Showing posts with label MAHKAMAH SYARIAH. Show all posts
Showing posts with label MAHKAMAH SYARIAH. Show all posts

Thursday, August 20, 2009

Hak Muslim: Keengganan saksi hadir dianggap hina mahkamah

Hak Muslim: Keengganan saksi hadir dianggap hina mahkamah

Soalan:
SAYA mempunyai satu kes permohonan tuntutan nafkah ketiga-tiga anak yang masih berjalan di mahkamah syariah. Di dalam kes ini, mahkamah menghendaki saya membawa saksi untuk menyokong tuntutan saya. Malangnya, saya sukar untuk mendapatkan kerjasama saksi berkenaan untuk hadir ke mahkamah bagi menguatkan tuntutan kes saya itu. Mereka beranggapan bahawa saksi tidak perlu hadir dan mengambil remeh perkara itu. Apa yang perlu saya lakukan?

Dilema Ibu Malang,
SHAH ALAM, SELANGOR.

Jawapan:
Umum perlu sedar bahawa saksi menjadi faktor penting dalam kejayaan dan perjalanan sesuatu kes. Ketiadaan saksi boleh menjadikan kes itu gagal dibuktikan dan seterusnya menyebabkan permohonan ditolak.

Masyarakat tidak seharusnya memandang remeh isu berkaitan saksi. Individu yang dipanggil ke mahkamah wajib hadir untuk memberikan keterangan sebagai saksi, baik secara lisan ataupun secara dokumen. Kegagalan saksi hadir ke mahkamah boleh menyebabkan waran tangkap dikeluarkan ke atas saksi berkenaan.

Namun begitu puan hendaklah memastikan saksi berkenaan disapina terlebih dulu sebelum apa-apa tindakan dibuat ke atas saksi yang enggan hadir untuk memberikan kerjasama. Permohonan untuk mensapina saksi boleh dibuat di mahkamah syariah dengan ditandatangani oleh pendaftar mahkamah itu.

Seksyen 102 Enakmen Tatacara Mal Selangor memperuntukkan bahawa satu permohonan untuk sapina perlu dibuat kepada mahkamah bagi membolehkan sapina dikeluarkan. Seksyen 106 memperuntukkan bahawa sesuatu sapina hendaklah diserahkan secara kediri terhadap saksi dalam masa 12 minggu tarikh sapina dikeluarkan.

Kesaksian adalah wajib ke atas individu apabila diminta hakim seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah, ayat 282 yang bermaksud: "�dan janganlah saksi�saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil..."

Enakmen undang-undang keluarga Islam di setiap negeri di negara ini memberikan kuasa kepada hakim untuk melaksanakan apa-apa hukuman ke atas sesiapa yang melanggar perintah mahkamah. Ini termasuk tindakan terhadap saksi yang enggan hadir apabila dikemukakan sapina untuk hadir ke mahkamah dalam sesuatu kes. Berdasarkan keengganan itu, ia boleh dikatakan sebagai menghina mahkamah.

Kuasa diberikan kepada mahkamah adalah wajar bagi mempertahankan kedudukan dan kemuliaan mahkamah syariah, hakimnya dan semua yang terbabit dengan pentadbiran keadilan daripada dihina atau diaibkan oleh mana-mana pihak.

Ini juga bagi mengelakkan daripada berlakunya penyalahgunaan proses mahkamah oleh pihak yang berkepentingan.

Keengganan saksi itu untuk hadir boleh dikatakan suatu bentuk penghinaan terhadap mahkamah memandangkan sapina sudah diserahkan kepada mereka.

Oleh kerana itu juga, Mahkamah berhak dan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka bagi membolehkan mereka hadir ke mahkamah.

Saya menasihati puan agar mendapatkan khidmat nasihat peguam syarie yang lebih arif bagi memastikan hak dan kepentingan puan terjamin dalam kes ini.

Disediakan oleh Yusmawati Abdullah, Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, August 19, 2009

Hapus prejudis hukuman Mahkamah Syariah

Hapus prejudis hukuman Mahkamah Syariah

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim

Kerajaan perlu kaji bidang kuasa elak penghakiman undang-undang Islam diperlekeh

PENGHAKIMAN Mahkamah Syariah di Kuantan yang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan kepada wanita Melayu Islam berumur 32 tahun kerana minum arak di khalayak ramai menarik pandangan banyak pihak. Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (pindaan 1987).

Ada yang memuji keberanian Mahkamah Syariah, ada yang mengutuk dan ada juga tidak menyokong atau menentang. Apa yang menarik adalah penerimaan terbuka wanita itu sesuatu yang berbeza dengan penerimaan pihak lain.

Beberapa laman web mengutuk penghakiman serta tindakan Jabatan Agama Pahang itu. Antara dakwaannya ialah ramai lagi umat Islam minum arak, berjudi tetapi tidak dihukum. Begitu juga beberapa NGO mengutuk penghakiman atas alasan mangsa ialah wanita yang tidak harus disebat kerana undang-undang sivil di Malaysia turut mengecualikan wanita daripada hukuman rotan.

Dengan menjatuhkan hukuman itu, Mahkamah Syariah dikatakan zalim, menyeksa wanita dan penghakiman ini dianggap berlawanan dengan hak asasi manusia kerana hukuman itu memalukan wanita berkenaan dan tidak bertamadun.

Persoalan apakah wanita terkecuali hukuman sebat? Dalam Islam, taklif atau beban melaksanakan agama adalah sama antara jantina. Apabila Allah SWT menetapkan hukum mencuri mengikut undang-undang Islam dipotong tangan, Allah turut meletakkan hukuman sama terhadap wanita. Begitu juga hukuman zina. (Surah al-Nur)

Cuma kaedah pelaksanaan kewajipannya agak berbeza tetapi di sisi Allah, kedua-dua pihak bertanggungjawab atas perlakuan mereka.

Masyarakat sering sensitif terhadap hukuman Mahkamah Syariah. Penghakimannya selalu dikupas dan menjadi polemik tidak berkesudahan. Media juga kerap memainkan isu seperti ini yang menggambarkan kelemahan Mahkamah Syariah seperti tidak efisien, hukuman tidak bagus dan kes memakan masa lama.

Bukankah kita berpegang kepada keluhuran undang-undang dan menghormati sistem perundangan negara? Kenapa apabila sesuatu penghakiman di Mahkamah Sivil dijatuhkan, semua boleh menerima dengan baik, berlapang dada menghormatinya, tetapi tindakan sebaliknya diberikan kepada Mahkamah Syariah. Tindakan double standard seperti ini tidak harus diteruskan.

Justeru, apabila ketidakpuasan hati berlaku terhadap penghakiman mahkamah, medan perundangan juga jawapannya. Merayu ke mahkamah lebih tinggi kaedah sewajarnya, buka menghina dan mengkritik penghakiman Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah menjatuhkan penghakiman berdasarkan bidang kuasanya yang kecil dan ini wajar diperbincangkan atau ditambah baik agar mahkamah berfungsi dengan baik.

Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Disemak 1988) menyebut bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah yang ditubuhkan mengikut undang-undang negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang Islam dan berkenaan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun agama Islam oleh orang yang menganuti agama itu yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis: Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman itu. Akta ini yang perlu dibincangkan dan dicadangkan penambahbaikan oleh semua yang prihatin.

Bahkan laman web itu juga membawa kenyataan jika sesiapa ingin melakukan perkara haram dan menempah neraka atas pelakuannya, maka itu adalah urusan dia dengan Allah. Tidak ada kena mengena dengan orang lain sama ada manusia atau pemerintah. Ia adalah urusan peribadi dan bukan urusan rakyat dan pemerintah Dengan kata lain mahkamah tidak berhak mencampuri urusan mereka.

Sebenarnya, undang-undang bertujuan mengawal selia pelakuan salah manusia untuk kehidupan lebih baik. Jika semua orang bebas melakukan apa saja, apakah akan berlaku dalam masyarakat? Semua masyarakat dunia menerima undang-undang sama ada dari agama atau bertujuan menjaga agar keburukan dahsyat dikurangkan melalui penguatkuasaan undang-undang.

