Showing posts with label Guru. Show all posts
Showing posts with label Guru. Show all posts

Thursday, May 21, 2009

Muhasabah diri sempena Hari Guru

Muhasabah diri sempena Hari Guru

Oleh Mohd. Farid Md. Alias

Saban tahun tarikh 16 Mei akan sentiasa diingati sebagai Hari Guru. Pada tahun ini, 'Guru Pembina Negara Bangsa' menjadi tema sambutan Hari Guru di negara kita.

Tema tersebut menggambarkan peranan besar guru dalam membentuk generasi muda negara ke arah kecemerlangan masa depan Malaysia.

Umumnya kita memahami bahawa Hari Guru itu disambut bagi mengenang kembali jasa para guru yang banyak berusaha untuk mendidik para pelajar demi menjadikan mereka insan yang celik mindanya serta budi pekertinya.

Pada hari tersebut, kebiasaannya para pelajar menunjukkan kecintaan dan penghargaan mereka kepada para guru dengan mengungkapkan ucapan "Selamat Hari Guru" atau "Terima kasih cikgu" beserta pemberian hadiah.

Terdapat juga penganjuran majlis sambutan Hari Guru yang turut memuatkan agenda anugerah guru cemerlang.

Walau apa pun corak sambutan Hari Guru yang diadakan, apa yang penting ialah pengisiannya seharusnya mampu untuk menanam rasa hormat pelajar terhadap guru di samping membina motivasi guru untuk terus gigih mendidik anak watan.

Bagi pihak pelajar pula, mereka seharusnya mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan daripada pihak guru atas segala tindak tanduk pelajar selama ini yang mungkin menyebabkan guru kecil hati.

Juga para pelajar boleh memohon jasa baik guru agar dihalalkan segala ilmu yang dicurahkan serta mendoakan pelajar agar memperoleh keberkatan ilmu yang dipelajari. Faktor restu guru adalah penting demi kejayaan pelajar bukan sahaja dalam peperiksaan tetapi juga terhadap aspek kehidupan pelajar yang lain seperti akhlak dan sahsiah.

Hormati Guru Kita

Hormat pelajar terhadap guru itu adalah dengan pelajar berkomunikasi dengan guru secara sopan santun dan bijaksana. Hormat terhadap guru juga bermaksud tekun berusaha untuk memahami pengajaran guru, menyiapkan tugasan yang diberikan serta mengamalkan ilmu bermanfaat yang disampaikan oleh guru kepada pelajar.

Mematuhi peraturan sekolah juga merupakan cara menghormati guru. Peraturan sekolah melengkapkan serta melancarkan pendidikan guru di dalam kelas. Berpakaian seragam sekolah umpamanya memupuk disiplin diri pelajar untuk mematuhi undang-undang.

Apabila perasaan hormat terhadap guru dipupuk, apa yang guru suruh dilaksanakan, apa yang guru larang dielakkan. Apa yang guru ajarkan difahami, apa yang menjadi perdebatan dibincangkan, apa yang menjadi persoalan dijawab.

Muhasabah Pelajar Hadiah Teristimewa

Hadiah yang tidak ternilai buat seorang guru bersempena Hari Guru ini ialah apabila pelajar bermuhasabah diri demi mengenal pasti sejauh mana pelajar telah berperanan sebagai seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu daripada seorang guru.

Dalam proses bermuhasabah tersebut, pelajar boleh menilai diri mereka melalui sudut pandang guru terhadap pelajar, yakni apakah ciri-ciri seorang pelajar yang disukai dan yang tidak disukai oleh guru.

Pelajar boleh bertanyakan maklum balas daripada guru mereka tentang ciri-ciri tersebut serta adakah pelajar memilikinya. Jawapan daripada pihak guru tentunya bakal menemukan pelajar dengan resipi kecemerlangan diri, bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam kehidupan sebenar pelajar.

Usah Ego Terhadap Guru

Guru juga seorang manusia. Kadang kala guru tidak dapat lari daripada memiliki kekurangan atau melakukan kesilapan. Justeru sebagai pelajar, kita seharusnya mencontohi perkara kebaikan yang ditunjukkan oleh guru dan mengambil iktibar daripada kekurangan guru dengan berusaha menjadi lebih baik.

Bagi sesetengah pelajar, mereka mungkin memiliki pengetahuan atau kemahiran yang lebih baik daripada apa yang mampu diajarkan oleh guru.

Hal ini tidak seharusnya menjadikan pelajar berasa ego atau tinggi diri terhadap guru lalu menyebabkan pelajar hilang rasa hormat terhadap guru atau mengabaikan pengajaran guru.

