembangunan ummah, sudah pasti ia akan mewujudkan satu sistem kewangan baru berasaskan pada saham Qadrul Hassan sebagai instrumen penting sistem. Ini akan mewujudkan banyak institusi kewangan Islam seperti bentuk Bayt-al Mal di zaman kegemilangan Islam dulu.

Skim itu boleh dilancarkan sebagai satu penggerak kepada penubuhan projek pembangunan ummah. Matlamat projek menyahut panggilan fardhu kifayah. Qadrul Hassan akan menonjolkan konsep pinjaman sementara.

Setiap pelabur hanya perlu melabur sehingga ada pelabur lain yang sanggup mengambil alih atau sehingga projek itu mempunyai cukup keupayaan untuk membeli balik saham daripada setiap pelabur.

Jika setiap syarikat milik Muslim di Bursa Malaysia sanggup melabur sebanyak RM5 juta dalam instrumen ini, kita akan dengan mudah mengutip kira-kira RM1 bilion sebagai modal awal projek itu.

Ia boleh digunakan dalam apa juga projek pembangunan daripada pembangunan fizikal seperti bangunan, rumah kos rendah, kolej sehinggalah kepada program pembangunan insan.

Islam mempunyai sistem yang unggul dan terbukti terbaik. Sistem Islam secara beransur-ansur diciplak oleh sistem Barat dan dilabelkan semula sebelum diperkenalkan kembali. Umat Islam kini mempunyai kepakaran kewangan tinggi ditambah dengan penghayatan Islam kukuh.

Institusi itu boleh ditubuhkan dalam bentuk Permodalan Wakaf milik ummah yang diurus di bawah yayasan milik ummah. Bentuknya sama seperti syarikat pengurusan dana yang juga diawasi di bawah Suruhanjaya Sekuriti.

Ia diawasi terus oleh Kementerian Kewangan tetapi diletak di bawah pengurusan yayasan. Tabung khusus itu boleh disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai tabung pelaburan khusus apabila sesuai.

Institusi itu akan dimiliki umat Islam dengan kerajaan sebagai pemegang amanah.

Institusi itu perlu ditadbir pasukan profesional kewangan Muslim yang bertindak sebagai 'mujadid'. Lembaga pengarahnya terdiri daripada gabungan profesional, ulama syariah dan dakwah. Model itu boleh diwujudkan di setiap negeri.

Permodalan Wakaf ini akan mewujudkan 'Amanah Saham Wakaf' bagi menarik tabungan dengan matlamat memindahkan dana yang besar dari bank konvensional, dana masjid, Bayt-al Mal dan dana Muslim lainnya ke dalam pengurusan amanah Permodalan Wakaf.

Aktivitinya ialah untuk menggembleng kapasiti kewangan umat Islam yang 'menggangur' sementara atau jangka panjang serta untuk mengurus dan memanfaatkan dana ummah bagi kesejahteraan ummah.

(Sambungan kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof Dr Barjoyai Bardai, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3)

Wednesday, May 20, 2009

Bersama YaPEIM: Syor wujud akaun khas Qardul Hassan bantu sesama ummah

Bersama YaPEIM: Syor wujud akaun khas Qardul Hassan bantu sesama ummah


BUDAYA meminjam sudah diserapkan dalam budaya hidup kita oleh kaum Yahudi yang sememangnya bergantung pada usaha menyewakan wang sebagai cara hidup. Ia sudah membelenggu kehidupan umat islam dan umat lain di dunia sejak berkurun.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), kadar purata hutang individu dianggarkan memerlukan dua generasi untuk dilangsaikan.

Dalam Islam, budaya memberi pinjam adalah cara hidup sebenar. Moto hidup kita ialah 'tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima'. Namun prinsip itu sudah terhakis dan hampir dilupakan disebabkan kuatnya pengaruh cara hidup anjuran kaum Yahudi di atas.

