Monday, July 20, 2009
Jakim didik pelapis pendakwah guna kaedah berhikmah
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
MOHD HAMDAN dan Nurhazwani peserta terbaik Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jakim.
Program Kembara Dakwah dedahkan belia strategi terbaik sebar syiar Islam
INGINKAN keputusan cepat, kadangkala terlalu ekstrem dan hendakkan nama menyebabkan gerakan dakwah tidak dapat berkembang dengan berkesan. Suka menuding jari tanpa melakukan apa-apa juga satu ancaman kepada gerakan dakwah.
Justeru, peserta terbaik Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Hamdan Mohd Sharif, 23, mengajak pelbagai persatuan menggembleng tenaga melakukan dakwah ikut kemampuan.
"Semua pihak sama ada individu, persatuan atau organisasi saling melengkapi. Apa juga aliran dakwah, kita boleh menyumbang mengikut kemampuan supaya gerakan ini dilaksanakan dengan berkesan. Islam dan ajarannya tidak boleh dikembangkan kerana sifat nafsi dan suka menunjuk 'akulah yang terbaik' selain tidak mahu memahami orang lain," katanya.
Ahli Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (Pembina) itu berkata, Kembara Dakwah selama tujuh hari bermula 3 Julai lalu memberi banyak maklumat kepada peserta untuk melihat kaedah dakwah dijalankan Jakim.
Pada masa sama, peserta mengalami serta menghayati pengalaman berdakwah yang dilaksanakan Rasulullah SAW iaitu berjumpa orang di luar sana untuk mengajak kepada kebenaran serta kebaikan.
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz bermesra dengan peserta Kembara Dakwah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"Kami bukan saja berpeluang bertemu masyarakat Islam, tetapi juga bermesra dengan bukan Islam dan menjalankan dakwah bil hal iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain, berkongsi cerita dan pengalaman dengan saudara baru," katanya.
Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 dikendalikan Bahagian Dakwah Jakim bertujuan memberi pendedahan kepada kepemimpinan belia mengenai pelaksanaan program dakwah di negara ini.
Pengisian program ialah melatih belia, memantapkan sahsiah meliputi akidah, syariah dan akhlak serta meningkatkan jalinan dua hala antara kepemimpinan belia dalam bidang dakwah bagi meningkatkan syiar Islam.
Seramai 50 peserta menyertai program ini terdiri daripada pemimpin persatuan beliau dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLiUC), Darul Quran Jakim, Kolej Darul Hikmah (KDH), Pembina dan Persatuan Belia Masjid Selangor.
Antara lokasi kembara ialah Pusat Pemantapan Akidah Jelebu, Perkampungan Orang Asli Sungai Melut Sepang, Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Pusba) Sungai Petani dan Masjid Al-Bukhary.
Bagi peserta terbaik wanita pula, Nurhazwani Abd Rani, 23, penyertaan wanita dalam program itu bakal melahirkan lebih ramai pendakwah untuk mendekati kaum sejenis. Mengakui cabaran dihadapi pendakwah wanita, pelajar jurusan Pendidikan itu berkata, ia bukan halangan untuk wanita asal menjaga syariat dan batasan agama.
"Untuk bawa diri di kalangan pendakwah lelaki yang mendominasi bidang ini bukan senang, tetapi Islam tidak mengharamkan pergaulan lelaki dan wanita. Kita juga perlu menjaga batasan supaya niat yang baik tidak bertentangan dengan syariah," katanya.
Beliau berkata, hakikat pendakwah wanita tidak ramai juga menjadikan penyertaan mereka dalam Kembara Dakwah itu penting kerana wanita mudah memahami serta mendampingi belia wanita yang menjadi kumpulan sasaran. Mereka juga menggunakan pendekatan kita mungkin lebih berhikmah.
Nurhazwani berharap persepsi pendakwah milik orang tertentu dan wanita perlu berjubah serta bertudung labuh dapat diperbetulkan kerana setiap yang mengucap syahadah adalah pendakwah.
Katanya, semua mampu menyampaikan dan mengajak kepada kebaikan. Tanggungjawab itu perlu dipikul semua pihak supaya syiar Islam terus disebar dan dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.