Andainya pelajar kurang bersetuju dengan mana-mana pengajaran guru, perkara tersebut perlu dicurahkan melalui kaedah diskusi secara berhemah dan bijaksana tanpa sebarang unsur yang merendahkan martabat seorang guru serta tidak menjejaskan hubungan antara pelajar dan guru.

Kesimpulan

Pada seorang guru itu bukan sahaja tersingkap pancaran keilmuan tetapi juga pancaran akhlak untuk dicontohi serta pancaran tarbiyah untuk diikuti.

Guru tidak sahaja berusaha mendidik murid untuk menjadi pintar intelektualnya, tetapi juga pintar pada emosi dan rohaninya.

Kepada insan yang bergelar pelajar, ayuh jadikan Hari Guru ini sebagai titik perubahan buat diri pelajar untuk memperbaiki diri ke arah mencapai kecemerlangan. Gambarkan sifat-sifat murni yang pelajar ingin miliki dan berusaha terapkannya dengan bantuan dan didikan guru.

Guru-guru di sekeliling pelajar sentiasa bersedia untuk membantu pelajar yang mahu membantu diri mereka sendiri.

Insya-Allah dengan bimbingan, dorongan serta doa mereka, kejayaan yang diharapkan bakal menjadi kenyataan!

Saturday, May 16, 2009

Profesion perguruan setanding peranan ulama

Profesion perguruan setanding peranan ulama
Oleh Mohd Shahrizal Nasir

Rasulullah mengiktiraf tugas pendidik dalam proses penyebaran dakwah Islamiah

PROFESION perguruan adalah tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi yang membabitkan disiplin ilmu berkaitan agama. Tanpa menafikan peranan pendidik dalam disiplin ilmu lain, bidang perguruan seharusnya terus dipandang tinggi masyarakat.

Sesungguhnya guru memainkan peranan besar mencorakkan pemikiran, budaya dan peradaban generasi akan datang. Jika guru diperlekeh oleh masyarakat, mana mungkin peranan mereka dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

Islam sebagai agama yang mementingkan ilmu pengetahuan memandang tinggi martabat seorang pendidik. Rasulullah SAW sendiri sudah membuktikan pentingnya peranan guru dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam.

Sebagai utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda sendiri berperanan mengajar dan mendidik umat manusia berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dialah (Allah) yang mengutuskan daripada kalangan orang yang Ummiyyin, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam keadaan sesat yang nyata." (Surah al-Jumu'ah, ayat 2)

Selain itu, Baginda SAW juga mengambil inisiatif dengan menghantar Mus'ab ibn 'Umair ke bumi Yathrib (Madinah) dengan tujuan mengajar al-Quran dan ilmu asas berkaitan Islam kepada masyarakat Arab yang baru memeluk Islam pada ketika itu.

Inilah antara peranan penting pendidik dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiah dengan cara lebih berkesan. Secara tidak langsung, sebenarnya Rasulullah SAW turut menggesa umatnya menjadi pendidik menerusi sabdanya yang bermaksud: "Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat." (Hadis riwayat Bukhari)

Saidina Ali pernah berkata: "Jadilah orang yang mencurahkan ilmu atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang suka mendengar ilmu atau orang yang cintakan ilmu dan jangan kamu jadi golongan yang kelima, maka kamu akan binasa."

Sebenarnya pendidik boleh dikategorikan sebagai ulama dalam konteks kepakaran masing-masing. Justeru, dapat dilihat ulama silam amat mementingkan tatasusila dan adab yang perlu dijaga penuntut ilmu apabila bermuamalat dengan gurunya.

Ulama menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti bagi mendapat keberkatan ilmu yang dipelajari. Imam Ghazali antara lain menyebut dalam kitabnya Ihya 'Ulum ad-Din: "Apapun yang diterangkan oleh guru ketika pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan guru lebih bermanfaat daripada apa yang mungkin benarnya yang datang dari dirinya (penuntut)."

Bukanlah maksud kata-kata itu bahawa segala yang dicurahkan guru, walaupun ia mungkin ada kesilapan perlu diterima bulat-bulat, tetapi apa yang cuba disampaikan adalah betapa perlunya bagi penuntut untuk sentiasa meletakkan martabat guru pada tempat yang selayaknya.

Percanggahan pendapat harus ditangani dengan bijak supaya hubungan antara penuntut dengan gurunya akan terus terpelihara dan dijauhkan daripada menjatuhkan air muka guru di khalayak ramai.

Kebelakangan ini, pelbagai berita dilaporkan yang boleh dikira sebagai cuba merendahkan martabat guru. Berita guru dikasari murid, diheret ke mahkamah, guru dera pelajar, jika tidak diselidiki kesahihannya dengan teliti boleh menyebabkan pelbagai persepsi buruk dilontarkan kepada guru dan pendidik.

Perbezaan ketara dapat diperhatikan apabila guru dipandang tinggi oleh anggota masyarakat satu ketika dulu.

Ibu bapa akan menyerahkan amanah menjaga dan mendidik anak kepada guru dengan rasa ikhlas dan penuh kepercayaan.

Sebaliknya situasi masa kini, guru semacam perlu berjaga-jaga supaya tindak tanduknya tidak mengundang sebarang masalah, walhal secara lazimnya mereka melakukan setiap perkara hanya dengan tujuan untuk melihat anak didiknya terus cemerlang dan berjaya.

Dalam konteks lain pula, guru perlu sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku supaya dapat menjadi ikutan terbaik kepada generasi muda. Guru harus sedar setiap tingkah laku mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Jangan sesekali bercakap sesuatu yang tidak pernah dilakukan. Sesungguhnya balasan Allah amat berat bagi mereka yang tidak melakukan apa yang diperkatakan.

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah as-Saf, ayat 2-3)

Hakikatnya, jika guru tidak menjaga maruah dan perilaku, mereka merendahkan fungsi dan martabat sendiri pada mata masyarakat, seterusnya mengabaikan amanah Allah bagi melahirkan umat yang terbaik menerusi ilmu pengetahuan.

Sempena sambutan Hari Guru, hari ini, marilah bersama kita mengenang jasa guru dan pendidik yang sudah banyak membantu agama, bangsa dan negara dalam melahirkan ummah terbaik dan dipandang tinggi.

Ucapan terima kasih seharusnya ditujukan khas buat guru yang banyak berkorban masa, tenaga dan idea demi melihat anak didiknya terus berjaya, bukan saja di dunia malah di akhirat kelak.

Hal ini bertepatan saranan Baginda SAW yang mengajar umatnya sentiasa ringan mulut untuk mengucapkan 'terima kasih' kepada sesiapa saja yang berbakti kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidaklah berterima kasih kepada Allah sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia." (Hadis riwayat Bukhari)

Segala amal bakti seorang guru menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak didik akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan (ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim)

Penulis ialah Felo Akademik Fakulti Bahasa Dan Komunikasi Universiti Darul Iman Malaysia

Friday, May 15, 2009

Manfaat ilmu cara terbaik hargai jasa guru

Manfaat ilmu cara terbaik hargai jasa guru
Oleh Mohd Shukri Hanapi

GURU insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.

Oleh itu, guru perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar dalam pembentukan sahsiah mereka. Prof Mohd Kamal Hasan menjelaskan: “Contoh teladan pendidik ini yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur.”

Abdul Halim al-Muhammadi pula menjelaskan, guru ialah ejen kepada keberkesanan pendidikan. Walau sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak mencapai matlamatnya jika ejen yang menyampaikan tidak efektif. Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya jadi contoh berkesan.



Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu. Jasa guru amat besar, begitu juga pengaruh mereka mendidik serta membimbing pelajar mencapai kecemerlangan hidup. Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada guru. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikan sedikit ruang pada majlis, maka berikan ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta reda Allah. Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun (prasekolah) bukan mudah serta memerlukan kesabaran tinggi. Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru, sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang dipersoalkan pada akhirat kelak. Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Kedudukan profesion perguruan dalam agama cukup jelas. Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Di sini peranan guru meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan. Justeru, pengorbanan dan kesungguhan guru menghadapi cabaran perlu dibalas dengan kejayaan pelajar menterjemahkan ilmu disampaikan dalam kehidupan mereka. Itulah hadiah paling berharga bagi guru.

Segala penat lelah terbalas apabila melihat pelajar yang dididik serta dibimbing penuh kasih sayang mencapai kejayaan dalam pelajaran seterusnya mencapai kecemerlangan. Justeru, guru perlu diberi penghormatan tinggi selari penghormatan diberikan Islam.

Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap kali sambutan Hari Guru kerana harapan mereka biar anak didik menjadi insan berilmu dan berguna, seterusnya menyumbang khidmat bakti kepada negara. Guru mengerti usaha mendidik dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Allah.

Demikianlah antara peranan guru ketika ini. Mereka bukan saja menjadi ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Aspek pembinaan negara bangsa ini yang dijadikan tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’. Tema ini bermatlamatkan memperkasakan peranan guru dalam mewujudkan pembangunan modal insan. Pemilihan tema ini sesuai dan tepat dengan peranan guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat.