Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Monday, August 17, 2009

Sampaikan mesej Islam secara berhemah

Sampaikan mesej Islam secara berhemah

Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Gunakan pendekatan lemah lembut, beradab ketika berdakwah

TUGAS berdakwah kepada masyarakat Islam adalah antara kewajipan yang dituntut dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Perintah kewajipan berdakwah ini sememangnya banyak terdapat di dalam rentetan ayat al-Quran dan juga hadis Rasulullah. Di antaranya, firman Allah maksudnya: Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik. (surah al-Nahl, ayat 125)

Dalam surah yang lain, Allah berfirman lagi maksudnya: Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata 'sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman. (Surah Fussilat, ayat 33)

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi di dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan bahawa ayat-ayat itu menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah dijelaskan al-Quran dan al-Sunnah dan ia adalah satu kewajipan yang amat besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Yang lebih menariknya, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan agar hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapatnya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya. (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana itu, Allah memerintahkan umat Islam supaya menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah salah satu pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping ia juga mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah. Ini kerana jika seorang pendakwah berdakwah dengan tidak mengambil kira pendekatan hikmah, sudah pasti akan menatijahkan kelompok sasaran semakin jauh darinya.

Sheikh al-Sabuni ketika mentafsirkan ayat di atas, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah dengan maksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci dengan cara yang penuh bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan kepada mereka dan seterusnya dapat menerimanya dengan penuh kerelaan tanpa kekerasan dan kekasaran.

Sehubungan itu, Allah menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap santun dan tidak bersikap kasar dalam tindak tanduknya. Ini kerana dengan bersikap kasar, orang bukan Islam bukan saja tidak tertarik dan juga tidak dapat melihat keindahan Islam, malah mereka juga akan terus membenci dan mencerca Islam, bahkan sampai ke tahap menghina Allah.

Oleh kerana itu, Allah berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain dari Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan setiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka lakukan. (Surah al-An'am, ayat 108)

Jelas di sini bahawa Islam melarang umatnya mencerca orang bukan Islam dalam perkara ibadat mereka, apatah lagi mencerca sesama Muslim yang hanya sebab berlainan mazhab atau fahaman politik. Oleh sebab itulah berdakwah kepada kebaikan dengan tidak bersikap santun dan penuh hikmah hanya akan menyebabkan perpecahan dan perbalahan di kalangan umat.

Berdakwah adalah satu kewajipan yang amat mulia di sisi Islam dengan tujuan untuk mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran. Sekiranya golongan yang didakwahkan itu tidak tertarik dan terbuka pintu hatinya, maka itu adalah kehendak dan ketentuan Ilahi semata-mata. Oleh sebab itu, seorang pendakwah hendaklah bersabar dan berusaha dengan lebih giat lagi untuk mempamerkan keindahan Islam.

Monday, July 20, 2009

Jakim didik pelapis pendakwah guna kaedah berhikmah

Jakim didik pelapis pendakwah guna kaedah berhikmah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

MOHD HAMDAN dan Nurhazwani peserta terbaik Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jakim.

Program Kembara Dakwah dedahkan belia strategi terbaik sebar syiar Islam

INGINKAN keputusan cepat, kadangkala terlalu ekstrem dan hendakkan nama menyebabkan gerakan dakwah tidak dapat berkembang dengan berkesan. Suka menuding jari tanpa melakukan apa-apa juga satu ancaman kepada gerakan dakwah.

Justeru, peserta terbaik Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Hamdan Mohd Sharif, 23, mengajak pelbagai persatuan menggembleng tenaga melakukan dakwah ikut kemampuan.

"Semua pihak sama ada individu, persatuan atau organisasi saling melengkapi. Apa juga aliran dakwah, kita boleh menyumbang mengikut kemampuan supaya gerakan ini dilaksanakan dengan berkesan. Islam dan ajarannya tidak boleh dikembangkan kerana sifat nafsi dan suka menunjuk 'akulah yang terbaik' selain tidak mahu memahami orang lain," katanya.

Ahli Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (Pembina) itu berkata, Kembara Dakwah selama tujuh hari bermula 3 Julai lalu memberi banyak maklumat kepada peserta untuk melihat kaedah dakwah dijalankan Jakim.

Pada masa sama, peserta mengalami serta menghayati pengalaman berdakwah yang dilaksanakan Rasulullah SAW iaitu berjumpa orang di luar sana untuk mengajak kepada kebenaran serta kebaikan.
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz bermesra dengan peserta Kembara Dakwah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kami bukan saja berpeluang bertemu masyarakat Islam, tetapi juga bermesra dengan bukan Islam dan menjalankan dakwah bil hal iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain, berkongsi cerita dan pengalaman dengan saudara baru," katanya.

Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 dikendalikan Bahagian Dakwah Jakim bertujuan memberi pendedahan kepada kepemimpinan belia mengenai pelaksanaan program dakwah di negara ini.

Pengisian program ialah melatih belia, memantapkan sahsiah meliputi akidah, syariah dan akhlak serta meningkatkan jalinan dua hala antara kepemimpinan belia dalam bidang dakwah bagi meningkatkan syiar Islam.

Seramai 50 peserta menyertai program ini terdiri daripada pemimpin persatuan beliau dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLiUC), Darul Quran Jakim, Kolej Darul Hikmah (KDH), Pembina dan Persatuan Belia Masjid Selangor.

Antara lokasi kembara ialah Pusat Pemantapan Akidah Jelebu, Perkampungan Orang Asli Sungai Melut Sepang, Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Pusba) Sungai Petani dan Masjid Al-Bukhary.