Oleh itu, apabila menerima Islam, kita juga mesti menerima taklif beban pertanggungjawaban ke atas perkara ditetapkan agama. Apabila wujud perlanggaran kepada peruntukan, ia kewajipan semua pihak untuk menegur dan membetulkan pesalah. Apabila ia melepasi sistem perundangan, maka mahkamah adalah medan memutuskannya. Melakukan yang haram bukan hak asasi manusia dan melanggar hak Allah adalah jenayah dan bukan hak.

Di samping kita harus mengetahui perbezaan kaedah pelaksanaan hukuman rotan antara perundangan sivil dan syariah, penghakiman terhadap kesalahan wanita ini patut memberi kita pengajaran lain iaitu:

l Sebagai Muslim baligh, kita bertanggungjawab atas pelakuan sendiri, melakukan kehendak agama sebaiknya, menjauhi perkara diharamkan dan memberi pendidikan sewajarnya kepada zuriat kita untuk menghormati Islam dan nilainya. Sangat menyedihkan jika orang Islam menghina agama sendiri. Jika orang Islam menghina dan menjatuh taraf agamanya, siapakah untuk kita harap mempertingkatkannya?

# Sudah sampai masanya pihak berwajib mengambil pendekatan tepat dan cepat mengemas kini perundangan berkaitan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan demi membina penghormatan selayaknya. Kritikan penghakiman Mahkamah Syariah perlu dihentikan kerana ia menghina mahkamah.

# Penyeragaman undang-undang syariah di negeri wajar dipercepatkan demi menegakkan keadilan dan mengelak salah faham masyarakat terhadap kepelbagaian peruntukan di setiap negeri yang belum berjaya diseragamkan.

# Peruntukan kaedah pelaksanaan hukuman ini juga perlu diperhalusi segera untuk mengelak kekeliruan yang menyebabkan kepercayaan masyarakat terus tergugat.

Antaranya di mana pelaksanaan dilakukan, di penjara biasa atau penjara khusus? Siapakah tukang rotan? Di depan khalayak atau keluarga? Kerajaan negeri perlu menyegerakan kelengkapan prasarana, urusan teknikal dan bersungguh-sungguh

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam dan sekarang menyambung PhD Undang-Undang di Australia

Monday, August 17, 2009

Undang-undang Islam sering diperlekeh

Undang-undang Islam sering diperlekeh

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Perintah mahkamah syariah tidak dipatuhi, ditohmah tanpa penyelidikan

NEGARA kita mengamalkan dwisistem perundangan iaitu sistem undang-undang sivil dan sistem undang-undang syariah. Kedua-dua sistem ini hendaklah menjadi pelengkap antara satu sama lain dalam menyusun atur masyarakat pelbagai kaum dan agama. Kedua-dua sistem ini mempunyai fungsinya tersendiri dan perlu dihormati.

Sistem undang-undang sivil sudah diterima pakai masyarakat namun kesedaran mematuhi undang-undang syariah masih pada tahap rendah sama ada di kalangan orang Islam apatah lagi bukan Islam. Undang-undang Islam masih lagi dianggap seolah-olah 'undang-undang kelas kedua' yang tidak memberi kesan apabila tidak mematuhinya. Institusi perundangan syariah sering kali ditohmah tanpa siasatan yang wajar malah tidak keterlaluan jika dikatakan kejayaan institusi agama langsung tidak dapat membuka mata golongan ini.


Malah kebanyakan tindakan institusi agama menjadi daya kritikan pihak tertentu. Umpamanya perintah sah yang dikeluarkan mahkamah syariah tidak dipatuhi malah diperlekehkan atas pelbagai alasan. Sering kali juga bidang kuasa mahkamah syariah dipersoalkan walaupun sudah jelas ia terletak di dalam bidangnya melalui keputusan yang dibuat mahkamah sivil.

Penulis mengambil perbandingan satu isu yang hangat diperkatakan di mahkamah syariah baru-baru ini iaitu isu sebatan. Apabila Mahkamah Tinggi Syariah Pahang menjatuhkan hukuman sebatan kepada seorang peminum arak, maka pelbagai rungutan dan kritikan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu. Ada yang mengatakan hukuman itu salah, ada pula yang mengherdik mahkamah syariah kerana tidak berperikemanusiaan dan tidak kurang juga yang memperlekehkan keputusan itu tanpa terlebih dulu mengkaji apakah sebenarnya hukuman yang dijatuhkan.

Namun apabila mahkamah sivil menjatuhkan hukuman sebatan, hampir tidak kedengaran suara yang sama menangisi hukuman yang dijatuhkan itu walaupun hakikatnya sebatan sivil jauh lebih dahsyat kesannya berbanding sebatan syariah. Kenapa perbezaan sebegini berlaku? Mungkin persepsi yang diambil ialah apa saja yang dikeluarkan dari sebuah institusi Islam, ia pasti tidak baik. Persepsi inilah yang perlu diperbetulkan kerana mahkamah syariah mempunyai jurisprudennya yang tersendiri. Segala tindakan yang dilakukan tidaklah lari dari apa yang diperuntukkan oleh hukum syarak.

Kesedaran mematuhi undang-undang syariah ini amat rendah kerana masih ada pihak berkuasa sendiri yang tidak menyedari ada undang-undang yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam masih belum dilaksanakan sepenuhnya kerana kewujudan enakmen ini hanya 'disedari' baru-baru ini saja. Namun pelaksanaannya sehingga kini masih menjadi tanda tanya!

Begitu juga kesalahan tidak mematuhi perintah mahkamah syariah. Atas apa juga alasan, kesalahan ini amat kurang didakwa di mahkamah syariah yang menyebabkan suami atau bapa umpamanya mengambil kesempatan untuk tidak membayar nafkah isteri atau anak. Begitu juga isteri atau ibu yang tidak mematuhi terma perintah hadhanah anak.

Sebenarnya memang ada golongan yang tidak berapa takut mengingkari perintah mahkamah syariah kerana tidak merasai akibat keingkarannya. Tambahan pula kesalahan di mahkamah syariah hanya membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan gagal memberi pengajaran kepada orang Islam.

Sudah sampai masanya Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) itu dipinda bagi membolehkan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang bagi kesalahan syariah lain supaya hukuman kesalahan dikenakan hukuman lebih berat. Tindakan ini boleh menyuntik keinsafan ke arah penghayatan dan pematuhan undang-undang syariah di dalam negara.

Mahkamah syariah sebagaimana mahkamah sivil tidak mengaplikasikan logik akal semata-mata. Tatkala mahkamah sivil terikat dengan prosedur dan undang-undang, mahkamah syariah pula dipandu nas dari hukum syarak. Hakim mahkamah syariah tidak teruja dengan kemampuan akal semata-mata, tetapi memberi penekanan berat kepada nas yang diterima pakai. Umat Islam tidak mempunyai pilihan selain menerima hukum yang ditetapkan secara qatie. Inilah keunikan mahkamah syariah yang perlu diinsafi masyarakat tanpa mengira sama ada mereka itu Islam atau sebaliknya.

Thursday, May 28, 2009

Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan

Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan

Oleh Nik Salida Suhaila

Pasangan harus mengetahui punca krisis, urus perdamaian sebelum memilih untuk bercerai

HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya, tiada persefahaman, akibat masalah yang mungkin remeh-temeh atau tiada masalah langsung, tetapi itulah berlaku apabila jodoh tidak berpanjangan.

Ada yang mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami, dan anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan seorang ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Keluarga adalah institusi paling kecil, tetapi utama dalam pembinaan tamadun. Asas kukuh menjadi tunjang kepada peradaban yang sihat dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, keutuhan dan kerukunan perlu dicapai setiap unit keluarga bagi membolehkan membina tamadun manusia. Pincang institusi itu bermakna akan ada pelbagai bentuk kerosakan di muka bumi.

Permulaan untuk membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang serta ketenangan terhasil daripada ikatan yang suci.

Ia juga untuk memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat keturunan sebagai penyambung tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi di samping mengelakkan masalah sosial yang semakin meruncing akibat hubungan terlarang antara manusia.

Asas kepada perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur. Persoalan mengenai penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita rentetan daripada perkahwinan tidak timbul langsung dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan oleh suami, isteri berhak menuntut perceraian.

Antara penyebab berlakunya konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Lagi pun, talak perkara paling dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah perceraian." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan yang tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan sebuah kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian juga mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika ada masalah yang mengganggu keharmonian, ia hendaklah diselesaikan seberapa upaya. Untuk menguruskan perdamaian akibat perbalahan antara pasangan, pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh berlarutan. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, maka tiada perdamaian 'hati' yang boleh diusahakan lagi.

Selain itu, suami boleh memulihkan keadaan dengan tujuan memberi pengajaran mungkin dalam bentuk teguran, amaran atau pukulan yang tidak menyakitkan. Jika salah satu pihak cuai menjalankan tanggungjawab menyebabkan konflik dalam perkahwinan, suami atau isteri boleh membuat aduan dan tindakan mahkamah. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman, maka hukuman ini bolehlah juga dikatakan sebagai amaran.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi pula menidakkan ajaran dan bimbingan dalam sebuah keluarga, akhirnya wujudlah anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya, dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan ia sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina 'jati diri' menghadapi kemungkinan kemudian hari. Akhirnya rumah tangga bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak yang lebih mengusutkan.

Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan membawa kepada krisis yang besar sehingga pasangan bertindak untuk tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu. Ia tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain yang timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar. Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah bermaksud: "Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 226)

Bukan tiada caranya untuk menangani konflik rumah tangga, tetapi jika tidak kembali kepada ajaran-Nya, tentulah masalah menjadi semakin runcing, suami mesti sentiasa menjadi pemimpin, isteri setia dibimbing, anak pula jangan dikesamping.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Hak Muslim: Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000

Hak Muslim: Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000


Soalan:
SUAMI berhutang dengan saya sebanyak RM45,000 iaitu tunggakan perintah nafkah anak. Saya sudah memfailkan saman penghutang penghakiman terhadap beliau di Mahkamah Syariah. Adakah ia suatu tindakan tepat atau ada permohonan lain lebih sesuai. Boleh atau tidak saya membuat permohonan perisytiharan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai cara mendapatkan semula hutang itu. Selain permohonan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, apa alternatif lain boleh diambil.
Ingin tahu,
Selangor.

Jawapan:
Pertamanya, tindakan puan memfailkan saman penghutang penghakiman adalah satu tindakan yang tepat. Jika suami mengaku berhutang seperti jumlah dinyatakan tadi, maka Mahkamah Syariah boleh mensabitkan terhadap tuntutan itu.

Bagaimanapun, jika suami menafikan dakwaan atau tuntutan puan, Mahkamah Syariah akan membuat siasatan terhadap suami. Mahkamah juga mengambil kira kemampuan suami membuat bayaran sama ada secara sekali gus atau ansuran jika tuntutan atau dakwaan puan berjaya disabitkan.

Bagi isu sama ada puan boleh membuat permohonan perisytiharan muflis, secara dasarnya perintah Mahkamah Syariah tidak disebut dalam akta muflis. Akta itu hanya menyebut perkataan 'mahkamah' saja. Ini bermakna bagi isu permohonan muflis puan harus membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Sivil melalui seksyen 88 Akta Kebankrapan 1967.

Sementara itu , bagi permohonan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, puan boleh memohon sendiri memandangkan puan adalah pihak yang memberi hutang kepada suami. Secara umumnya, jumlah hutang kepada pemiutang hendaklah sekurang-kurangnya RM30,000.

Syarat bagi jumlah itu sudah dipenuhi. Tambahan pula, hutang yang dituntut hendaklah untuk satu jumlah yang boleh ditentukan yang perlu dibayar segera atau kemudian dengan syarat terakhir suami puan adalah pemastautin di Malaysia dalam tempoh setahun sebelum petisyen difailkan.

Untuk pengetahuan puan, ada juga syarat lain yang perlu dipenuhi dalam seksyen 5 Akta Kebankrapan 1967. Bagi prosiding dan perintah atas petisyen pemiutang, seksyen 6 akta yang sama menggariskan panduan bagaimana mahkamah ingin mengisytiharkan seseorang itu dikategorikan sebagai muflis.

Mengikut seksyen itu, perkara penting yang perlu ada sepanjang prosiding mahkamah berlaku ialah bukti hutang pemiutang.

Namun, adalah lebih baik puan membuat aduan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Bahagian itu akan membantu puan melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah.

Pihak BSK akan membuat pemantauan terhadap suami untuk memastikan nafkah yang tertangguh dan diputuskan mahkamah diselesaikan.

Jawapan disediakan ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nor Azmi Mohd Arif

Wednesday, May 27, 2009

Peguam Syarie Menulis: Mediasi bantu selesai pertikaian tanpa bicara

Peguam Syarie Menulis: Mediasi bantu selesai pertikaian tanpa bicara

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Kaedah guna orang tengah lebih jimat masa, kos tanpa memanjangkan kes ke mahkamah

BARU-BARU ini kerajaan Terengganu dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu bersama-sama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menganjurkan Kursus Pengurusan Mediasi kepada pegawai syariah dan pegawai tadbir Terengganu.

Selain itu, kursus berkenaan dihadiri beberapa pegawai syariah daripada Jabatan Kehakiman Syariah Pahang, Kelantan, Perak dan Kedah. Kursus itu dikendalikan mediator berpengalaman Accord Group dari Australia. Peserta diwajibkan menjalani kursus mediasi 40 jam selama lima hari berturut-turut.

Antara objektif kursus adalah untuk memastikan kemahiran dan pengetahuan teknik pengendalian proses sulh yang berkesan. Kursus itu juga bertujuan memberi pendedahan secara profesional kaedah mengurus dan mengawal keadaan pelanggan yang pelbagai, selain mendapatkan pengiktirafan akademik mengenai tanggungjawab, kelayakan dan kredibiliti pegawai sulh secara teori sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa akan tercapai.

Mediasi bermaksud proses untuk membina suatu persetujuan bersama secara sukarela antara kedua-dua pihak. Ketika proses itu, seorang akan bertindak sebagai pihak ketiga atau orang tengah atau perantara (mediator) yang tidak akan memihak kepada sesiapa dan beliau juga tidak bertindak sebagai hakim bagi menentukan pihak mana patut menyelesaikan pertelingkahan mereka.

Mediator juga bukanlah seorang yang memberikan nasihat atau mencadangkan kepada pihak itu bagaimana harus menyelesaikan pertelingkahan mereka. Mediator bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu kedua-dua pihak berkomunikasi antara suatu sama lain dengan lebih berkesan.

Dengan teknik khusus, pihak terbabit dengan bantuan mediator sebagai orang tengah mampu untuk menyelesaikan pertikaian tanpa memanjangkan kes mereka ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan.

Hakikatnya, perjanjian yang diperoleh oleh mereka secara persetujuan bersama itu dengan dibantu mediator akan dapat menyelesaikan pertelingkahan. Kaedah itu lebih baik berbanding jika pihak itu merujuk kes mereka ke mahkamah, seterusnya memperoleh perintah mahkamah.

Ini kerana mahkamah hanya menumpukan kepada hak pihak yang bertikai berdasarkan undang-undang. Sedangkan melalui proses mediasi, penyelesaian dapat dicapai atas dasar keperluan sebenar mereka di atas situasi menang-menang, maksudnya tiada pihak yang kalah.

Mediasi adalah salah satu proses sangat dianjurkan bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah. Mediasi adalah salah satu cabang Alternative Disputes Resolution (ADR) iaitu kaedah penyelesaian tanpa merujuk pertikaian ke mahkamah.

Selain mediasi ada kaedah ADR lain iaitu perbincangan, perdamaian serta arbitrasi. Bagaimanapun, kaedah mediasi dikatakan berjaya menyelesaikan kes tanpa menjalani proses perbicaraan panjang. Ia dipraktikkan di negara seperti Singapura, Australia serta beberapa negara lain.

Kesannya, lebih daripada 70 peratus kes yang didaftarkan dapat diselesaikan dengan kaedah ini manakala selebihnya diselesaikan di mahkamah. Proses itu mempunyai beberapa kebaikan berbanding proses perbicaraan di mahkamah.

Proses mediasi tidak menggunapakai undang-undang serta prosedur mahkamah yang ketat. Proses itu juga lebih menjimatkan masa serta kos pihak-pihak yang bertikai serta dapat mengurangkan bebanan seperti terpaksa menghadapi kelewatan kes di mahkamah kerana sudah pastinya kes akan tertangguh atas beberapa alasan antaranya tidak cukup bukti atau kurang persediaan peguam mahupun pihak-pihak.

Bagi mengurangkan masalah ini, sewajarnya kaedah itu harus ditekankan bagi memastikan hak pihak-pihak tidak terjejas. Kaedah mediasi sudah digunakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bagi melatih pegawai syariah terutama pegawai sulh bagi menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang.

Proses itu sudah menunjukkan hasil memberangsangkan apabila kebanyakan kes difailkan ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan oleh pegawai sulh terlatih dengan mediasi. Beberapa negeri seperti Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan ketara dalam peningkatan kes yang diselesaikan di luar mahkamah selepas pegawai sulh negeri terbabit kursus mediasi.

Pegawai sulh sudah dilatih berhadapan pelbagai kerenah pelanggan di samping diserapkan ilmu sebagai mediator supaya dapat menyelesaikan kes Mahkamah Syariah dengan lebih profesional dan tersusun.

Apatah lagi mereka yang mengikuti kursus serta lulus ujian penilaian ditetapkan secara ketat, mereka ini bergelar mediator bertauliah dan diiktiraf negara Asia Pasifik.

Sedikit sebanyak dengan pengiktirafan itu dapat melahirkan pegawai Mahkamah Syariah yang profesional serta mempunyai kemahiran bagi menyelesaikan masalah pihak yang bertikai. Sekali gus proses itu dapat menangkis tanggapan negatif sesetengah pihak yang mengatakan Mahkamah Syariah lewat. Hakikatnya, lebih daripada 60 peratus kes dirujuk ke Mahkamah Syariah dapat diselesaikan dengan kaedah ini.

Walaupun negara seperti Singapura, Australia, New Zealand dan Republik Arab Mesir sudah lama melaksanakan sistem mediasi di Mahkamah Keluarga berbanding Mahkamah Syariah di Malaysia tetapi dengan adanya pendedahan mediasi pembaharuan atau penambahbaikan dapat dibuat dari masa ke semasa.

Pelaksanaan mediasi dapat mempercepatkan lagi proses penyelesaian pertelingkahan antara pihak-pihak sekali gus dapat mempertingkatkan keupayaan sistem penyampaian dan keberkesanannya.

Dalam Islam, mediasi menyamai konsep sulh yang bermakna 'putus pertengkaran' yang membawa maksud kompromi. Sementara pengertian syarak membawa maksud satu perjanjian dimeterai bagi menyelesaikan perselisihan atau pertikaian antara pihak beragama Islam.

Sejarah juga mencatatkan Nabi Muhammad SAW sebelum menjadi rasul menjadi pengantara (mediator) dalam pertikaian yang hampir mencetuskan pertumpahan darah antara pembesar Quraisy.

Peristiwa itu berlaku ketika ingin menentukan siapakah yang akan meletakkan kembali hajar al-aswad ke tempat asalnya. Muhammad SAW akhirnya dipilih untuk menyelesaikan pertikaian itu dari kalangan pembesar Quraisy kemudian sepakat dan bersetuju cadangan Baginda.

Selepas dilantik menjadi rasul, Baginda tidak melakukan apa-apa perubahan terhadap amalan terakhir dilaksanakan berasaskan prinsip kerelaan kedua-dua pihak. Baginda SAW menampilkan dirinya untuk menyelesaikan pertikaian.

Dalam konteks sedemikian, meskipun berfungsi sebagai hakim tunggal, tetapi Baginda lebih cenderung menyelesaikannya dengan mencadangkan sulh kepada pihak bertikai daripada bertindak menjatuhkan hukuman.

Hakikatnya, sulh ada dinyatakan dalam al-Quran sebagai sebaik-baik jalan untuk perdamaian. Namun begitu, tidak dijelaskan secara terperinci bagaimana suatu sulh dapat dilaksanakan bagi menyelesaikan pertikaian di antara pihak-pihak.

Langkah JKSM dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menghantar pegawai syariah mendalami ilmu mediasi adalah langkah tepat bagi memartabatkan Mahkamah Syariah serta mencari formula mengurangkan kes tertunggak dan menyelesaikan pertikaian tanpa perbicaraan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, May 20, 2009

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah

Peguam Syarie Menulis: Wartawan memperkasa imej mahkamah syariah
Oleh Musa Awang

MATA pena wartawan bisa menjadi selembut lidah, bisa menjadi setajam pedang. Jika mengkaji sejarah, pembentukan negara Israel adalah rentetan tulisan wartawan Israel, Theodor Haerzl, yang bertanggungjawab membangkitkan semangat kaum Yahudi mencapai matlamat membentuk negara haram mereka.

Sejarah juga membuktikan, media penulisan sudah lama menjadi medium dakwah cendekiawan, pemikir dan ulama Islam. Nama seperti Rasyid Rida, Muhammad Abduh, Tok Kenali antara tokoh pemikir Islam terbabit dalam dunia penulisan dan kewartawanan untuk dakwah Islam yang berkesan.

Menyusuri susur galur sejarah perjuangan wartawan Melayu tanah air seperti Tan Sri Samad Ismail, Rahim Kajai, Burhanuddin Helmi dan Said Zahari, jelas penulisan adalah kembar mereka dalam memperjuangkan nasib bangsa.

Wartawan juga berkhidmat untuk masyarakat. Berita dan maklumat disebarkan mencerminkan fikiran masyarakat. Wartawan adalah pengantara bagi masyarakat meluahkan perasaan suka, duka, marah dan kecewa, terhadap apa juga isu atau permasalahan melanda.

Inilah tanggungjawab sosial yang berat dipikul setiap wartawan. Sesuatu maklumat atau tulisan yang disampaikan mampu mencorak fikiran masyarakat sama ada ke arah pemikiran memihak, tidak memihak, positif atau negatif.

Mutakhir ini, kehadiran wartawan di mahkamah syariah untuk melaporkan kes adalah suatu yang positif. Malah, kebanyakan akhbar utama sudah mewujudkan ruangan mahkamah khusus untuk melaporkan kes dibicarakan.

Media adalah alat yang mampu merangsang kesedaran dan mempengaruhi sikap serta membentuk pandangan sarwa individu atau masyarakat terhadap sesuatu isu diketengahkan. Fungsi media sudah menjadi pelbagai, selain menjadi penyalur maklumat, penyampai berita, penglipur dan penghibur.

Laporan media di mahkamah syariah secara tidak langsung memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai hukum syarak dan undang-undang.

Mengambil beberapa contoh, dalam kes Ako Mustapha yang dipenjarakan tiga bulan kerana berkhalwat dengan bukan Islam, ia memberi pendidikan kepada masyarakat bahawa berkhalwat dengan bukan Islam juga adalah satu kesalahan.

Dalam kes pemain badminton negara (Faizah Mohamad lawan Roslin Hashim), masyarakat mendapat ilmu baru iaitu jika tidak berlaku persetubuhan antara suami isteri, talak yang disabitkan ialah bain sughro, yakni talak yang tidak boleh dirujuk, melainkan dengan akad baru.

Sementara dalam kes penyanyi popular Jamal Abdillah, masyarakat didedahkan bahawa persetubuhan semata-mata tanpa rujuk walaupun berlaku dalam tempoh edah bukan rujuk, tetapi adalah zina.

Sebelum ini, mungkin ramai tidak tahu perkara itu tetapi apabila didedahkan di media, ia menjadi satu bentuk pendidikan kepada mereka. Dari satu sudut, apabila sesuatu kes itu mendapat liputan media, perjalanan kes menjadi lebih cepat dan pantas, berbanding kes tidak mendapat liputan.

Peranan media memartabatkan undang-undang syariah diiktiraf Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang mana suatu kerjasama diadakan antara Media Prima-UIA-JKSM-PGSM pada 10 Februari lalu, untuk menerbitkan rancangan Kes Syariah di TV9. JKSM juga mengadakan kerjasama dengan rancangan Sebutan Syariah-Astro Oasis.

Bagaimanapun, hak umum untuk mengetahui sesuatu maklumat mestilah diseimbangkan dengan hak individu mengekalkan maklumat peribadinya sebagai suatu hak persendirian yang sulit dan tidak dihebahkan kepada umum.

Maruah mana-mana individu tetap dipertahankan. Laporan yang sensitif, keterlaluan dan secara sensasi perlu dielakkan, kerana Islam menggalakkan kemuliaan insan dipelihara dalam semua keadaan. Semua pengamal media perlu sedar bahawa mereka tertakluk kepada Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Peranan dan pengaruh yang besar ini dalam sesetengah keadaan boleh merosakkan imej serta identiti Islam dan umatnya. Berita bersifat provokatif dan suara sebelah pihak, tanpa penyiasatan atau penyelidikan perlu dielakkan.

Menjadi satu kebaikan kepada wartawan Islam untuk berusaha memperbetul dan memperkasakan mahkamah syariah, tetapi dalam batasan yang tidak merosakkan imej Islam serta umatnya. Tanggungjawab seorang wartawan Muslim terhadap perintah amar makruf nahi mungkar, adalah lebih besar kerana golongan ini mempunyai medan suara yang luas pengaruhnya.

Pada era mencabar ini, sudah tiba masanya pengamal media membuat anjakan paradigma dengan mengambil kira pendekatan pendidikan dan berdakwah. Tidak salah menyajikan hiburan tetapi perlu diimbangi dengan maklumat yang membina peribadi dan peradaban.

Akta Kebudayaan Kebangsaan 1971 memperuntukkan tiga unsur utama perlu didukung semua rakyat, iaitu unsur kebudayaan asal rantau ini, unsur kebudayaan lain yang wajar dan unsur Islam sebagai unsur terpenting.

Memanfaatkan media sama ada media elektronik atau cetak sebagai media dakwah bukanlah satu kerja mudah. Ia memerlukan sokongan dan perhatian semua pihak. Hanya dengan rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, maka barulah usaha diketengahkan akan benar-benar menghasilkan sesuatu yang berfaedah dan dihargai semua.

Media perlu tampil dan menyiarkan lebih banyak program ilmiah berteraskan syariat bagi mendidik minda dan hati masyarakat, yang boleh memberi impak positif dalam pembentukan sahsiah masyarakat terpuji dan boleh diteladani menurut tuntutan agama.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) sentiasa bersedia menyalurkan bantuan kepakaran bagi menghasilkan produk media yang Islamik untuk menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat Islam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sila layari http://www.peguamsyarie.org.

Wednesday, May 13, 2009

Peguam Syarie Menulis: Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah

Peguam Syarie Menulis: Hukuman pesalah jenayah syariah masih rendah
Oleh Musa Awang

Akta sudah 25 tahun wajar dipinda supaya bersesuaian dengan arus pemodenan

PADA 22 April lalu, ketika penulis dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah, terdengar perbualan sesama mereka. Kata si abang kepada adiknya, "Adik, tengok 'paper' ni, Kapten Boleh kena penjara tiga bulan. Patutlah cerita Kapten Boleh di TV asyik ulang-ulang cerita sama saja." Si adik merampas surat khabar daripada abangnya dan berkata, "Iya betullah.. Patutlah..." Tersenyum penulis mendengar perbualan anak kecil ini.

Pada 21 April lalu, pelakon Ako Mustapha dijatuhi hukuman penjara tiga bulan berkuat kuasa serta-merta dan didenda maksimum RM3,000 atas kesalahan berkhalwat dengan seorang jurusolek bukan Muslim, dua tahun lalu.

Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 36, mengaku salah atas tuduhan berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, pada 27 Jun 2007 sekitar jam 1.20 pagi di Blok B-2-9, Kondominuim Oakleaf Park, Persiaran Bukit Antarabangsa, Gombak.

Sebelum itu, Ako dikenakan waran tangkap Januari lalu selepas beberapa kali tidak menghadirkan diri pada prosiding mahkamah. Bagaimanapun, pada 21 Januari lalu, Ako mengaku bersalah atas tuduhan dikenakan ke atasnya.

Daripada perbualan spontan anak itu, rentetan daripada kes Ako Mustapha ini, terlintas di fikiran penulis beberapa perkara yang perlu kita renungkan bersama.

Pertamanya, betapa kuatnya pengaruh karaktor dalam rancangan televisyen kepada anak. Pada masa sama, adakah hukuman jenayah syariah masih relevan dengan keadaan semasa? Adakah hukuman dijatuhkan hakim itu cukup berat untuk menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat dan adakah hukuman itu cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Terlintas di fikiran ini, Ako yang berkhalwat dengan pasangan bukan Islam dijatuhkan hukuman, bagaimana pula pasangannya? Adakah dia terlepas begitu saja?

Anak melihat watak rekaan di televisyen sebagai hero mereka. Lebih-lebih lagi jika rancangan itu ditayang berulang-ulang kali. Anak lebih kenal watak Kapten Boleh?, berbanding nama sebenarnya Ako Mustafa. Anak menyanjungnya sebagai seorang kapten serba boleh, yang boleh menyelesaikan setiap masalah. Amatlah malang apabila hero yang menjadi kebanggaan anak melakukan jenayah, mengaku salah dan dikenakan hukuman penjara.

Sebagai ibu bapa, fikirkan, sama ada wajar atau tidak hukuman denda RM3,000 dan penjara tiga bulan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur itu. Tambahan pula, Ako beberapa kali tidak menghadirkan diri sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. Ako seolah-olah mencabar kewibawaan mahkamah syariah, walaupun publisiti terhadap perjalanan kesnya disiarkan dalam media arus perdana.

Sebagai selebriti yang menjadi pujaan dan perhatian masyarakat, seharusnya dia menjadi idola yang baik. Lebih-lebih lagi jika dia membawa watak hero kepada kanak-kanak. Hukuman yang dijatuhkan itu bukan sekadar dakwah kepada Ako saja, malah sebagai pengajaran kepada selebriti lain dan masyarakat keseluruhannya.

Atau, adakah anda berasakan hukuman itu terlalu ringan dengan kesalahan dan kesan dilakukan? Apa pun penilaian anda, hakim bicara sebenarnya menjatuhkan hukuman menurut undang-undang.

Kes Ako ini turut mencetuskan persoalan pada minda penulis, adakah masih relevan hukuman jenayah syariah dengan keadaan semasa? Adakah hukuman yang ada sekarang cukup berat menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat, dan adakah ia cukup mapan untuk membendung kes jenayah syariah?

Penulis berpandangan, adalah wajar hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan, bagi membendung peningkatan kesalahan jenayah syariah di negara ini. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, pada 24 April lalu kemungkinan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah ditingkatkan disambut baik. Ia tepat pada masa dan suasana sekarang.

Kini, hukuman boleh dijatuhkan mahkamah syariah adalah rendah, terutama apabila kebanyakan hukuman dijatuhkan hanya membabitkan denda. Hukuman dikenakan ini adalah dalam ruang lingkup bidang kuasa diberikan kepada hakim syariah dalam menghukum pesalah jenayah syariah.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984) membataskan hukuman boleh dikenakan oleh mahkamah syariah adalah tidak melangkaui prinsip 5-3-6, iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam kali sebatan.

Akta yang sudah 25 tahun tidak mengalami perubahan ini perlu dipinda supaya ia bersesuaian dan mampu membangun dengan arus kemajuan dan pemodenan umat Islam hari ini. Jika 25 tahun lalu, jumlah denda RM5,000 mungkin menggerunkan, tetapi tidak lagi pada masa sekarang. Ia menyebabkan pesalah jenayah syariah lebih rela mengaku salah dan membayar denda daripada dibicarakan.

Jika mahkamah syariah mengenakan denda maksimum sekalipun, ia masih rendah dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Jarang kita dengar pesalah syariah dipenjarakan kerana gagal membayar denda.

Jika perbandingan dibuat dengan Mahkamah Majistret Kelas Pertama pun, ternyata kuasa pada mahkamah syariah adalah lebih rendah. Seksyen 85 Akta Mahkamah Rendah 1948 memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama yang boleh membicarakan semua kesalahan dengan hukuman maksimumnya tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda saja.

Sedangkan mahkamah syariah dan mahkamah tinggi syariah sekali pun, hanya boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Sila layari http://peguamsyarie.org.

Friday, May 8, 2009

Hukuman sebat kes syariah, sivil perlu diselaraskan

Hukuman sebat kes syariah, sivil perlu diselaraskan
Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my

HUKUMAN sebat sudah diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984). Akta itu diwujudkan menurut kuasa diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai Negeri).

