Showing posts with label Wakaf. Show all posts
Showing posts with label Wakaf. Show all posts

Wednesday, May 13, 2009

MAIWP majukan dana wakaf

MAIWP majukan dana wakaf


Hasil Wakaf... Bangunan dua tingkat Tadika An-Nur Bestari dI Jalan Yadi, Klang, Selangor.


MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selaku pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf tunggal di Wilayah Persekutuan menggalas amanah untuk memajukan tanah-tanah wakaf demi manfaat umat Islam.

Apabila tanah-tanah wakaf itu dimajukan, ia mampu menjana ekonomi umat Islam dan juga meringankan beban kewangan kerajaan dalam menyediakan infrastruktur seperti pembinaan masjid, pusat pendidikan, rumah anak yatim dan warga tua serta pusat perlindungan.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd. pada Wacana Pentadbiran Dan Pengurusan Pembangunan Ekonomi Tanah Wakaf Di Wilayah Persekutuan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun keluasan tanah wakaf di Wilayah Persekutuan sangat terhad iaitu sekitar 4.4 hektar sahaja, tidak termasuk tanah perkuburan, tanah berkenaan sangat bernilai dan boleh dimajukan untuk projek yang memberikan pulangan tinggi.

Sebagai contoh, kata Anan, tanah wakaf milik MAIWP yang terletak di Jalan Perak, Kuala Lumpur akan dimajukan dengan pembinaan sebuah bangunan pejabat kelas A setinggi 34 tingkat yang akan disewakan.

Kos pembangunan projek tersebut menelan belanja sebanyak RM151 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Tabung Haji dan tempoh pembinaannya selama 46 bulan. Projek ini dimulakan pada Ogos 2007 dan dijangka siap pada April 2011.

MAIWP juga akan memajukan sekeping tanah wakaf yang terletak di Jalan Jelatek dengan membina sebuah Pusat Dialisis kepada pesakit buah pinggang dengan menggunakan peruntukan kerajaan yang akan disalurkan menerusi Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (Jawhar).

Sementara itu, Tanah Wakaf Am di Lorong Syed Putera Kiri, Sungai Puteh, Kuala Lumpur akan dibangunkan sebuah pangsapuri (servis apartmen).

Di samping itu, MAIWP juga akan memperkenalkan Skim Saham Wakaf yang didefinisikan sebagai berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta yang diberi oleh maukuf oleh pewakaf (wakif) kepada satu tabung amanah yang diuruskan untuk menguruskan wakaf ini (muttawali).

"Dengan cara ini Wakaf Tunai membolehkan maukuf dikumpul daripada bilangan wakif yang ramai untuk mendapatkan dana wang tunai yang besar supaya dapat digunakan ke arah memberi manfaat kepada penerima wakaf yang disasarkan (maukuf alaih)," kata Anan.

Menurutnya, Skim Saham Wakaf MAIWP membolehkan umat Islam daripada pelbagai latar belakang ekonomi untuk mampu melakukan amalan wakaf ini tanpa perlu menunggu mempunyai harta-harta kekal seperti tanah atau bangunan untuk tujuan wakaf.

Wednesday, May 6, 2009

Konsep wakaf sementara mampu tingkat nilai hartanah ummah

Konsep wakaf sementara mampu tingkat nilai hartanah ummah


KONSEP wakaf ialah urusan menyerahkan kekayaan peribadi untuk dimanfaatkan masyarakat. Wakaf selalu dikaitkan dengan tanah perkuburan dan pondok teduhan yang biasa disediakan oleh mereka berkemampuan untuk faedah penduduk setempat.

Bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia, memberi wakaf bermakna menyerahkan harta yang biasanya dalam bentuk tanah atau hartanah kepada Baitulmal atau Jabatan Agama Islam Negeri sebagai amanah untuk diuruskan bagi kebajikan seluruh umat.