Bagi peserta terbaik wanita pula, Nurhazwani Abd Rani, 23, penyertaan wanita dalam program itu bakal melahirkan lebih ramai pendakwah untuk mendekati kaum sejenis. Mengakui cabaran dihadapi pendakwah wanita, pelajar jurusan Pendidikan itu berkata, ia bukan halangan untuk wanita asal menjaga syariat dan batasan agama.

"Untuk bawa diri di kalangan pendakwah lelaki yang mendominasi bidang ini bukan senang, tetapi Islam tidak mengharamkan pergaulan lelaki dan wanita. Kita juga perlu menjaga batasan supaya niat yang baik tidak bertentangan dengan syariah," katanya.

Beliau berkata, hakikat pendakwah wanita tidak ramai juga menjadikan penyertaan mereka dalam Kembara Dakwah itu penting kerana wanita mudah memahami serta mendampingi belia wanita yang menjadi kumpulan sasaran. Mereka juga menggunakan pendekatan kita mungkin lebih berhikmah.

Nurhazwani berharap persepsi pendakwah milik orang tertentu dan wanita perlu berjubah serta bertudung labuh dapat diperbetulkan kerana setiap yang mengucap syahadah adalah pendakwah.

Katanya, semua mampu menyampaikan dan mengajak kepada kebaikan. Tanggungjawab itu perlu dipikul semua pihak supaya syiar Islam terus disebar dan dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.

"Apabila lihat saudara baru saya dapat rasakan mereka ikhlas berpegang kepada Islam dan kisah mereka mendapat hidayah Allah membuatkan saya bersyukur dilahirkan sebagai Muslim," katanya menceritakan pengalaman manis bermesra dengan saudara baru di Pusba.

Pengarah Dakwah Jakim, Abd Halid Sintol, berkata maklum balas diberikan peserta menampakkan usaha menggerakkan belia kepada suasana kemasyarakatan mencapai matlamat. Modul kepemimpinan yang menekankan semangat silaturahim dan ukhuwah berjaya meningkatkan kepemimpinan peserta sebagai pelapis dalam gerakan dakwah masa akan datang.

"Pengisian program juga sesuai dengan mereka termasuk acara serta aktiviti bersifat ilmiah, tazkirah dan bersifat sahsiah seperti gotong-royong dan sukaneka," katanya.

Tanpa menafikan pendekatan dakwah perlu fleksibel, Abd Halid berkata, Jakim sentiasa menganalisis pengisian dan strategi sesuai bagi belia terbabit dakwah.

Katanya, memahami jiwa remaja yang sukakan keseronokan, Bahagian Dakwah Jakim mendedahkan dakwah bukan saja dengan perkataan, malah melalui tindakan yang boleh mempengaruhi sasaran untuk menerima dakwah mereka.

"Belia adalah zaman penuh cabaran dan perlu pendekatan berbeza. Kita guna pendekatan menyeronokkan. Jika jumpa kumpulan remaja, senyum dan beri salam seperti dianjur Islam," katanya.

Beliau berkata, Jakim berhasrat meneruskan Kembara Dakwah dengan pengisian lebih menarik dan penyertaan lebih ramai sebagai pendekatan mengembangkan sayap dakwah kepada kumpulan sasaran remaja dan belia.

Thursday, July 2, 2009

Pendakwah dituntut bersikap lemah lembut, sentiasa sabar

Pendakwah dituntut bersikap lemah lembut, sentiasa sabar

ABU Burdah berkata: "Rasulullah mengutus ayahku, Abu Musa dan Muaz ke Yaman. Nabi berkata: Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan bersedia sekatalah kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam berdakwah ada tatacara yang perlu diamalkan supaya segala apa disampaikan menjadi ikutan. Antaranya, kita dilarang daripada menyukarkan manusia melakukan ketaatan kepada Allah.

Contohnya, ketika kita menjadi imam dalam solat, maka solat itu janganlah terlalu lama (panjang) kerana mungkin makmum yang ada bersama daripada mereka yang lemah, sakit atau sudah tua.

Nabi SAW juga menyuruh kita menggembirakan manusia bukan menjadikan mereka berasa benci dengan ajaran disampaikan. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan perkara menyedarkan manusia dan membangkitkan semangat mereka untuk melakukan kebaikan.

Jangan sekali-kali kita memberatkan dengan perkara berbentuk ancaman kerana ia akan menjauhkan masyarakat daripada agama dan kebenaran. Sebaliknya, jinakkan hati mereka dengan bertindak secara berhikmah kerana perubahan manusia kebiasaannya memakan masa dan melalui peringkat serta tahap tertentu bukan bersifat drastik atau melulu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Islam adalah agama mudah dan senang diamalkan setiap golongan. Oleh itu, hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai bebanan.

Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara membawa kepada kesulitan hidup.

Islam menuntut umatnya berdakwah ke jalan Allah dengan penuh hikmah serta bijaksana supaya ia diterima dengan mudah dan rela.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Justeru, pendakwah perlu mempunyai sifat lemah lembut dan sentiasa menghiasi diri dengan sifat sabar walaupun terpaksa berdepan mereka yang menentang kerana dakwah melalui contoh yang baik adalah lebih berkesan.