"Apabila lihat saudara baru saya dapat rasakan mereka ikhlas berpegang kepada Islam dan kisah mereka mendapat hidayah Allah membuatkan saya bersyukur dilahirkan sebagai Muslim," katanya menceritakan pengalaman manis bermesra dengan saudara baru di Pusba.
Pengarah Dakwah Jakim, Abd Halid Sintol, berkata maklum balas diberikan peserta menampakkan usaha menggerakkan belia kepada suasana kemasyarakatan mencapai matlamat. Modul kepemimpinan yang menekankan semangat silaturahim dan ukhuwah berjaya meningkatkan kepemimpinan peserta sebagai pelapis dalam gerakan dakwah masa akan datang.
"Pengisian program juga sesuai dengan mereka termasuk acara serta aktiviti bersifat ilmiah, tazkirah dan bersifat sahsiah seperti gotong-royong dan sukaneka," katanya.
Tanpa menafikan pendekatan dakwah perlu fleksibel, Abd Halid berkata, Jakim sentiasa menganalisis pengisian dan strategi sesuai bagi belia terbabit dakwah.
Katanya, memahami jiwa remaja yang sukakan keseronokan, Bahagian Dakwah Jakim mendedahkan dakwah bukan saja dengan perkataan, malah melalui tindakan yang boleh mempengaruhi sasaran untuk menerima dakwah mereka.
"Belia adalah zaman penuh cabaran dan perlu pendekatan berbeza. Kita guna pendekatan menyeronokkan. Jika jumpa kumpulan remaja, senyum dan beri salam seperti dianjur Islam," katanya.
Beliau berkata, Jakim berhasrat meneruskan Kembara Dakwah dengan pengisian lebih menarik dan penyertaan lebih ramai sebagai pendekatan mengembangkan sayap dakwah kepada kumpulan sasaran remaja dan belia.
Friday, July 17, 2009
Pelan Strategik Jakim pacu pembangunan Islam
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
Panduan daripada pentadbiran berhikmah Rasulullah SAW dengan memahami realiti
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini tampil dengan Pelan Strategik 2009-2014 bertujuan memacu transformasi pengurusan hal ehwal Islam ke arah mempertingkatkan pembangunan ummah melalui pengurusan hal ehwal Islam secara terancang, cekap dan berkesan.
Pelan Strategik Jakim 2009-2014 yang akan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom hari ini menggariskan fungsi serta peranan jabatan itu dengan lebih jelas supaya dapat dihayati semua warganya.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata pelan strategik untuk tempoh lima tahun itu, menunjukkan Jakim dan bahagian di bawahnya sudah bersedia memacu transformasi pengurusan hal ehwal Islam.
Katanya, perancangan membolehkan Jakim sebagai agensi pusat pembangunan agama Islam peringkat Persekutuan memenuhi tanggungjawab berdasarkan keperluan pelanggannya melihat kepada senario semasa.
"Jika kita tidak dipandu oleh dokumen perancangan, kita mungkin leka dengan kerja rutin selain terbawa-bawa dengan isu bukan dirancang atau dipengaruhi agenda orang lain, sedangkan kita bertanggungjawab merancang pembangunan serta kemajuan Islam di negara ini.
"Ini bermakna kita perlu melihat persekitaran untuk menentukan strategi bersandarkan kepada pelan strategik. Setiap aktiviti yang dirancang oleh bahagian di Jakim dipandu atau perlu merujuk kepada fungsi sebenar dan siapa sebenarnya pelanggan utama kita," katanya.
Beliau berkata, Pelan Strategik Jakim 2009-2014 turut mengambil panduan daripada pengurusan berhikmah yang ditunjukkan Rasulullah SAW iaitu dengan memahami realiti persekitaran supaya pendekatan diambil mencapai objektif dalam rangka masa ditentukan.
Dalam konteks Malaysia, perancangan strategi hal ehwal Islam melihat kepada keunikan negara yang mempunyai rakyat pelbagai bangsa, agama, budaya dan pastinya kepelbagaian itu menjurus kepada saling memahami kepercayaan agama lain.
Katanya, penekanan itu penting dalam perancangan agenda dakwah yang selama ini difahami hanya untuk umat Islam sedangkan dakwah juga patut fokus kepada mereka yang belum memahami atau mengenali Islam.
Wan Mohamad berkata, kandungan pelan strategik yang menggariskan semula fungsi Jakim lebih jelas mampu mengelak jabatan yang makin berkembang dengan wujudnya institusi pengajian serta latihan terjebak dengan peranan yang bukan menjadi keutamaan.
Langkah memacu transformasi pengurusan hal ehwal agama pula bakal memandu pegawai serta warga Jakim menghayati visi dan misi yang dikongsi serta mengenal pasti aspek penambahbaikan mengikut perubahan berlaku.
"Jakim sudah 41 tahun dan dari semasa ke semasa perlu menganalisis perubahan persekitaran dengan merujuk fungsi asal dan mungkin perlu penambahbaikan. Ada kala kita diberi kepercayaan oleh kerajaan memikul fungsi baru dan ini perlu penyesuaian.
"Pada masa sama, kita juga melakukan penilaian kendiri yang juga dipandu oleh elemen penentu kejayaan yang digariskan.
"Mana-mana organisasi yang tidak melakukan penilaian dan tidak memahami petunjuk kejayaan akan menjadi organisasi tidak terarah," katanya.
Oleh itu katanya, bahagian terakhir dokumen pelan strategik itu menggariskan elemen penentu kejayaan atau Bidang Keputusan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang disebut sebagai muhasabah.
Muhasabah adalah elemen menentukan sejauh mana kapasiti organisasi yang diberi amanah disesuaikan dengan kemampuan kerana prinsip Islam ialah amanah yang diberi perlu selari usaha peningkatan keupayaan.
Ia bukan saja membabitkan jumlah tenaga tetapi keupayaan daripada segi intelektual, memperkasa pegawai terlatih yang boleh menghasilkan penyelidikan sebagai asas merancang program berkualiti atau membuat tindakan berkesan.
Wan Mohammad mengakui bukan mudah untuk menjayakan perancangan terutama cabaran memperkasakan sumber tenaga Jakim dari segi keilmuwan, kemahiran, kebijaksanaan bertindak, kecekapan pengurusan dan keberanian mempertahankan agama.
"Jika berilmu, berkemahiran, bijaksana tetapi tidak berani mempertahankan agama, saya ingat tidak ada makna.
"Orang agama mesti berani bukan saja mempertahankan hak Islam, juga menghidangkan Islam yang indah kepada orang asing serta boleh pergi pada peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, selepas perancangan strategik dilaksanakan, peranan Jakim diharap akan lebih menyerlah dalam aspek pengurusan, pembangunan dan penyelarasan hal ehwal Islam seperti ditentukan MKI.
Katanya, umat Islam perlu berjiwa besar dan sebagai agensi agama, Jakim bercita-cita meletakkan keunikan Malaysia dengan kepelbagaian kaum, agama serta budaya di Asia menjadi penghulu dan peneraju pembangunan Islam dalam semua aspek kehidupan menepati Islam agama membawa rahmat ke seluruh alam.
Strategi warga Jakim merancang, laksana tanggungjawab
DOKUMEN Pelan Strategik Jakim 2009-2014 bagi menjelaskan hala tuju dan rangka kerja Jakim bagi tempoh lima tahun.
Pelan ini digubal dengan mengambil kira isu dan cabaran semasa sedang dihadapi umat Islam masa kini.
Pelbagai agenda kritikal ditentukan untuk diberi tumpuan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Pelan strategik ini sebagai panduan kepada warga Jakim merancang dan melaksana program berdasarkan strategik ditetapkan.
Dokumen ini juga rujukan pelanggan Jakim terdiri daripada pelbagai agensi dan pihak berkaitan.
Warga Jakim berpegang kepada nilai bersama dalam melaksanakan misi ke arah pencapaian visi:
# Jati diri � mempunyai jati diri yang berjiwa merdeka dalam berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
# Amanah � menjalankan tugas dengan penuh iltizam, dedikasi dan rasa tanggungjawab selaras aku janji diikrarkan.
# Kerjasama � menggembleng tenaga, pengetahuan dan pengalaman melalui semangat kerja berpasukan yang tinggi.
# Iman, ikhlas dan integriti � berkhidmat penuh keimanan, keikhlasan dan berintegriti melalui etika kerja sistematik, berkesan dan konsisten demi menghasilkan impak yang cemerlang.
# Mardathillah � bekerja berlandaskan prinsip syariah ke arah memartabatkan ummah demi mencapai keredaan Allah.
Cabaran
# Penyeragaman undang-undang Islam.
# Tahap kesedaran dan penghayatan Islam di kalangan masyarakat belum menyeluruh.
# Ancaman akidah pemikiran dan dakyah agama lain yang semakin menyerlah.
# Isu perpaduan ummah.
# Ketidakselarasan pengurusan pendidikan Islam di negeri.
# Persepsi negatif terhadap pengurusan institusi Islam.
# Propaganda media terhadap Islam.
# Gejala sosial yang meningkat di kalangan remaja.
# Arus globalisasi yang menjejaskan kualiti pegangan nilai dan sosiobudaya masyarakat serta mempengaruhi cara hidup masyarakat.
Lima teras strategik dikenal pasti bagi membantu Jakim melaksanakan visi dan misi ditetapkan iaitu:
# Pemerkasaan keupayaan dan kapasiti organisasi bagi meningkatkan kecekapan dan penyampaian perkhidmatan.
# Pengukuhan pengurusan hal ehwal Islam melalui bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).
# Pemantapan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam ke arah mendaulatkan pelaksanaan syariat Islam.
# Pengukuhan kerjasama strategik dan ukhuwah Islamiah di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa ke arah penyatuan ummah.
# Pemantapan kefahaman dan penghayatan Islam secara syumul bagi melahirkan khaira ummah.
Saturday, July 11, 2009
Kewibawaan Jakim tingkat keyakinan tanda halal
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my
LOGO halal jadi keutamaan pengguna yang pentingkan status produk. |
Pengguna Muslim sambut baik kembalikan semula tugas keluar sijil kepada jabatan
IBARAT sirih pulang ke gagang, itulah perumpamaan diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang mengumumkan kelulusan Kabinet membenarkan tanggungjawab pengeluaran sijil halal diambil semula oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan mengembalikan semula pensijilan halal kepada Jakim memang dinantikan kerana sebagai agensi kerajaan, orang ramai lebih yakin dengan integriti jabatan itu yang sudah memikul tanggungjawab mengeluarkan sijil halal sejak pengesahan status makanan dan barang gunaan diperkenalkan pada 1974.
Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (ketika itu) memberikan pengesahan halal kepada beberapa produk makanan utama yang dikeluarkan syarikat pengeluar makanan tempatan dalam bentuk surat pengiktirafan. Pada 1994, pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil berserta logo halal.
Namun, pada 30 September 1998, tugas pengeluaran sijil halal diswastakan kepada Ilham Daya Sdn Bhd. Tidak dinafikan ketika itu wujud rasa tidak puas hati di kalangan pengguna yang mahukan pensijilan halal dilakukan agensi kerajaan.
Selepas empat tahun di bawah pengendalian Ilham Daya Sdn Bhd, kerajaan mengambil keputusan pengeluaran sijil halal termasuk tugas pemeriksaan dilaksanakan sepenuhnya oleh Jakim berkuat kuasa 1 September 2002.
Khamis lalu, sekali lagi pensijilan halal berubah tangan apabila tanggungjawab mengeluarkan sijil dan pemeriksaan yang diserahkan kepada HDC bermula 18 September 2006, dikembalikan kepada Jakim seperti keadaan asal sebelum ini.
Isu halal sentiasa menjadi perhatian terutama di kalangan pengguna yang mementingkan status barang di pasaran. Tahap kesedaran yang kian meningkat terhadap barang yang bukan saja bersih, malah suci dari segi penyediaan menyebabkan pengguna bergantung kepada sijil halal.
Dengan beberapa pendedahan terhadap kes pemalsuan sijil halal yang mengejutkan orang ramai sebelum ini, pengguna menjadi lebih berhati-hati walaupun tidak disangkal ada yang mula ragu-ragu dengan kewibawaan pihak yang mengeluarkan sijil serta logo halal. Justeru, keputusan terbaru itu juga menimbulkan 'cakap-cakap'.
Namun, bagi Jamil yang diajukan perkara itu, tidak sepatutnya timbul persepsi atau soal tidak cekap dalam pengurusan pengeluaran sijil halal kerana keputusan mengembalikan tanggungjawab itu kepada Jakim bagi membolehkan HDC meneruskan tumpuan pembangunan industri halal.
"Tugas itu memang sudah dipegang Jakim sejak sekian lama, cuma penubuhan HDC pada waktu itu melihatkan keperluan pengeluaran sijil diletakkan di bawah pertubuhan berkenaan. Disebabkan persaingan produk semakin tinggi, kita melihat wajar pengeluaran sijil dilaksanakan oleh Jakim.
"Tidak timbul soal tidak cekap kerana orang yang sama dipinjamkan ke HDC dan mereka juga melakukan tugas itu juga kembali ke Jakim menjalankan tanggungjawab mereka. Oleh itu, tidak sepatutnya timbul persepsi.
"Kini HDC dan Jakim boleh menumpukan tugas masing-masing supaya kewibawaan mempromosikan produk halal terus diperkasakan seterusnya memenuhi aspirasi menjadikan negara hab halal pada peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.
Jamil berkata, selain Jakim, penguatkuasaan hal ehwal makanan dan barang kegunaan umat Islam yang mempunyai sijil serta logo halal turut membabitkan jabatan lain seperti Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Katanya, kesepakatan antara agensi kerajaan akan membolehkan proses pengeluaran sijil dan penguatkuasaan terhadap sebarang penyalahgunaan logo halal dilaksanakan dengan lebih cekap serta berkesan.
Bagi Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, pihaknya bersedia mengambil amanah yang diberi dan dengan pengalaman yang ada, tugas itu terus diperkasakan supaya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada industri serta pengguna.
Katanya, Jakim akan memanfaatkan bahagian penyelidikan Bahagian Kajian Makanan dan Barang Gunaan Islam (MGI) untuk mengurus aktiviti berkaitan dengan pengesahan halal kepada makanan dan produk gunaan Islam.
"Ini bukan sesuatu yang asing bagi kita. Cuma dulu orang lain dan sekarang kita bertanggungjawab. Jakim mengambil berat arahan supaya kapasiti Jakim diperkasakan untuk memberi perkhidmatan yang baik tanpa mengorbankan industri halal," katanya.
Beliau berkata, bagi memantapkan lagi perkhidmatan, Jakim melihat kepada pertambahan kakitangan terutama dalam bahagian penguatkuasaan dan pemantauan. Bagi tujuan itu, permohonan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
Mengenai penggunaan sijil halal bukan dikeluarkan badan dipertanggungjawabkan kerajaan, Wan Mohamad berkata, isu itu tidak sepatutnya berbangkit kerana pengguna lebih yakin dengan logo halal yang dikeluarkan kerajaan.
Justeru katanya, pihak industri yang memikirkan pengguna hari ini lebih mementingkan integriti halal sepatutnya memilih logo halal kerajaan yang dibangunkan bersama Jabatan Standard Malaysia dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).
"Tahap kepercayaan pengguna lebih tinggi kepada logo dikeluarkan kerajaan. Logo atau sijil halal pihak lain, yang boleh saya katakan, kita tidak jamin halal. Kita hanya boleh nasihat, ambil produk atau perkhidmatan yang dapat perakuan agensi kerajaan sama ada Persekutuan dan negeri," katanya.
Katanya, Jakim turut melantik badan Islam di luar negara untuk melaksanakan pensijilan halal bagi produk yang ingin dibawa masuk ke Malaysia dan mereka dipantau melalui standard serta sistem ditetapkan Jakim dan maklumat mengenainya boleh diperoleh dari laman web jabatan itu.
