Showing posts with label IQRA. Show all posts
Showing posts with label IQRA. Show all posts

Saturday, June 27, 2009

Furuu’ Al Massa il buah tangan terbaru Abu Hassan

Furuu’ Al Massa il buah tangan terbaru Abu Hassan

BENARLAH bagai dikata menerusi pepatah berbahasa Inggeris, Don't judge a book by it's cover.

Pada deretan kemas buku-buku agama koleksi peribadi Datuk Abu Hassan Din al-hafiz yang diletakkan di rak kayu sebelah meja komputer pada salah sebuah ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu, selain koleksi buku-buku Arab, rupa-rupanya terselit sebuah kitab lama yang bukan sebarangan kitab.

Akui Hassan, kitab berwarna kuning dalam bahasa Melayu klasik yang ditulis dengan tulisan Jawi lama itu, tidak lebih seperti kitab-kitab lain yang pernah dibaca sebelum ini.

Lantaran itulah, kitab itu sudah lama terperap sebagai sebahagian daripada koleksi khazanah ilmu malah jarang sekali dibuka untuk tujuan rujukan. Tidak hairanlah, jika dikatakan empunya milik kitab lama ini juga tidak mengetahui bila dan di mana ia diperoleh.

"Tetapi entah macam mana, bila hendak merujuk tentang satu masalah, saya dapati permasalahan yang cuba dicari itu tidak ada di dalam kitab-kitab Arab dan tanpa disengajakan, tangan saya tercapai dan terbuka kitab Furuu' Al Massa il ini. Kebetulan pula di dalamnya ada mengenai masalah yang saya cari itu.

"Sejak itu, minat membuat rujukan berkaitan masalah fikah mula berubah iaitu kalau dahulu lebih kepada kitab-kitab bahasa Arab, kini beralih kepada kitab-kitab hasil ulama nusantara terutamanya buku Furuu' Al Massa il yang telah diterjemahkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Fatani, seorang ulama Melayu yang tersohor suatu masa dahulu.

"Semakin lama saya tatap buku ini, saya dapati ia mempunyai satu khazanah ilmu yang amat bernilai walaupun ia hanya sebuah kitab lama yang telah dialihbahasakan daripada kitab asalnya yang berbahasa Arab.

"Saya dapati isi kandungannya amat padat sekali, walaupun ia ditulis beratus tahun yang lalu. Tambah pula isu perbahasannya masih relevan membicarakan permasalahan semasa yang timbul pada hari ini," jelas Abu Hassan mengenai kerja penulisan terbarunya itu.

Menurut beliau lagi, kitab itu merupakan sebuah karya terjemahan dalam bentuk soal jawab yang menyentuh soal-soal syariat yang merangkumi aspek-aspek ibadat, munakahat, muamalat dan jinayat, cuma bezanya ia ditulis dengan menggunakan bahasa Jawi lama yang hanya boleh difahami segelintir orang tertentu sahaja.

"Akhirnya dengan kehendak Allah jua, terdetik persoalan di hati saya, kenapa kitab yang seindah ini, disimpan hanya untuk menjadi tatapan dan rujukan golongan tertentu sahaja.

"Alangkah baiknya sekiranya kitab yang bermutu seperti ini dapat dimanfaat oleh generasi masa kini, khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi dan ditatapi bersama.

"Maka timbullah keinginan serta membulatkan tekad saya untuk menyusun semula atau memodenkan kitab tersebut dengan gaya bahasa masa kini untuk memudahkan generasi hari ini membaca dan memahaminya, khususnya bagi mereka yang sentiasa dahagakan ilmu.

"Cuma persoalannya, oleh kerana penulisnya telah lama kembali ke rahmatullah, kepada siapakah sepatutnya saya memohon untuk mendapatkan kebenaran dan keizinan bagi menyalin semula kitab tersebut, sedangkan penulis asalnya dan berkemungkinan para warisnya bukan dari negara ini?," cerita beliau lagi.

Kepada Allah diserahkan segalanya, Abu Hassan segera melaksanakan beberapa kali solat sunat Istikharah dan akhirnya terbukalah hati beliau untuk meneruskan cita-cita, menyalin semula serta memodenkan kitab ini dalam susunan bahasa yang mudah difahami tanpa terlebih dahulu mendapat restu dan keizinan daripada para warisnya. Apa yang beliau harapkan, sekiranya usaha ini ada ganjarannya, maka ganjarannya akan turut dikongsi bersama oleh penulis asalnya.

Kata Abu Hassan, hanya dengan cara ini sahaja beliau berkeyakinan akan dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini yang berminat untuk mendalam urusan agama mereka.

Akhirnya pada hari Rabu tanggal 23 Julai 2003 bersamaan 23 Jamadilawal 1424, tangan Abu Hassan mula mengetuk kekunci komputer bagi mencoret semula tinta pujangga yang hampir pudar ditelan masa, sekali gus bererti beliau mengambil masa selama hampir dua tahun untuk menyalin semula kitab tersebut.

"Jangka masa yang begitu lama adalah disebabkan kesibukan tugas harian saya, di samping kesukaran untuk memahami susunan bahasanya.

"Untuk menyelami ke dasar maksud dan mafhumnya, terkadang satu soalan dan jawapannya mengambil masa sehari suntuk untuk memahaminya, malah ada yang terpaksa saya tinggalkan terus kerana tidak dapat hendak memahami maksud soalan maupun jawapannya.

"Di sesetengah tempat pula, ada yang saya terpaksa tokok tambah sedikit penjelasan dan huraian dengan menggunakan huruf condong agar ia lebih jelas dan mudah difahami. Ada sesetengah soalan dan jawapannya pula terpaksa diubah atau dirombak supaya apa yang dibicarakan itu tersusun kemas," kata Abu Hassan tentang buku yang dijangka berada di pasaran pada Julai ini. Insya-Allah.

Jelas Abu Hassan lagi, di awal penyiapan kitab ini, beliau tidak memikirkan sangat tentang penerbit untuk kitab ini. Yang penting, beliau mahukan kandungannya itu dikongsi umat Islam. Namun apabila buku tersebut hampir siap iaitu sekitar 2005, beliau mula memikirkan tentang penerbit.

Kebetulan pula kerjasama di antara beliau dengan sebuah syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. sudah lama bermula, atas platform penerbitan cakera padat.

Siapa sangka usaha terbaru beliau itu telah menarik minat Telaga Biru, lantas persetujuan kerjasama termeterai. Kini, ia sudah berada di peringkat akhir penyiapan.

Wednesday, May 27, 2009

IQRA : Sukses dengan Beribadah

Iqra: Mendalami cara, panduan dapatkan ibadat sempurna

Judul: Sukses dengan Beribadah
Penulis: Dr Sulaiman al-Asyqar
Penerbit: Jasmin Enterprise
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM20.

KEHIDUPAN dunia hanyalah kesempatan amal bagi menghadapi hari akhirat dan tempoh masanya adalah umur masing-masing. Justeru, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam menjalani kehidupan berdasarkan syariat ditetapkan demi kejayaan di akhirat nanti.

Buku Sukses dengan Beribadah memberi penjelasan mendalam mengenai amal perbuatan yang menyeluruh, bukan amalan perbuatan tertentu dalam usaha seseorang itu menempah tempat yang selesa selepas dibicarakan di hadapan Allah nanti.

Bab satu buku ini membahaskan mengenai amal soleh serta hubungan dengan takdir, tabiat amal soleh terdiri daripada amal ibadah sebenar, perintah dan larangan, ukhrawi dan duniawi serta zahir dan batin.

Perbahasan dilengkapkan dengan nas berkenaan keutamaan amal soleh secara umum dan apakah ia diterima atau sebaliknya berdasarkan al-Quran serta hadis Rasulullah SAW. Begitu juga peringkat amal soleh supaya pembaca mempunyai motivasi untuk melakukannya.

Bab kedua membicarakan perbuatan buruk sebagai cara menghindarkan kita daripada melakukannya serta apakah kesan perbuatan itu terhadap pelaku di dunia dan akhirat, apakah ia termasuk dosa kecil atau besar.

Bab berikutnya dikhususkan kepada balasan perbuatan baik atau buruk kerana setiap perbuatan pasti akan dinilai di sisi Allah melalui perbahasan bagaimana ia akan dibentangkan seluruh catatan amalan manusia di dunia.

Akhirnya, kisah mengenai timbangan membabitkan kehidupan akhir yang baik atau buruk selain dijelaskan peringkat syurga dan neraka. Setiap perbahasan dalam buku ini dibahagi kepada sub topik yang menerangkan permasalahan dan perbahasan.

Buku ini ibarat buku tafsir, hadis, fikah, tauhid, nasihat dan wasiat kerana keseluruhannya menceritakan perbuatan manusia, mengajak kepada perkara dikehendaki Allah dan mencegah perbuatan buruk.

Wednesday, May 20, 2009

Iqra: Al-Farid bantu cari makna dengan pantas

Iqra: Al-Farid bantu cari makna dengan pantas


Judul: Kamus Al-Farid Bahasa Arab-Inggeris-Melayu
Penulis: Dr Mohd Puzhi Usop, Mohd Azrul Azlen Abd Hamid, Norasmazura Muhammad, Marzidah Hashim, Raja Munirah Raja Sulaiman
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM50 (Semenanjung Malaysia) RM52 (Sabah Sarawak)

KAMUS Al-Farid (yang bermakna unik) menggambarkan keunikan pendekatan digunakan bagi menghasilkan kamus ini. Keistimewaan kamus ini ialah ia mesra pengguna kerana dapat membantu mencari makna perkataan dengan pantas.

Pengguna tidak perlu bersusah payah untuk mencari kata dasar (masdar) sesuatu perkataan sebaliknya pengguna hanya perlu merujuk kepada huruf pertama setiap perkataan. Teknik atau pendekatan ini sangat membantu dan menjimatkan waktu.

Kekuatan kamus ini terletak pada penggunaan tiga bahasa, dimulakan dengan bahasa Arab, diterangkan secara sepenuhnya menggunakan tiga bahasa (bahasa Arab-Inggeris-Melayu).

Kerja suruhan yang dilengkapkan pada setiap kata kerja juga menjadikan kamus ini istimewa dan pendekatan itu membantu menambahkan perbendaharaan kata serta memudahkan menggunakan kata kerja kerja dengan tepat.

Perkataan dalam kamus ini merangkumi pilihan perkataan yang penting, relevan dan sering diguna pakai dalam kehidupan seharian. Kamus al-Farid juga memuatkan perkataan digunakan dalam sukatan pelajaran sekolah kebangsaan dan J-Qaf.

Kamus al-Farid sesuai untuk rujukan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, tenaga pengajar bahasa Arab serta mereka yang tidak mempunyai asas Bahasa Arab. Ia juga menyediakan kata jamak selain perkataan sama erti dan berlawanan.

Iqra: Menyingkap petua cinta alam perkahwinan

Iqra: Menyingkap petua cinta alam perkahwinan


Judul: Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah
Penulis: Zamri Mohamad, Imran Yusof
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Pengulas: Hasliza Hassan
Harga: RM19.50 (Semenanjung Malaysia) RM21.50 (Sabah Sarawak)

ADA mengatakan perkahwinan ibarat pertaruhan, ada pula mengatakan perkahwinan ibarat percaturan dan tidak kurang berpendapat perkahwinan adalah perkongsian hidup dua hati daripada latar belakang berbeza.

Apa juga definisi perkahwinan, buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah menyingkap petua cinta alam perkahwinan, pengalaman sebenar, panduan berguna serta amalan doa untuk melalui alam perkahwinan yang kekal hingga akhir hayat.

Buku ini menjawab persoalan yang selalu bermain di minda pasangan bagaimana untuk menjadi isteri atau suami pujaan, apakah petua untuk membuat kasih sayang terus mekar dan benarkan jika sudah jodoh tidak ke mana.

Ibarat perjalanan ke arah kematangan, buku ini membongkar rahsia cinta dan perhubungan bermula dengan memahami Bahasa Cinta Lelaki, Magnet Cinta: Membuat Orang Tertarik Hati Setiap Masa dan 77 Panduan Melembutkan Hati Lelaki.

Jangan tidak percaya, ada sembilan kesilapan dilakukan lelaki apabila membina perhubungan seperti mengharapkan tuah setiap masa, tidak seimbang dalam kehidupan, terlalu mencari pasangan klon diri dan selebihnya, dapatkan buku ini.

Hakikatnya, kita boleh menjadi Khadijah di hati Rasulullah kerana ramuan kebahagiaan hidup termasuk dalam berumahtangga sudah disajikan melalui penjelasan syarak bagaimana kehidupan perlu dilalui memenuhi fitrah.

Tajuk Rumah Itu Syurga Kita contohnya terus diterapkan hingga ke hari ini melalui pelbagai kempen sedangkan dari dulu lagi ia menjadi antara menu terpenting keluarga. Bagaimanapun, topik itu ditambah dengan elemen lain seperti panduan menyediakan makanan.

Siapa sangka, panduan menyediakan menu keluarga juga boleh menjadi faktor menentukan kebahagiaan pasangan dan semua itu dikembangkan penulis dalam buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah ini.

Wednesday, May 13, 2009

Iqra: Koleksi artikel 9 tokoh

Iqra: Koleksi artikel 9 tokoh


Judul: Islam dan Kemodenan - Pandangan Intelektual Islam
Suntingan: John Copper, Ronald Nettler dan Mohamed Mahmoud
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengulas: Muhd Yusuf Abu Bakar.


KUMPULAN sembilan artikel membincangkan mengenai Islam dan Kemodenan melalui perspektif berbeza daripada ilmuan kontemporari Islam hasil bengkel perbincangan ilmiah di Oxford, England, pada 1996.

Perbincangan membabitkan sembilan ilmuan termasuk Javed Majeed, John Cooper, Nadia Abu-Zahra, Mohamed Mahmud dan Abdou Filali-Ansari itu cuba melihat idea di kalangan cerdik pandai Islam pada abad ke 20. Secara keseluruhan pandangan mereka menurut penulis berkenaan mendahului pemikiran tokoh kemodenan terawal dan berpengaruh seperti Muhammad Abduh dan Rashid Rida.

Tokoh pemikir seperti Shaikh Muhammad Said Ramadan al-Buti, di Syria; Husayn Ahmad Amin (Mesir); Mahmud Muhammad Taha (Sudan), Sir Sayyid Ahmad Khan dan Altaf Hussain Hali (India) dan Mohamed Talbi (kelahiran Tunisia) disentuh secara serius oleh pengkaji Islam berkenaan mengenai sumbangan mereka kepada dunia Islam.

Tokoh pemikir ini berasal dari pelbagai negara, menganjur dari Afrika Utara sehingga ke India. Walaupun pandangan mereka agak berbeza terhadap pemikiran Islam, namun isu ditonjolkan merapatkan hubungan antara mereka.

Buku ini hasil bengkel, yang membuat penilaian semula terhadap tokoh pemikir dan idea mewakili pemikiran Islam abad ke-20. Koleksi artikel yang dimuat di dalam buku ini turut menekankan keutamaan dalam konteks sejarah untuk memahami al-Quran.

Iqra: Menjelaskan mengenai prasangka bukan Islam

Iqra: Menjelaskan mengenai prasangka bukan Islam


Judul: Islam dan Jihad - Prasangka Atau Kenyataan
Penulis: AG Noorani
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengulas: Jami'ah Shukri
Harga: RM35.


KREDIBILITI umat Islam tercalar akibat lemparan pelbagai tohmahan oleh dunia Barat berikutan tragedi serangan 11 September ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York serta Pentagon di Washington.

Akibatnya, bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush mengutuk keras sentimen anti-Islam dan anti-Arab yang memuncak di Amerika Syarikat.

Dalam suasana tuduhan melulu ini sewajarnya polemik berkaitannya diperjelaskan bagi mengelak salah faham berlarutan.

Kelahiran buku ini adalah untuk memberi kefahaman mengenai beberapa konsep asas bagi menangkis sangkaan buruk digembar-gemburkan cendekiawan Eropah sejak dulu terhadap umat Islam.

Buku setebal 125 muka surat ini sarat dengan misi penjelasan dengan mendedahkan muslihat kumpulan tertentu memperalatkan agama sebagai senjata politik.

Banyak teori palsu dikembangkan secara meluas sehingga memberi gambaran salah kononnya politik Islam secara semula jadi bersifat militan dan menghalang penerapan proses demokrasi dalam kebanyakan pemerintahan Islam.

Begitu juga dengan prasangka maksud jihad. Perkataan ini sebenarnya menunjukkan maksud positif yang menyatakan pentingnya kebenaran dalam agama.

Bagaimanapun bagi orang lain, khususnya Barat ia membawa maksud kekejaman agama yang tidak diingini.

Peperangan dimulakan pada dinasti pemerintahan Islam Ummayyah, Abbasiyyah, Fatimiyyah dan Uthamaniyyah bukanlah pelaksanaan jihad serta jenayah dianjurkan pelampau Islam atas Islam.

Penulis membandingkan dengan pemikir Islam progresif yang berusaha menangani persoalan yang tidak dapat dielakkan serta dilontarkan oleh duna moden terhadap Islam.