Showing posts with label KHUTBAH JAKIM ONLINE. Show all posts
Showing posts with label KHUTBAH JAKIM ONLINE. Show all posts

Friday, July 3, 2009

Akhlak mulia penentu kecemerlangan tamadun sesuatu bangsa

Akhlak mulia penentu kecemerlangan tamadun sesuatu bangsa

MANUSIA dan kualiti tidak boleh dipisahkan kerana tanpa insan berkualiti, sudah tentu tidak akan wujud kelangsungan hidup masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab itu, hari ini banyak program pembangunan modal insan diberi keutamaan pada peringkat institusi keluarga, sosial, pendidikan dan perkhidmatan sama ada di sektor swasta mahu pun awam.

Perbincangan mengenai modal insan sudah bermula lebih awal. Perutusan Rasul dan Nabi Allah dan adalah untuk membentuk manusia berakhlak mulia atau membina kualiti modal insan. Ini difahami melalui ikrar dan aku janji manusia dengan Allah ketika di alam roh untuk menjadi manusia soleh berteraskan akidah tauhid yang satu.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak: Sesungguhnya kami orang yang lalai mengenai (hakikat tauhid) ini.” (Surah al-A’raf, ayat 172)

Hakikatnya, aku janji itu mengandungi kefahaman mengenai kualiti seseorang insan dan hubungan mereka dengan agama iaitu setiap insan dilahirkan dalam keadaan sudah mengikat janji dengan Tuhan.

Selain itu, ketika membaca doa iftitah pada permulaan solat, sebenarnya juga kita sentiasa bermuhasabah diri dengan berjanji untuk berakhlak mulia selari standard piawaian dikehendaki Allah. Pematuhan kepada aku janji itu menentukan integriti dan hala tuju pembinaan kualiti modal insan.

Namun, persoalan besar timbul ialah sejauh mana kita menghayati tuntutan aku janji atau ikrar berakhlak mulia, menjadi insan salih dan mentaati perintah Allah? Perkara utama membina modal insan adalah penentuan matlamat yang tepat dan jelas selari fitrah kewujudan manusia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku.” (Surah az-Zariyat, ayat 56)

Matlamat utama pembangunan modal insan adalah untuk membangun dan menjadikan manusia itu bertanggungjawab, amanah dalam melaksanakan fungsinya serta tekun beribadat kepada Allah. Dalam hubungan ini, segala gerak kerja manusia dihitung sebagai ibadat jika didahului dengan niat yang ikhlas kepada Allah bagi mendapat keredaan-Nya.

Selain tekun beribadat, ciri penting untuk mengukur kecemerlangan insan ialah melalui kemuliaan dan ketinggian akhlaknya. Dalam sejarah tamadun manusia, akhlak adalah faktor utama yang menentukan jatuh bangunnya tamadun sesuatu bangsa.

Contohnya umat Nabi Lut dihancurkan Allah kerana terbabit dalam gejala sosial seperti melakukan perbuatan homoseksual.

Kecemerlangan insan boleh dicontohi melalui keperibadian unggul Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Islam menjelaskan, manusia itu terdiri daripada dua unsur yang membentuk satu kesatuan iaitu rohani dan jasmani. Hakikat manusia itu bukanlah semata-mata diri jasmaninya yang sentiasa berubah tetapi adalah rohaninya yang kekal abadi dan perlu dipelihara supaya tidak tercemar.

Pendekatan utama dalam proses pembangunan modal insan adalah memenuhi tuntutan diri rohani manusia selari dengan aku janji antara manusia dengan tuhannya. Oleh demikian, apabila manusia dapat mematuhi aku janji itu, maka manusia akan menjadi insan yang sungguh mulia lagi berhikmah.

Usaha melahirkan insan salih dan modal insan berkualiti bukan perkara mudah, malah menghadapi cabaran besar seperti pengabaian pendidikan akhlak, menganggap kelemahan moral hak individu, mengamalkan prinsip ’matlamat menghalalkan cara’ untuk kepentingan peribadi dan mengagungkan nilai Barat yang jelas bertentangan dengan hukum syarak.

Bagi mewujudkan insan salih dan modal insan berkualiti, hendaklah bersama:

# Berpegang teguh kepada aku janji dalam mentaati titah perintah Allah,

# Membudayakan membaca al-Quran supaya hati terdidik cenderung berakhlak mulia,

# Ibu bapa, pemimpin masyarakat, pemimpin politik, pembuat dasar, pendidik dan umat Islam hendaklah menjadi contoh berakhlak mulia yang tidak dipertikaikan masyarakat,

# Bermuhasabah dan membuat penilaian prestasi akhlak diri sendiri dari masa ke masa supaya kita kekal berakhlak sebagai seorang Muslim, dan

# Mereka yang mempersendakan dan melanggar aku janji Allah akan menerima azab seksa sama ada di dunia atau akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15) - Khutbah Jakim online

Wednesday, May 27, 2009

Adab bermasyarakat perkukuh ikatan ukhuwah

Adab bermasyarakat perkukuh ikatan ukhuwah

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Umat Islam diminta supaya sentiasa hormati hak orang lain, elak cetus permusuhan

SETINGGI manapun cita-cita dan semurni manapun tujuan, tidak dapat tidak, usaha menegakkan kalimah Allah adalah kerja berkumpulan dan bersama, bukannya mudah untuk dicapai secara bersendirian.

Hubungan sesama masyarakat Islam diikat melalui ukhuwah Islamiah atau persaudaraan Islam. Walaupun keturunan berbeza, tahap kekayaan tidak sama, bahasa dan pelbagai warna kulit, mereka diikat dengan satu ikatan akidah.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Persaudaraan bukan sekadar hubungan biasa setakat bertegur sapa antara satu sama lain, atau bertukar-tukar juadah di bulan Ramadan semata-mata, tetapi menuntut kepada pelaksanaan beberapa hak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan orang mukmin itu daripada sudut kasih sayang adalah seumpama satu jasad yang apabila sakit satu anggota badan, maka seluruh anggota lainnya akan turut merasa sakit dan berjaga malam."

Dalam menjaga ikatan persaudaraan ini, Islam menyusun atur beberapa adab bagi memastikan ukhuwah Islamiah itu selari dengan tuntutan syarak. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain, janganlah ia menzalimi dan menganiaya serta mencela saudara muslimnya. Setiap Muslim dengan Muslim yang lain adalah haram darahnya ditumpahkan, harta dan maruahnya tidak boleh dimusnahkan."

Islam juga memerintahkan supaya menjaga kehormatan saudara muslimnya. Sehubungan itu, perasaan orang Islam lain mesti dijaga. Maka, Islam mengharamkan perbuatan mengumpat dan mendedahkan aib orang lain, mencari keburukannya, berburuk sangka atau memulaukannya.

Sifat mazmumah adalah antara faktor yang memutuskan perhubungan, merobek simpulan kasih sayang, menyemai perasaan benci dalam hati dan melebarkan rasa permusuhan sesama manusia.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman, dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Dalam ayat selanjutnya, Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat), maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihani." (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Perbuatan mungkir dalam berjanji dan khianat akan membawa kepada mudarat sangat besar dan melumpuhkan rasa saling percaya mempercayai antara sesama mukmin. Kesannya, seseorang itu tidak lagi dipercayai kata-katanya di masa akan datang, amalannya dipertikaikan, malah boleh dianggap sebagai orang yang hilang nilai keimanan dalam dirinya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfaal, ayat 27)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna seseorang yang tidak beramanah dan tidak sempurna agama mereka yang tidak menunaikan janji."

Islam menganjurkan amalan tawaduk dan merendah diri sesama orang Islam bersaudara serta menjauhkan rasa sombong dan bongkak. Masyarakat Islam yang berkasih sayang tiada istilah takbur dalam dirinya.

Hal ini dinyatakan dalam firman yang bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (Surah al-Isra', ayat 37)

Aspek utama yang tidak harus diabaikan dalam menjamin keamanan hidup bermasyarakat ialah tolong menolong dan bekerjasama, kerana kesan amalan mulia itu sangat bermanfaat. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing".

Prinsip itu bertepatan dengan panduan wahyu seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Semoga setiap individu dalam komuniti Muslim dapat menghayati secara teori dan praktikal sistem nilai mahmudah yang dianjurkan Islam dalam usaha membentuk masyarakat menjunjung dasar berkasih sayang antara satu sama lain.

Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Jelebu, Negeri Sembilan.

Monday, May 18, 2009

Generasi muda beriman perkukuh perjuangan Islam

Generasi muda beriman perkukuh perjuangan Islam
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

MAJLIS khatam al-Quran antara kegiatan yang dapat mantapkan jati diri belia Muslim. - Gambar hiasan

Sumbangan belia bertakwa penting bantu kejayaan, pencapaian ummah sepanjang zaman

GENERASI muda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara. Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, sukakan cabaran, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta.

Inilah perkembangan naluri dan fitrah generasi muda dalam proses membentuk diri menuju kematangan dan masuk ke alam dewasa. Sebagai pemuda Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan.

Potensi yang dimiliki boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara, tetapi ia juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan negara. Isu utama ialah bagaimana potensi itu digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna secara bermanfaat.

Islam meletakkan generasi muda pada kedudukan mulia dan hal ini berbeza berbanding pada zaman sebelum kedatangan Islam. Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya, tetapi sejurus selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab.

Corak remaja atau belia pada zaman itu terbentuk melalui kesan tarbiah rohaniah dan jasmaniah yang dipimpin melalui pendekatan wahyu iaitu melalui cara hidup Islam. Budaya atau cara hidup bersandarkan reda Allah wujud pada diri pemuda ketika itu.

Ini menyebabkan mereka tidak saja memiliki pedoman dan dorongan terbaik untuk memandu jalan hidup, tetapi budaya reda Allah itu membentuk kedewasaan remaja yang akhirnya menjadikan mereka taat serta patuh terhadap perintah Allah dan sentiasa mengelak melakukan apa dilarang.

Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk." (Surah al-Kahfi: 13)

Allah juga memasukkan belia dan remaja yang menghabiskan masa mengabdikan diri kepada Allah dalam kegiatan hidupnya sebagai manusia yang dimasukkan ke dalam golongan mendapat perlindungan lembayung payung Allah di Padang Mahsyar kelak.

Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, pemuda yang hidup dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua untuk menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan antaranya mempunyai banyak masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai kecerdasan akal fikiran, mempunyai daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain.

Pada ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Rebut lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati."

Pemuda pada awal Islam menjadi tonggak dakwah dan ejen pembangunan dalam membina kekuatan. Nama seperti Mus'ab Umair, Usamah Zaid, Ali Abi Talib, dan Bilal Rabah, membuktikan kepada generasi berikutnya bahawa remaja tonggak kekuatan ummah pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat.

Rasulullah SAW berpesan supaya ummah memberikan perhatian kepada mendidik dan menjaga belia dalam sabda Baginda bermaksud: "Aku berpesan kepada kamu supaya memberi perhatian kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka lembut. Allah mengutuskan aku membawa agama hanif lalu pemuda menyokong aku sedangkan orang tua menentang aku."

Justeru, dalam beramal, pemuda dianjurkan sentiasa mengambil peluang melaksanakan ibadat tanpa perlu bertangguh kerana usaha meningkatkan takwa dalam hidup bukan bermusim. Firman Allah bermaksud: "Dan dirikan oleh kamu sembahyang dan tunaikan zakat, dan apa juga yang kamu dulukan daripada kebajikan untuk diri kamu, tentu kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah." (Surah al-Baqarah: 110)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga pernah melahirkan perasaan takjubnya kepada pemuda yang sentiasa bersungguh-sungguh menjunjung nilai takwa dalam kehidupannya dan bukan bersikap seperti kebudak-budakan. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat kebudak-budakan."

Ketika hayatnya, Baginda SAW selalu berpesan kepada belia dan remaja supaya memperlihatkan sifat matang, sesuai dengan kekuatan fizikal sehingga dapat dibezakan dengan golongan tua. Lantaran itu, ketika usia Baginda menginjak ke angka 40, terjadi peristiwa kenabian pada waktu yang dianggap sempurnanya kematangan umur dewasa. Ketika itu, kebanyakan pendukung kuatnya ialah pemuda.

Saidina Abu Bakar, tua tiga tahun daripada umur Baginda, Saidina Umar pula berusia 27 tahun ketika memeluk Islam, Saidina Othman lebih muda daripada Baginda dan Saidina Ali jauh lebih muda daripada sahabat lain.

Begitu juga sahabat yang terkenal sebagai pendamping dakwah yang dibawa Baginda SAW seperti Abdullah Mas'ud, Said Zaid, Abdul Rahman Auf, Bilal dan Musab Umair yang berusia muda. Nama seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, malah Abu Talib yang tidak menerima dakwah Baginda SAW ialah kalangan generasi tua.

Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi, justeru pengiktirafan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong. Benar dan tepat kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah, tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal. Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadah.

Penulis ialah Penolong Pengarah, Pusat Pemantapan Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Jelebu, Negeri Sembilan

Thursday, May 14, 2009

Malapetaka menimpa ummah jika kemungkaran berleluasa

Malapetaka menimpa ummah jika kemungkaran berleluasa


SALIM mendengar Abu Hurairah menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Nanti akan dilenyapkan ilmu pengetahuan, akan bermaharajalela perzinaan dan kejahatan serta banyak haraj. Seorang sahabat bertanya: Apakah haraj itu ya Rasulullah? Jawab Baginda: Begini! (Nabi memberi syarat dengan tangan beliau seolah-olah menggambarkan terjadinya suatu pembunuhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam arus pembangunan dan kemajuan yang pesat dewasa ini, umat Islam menghadapi krisis kebejatan moral yang membimbangkan. Ramai orang seolah-olah sudah lupa pada akhirat. Pelaku kejahatan bukan daripada kalangan dewasa saja, namun anak belum dewasa, ibu, bahkan orang sudah lanjut umur juga terbabit.

Perkara seperti ini perlu diberi perhatian serius umat Islam kerana Allah akan menimpakan bala dan laknat yang dahsyat disebabkan maksiat dilakukannya kerana ia akan menimpa seluruh manusia.

Apa yang dinyatakan Rasul SAW dalam hadis Baginda sudah pun berlaku dalam realiti kehidupan kita hari ini. Ilmu sudah diangkat atau disisihkan. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu agama atau ilmu syarak yang boleh memandu umat Islam kepada kebenaran, ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka pada hari akhirat kelak. Ulama yang takut kepada Allah, memuliakan sifat zuhud juga semakin berkurangan.

Oleh itu, bagi menghadapi situasi akhir zaman ini, umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak terjatuh dalam kemungkaran. Benteng pertahanan akidah perlu diperkuat dan diperkemaskan supaya tidak mudah terpedaya.

Di samping itu, konsep amar makruf nahi mungkar harus diterapkan. Begitu juga konsep untuk saling mengingatkan dalam kebaikan dan kebenaran.

Daripada Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW), beliau berkata: “(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda: La ilaaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini sudah terbuka dari dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini, dan Baginda menemukan hujung jari dan hujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: Ya Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang yang salih? Lalu Nabi SAW bersabda: Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” (Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menerangkan bahawa apabila ada di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu.

Tidak hanya kepada orang jahat saja, tetapi orang yang salih juga akan dibinasakan meskipun masing-masing pada hari kiamat akan diperhitungkan mengikut amalan dilakukan. Oleh itu, segala macam kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmi, maksiat hendaklah segera dimusnahkan, supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan saja akan menimpa orang melakukan kemungkaran dan kejahatan, tetapi juga semua penduduk di tempat itu.


Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, May 8, 2009

Gabungan usaha gigih, doa hasilkan kejayaan cemerlang

Gabungan usaha gigih, doa hasilkan kejayaan cemerlang


KECEMERLANGAN tidak datang bergolek tanpa usaha gigih, tidak datang melayang tanpa tekad dan azam yang kuat. Justeru, kecemerlangan seluruh warga Malaysia memerlukan cara tersendiri untuk mencapainya.

Selari dengan ajaran Islam, Allah menegur manusia supaya berani membuat perubahan dalam semua aspek kehidupan. Sikap ini dapat memajukan prestasi dan mutu keinsanan seseorang.

Firman Allah bermaksud: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)


Sejarah membuktikan Nabi SAW bukan menyampaikan risalah Islam semata-mata, bahkan Baginda berusaha melakukan perubahan untuk maju melalui sektor pekerjaan. Baginda ialah contoh pekerja dan pengurus unggul, berkeperibadian tinggi seperti bersifat jujur, amanah, taat dan tekun.

Baginda SAW juga bijak serta dedikasi ketika membantu perniagaan bapa saudaranya, Abu Talib dan Khadijah sehingga memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Seandainya Nabi SAW melanggar etika kerja disyariatkan Islam seperti menipu, zalim dan menindas, pasti dunia pekerjaannya tercemar. Keperibadian mulia pekerja dan majikan perlu diberi penanda aras paling tinggi dan utama.

Jika pekerja dan majikan amanah dan tidak salah guna pangkat atau kuasa mentadbir, nescaya ia mendapat keredaan Allah, keberkatan rezeki, dipercayai pekerja dan organisasi serta membawa kemakmuran organisasi.

Imam Bukhari meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang paling kecewa (rugi) pada hari kiamat ialah orang yang mencari harta secara tidak halal lalu ia masuk ke neraka bersama hartanya.”

Maksud secara tidak halal termasuk mereka yang tidak amanah. Sifat in adalah pakaian khalifah Allah. Sebagai khalifah kita bertanggungjawab mengurus alam serta isinya supaya manfaat dan keberkatannya dapat dinikmati.

Bagi memakmurkan kualiti pengurusan dalam pelbagai aspek kehidupan sangat diperlukan. Kualiti adalah tuntutan bekerja secara profesional dan kemas melalui perancangan yang strategik dari sudut masa, wang serta tenaga.

Berteraskan nilai integriti, lima cabaran sentiasa mendepani organisasi cemerlang iaitu perubahan minda dan sikap mengejar kecemerlangan, etika yang luhur, pembangunan modal insan berilmu serta mahir, budaya kerja berasas prestasi dan daya kepemimpinan yang unggul.

Perubahan menuju hasanah (kebaikan) bermula dari dalam diri individu. Ramai selalu berdoa memohon kebaikan tetapi doa tanpa usaha adalah angan-angan. Begitu juga usaha tanpa doa untuk mendapat keredaan Allah atas usaha dilakukan membawa sia-sia.

Apa yang terbaik adalah gabungan antara doa dan usaha yang sempurna akan membawa kepada kejayaan diimpikan. Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam.

At-Tabrani meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya daripada meminta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangga, nescaya pada hari kiamat ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”

Umumnya manusia berperibadi cemerlang berjaya menyempurnakan tugasnya berdasarkan kekayaan ilmu pengetahuan, penghayatan, pengamalan ilmu serta sentiasa mencapai atau melepasi ukuran cemerlang.

Mereka juga digambarkan melalui tingkah laku yang berhemah, berbudi pekerti mulia dan menerima tanggungjawab sebagai amanah.

Sebagai individu yang menjadi warga organisasi, kita tidak dapat lari daripada menerima kesan perubahan. Jika tidak cepat bertindak menyesuaikan diri dengan perubahan dikhuatiri kita tidak mampu menyampaikan perkhidmatan seperti dituntut masyarakat luar yang berubah mengikut persekitaran.

Bagi melahirkan organisasi gemilang, individu yang menggerakkannya mesti terlebih dulu cemerlang. Justeru, mari muhasabah diri, sejauh manakah kedudukan kita dalam pekerjaan. Adakah kita sudah membawa perubahan kepada diri, keluarga, negara, organisasi dan kepentingan agama.

Mari kita tanam tekad dan azam menghayati tujuan bekerja menurut Islam. Tingkatkan usaha ke arah yang terbaik, sentiasa memperbaiki prestasi kerja, berusaha melaksanakan pelbagai tugas, mempunyai sifat positif terhadap diri dan pandangan pihak lain serta bersedia menerima teguran.

Kita perlu saling menghormati, bertolak ansur dan peka kepada kehendak pelanggan serta perubahan persekitaran.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 105).



Khutbah Jakim Online