Showing posts with label Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa. Show all posts
Showing posts with label Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa. Show all posts

Tuesday, August 11, 2009

Hebatkan promosi bagi jayakan tilawah

Hebatkan promosi bagi jayakan tilawah


Jika lebih banyak artifak sejarah Islam dipamerkan selain pedang-pedang milik Sahabat Besar Rasulullah, tentu lebih menarik perhatian umat Islam untuk ke PWTC.


PADA hari perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-51 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini, bolehlah diistilahkan, ramai peserta daripada penonton!

Tidak ada pemandangan di mana umat Islam datang berduyun-duyun, bersama-sama ahli keluarga, sanak saudara berpakaian sopan berwarna warni bagi memeriahkan acara yang setahun sekali ini.

"Jangan prasangka buruk, mungkin mereka lebih selesa dengan hanya menonton di televisyen di rumah sambil boleh makan dan minum atau baring," kata rakan setugas, Saifulizam Mohamad.

"Mungkin juga," kata penulis separuh berbisik sambil meninjau bangku-bangku yang masih banyak kosong di dewan itu.

Begitupun apabila penghormatan diberikan kepada Malaysia bagi menganjurkan acara yang sebegini hebat, malangnya kita tidak menganggapnya sebagai satu nikmat.

Sedangkan itulah antara kelebihan besar menjadi umat Islam di negara ini yang tidak mungkin dijumpai di negara-negara lain.

Kemudian tidak kurang yang menempelak. Kononnya hairan, jika ada acara konsert hiburan oleh artis terkenal, ramai pula yang berduyun-duyun menyaksikan artis kesayangan mereka itu.

"Sedangkan konsert itu berbayar, dengan harga-harga tiket yang lumayan nilainya. Sedangkan tilawah- masuk adalah percuma!

"Percuma sahaja, jika kita tidak beramai-ramai pergi menontonnya," ujar seorang teman.

Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dahulunya begitu popular dipanggil Musabaqah (Kecuali Johor menggunakan istilah Majlis Ujian al-Quran peringkat daerah dan negeri) ini sebenarnya perlu diberi sentuhan dan nafas baru!

Ini bagi menarik minat lebih ramai hadirin terutamanya golongan muda mengikuti dan menghayati acara yang amat signifikan dengan umat Islam itu.

Namun ini tidak bermaksud terdapat banyak cacat cela sepanjang 51 tahun ia pernah dianjurkan di Malaysia. Malah kita patut sangat berterima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang setiap tahun bertungkus lumus menjayakannya.

Cuma ruang-ruang penambahbaikan sentiasa ada bagi menjadikan yang buruk menjadi cantik, yang cantik semakin cantik.

Malah tinjauan rambang yang dibuat, ramai yang bersetuju supaya Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa wajar menerima suntikan baru terutama dari aspek promosi, penganjuran, pengisian dan pelbagai lagi.

Seorang penonton, Muniruddin Abdullah berkata, baru-baru ini kerajaan meminta semua pihak terutamanya media penyiaran swasta, membantu media milik kerajaan membuat promosi besar-besaran untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52 pada 31 Ogos ini.

"Jadi mengapa tidak, perkara yang sama perlu dilakukan terhadap Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ini.

"Kita mahu semua media memainkan peranan mereka supaya mempromosi mengenai Tilawah ini dengan lebih kerap, lebih kreatif dan menarik bagi lebih ramai umat Islam memenuhi bangku-bangku penonton di Dewan Merdeka, PWTC itu," katanya yang bertugas sebagai guru agama.

Beliau yang mengajar di Sekolah Kebangsaan di Banting Kuala Langat, Selangor, berkata, promosi juga perlu melewati sempadan geografi ke seluruh dunia.

Ia bertujuan menarik minat umat Islam di negara lain turut hadir beramai-ramai ke Malaysia menyaksikan acara ini. Selain itu, kehadiran mereka juga boleh menyemarakkan lagi industri perlancongan negara.

"Kehadiran mereka juga sebenarnya sebagai tanda sokongan terhadap para peserta yang mewakili negara masing-masing.

"Ini menjadikan majlis bertambah meriah dengan semangat sokongan padu para penyokong sepanjang majlis ini berlangsung," katanya.

Menurut Muniruddin, sepanjang melanjutkan pelajaran di Universiti Al Baiyt Jordan (1995-2001) beliau tidak pernah mendengar promosi majlis itu di Jordan.

"Sudah tentu rata-rata umat Islam di negara itu tidak tahu mengenai tilawah ini sedangkan saya yakin jika ada promosi, ramai yang akan mengunjungi Malaysia kerana mereka mampu berbuat demikian demi Islam," kata beliau.

Sebagai guru, beliau juga berharap Kementerian Pelajaran menggalakkan pihak sekolah membenarkan murid dan pelajar mereka menghadiri majlis tilawah.

"Ia bukan sahaja sebagai satu pendedahan, tetapi pendidikan secara holistik mungkin boleh bermula dengan menyaksikan tilawah ini," jelas Muniruddin.

Sementara itu, tinjauan di tingkat bawah PWTC iaitu di ruang Legar Putra, Bazar Tilawah yang diadakan sempena tilawah adalah satu lagi perkara menarik untuk kita perkatakan.

Bazar tersebut tidaklah sehangat setiap kali diadakan Perhimpunan Agung UMNO dan sebagainya. Sambutan ada, namun perlu juga diberi suntikan baru.

Sebabnya, dikatakan masih ramai yang tidak tahu, pelbagai barangan umat Islam ada dijual sepanjang berlangsungnya tilawah.

Perkara ini, diakui sendiri oleh wakil Syarikat Etiqa Takaful, Nurul Ain Md. Roslin.

"Promosi terlalu kurang. Ramai yang tidak tahu di samping majlis tilawah, di sini terdapat pelbagai barangan jualan kepada para pengunjung.

"Akibatnya seperti yang kita dapat lihat sekarang, masih tidak ramai yang berkunjung walaupun tilawah akan bermula beberapa jam sahaja lagi," katanya.

Untuk pengetahuan, di Bazar ini, antara yang menarik perhatian apabila Hospital Pakar Al Islam, yang dahulunya dikenali Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC) tidak sahaja mempamerkan mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh hospital itu.

Sebaliknya, para pengunjung juga boleh membuat pemeriksaan kesihatan di situ termasuk ujian tekanan darah dan sebagainya yang dilakukan oleh jururawat-jururawat hospital itu sendiri.

Perhatian juga tertarik kepada apabila galeri seni terkenal, R A Fine Arts, turut mengadakan pameran yang sangat bertepatan dengan majlis tilawah yang berlangsung.

Ia membuka peluang untuk pengunjung menikmati keindahan kaligrafi jawi atau khat oleh para artis atau pelukis terkenal seperti Mohammed Yusuf Abu Bakar, Abdul Wafaf Abdul Ghani dan ramai lagi. Sekali gus membuktikan tulisan khat juga mampu menjadi satu ekspresi seni yang tersendiri dengan nilai-nilai estetika yang tinggi.

Begitu juga dengan produk yang dikeluarkan oleh Syarikat Cipta Edar DHO Sdn. Bhd. Hasil produknya cantik, buatannya halus berkualiti dan semestinya wajib dimiliki oleh umat Islam di negara ini. Apakah produk tersebut?

Mungkin sempat anda melihatnya sendiri di Bazar Tilawah dan mesti bawa pulang kerana sebagai pemberian hadiah atau cenderamata, merupakan satu idea yang sangat menarik!

Namun pengunjung tidak melepaskan peluang melihat sendiri pedang-pedang terhunus milik para sahabat besar Rasulullah SAW yang dipamerkan dalam peti-peti kaca di Bazar itu.

Ini termasuklah pedang milik Khalid Ibnu Khuwailid dan Saidina Uthman bin Affan.

Sayangnya, hanya artifak pedang-pedang itu sahaja yang terpamer daripada ribuan pelbagai khazanah lama Islam yang ada!

Pelajar pusat pengajian tinggi, Ku Zahirah Ku Mohd. Zalai, 19, berkata, majlis tilawah seperti ini perlukan promosi yang lebih meluas termasuk kain rentang dan banting di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

"Saya berharap di masa akan datang, Majlis ini umpama satu pesta, iaitu Festival al-Quran. Hari kita meraikan kalam-kalam Allah dalam suasana yang lebih meriah.

"Ini termasuklah demonstrasi dan pertandingan tulisan khat, pesta buku-buku Islam, kuiz al-Quran yang menawarkan hadiah yang menarik dan lumayan termasuk pakej umrah dan haji dan tentu sekali, lebih banyak pameran bahan-bahan sejarah yang berkaitan al-Quran dan Islam itu sendiri," katanya.

Rakannya, Siti Najwa Zailani 19, berharap pihak penganjur akan menyediakan pameran sejarah mengenai Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa ini sendiri yang diadakan sejak tahun 1961 lagi.

"Saya suka membaca mengenai biodata-biodata johan qari dan qariah serta melihat gambar-gambar astaka tilawah ini sejak mula diadakan sehingga di hari ini," katanya.

Siti Zubaidah Salleh 41, pula menaruh harapan agar majlis seperti ini dapat dimeriahkan lagi dengan mengundang penyanyi solo dan kumpulan-kumpulan nasyid yang popular dari luar negara.

"Ini termasuklah penyanyi seperti Sami Yusuf, Dawud Wharnsby Ali dan Zain Bikha yang cukup popular di negara Barat" katanya.