Prinsip boleh ditekankan ialah apabila kita mempunyai harta kekayaan melebihi keperluan dan tidak dapat menguruskan kekayaan itu untuk faedah masyarakat umum, maka kita harus serahkan harta kekayaan kepada Baitulmal atau Jabatan Agama Islam Negeri untuk diuruskan bagi kepentingan ummah dengan matlamat mendapat ganjaran di akhirat.

Konsep wakaf boleh dikembangkan dengan menjadikannya institusi amanah bagi pihak umat Islam untuk memastikan kekayaan diperuntukkan kepada mereka dapat diuruskan lebih sempurna.

Bayangkan di sebuah negeri, jika kerajaan ingin memberikan bantuan yang berdaya maju, bantuan itu boleh disalurkan ke institusi wakaf dalam bentuk kurniaan di mana faedah atau pendapatan darinya diagihkan kepada semua sasaran penerima faedah.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar: “Saidina Umar membeli sekeping tanah. Beliau berjumpa Rasulullah SAW untuk meminta nasihat berkaitan dengannya. Beliau berkata: Ya Rasulullah, saya sudah membeli sekeping tanah di Khaibar. Saya belum pernah memiliki tanah yang begitu bernilai seperti ini. Jadi apakah yang patut saya lakukan ke atas tanah ini? Rasulullah SAW menjawab: Jika kamu suka, kamu boleh menyimpan hak milik tanah itu kekal di tangan kamu dan berikan hasilnya sebagai sedekah. Saidina Umar memberikan hasilnya sebagai sedekah dengan mengisytiharkan tanah itu tidak boleh dijual atau dipindah milik. Hasil pendapatannya diagihkan kepada kumpulan fakir miskin, sanak saudara terdekat, usaha pembebasan abdi dan apa juga program ke jalan Allah. Rasulullah SAW menjelaskan: Tidak berdosa untuk pentadbir tanah memakan sedikit hasil dari tanah itu (jumlah yang munasabah) atau jika mereka memberi makan rakan sejawat asal tidak menyorokkan harta itu untuk dirinya sendiri semata mata, iaitu untuk menyimpannya dengan matlamat menjadi kaya.”

Menurut Ibnu Aun, dalam prinsip wakaf apa yang penting ialah tanpa menyimpannya dengan niat untuk menjadi kaya. Harta kekayaan boleh diserahkan kepada Baitulmal dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk diwakafkan secara kekal atau sementara. Mesir yang ada kepakaran dalam pelaksanaan sistem kehidupan Islam, menubuhkan kementerian khusus iaitu Kementerian Wakaf. Di Mesir, semua wakaf dihadkan tidak melebihi 30 tahun tetapi boleh diperbaharui.

Disebabkan tanah perkuburan adalah kawasan luas di tengah bandar raya, maka berjuta penduduk yang tidak mempunyai tempat tinggal memilih untuk tinggal atas tanah perkuburan yang diwakafkan keluarga kaya di Kaherah. Hartanah ini secara beransur-ansur berubah kegunaan apabila tempoh wakaf berakhir.

Kementerian wakaf mempunyai tanggungjawab besar untuk menguruskan harta wakaf bagi faedah kesejahteraan seluruh umat Islam khususnya yang berada di sekitar lokasi harta itu.

Banyak hartanah diwakafkan kepada masjid dan kemudian tidak diurus pengurus wakaf. Masalahnya ialah saiz dan had kegunaan hartanah ditetapkan pewakaf iaitu untuk tapak masjid dan kubur.

Ramai umat Islam berasa mereka tidak mampu untuk mewakafkan harta kerana ingin mewariskan harta mereka kepada anak. Jika konsep wakaf sementara boleh diperkenalkan, pasti lebih ramai umat Islam tampil ke depan.

Harta dalam bentuk tanah, wang, rumah dan lain-lain boleh diwakafkan untuk 20 hingga 30 tahun sementara menunggu diperlukan oleh pemiliknya. Harta wakaf itu boleh diuruskan secara berkesan oleh badan korporat sebagai pemegang amanah bagi memastikan ia mendatangkan hasil yang boleh dimanfaatkan untuk membangun umat Islam.

