Showing posts with label DR.MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN. Show all posts
Showing posts with label DR.MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN. Show all posts

Sunday, August 23, 2009

Segalanya kerana niat

Segalanya kerana niat

Minda Dr. Maza

MENJELANG Ramadan setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi kepentingan dan kehendak diri kita.

Mengakui yang salah itu salah, sekalipun kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut. Ini bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahawa setiap kita akan mengadap Allah SWT, dan Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.

Perjalanan hidup insan sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya. Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu. Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam bentuk tindakan, berpunca dari niat.

Justeru dalam hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).

Sebelum kita tersilap faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh sesetengah pihak iaitu ucapan di lidah “sengaja aku berniat sekian dan sekian...” Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu mewakili tujuan sebenar. Niat juga bukan perkataan yang diatur dalam minda yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan ‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya. Niat adalah keazaman seseorang untuk melakukan sesuatu tindakan.

Dalamnya merangkumi segala yang tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Niat ialah tujuan dan azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama sekali.’’

Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat sebarang lafaz bagi niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was.

Syaitan memenjara dan mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat itu ialah tujuan sesuatu perbuatan.

Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya perbuatan. Sesiapa yang duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Sesiapa yang berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat.

Tiada seorang yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu.

Jika Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu, mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?

Sesungguhnya syak dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang imam untuk menunaikan solat zohor; bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?

Jika seseorang memanggilnya untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin solat Zuhur. Jika seseorang bertanya kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana? Nescaya dia berkata: aku hendak solat Zuhur bersama imam.

Amalan hati

Jadi, bagaimana mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan dia mengetahuinya secara yakin” (Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman 144). Dr. Yusuf al-Qaradawi pula menyebut: Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah.

Tidak diketahui daripada Nabi SAW, tidak juga dari para sahabah dan para tabi‘in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat Zuhur, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan Ramadan dan sebagainya.

Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was.” (http//:qaradawi.net).

Penegasan niat sering kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.

Berapa banyak operasi kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah. Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.

Maka niat atau hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan. Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi SAW menyebut dalam hadis qudsi: “Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).

Puasa adalah manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui oleh Allah.

Jika roh puasa dibawa dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.

Kemarau

Kita kemarau keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi tuntutan keperluan umat dan rakyat.

Namun, apabila ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat.

Demikian juga urusan agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran dan sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan agama pun tidak mencapai matlamat. Hari ini kita melihat banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam, tetapi jalan dan tindakannya amat berbeza dengan ajaran Islam. Apa sebabnya? Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?

Sunday, August 16, 2009

Hidup adalah kembara

Hidup adalah kembara

SAYA tidak suka menulis tentang diri sendiri di ruangan ini. Namun izinkan saya mencoret kali ini seperti mana saya pernah coretkan hari terakhir saya menjadi Mufti Perlis. Tulisan ini adalah tulisan terakhir saya selama berada beberapa bulan di United Kingdom. Ketika ini, bilik asrama kecil lagi usang yang hampir berusia 200 tahun, yang saya tinggal dalamnya beberapa bulan sebagai 'orang bujang', berselerakan dengan barang-barang yang sedang dikemas. Bilik ini terletak dalam bangunan yang dinamakan Old Building, University Of Wales, Lampeter. Kenapa saya sampai ke sini? Hanya Allah Yang Maha Tahu. Dahulu, saya memang sering berdoa untuk dapat buat sabatikal di UK.

Hanya kerana saya sudah pernah tinggal di negara Arab, harapnya ada sedikit pengalaman baru di negara Barat. Saya tidak pula terbayang di mana universiti saya akan pergi. Sehinggalah saya 'tercampak' ke cerok Lampeter yang tenang dan nyaman ini. Memang, tidak pernah satu hari saya terbayang akan sampai ke daerah yang seperti ini. Namun, saya syukur dan akur atas segala kurnia, kerana hikmah kehidupan menjelma dalam pelbagai rupa dan ruang.

Insya-Allah, pada hari ini (Ahad), hari artikel ini diterbitkan adalah hari saya sampai ke Malaysia. Saya membaca semula tulisan lepas saya yang bertajuk Hari Terakhir Saya Sebagai Mufti Perlis. Artikel itupun diterbitkan pada Ahad, hari terakhir saya sebagai Mufti Perlis. Terus selepas itu, saya ke UK. Ahad yang bermaksud satu adalah hari pertama dalam bilangan hari. Ia sering menjadi hari terakhir saya dalam tugasan. Baik juga, kerana sering memberi saya peluang membuat kesimpulan di ruangan ini. Apapun, Allah mengingatkan kita: (maksudnya) ...dan demikian itulah hari-hari Kami jadikan ia bersilih ganti antara sesama manusia (Surah Ali 'Imran: ayat 40). Ya! Hari berganti, manusia berubah kedudukan, keadaan dan berbagai lagi. Allah mengubah iklim dan warna kehidupan kita dengan berbagai cara. Kesemua itu menerusi hari-hari dalam perjalanan apa yang dinamakan al-hayat al-dunya atau kehidupan dunia. Maka kita pun sedar, kita adalah kembara yang merentasi benua kehidupan untuk sampai ke satu perhentian yang bernama 'kematian'. Di sanalah akan bermula alam baru dan cerita baru. Namun cerita baru itu berkait sepenuhnya dengan diari kembara kita merentasi benua kehidupan ini. Bak kata Nabi saw: Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Sunday, August 9, 2009

Lebih lajak dari laju

Lebih lajak dari laju

Setiap insan ada kelemahan yang tersendiri. Sedikit ataupun banyak. Dosa ada berbagai jenis, kecil dan besar. Seorang insan biasanya tidak dapat lari dari jatuh ke dalam daerah-daerah dosa. Sama ada yang besar atau yang kecil. Jika tidak dosa itu pada tindakan atau perbuatan anggota badan, ia kadangkala pada jantung hati dan perasaan seperti takabur, riyak, buruk sangka dan berbagai lagi. Tiada anak Adam yang suci tanpa disentuh oleh dosa. Bak kata Nabi saw: Setiap anak Adam membuat salah. Sebaik-baik yang membuat salah ialah yang bertaubat. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Cumanya, atas rahmat Allah, Dia menutup kelemahan kebanyakan insan. Maka tampillah insan itu tampak bersih dan suci pada sangkaan manusia, namun hanya Allah Yang Maha Mengetahui mengenai hakikat diri seseorang. Sebab itu, insan bukan sahaja disuruh selalu beristighfar dan bertaubat untuk kesalahan dirinya, tetapi juga jangan menghukum kedudukan syurga dan neraka orang lain secara putus.

Kita mungkin boleh menyatakan ini perbuatan dosa, ini pula perbuatan pahala. Orang ini berakhlak baik, orang itu berakhlak buruk. Orang ini menzahirkan maksiat, orang itu menzahirkan ibadah. Sekadar itulah penilaian. Namun, untuk menyatakan si fulan itu pasti ahli neraka, atau si fulan itu pasti ahli syurga, maka untuk bukan urusan kita.