Umat Islam perlu membuat perubahan paradigma drastik khususnya dalam budaya kewangan. Umat Islam perlu memupuk budaya memberi pinjam berbanding meminjam sebagai cara hidup.

Tamadun Barat menonjolkan kepentingan meminjam sebagai satu budaya hidup. Pelbagai kaedah peminjaman untuk menggalakkan pengguna meminjam diwujudkan seperti kad kredit dan belian secara ansuran.

Dalam perniagaan pun, budaya berniaga dengan 'modal orang lain' dianggap sebagai satu undang-undang untuk memastikan kejayaan perniagaan. Alasannya ialah kos pinjaman sentiasa lebih rendah daripada harapan keuntungan.

Namun ia sudah berulang kali dibuktikan tidak tepat apabila kemelesetan ekonomi berlaku. Mereka yang meminjam adalah kumpulan yang awal akan tergelincir dan gagal dalam perniagaan.

Budaya memberi pinjam boleh diamalkan tanpa menunggu sehingga kita mempunyai lebihan wang. Ia boleh diasaskan kepada strategi 'memberi pinjam secara sementara simpanan wang kita, sementara menunggu sehingga ia diperlukan atau akan digunakan'.

Sebagai pemegang amanah kita perlu memastikan yang kita mentadbirkan semua harta di tangan termasuk wang ringgit dengan cara paling sempurna. Wang itu tidak boleh dibiarkan menganggur walaupun untuk sesaat.

Misi pokok dalam mengubah paradigma kewangan Islam bertamadun (Hadhari) ialah untuk mewujudkan mekanisma dan institusi kewangan Islam yang membolehkan kaedah 'memberi pinjam' kepada Allah dilaksanakan.

Kita perlu bergegas menyahut seruan untuk memberi pinjaman kepada Allah sama seperti menyahut seruan azan bagi mengejar kejayaan. Setiap kita akan berasa cukup selesa untuk meminjamkan semua wang simpanan kepada Allah asalkan kita dapat menggunakannya sebaik kita memerlukannya.

Strateginya ialah dengan mewujudkan satu jenis akaun melalui sistem bank yang membolehkan kita membuat ambilan melalui cek dan kad melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Kaedah itu boleh digabungkan dengan sistem bank dengan satu keistimewaan iaitu membolehkan pemberi pinjam mengambil deposit dalam bentuk pelaburan atau simpanan tertentu.

Institusi milik ummah seperti yayasan atau koperasi dengan kerjasama bank boleh menubuhkan sebuah akaun khas Qardul Hassan di setiap bank Islam di Malaysia. Ahli akan memasukkan wang ke dalam akaun bersama dengan institusi dengan niat menyahut seruan Allah iaitu memberikan pinjaman dengan niat baik. Sebahagian daripada baki akaun ini akan dikeluarkan oleh institusi untuk dimanfaatkan bagi menjalankan aktiviti ekonomi umat Islam.

Apakah tidak mungkin untuk kita memulakan skim 'memberi pinjam' kepada Allah melalui penubuhan sebuah tabung pinjaman yang dibiayai daripada lebihan hasil perniagaan yang 'belum diperlukan' sementara?

Skim sebegini boleh diwujudkan dengan kerjasama bank atau Amanah Raya Malaysia. Tabung ini kemudian ditawarkan kepada rakan sejawat peniaga yang mempunyai peluang perniagaan baik tetapi tiada cukup modal untuk melaksanakannya.

Untuk menampung risiko kerugian, satu 'Dana Sinking Fund' ditubuhkan daripada 50 peratus dana yang wujud untuk dilaburkan dalam skim pelaburan yang selamat dan menguntungkan seperti Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Permodalan wakaf dan pengurusan hartanah milik ummah boleh menjadi institusi yang berkesan. Permodalan wakaf boleh menjadi institusi khusus untuk mengatasi masalah hartanah terbiar di Malaysia. Kegawatan ekonomi bermula selepas pasaran hartanah memuncak dan berakhir bila pasaran hartanah sudah sampai pada tahap paling rendah.

Pemilik hartanah terpaksa menangguhkan hasrat mereka dan terus memegang hartanah yang akan terbiar untuk beberapa lama sebelum menjual tanah pada tahap pusingan ekonomi sedang memuncak. Memang sudah banyak hartanah yang 'menganggur' disebabkan tidak ada orang sanggup mengerjakannya. Ia belum lagi mengambil kira tanah wakaf yang diserahkan kepada masjid dan Bayt-al-Mal.

Banyak juga pemilik rumah yang membeli rumah sebagai harta simpanan atau sebagai harta spekulatif. Rumusannya ialah kita mempunyai stok tanah, rumah, ruang niaga dan ruang pejabat yang terbiar pada sepanjang masa.

Sebuah institusi awam boleh ditubuh untuk menerima pinjaman hartanah oleh pemilik yang belum memerlukan atau tidak mampu mengurus atau memanfaatkan hartanahnya sendiri. Tanah yang tidak diusahakan juga boleh dipinjamkan kepada institusi untuk diusahakan sebagai tapak projek pertanian.

Bon Qardul Hassan boleh menjadi instrumen berkesan untuk umat Islam melabur jika insentif dapat diberi. Bon ini boleh diguna untuk mewujudkan dana bagi membiayai projek pembangunan ummah seperti sekolah, institusi pendidikan, dana pendidikan atau dana rumah kos rendah.

(Sambungan kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof Dr Barjoyai Bardai, pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3))

Wednesday, May 13, 2009

Bersama YaPEIM: Wang tak dituntut boleh dimanfaat untuk pembangunan ummah

Bersama YaPEIM: Wang tak dituntut boleh dimanfaat untuk pembangunan ummah
Oleh Prof Dr Barjoyai Bardai

TERLALU banyak wang tidak dituntut di bank swasta, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan berbagai institusi di negara ini dengan nilainya melebihi RM1.5 billion. Wang ini kini diserahkan kepada Jabatan Akauntan Negara sebagai simpanan dan akhirnya akan menjadi milik Khazanah Malaysia. Dana ini perlu dimanfaatkan dengan berkesan untuk pembangunan ummah kerana ia amanah Allah SWT untuk diuruskan.

Dana ini boleh disalurkan kepada Permodalan Waqaf untuk dimanfaatkan bagi memberikan pinjaman kepada ummah di dalam usaha membangun diri dan ummah. Skim musyarakah mutanaqisah boleh menjadi langkah pertama. Jika kita kaji contoh kes di Halifax, Kanada, komuniti Muslim seramai 200 keluarga berjaya melaksanakan skim musyarakah mutanaqisah (skim pelaburan menurun) ini secara cukup berkesan.

Bila ada salah seorang ahli qariah yang ingin membeli rumah, sebuah tabung akan dikumpul secara Qardul Hassan. Setiap keluarga mungkin mencarum katalah, C$1,000 - C$3,000 (RM3,000-RM9,000). Bakal pemilik rumah kemudian akan menduduki rumah yang dibeli dan membayar sewa kepada dirinya sendiri dan kepada tabung kewangan tadi. Ia akan membayar sewa sebanyak 10 peratus setahun dari kos rumah. Pada setiap bulan bakal pelabur ini akan membeli semula saham pelaburan di dalam rumahnya dari tabung qardul Hassan di atas.

Di dalam tempoh 10-15 tahun, rumah itu menjadi milik keluarganya setelah semua pelaburan ditebus dari tabung qardul hassan. Pelabur di dalam tabung qardul Hassan pula mendapat balik pelaburannya secara beransur-ansur sambil menikmati pulangan di dalam bentuk sewa bulanan.

Apakah tidak mungkin prinsip kewangan di atas diamalkan di dalam perniagaan kita di mana bila ada seorang peniaga memperoleh peluang perniagaan, ia akan mengumpul modal melalui skim Musyarakah Mutanaqisah ini untuk memulakan perniagaannya?