Harta wakaf dalam bentuk wang ringgit, tanah kosong, hartanah mahu pun harta intelektual boleh diwakafkan secara sementara untuk diuruskan permodalan wakaf dalam tempoh wakaf itu. Yang penting, hasil atau faedah disalurkan kepada kumpulan yang berhak.

Pemberi wakaf tidak terhad kepada individu Muslim, termasuk institusi, badan korporat dan badan kerajaan dengan andaian bahawa permodalan wakaf adalah badan profesional pengurus dana yang akan menjadi pemegang amanah kepada harta milik pemberi wakaf untuk manfaat kumpulan sasar ditetapkan.

Sambungan kertas kerja pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Prof Dr Barjoyai Bardai pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga

Tuesday, May 5, 2009

Perspektif Ikim: Program wakaf proaktif galak penyertaan umat

Perspektif Ikim: Program wakaf proaktif galak penyertaan umat
Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

Didik golongan berada memahami, bersedekah harta untuk kebajikan orang ramai

KAEDAH wakaf mempunyai ruang yang besar dalam membangun ekonomi masyarakat Islam di negara ini. Usaha penggemblengan wakaf adalah satu pendekatan yang sesuai dan berciri maju dalam menyusun masyarakat tempatan seterusnya membangun kekuatan ekonomi.

Dalam keadaan ekonomi mampan seperti beberapa tahun lalu, ada banyak golongan kaya dan peluang untuk mereka mewakafkan harta juga besar. Tambahan, ibadat wakaf sangat dekat di hati umat Islam, khususnya bangsa Melayu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila mati anak Adam, semua amalannya berakhir kecuali tiga; sedekah jariah, ilmu yang dapat dimanfaatkan manusia dan anak salih yang sentiasa mendoakan kepadanya." (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun amalan wakaf tidak diwajibkan, ia satu ibadat yang pahalanya berterusan untuk peserta walaupun sudah meninggal dunia. Amalan sedekah menggalakkan umat Islam menyumbang sebahagian harta mereka untuk membangun masyarakat seperti pembinaan masjid, hospital serta rumah tumpangan orang miskin.

Wakaf turut berperanan membangun ekonomi ummah melalui pembinaan sekolah, universiti, pusat latihan untuk umat Islam menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Universiti Al-Azhar dibina melalui kaedah wakaf dan beberapa projek terkemuka zaman silam seperti Masjid Nabi di Madinah adalah contoh amalan wakaf.

Pendekatan kaedah wakaf turut mempengaruhi masyarakat Barat pada zaman Perang Salib. Bahkan di England, universiti terkenal seperti Universiti Oxford dibangun atas kaedah wakaf (dana amanah).

Amalan mewakafkan harta adalah kaedah untuk menyokong amalan fardu dalam Islam seperti zakat. Ibadat wakaf mendidik umat Islam bahawa setiap individu yang kaya mempunyai tanggungjawab sosial di samping zakat untuk membangun kesejahteraan ummah.

Menepati semangat pembangunan masyarakat, individu Muslim bukan saja berperanan menjamin kesejahteraan diri dan keluarga, bahkan turut sama mempunyai peranan menjamin kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Kesejahteraan ummah secara menyeluruh jika tercapai akan mewujudkan suasana masyarakat yang aman serta keadaan ekonomi kukuh, seterusnya mampu mencetus pembangunan ekonomi secara berterusan.

Islam mengambil pendekatan bahawa pembangunan ekonomi perlu disertai dan disumbang oleh setiap ahli masyarakat. Justeru, peluang untuk menyumbang kepada aktiviti ekonomi perlu disusun dan dicetus di kalangan semua ahli masyarakat.

Usaha mencetuskan pembabitan itu tidak terhad kepada sektor awam dan peniaga, tetapi boleh dimainkan individu perseorangan atau institusi berkemampuan. Melalui institusi dan kaedah wakaf, peranan itu dapat disumbang oleh orang perseorangan dan institusi.

Ibadat wakaf menanamkan semangat sedia berkorban dan memupuk budaya muafakat serta kerjasama golongan yang berada dalam pembangunan masyarakat. Semangat itu penting untuk pembangunan ekonomi berteraskan semangat muafakat.

Pendekatan Islam dalam menyusun ekonomi bernegara dipengaruhi prinsip keadilan dan ihsan. Keadilan dalam amalan wakaf diterjemahkan melalui perasaan tanggungjawab golongan berada kepada tindakan sukarela untuk mencetus lebih banyak aktiviti ekonomi bagi dimanfaatkan masyarakat umum.

Justeru, kaedah wakaf perlu ditingkatkan untuk penyertaan umat Islam. Melalui penyertaan wakaf ia bukan saja mampu menolong golongan kurang bernasib baik tetapi mendidik golongan berada menghayati konsep pemilikan harta mengikut Islam.

Kefahaman Islam menuntut bahawa dalam harta golongan berada itu ada hak golongan miskin walaupun golongan kaya sudah membayar zakat. Allah berfirman yang bermaksdu: "Dan pada harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian." (Surah adz-Dzaariyat, ayat 19)

Bagi menggalakkan ummah menyertai ibadat wakaf, ulama, cendekiawan Islam dan pentadbir institusi wakaf perlu sentiasa memikirkan kaedah serta pendekatan yang berkesan untuk menarik minat menyertai ibadat wakaf.

Mereka juga perlu mengutarakan pandangan mengenai projek wakaf yang perlu dibangunkan dan bagaimana pengurusan serta pentadbiran projek dengan penuh ketulusan itu mampu dibangunkan sebagai bukti kaedah wakaf berpera-nan membangun ummah secara berkesan.

Melalui contoh kejayaan institusi wakaf membangun ekonomi ummah, lebih ramai masyarakat Islam akan mewakafkan harta mereka. Usaha projek wakaf melengkapi usaha pemerintah membekal kemudahan kepada rakyat.

Di beberapa negeri umpamanya, wakaf dalam bentuk saham diperkenalkan untuk membiayai projek wakaf khas dan wakaf am. Pendekatan itu memudahkan umat Islam menyertai amalan wakaf melalui pembelian saham wakaf.

Pendekatan lain juga perlu difikirkan, contohnya pembinaan asrama atau rumah tumpangan untuk pekerja wanita Islam di kawasan perindustrian. Memandangkan kos sewa rumah di kawasan perindustrian agak mahal, adalah lebih baik harta wakaf mendirikan bangunan bagi kemudahan pekerja berkenaan dengan kadar sewa murah.

Asrama wakaf juga boleh dibina untuk menampung perumahan pelajar Muslim di sekitar universiti atau institusi profesional. Melalui projek daripada dana wakaf, peluang menambah jumlah umat Islam melanjutkan pelajaran terus meningkat.

Pada masa ini, kos penginapan untuk pelajar universiti meningkat kerana kemudahan asrama sangat terhad. Kejayaan ini sekali gus menambah lebih ramai tenaga pekerja Muslim berpendidikan tinggi dapat dibekalkan.

Projek bilik bacaan juga boleh dirancang, khususnya di kawasan perumahan murah. Keselesaan untuk menelaah pelajaran akan meningkat prestasi pelajar cemerlang di kalangan golongan berpendapatan rendah.

Banyak projek wakaf lain dapat difikirkan untuk keperluan umat Islam. Perancangan berbentuk proaktif menepati ajaran Islam dan hasil perancangan berkesan perlu dihebahkan kepada masyarakat umum semoga lebih ramai golongan berada akan tampil menyertai projek wakaf.

Menjadi satu amanah dan tanggungjawab besar kepada semua pegawai institusi wakaf semoga tanggungjawab mereka dapat dilaksana dengan lebih berkesan demi kesejahteraan ummah.


Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia