Showing posts with label Taubat. Show all posts
Showing posts with label Taubat. Show all posts

Wednesday, August 19, 2009

Sering merendah diri antara enam tanda taubat diterima

Sering merendah diri antara enam tanda taubat diterima

SEORANG ahli hikmah berkata: Sifat orang yang mengenali Allah ada enam: jika ia ingat kepada Allah ia berbangga; jika ingat kepada dirinya, ia merendah diri; jika ia melihat ayat Allah (al-Quran) ia mengambil iktibar; jika ingin bermaksiat, ia menahan diri; jika ingat kemaafan Allah ia gembira dan jika ingat dosanya, ia terus memohon keampunan Allah.

Seorang ahli hikmah lain ketika ditanya: "Apakah tanda taubat diterima Allah? Jawabnya, ada empat tanda iaitu putus hubungan dengan kawan yang tidak baik (jahat) dan bersahabat dengan orang salih; menghentikan maksiat sebaliknya rajin melakukan perintah Allah; hilang rasa kesenangan dunia di hatinya, lalu selalu ingat kesusahan di akhirat; percaya jaminan Allah dalam soal rezeki, lalu sibuk mengerjakan perintah Allah.

Abul-Laits Assamarqandi berkata, dosa ada dua jenis iaitu antara kamu terhadap Allah dan dosa kamu sesama manusia. Dosa antara kamu dengan Allah terlepas dengan tiga syarat taubat iaitu menyesal dalam hati; niat tidak mengulangi kesalahan dan membaca istighfar dengan lidah.

Sesiapa yang melakukan tiga syarat itu, Allah ampun dosanya sebelum ia bangun dari tempat duduknya, kecuali jika ia meninggalkan fardu diwajibkan Allah.

Selepas ia menunaikan fardu diperintah lalu menyesal dan beristighfar, Allah mengampunkan. Namun jika dosa kamu sesama manusia, selagi mereka tidak memaafkan atau menghalalkannya, tidak berguna taubat bagimu.

Sumber Abullaits Assamarqan dalam buku, Tanbihul Ghafilin

Tuesday, July 14, 2009

Taubat perlu dilakukan sepanjang hayat, tidak bertangguh

Taubat perlu dilakukan sepanjang hayat, tidak bertangguh

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mukmin yang sedar akan berhati-hati supaya tidak melakukan kesalahan sama atau ditipu untuk kali keduanya. Sama juga, apabila terlanjur melakukan dosa sewajarnya terus menginsafi kesilapan dilakukan dan berazam tidak mengulanginya lagi.

Manusia sewajarnya berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.

Antara syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya, orang tidak menunaikan solat mestilah kembali menunaikannya atau yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji itu.

Menyesali dosa yang dilakukan dan setiap kali terkenangkan dosa itu akan menangis kerana takutkan seksaan Allah. Ia bagi yang benar-benar menyesali perbuatan lampau dan ingin bertaubat kembali ke jalan Allah.

Bagi yang sudah mengambil hak orang lain, hendaklah dikembalikan kepada tuannya tetapi jika hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon pelepasan (kemaafan) daripada orang itu.

Hendaklah taubat dilakukan selagi masih ada hayat dan jangan suka bertangguh kerana apabila sudah tiba ajal, saat itu sudah tidak berguna untuk seseorang bertaubat.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah sangat gembira menerima taubat seseorang kamu melebihi kegembiraan seseorang yang menemui kembali barangnya yang hilang." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: "Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah siang hari, dan membentangkan tangan-Nya siang hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari sehingga matahari terbit di barat." (Hadis riwayat Muslim)

Saturday, May 9, 2009

Jangan tunggu usia tua baru hendak bertaubat

Jangan tunggu usia tua baru hendak bertaubat
Oleh Mohd Adid Ab Rahman

Kematian datang tiba-tiba, sentiasa dalam kemaksiatan boleh menghancurkan peribadi Muslim

MANUSIA tidak terlepas melakukan kesalahan kerana itu sudah menjadi sifat tabii manusia biasa kecuali Rasulullah SAW yang bersifat maksum. Namun, bagi seorang Muslim apabila sudah melakukan perbuatan yang mengundang dosa, perlu segera bertaubat kepada Allah SWT.

Taubat penuh keinsafan dan penyesalan gambaran sebaik-baik manusia yang melakukan kesalahan baik berupa dosa kecil mahu pun dosa besar seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Setiap anak cucu Adam adalah pelaku dosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah mereka yang bertaubat." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Maksud dosa besar ialah perbuatan yang melanggar perintah Allah SWT di mana telah ditentukan hukumannya di dunia dan dikenakan ancaman azab neraka di akhirat seperti mencuri, berzina dan lain-lain, yang memang termaktub dalam al-Quran atau pun hadis Rasulullah SAW.

Apabila menyedari sudah melakukan dosa, haruslah segera membersihkan diri. Rasulullah SAW sendiri walaupun dipelihara Allah SWT daripada melakukan dosa tetap bertaubat dalam sehari semalam melebihi 70 kali.

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) dan bertaubat kepada Allah setiap hari lebih 70 kali." (Hadis riwayat Bukhari)

Namun, sebilangan besar masyarakat Islam hari ini begitu leka melakukan maksiat dan sedikit pun tidak rasa bersalah bahkan menjadi kebanggaan pula apabila melakukannya. Benarlah seperti diungkapkan Asy-Syekh Husen Yusuf Ghazzal: "Dapat kita saksikan bahawa saat ini apabila seseorang melakukan perbuatan dosa, maka ia tidak akan merasa malu sedikitpun. Bahkan dengan sewenang-wenangnya mereka berusaha menghalalkan suatu perbuatan tanpa mempedulikan syariat agama dan norma etika."

Berlakunya hal demikian lantaran masyarakat Islam memiliki iman yang lemah. Mudah menurut telunjuk nafsu sementara pengetahuan selok-belok ajaran Islam ternyata begitu dangkal. Sedangkan apabila sentiasa berada dalam kemaksiatan boleh menghancurkan keperibadian seorang Muslim.

Ulama berkata: "Sesungguhnya kemaksiatan itu berjalan menuju kekufuran. Manusia berpindah dari satu bentuk kemaksiatan kepada kemaksiatan berikutnya, sampai akhirnya dia keluar dari agamanya."

Sesungguhnya orang yang segera bertaubat secara benar dan bersungguh-sungguh adalah orang yang memahami bahawa taubat itu satu kewajipan ditentukan agama serta mencerminkan keimanan yang menebal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sungguh-sungguh." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pengampun, membuka seluas-luasnya pintu taubat kepada hamba-Nya yang berdosa dan ingin bertaubat. Allah SWT sentiasa menerima taubat setiap hamba-Nya yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun Maha Penyayang." (Surah al-Maidah, ayat 39)

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan kita yang ingin merebut peluang itu bahkan, taubat dipandang ringan saja. Setiap kali ditanya, mereka rata-rata menjawab akan bertaubat apabila sampai usia tua nanti.

Mereka sebenarnya memberi jawapan mengelirukan, seolah-olah mereka berpegang pada dahan yang rapuh kerana seseorang itu belum tentu hidupnya sampai usia lanjut. Oleh itu, bertaubat segera adalah perbuatan bijak dan terpuji.

Nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya: "Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu."

Oleh itu, taubat perlu dilaksanakan segera tanpa tangguh-tangguh. Apa lagi taubat itu wajib hukumnya. Lalu bertaubatlah sekarang sebelum pintunya dikatup rapat oleh Allah SWT.

Mengikut keterangan hadis, pintu taubat akan ditutup bila terjadinya perkara-perkara berikut;

l Matahari naik sebelah barat.

Perkara ini dinyatakan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang membuat jahat di waktu malam, membuka tangan selebar-lebarnya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan maksiat waktu siang. Hal ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari arah barat." (Hadis riwayat Muslim)

l Apabila nyawa sampai di kerongkong (nazak)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan bersedia menerima taubat seseorang hamba selagi nyawanya belum sampai di kerongkong (sebelum nazak)."

Untuk melakukan taubat nasuha, Islam menunjukkan syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyesal dengan perbuatan dilakukan dengan sepenuh hati, berhenti serta merta melakukan perbuatan itu, berazam tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Jika membabitkan orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.

Apabila kita melakukan taubat ikhlas kerana Allah SWT, bermakna kita bersih daripada dosa itu, dipelihara dan dikasihi Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan orang yang menyucikan diri." (Surah al-Baqarah, ayat 22)

Allah SWT juga berjanji akan menempatkan orang bertaubat dalam syurga yang penuh kenikmatan, seperti firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." (Surah at-Tahrim, ayat 8)

Oleh itu, marilah kita mencari keredaan Allah dengan membersihkan diri daripada segala dosa dengan bertaubat sepanjang masa. Jangan tunggu hingga esok kerana matlamat hidup kita sebenarnya ialah mendapatkan kebahagiaan di akhirat nanti. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang dikasihi Allah SWT.