Dosa pahala

Hanya Allah dan rasul-Nya yang berhak. Kita tidak pasti melainkan apa yang zahir seperti jika seseorang mati dalam kekufuran setelah datang kepadanya penerangan iman dan Islam yang secukupnya, atau mati dalam maksiat yang jelas. Maka nas al-Quran dan Sunnah menyatakan dia ahli neraka. Itupun hanya pada penilaian zahir sahaja, mungkin dia bersyahadah sendirian sebelum menemui Allah, kita tidak tahu. Pelaku maksiat juga demikian, pada zahirnya maksiat adalah faktor yang membawa seseorang ke neraka. Namun, kita tidak tahu, mungkin seseorang itu di samping maksiatnya, ada kebaikan yang dibuat yang mungkin mampu memadamkan dosanya di sisi Allah.

Mungkin juga dia bertaubat tanpa kita tahu. Hanya Allah yang menentukan kedudukannya. Ini tidak menghalang kita untuk menyatakan yang salah itu salah, dosa itu dosa. Kita akan membantah kemaksiatan yang dilakukan kerana itu tanggungjawab agama, namun kita tidak akan melaknat individu berkenaan dan menentukan dia semestinya ahli neraka. Fanatik dan permusuhan yang melampaui batas, kadang-kala menyebabkan seseorang terlajak dalam menghukum orang lain. Inilah yang berlaku di kalangan golongan Khawarij yang me'neraka' seseorang hanya kerana satu dosa. Inilah juga yang berlaku dalam golongan fanatik agama dalam berbagai aliran dan kepartian yang me'neraka'kan orang lain hanya kerana satu dosa yang dicanangkan.

Padahal sepatutnya, memadai dengan menegur dan menghalang kesalahan atau dosa, namun jangan membuat keputusan tentang kedudukannya di sisi Allah. Jangan melampau dalam menghukum orang lain. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah saw mengajar kita hakikat ini. "Seorang lelaki bernama 'Abdullah, digelar himar (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah saw ketawa. Juga pernah Nabi saw. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: "Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap". Lantas Nabi saw pun bersabda: Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya. (Riwayat al-Bukhari).

Bagaimana mungkin orang yang meminum arak boleh mencintai Allah dan Rasul-Nya? Tidakkah Rasulullah saw sendiri bersabda: Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jawapannya, bukan semua yang meminum arak atau apa-apa maksiat itu membenci Allah dan rasul-Nya.

Maksiat adalah dosa dan kelemahan dirinya. Namun tidak semestinya, pelaku maksiat membenci Islam. Maksiat membawa ke neraka, namun bukan semesti seorang pelaku maksiat tidak melakukan pahala dalam perkara yang lain yang akhirnya Allah akan menentukan timbangan antara keduanya. Betapa ramai insan yang nampak peribadinya lemah, tetapi jiwanya masih sayangkan Allah dan rasul-Nya, sayangkan Islam dan marah jika Islam dan kaum Muslimin dihina dan dianiayai. Ya, Rasulullah saw melaknat peminum arak dan yang terlibat dengannya. Pelaknatan itu secara umum, namun apabila penentuan secara individu maka penilaian khusus hendaklah teliti. Setiap insan mempunyai latar dan situasi yang berbeza. Maka kita jangan 'terlebih lajak daripada laju'.

Di sebalik itu, orang zahirnya beramal dengan amalan agama maka pada zahir dia beramal dengan amalan ahli syurga. Namun kita tidak tahu niatnya; ikhlas atau riyak, atau tujuan tersembunyinya. Kita tidak tahu jiwanya; bongkak atau tawaduk, tauhid atau syirik. Di mana kesemua itu faktor yang mengheret seseorang ke neraka. Mungkin juga ada dosa atau kezalimannya terhadap insan lain sehingga Allah mengambil segala pahalanya sebagai gantian. Nabi saw pernah bertanya para sahabat baginda : "Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta". Sabda baginda: Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim). Ini bukan perkara pelik, ada orang yang kadang-kala berzikir dan bertahmid sebelum berucap atau berceramah, namun apabila habis dia berzikir dan bertahmid, dia memaki hamun orang lain bagaikan tiada sempadan agama.

Rahsia

Kehidupan sangat luas. Kita membenci dan melarang perbuatan buruk dan maksiat kerana itu adalah dilarang oleh agama. Amalan buruk membawa ke neraka. Namun, kita tidak menetapkan untuk seseorang secara individu syurga atau neraka. Amalan baik membawa ke syurga. Kita menyokong dan membantunya. Namun kita juga tidak tahu hakikat sebenar kedudukan orang tertentu yang beramal dengan amalan baik, apakah dia ke syurga atau ke neraka. Kita berbaik sangka dan mengharapkan syurga untuknya. Tapi, kita tidak tahu setiap perkara di sebalik tabir kehidupannya. Hanya Allah Yang Maha Tahu kesudahan dan rahsia hidup setiap insan, kita tidak boleh berlebihan dalam menghukum melainkan ada nas yang jelas untuk seseorang seperti para nabi, orang- orang soleh tertentu dan para sahabat yang disebut dalam al-Quran ataupun sunnah. Demikian mereka yang ditetapkan neraka oleh Allah dan rasul-Nya seperti Iblis, syaitan, Fir'aun, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai dan lain-lain.

Orang yang Allah dan rasul-Nya tidak khabarkan kedudukannya, kita tidak tahu. Kita disuruh mendoakan keampunan kaum muslimin yang meninggal. Kita melaknat maksiat secara umum, namun kita tidak disuruh melaknat individu pelaku maksiat secara khusus. Urusan setiap insan dengan Tuhannya. Mungkin dia telah memohon ampun, mungkin dia mempunyai pengecualian yang hanya Allah mengetahuinya, mungkin dia telah dikifarah di dunia dan dia akur, mungkin dia mempunyai kebaikan yang lain yang Allah sangat reda, mungkin orang lain pula telah menzaliminya lalu pahala diberi kepadanya, atau mereka diberi dosanya. Hanya Allah Yang Mengetahui di balik tabir kehidupan. Kita jangan lebih lajak daripada laju.

Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Sunday, July 5, 2009

Misteri istilah Wahabi

Misteri istilah Wahabi

Perkataan Wahabi dalam penulisan Barat mempunyai berbagai huraian. Kesemuanya menjurus kepada aliran Islam yang dilihat begitu berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah secara literal dan enggan melihat tafsiran lebih moden atau tafsiran yang agak western influence.

Clinton Bennet memasukkan Wahhabis dan Deobandis di bawah kelompok traditionalists yang bererti sekali gus berada di bawah aliran fundamentalist (lihat: Muslim and Modernity 18-20, London: Continuum).

Sebahagian penulisan Barat melihat Wahabi sebagai aliran yang menganggap 'hanya Islam agama yang benar', wajib menegakkan Islamic State, adanya 'jihad' menentang kuffar dan ciri-ciri lain yang dianggap unsur 'padang pasir' sekali gus cuba dikaitkan dengan terorisme.

