Showing posts with label Tilawah Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Tilawah Al-Quran. Show all posts

Monday, July 13, 2009

29 peserta meriahkan tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

29 peserta meriahkan tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

MAJLIS Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52 yang bermula esok hingga 18 Julai adalah acara dinantikan mereka yang mengikuti perkembangan qari dan qariah serta ternanti-nantikan kemunculan mereka memperdengarkan bacaan merdu ayat al-Quran.

Bertempat di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak, seramai 29 peserta mewakili 14 negeri bakal memeriahkan majlis yang mengajak umat Islam dan bukan Islam yang berminat untuk mendalami ilmu pembacaan al-Quran secara berlagu.

Malah, johan menunggu iaitu qari dan qariah yang kedua-duanya mewakili Perak turut mengambil bahagian kali ini. Mereka ialah johan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-51, Shamsul Ariffin Saban @ Supian dan Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata majlis yang diadakan setiap tahun itu berjaya mencapai hasrat meningkatkan ilmu pembacaan al-Quran dengan tajwid dan secara berlagu.

Katanya, penerbitan program menjurus secara khusus kepada ilmu pembacaan al-Quran juga membantu usaha meningkatkan minat serta kesedaran pentingnya ilmu qiraat diserapkan pada semua peringkat umur.

“Jakim sendiri melalui Darul Quran Jakim menawarkan Kursus Sijil Tinggi Taranum al-Quran sejak tiga tahu lalu. Kursus tiga bulan itu mendapat sambutan baik masyarakat termasuk qari dan qariah yang terbabit dalam majlis tilawah al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan dilakukan pihak Jakim berjaya mengubah persepsi penghafaz al-Quran yang sebelum ini agak malu untuk menyertai majlis tilawah apabila ramai penghafaz al-Quran mula menunjukkan minat.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52 yang berlangsung lima hari di Dewan Canselor Universiti Teknologi Petronas, Tronoh, Perak, akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sementara majlis penutup disempurnakan Sultan Perak.

Tilawah kali ini bertemakan ‘Wahdah Pemangkin Khaira Ummah’ mengajak umat Islam memahami bahawa penyatuan adalah agenda penting dalam hidup demi kelangsungan serta membina kekuatan Islam sejagat.

Seramai 12 hakim akan menyemak bacaan qari dan qariah. Mereka ialah Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad, Tan Sri Hassan Azhari, Datuk Sheikh Sallehuddin Omar, Datuk Muhammad Hasri, Datuk Sha’ri Abdullah, Ahmad Termizi Mohamad, Nik Jaafar Nik Ismail, Ku Abdullah Ku Jusoh, Ismawi Duet, Syeikh Roslan Abdul Halim, Abdul Rahim Ahmad dan Mohd Farid Ravi Abdullah.

Johan qari dan qariah akan menerima wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, pakej menunaikan haji, cenderamata dan sijil. Naib johan menerima wang tunai RM7,000, cenderamata dan sijil.

Tempat ketiga menerima wang tunai RM5,000, cenderamata dan sijil sementara penerima hadiah sagu hati membawa pulang wang tunai RM2,000, cenderamata dan sijil.

Sempena berlangsungnya Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52, pelbagai program dirancang antaranya pameran oleh agensi kerajaan dan swasta yang akan mempromosikan produk barangan Islam serta perkhidmatan disediakan mereka.

Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-52 turut menampilkan kelainan dengan persembahan bacaan al-Quran secara berkumpulan orang cacat penglihatan menggunakan al-Quran tulisan braille.

Wednesday, July 8, 2009

Pemarkahan majlis tilawah berkomputer

Pemarkahan majlis tilawah berkomputer

Oleh Hasliza Hassan
bhnews@bharian.com.my

Program dibangunkan berpotensi tingkat keberkesanan penghakiman

JIKA sebelum ini hakim tilawah al-Quran menggunakan kertas untuk menulis markah dan mencatatkan kesalahan peserta, tetapi kini tugas itu boleh dilakukan menggunakan komputer, apabila wujudnya program pemarkahan berasaskan platform web.

Program dibangunkan Anwar Majdi Ramli, 43, membolehkan semua dokumentasi membabitkan penganjuran tilawah al-Quran daripada pendaftaran, maklumat lengkap peserta, pengundian giliran hingga kepada pemarkahan oleh hakim dilakukan menggunakan program berkenaan.

Jawatankuasa penganjur serta hakim hanya perlu mengisi kotak disediakan dan semua maklumat tersimpan dengan lengkap. Itulah kelebihan program dibangunkan bagi meningkatkan keberkesanan penganjuran majlis tilawah al-Quran.

"Pemarkahan tilawah al-Quran menggunakan sistem komputer masih belum diguna pakai dalam majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Saya yakin dengan program ini, tugas penganjur dan hakim akan jadi lebih mudah.

"Malah, perkiraan markah juga lebih cepat kerana selepas peserta membaca dan hakim menandakan setiap kesalahan, ketua hakim sudah boleh mendapat markah penuh yang terpampang di skrin komputer beliau," katanya.

Anwar yang juga seorang guru berkata, program berkenaan adalah tesis dibuat ketika melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan meningkatkan sistem pemarkahan majlis tilawah al-Quran.

Hasrat beliau itu mendapat sokongan penyelianya, Mohd Faizul Nasrudin, dan bekas qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dari Selangor yang membantu menyediakan maklumat mengenai sistem pemarkahan pada tilawah al-Quran.

Ia termasuk bahagian dihakimi iaitu tajwid, lagu, fasahah dan suara berserta markah bagi setiap bahagian. Turut disediakan ruang untuk hakim memotong markah bagi kesalahan dilakukan peserta ketika membacakan ayat al-Quran.

Apa yang perlu kini ialah mendedahkan hakim terhadap penggunaan program berkenaan dengan memberi latihan untuk membiasakan mereka dengan kaedah menggunakan tetikus yang bakal menggantikan pen biasa digunakan.

"Saya yakin hakim juga pasti teruja untuk mencuba program ini kerana ia akan memudahkan mereka memberi tumpuan kepada bacaan peserta. Jika dulu mereka perlu menulis alasan kesalahan yang dibuat, kini mereka hanya perlu klik di kotak di mana peserta melakukan kesalahan.

"Perkiraan juga dapat dilakukan dengan pantas dan setiap maklumat boleh dilihat semula dengan hanya klik pada nama peserta. Penghakiman lengkap juga boleh dicetak untuk diserahkan kepada peserta bagi semakan mereka," katanya.

Berbanding dengan kaedah manual sekarang, jika berlaku kekeliruan, jawatankuasa terpaksa melihat kembali semua kertas penghakiman dikumpulkan. Begitu juga untuk proses perkiraan secara manual akan memakan masa dan lebih penting, jawatankuasa tidak perlu pergi daripada seorang hakim kepada seorang hakim untuk mendapatkan keputusan mereka.

Anwar berkata, program pemarkahan menggunakan komputer membolehkan penganjur melakukan bedah siasat untuk mengetahui kelemahan daripada analisis markah seterusnya mengambil langkah perlu mengatasi perkara itu.