Kita boleh mula dengan menubuhkan satu akaun tabungan yang boleh diurus melalui Permodalan Waqaf untuk mengambil kira kemungkinan peluang yang akan wujud. Bila ada peluang perniagaan yang menarik ditawarkan dana dari tabung ini boleh digunakan serta merta dengan persetujuan semua penabung.

Setiap penyumbang modal akan menjadi pelabur di dalam projek perniagaan rakannya dan rakannya itu akan membeli balik modal pelaburan pada harga premium yang dipersetujui secara beransur ansur. Sementara itu setiap pelabur akan memperoleh keuntungan di dalam bentuk dividen perniagaan rakannya tadi. Mungkin juga usaha ini boleh dikoordinasi oleh Dewan Perniagaan masing-masing yang berfungsi menjaga kepentingan para ahlinya.

Di dalam al-Qur'an, Allah SWT mencabar kita semua untuk memberi pinjaman kepada-Nya. Mengapakah Allah yang mencipta kita dan memiliki segalanya di dunia ini membuat cabaran untuk kita memberikan pinjaman kepada-Nya? Siapakah kita ini untuk memberi pinjaman kepada Pencipta kita? Pastinya kita perlu menyahut cabaran ini bukan kerana kita berasa belas tetapi kerana kita merasa amat merasa malu diejek melalui seruan memberi pinjam ini.

'Qardul Hassanan' Ini disebut sebanyak lapan kali di dalam tujuh surah di dalam al-Quran untuk membayangkan betapa pentingnya konsep ini. Tuntutan qardul hassanan ini disebut seiring dengan tuntutan Solah dan puasa serta usaha berjihad.

Surah Al-Baqarah ayat 245 bermaksud: "Siapakah dia yang sudi meminjami Allah dengan pinjaman yang baik (Qardul Hassanan); supaya dia digandakan untuknya dengan pergandaan yang banyak? Dan Allah menahan dan meluas-lebarkan (menghamparkan) dan kepadanyalah kamu sekalian akan kembali."

Ayat Ini adalah satu tawaran terbuka dengan balasan yang berganda. Allah SWT juga mengingatkan kita bahawa Dialah yang menyempitkan dan melapangkan rezeki kita.

Surah Al-Maidah, ayat 12 sebahagiannya bermaksud, "...kamu pinjami Allah dengan pinjaman yang baik (Qardul Hassanan), maka sesungguhnya akan aku ampuni kejahatan-kejahatan kamu, dan sesungguhnya akan Aku masukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai."

Allah SWT menjanjikan keampunan daripada segala perbuatan jahat yang lalu jika memberikan pinjaman kepada-Nya atas niat baik selain dari balasan syurga.

Semua harta adalah milik Allah SWT. Sebagai pemegang amanah kita perlu mengurus dan melaburkan harta Allah SWT untuk memberi sumbangan faedah yang terbaik kepada ummah.

Jika kita tidak berupaya atau berkesempatan untuk menguruskan harta yang ada di tangan kita, kita perlu serahkan kepada pengurus lain yang lebih berkemampuan untuk menyelesaikan tanggungjawab kita sebagai pemegang amanah

Konsep pelaburan di dalam Islam amat luas meliputi pelaburan - dari jangka pendek sehinggalah ke hari Akhirat. Di samping sumbangan jariah, Allah SWT juga menyeru umat Islam untuk memberikan pinjaman atas niat baik (qardul hasanan). Penggabungan matlamat jangka pendek dan panjang perlu menjadi asas di dalam pelaburan.

Jika kita dapat menggembleng matlamat jangka panjang - pelaburan untuk hari akhirat dengan pelaburan jangka pendek - untuk keuntungan di dunia, pastinya kita akan mendapat barakah dan ganjaran yang besar.

Penulis ialah pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) - sambungan kertas kerja Kongres Ekonomi Islam Ketiga.