Di Malaysia pula, Wahabi adalah perkataan misteri. Apa tidaknya, ramai yang menyebutnya atau memfitnah orang lain dengan menggunakan perkataan itu, padahal mereka pun tidak faham.

Bagi mereka, ia senjata untuk mempertahankan diri ketika dikritik. Saya masih ingat, di satu tempat di sebelah Utara, apabila ada imam yang mengenakan bayaran untuk solat dan zikirnya, lalu dia dikritik atas sikap salahguna agama untuk kepentingan diri, dengan mudah dia menjawab: "Siapa tak setuju dengan saya dia Wahabi".

Pemberi nasihat yang barangkali tidak terdedah kepada banyak maklumat dan kali pertama mendengar perkataan itu, terpinga-pinga bertanya: "Apa itu Wahabi?". Jawab tok imam: "Siapa yang mengkritik ustaz dia Wahabi". Maka tidaklah berani lagi 'penasihat' itu berbeza pandangan dengan 'tok imam' dan mempertikaikan infallibility ustaz, takut jadi Wahabi.

Di sesetengah tempat, seseorang dituduh Wahabi kerana menentang amalan khurafat. Umpamanya, menggantung gambar orang tertentu seperti sultan atau tok guru dengan kepercayaan boleh menambah untung atau rezeki, atau mengikat benang hitam di tangan bayi yang baru lahir atas kepercayaan menolak sial atau bala dan berbagai kekarutan yang menghantui sebahagian masyarakat.

Malangnya amalan-amalan ini bukan sahaja mendapat restu sesetengah yang bergelar 'ustaz', bahkan merekalah punca. Jika ada yang mengkritik, untuk mempertahankan diri maka 'sang ustaz' itu dengan mudahnya akan menyebut: 'awak Wahabi'.

Sama juga, mereka yang tidak bersetuju dengan kenduri arwah dituduh Wahabi. Padahal kitab Melayu lama Bughyah al-Talab karangan Syeikh Daud al-Fatani sendiri menyebut: "(dan makruh) lagi bidaah bagi orang yang kematian membuat makanan menyeru segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang diadatkan kebanyakan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidaah bagi segala yang diserukan dia memperkenankan seruannya".

Jika pun mereka tidak dapat menerima bahan mereka sendiri, mengapa mereka merasa diri infallible, dan mengharamkan orang lain berbeza dengan mereka dengan menggunakan senjata 'awak Wahabi'.

Sesetengah kelompok agama pula, mereka membaca dan menyebarkan riwayat-riwayat yang tertolak; seperti Israliyyat yang bercanggah dengan nas-nas Islam, hadis-hadis palsu atau kisah-kisah wali atau sufi yang menjadikan manusia keliru tentang keanggunan Islam.

Modal

Mereka menyebarkannya dalam ceramah dan sesetengahnya menjadikannya modal untuk 'bisnes' mereka. Islam menjadi kabur dengan cerita-cerita itu dan menyebabkan agama agung ini kelihatan bagaikan 'kartun' dan 'lucu'.

Jika ada yang menegur para penceramah ini; jawapannya 'awak Wahabi'. Walaupun yang menegur itu tidak pernah pun membaca buku Muhammad bin 'Abdul Wahhab.

Lebih buruk lagi apabila isu Wahabi digunakan oleh pihak berkuasa agama. Jika ramai pegawai agama itu atau yang sealiran dengan mereka bertarekat, atau pembaca hadis-hadis palsu dan lucu, maka mana-mana sahaja guru yang mengajar al-Quran dan hadis sahih serta tidak bersetuju dengan kekeliruan itu akan disenaraikan sebagai Wahabi dan diharamkan mengajar di masjid dan surau.

Nama sultan akan digunakan. Dalam masa yang sama mereka membiarkan kemungkaran yang jelas di sana sini, lalu sibukkan diri dengan kelompok revivalist yang tidak mengancam masyarakat sama sekali. Jika ada pun, ancaman itu kepada pemikiran kejumudan dan kekolotan, bukan kepada masyarakat.

Untuk menjustifikasikan kesibukan mereka dengan kelompok ini sehingga meninggalkan kemungkaran hakiki, mereka kata: "ini lebih bahaya kerana Wahabi". Apa itu Wahabi? Jawab mereka Wahabi itu Wahabi! Sikap ini menjadi lebih panas apabila munculnya di Malaysia 'aliran pengkafir umat' yang bernama Ahbash yang bersekongkol dengan sesetengah pihak agama.

Di peringkat yang lebih tinggi, istilah Wahabi dikenakan kepada mereka yang tidak terikat dengan mazhab al-Syafii. Kononnya, mereka yang tidak ikut mazhab itu Wahabi. Saya telah sebut nas-nas ulama tentang hal ini dalam artikel-artikel yang lepas. Persis seperti yang disebut oleh Dr al-Qaradawi: ''Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah swt" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwah al-Islamiyyah bain al-Ikhtilaf al-Masyru' wa al-Tafarruq al-Mazmum, m.s 202, Kaherah: Dar al-Sahwah).

Apa yang menariknya di Malaysia, sesetengah 'mereka ini' apabila menjadi 'penasihat-penasihat' bank, bagi memenuhi keperluan bank yang beroperasi atas nama Islam itu, mereka bersetuju pula dengan pandangan hukum yang diambil tanpa mengikut mazhab.

Bahkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h begitu banyak diambil dalam masalah muamalat ini. Ini kerana, di seluruh dunia pandangan beliau memang dikutip dalam memajukan masyarakat Islam. Padahal 'sesetengah mereka ini' di luar mesyuarat bank yang ber'elaun' itu, mereka menuduh Ibn Taimiyyah Wahabi, dan sesiapa yang bersetuju dengan Ibn Taimiyyah sebagai Wahabi. Bahkan di luar bank mereka bersekongkol dengan golongan yang mengkafirkan atau menyesatkan Ibn Taimiyyah.

Demikian ketika saya menjadi mufti dahulu, apabila saya memberikan pandangan larangan mengintip (tajassus), boleh menjawab salam bukan Muslim, wajib membinkan kepada bapa asal sekalipun bapanya bukan muslim, masjid untuk kaum Cina, keluasan menerima pandangan dan lain-lain lagi, maka pandangan-pandangan ini dituduh oleh sesetengah pihak agama sebagai Wahabi.

Padahal pandangan tersebut jika dibincangkan di Barat dianggap dalam aliran modernism atau rationalism dan penentangnya mungkin akan dimasukkan kepada kelompok Wahabisme. Di Malaysia, sebaliknya, yang terbuka itu Wahabi dan sesat, yang tertutup itulah yang 'membolot segala kebenaran'.

Cara fikir beginilah yang menguasai sektor-sektor agama kerajaan dan mencepatkan 'pereputan' kekuatan kerajaan yang ada. Cara fikir begini jugalah yang menguasai sesetengah aliran agama dalam pembangkang. Sebab itu barangkali, lima puluh tahun kemerdekaan, bukan Muslim bukan sahaja tidak bertambah faham, sebaliknya bertambah keliru dan tegang mengenai Islam.

Penentangan

Tindakan mereka ini mengingatkan saya kepada artikel David Brubaker bertajuk Fundamentalism vs Modernism: A Consideration of Causal Conditions bahawa penentangan terhadap pembaharuan lebih merujuk kepada masalah survival kelompok. Dalam usaha untuk hidup dan terus mendapat tempat dalam masyarakat dan kerajaan maka golongan pembaharuan akan ditentang.

Bagi saya, bukan isu Wahabi sebenarnya, tetapi bimbang terpinggirnya tempat dan kedudukan. Namun, apabila mereka merasa ada ruangan untuk mendapat 'kedudukan' seperti isu perbankan tadi, mereka dapat pula menerima pandangan yang berbeza tanpa menuduh bank yang memberi elaun bulanan dan elaun mesyuarat itu sebagai 'bank mazhab Wahabi'.

David Brubaker menyebut untuk survival mereka terpaksa memilih antara dua accomodation or resistance. Maka, di Malaysia ramai yang dituduh Wahabi, namun ia adalah tuduhan misteri. Saya juga tidak menafikan ada yang dianggap Wahabi itu sendiri perlu bertolak ansur dalam sebahagian pendapat. Namun, untuk menuduh orang lain Wahabi hanya kerana perbezaan pendapat, itu adalah sikap jakun yang cuba hidup di zaman globalisasi.

Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti Perlis.

Sunday, June 28, 2009

Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang

Daulah Islamiyyah: Dulu dan sekarang

Kebangkitan rakyat Iran membantah keputusan pilihan raya mereka menjadi berita hangat di seluruh dunia. Anggapan bahawa pilihan raya mereka tidak telus dan adanya unsur penipuan dikongsi jutaan rakyat negara tersebut. Ini merupakan kebangkitan yang terbesar sejak revolusi negara clergy tersebut. Sudah pasti ada asas tertentu kepercayaan rakyat terhakis terhadap keputusan pilihan raya mereka, atau ada isu lain yang mendesak mereka bangkit, sama ada isu ekonomi, kezaliman, penindasan dan seumpamanya.

Saya bukan ingin mengulas tentang pergolakan politik negara Syiah Imamiyyah tersebut. Namun adalah penting untuk kita tahu bahawa kebangkitan revolusi Iran 1979 mempunyai peranan yang penting mempengaruhi perjuangan gerakan Islam di seluruh dunia dalam memperjuangkan apa yang diistilahkan sebagai Daulah Islamiyyah' (Islamic State). Kejayaan Iran membentuk negara yang dikuasai kelompok mullah atau ulama membakar semangat Islam ramai pejuang daulah Islamiyyah. Banyak pihak kagum dan menyanjung tinggi Ayatollah Khomeini dan pemikiran revolusinya. Sehinggalah isu-isu berkaitan Syiah timbul dengan jelas dan para penyanjung Khomeini seperti tokoh al-Ikhwan al-Muslimin Sa'id Hawwa mula menarik diri disebabkan perbezaan kefahaman aliran Sunnah dan Syi'ah. Beliau menulis buku al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-'Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif (Khomeinisme: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Ini kerana atas semangat revolusi tersebut, buku-buku Khomeini seperti Hukumah Islamiyyah, Kasyf al-Asrar dan lain-lain mula dibaca oleh para pencinta Islamic State dan mereka mula mendapati perkara-perkara yang amat sukar untuk diterima seperti menyandarkan zindiq dan kekufuran kepada Saiyyidina 'Umar bin al-Khattab r.a. Apapun Iran telah melakukan usaha yang hebat dalam menempatkan pemikiran politik agama dalam dunia ini.

Apa pun, Iran dengan aliran Syiah Imamiyyah ada keistimewaan yang tersendiri. Mazhab Syiah adalah mazhab politik. Ia tercetus hasil dari pertelingkahan politik lalu dibentuk menjadi mazhab akidah dengan dimasukkan dogma dan elemen akidah. Ayat-ayat al-Quran dan nas-nas Nabi SAW ditafsirkan menurut asas kepercayaan politik tertentu. Tokok-tambah nas-nas Nabi SAW begitu lama dan banyak sehingga menyebabkan mazhab itu stabil sebagai sebuah aliran politik agama. Hal ini tidak jauh dari apa yang berlaku kepada sesetengah gerakan atau parti politik agama dalam dunia ini. Pertelingkahan yang bermula dengan isu-isu politik dibentuk menjadi isu-isu akidah sehingga ke peringkat mengkafir dan menyesatkan antara satu sama lain. Namun Syiah Imamiyyah jauh lebih stabil disebabkan usia dan pengalamannya yang panjang. Begitu banyak hadis-hadis yang telah diwujudkan sepanjang tempoh kempen politik mereka yang berlarutan sejak hampir empat belas kurun lamanya. Hadis-hadis 'keluaran baru' politik memenuhi mazhab mereka. Ini seperti kononnya Nabi saw bersabda: "Sesiapa yang suka hidup seperti hidupku, mati seperti matiku, tinggal di syurga 'adn yang ditanam oleh tuhanku maka hendaklah dia mengangkat 'Ali selepasku. Juga mengangkat penggantinya. Hendaklah dia mengikut para imam selepasku, kerana sesungguhnya mereka adalah kaum keluargaku, diciptakan daripada asal-usulku, direzekikan kefahaman dan ilmuku. Celakalah golongan umatku yang membantah kelebihan mereka dan memutuskan hubungan denganku. Semoga Allah tidak memberikan mereka syafaatku". Pada nilaian ulama hadis aliran Ahli Sunnah hadis ini palsu, sanadnya (rangkaian rawinya) gelap, kesemua para perawinya tidak dikenali dengan pasti kecuali seorang iaitu Ibn Abi Rawwad. Nama-nama para perawi lain tidak pernah disebut oleh para ulama al-Jarh wa al-Ta'dil. Apapun hadis ini disanjung oleh Syiah kerana ia penting dalam kempen politik yang dibawa oleh aliran tersebut.

Pembentukan

Berbalik kepada isu pembentukan negara agama, Syiah nampaknya jauh lebih berpengalaman disebabkan itulah perjuangannya sejak awal kewujudannya. Perjuangan merebut kerajaan dari tangan pemerintah-pemerintah muslim yang pernah ada sepanjang sejarah untuk membentuk negara yang tersendiri pada aliran dan pegangannya. Adapun aliran muktabar ahli sunnah, mereka lebih cenderung menyerahkan urusan politik kepada sesiapa sahaja di kalangan umat Islam, dengan mereka mensyaratkan agar tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, berlaku keadilan dan memerintah atas asas kemaslahatan rakyat. Sesiapa sahaja yang sanggup melakukan demikian dipuji dan disokong oleh para ulama Ahli Sunnah yang ikhlas, jika tidak amar makruf nahi munkar akan dijalankan. Bukan kecenderungan mereka mempolitikkan agama atau terlibat dengan politik agama. Inilah yang kita lihat dihayati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi'I, al-Imam Ahmad, al-Imam Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Ya, mereka merupakan pengkritik yang tegas dan berani, namun mereka tidak pernah menyeru untuk diberikan 'kerusi' kepada mereka. Berdasarkan kepada tulisan dan kenyataan mereka, ternyata mereka ingin mengelakkan penumpahan darah sesama kaum muslimin. Ya, politik itu penting namun bukanlah segala-galanya dalam kehidupan muslim. Juga politik bukan seperti ibadah khusus yang tetap dan tidak boleh diubah. Politik itu begitu anjal (fleksibel) terdedah kepada keadaan dan perubahan atas asas maslahah rakyat.

Apabila jatuh Khalifah di Turki dan Kuasa-Kuasa Barat menjajah Dunia Islam, kesedaran umat Islam tentang tanggungjawab jihad membebaskan tanah air Islam berkembang. Selepas penjajah dihalau keluar, umat Islam memerintah negara sendiri. Kali ini tiada lagi negara khalifah seperti yang ditulis dalam buku-buku fekah lama. Apa yang wujud adalah nation state atau negara bangsa yang mempunyai kedaulatan tersendiri. Dalam proses menstabilkan negara masing-masing inilah munculnya istilah daulah islamiyyah (islamic state atau negara Islam). Ini adalah reaksi kepada penjajahan dan selepas penjajahan di dunia Islam. Padahal istilah ini tidak dikenali sebelum ini. Dahulu yang ada dalam fikah sarjana silam (sebelum penjajahan) hanyalah istilah Dar al-Islam iaitu Wilayah Islam. Ini merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam dan zahir syiar Islam. Sementara Dar al-Harb atau disebut juga Dar al-Kufr merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh bukan muslim dan bermusuhan dengan Dar al-Islam. Dalam erti kata lain nilaian terhadap sesebuah wilayah atau negara itu berdasarkan penguasaan umat Islam ke atas wilayah tersebut, dan wujudnya syiar Islam. Adapun soal sejauh manakah komitmen seseorang pemerintah itu, ia diuruskan oleh umat Islam di bawah tanggung jawab menasihati pemerintah juga Amar Makruf dan Nahi Munkar. Namun apabila istilah Daulah Islamiyyah muncul, maka lahir segelintir kelompok umat Islam yang mengkafirkan negara sendiri, bahkan mengkafirkan sesama muslim. Mereka seakan menjadikan Dar Islam yang diistilah oleh Sarjana Fekah silam sebagai Dar al-Kufr atau Dar al-Harb yang wajib diperangi hanya disebabkan beberapa isu. Adaptasi ini sebenarnya lebih mirip kepada apa yang dilakukan oleh Khawarij dalam sejarah awal krisis antara umat Islam (sila lihat: Fazlur Rahman, Revival And Reform in Islam 33-43, England: Oneworld Publications).

Bagi kelompok ekstremis ini, untuk mencari definasi yang tersendiri bagi Daulah Islamiyyah agak sukar. Jika mereka memakai penafsiran silam yang memberi maksud wilayah yang dikuasai oleh umat Islam, mereka terpaksa mengiktiraf negara-negara umat Islam sekarang adalah Daulah Islamiyyah. Sudah pasti mereka enggan. Jika mereka memakai takrif lain yang dibuat oleh sesetengah sarjana silam iaitu negara yang zahir padanya syiar Islam seperti azan dan solat dan amalan-amalan Islam yang lain, sudah pasti mereka juga terpaksa mengiktiraf kebanyakan negara umat Islam hari ini sebagai Daulah Islamiyyah. Jika mereka menyatakan negara yang sempurna perlaksanaan Islamnya, sudah pasti tidak ditemui dalam sejarah umat Islam melainkan beberapa khalifah sahaja. Akhirnya, mereka menetapkan negara Islam adalah negara yang melaksanakan hudud. Dengan kemunculan Iran, mereka menetapkan satu hal yang lain, negara yang dikuasai oleh golongan mullah. Hari ini, disebabkan perkembangan globalisasi dan politik setempat, sebahagian gerakan politik Islam sudah enggan lagi berbicara tentang hudud dan hasrat untuk menegakkan hudud. Bahkan, pandangan bahawa golongan mullah (clergy) mestilah menjadi pemerintah mulai lemah. Iran sendiri sudah goyah akibat rakyat yang tidak lagi hanya mahu melihat pakaian dan slogan agama semata, tetapi mereka inginkan kemaslahatan dan hak mereka dipelihara. Hari ini sebahagian gerakan politik mungkin terpaksa memberikan takrif baru untuk 'daulat islamiyyah' atau negara Islam!

Dr. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas Mufti Perlis.

Sunday, May 24, 2009

Jenayah ambil tempat makruf

Jenayah ambil tempat makruf

Oleh DR.MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


Dari jauh saya membaca akhbar Malaysia merasa keadaan keamanan rakyat begitu menakutkan. Jenayah-jenayah berat berlaku di sana sini. Pembunuhan, rogol, rompakan, meragut dan berbagai lagi jenayah yang perit untuk membayangkannya. Seseorang dalam negara kita sentiasa dalam kerisauan atau ketakutan untuk berjalan bersendirian, atau membawa barangan berharga, atau memiliki harta mewah, sehingga menggalas beg di bahu boleh mengancam nyawa. Seseorang bukan sahaja merasa tidak selamat semasa di jalanan, bahkan merasa tidak selamat dalam rumahnya sendiri.

Rasa takut untuk membiarkan anak-anak bermain di hadapan rumah sendiri, apatah lagi keluar bermain bersama kawan-kawannya. Penjenayah di sana-sini dengan segala kekejamannya. Bahkan mereka juga mungkin dibela oleh peguam-peguam yang handal di mahkamah. Parti politik yang 'kehausan kuasa' juga mungkin mengambil kesempatan membela penjenayah, jika itu dilihat boleh dijadikan isu politik.

Hilanglah nikmat keamanan yang pernah kita kecapi dahulu. Juga mungkin Allah telah menarik balik rahmat keamanan-Nya. Ia adalah satu bala yang besar dalam kehidupan rakyat. Antara punca hal ini terjadi adalah kerana hilangnya penghayatan Al-Amr bi al-Ma'ruf Dan al-Nahy 'An al-Munkar iaitu menyuruh kepada yang baik dan mencegah mungkar (kejahatan). Tanggungjawab ini disebut oleh al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak. Antaranya Allah menyebut: (maksudnya) Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Taubah ayat 71). Perkataan mungkar sering disempitkan tafsirannya oleh pemikiran sesetengah kita kepada perkara-perkara seperti zina, minum arak, berjudi dan beberapa perkara lain yang 'sama spesis' dengan itu sahaja.

Maka sesiapa yang menyertai operasi mencegah hal-hal ini sahaja yang 'dirasakan' menunaikan tanggungjawab agama. Sementara kemungkaran lain seperti mengambil dadah secara salah, mencuri, merosakkan harta awam, memaki hamun orang, berlumba haram yang merbahayakan awam dan jenayah-jenayah lain dirasakan sebagai jenayah biasa yang tiada kaitan dengan agama. Maka tindakan mencegah kesalahan-kesalahan ini tidak dirasakan sebagai amalan soleh yang diperintahkan oleh agama. Ini mungkin antara keburukan penyempitan fungsi mahkamah syariah dalam negara kita.

Bercanggah

Hasilnya, jemaah masjid mungkin membuat operasi tangkap khalwat, kononnya sebagai kerja agama, tetapi membiarkan anak muda kampung yang sedang berkumpul menghisap dadah atau ganja atau merosakkan harta benda awam. Jika ada pihak pejabat agama yang pergi membuat 'operasi mengintip khalwat', dirasakan amalan soleh, walaupun itu bercanggah dengan ajaran Islam.

Sementara kerja pihak polis atau 'rukun tetangga' mencegah jenayah yang merosakkan masyarakat hanya dianggap sebagai tugasan biasa atau tanggungjawab sosial semata-mata, tidak pula dinilai sebagai tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya. Kumpulan-kumpulan dakwah, atau organisasi Islami, atau ceramah agama pun banyak tertumpu kepada maksud mungkar yang tidak begitu luas seperti itu. Inilah antara kesempitan fahaman Islam yang berlaku secara tidak sedar. Jika kita hendak menyatakan kesan pemikiran sekular dalam masyarakat kita, inilah antaranya.

Kadang-kala apabila kita biarkan satu mungkar mengundang mungkar yang lain. Umpamanya, kita kurang peduli anak muda di kampung atau taman kita yang menghisap dadah. Mungkin kerana kita rasa itu tiada kena mengena dengan kita. Akhirnya, kerana ketagihan, mereka menjadi pencuri, bahkan pembunuh seperti baru-baru ini. Kita biarkan vandalisme apabila tiada kena mengena dengan harta kita, akhirnya negara rugi dan mungkin satu hari harta kita juga menjadi mangsa.

Kita tidak tegur atau bantah perbuatan 'rempit', akhirnya kita atau orang yang kita sayangi menjadi mangsa. Ibn 'Abbas ketika menafsirkan firman Allah Surah al-Anfal ayat 25 (maksudnya): Dan jagalah diri kamu daripada fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya berkata: (maksudnya) Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak mengakui kemunkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya. (Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam) Baginda Nabi saw pernah bersabda: Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, atau nanti Allah akan menghantar azabnya ke atas kamu, kemudian kamu berdoa kepada-Nya dan Dia tidak memperkenankan lagi doa kamu (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). Untuk itu seseorang yang melihat mungkar hendaklah berusaha mencegahnya dengan kadar kemampuannya. Sabda Nabi SAW juga: Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).

Satu hakikat yang wajib diingati adalah fungsi utama sesebuah kerajaan itu menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini seperti dalam Surah al-Hajj ayat 41: (maksudnya): Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. Jika sesebuah kerajaan gagal menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dalam ertikata yang luas dan menyeluruh, bererti kerajaan itu gagal berfungsi seperti yang Allah dan rasul-Nya kehendaki.

Justeru dicadangkan, dalam negara kita; kerajaan hendaklah berkempen mencegah jenayah dari perspektif amar makruf dan nahi mungkar yang ditegas oleh Islam. Operasi polis dan masyarakat hendaklah diajak masyarakat khususnya umat Islam melihatnya sebagai tanggungjawab mulia agama. Demi menunaikan maksud tolong menolong mencegah mungkar, rakyat dididik membantu polis atas kesedaran agama dan kerajaan menjaga kebajikan anggota polis agar mereka dapat berfungsi dengan baik adalah rangkaian tanggungjawab kerajaan dalam proses itu. Ini termasuk kenaikan gaji polis dan penambahan anggota mereka.

Terhakis

Perlu diingat, pencemaran nama baik polis juga menyebabkan perasaan gerun penjenayah kepada polis berkurangan. Hormat masyarakat juga terhakis. Maka, kerajaan hendaklah memastikan amanah pihak polis dan bebasnya mereka dari tekanan agenda mana-mana pihak. Demikian juga malanglah pihak polis jika disibukkan dengan kerenah 'orang-orang politik' itu dan ini sedangkan urusan jenayah dan keselamatan masyarakat sedang dalam keadaan getir. Buruklah sikap parti-parti politik jika sibuk dengan keselamatan kerusi masing-masing sehingga lupa untuk membincangkan keselamatan rakyat yang makin tergugat dengan peningkatan jenayah.

Satu perkara yang penting untuk kita sedar bahawa peningkatan jenayah adalah disebabkan para penjenayah tidak merasa gerun dengan pemerintah atau undang-undang yang ada. Hal ini kemungkinan disebabkan dua perkara; pertama, kerajaan atau penguasa undang-undang dilihat tidak kukuh sehingga mereka merasakan peluang untuk terlepas daripada hukuman itu luas.

Kedua, undang-undang yang ada belum cukup menggerunkan. Islam apabila menetapkan 'hudud' ia bersifat amat sukar untuk dijatuhkan, tetapi amat menggerunkan apabila dilaksanakan. Dalam erti kata lain, hanya yang benar-benar bersalah tanpa alasan sahaja yang akan dihukum dan hukuman itu pula benar-benar memberikan pengajaran kepada penjenayah dan yang berniat melakukannya. Ya, kaedah hukuman dan cara pelaksanaan mungkin boleh diubah berdasarkan perubahan zaman dan manusia. Namun, kerajaan mestilah kembali kepada ajaran Islam dalam menghadapi jenayah. Seminar dan perbincangan berdasarkan ajaran Islam dalam menghadapi jenayah mesti dilaksanakan secara serius. Ini adalah tanggungjawab 'menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar' yang berada atas bahu kerajaan. Jika tidak, jenayah akan menguasai makruf dalam negara kita.

Sunday, May 17, 2009

Ahli politik ‘pemurah pahala’

Ahli politik ‘pemurah pahala’

Minda Dr. Maza


Ramai orang politik memang pemurah. Semua orang cakap begitu. Sifat pemurah orang politik mempunyai banyak makna. Mungkin kerana ingin menolong orang lain disebabkan mereka merasakan mereka itu pemimpin. Mungkin juga kerana ingin menjaga undi dan sokongan. Sehinggakan Ketua Dewan Ulama PAS pun mengeluh tentang ‘unsur rasuah politik’ dalam partinya.

Sama ada dinamakan rasuah atau apa sahaja; orang politik itukan pemurah?! Sekalipun mungkin ada maknanya yang tersendiri. Ya! Kuasa, pengaruh, nama, pangkat dan segala yang berkaitan dengannya bukan mudah hendak dilepaskan, juga bukan mudah untuk diubati jika sudah mabuk. Benarlah kata tokoh umat Islam yang terbilang al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): Aku tidak melihat paling kurangnya kezuhudan itu melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Namun ramai orang politik dan ‘tidak politik’ bukan sahaja murah duit atau ‘harta dunia’ tapi juga murah pahala. Dengan mudah sahaja mereka memberikan ‘pahala’ mereka kepada orang lain, atau dengan mudah rela menanggung dosa orang lain jika mereka tidak dapat memberikannya pahala. Nabi SAW pernah bertanya para sahabat baginda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim).

