Showing posts with label Rejab. Show all posts
Showing posts with label Rejab. Show all posts

Sunday, July 12, 2009

Persoalan Agama: Tingkat amalan tanpa mengira bulan

Persoalan Agama: Tingkat amalan tanpa mengira bulan

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

APAKAH istimewanya bulan Rejab? Apakah benar amalan pada bulan ini mendatangkan ganjaran besar.

Ina,
Selangor

Rejab adalah salah bulan Islam yang dianggap suci oleh umat Islam dan ia menduduki senarai ketujuh bulan Qamariyyah.

Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan (yang sudah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati, ketetapan yang demikian ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangannya). Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertakwa".

Empat bulan yang dihormati yang tersenarai dalam ayat berkenaan ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Inilah yang sudah dipersetujui kalangan mufassirin. Penghormatan terhadap Rejab bersempena penghormatan yang sudah diberikan kepadanya sejak zaman jahiliah lagi yang mana mereka mengharamkan peperangan pada bulan itu. Inilah sesuatu pengiktirafan oleh Allah SWT ke atas Rejab disamping bulan haram yang lain.

Sejarah Islam turut mencatatkan beberapa peristiwa penting berlaku pada Rejab, di antaranya:

# Peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab mengikut pendapat sebahagian besar ulama Islam. Ia peristiwa perjalanan Rasulullah SAW dari Makkah ke Baitulmaqdis dan kemudian diangkat ke langit untuk bertemu Allah SWT. Di sinilah bermulanya kefarduan solat lima waktu kepada umat Muhammad SAW.

# Peristiwa Hijrah yang pertama ke negeri Habsyah oleh beberapa sahabat Rasulullah SAW termasuk Saidina Uthman Bin Affan dan isterinya Ruqayyah binti Rasulullah SAW. Penghijrahan ini bertujuan menyelamatkan akidah di samping keselamatan diri berikutan tekanan dan ancaman hebat oleh puak Musyrikin Mekah ketika itu.

# Peristiwa Perang Tabuk yang berlaku pada tahun ke-9 Hijrah. Ia peperangan yang menguji iman sahabat kerana berlaku pada musim panas. Pertempuran ini dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri untuk menentang tentera Rom yang ingin mengembangkan pengaruhnya ke Semenanjung Tanah Arab. Walaubagaimana pun pertempuran tidak berlaku kerana tentera Rom membatalkan hasrat mereka lantaran perasaan gentar dan takut dengan kehebatan dan kekentalan jiwa tentera Islam.

Selain itu, ada juga peristiwa penting lain yang berlaku pada bulan yang mulia ini seperti kelahiran imam ahli sunnah, Imam As-Shafie yang menjadi ikutan mazhab umat Islam di tanah air iaitu dalam bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan 767 Masihi. Demikian juga peristiwa bersejarah pembebasan semula Palestin dan kota Baitulmaqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi daripada kekuasaan tentera salib juga berlaku pada Rejab iaitu sekitar 27 Rejab 538 Hijrah.

Ada sesetengah umat Islam akan berpuasa sunat pada Rejab dan ada yang akan pergi menunaikan umrah kerana menganggap umrah yang dilakukan itu ada fadilatnya yang khusus. Tidak kurang juga umat Islam yang berusaha memperbanyakkan sedekah pada bulan ini dengan beranggapan mereka akan mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding bulan lain.

Namun, kebanyakan ulama mutakhirin menyatakan tanggapan ibadat sunat ini akan mendapat ganjaran berpuluh kali ganda atau beribu kali ganda adalah tidak benar. Apa yang pasti, bulan ini termasuk dalam kelompok bulan haram yang mana umat Islam digalakkan meningkatkan ibadat sunat sama ada solat sunat, berpuasa, bersedekah atau lain-lain lagi.

Hakikat ganjaran disediakan oleh Allah SWT kepada orang yang beramal salih, hanya Dia saja yang Maha Mengetahui. Oleh kerana itu sudah sewajarnyalah baik pada Rejab ini dan juga bulan lain, diisi dengan perkara yang dapat meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT dan mendapat keredaan-Nya.