Berdasarkan akta itu, kadar hukuman sebat yang sudah ditetapkan adalah enam kali sebatan saja. Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang diguna pakai, hukuman sebat diperuntukkan sebagai salah satu hukuman bagi pesalah jenayah syariah.

Contohnya, mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, hukuman sebat hanya dikenakan ke atas enam jenis kesalahan iaitu kesalahan berhubung doktrin palsu, perbuatan sumbang mahram, pelacuran, pelindung pelacur (ibu ayam), persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah.

Oleh demikian, adalah menjadi budi bicara bagi seseorang hakim untuk menjatuhkan hukuman sebat dalam penghakimannya. Memang dalam sesetengah penghakiman kes jenayah syariah ada hakim menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah.

Namun, perkara yang sering bermain di minda kita adalah sejauh mana pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Malaysia. Banyak kekeliruan timbul apabila menyebut mengenai pelaksanaannya. Kekeliruan itu harus diselesaikan secara bersama supaya kesepakatan dapat dicapai dalam mencari penyelesaiannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), berkata umumnya hukuman sebat dalam kesalahan jenayah syariah itu tidak diketahui sebilangan masyarakat.

“Perkara ini disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah kurangnya pendedahan mengenai hukuman sebat dan hukuman ini tidak dilaksanakan secara meluas oleh mahkamah,” katanya.

Contohnya, pada 12 Januari 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dan enam kali sebatan terhadap seorang lelaki dan wanita yang mengaku bersalah meminum arak.

Hukuman itu diperuntukkan mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987. Malangnya, kes itu diperalat pelbagai pihak. Keadaan itu menyebabkan timbul pelbagai anggapan mengenai keupayaan institusi agama melaksanakan perintah sebatan yang diputuskan.

Namun setakat ini belum ada apa-apa tindakan dibuat bagi menyelesaikan atau menangani masalah berkaitan sebatan itu.

Selain itu, timbul juga pertikaian berkenaan kaedah sebat yang dilaksanakan. Adakah kaedah sebatan seperti dilaksanakan Jabatan Penjara ketika ini boleh diguna pakai atau perlu satu kaedah lain yang bertepatan dengan hukum syarak diadakan.

Dalam pada itu, persepsi umum beranggapan hukuman dilaksanakan Mahkamah Syariah adalah ringan. Sering kali hukuman diputuskan berbentuk denda saja. Oleh itu, ia menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan statistik kesalahan jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat menganggap undang-undang syariah sebagai remeh.

Pelbagai program sudah dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani masalah itu. Namun, kesalahan jenayah syariah tidak juga berkurangan.

Jamil Khir berpendapat, satu kajian terperinci perlu dibuat oleh pakar dalam bidang perundangan syariah dan sivil bagi memastikan pelaksanaan hukuman sebat dapat dijalankan; satu kaedah atau peraturan berkaitan sebatan perlu diwujudkan bagi menjamin hukuman dilaksanakan dengan teratur dan berkesan selain kerjasama strategik perlu diwujudkan antara Jakim, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi berkaitan.

Pendapat itu disokong Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang berkata, peruntukan sebatan mengikut Undang-undang Jenayah Syariah negeri dan peraturan sebatan diperuntukkan mengikut Undang-undang Prosedur Jenayah Syariah agak jarang diketengahkan dan dilaksanakan.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan wujud pelbagai persoalan sama ada di kalangan pengamal undang-undang mahupun orang ramai, sama ada ia relevan dikekalkan mengikut undang-undang syariah atau sebaliknya.

Sehubungan itu, jumlah hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap pesalah jenayah syariah masih kecil walaupun Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman itu mengikut enakmen, ordinan dan akta kesalahan jenayah syariah.

Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa, berkata berdasarkan kajian, secara umum kebanyakan negeri, tiada satu pun hukuman sebat dijatuhkan ke atas pesalah itu walaupun selepas Enakmen Tatacara Jenayah Syariah mengikut model undang-undang seragam yang mempunyai prosedur hukuman sebat dikuatkuasakan.

“Setakat ini, Kelantan sudah melaksanakan hukuman itu manakala di Pahang, Perak dan Johor ada hukuman sebat yang pernah dijatuhkan tetapi tidak dapat dilaksanakan atas sebab rayuan yang dikemukakan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Masalah dan Penyelesaian pada seminar itu.

Beliau berkata, jumlah hukuman sebat yang sangat sedikit itu menyebabkan realiti sebenar mengenai masalah membabitkan pelaksanaan hukuman sebat oleh pihak penjara tidak dapat diketahui.

Justeru katanya, langkah penambahbaikan dalam konteks jenayah syariah juga sukar untuk diambil kerana hukuman sebat itu masih tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Walaupun masih ada beberapa masalah membabitkan pelaksanaan hukuman sebat, segala masalah itu bukanlah halangan besar kepada pelaksanaannya. Terpulang kepada kebijaksanaan hakim untuk menggunakan kuasa dan budi bicara memilih hukuman yang hendak dijatuhkan dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, pihak penjara perlu menjalinkan semangat dan rangkaian kerjasama yang termaktub dalam undang-undang dan komitmen melaksanakan hukuman Mahkamah Syariah dengan mematuhi setiap prosedur.

Mahamad Naser turut mencadangkan kaedah terperinci membabitkan hukuman sebat yang seragam digubal dan dikuatkuasakan di negeri dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Cabaran dan Halangan berkata, hukuman sebat syariah berbeza dengan sebat sivil.

“Walaupun peruntukan hukuman itu sudah lama wujud, pelaksanaannya masih belum meluas. Sudah sampai masanya hukuman ini dijatuhkan dan dilaksanakan sepenuhnya. Halangan yang wujud adalah yang bersifat metafora dan bukan sebenar.

“Hukuman sebat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana agensi berkaitan seperti penjara sudah bersedia melaksanakannya. Malah, hakim syarie juga sudah melihat demonstrasi sebat syariah yang dijalankan pegawai penjara dan mendapati ia tidak bertentangan peruntukan undang-undang dan hukum syarak,” katanya.

Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara, Masran Muhamad, ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat bagi Kes Jenayah Syariah: Satu Pandangan berkata, jabatan itu akan terus melaksanakan hukuman berdasarkan arahan daripada waran yang sah serta berlandaskan ketetapan undang-undang.

Katanya, bagi tujuan pendedahan, Jabatan Penjara mengalu-alukan kehadiran kakitangan Mahkamah Syariah untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat di penjara.

Berikutan itu, kerajaan masih menunggu cadangan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, Jakim sebelum membuat keputusan mengenai langkah memperkasakan undang-undang jenayah syariah di negara ini menerusi pindaan.

Jamil Khir berkata, kajian akan dilakukan kerana persepsi umum beranggapan hukuman dilaksanakan Mahkamah Syariah ringan dan kerajaan tidak mahu undang-undang syariah di negara ini menjadi perbahasan yang tidak ada penghujung.

“Oleh itu, kita menyasarkan apabila masyarakat dan kalangan ulama, pengamal undang-undang termasuk Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia serta Mahkamah Sivil melihat satu kesepakatan yang baik, barulah kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, anggapan umum ialah denda maksimum RM5,000 bukan kerana ia sedikit atau banyak, tetapi ada kesalahan besar tetapi hukuman tidak boleh dikenakan lebih daripada peruntukan diberikan.

“Kita harus rombak dan lihat supaya ia memberi keadilan daripada apa yang ditetapkan dalam bidang kuasa. Seminar ini akan bermula sebagai rangkaian atau permulaan berterusan ke arah memperkasakan lagi bidang kuasa jenayah syariah untuk kita laksanakan,” katanya.

Wednesday, May 6, 2009

Hukuman jenayah syariah perlu dipertingkat

Hukuman jenayah syariah perlu dipertingkat
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

BARU-BARU ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), menyatakan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah mungkin dirombak dan ditingkatkan termasuk hukuman sebat dalam usaha kerajaan membendung peningkatan kesalahan itu.

Masyarakat Islam beranggapan hukuman dikenakan Mahkamah Syariah adalah rendah. Kebanyakan hukumannya ialah denda dan dianggap menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat beranggapan undang-undang syariah sesuatu yang remeh.

Malaysia ialah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, tetapi dari sudut kehakiman dan perundangan kita masih tidak dapat melihat keputusan menepati semangat uqubah dalam syariat Islam. Perkembangan yang boleh dibanggakan hanya penubuhan Mahkamah Syariah dan hukuman yang dikenakan masih boleh dipertikaikan.

Dalam konteks bidang kuasa jenayah, apa yang disebut sebagai dichotomy atau pertindihan dalam membicarakan kesalahan tertentu yang diperuntukkan mengikut enakmen kesalahan jenayah syariah dan seumpama dengannya di bawah akta Persekutuan lain.

Hukuman dikenakan dalam kes yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah juga ringan sehingga boleh dipandang sebelah mata dan dianggap remeh bagi mereka yang berada. Secara praktiknya hukuman dalam kes jenayah, dilihat tidak dilaksanakan sepenuhnya dengan tiada pelaksanaan hukuman sebatan dan akhirnya hukuman itu hanya di atas kertas dan sebagai syarat untuk memenuhi lacuna yang ada tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

Hakikatnya dalam Islam, hukuman takzir boleh dikenakan dalam pelbagai bentuk sama ada ringan atau berat seperti amaran, celaan atau hukuman mengenai tubuh seperti penjara, buang daerah, sebat sehingga kepada bunuh.

Bahkan ada pendapat ulama mengatakan hukuman takzir boleh melebihi hukuman had. Denda dengan wang antara hukuman takzir di negara ini. Ada perbezaan pendapat ulama mengenainya.

Pendapat pertama mengatakan tindakan harus dikenakan hukuman dengan wang, sementara pendapat kedua mengatakan harus denda dengan wang. Pendapat ketiga mengatakan hanya diharuskan jika pesalah tidak bertaubat. Mengikut Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Yussof dan satu golongan pengikut mazhab Syafie mengharuskan denda dengan wang sebagai hukuman takzir. Ibnu Qayyim menyokong pendapat itu.

Kebanyakan kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri-Negeri dan Enakmen Kanun Kesalahan Syariah Negeri-Negeri adalah mencakupi secara umum jenis kesalahan takzir ke atas perbuatan maksiat dan kesalahan lain.

Sementara hukumannya pula dengan denda atau penjara atau sebatan. Jenis hukuman tidak terkeluar daripada hukuman takzir yang dianjurkan Islam termasuk denda. Bagaimanapun, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya memusatkan hukuman kesalahan takzir kepada hukuman denda saja.

Umum mengetahui peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau enam kali sebatan. Walaupun hukuman ditingkatkan, belum ada kajian atau penulisan mengenai keberkesanan hukuman dalam membendung jenayah syariah.

Cadangan hukuman sebat dialu-alukan sebagai cara mengawal meningkatkan jenayah syariah di kalangan masyarakat Islam. Namun, tidak ramai yang tahu hakim Mahkamah Syariah juga mengambil pendekatan mengenakan pesalah jenayah syariah dengan hukuman sebatan. Namun, setakat pengetahuan penulis, hukuman sebat tidak pernah dijatuhkan terhadap pesalah kecuali di Kelantan dan Pahang.

Kes terbaru penjenayah syariah atas kesalahan minum minuman memabukkan didenda maksimum lima tahun dan enam kali sebatan di Pahang. Walaupun kes itu dalam proses rayuan oleh tertuduh, ia menunjukkan Mahkamah Syariah juga berani mengenakan hukuman selain denda dan penjara sebagai langkah pencegahan setakat had dibenarkan undang-undang.

Apabila Kelantan meluluskan kaedah hukuman sebat pada 1987, pesalah pertama dikenakan hukuman sebat disabitkan kesalahan meminum minuman memabukkan. Apabila hukuman dijatuhkan serta diberikan publisiti meluas di media cetak tempatan, tinjauan rambang dilakukan di kelab malam dan restoran yang menjual minuman keras. Didapati pemilik restoran dan premis hiburan membuat kesimpulan umat Islam di Kelantan mula bimbang untuk minum arak.

Harus diingat bidang kuasa Mahkamah Syariah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Ini menunjukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad dengan peruntukan akta itu. Apabila Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1984 tidak dipinda, sudah pasti ia membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.

Umumnya, hukuman yang ditetapkan ke atas kesalahan diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah atau Enakmen Pentadbiran Hukum Syariah negeri adalah didahulukan dengan denda atau hukuman maliyah dan bukan bidaniyah.

Keadaan itu mendorong hakim Mahkamah Syariah lebih cenderung menghukum pesalah dengan denda sebagai hukuman pilihan. Keadaan itu membimbangkan kerana antara tujuan hukuman ialah memberi pengajaran dan pencegahan. Dikhuatiri jika keadaan ini terus berlaku di Mahkamah Syariah akan mengurangkan keberkesanan tujuan hukuman dikenakan.

Namun, mengharungi dunia yang semakin kompleks ini sewajarnya hukuman ditetapkan Mahkamah Syariah dikaji semula kerana kali terakhir ia dikaji adalah pada 1984. Selepas 25 tahun, suatu reformasi terhadap hukuman bagi kesalahan jenayah syariah perlu dirombak seberapa segera supaya orang ramai tidak memandang mudah terhadap kes jenayah syariah.



Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Monday, May 4, 2009

Urusan pentadbiran tidak boleh atasi hukum syarak

Urusan pentadbiran tidak boleh atasi hukum syarak
Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Proses, prosedur laksana undang-undang perlu dipermudahkan atasi segera permasalahan

KATA kuncinya ialah jangan urusan pentadbiran mengatasi hukum syarak kerana jika ia berlaku, undang-undang Islam akan nampak hodoh. Maknanya, jangan proses dan prosedur melaksanakan undang-undang itu menyusahkan sedangkan keperluan hukum syarak sudah dipenuhi. 

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, memberikan pandangan itu merujuk kepada sistem penyampaian di agensi agama Islam seperti Majlis Agama Islam dan Mahkamah Syariah yang sepatutnya membantu umat Islam melaksanakan hukum syarak dengan mudah dan berkesan. 


Dalam disiplin ilmu Islam, hukum syarak sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis, maka apabila datang bentuk perundangan moden menjadikan ia disusun semula, hendaklah dipastikan siasah tidak mengatasi syarak. 

Malangnya, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya menyebabkan pemandangan di agensi agama gagal menggambarkan keindahan Islam sebenar malah, ada kala seakan menampakkan hukum syarak itu tidak berlaku adil. 

Ambil contoh, talak sudah dilafazkan dan suami mengaku melafazkan talak disokong perakuan isteri berserta saksi. Bagi kes seperti itu, seharusnya saja hakim memutuskan talak sudah jatuh dengan serta-merta dan mahkamah memberikan perakuan perceraian. Sementara Bahagian Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama dengan serta merta boleh memproses permohonan kahwin baru bagi pasangan yang memohon pada masa sama. 

Tetapi, jika hakim memerintahkan supaya suami melafazkan talak sekali lagi, itu adalah gambaran bahawa hukum syarak sudah diatasi oleh pentadbiran. 

Begitu juga kes perebutan anak (hadanah) kerana jelas dalam syarak anak yang belum akil baligh adalah hak ibunya tetapi disebabkan proses yang lama di mahkamah menyebabkan anak itu kehilangan kasih sayang ibu bapa. Ini juga contoh pentadbiran mengatasi kehendak syarak. 

Lebih ketara, proses permohonan berkahwin yang sepatutnya mudah menjadi sukar gara-gara sistem penyampaian tidak berkesan. Contohnya, orang nak kahwin, wali ada, saksi ada, pasangan ada, tiba-tiba borang salah isi. 

Hanya disebabkan borang salah isi, kita menganggap perkahwinan itu perlu ditangguhkan sedangkan keperluan syarak sudah selesai. Urusan pentadbiran tidak boleh mengatasi urusan hukum, jangan nanti pentadbiran menyebabkan hukum syarak gagal atau terhalang untuk dilaksanakan. 

Kelemahan sistem penyampaian dan hilang fokus pada matlamat menegakkan hukum syarak dibangkitkan Dr Juanda sebagai reaksi terhadap perkembangan dalam masyarakat Islam hari ini. 

Mengaitkan secara langsung dengan kes membabitkan Mahkamah Syariah, beliau berkata, akibat meletakkan pentadbiran mengatasi syarak menyebabkan berlakunya kes tertunggak dan kes berlarutan sedangkan ia boleh diselesaikan segera. 

Katanya, perundangan syarak di negara ini sudah cukup lengkap dan sempurna begitu juga usaha kerajaan mengemaskini pentadbiran pengurusan di Mahkamah Syariah supaya soal menguruskan hukum syarak dapat dilaksanakan dengan berkesan. 

"Jadi kenapa sering timbul isu pelaksanaan. Ini penting untuk dilihat kerana struktur yang dibentuk sudah sempurna. Jika ada aduan, ia menimbulkan pertanyaan di mana kelemahannya. Perlu lihat semula apa tujuan undang-undang digubal," katanya. 

Beliau berkata, hakim hanyalah pemudah cara yang melaksanakan kehendak Islam dan memastikan setiap pihak mendapat hak mereka, bukan menentukan lelaki (suami) atau wanita (isteri) bersalah, kerana ia pertikaian membabitkan isu rumah tangga. 

Justeru, jika ada pihak mengambil sikap sambil lewa atau dengan sengaja melambat-lambatkan penyelesaian kes, kuasa memutuskan hak pihak satu lagi boleh ditentukan oleh hakim bagi mengelak berlakunya penganiayaan. 

"Jika salah satu pihak yang dipanggil tidak datang semata-mata untuk melewatkan kes, hakim patut memutuskan hak pihak satu lagi. Saya cadangkan ketidakhadiran di mahkamah tidak boleh lebih tiga kali. Selepas dua kali panggil tidak datang, hakim hendaklah putuskan. 

"Ini membabitkan pihak satu lagi dan pihak yang tidak datang jelas tidak mahu menjaga kepentingan serta memudaratkan pihak satu lagi itu. Penekanan saya ialah jika kita tidak laksanakan hak, Allah akan murka dan agama kita nampak hodoh," katanya. 

Katanya, apabila mengikut hukum syarak talak sudah jelas jatuh tetapi disebabkan mahkamah belum mengesahkan, ia seolah memperlihatkan undang-undang yang ada adalah undang-undang yang lucu. 

Hakikatnya ialah suami sudah tidak suka dengan isteri dan isteri juga tidak mahu kepada suami tetapi jika suami hendak berkahwin lagi terpaksa memohon untuk berpoligami memandangkan kes cerai belum selesai. 

Malah, isteri yang mungkin sudah tiga kali suci selepas talak mengikut hukum syarak jatuh juga tidak boleh berkahwin lain. Keadaan itu sebenarnya mendera kedua-dua pihak yang ternyata haram dari sisi syarak. 

Beliau turut menekankan hak wanita untuk menceraikan yang sudah diberi syarak dan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam negara ini, isteri mempunyai hampir lebih 30 alasan menceraikan atau membubarkan perkahwinan dengan suami di mahkamah tetapi malangnya ia jarang atau hampir tidak berlaku. 

Hak tebus talak, memfasakhkan perkahwinan jika suami tidak beri nafkah, berlaku darar (jika suami didapati mendatangkan mudarat kepada isteri). Semua itu memberi hak isteri membubarkan perkahwinan tetapi apa yang terdengar, penderaan terhadap isteri walaupun hak mereka sudah dijaga agama. 

Dr Juanda berkata, kenyataan itu bukan hendak menggalakkan orang bercerai tetapi ini adalah jalan penyelesaian syarak tetapi disebabkan kurang faham perkara seperti itu, keadilan tidak dapat ditegakkan, malah hukuman nampak tidak adil. 

Menjurus kepada isu kes perceraian yang kian mendapat perhatian masyarakat apabila banyak pertikaian bukan saja dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi juga di media secara terbuka, beliau mencadangkan kes perceraian diputuskan dalam kamar hakim. Kerana dalam kamar hakim juga sudah memenuhi keperluan keadilan perbicaraan di Mahkamah terbuka. 

Alasannya, selain memudahkan proses ia juga sebagai cara melindungi aib pasangan yang sedang berusaha menyelesaikan masalah rumah tangga kerana mungkin ada alasan diberi nanti akan memalukan pihak bertelingkah. 

Lagipun katanya, tidak ada peraturan yang mewajibkan atau mengatakan bahawa perceraian hanya sah di mahkamah terbuka malah, di Mahkamah Sivil pun ada amalan perceraian dilakukan dalam kamar hakim. Oleh itu, sewajarnya pengesahan cerai dilakukan dalam kamar hakim yang dihadiri pihak berkenaan saja. 

"Rasulullah SAW memerintahkan kita menutup aib seseorang Muslim. Apabila perceraian berlarutan dan masuk dalam media, ia mendedahkan aib pelaku dan aib kepada orang Islam juga. Kita tidak boleh salahkan media jika pelaku sendiri buka mulut. Sebab itu mesti ada tindakan yang patut," katanya. 

Katanya, statistik menunjukkan peningkatan kes perceraian juga tidak sepatutnya menimbulkan persepsi bahawa masyarakat kita bermasalah kerana ia bukan penanda aras yang tepat menggambarkan situasi kehidupan kekeluargaan. 

Memang talak adalah perkara dibenci Allah tetapi ia dihalalkan sebagai jalan penyelesaian kerana sahabat Rasulullah SAW yang juga insan mulia dan dijanjikan syurga dulu ramai bercerai. Talak dibenci Allah jika ia disalahgunakan tetapi jika penggunaannya betul demi kepentingan serta kebaikan kedua-dua pihak, tidak benar dikatakan perceraian itu perkara negatif. 

Beliau berkata, kenapa Perlis memudahkan poligami ialah kerana ramai lelaki yang hendak berpoligami pergi ke negara jiran disebabkan permohonan berkahwin lain ditolak mahkamah. Kemudahan itu juga untuk mengelak mereka ditipu ejen yang mengambil kesempatan. 

Menghairankan katanya, apabila pasangan bernikah di negara jiran kembali dan memohon pengesahan nikah, mahkamah memperakukan pernikahan itu sebagai sah. Persoalan kini, kenapa tidak dibuat di negara sendiri, diakui sah dan dimudahkan caranya. 

Apakah hukum di negara itu berbeza dengan hukum negara kita atau al-Quran di sana berbeza dengan al-Quran kita atau ia menunjukkan pihak di sana lebih cerdik menguruskan hal-ehwal manusia berbanding kita yang mempunyai undang-undang yang sudah lengkap. 

Dr Juanda berkata, untuk menampakkan Islam adil dan memberi hak kepada semua pihak, Islam perlu mesra kepada umatnya, mudah dari segi pelaksanaan hukum dan jangan meletakkan pentadbiran mengatasi syarak. 

"Saya menyeru pihak berkenaan dan kerajaan memerhatikan perkara ini. Malah, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadot juga sudah membangkitkan isu yang sama. Jadi semua pihak perlu bantu menjaga imej Islam. 

"Tidak dinafikan banyak sudah dilakukan untuk memartabatkan Mahkamah Syariah tetapi pengukuhan perlu dilakukan membabitkan isu perceraian dan tuntutan lain. Kita mahu orang lihat Islam itu indah dan perjalanan undang-undang memenuhi kehendak syarak," katanya. 

INTI PATI:
Dalam disiplin ilmu Islam, hukum syarak sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis, maka apabila datang bentuk perundangan moden menjadikan ia disusun semula, hendaklah dipastikan siasah tidak mengatasi syarak.
Perundangan syarak di negara ini sudah cukup lengkap dan sempurna begitu juga usaha kerajaan mengemaskini pentadbiran pengurusan di Mahkamah Syariah supaya soal menguruskan hukum syarak dapat dilaksanakan dengan berkesan. 
Hakim hanyalah pemudah cara yang melaksanakan kehendak Islam dan memastikan setiap pihak mendapat hak mereka, bukan menentukan lelaki (suami) atau wanita (isteri) bersalah, kerana ia pertikaian membabitkan isu rumah tangga.
Akibat meletakkan pentadbiran mengatasi syarak menyebabkan berlakunya kes tertunggak dan kes berlarutan sedangkan ia boleh diselesaikan segera.