Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Monday, May 11, 2009

Akal didasari iman, akhlak mulia pertingkat martabat manusia

Akal didasari iman, akhlak mulia pertingkat martabat manusia
Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

MANUSIA menjadi mulia kerana sifat kemanusiaannya yang berteraskan kekuatan fikiran. Malang sekali jika disalahgunakan kecerdasan fikiran boleh membawa kerosakan bukan saja pada diri, juga mereka di sekeliling.

Akal manusia menjadikannya makhluk mulia, berbanding makhluk lain ciptaan Allah sehingga boleh membina tamadun dibanggakan. Melalui kurniaan Allah itu juga manusia mencipta peralatan moden serta canggih untuk keperluan mereka.

Kemampuan manusia membezakan perkara baik dan buruk juga daripada akal fikiran. Namun, kelihatannya kecenderungan manusia lebih kepada melakukan kerosakan daripada mendatangkan kebaikan untuk seluruh isi alam.

Apabila akal yang sepatutnya diletakkan pada kedudukan yang tinggi dikorbankan untuk sesuatu kepentingan diri, maka tepat apa difirmankan Allah, manusia akan terjun menjadi serendah-rendah makhluk, bahkan lebih rendah daripada haiwan yang melata.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia Aku cipta dalam sebaik-baik kejadian. Lalu Aku jatuhkannya menjadi serendah-rendah makhluk; kecuali mereka yang beriman, beramal salih. Mereka mendapat ganjaran yang tidak putus-putus."

Maruah kemanusiaan yang ada pada diri tergadai kerana menurutkan nafsu yang menjadi musuh kepada akal. Kecantikan dan keindahan insan kerana akhlaknya yang baik dan bertepatan dengan kehendak agama.

Akhlak Islam mesti bersumberkan wahyu al-Quran dan sunnah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Agama itu adalah akhlak yang baik."

Jelaslah, kedudukan akhlak seseorang menggambarkan kedudukan iman dan pegangan agama sama ada terbukti kukuh atau tidak. Dalam Islam, akhlak yang baik mencerminkan penghayatan seseorang terhadap ajaran agama.

Nabi SAW berpesan dalam sabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang paling baik akhlaknya ialah yang paling baik agamanya."

Ini menunjukkan akhlak adalah roh kepada agama. Roh akhlak meliputi semua aspek kehidupan sama ada akidah, keimanan, ibadah dan muamalah. Persoalan yang timbul ialah bagaimana akal dijaga supaya manusia berada pada taraf yang tinggi.

Manusia mesti kembali kepada Allah, beriman serta mengabdikan diri semata-mata kepada-Nya. Manusia tidak akan sempurna setakat mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang bersifat keduniaan tetapi tiada keimanan teguh terhadap Allah. Kepercayaan dan keimanan kepada Allah menjadi paksi segala kesedaran yang akan mendorong manusia melakukan amalan baik seperti dituntut Allah.

Pada masa sama, manusia akan menjauhkan diri daripada melakukan perkara mungkar yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

Apabila seseorang mengaku beriman kepada Allah, ia bukan sekadar ucapan tetapi diterjemahkan melalui perbuatan kerana kita dipertanggungjawabkan terhadap setiap apa yang dilakukan di duni.

Oleh sebab pentingnya akal, sepatutnya kita menggunakan ia untuk tujuan kebaikan. Jika manusia masih membuat bohong, fitnah, mencuri, memukul, rasuah, zina dan pelbagai kejahatan lain, ingatlah Allah tetap memerhatikannya dan memberi hukuman setimpal.

Apa juga yang kita lakukan adalah hasil pemikiran akal. Oleh itu, jangan salahkan orang lain jika kita tersalah langkah kerana hak menentukan perjalanan hidup terletak seratus peratus di tangan sendiri. Memang hidup sudah ditentukan Allah, tetapi kita perlu berusaha sebelum bertawakal kepada-Nya.

Adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan akal yang dimiliki dapat membawa kepada keredaan Allah. Hanya dengan keimanan kepada Allah yang dapat menyelamatkan diri daripada ditimpa kemurkaan.

Gunakan akal kurniaan Allah untuk mencapai kejayaan serta keredaan-Nya bukan mencari sebab untuk dimurkai. Oleh itu, sentiasalah mengharapkan apa yang kita lakukan dapat memberi kebaikan untuk di dunia dan akhirat.

Beriman, amal salih syarat peroleh rezeki berkat

Beriman, amal salih syarat peroleh rezeki berkat
Oleh Hashim Ahmad

Harta benda hamba takwa sentiasa dipelihara sehingga dapat dinikmati turun-temurun

KISAH bangsa Saba diceritakan dalam al-Quran, mengenai keistimewaan hidup mereka yang beriman dan beramal salih sehingga hidup dilimpahi keberkatan. Dikisahkan ulama tafsir, wanita Saba tidak perlu bersusah payah memetik buah-buahan di kebun mereka.

Sebaliknya, mereka hanya menaruh keranjang di atas kepala, lalu melintas di kebun. Buah-buahan su masak berjatuhan memenuhi keranjang tanpa harus memetik atau mengupah pekerja untuk memetiknya.

Sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa di negeri Saba tidak ada lalat, nyamuk, kutu, atau serangga. Keadaan demikian terjadi lantaran udaranya bagus, cuacanya bersih dan berkat rahmat Allah yang sentiasa meliputi mereka.

Kisah keberkatan yang menakjubkan pada zaman keemasan umat Islam juga pernah diungkapkan Imam Ibnul Qayyim.

Katanya: "Sungguh, biji-bijian dulu, baik gandum mahupun yang lainnya lebih besar dibanding yang ada sekarang seperti keberkatan yang ada padanya (biji-bijian kala itu) lebih banyak."

Imam Ahmad meriwayatkan: "Sudah ditemukan di gudang sebahagian kekhilafahan Bani Umawi sekantung gandum yang biji-bijinya sebesar biji kurma dan bertuliskan pada kantung luarnya: Ini adalah gandum hasil tuaian pada masa keadilan ditegakkan."

Menyedari hakikat ini, kita tentu ingin mendapat keberkatan dalam pekerjaan dan penghasilan harta. Bagaimanakah caranya supaya usaha, penghasilan dan harta kita diberkati Allah?

Untuk memperoleh keberkatan, terdapat dua syarat yang mesti dipenuhi iaitu pertama beriman kepada Allah. Inilah syarat pertama dan terpenting supaya rezeki diberkati Allah iaitu dengan merealisasikan keimanan kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Andai kata penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (ayat Kami), maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah al-A'raf, ayat 96)

Demikian balasan Allah bagi hamba-Nya yang beriman dan sekali gus menjadi penjelasan bahawa orang yang kufur kepada Allah nescaya tidak pernah berasakan keberkatan dalam hidup. Oleh itu hendaklah sentiasa sedar rezeki apapun yang kita peroleh adalah kurniaan dan kemurahan Allah.

Kebanyakan kita setiap kali mendapatkan suatu keberkatan, lupa daratan dan menganggap apa yang diperoleh kerana kehebatan diri. Namun, setiap kali terjadi kegagalan atau bencana, kita menuduh alam sebagai penyebabnya dan melupakan Allah.

Pemikiran seperti itu menyebabkan Qarun ditelan bumi. Allah berfirman yang bermaksud: "Qarun berkata: Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu kerana ilmu yang ada padaku. Apakah ia tidak mengetahui Allah sungguh sudah membinasakan umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak harta yang dikumpulnya." (Surah al-Qashah, ayat 78)

Menyebut nama Allah ketika menghadap rezeki juga menunjukkan keimanan melalui ingatan kepada-Nya. Saidatina Aisyah berkata, Nabi SAW pada suatu saat sedang makan bersama enam sahabatnya. Tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu menyentap makanan Baginda dalam dua kali suapan (saja). Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah seandainya ia menyebut nama Allah (membaca Bismillah), nescaya makanan itu akan mencukupi kalian." (Hadis riwayat Ahmad, An Nasa-i dan Ibnu Hibban)

Amal salih bermaksud menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya sesuai dengan syariat diajarkan Rasulullah SAW. Inilah hakikat ketakwaan yang menjadi syarat keberkatan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika mereka benar-benar menjalankan Taurat, Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka." (Surah al-Ma'idah, ayat 66)

Ulama tafsir menjelaskan yang dimaksudkan dengan 'mendapatkan makanan dari atas dan dari bawah kaki' ialah Allah akan melimpahkan kepada mereka rezeki yang sangat banyak dari langit dan bumi, sehingga mereka mendapatkan kecukupan serta pelbagai kebaikan tanpa susah payah.

Antara contoh keberkatan harta orang yang beramal salih ialah kisah Khidir dan Nabi Musa bersama dua anak kecil. Khidir menegakkan tembok pagar yang hendak roboh untuk menjaga harta warisan dimiliki dua orang anak kecil yang terpendam di bawah pagar itu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan dua anak yatim di kota itu dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka, sedang ayahnya seorang yang salih, maka Rabbmu menghendaki supaya mereka sampai kepada umur dewasa dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Rabbmu." (Surah al-kahfi, ayat 82)

Ibu Katsir berkata: "Pada kisah ini ada dalil bahawa anak keturunan orang salih akan dijaga dan keberkatan amal salihnya meliputi mereka di dunia dan akhirat. Ia memberi syafaat kepada mereka dan darjatnya diangkat ke tingkatan tertinggi supaya orang tua mereka menjadi senang."

Sebaliknya, apabila seseorang enggan beramal salih malah berbuat kemaksiatan, maka keadaan lain akan berlaku. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya seseorang tercegah daripada rezekinya akibat dosa yang ia kerjakan." (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Al Hakim)

Daging busuk dan makanan basi sebenarnya salah satu akibat buruk yang harus ditanggung manusia. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Seandainya jika bukan kerana ulah Bani Israel, nescaya makanan tidak pernah basi dan daging tidak pernah membusuk." (Hadis Muttafaqun`alaih)

Ulama menjelaskan, tatkala Bani Israel diberi rezeki oleh Allah berupa burung salwa (seperti burung puyuh) yang datang dan dapat mereka tangkap dengan mudah setiap pagi hari, mereka dilarang untuk menyimpan daging burung itu. Setiap pagi hari mereka hanya dibenar mengambil daging yang akan dimakan pada hari berkenaan.

Mereka melanggar perintah itu, dan mengambil daging dalam jumlah melebihi keperluan pada hari itu untuk disimpan. Akibat perbuatan mereka ini, Allah menghukum mereka sehingga daging yang mereka simpan menjadi busuk.

Kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa untuk memperoleh keberkatan rezeki, maka kita hendaklah beriman kepada Allah dan sentiasa melakukan amal salih.