Ada banyak hadis nabi dan ayat al-Quran yang memberikan galakan kepada umat Islam untuk melakukan sesuatu amal ibadat tanpa mengira bulan mana mereka melaksanakannya. Oleh itu, bersempena Rejab ini banyak amalan sunat yang boleh dilaksanakan seperti bulan yang lain iaitu:

# Berpuasa sunat Isnin dan Khamis atau berpuasa sebahagian daripada Rejab.

Amalan berpuasa sunat adalah satu galakan daripada Allah SWT kepada umat Muhammad SAW seperti dinyatakan sebuah hadis qudsi riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud, "Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah SWT berfirman bahawa puasa itu adalah untukKu maka Akulah yang akan membalasnya". Imam Muslim pula meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim Al-Ansori, beliau (Uthman) pernah bertanyakan kepada Said bin Jubair mengenai puasa Rejab. Said menjawab "Aku mendengar Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW berpuasa rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa".

# Memperbanyak sedekah terutama kepada golongan fakir miskin.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan Hakim bin Hizam yang bermaksud "Tangan yang diatas (pemberi) lebih baik dari dari tangan yang di bawah (penerima)".

# Memperbanyakkan zikir dengan cara berwirid, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ra'd ayat ke 28 yang bermaksud: "Hanya dengan mengingati Allah akan menjadi tenang dan tenteram hati manusia".

Demikianlah sebahagian amalan sunat yang amat digalakkan kepada umat Islam untuk melaksanakannya. Amalan ini jika diamalkan penuh keikhlasan, sudah pasti akan dapat melahirkan insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT dan sekali gus mengelak mereka terjerumus ke dalam perkara maksiat dan masalah sosial lain. Malangnya, amalan mulia sebegini sering ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam sama ada oleh golongan muda mahupun golongan tua. Akibatnya, mereka lebih banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu dan terbabit dengan pelbagai bentuk kegiatan jenayah.

Al-Imam al-Nawawi mengkhususkan suatu bab dalam karya ulungnya Riyadhus Salihin, mengenai keutamaan beriltizam dengan surah tertentu dan juga wirid yang khusus sebagai satu komponen yang penting membentuk peribadi salih. Ini termasuk keutamaan membaca al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Mulk dan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq & al-Naas).

Tuesday, July 7, 2009

Ambil peluang Rejab lunas hutang puasa Ramadan

Ambil peluang Rejab lunas hutang puasa Ramadan

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Menunaikan qada ibadat wajib lebih utama daripada mengerjakan amalan sunat

APABILA masuk Rejab, ia menandakan Ramadan akan berkunjung tidak lama lagi. Ramadan yang dikenali sebagai penghulu segala bulan, menjanjikan kelebihan luar biasa serta membuka peluang seluas-luasnya kepada setiap Muslim memohon keampunan kepada Yang Maha Pencipta.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran, diampunkan baginya segala dosa yang sudah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh sebab itu, kenikmatan dan kerinduan menunggu tibanya Ramadan hanya akan dapat dirasai oleh jiwa yang sentiasa peka terhadap hak dan tuntutan Allah kepadanya.

Puasa adalah perkara asas dalam Islam yang seterusnya menjadi kayu ukur kepada tahap keimanan seseorang Muslim. Namun, Islam tidak pernah memberatkan hambanya dengan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan.

Firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Oleh itu, ada sebahagian kita yang mendapat kebenaran meninggalkan puasa pada Ramadan yang lalu. Antaranya, orang yang dalam musafir, wanita sedang haid atau nifas, wanita hamil, golongan mempunyai masalah kesihatan mahupun pekerja yang terpaksa melakukan kerja berat dan menggunakan banyak tenaga.

Bagi mereka ini, kebenaran meninggalkan puasa bukanlah untuk mengecualikan mereka daripada ibadah puasa, akan tetapi kewajipan menunaikan qada' (ganti) puasa haruslah diambil kira supaya tidak tergolong di kalangan hamba Allah yang rugi pada kemudian hari.

Firman Allah yang bermaksud: "(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain." (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Di sinilah terpancar keadilan Islam dalam perintah menunaikan ibadat khusus kepada umatnya. Sebarang kesulitan dan masalah yang menimpa, tidak boleh dijadikan alasan untuk lari daripada tanggungjawab melaksanakan ibadat.

Mungkin ada yang teruja melakukan amalan puasa sunat tertentu seperti dianjurkan Islam, namun sebenarnya menunaikan qada' puasa Ramadan adalah lebih utama. Hal ini seperti mana dijelaskan menerusi sebuah hadis Qudsi yang bermaksud: "Dan tidaklah hampir kepada-Ku seseorang hamba dengan apa juga pun, maka yang lebih Aku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardu (wajib) ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin mendampingi-Ku dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya." (Hadis riwayat Bukhari)

Jelas kepada kita, menunaikan qada' ibadat yang wajib adalah lebih utama daripada melakukan ibadat sunat. Jika amalan wajib tidak terlaksana maka kita dikira berhutang dengan Allah dan menjadi satu kewajipan melunaskannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hutang Allah lebih layak untuk dipenuhi terlebih dulu."

Menurut Syeikh Muhammad ibn Soleh al-'Uthaimin, puasa sunat tidak boleh ditunaikan melainkan sudah sempurna puasa wajib iaitu puasa Ramadan. Keadaan itu disandarkan melalui hujah berasaskan sabda Rasulullah SAW ketika menyatakan kelebihan puasa enam hari pada Syawal.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari pada Syawal, maka ia (pahala puasa) adalah seperti puasa setahun." (Hadis riwayat Muslim)

Secara tidak langsung, hadis itu menjelaskan tuntutan memenuhi puasa Ramadan mengatasi amalan puasa sunat yang juga dituntut Islam sebagai satu peluang menampal kecacatan puasa pada Ramadan. Janganlah kita menjadi orang yang mengejar amalan sunat, sedangkan yang wajib ditinggalkan begitu saja.

Sementara masih ada masa sebelum tiba Ramadan tahun ini, bagi mereka yang masih lagi berhutang dengan Allah, maka sewajarnya bersegera menunaikan qada' ibadah puasa Ramadan lalu.

Secara tidak langsung, ia juga boleh dijadikan medan latihan sebelum kedatangan Ramadan nanti. Latihan berpuasa sebelum kedatangan Ramadan dapat memberi isyarat awal kepada anggota tubuh badan untuk berehat daripada aktiviti makan dan minum serta yang lebih penting, dapat mendidik nafsu dalam memenuhi tuntutan Allah.

Saidatina Aisyah memberi contoh kepada kita bahawa amalan menunaikan qada' puasa Ramadan pada bulan Syaaban iaitu hampir kepada datangnya Ramadan adalah dibolehkan dalam Islam.

Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: "Kewajipan ke atasku untuk puasa (qada') dari puasa Ramadan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang Syaaban." (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis itu, jumhur ulama berpendapat penundaan qada' puasa wajib selewat-lewatnya adalah Syaaban dan tidak boleh sampai masuk Ramadan berikutnya.

Sebenarnya keadaan ini bukanlah bermaksud menunaikan qada' ibadat wajib itu tidak penting sehingga boleh di lewat-lewatkan, akan tetapi ia memberi mesej berpuasa ketika waktu hampir tibanya Ramadan dapat melatih rohani dan jasmani lebih aktif dan bersemangat melalui Ramadan nanti.

Diriwayatkan oleh Anas, katanya, Rasulullah SAW ditanya: "Apakan puasa yang afdal selepas puasa Ramadan? Lalu Baginda SAW menjawab: "Puasa di bulan Syaaban iaitu untuk memuliakan Ramadan." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Marilah sama-sama kita berusaha melatih diri mengamalkan ibadat puasa sunat sebelum tibanya Ramadan. Bagi mereka yang masih belum lagi menunaikan qada' puasa Ramadan yang lalu, maka ambillah peluang yang ada ini untuk melunaskan hutang Allah itu.

Menurut mazhab Syafie dan jumhur ulama, bagi mereka yang gagal menunaikan qada' puasa Ramadan lalu sehingga tiba Ramadan berikutnya, maka mereka diwajibkan membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin untuk setiap hari tidak berpuasa, di samping kewajipan menunaikan qada' puasa masih tertanggung di bahunya.

Sesungguhnya ibadat puasa besar nilainya di sisi Allah dan begitu juga dari aspek kesihatan. Sebuah hadis Qudsi menjelaskan kelebihan ibadat puasa yang antara lain bermaksud: "Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi ganjarannya, dan bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau al-misk (wangian) di sisi Allah." (Hadis riwayat Bukhari)

Monday, July 6, 2009

Menghayati keistimewaan bulan Rejab

Menghayati keistimewaan bulan Rejab

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Dengan izin Allah SWT, kita sudahpun berada di pertengahan bulan Rejab dalam tahun Hijrah 1430 ini. Jika diperhatikan, manusia berbeza-beza dalam menyambut kedatangan bulan Rejab setiap tahun.

Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan takwim Islam. Tidak kurang yang menyambut kedatangan Rejab dengan penuh gembira dan bersemangat serta mempertingkatkan amalan di dalamnya.

Ada pula yang menyambutnya dengan terlampau mempermasalahkan dan mempertikaikan keistimewaannya dan kewajaran menambahkan amalan padanya.

Kita merasakan bahawa mereka yang paling beruntung adalah mereka yang memahami dan mengenali Rejab serta menunaikan hak hari-harinya sebagaimana yang selayaknya tanpa melampau atau mencuaikan.

Bagi kebanyakan mereka yang meraikan kedatangan Rejab, bulan ini dirasakan begitu istimewa kerana ia menandakan hampir ketibaan tetamu agung, Ramadan al-Mubarak.

Ramadan sudah tentulah dirindui dan dinanti-nanti oleh setiap mereka yang beriman dan para pencinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Tempias kecintaan kita kepada Ramadan turut terkena pada Rejab dan Syaaban sebagai pengapit dan pendamping setia kepada Ramadan.

Keterkaitan dalam keberkatan bulan-bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan terlihat dalam sepotong doa yang diriwayatkan oleh Anas r.a daripada Rasulullah SAW yang bererti, "Ya Allah, Berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadan". (diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam al-Syua'aab, Ibn Abi al-Dunya dan Ibn Sunniy).

Sebenarnya keistimewaan Rejab turut disebut di dalam al-Quran dengan menyenaraikannya sebagai salah satu daripada empat bulan haram. Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya bilangan bulan disisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram.... (at-Taubah: 36)

Para ulama bersepakat Rejab adalah antara bulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini dan beberapa ayat lain. Jelas bahawa Allah SWT sendiri di dalam al-Quran telah memuliakan bulan Rejab dengan mengisytiharkannya sebagai salah satu daripada bulan-bulan haram.

Mengikut pandangan yang masyhur di kalangan ulama, Allah SWT juga telah memuliakan bulan Rejab dengan berlakunya di antara peristiwa terpenting dalam sirah Nabi SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj di dalamnya.

Sebagai golongan hamba-Nya yang terpilih, keistimewaan bulan Rejab tidak terlepas daripada pandangan ulama baik dahulu dan sekarang. Mereka telah menunjukkan contoh serta menggalakkan kita mempertingkatkan amalan dengan bersangka baik dengan Allah SWT bahawa dengan keberkatan bulan ini ganjaran amalan dan rahmat Allah SWT akan berlipat ganda. (Imam Ibn Jarir al-Tobari ada meriwayatkan pandangan Ibn Abbas r.a mengenai hal ini dalam tafsirnya).

Jika dikira hubungan Rejab, Syaaban dan Ramadan memang sesuailah kita lebih banyak berpuasa dan solat sunat, tilawah al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai membina momentum ke arah penghayatan Ramadan yang lebih cemerlang.

Sebahagian ulama menganjurkan kita membanyakkan istighfar di bulan Rejab dengan semangat al-Takhalliy iaitu untuk mengosongkan atau membersihkan diri kita. Ini disusuli penganjuran kita memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW di bulan Syaaban sebagai fasa al-Tahalliy yang bererti mengisi atau memperhiaskan diri sesudah diri kita dikosongkan dan dibersihkan dengan istighfar dan taubat.

Sesudah kita bersiap dengan membersih dan memperhiaskan diri barulah layak untuk kita bertaqarrub langsung dengan Allah SWT (al-Tajalliy) dengan memperbanyakkan tilawah al-Quran, sepanjang Ramadan.

Jika direnungi, anjuran para ulama ini sangat mendalam falsafah dan hikmahnya demi membantu kita menghayati bulan-bulan yang mulia ini dengan lebih bermakna.

Jika menjadi keyakinan setiap mukmin bahawa hidup dunia ini sebagai suatu ujian atau peperiksaan besar, maka Ramadan dan segala hari dan bulan yang istimewa dalam Islam bolehlah dianggap sebagai kelas-kelas tambahan atau ujian-ujian latihan. Ia akan mendorong kita sentiasa peka dan siap-siaga dalam mengharungi proses ujian tersebut.

Dengan segala kelemahan yang ada pada diri insan adalah sukar untuk menempah kejayaan dalam ujian kehidupan ini jika kita tidak dapat menumpang belas ihsan dan rahmat Ilahi. Dan sememangnya Allah SWT maha kaya dengan sifat rahim, ihsan dan adil serta segala sifat-sifat kesempurnaan.

Di antara gambaran ihsan dan keadilan Allah SWT bagi kita para hambanya yang diletakkan dalam ujian yang getir ini, kita tidaklah dibiarkan sendirian tanpa panduan. Selari dengan fitrah manusia sukakan kepelbagaian, silih-berganti hari dan bulan Islam berserta dengan kaitannya dengan sirah Nabi memberi ruang untuk kita memperkukuhkan tautan kita dengan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Di bulan Rejab ini banyak masjid, surau dan institusi mengambil peluang mengadakan ceramah dan majlis Israk Mikraj. Perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.

Malah para pendakwah dan mereka yang cintakan agama sepatutnya sentiasa mencari munasabah bagi menghimpun orang-ramai dalam majlis-majlis yang dipenuhi dengan penambahan ilmu, peringatan, doa dan zikir.

Inilah antara pandangan tokoh besar ulama dunia Islam, al-Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani r.a dalam tulisan khususnya mengenai Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra' wa Mi'raj Khayr al-Bariyyah.

Beliau turut menegur golongan yang menentang penganjuran majlis sedemikian dengan katanya: "Memanfaatkan perhimpunan orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan mengarahkan mereka kepada kebaikan adalah lebih utama daripada menghalang, menolak dan mengingkari perhimpunan mereka dengan alasan yang tidak ke mana. Selama ini pun, apa yang dapat dilihat tegahan mereka tidak pun memberikan sebarang kesan".

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj menyajikan pelbagai pengajaran untuk memperkukuhkan lagi ikatan iman umat. Selain antara mukjizat besar yang membuktikan kenabian Nabi kita SAW, ia telah menjadi saat umat Islam dianugerahi ibadah solat sebagai Mikraj roh kepada Allah setiap hari.

Ia juga memperjelaskan keistimewaan kedudukan kita sebagai umat Nabi SAW dengan sebab menumpang keistimewaan dan keutamaan Nabi SAW yang menjadi Imam segala Nabi dan Rasul. Melalui peristiwa tersebut kita juga diperingatkan realiti kehidupan akhirat dengan balasan azab dan nikmat yang akhirnya meletakkan segala yang kita lalui dan punyai dalam kehidupan ini dalam perspektifnya yang sebenar.

Inilah sekadar segelintir perkara iktibar di sebalik kehadiran bulan Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj yang wajar diperincikan lagi dan diulang-ulangkan.

Malangnya ada juga penceramah yang kurang berhati-hati lalu dalam membicarakan tentang peristiwa ini turut membahaskan isu-isu kontroversi seperti mensabitkan tempat dan sifat bagi Allah SWT, Maha Suci Allah daripada menyerupai makhluknya.

Tokoh ulama mutakhir, Sheikh Yusuf al-Dijwi ada menegur tentang perkara ini dalam himpunan tulisan dan fatwanya.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar ayat-ayat mutashabihat berkaitan dengan isu ini dibicarakan kecuali di dalam majlis-majlis khusus di kalangan para ulama berdasarkan keperluan. (Maqalaat wa Fatawa al-Shaikh Yusuf al-Dijwi, (Kaherah, Dar al-Basoir, 2006) Jld 2, ms.724)

Semoga kita dikurniakan kesedaran, kesihatan, semangat dan himmah yang tinggi dalam naungan taufik untuk menunaikan hak setiap hari yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Semoga bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan kita tahun kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.