Kewajipan sentiasa berlemah lembut turut ditekankan Rasulullah SAW dalam apa hal kerana kebajikan diharamkan bagi mereka yang tidak mempunyai sifat lemah lembut. Sabda Baginda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak memiliki sifat lemah lembut, maka diharamkan seluruh kebaikan bagi dirinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Wednesday, July 1, 2009

Ilmuwan Islam wajar melestari teknologi canggih

Ilmuwan Islam wajar melestari teknologi canggih

Oleh Abdul Razak Idris

Blog pemikir harus diwujudkan untuk berdakwah kepada ummah dalam dunia siber

BERKURUN lalu, ilmuwan Islam yang lahir selepas pemerintahan Khalifah yang empat, ketika pemerintahan Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiah mengangkat tamadun Islam sebagai yang terbaik di dunia hingga menjadi asas kepada perkembangan teknologi mutakhir.

Pada zaman yang dikenali zaman keagungan Khalifah Ar-Rasyidun, teknologi Islam berkembang pesat di Andalusia, Sepanyol dan kesan ciptaan itu masih boleh dilihat sehingga kini. Selain itu, tamadun Islam turut berkembang maju di Turki sehingga sebesar-besar masjid tidak memerlukan kita untuk memasang sistem audio moden bagi melaungkan azan.

Zaman siber ini, umat Islam dilihat sebagai masyarakat pengguna nombor satu. Tidak kira di Asia Barat atau Asia Tenggara, umat Islamlah yang menjadi pengguna paling setia peralatan elektronik buatan barat, timur mahupun China.

Jika ada statistik dibuat, pengguna semua produk hasil teknologi barat adalah kalangan masyarakat Islam. Soalnya tidakkah kita tidak teruja untuk menjadi perintis teknologi era baru berasaskan agama Islam yang syumul.

Jika Al-Jabir dan Al Khawarizmi masih ada, pasti mereka berasa usaha untuk ummah tidak dihargai oleh umat Islam. Amat menyedihkan kerana walaupun kita memiliki prasarana dan hasil kajian diiktiraf dunia, ia masih tidak dikomersialkan dengan alasan teknologi luar lebih murah dan menguntungkan.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu menjadi gergasi teknologi dan usaha ke arah itu sudah diadakan sejak Koridor Raya Multimedia (MSC) ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kita sudah ada pusat pentadbiran yang gah di Putrajaya begitu juga bandar teknologi Cyberjaya yang sedang dimajukan sejak hampir 15 tahun lalu. Pusat teknologi itu sepatutnya digembleng menjadi pusat teknologi Islam yang menempatkan sekolah pemikir ilmuwan Islam yang mewariskan umat Islam dengan cabang dalam pelbagai bidang seperti astronomi, perubatan, kejuruteraan, matematik, sains dan pembinaan.

Teknologi Islam bukan bermakna hanya orang Islam yang wajib mengamalkannya, malah penganut agama lain boleh turut mengamalkannya. Dewasa ini, teknologi komunikasi canggih seperti telefon bimbit masih belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk orang Islam.

Contohnya, bagaimana telefon bimbit mampu menjadi tasbih sebagai alat pengira untuk zikir di sejadah dan di mana saja. Walaupun ada teknologi yang mampu merealisasikan fungsi sedemikian, ia dianggap teknologi yang perlu dipertingkatkan dan bukan fungsi asas.

Oleh itu, pengguna Islam perlu berkempen agar alat canggih seperti telefon dilengkapkan dengan butang mengira zikir yang mampu menggalakkan pengguna Islam beribadat sepanjang masa. Contohnya, untuk mengisi masa ketika tersekat dalam kesesakan atau sedang menunggu tren.

Alat Sistem Kedudukan Global (GPS) yang dibangunkan Amerika Syarikat (AS) menjadi sistem berguna hari ini dan sudah dikomersialkan di pasaran dunia. Sesungguhnya teknologi ketenteraan seperti internet yang dibangunkan barat semasa perang dingin antara AS dan Russia kini menjadi teknologi untuk seluruh umat manusia.

Bagi masyarakat Islam, jika menghayati ajaran Islam itu sendiri kita akan menjadi umat yang kuat kepada pemantapan pelaksanaan ilmu dan bukan sekadar menjadi pencetus idea atau peniup wisel semata-mata.

Teknologi komunikasi seperti internet perlu digunakan oleh pihak yang mempunyai kuasa mentadbir umat Islam untuk menerangkan Islam secara lebih jelas tanpa selindung lagi demi memulihkan imej Islam pasca 9 September 2001.

Islam adalah cara hidup dan mementingkan perdamaian sesama seagama dan penganut agama berlainan. Islam hari ini dilihat sebagai alat untuk menjustifikasikan sesuatu perkara dengan dalil serta hujah politik yang asyik meletakkan kesalahan pada bahu orang lain tanpa mencermin diri sendiri.

Hanya dengan pendedahan di internet anak muda akan tahu yang mana intan dan kaca. Blog pemikir Islam harus diwujudkan segera dan kita perlu menjadi perintis usaha ini. Beribadat dan berdakwah di masjid sudah biasa, apa salahnya berdakwah kepada anak muda di dunia siber pula.

Walaupun angkasawan pertama negara kita sudah ke angkasa lepas, kita sebenarnya masih ketinggalan jauh dari segi prasarana seperti yang ada di Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) dan di Baikonur, Kazakhstan, yang menjadi tempat pelepasan angkasawan pertama Yuri Gagarin.

Satelit terbaru negara, RazakSat yang bakal ke angkasa tidak lama lagi ini selepas ditangguhkan akibat masalah teknikal juga boleh dibanggakan kerana teknologinya dibangunkan oleh syarikat ATSB di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang memiliki jurutera di kalangan umat Islam.