Bagaimanapun, mungkin kurang tepat untuk kita mengatakan Majlis Tilawah al-Quran Antarabangsa tidak mendapat tempat di hati umat Islam di negara ini. Sebabnya, kejayaan menganjurkannya saban tahun menunjukkan majlis itu berjaya menarik kunjungan umat Islam. Apatah lagi dengan jumlah qari dan qariah yang bertambah setiap tahun. Sesungguhnya majlis itu umpama satu ibadah yang bersifat fardu kifayah jika kita lihat dari aspek hukumnya.

Namun setiap tahun perlu menyaksikan perubahan, tidak setakat perubahan dari aspek pembinaan astaka, tetapi mungkin lebih dari itu!

Monday, August 10, 2009

Sharifah Khasif pikul tanggungjawab berat wakili negara kali kedua

Sharifah Khasif pikul tanggungjawab berat wakili negara kali kedua
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

MEMIKUL tanggungjawab membawa nama negara bukan tugas mudah, namun bagi qariah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, peluang mewakili negara buat dua tahun berturut-turut pada Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa, amanah yang akan dilaksanakan sebaik-baiknya.

Beliau yang ditemui ketika menjalani latihan bersama tenaga pengajar disediakan Urusetia Tilawah al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Hasri, bagaimanapun tidak menafikan perasaan berdebar-debar untuk memperdengarkan bacaannya malam ini.

"Ini kali kedua saya mewakili negara, tekanan terasa kerana ramai mengharap yang terbaik. Pada dasarnya saya stabil serta tenang menghadapi saat malam ini berkat pengalaman tahun lalu. Mudah-mudahan Allah takdirkan yang terbaik buat saya," katanya.

Sharifah Khasif yang juga naib johan Majlis Tilawah Peringkat Antarabangsa tahun lalu tidak menafikan saingan dihadapi terutama daripada qariah negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menunjukkan penguasaan dalam pembacaan al-Quran secara berlagu selain memiliki mutu suara yang bagus.

Bagaimanapun katanya, beliau positif dengan usaha dilakukan dan mengambil peluang disediakan penganjur untuk menimba pengalaman daripada tenaga pengajar terdiri daripada bekas qari serta qariah yang pernah mewakili negara Rahmas Abdullah dan Ismawi Duet.

"Saya banyak belajar dengan guru dari Terengganu, Kelantan dan Perak sebelum bertanding pada peringkat kebangsaan lalu dan kini menimba ilmu dari tenaga pengajar disediakan penganjur. Saya gunakan kesempatan ini untuk memperbetulkan wakaf ibtida', cara bagaimana hendak berhenti dan mengambil ayat mula," katanya.

Beliau berkata, cabaran dihadapi ialah memastikan mahraj huruf, tajwid dan fasohah selain menentukan lagu sesuai dibacakan untuk ayat yang diundi pada hari ini kerana walaupun kebanyakan qari serta qariah boleh melagukan bacaan, ada kala ia tidak sesuai dengan kehendak ayat.

Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 yang berlangsung di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bermula Rabu lalu masuk hari keenam. Seramai 47 peserta sudah memperdengarkan bacaan masing-masing.

Malam ini giliran qariah Malaysia memperdengarkan bacaan bersama 10 peserta lain diikuti qari negara, Awangku Omar Asfuaddin Awang Hamdan yang bakal membacakan ayat dipilihnya malam esok.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-51 diserikan penganjuran Bazaar Tilawah yang menempatkan 93 gerai menjual serta mempromosikan perkhidmatan disediakan agensi kerajaan, swasta serta usahawan.

Sementara setiap malam diadakan kuiz untuk pengunjung yang hadir di Dewan Merdeka PWTC. Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa turut disokong artis yang mengadakan persembahan sepanjang tilawah yang berlangsung selama lapan hari.

Orang ramai dijemput hadir memenuhi Dewan Merdeka PWTC untuk menghayati bacaan qari dan qariah daripada 43 negara yang mengesahkan penyertaan antaranya Arab Saudi, Sri Lanka, Afghanistan, Yaman dan Croatia.

Saturday, August 8, 2009

Prestij tilawah antarabangsa

Prestij tilawah antarabangsa


Astaka kini disesuaikan mengikut konsep yang ditetapkan oleh penganjur.


KATA orang mempertahankan suatu pencapaian yang tinggi lebih sukar daripada memperolehinya pada kali pertama. Namun, Malaysia telah membuktikan bahawa sehingga hari ini, negara bukan sahaja mampu mempertahankan bilad al-Quran (negara yang menghormati al-Quran) tetapi sentiasa memperbaiki mutu tilawah al-Quran yang dianjurkan.

Malah, kejayaan meletakkan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang mula dianjurkan sejak 9 Mac 1961 bersamaan 22 Ramadan 1380 Hijrah itu turut diakui oleh hakim luar negara.

Seorang daripadanya ialah Sheikh Alaa'eddin Mohd. Ali Al-Qari, 68, dari Iraq yang telah berbakti selama 26 tahun sebagai hakim tilawah antarabangsa di Malaysia.

Beliau yang menjadi hakim tajwid berkata, Malaysia bukan sahaja unggul dalam pengendalian dan pengurusan tilawah tetapi juga yang terbaik dari segi persediaan dan sambutan kepada para hakim yang bertugas.

"Sebab itu saya sanggup membatalkan jemputan yang lain jika ia bertembung dengan tugas sebagai hakim tilawah antarabangsa di Malaysia. Walaupun jaraknya jauh tetapi saya rasa adalah menjadi tanggungjawab untuk hadir pada tilawah di sini kerana ia paling berprestij," katanya dalam temu bual bersama media di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Sememangnya kejayaan ini bukan mudah dicapai. Ia adalah hasil usaha dan kerjasama yang mantap di kalangan semua pihak terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipertanggungjawab mengendalikan acara tahunan negara itu.

Menghimpunkan para peserta dari puluhan negara dengan bahasa dan adat resam yang berbeza sememangnya rumit. Demikian juga untuk memuaskan hati semua pihak lebih-lebih lagi para hakim yang majoritinya dari negara Arab.

Namun, berkat ketekunan, kesabaran dan kecekalan, semuanya berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Seterusnya mengharum dan meletakkan nama negara di status yang tinggi di kalangan negara-negara Islam dunia.

Hakikat yang disedari atau tidak oleh sebahagian besar masyarakat ialah tilawah ini telah merintis jalan kepada pembudayaan membaca al-Quran sehingga wujudnya beberapa institusi formal yang kekal sehingga kini.

Ini dipersetujui oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Katanya, untuk menilai pencapaian tilawah, ia perlu dilihat daripada segi impaknya kepada masyarakat Islam di Malaysia dan rantau Asia Tenggara amnya.

Menurut beliau, selepas 51 tahun menganjurkan tilawah ini, sekarang kelihatan masyarakat makin memberi perhatian kepada pendidikan al-Quran.

"Ia bukan lagi hanya menjadi subjek pengajaran di peringkat kanak-kanak tetapi golongan dewasa yang makin berminat mendalami al-Quran termasuk ilmu tarannum (lagu).

"Sekarang sudah ada pusat atau institusi pengajian al-Quran yang formal, pusat-pusat tahfiz malah sudah ramai yang mendalami ilmu tarannum di institusi-institusi swasta walaupun mereka terpaksa membayar untuk mempelajarinya," kata beliau.

Malah, manfaat awal daripada tilawah dapat dilihat melalui penubuhan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara pada 1 Mac 1966. Ia kemudian berkembang dan dikenali sebagai Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat yang seterusnya dikenali sebagai Darul Quran di Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Wan Mohamad menambah, perkembangan itu adalah selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengajaran al-Quran.

"Kini sebahagian daripada hasrat itu telah dicapai apabila Darul Quran turut menerima ramai pelajar dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja.

"Malah, negara Guinea di Afrika juga menyatakan hasrat menghantar pelajar mereka mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran," jelasnya.

Wan Mohamad juga yakin masa depan tilawah al-Quran sebagai medium memperluas program pendidikan kitab suci itu di peringkat global amat cerah.

"Secara tidak kita sedari, rupa-rupanya penganjuran tilawah menjadi pemangkin kepada perkembangan pusat pengajaran al-Quran.

"Ia bukan hanya sekadar pertandingan," katanya yang juga Ketua Pengarah Jakim.

Bagi menambahkan seri majlis tilawah, ia tidak lengkap tanpa astaka. Sejak tahun 1960 (1379H) hingga sekarang, pelbagai bentuk astaka telah digunakan.

Pada awalnya, reka bentuk astaka tidak diberi perhatian yang terperinci kerana ia hanya untuk pada peserta memperdengarkan bacaan.

Kini, ia dibina mengikut tema, konsep serta ciri tertentu. Fungsinya bukan sahaja menempatkan para qari dan qariah tetapi juga menjadi pentas ucapan serta aktiviti sampingan seperti persembahan nasyid, pantomin dan penyampaian hadiah.

Sempena tilawah kali ini, turut diadakan pameran serta bazar menjual produk tempatan untuk memeriahkan lagi majlis.

Penonton di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah melalui penyertaan dalam kuiz.

Kuiz itu diperkenalkan sejak empat tahun lalu. Ia terbahagi kepada dua iaitu soalan harian yang menawarkan enam hadiah manakala soalan terkumpul yang hadiahnya akan diumumkan kemudian.