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita selalu berusaha dan ingin mengelaknya. Malangnya, dalam kehidupan sesetengah ahli politik yang tidak berteraskan wahyu kita ada dapati bagi mereka memaki hamun orang, menuduh orang tanpa bukti, memakan harta orang atau rakyat, menumpahkan darah orang sama ada mencedera atau membunuhnya tanpa sebab yang diizinkan syarak bagaikan ‘rukun politik’ yang wajib dan ‘haram’ ditinggalkan. Lebih buruk lagi jika itu semua dihalalkan atas berbagai alasan.

Mengkritik dan memberikan pandangan berbeza dalam politik adalah tidak mengapa. Bahkan merupakan satu keperluan. Jika membabitkan hak rakyat, maka rakyat perlu dibela. Apatah lagi dalam ‘reka bentuk’ politik demokrasi yang diamalkan. Namun, memaki-hamun, mencerca, sehingga ada yang mencarut adalah bertentangan dengan syarak. Lebih buruk lagi ada yang mengutuk sifat peribadi orang lain yang Allah ciptakan seperti mempersendakan ‘botak’, ‘hidung besar’, ‘mamak’ dan berbagai lagi. Makian, kutukan, sendaan itu dijadikan bahan ketawa yang ‘dikongsi dosa’ bersama pengikut dan penyokong. Jika ada tuduhan terhadap musuh politiknya, belum pun ada bukti atau sokongan bukti, terus sahaja diperkatakan secara ‘yakin tanpa syak’. Bersorak sorai pengikut meraikan ‘kemurahan pahala’ orang politik. Sementara membelasah harta orang dilakukan oleh banyak pihak yang tidak jujur dan amanah. Namun, dalam banyak keadaan ramai orang politik yang mempergunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya. Demikian sejarah juga menunjukkan penumpahan darah dan penyeksaan ke atas hamba-hamba Allah yang lain sering mempunyai hubungan dengan politik.

Buruk

Lebih buruk lagi, ada yang menghalalkan kesalahan-kesalahan tersebut atas alasan demi menegakkan kebenaran. Lalu dipetiklah kata-kata sarjana itu dan ini seperti al-Imam al-Ghazali dan al-Nawawi bagi menjustifikasikan perbuatan salah tersebut. Padahal jika dilihat kepada konteks huraian yang mereka sebutkan, bukan demikian maksudnya. Mana mungkin mereka menghalalkan maki-hamun, carut-marut atau menuduh tanpa bukti atas alasan untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran apa jika begitu rupanya?! Peperangan mempertahankan agama yang dihalalkan Allah dan rasul-Nya pun, tidak dibenarkan kita melampaui batas, apakah kita boleh melampaui batas ketika berpolitik? Firman Allah: (maksudnya) Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampaui batas. (Surah al-Baqarah: ayat 190)

Saya masih teringat seorang penceramah politik tertentu, beliau juga terkenal dengan alunan zikir munajatnya. Semasa saya menjadi mufti, beliau berceramah atas pentas politiknya bersama dengan pendengarnya mengalunkan ‘istighfar dan zikirnya’. Habis sahaja ceramah beliau memaki hamun saya di atas pentas yang sama dengan menggelar saya ‘bapa syaitan’. Beliau mahu memancung saya dengan tuduhan saya akan menulis buku khas mengkritik partinya dan beberapa tuduhan lain yang tidak benar. Padahal buku tersebut tidak pernah muncul dan saya tiada cukup masa untuk itu. Saya hanya tersenyum sinis melihat rakaman tersebut dalam youtube. Saya juga mungkin berterima kasih atas sedekahnya itu untuk saya yang kekurangan pahala ini. Cuma saya begitu kagum; bagaimana politik boleh menukar watak manusia daripada berzikir kepada memaki hamun orang. Maka jangan hairan jika politik boleh menukar manusia menjadi pencerca, perompak harta, penyeksa bahkan pembunuh sekalipun. Ya, orang politik memang pemurah pahala.

Sikap tidak professional yang dilakukan oleh orang-orang politik seperti inilah yang membantutkan manfaat intelektual dan menyumbang kepada keretakan masyarakat. Malangnya, hal ini sering dilakukan oleh orang politik yang sedang berkuasa, juga yang ingin mendapatkan kuasa. Apa tidaknya, jika seseorang yang memberikan pandangan yang berbeza atau mengkritik dalam batasan yang wajar diambil tindakan, maka terbantut idea-idea yang baik. Juga, apabila tindakbalas itu diambil dalam bentuk maki hamun, atau kezaliman yang lain, maka retak dan bergeserlah masyarakat. Sebab itu, saya dapati dalam negara kita ramai intelektual takut, atau tidak dilatih untuk memberikan pandangan ‘ketiga’ atau yang berbeza dengan ‘kumpulan-kumpulan politik’ yang ada. Ini kerana, jika kumpulan atau badan politik itu mempunyai kuasa kita akan diambil tindakan secara kuasa. Jika mereka belum berkuasa, senjata cercaan, makian dan kutukan akan digunakan yang menyebabkan banyak pihak tidak mampu menanggungnya. Dengan itu, sifat murah pahala orang politik itu bukan sahaja untuk pesaing politik mereka, juga untuk sesiapa yang enggan akur kepada pandangan mereka, sekalipun tidak menyokong musuh mereka. Sehingga kadang-kala kita mungkin kecewa dan perit dengan sikap yang seperti itu. Namun Allah itu adil. Sabda Nabi SAW: Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk (Riwayat Muslim).

Cumanya, jika kita semua; sama ada kita orang politik atau tidak, merenungi hadis ini dan yang sebelumnya, mungkin kita akan tidak pemurah pahala lagi, atau akan kurang pemurah. Ini kerana setiap kita memang sukar untuk mengawal tabiat ‘boros pahala’ ini, namun mengingati hadis ini akan membataskan kita. Sifat pemurah memang dianjurkan oleh Islam kerana ia boleh membantu orang lain juga mengeratkan hubungan antara kita. Namun, jangan pemurah pahala kerana ia merosakkan orang lain dan meretakkan hubungan antara kita.

Sunday, May 10, 2009

Ulama atau profesional jadi pemimpin?

Ulama atau profesional jadi pemimpin?

Pas panas memperdebatkan isu kepimpinannya sama ada patut dipegang oleh golongan 'ulama' atau profesional? Saya tidak berhasrat memberikan pandangan kerana itu urusan 'rumahtangga jiran' yang tiada keperluan untuk campur tangan.

Namun apabila ramai orang bertanya saya dalam bentuk soalan yang lebih luas; Apakah menurut Islam hanya ulama sahaja yang boleh menjadi ketua negara? Jika itulah soalannya, saya rasa terpanggil untuk turut memberikan pandangan.

Saya masih ingat dalam satu temu bual akhbar Harakah, saya menjawab persoalan yang dikemukakan. Hampir semua yang saya jawab disiarkan, cuma beberapa jawapan tidak disiarkan. Antara jawapan saya yang tidak diterbitkan itu, saya menyebut: "Pemikiran politik Islam yang difahami oleh sesetengah pejuang negara Islam itu sendiri perlukan perubahan atau tajdid. Kita tidak boleh terikat dengan konsep Darul Islam yang tulis oleh al-Imam al-Mawardi r.h dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah lagi. Barangkali banyak isi kandungan buku tersebut sesuai untuk zaman Kerajaan Abbasiyyah. Dengan menghormati ketokohan al-Imam Al-Mawardi r.h, namun beliau dalam banyak hal menggambarkan sistem kerajaan pada zamannya, sedangkan konsep pentadbiran dan politik dalam Islam jauh lebih fleksibel dan luas. Politik Islami tidak boleh lagi sekadar mengulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Mawardi r.h, nanti kita akan tersepit. Jika sesetengah tokoh agama yang memperjuangkan negara Islam tidak lebih terbuka, mereka akan menghadapi masalah atau bercakaran sesama sendiri apabila tiba ke peringkat perlaksanaan Islam itu dalam alam realiti. Akhirnya, kelompok pembaharuan akan muncul di tengah-tengah mereka dan pergeseran akan berlaku".

Al-Imam al-Mawardi r.h dalam tulisannya menyebut syarat seorang khalifah mestilah memiliki ilmu yang membolehkannya berijtihad menyelesaikan keadaan dan hukum. Al-Mawardi juga menyebut khalifah mestilah berketurunan Quraisy. Jika dilihat dari segi dalil, walaupun lojiknya ada, tetapi tiada nas yang mensyaratkan seseorang khalifah mesti mencapai ilmu ke peringkat ijtihad hukum. Tetapi, ada hadis sahih yang menyebut: Para imam itu daripada Quraisy (Riwayat Ahmad). Sehingga kata al-Mawardi: "Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraisy disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)". Ertinya, jika syarat al-Mawardi itu hendak dipegang, maka syarat Quraisylah yang mempunyai dalil hadis. Syarat lain hanyalah atas lojik yang kuat dalam urusan politik. Menariknya, di Malaysia belum ada yang bertanya: Apakah Perdana Menteri disyaratkan seorang yang berketurunan Quraisy?

Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep wilayah al-Faqih yang meletakkan faqih atau ulama sebagai pemimpin. Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah tersendiri, walaupun ia juga didebatkan di kalangan mereka.

Gerakan-gerakan Islam yang wujud, sebahagiannya terpengaruh dengan perkembangan ini. Di samping, pengalaman menunjukkan ramai pemerintah negara yang 'bukan ulama' dalam kalangan umat Islam gagal berpegang dengan Islam, hingga ramai yang menyangka hendaklah ulama menjadi pemerintah. Padahal, penyelewengan yang berlaku dalam banyak keadaan bukan disebabkan latar pendidikan, tapi oleh prinsip kehidupan oleh individu pemerintah itu sendiri. Dalam erti kata lain, jika pemerintah itu bukan ulama sekalipun, tetapi jika dia ingin menjadikan negara berpegang dengan prinsip Islam, nescaya dia mampu melakukannya. Ini kerana, dia boleh mendapatkan khidmat ulama dan nasihat mereka. Betapa ramai pemerintah yang bukan saintis tetapi berjaya menyuburkan perkembangan sains dan teknologi dalam negara. Sebaliknya, jika pemerintah itu lulusan pengajian Islam sekalipun, tetapi tiada hasrat meletakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam, maka maksud siasah islamiyyah tetap tidak akan tercapai.

Apa yang menjadi masalah kepada masyarakat kita siapakah ulama menurut kefahaman orang ramai? Apakah seseorang itu dianggap ulama hanya kerana dia berkelulusan pengajian Islam? Atau kerana dia memakai jubah dan serban? Atau kerana dia dipanggil 'ustaz'? Perkataan ulama berasal dari 'ilmu'. Bermaksud seseorang yang menguasai ilmu. Jika ia dikaitkan dengan pengajian Islam membawa maksud seseorang yang menguasai ilmu dalam bidang pengajian Islam. Bidang pengajian Islam itu pula luas. Apakah jika seseorang yang hanya menguasai satu bidang sahaja sedangkan tidak kemahiran dalam siasah atau politik, layak digelar ulama yang boleh memerintah? Al-Imam al-Mawardi sendiri meletakkan salah satu dari tujuh syarat khalifah mempunyai pemikiran yang memampukannya menguruskan politik dan kemaslahatan rakyat jelata. Jika dia bergelar ulama, tetapi 'kontang' dalam soal ini, dia tidak layak.

Saya berpendapat perbahasan; sama ada ulama atau profesional yang layak menjadi ketua negara hanya membazirkan waktu. Apa yang penting kita hendaklah jelas; Apakah yang kita kehendaki daripada pemerintahan dan politik? Yang menjadi tanggungjawab politik islami adalah keadilan dan kesejahteraan yang berdasarkan petunjuk wahyu. Dalam melaksanakan maksud ini, hasrat seseorang pemerintah yang dibantu oleh ilmu pengetahuan adalah penting. Jika dia ulama yang mahir dalam politik serta mempunyai ketangkasan siasah, tentulah itu yang terbaik. Jika dia seorang ahli politik yang mahir sekalipun tidak ulama, dia boleh dibantu oleh para ulama yang mendokong hasratnya. Apa yang menjadi masalah adalah jika seseorang jahil atau tidak mahir pentadbiran dan siasah tetapi ingin memerintah. Sekalipun dia memakai gelaran 'ulama' ataupun profesional. Justeru itu, Nabi SAW bersabda kepada sahabah baginda yang soleh dan warak Abu Zar al-Ghifari : "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim). Namun Khalid bin al-Walid r.a. sekalipun Nabi SAW pernah menegur beberapa tindakannya yang melanggar disiplin peperangan yang digariskan oleh baginda, tetap baginda pilih mengepalai tentera Islam dan menggelarnya sebagai pedang Allah. Ini kerana kemampuan yang dimiliki Khalid tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain, sekalipun mereka lebih berilmu dan dekat dengan Nabi SAW. Al-Imam Ibn Taimiyyah dalam Al-Siyasah al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah menyebut: "Apabila dua orang, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaan dan paling kurang mudaratnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, yang kuat dan berani - walaupun padanya ada kejahatan- diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.

Maka tanggungjawab umat Islam sekarang bukan membincangkan 'ulama' atau 'profesional' yang layak memerintah, tetapi melihat tanggungjawab jawatan tersebut dalam kerangka politik hari ini dan siapakah yang paling sesuai atau paling berkesan dalam mencapai matlamat sebuah negara yang adil dan dirahmati Allah.

Isunya bukan isu gelaran, atau jenis pakaian, tetapi isu amanah dan kemampuan dalam mentadbir dan menguruskan kehidupan rakyat.