Ini amat membanggakan sebagai pencapaian teknologi negara Islam yang wajar dicatatkan dalam sejarah negara. Apatah lagi RazakSat bukan sekadar satelit biasa, ia adalah satelit dengan teknologi alat pengesan jauh sama seperti TiungSat-1 yang dilancarkan pada 26 September 2000.

Teknologi Islam perlu dilestarikan kerana zaman ini anak muda mudah leka dengan dunia teknologi tanpa ada inisiatif untuk mendekatkan diri dengan sumber Islam. Kita sedar teknologi canggih hari ini sudah diasaskan oleh orang Islam suatu ketika dulu dan kita jarang insaf dengan keadaan itu.

Malang sebenarnya kerana pakar dan profesional lebih berminat berpolitik tanpa mengambil inisiatif membudayakan teknologi Islam. Umat Islam dikatakan sebagai buih-buih di lautan pada akhir zaman kerana jumlah kita hampir separuh penduduk dunia.

Tetapi, mengapa masih lagi menjadi pengguna teknologi bukan Islam dan kurang memperkasakan teknologi Islam yang canggih. Mungkin kerana sesama umat Islam agak berat bekerjasama dan itulah sebabnya.

Tuesday, June 30, 2009

Guna pendekatan hikmah dalam dakwah

Guna pendekatan hikmah dalam dakwah


Bekas Imam Masjid Negara, Datuk Kamarudin Zakaria (kiri) dan aktivis masyarakat, Datuk Zainal Abidin Sakom antara yang menyertai Konvensyen Pendakwah Negara di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.


Mungkinkah ada fakta sejarah kedatangan Islam ke negara ini yang perlu dikaji semula?

Ini kerana seperti yang didedahkan oleh pendakwah, Ann Wan Seng, yang mendapati kaum Cina Muslim dari Tanah Besar China adalah pendakwah yang sebenarnya paling berperanan membawa masuk Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke 10 atau 11 Masihi lagi.

Katanya, jika Islam telah sampai ke negara China sejak 1400 tahun lalu, iaitu sebelum umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, tentunya kita boleh membuat satu andaian bahawa Islam kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu melalui Tanah Besar Cina lebih awal berbanding pendakwah-pendakwah dari Tanah Arab yang didakwa yang mula-mula mengislamkan Tanah Melayu ini.

"Ditambah dengan banyak bahan sejarah termasuk catatan dan batu-batu bersurat yang menyokong kepada teori ini masih banyak belum dikaji.

"Namun saya yakin bahawa bangsa Cina mempunyai pengaruh yang cukup besar dan signifikan dalam soal dakwah dan penyebaran Islam berbanding hanya golongan yang baru memeluk Islam di negara ini.

"Jadi siapa sebenarnya yang mualaf di negara ini, anda atau saya? Anda fikirkanlah sendiri!," katanya sambil mengajuk pelawak Nabil yang mempopularkan tag line "Lu fikirlah sendiri!" itu.

Kata-kata akhirnya itu merupakan antara yang menjadikan Konvensyen Dakwah Negara (KPN) selama dua hari di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu hangat dan menarik.

Konvensyen itu dihadiri oleh kira-kira 700 peserta terdiri daripada individu-individu pendakwah dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini komited melakukan pelbagai aktiviti dakwah di negara ini.

Wan Seng yang juga Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bercakap soal etika atau tata kerja pendakwah supaya mereka melaksanakan dakwah mereka dengan penuh hikmah.

Ini kerana pengalaman menunjukkan kebanyakan pendakwah menggunakan pendekatan mendakwa berbanding berdakwah itu sendiri.

Kualiti hidup

"Memburuk-burukkan cara hidup mereka yang walaupun mungkin ada kebenarannya menyebabkan sasaran dakwah itu akan lari.

"Malah menuduh mereka sebagai kafir juga kadang kala mempunyai konotasi yang dianggap sangat menghina mereka.

"Apa yang penting kita mesti tonjolkan kebaikan Islam itu sendiri. Jangan bimbang orang Cina merupakan bangsa yang mempunyai fikiran terbuka," katanya.

Beliau sebenarnya menjawab soalan dari pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah yang berhadapan dengan persoalan sesetengah kaum Cina di negara ini yang tidak dapat menerima Islam.

Ini kerana golongan berkenaan membandingkan kualiti hidup kalangan Melayu beragama Islam itu.

KPN adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dengan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.

Wakil Pertubuhan Dakwah yang terkenal dari Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH) pula membangkitkan mengenai tindakan pantas lagi cekap pertubuhan dakwah bukan Islam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa musibah dan kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini di Kuching.

Ini apabila kebakaran yang melibatkan sebuah perkampungan Melayu tetapi yang lebih awal datang menghulurkan bantuan kepada mangsa adalah pertubuhan bukan Islam.

Dalam hal ini, Wan Seng bersama dua lagi ahli panel forum di konvensyen itu, Nicholas Berry Sylvester Muhamad Abdullah dan Muhammad Fitri Abdullah tidak menafikan tawaran berbentuk wang dan bantuan dari pihak 'pesaing' ditambah dengan tindakan pantas dan cekap mereka sedikit sebanyak boleh menghalang usaha-usaha dakwah Islam.

Wan Seng mendedahkan, kini tidak sahaja pertubuhan gereja yang sering kali dianggap menggunakan tarikan wang dan bantuan malah kalangan pertubuhan Buddha turut mengambil pendekatan yang sama.

"Umpan seperti ini memang menjadi satu cabaran yang sangat getir tetapi saya percaya kebenaran akan mengatasi segala-galanya. Walaupun begitu kita juga mesti bersedia dari aspek yang sama, kerana telah ada peruntukan seperti asnaf zakat dan sebagainya yang boleh kita manfaatkan," katanya.

Wakil HIKMAH juga memberitahu bahawa, terdapat lebih 50 etnik kaum di seluruh Sarawak tetapi sehingga kini dakwah-dakwah Islam hanya dapat memasuki 1/3 sahaja dari kawasan-kawasan yang didiami etnik yang masih mempercayai pelbagai kepercayaan pagan atau animisme itu.

Ini kerana kos yang tinggi di samping diharapkan dengan adanya Radio Jakim iaitu Salam FM dapat dimanfaatkan dalam usaha dakwah. Lebih-lebih lagi jika ada slot yang ke udara menggunakan loghat atau bahasa daerah seperti Iban, Bajau dan sebagainya.

Turut dibangkitkan adalah pendekatan berdebat seperti yang dilakukan oleh pendakwah terkemuka Allahyarham Sheikh Ahmed Hussein Deedat terutama dengan pendukung-pendukung dakwah Kristian dapat diguna pakai dalam menjayakan misi dakwah Islam di negara ini.

Dalam hal ini, Nicholas berkata, pendekatan seperti itu dikira kurang sesuai sebagai satu uslub dakwah yang strategik. Sebabnya, bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini lazimnya lebih mudah didekati dengan cara yang sederhana atau lebih baik lagi menggunakan kaedah dakwah bil hal, iaitu dengan contoh.

"Dengan cara itu adalah lebih baik lagi berbanding kita berdebat bagi mengelakkan suasana yang tidak harmoni," katanya.

Terdapat juga peserta yang bertanyakan masalah yang dihadapi dalam berdakwah terutama terhadap bangsa Cina dan India di negara ini kerana usaha itu sering disalah faham oleh parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum tersebut.

Berbanding jika usaha dakwah dilakukan terhadap penduduk atau kaum Asli di negara ini yang kurang risiko dari menerima tentangan dari mana-mana pihak.

Ini sebagaimana yang disuarakan oleh pendakwah wanita terkenal negara, Dr. Fatma Al Zahraa yang ingin mendapatkan kepastian sama ada umat Islam ini dibenarkan untuk mengajak kepada Islam kepada mereka yang bukan Islam di negara ini.

"Ini kerana saya dapati banyak pihak yang memberitahu kita tidak boleh berbuat demikian malah di kalangan umat Islam sendiri meminta saya supaya tidak secara terang-terangan berdakwah kepada bukan Islam kerana dari aspek undang-undang, usaha ini tidak dibenarkan.

"Benarkah begitu?" tanya Dr. Fatma.

Wan Seng bagaimanapun menjelaskan Perlembagaan Persekutuan negara tidak menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan terhadap bukan Islam di negara ini.

Begitu juga dengan faktor politik, ia bukan menjadi alasan kepada umat Islam untuk mengehadkan usaha dakwah walaupun tidak dinafikan ia mungkin mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.

"Tetapi adalah lebih penting usaha berterusan bagi menjelaskan mengenai Islam malah sebenarnya sudah ada pihak yang menaruh minat untuk mengenali Islam sehinggakan mereka mempelajari al-Quran dan cuba mengambil pengajaran dari kitab suci itu untuk dikongsi bersama dengan orang lain.

"Jadi, kita tidak boleh menghalang minat-minat yang besar terhadap Islam walaupun ia berbaur kepentingan politik," katanya.

Sementara itu, pendakwah yang mewakili kaum India, Muhammad Fitri dalam kertas kerjanya tidak menafikan usaha-usaha untuk menyebarkan Islam di kalangan bukan Islam menjadi semakin kompleks dan rumit pada hari ini.

"Namun jika para pendakwah mengenali agama dan adat budaya dan resam kumpulan sasaran, kita mendapati usaha yang mulia ini akan menjadi lebih mudah kerana saling memahami perbezaan yang ada mampu mewujudkan hubungan yang harmoni," jelasnya.

Melalui hubungan yang murni, kata Muhammad Fitri, sehingga ke peringkat umat Islam atau pendakwah Islam mengambil inisiatif menziarahi mana-mana penganut Hindu yang meninggal dunia sudah cukup menjadi satu daya tarikan untuk mereka melihat Islam itu sebagai agama yang sempurna dan indah!

"Jika penganut Hindu memahami dan mendalami agama mereka sendiri, mereka akan menyedari mereka sebenarnya telah salah faham terhadap agama mereka itu.

"Pada hakikatnya agama Hindu adalah antara agama yang terawal berbicara mengenai soal tauhid dan keesaan tuhan yang satu (Eka Tuam).

"Agama ini menjadi menyimpang kerana ia telah diubah mengikut cita rasa dan keperluan semasa," kata Muhammad Fitri.

Konvensyen ini pastinya membuka banyak lembaran baru dalam dunia dakwah tanah air. Sebabnya terdapat banyak input baru yang mampu menyuntik semangat kepada para pendakwah untuk tidak sahaja mengukuhkan Islam namun yang penting membetulkan pelbagai salah faham serta menghilangkan Islamphobia terutama di kalangan bukan Islam.

Namun seperti yang disuarakan oleh Pegawai Eksekutif Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Mohd. Taqiuddin Abdullah, beliau mengharapkan agar di masa akan datang, pihak penganjur akan mengadakan sesi dialog bersama menteri yang berkenaan.

"Ini bagi membolehkan kita dapat berkongsi banyak perkara di samping menteri dan pihak-pihak yang berkaitan dapat lebih memahami dan menyelami masalah yang dihadapi oleh para pendakwah Islam di negara ini.

"Seterusnya mereka dapat memberikan jalan keluar atau bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang berlaku," katanya.

Tuesday, May 26, 2009

Contohi hikmah Rasulullah sebar risalah Islam

Contohi hikmah Rasulullah sebar risalah Islam

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Di kesempatan yang lepas, ruangan ini ada menyentuh peri-pentingnya ciri-ciri utama manhaj Nabawi dihargai dan dihayati demi kecemerlangan misi dakwah. Di antara ciri utama manhaj ini ialah cahaya rahmat dan kasih-sayang yang menyelubunginya dari segenap sudut.

Islam sejak kelahirannya tidak boleh dipisahkan dengan unsur rahmat, cinta dan kasih. Unsur-unsur ini merupakan roh yang mewarnai Islam bersesuaian dengan mesej Islam yang menobatkan kesejahteraan selari dengan pengertian namanya.

Risalah Islam terbina atas paduan rasa kasih dan cinta kepada Allah SWT dan Rasul SAW serta memberi dan menghulur kasih kepada sesama manusia, haiwan bahkan alam persekitaran.

Unsur kasih, cinta dan rahmat harus digabungkan dalam diri setiap Muslim kerana ia adalah asas kekuatan dalaman dan roh Islam itu sendiri. Bersifat belas ihsan, kasih mengasihi dan membawa mesej kerahmatan kepada insan sejagat adalah satu tuntutan utama dalam hidup beragama.

Demikianlah yang harus dipupuk semenjak kecil lagi dalam diri setiap individu Muslim tidak mengira status, jantina dan peranan mereka dalam masyarakat. Mereka yang bergerak di gelanggang dakwah dan memikul imej Islam terlebih utama mesti menjiwai roh rahmat dan mahabbah (kasih sayang) kerana itulah piawai yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW Sebagai Qudwah Hasanah

Maha Suci Allah yang telah mengurniakan rahmat-Nya bagi semesta alam melalui perutusan kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW, penghulu risalah kerahmatan ke seluruh alam maya dengan akhlak, perilaku mulia dan peringatan yang baik. Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya': 107)

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mempamerkan akhlak yang unggul dan terpuji dalam setiap gerak geri aspek kehidupannya. Baginda SAW adalah insan yang sentiasa menjadi punca rahmat apabila hadir di suatu perkumpulan manusia lantaran dari adab sopan, sifat pemurah, lembut, lunak bicara dan juga sifat pemalunya.

Baginda SAW bukanlah seorang yang keras hati dan baginda tidak melontarkan kalam yang kesat kepada insan-insan sekeliling yang menjadi medan seruan dakwahnya.

Maka akhlak yang baik serta contoh teladan yang terpuji ini harus diterapkan dalam diri setiap Muslim. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergiat cergas dalam medan dakwah, penyampaian ilmu dan tarbiah.

Seorang sahabat bernama Hindun ibn Abi Halah r.a. adalah di kalangan mereka yang amat pandai menyifatkan peribadi Nabi SAW. Suatu ketika, beliau ditanya oleh cucunda Nabi SAW iaitu al Hasan ibn Ali r.a mengenai peribadi mulianya itu. Maka Hindun ibn Abi Halah r.a menyatakan:

"Rasulullah SAW adalah seorang yang sentiasa bersedih (kerana takut kepada Allah). Baginda SAW selalu berfikir bahkan hampir tidak sempat berehat. Baginda SAW lebih banyak berdiam, Baginda SAW tidak berbicara kecuali apabila perlu. Baginda SAW membuka dan menutup bicaranya dengan menyebut nama Allah. Perbicaraannya padat dengan makna sekalipun ringkas. Kata-katanya jelas, tidak menjurus ke arah sesuatu yang sia-sia atau berlebih-lebihan dan tiada pula yang kurang difahami. Baginda SAW tidak bersikap kasar dan tidak pernah menghina". (Syamail al-Muhammadiyyah oleh al-Tirmizi)

Kewajipan Mencontohi Rasulullah SAW Dalam Usaha Dakwah

Bagi individu yang melibatkan diri dalam arena dakwah, secara rasmi ataupun tidak, adalah menjadi kewajipan mereka menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan tertinggi.

Individu-individu ini harus benar-benar mendalami sirah Nabawi dengan sempurna kerana segala bentuk uslub (cara) dakwah yang diperlukan telah pun ditunjukkan oleh Baginda SAW melalui sunnahnya yang mulia.

Kegagalan menguasai dan mendalami sirah Nabawi serta mengenali mukjizat, kesempurnaan dan keistimewaan Baginda SAW adalah sebab utama yang melahirkan kepincangan uslub dakwah dalam Islam.

Setiap perkara, tindak tanduk, kalam yang dilontarkan harus dirujuk dengan teliti kepada sunnah Baginda SAW. Seorang pendakwah yang mahu menegur golongan yang menjadi sasaran dakwahnya itu seharusnya berfikir dan merenung dalam-dalam sama ada teguran yang bakal dilontarkan itu secocok atau tidak dengan manhaj Nabawi dan adakah tegahannya membawa lebih banyak kebaikan atau keburukan.

Baru-baru ini, berlaku dalam sebuah masjid, seorang khatib yang sedang menyampaikan khutbah Jumaat memarahi secara terbuka di atas mimbar seorang remaja yang dilihatnya sedang berbual-bual dan menulis khidmat pesanan ringkas (SMS).

Mungkin disebabkan malu dan tersentak dengan teguran yang dilakukan secara terbuka itu, remaja itu terus meninggalkan masjid tersebut tanpa menunggu khutbah selesai dan meninggalkan solat Jumaat.

Adakah cara menegur seperti ini bertepatan dengan perilaku dan Sunnah Rasulullah SAW? Padahal, hukum berbual semasa khutbah diperselisihkan di kalangan ulama. Di sisi Qaul Jadid Imam Syafie menyebut, hukumnya adalah makruh dan ini adalah pendapat yang paling sahih.

Jangan disebabkan kurang bijaknya kita, kerana hendak menegakkan perkara sunat perkara wajib dikorbankan, kerana hendak mencegah perkara makruh, perkara haram dilakukan.

Ketandusan penghayatan sifat rahmat dan kasih-sayanglah yang menjadi penyebab kepada berlakunya tragedi dakwah seumpama ini. Kita tidak tahu barangkali insan yang melakukan perbuatan tersebut masih di peringkat permulaan berjinak-jinak mendalami Islam atau mendekati masjid.

Mungkin juga insan yang ditegurnya itu jahil tentang adab dan sunnah ketika menghadiri khutbah Jumaat kerana baru memeluk Islam atau telah membesar dalam suasana masyarakat yang meminggirkan agama.

Sekiranya sikap yang keras dan kasar seperti ini berterusan, Islam akan semakin jauh dan terpinggir dari hati umat Islam sendiri, apatah lagi dari hati mereka yang bukan Islam.

Ini jelas bertentangan dengan pentarbiahan Allah terhadap nabi-Nya dalam firman-Nya yang bermaksud: Sekiranya engkau bersikap degil lagi keras hati, nescaya sudah pastilah mereka akan lari dari seruan dakwahmu (wahai Muhammad). (ali-'Imran: 159)

Dalam merungkai permasalahan ini, kita hanya perlu kembali menghayati uslub dakwah dan pentarbiahan Nabi SAW. Baginda SAW telah meninggalkan pusaka yang cukup berharga untuk diwarisi oleh kita iaitu sunnahnya yang bercahaya.

Menelusuri kembali sejarah kehidupan dan sirahnya yang mulia, kita akan mendapati banyak kisah yang menunjukkan kepada kebijaksanaan Baginda SAW dalam menyampaikan dakwah dengan penuh hikmah dan peringatan yang baik.

Kita telah diingatkan kepada peristiwa seorang Arab Badwi yang telah memasuki masjid Nabi SAW, lalu dengan sewenang-wenangnya membuang air kecil di salah satu sudutnya. Para sahabat yang menyaksikan hal itu menjadi berang dan ingin menerpa ke arah lelaki Badwi tersebut disebabkan kebiadapannya mencemari rumah Allah SWT.

Rasulullah SAW bersama sifat kasih, cinta dan rahmat yang menebal di dalam dirinya menahan para sahabatnya dari bertindak melulu, kasar, mencaci serta menjatuhkan maruah insan lain.

Baginda SAW membiarkan lelaki Badwi tersebut menghabiskan sisa kencingnya tanpa menyergahnya atau melemparkan kata cacian, cercaan dan unsur-unsur yang boleh menjatuhkan maruah.

Bahkan Baginda SAW menasihati dengan baik, penuh hikmah dan kasih sayang. Dalam kekalutan itu, Baginda SAW sempat menyampaikan dengan tenang satu sunnah kepada para sahabat iaitu cara bagaimana hendak menyucikan kencing dan najis dengan sabdanya, "Jiruslah pada air kencingnya itu sebaldi air".

Hikmah kebijaksanaan Baginda SAW menghalang sahabat bertindak kasar terhadap Arab Badwi tersebut, telah dapat mengelakkan kencing Arab Badwi itu bertaburan di dalam masjid kerana melarikan diri dari para sahabat.

Rasulullah SAW juga mengingatkan peranan mereka pada akhir hadis dengan sabdanya: Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyukarkan. (riwayat al Bukhari)

Melalui peristiwa ini, kita akan mendapati suatu contoh amali bagaimana harus subur merimbun di hati seorang pendakwah perasaan rahmat, cinta dan kasih terhadap golongan yang menjadi sasaran dakwahnya.

Memang sewajarnya, setiap muslim itu mencari dan mengutip bekalan ilmiah dan thaqafah Islamiah secukupnya dan bukan hanya bermodalkan sifat cemburu dan ghairah dalam memperjuangkan agama bagi menjamin pencapaian dakwah dan penyebaran risalah yang lebih gemilang. Wallahu a'lam.

Saturday, May 16, 2009

Media elektronik wadah berkesan sebar dakwah

Media elektronik wadah berkesan sebar dakwah
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Penajaan sektor koporat bagi program keagamaan mampu tingkat keuntungan, keberkatan

PIHAK swasta dan korporat diminta menaja program keagamaan bagi menyemarakkan lagi usaha dakwah melalui media elektronik kerana selain nilai komersial melalui penajaan, langkah itu sebagai cara menambah keberkatan kepada syarikat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata program keagamaan banyak memberi pengajaran sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada penonton yang mengambil iktibar daripada program berkenaan.

Katanya, penajaan pihak swasta dan korporat memberi nilai tambah kerana imbuhan yang disediakan jika ada, mampu menarik minat penonton mengikuti serta menimba pengetahuan daripada maklumat disampaikan.

"Program keagamaan sentiasa dinantikan penonton yang sukakan kepada pembangunan minda untuk membentuk individu berjiwa kasih sayang dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Tajaan pihak swasta dan korporat akan memberi nilai komersial.

"Lebih penting ialah jika program itu menjadi ikutan, bayangkan berapa ramai yang akan mendapat pengajaran. Tidak semestinya kesedaran itu secara terus, mungkin program menjadi panduan dalam kehidupan dan itu satu proses pendidikan. Ini akan beri keberkatan kepada pihak yang menaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kuiz Al-Risaalah - Berita Harian di Sri Pentas, Damansara. Majlis penyampaian hadiah itu disiarkan secara langsung melalui program Nasi Lemak Kopi O di TV9.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi TV9, Bokhari Che Muda; Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin; Pengarah Urusan Darul Fikir, Datuk Mohd Zaki Ahmad; Pengarah Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Datin Nor Hanida Samsun Baharun dan Pengarah Eksekutif CSL Sdn Bhd.

Pembantu Tadbir Kewangan Hospital Parit Buntar, Mohd Faisal Ahmad Mansor, 38, melahirkan rasa syukur kerana diumumkan sebagai pemenang hadiah utama iaitu kereta Perodua Viva berharga RM28,000 tajaan Darul Fikir Sdn Bhd.

Katanya, berdasarkan maklumat melalui akhbar mengenai penjurian kuiz berkenaan, beliau tidak yakin nasib akan menyebelahinya kerana menyedari saingan hebat daripada peserta lain yang pastinya tekun mengikuti program berkenaan selama sebulan.

"Ketika dimaklumkan bahawa saya tersenarai antara lapan pemenang, saya kata hadiah sagu hati pun sudah memadai. Apabila tinggal saya seorang saja menanti pengumuman hadiah utama, saya bersyukur sangat," katanya.

Beliau yang tidak pernah ketinggalan menonton Al-Risaalah 2 yang disiarkan jam 10.30 malam setiap hari sepanjang Ramadan lalu memang meminati siri dokumentari yang menyingkap kisah nabi dan rasul dalam usaha mereka mengembangkan ajaran Islam.

Bagi jurutera bangunan, Norhisham Idris, 33, hadiah tempat kedua iaitu pakej umrah yang diterima adalah hadiah ulang tahun perkahwinan yang disambut bulan ini bersama isteri, Siti Nurul Ain Abdul Hamid.

Beliau yang menghantar lapan borang penyertaan tidak menyangka akan terpilih sebagai seorang daripada tiga pemenang hadiah utama kerana pernah terlepas beberapa siri program Al-Risaalah 2.

"Sebenarnya saya tak yakin dengan jawapan yang diberi kerana ada beberapa siri yang saya terlepas menonton dan sebab itu saya hantar lapan borang penyertaan. Tetapi, semua ahli keluarga menonton dan mereka bantu mencari jawapan," katanya.

Katanya, disebabkan pakej umrah 12 hari 10 malam yang ditawarkan hanya untuk seorang, beliau akan menampung kos menunaikan umrah untuk isterinya supaya mereka dapat pergi bersama.

Sementara itu, pemenang hadiah ketiga yang menawarkan tambang menunaikan umrah, Noor Aini Mohd Rashid, 50, berkata penyertaan beliau sekadar memenuhi minat menonton program Al-Risalaah 2 yang banyak memaparkan tempat bersejarah.

"Jika hendak pergi sendiri ke tempat itu bukan senang dan apabila Al-Risaalah siarkan apa yang ada di sana, itu sesuatu yang besar manfaatnya buat saya. Jika tidak, bila agaknya saya dapat melihat batu kesan pukulan tongkat Nabi Musa," katanya.

Selain hadiah utama, ketiga-tiga pemenang turut menerima hadiah telefon bimbit tajaan CSL Sdn Bhd yang turut menaja hadiah untuk lima penerima sagu hati.

Pengadilan kuiz dilakukan juri diketuai Pengurus Projek Khas TV9, Che Wan Alias Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Hadhari, Wan Abdul Hamid Wan Teh; Pensyarah Pengajian Islam Universiti Malaya, Roslan Mohamed; Pengarah Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Datin Nor Hanida Samsun Baharun; Pengurus Limatic Travel and Tours Sdn Bhd, Nur Hasmiza Salleh dan Penolong Pengarang Unit Khas Berita Harian, Muhd Yusof Abu Bakar.

Pemilihan pemenang berdasarkan semua jawapan yang betul dan slogan terbaik. Keputusan disahkan Juruaudit Dalaman Media Prima, Nur Hazwani Abdul Halim.

Kuiz Al-Risaalah memerlukan peserta mengumpul 30 soalan yang disiarkan dalam Berita Harian dan Berita Minggu sepanjang Ramadan lalu. Peserta juga perlu melengkapkan slogan tidak lebih 15 perkataan.

Penganjur memilih 96 penyertaan dan menyenarai pendek 33 daripada jumlah itu yang memberi jawapan tepat bagi semua soalan dikemukakan.

Kuiz al-Risaalah kali ini agak mencabar kerana penonton bukan menjawab soalan sebaliknya perlu memadankan gambar yang disiarkan pada borang kuiz berdasarkan episod dan gambar berkenaan tidak menurut urutan.

Program Al-Risaalah 2 bertemakan Musa-Kalimullah adalah kesinambungan daripada kisah nabi yang disiarkan program Al-Risaalah musim pertama yang memaparkan cerita 12 nabi bermula dengan Nabi Adam hingga Nabi Ayub.

Al-Risaalah 2 menyingkap kisah sembilan nabi iaitu Nabi Syuib, Nabi Musa, Ilyasa', Zulkifli, Harun, Daud, Sulaiman, Ilyas dan Yunus. Sebanyak lapan episod menumpukan riwayat hidup Nabi Musa yang menjadi tema program itu.