Sunday, August 9, 2009

Ulul Albab: Lima surah sedia panduan bernegara

Ulul Albab: Lima surah sedia panduan bernegara

Ayat dimulakan dengan hamdalah iktibar ummah capai kejayaan dunia, akhirat

ADA sesuatu yang menarik daripada lima surah al-Quran dimulakan dengan lafaz hamdalah dengan catatan bahawa basmalah tidak termasuk awal ayat surah al-Fatihah. Kelima-lima surah ini ialah al-Fatihah, al-An'am, al-Kahf, Saba, dan Fatir.

Jika membuka mushaf dan membaca kelima-lima surah ini, anda dapati permulaannya dengan ayat berikut mafhumnya:

# "Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), kitab suci al-Quran dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi-Nyalah juga segala puji di akhirat dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya."

# "Segala puji tertentu bagi Allah yang mencipta langit dan bumi yang menjadikan malaikat utusan bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang dicipta-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Semua surah di atas dimulakan dengan lafaz hamdalah, Alhamdulillah yang maksudnya: "Segala puji tertentu bagi Allah."

Bagi ulul albab yang mempunyai sifat selalu berzikir dan bertafakur tentu mencari rahsia kenapa kelima-lima ayat ini dimulakan dengan hamdalah. Apakah hubung kait antaranya?

Apakah hikmah dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya? Bagaimanakah penyatuan makna kelima-lima surah itu boleh dijadikan panduan untuk mencapai kejayaan duniawi dan ukhrawi?

Siapakah yang boleh dan mesti mengambil peranan untuk menjayakannya? Banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan dalam menyingkap rahsia hubungan kelima-lima surah di atas.

Urutan surah al-Quran seperti pada mushaf hari ini � bermula dengan al-Fatihah dan berakhir dengan al-Nas adalah tauqifi yakni sudah ditetapkan Allah SWT, tidak ada ijtihad daripada siapa pun dalam menentukannya dan tidak ada kena mengena dengan apa pun.

Urutan itu seperti yang ada di Luh Mahfuz sebelum diturunkan hampir 23 tahun masa kenabian junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Al-Fatihah (pembuka atau mula) surah nombor satu, al-An'am (binatang ternak) keenam, al-Kahfi (gua) ke-18, Saba (negeri Saba) ke-34, dan Fatir (pencipta) ke-35.

Dalam Tafsir Pimpinan Arrahman dinyatakan pada nota dua: "Pujian itu ialah cara atau keadaan yang menzahirkan sesuatu sifat yang baik dan sempurna kepada yang dipuji seperti kecantikan, keindahan, kejayaan, kesempurnaan, kebesaran dan keagungan.

Oleh kerana segala kesempurnaan dan kebesaran serta keagungan dan kekuasaan hanya ada pada zat Allah Yang Maha Kuasa; maka hanya Allah SWT berhak menerima pujian seperti Allah juga berhak memuji zat-Nya sendiri."

Daripada kelima-lima surah di atas kita boleh mengambil iktibar demi kejayaan pelaksanaan kehidupan bermasyarakat dan negara berpandukan ajaran dan petunjuk al-Quran. Iktibar ini dilihat sama ada daripada nama surah dan inti sari permulaan ayat dan surah dengan mengambil contoh dilakukan pengarang kitab Asrar Tartib al-Quran (Rahsia urutan surah al-Quran), al-Imam Jalaluddin al-Suyuti.

Iktibar daripada nama surah agar bermasyarakat dan negara boleh berjaya berpandukan al-Quran mesti mempunyai visi (al-Fatihah); kenderaan atau alat (al-An'am); tempat (al-Kahfi); masyarakat/kelompok (Saba) dan pemimpin/pentadbir (Fatir).

Iktibar daripada sudut inti sari awal ayat dalam surah yang dikhaskan untuk matlamat ialah matlamat global atau makro ada dalam hamdalah surah al-Fatihah kerana disebutkan sesudahnya: "Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." Matlamat mikro ada dalam hamdalah surah al-An'am kerana disebutkan sesudah 'yang menciptakan langit dan bumi.'

Penciptaan langit dan bumi hanya sebahagian daripada sekalian alam. Kedua-dua matlamat ini yakni makro dan mikro memerlukan buku panduan dan ia ada pada hamdalah surah al-Kahfi yang menyebut sesudahnya: "yang sudah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab Suci al-Quran."

Buku panduan ini mesti dirasa milikan dan dikuasai tuntutannya agar matlamat bermasyarakat dan negara boleh dicapai. Iktibar ini boleh kita ambil daripada hamdalah surah Saba yang menyebut sesudahnya: "yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi."

Agar matlamat berkenaan berhasil, diperlukan jentera pelaksana yang dapat kita peroleh daripada hamdalah surah Fatir yang menyebut sesudahnya: "yang menjadikan malaikat utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakan-Nya apa juga yang dikehendaki-Nya."

Seperti kita akui, malaikat ialah makhluk Allah SWT maksudnya: "Mereka tidak menderhaka kepada Allah SWT dalam segala yang diperintah-Nya dan mereka tetap melakukan segala yang diperintah." (Surah al-Tahrim: 6)

Memuji dan mengagungkan Allah SWT ialah kewajipan manusia kerana Dialah yang menciptakan mereka dan menjadikan semua di bumi untuk kepentingan dan keperluan mereka.

Firman Allah bermaksud: "Tidakkah engkau melihat bahawa Allah SWT sudah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi." (Surah Luqman: 20)

Hassan al-Banna dalam Usul Ishrin menggariskan: "Islam ialah sistem yang syamil merangkumi seluruh aspek hidup. Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, material dan harta benda atau usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah seperti ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah."

Dalam perkara kedua dinyatakan juga: "al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW ialah sumber rujukan bagi setiap Muslim dalam memahami hukum Islam.

"Al-Quran perlu difahami mengikut kaedah bahasa Arab tanpa memberatkan dan tidak pula membabi buta. Sunah pula difahami melalui periwayat hadis yang thiqah."

Sebagai negara merdeka dan berdaulat, negara Islam perlu mempunyai falsafah negara merangkumi asas ideal mengenai pandangan dan cara hidup dalam negara dan berbangsa yang dapat mengukuhkan perpaduan, meningkatkan ketahanan nasional dan mengekalkan kelangsungan bangsa.

Daripada mencari dan meniru falsafah yang tidak sesuai dengan corak hidup masyarakat Islam, sepatutnya digali falsafah kenegaraan daripada sumber agama Islam iaitu al-Quran dan sunah serta amalan generasi ulung Islam terdahulu dengan mengambil iktibar daripada kelima-lima surah al-Quran yang disorot dalam tulisan ini.

Pengambilan iktibar ini ialah sebagai cara untuk menzahirkan memuji Allah dengan melafazkan Alhamdulillah. Wallahu a'lam.

Saturday, August 8, 2009

Prestij tilawah antarabangsa

Prestij tilawah antarabangsa


Astaka kini disesuaikan mengikut konsep yang ditetapkan oleh penganjur.


KATA orang mempertahankan suatu pencapaian yang tinggi lebih sukar daripada memperolehinya pada kali pertama. Namun, Malaysia telah membuktikan bahawa sehingga hari ini, negara bukan sahaja mampu mempertahankan bilad al-Quran (negara yang menghormati al-Quran) tetapi sentiasa memperbaiki mutu tilawah al-Quran yang dianjurkan.

Malah, kejayaan meletakkan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang mula dianjurkan sejak 9 Mac 1961 bersamaan 22 Ramadan 1380 Hijrah itu turut diakui oleh hakim luar negara.

Seorang daripadanya ialah Sheikh Alaa'eddin Mohd. Ali Al-Qari, 68, dari Iraq yang telah berbakti selama 26 tahun sebagai hakim tilawah antarabangsa di Malaysia.

Beliau yang menjadi hakim tajwid berkata, Malaysia bukan sahaja unggul dalam pengendalian dan pengurusan tilawah tetapi juga yang terbaik dari segi persediaan dan sambutan kepada para hakim yang bertugas.

"Sebab itu saya sanggup membatalkan jemputan yang lain jika ia bertembung dengan tugas sebagai hakim tilawah antarabangsa di Malaysia. Walaupun jaraknya jauh tetapi saya rasa adalah menjadi tanggungjawab untuk hadir pada tilawah di sini kerana ia paling berprestij," katanya dalam temu bual bersama media di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Sememangnya kejayaan ini bukan mudah dicapai. Ia adalah hasil usaha dan kerjasama yang mantap di kalangan semua pihak terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang dipertanggungjawab mengendalikan acara tahunan negara itu.

Menghimpunkan para peserta dari puluhan negara dengan bahasa dan adat resam yang berbeza sememangnya rumit. Demikian juga untuk memuaskan hati semua pihak lebih-lebih lagi para hakim yang majoritinya dari negara Arab.

Namun, berkat ketekunan, kesabaran dan kecekalan, semuanya berjaya dilaksanakan dengan cemerlang. Seterusnya mengharum dan meletakkan nama negara di status yang tinggi di kalangan negara-negara Islam dunia.

Hakikat yang disedari atau tidak oleh sebahagian besar masyarakat ialah tilawah ini telah merintis jalan kepada pembudayaan membaca al-Quran sehingga wujudnya beberapa institusi formal yang kekal sehingga kini.

Ini dipersetujui oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.

Katanya, untuk menilai pencapaian tilawah, ia perlu dilihat daripada segi impaknya kepada masyarakat Islam di Malaysia dan rantau Asia Tenggara amnya.

Menurut beliau, selepas 51 tahun menganjurkan tilawah ini, sekarang kelihatan masyarakat makin memberi perhatian kepada pendidikan al-Quran.

"Ia bukan lagi hanya menjadi subjek pengajaran di peringkat kanak-kanak tetapi golongan dewasa yang makin berminat mendalami al-Quran termasuk ilmu tarannum (lagu).

"Sekarang sudah ada pusat atau institusi pengajian al-Quran yang formal, pusat-pusat tahfiz malah sudah ramai yang mendalami ilmu tarannum di institusi-institusi swasta walaupun mereka terpaksa membayar untuk mempelajarinya," kata beliau.

Malah, manfaat awal daripada tilawah dapat dilihat melalui penubuhan Kelas Tahfiz al-Quran di Masjid Negara pada 1 Mac 1966. Ia kemudian berkembang dan dikenali sebagai Institut Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat yang seterusnya dikenali sebagai Darul Quran di Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Wan Mohamad menambah, perkembangan itu adalah selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengajaran al-Quran.

"Kini sebahagian daripada hasrat itu telah dicapai apabila Darul Quran turut menerima ramai pelajar dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja.

"Malah, negara Guinea di Afrika juga menyatakan hasrat menghantar pelajar mereka mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran," jelasnya.

Wan Mohamad juga yakin masa depan tilawah al-Quran sebagai medium memperluas program pendidikan kitab suci itu di peringkat global amat cerah.

"Secara tidak kita sedari, rupa-rupanya penganjuran tilawah menjadi pemangkin kepada perkembangan pusat pengajaran al-Quran.

"Ia bukan hanya sekadar pertandingan," katanya yang juga Ketua Pengarah Jakim.

Bagi menambahkan seri majlis tilawah, ia tidak lengkap tanpa astaka. Sejak tahun 1960 (1379H) hingga sekarang, pelbagai bentuk astaka telah digunakan.

Pada awalnya, reka bentuk astaka tidak diberi perhatian yang terperinci kerana ia hanya untuk pada peserta memperdengarkan bacaan.

Kini, ia dibina mengikut tema, konsep serta ciri tertentu. Fungsinya bukan sahaja menempatkan para qari dan qariah tetapi juga menjadi pentas ucapan serta aktiviti sampingan seperti persembahan nasyid, pantomin dan penyampaian hadiah.

Sempena tilawah kali ini, turut diadakan pameran serta bazar menjual produk tempatan untuk memeriahkan lagi majlis.

Penonton di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah melalui penyertaan dalam kuiz.

Kuiz itu diperkenalkan sejak empat tahun lalu. Ia terbahagi kepada dua iaitu soalan harian yang menawarkan enam hadiah manakala soalan terkumpul yang hadiahnya akan diumumkan kemudian.

Friday, August 7, 2009

Maryam dihantar ke Baitul Maqdis

Maryam dihantar ke Baitul Maqdis


PANDANGAN di kota Baitul Maqdis. Di sinilah Maryam mengabdikan dirinya kepada Allah.


PADA suatu malam yang sunyi, Maryam dibawa ke Baitul Maqdis oleh ibunya, Hannah."Aku serahkan anakku ini kepada tuannya. Sebelum ini aku sudah bernazar untuk menyerahkan anakku menjadi hamba abdi di rumah suci ini," kata Hannah kepada pendeta-pendeta di situ.

"Baiklah, kami akan menjaga anakmu ini," balas pendeta-pendeta tersebut.

Setelah Hannah pulang, tinggallah Maryam di tempat suci itu. Ramai pendeta berebut untuk memelihara Maryam.

Pelbagai alasan diberi mereka agar dapat mengasuh Maryam. Pendeta yang paling tegas sekali ialah Nabi Zakaria. Baginda menyatakan bahawa baginda mempunyai hubungan kekeluargaan dengan keluarga Imran, iaitu keluarga Maryam.

Semua pendeta tidak mahu mengalah. Mereka sepakat membuang pensel masing-masing ke dalam sungai. Pensel siapa yang tidak tenggelam, maka dialah yang berhak menjaga Maryam.

Hanya pensel Nabi Zakaria sahaja yang tidak tenggelam. Maka Maryam pun diserahkan kepada Nabi Zakaria. Nabi Zakaria memelihara Maryam dengan penuh kasih sayang dan dijaga seperti anaknya sendiri.

Suatu hari, Nabi Zakaria ke bilik Maryam. Baginda terkejut apabila melihat sedulang makanan berada di depan pintu bilik Maryam. Baginda pun segera bertanya kepada Maryam: "Dari mana datangnya makanan ini semua?"

"Makanan ini adalah daripada Allah. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab," balas Maryam.

Melihat kepada keperibadian Maryam yang mulia itu, Nabi Zakaria berharap agar baginda juga dikurniakan cahaya mata. Allah telah mengkabulkan doa Nabi Zakaria.

Isteri baginda yang sudah tua itu pun mengandung. Nabi Zakaria sungguh gembira apabila dikurniakan seorang anak lelaki. Anak itu diberi nama Yahya. Yahya adalah salah seorang nabi Allah.

Maryam terus membesar menjadi seorang wanita soleh yang amat dihormati. Beliau amat suci dan menjadi contoh kepada semua orang lain. Maryam juga merupakan seorang perempuan yang sangat mulia.

Beliau amat taat dalam melaksanakan perintah Allah dan sentiasa menjauhi perbuatan maksiat dan dosa. Setiap hari yang dilaluinya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah.

Sebagai memenuhi syarat ibu Maryam serta menunaikan nazar ketika beliau mengandungkan Maryam dahulu, Maryam diletakkan di sebuah biara di dalam Masjid al-Aqsa. Di sanalah beliau menumpukan ibadah kepada Allah SWT.

Kesucian beliau terpelihara kerana beliau tidak pernah keluar dari biliknya apatah lagi untuk dilihat dan disentuh oleh mana-mana lelaki.

*Petikan daripada buku Untaian 366 kisah-kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Zakat kepada orang kafir

Zakat kepada orang kafir

SOALAN 1:
Adakah zakat diharamkan sama sekali kepada orang-orang kafir untuk menerimanya?

JAWAPAN:

Di antara golongan yang tidak diizinkan menerima zakat ialah orang-orang kafir. Hal ini adalah jelas di sisi Islam dan ulamak fikah sepakat bahawa orang-orang kafir dan orang-orang ateis (tiada agama) tidak berhak ke atas wang atau harta zakat.

Ketetapan ini thabit kepada pesanan Nabi Muhammad SAW saat mengutuskan Muaz bin Jabal ke Yaman, agar beliau mengutip zakat di kalangan orang-orang Islam yang kaya untuk diagihkan kembali kepada orang-orang Islam yang miskin di kalangan mereka (riwayat Bukhari).

Walau bagaimanapun, terdapat juga fukaha yang berpendapat, zakat boleh disalurkan kepada kafir zimmi dan mualaf yang belum memeluk Islam.

Zakat fitrah misalnya, boleh diberikan kepada orang-orang kafir dengan syarat, mereka adalah kafir zimmi (yang fakir). Inilah pendapat Imam az-Zuhri, Abu Hanifah, Muhammad dan Ibn Syabramah berdasarkan firman Allah SWT: Allah tidak melarangmu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangimu disebabkan agama, serta tidak mengusirmu dari negerimu. (al-Mumtahinah: 8)

Bagi perbahasan mualaf, ia adalah suatu perbahasan yang panjang untuk dipaparkan di sini.

Sementara itu, amalan di Selangor sendiri adalah tertakluk kepada fatwa agihan zakat sebagai rujukan. Wallahua’lam.

SOALAN 2:

Bukankah berzakat bermakna mengurangkan harta. Bagaimana pula dengan zakat maka harta makin menambah?

JAWAPAN:

Zakat zahirnya mengurangkan harta; namun hakikatnya ia menyuburkan harta. Ini kerana, setiap harta yang dizakat, maka Allah SWT melimpahkan keberkatan kepada harta yang masih berbaki.

Bahkan Allah SWT memerintahkan agar penerima zakat berdoa yang bertujuan agar harta pembayar zakat diberi keberkatan. Maksud doa itu ialah: “Semoga Allah mengganjari terhadap apa yang telah engkau berikan dan semoga Allah memberkati apa-apa harta yang masih berbaki di sisi engkau”.

Apabila zakat ditunaikan, maka Allah SWT akan membuka pintu barakah ke atas kita. Maka, akan datanglah pelbagai rezeki yang tidak disangka-sangka, seperti mana firman Allah SWT: Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. (at-Talaq: 2)

Allah SWT akan mencukupkan keperluan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa dan sesungguhnya inilah hakikat berkat apabila berzakat.

*Untuk maklumat lanjut sila layari www.e-zakat.com.my atau emel kepada hamizul@e-zakat.com.my

Pokok Khuldi ganti hubungan seks?

Pokok Khuldi ganti hubungan seks?

Oleh DR. MAHMOOD ZUHDI ABD. MAJID

SEBAGAIMANA ternyata, tidak ada keterangan secara langsung sama ada dari al-Quran atau al-Sunah tentang 'pokok khuldi' itu. Kerana itu ia terdedah kepada tafsiran ijtihad.

Dalam al-Quran, selain dalam ayat-ayat berkenaan, perkataan syajarah atau seumpamanya disebut sebanyak 20 kali. Dan dalam jumlah itu, bukan semua perkataan berkenaan digunakan dalam pengertian yang hakiki.

Antara contoh penggunaan tidak hakiki bagi perkataan berkenaan ialah Syajarah al-zakum meskipun ia diterjemahkan dengan berbagai-bagai jenis pokok tetapi ternyata konsepnya lebih bersifat majazi.

Ini bererti menggunakan perkataan syajarah bagi mengertikan seks secara majazi bukan suatu yang jelas tidak tepat. Malah kalau dipadankan dengan perkataan harth atau ladang sebagai lambang isteri, penggunaan syajarah atau pokok sebagai ladang seks munasabah sekali.

Seks Adam dan Hawa

Satu asas lain ialah adanya sebutan tentang 'kemaluan' Adam dan Hawa dalam ayat-ayat berkenaan. Sehubungan dengan ini plot cerita berkenaan lebih kurang begini.

Syaitan dengan tujuan menelanjangi Adam dan Hawa sehingga menampakkan kemaluan kedua-duanya menggesa mereka berdua 'mengecapi' pokok terlarang itu.

Plot ini agak jelas menunjukkan, maksud pokok itu ialah seks dan perbuatan memakan atau merasai itu sebenarnya mengadakan hubungan jenis. Kalau tidak kurang jelas relevannya soal 'kemaluan' itu disebut di situ.

Dalam ayat 20 surah al-A'raf Allah bermaksud; Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata:

"Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga)".

Malah dalam ayat 22 surah yang sama, Allah menceritakan apabila mereka berdua mengecap (zaqo) pokok terlarang itu maka kemaluan-kemaluan mereka pun terdedah dan dapat dilihat oleh mereka sendiri.

Firman Allah: Dengan sebab ini dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing…(al-A'raf: 22)

Cerita yang sama bentuknya juga terdapat dalam ayat 121 surah Taha. Mengulas ayat 20 surah al-A'raf, Syed Qutb menyebut: "Mereka kedua-duanya ada kemaluan. Tetapi sebelum itu tertutup dan tidak dapat dilihat oleh mereka.

"Daripada plot cerita, kemaluan tersebut bersifat fizikal yang memerlukan ditutup secara material. Begitu pun sebelum itu mereka berdua tidak diberitahu tujuan diadakan kemaluan itu".

Dalam ayat 121 surah Taha, Syed Qutb menyebut, Allah menggunakan ungkapan "fabadat lahuma Sau Aa Tuhuma" dan tidak "fabadat Sau Aa Tahuma", kerana ia menekankan hakikat. Sebelum itu mereka berdua tidak nampak kemaluan itu. Hanya apabila didorong oleh sesuatu perasaan dari dalam baru mereka nampak kemaluan-kemaluan itu.

Sebelum itu Syed Qutb menyebut kemungkinan pendedahan kemaluan itu ada kaitan dengan bangkitnya naluri seks dalam diri masing-masing. Dengan lain perkataan, suatu kesedaran seks telah berlaku dalam diri kedua-dua mereka.

Terpedaya Untuk Kekal

Satu hal lain yang boleh dihubungkan dengan andaian berkenaan ialah persoalan khulud atau 'kekal'. Dalam ayat-ayat 20 surah al-A'raf dan 120 surah Taha, ada ditonjolkan soal ini.

Ayat-ayat berkenaan menceritakan bagaimana iblis menggunakan isu khulud atau kekal sebagai satu daya penarik.

Dalam surah Taha pula Allah berfirman, menceritakan: Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: "Wahai Adam, mahukah, Aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?"

Mengulas ayat 20 surah al-A'raf al-Qurtubi menyebut satu pendapat ulama, Adam inginkan khulud atau kekekalan kerana dia tahu para malaikat tidak akan mati sehinggalah hari kiamat.

Syed Qutb pula mengulas isu yang ditimbulkan oleh syaitan ialah "melepaskan diri dari ikatan tubuh seperti malaikat serta bersifat kekal atau khulud". Namun beliau lebih tertarik dengan bacaan Ibnu Abbas iaitu Mulkin.

Kata beliau bacaan ini sesuai dengan apa yang terdapat dalam ayat 120 surah Taha. Berasaskan bacaan ini Syed Qutb mentafsirkan, "Pujukan itu berasaskan kepada kuasa dan umur yang kekal berpanjangan iaitu dua nafsu yang paling kuat dalam diri manusia". Beliau kemudiannya menghubungkan nafsu-nafsu ini dengan seks.

Kata beliau: "Nafsu seks itu sendiri ialah satu jalan ke arah merealisasikan nafsu khulud dengan cara melahirkan keturunan dari generasi ke generasi".

Agak jelas sama ada dari aspek plot mahupun gaya, ada tanda-tanda menunjukkan, yang disebut sebagai pokok terlarang dalam ayat-ayat berkenaan ialah seks. Dan atas dorongan untuk kekal hidup di dalam syurga, sebagaimana yang diperdayakan oleh syaitan kepada mereka, Adam dan Hawa melakukan hubungan jenis itu sekali gus melupai larangan Tuhan.

Semua ini ada hubung kaitnya dengan perancangan Allah untuk menghantar manusia ke bumi sebagai unsur yang membangun.

Cuma yang menjadi persoalannya, tidak ada mufassirin (setakat yang diketahui) yang berpendapat begitu. Paling hampir ialah zilal, tetapi tidak tegas dan terlalu umum.

*Tulisan Prof. Dr. Mahmood Zuhdi ini dipetik daripada majalah Al Islam keluaran Ogos 2009, yang mula berada di pasaran pada 17 Julai lalu. Artikel-artikel lain yang menarik dalam keluaran tersebut dan perlu anda baca, ialah:

*Benarkah Michael Jackson ahli Nation of Islam?

*Pendeta Kristian dan isteri peluk Islam selepas alami mimpi serupa

Suruhan buat baik dan cegah mungkar

Suruhan buat baik dan cegah mungkar


SEMANGAT gotong-royong satu cara membina ukhuwah sesama Muslim. - Gambar hiasan


SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah menceritakan berkenaan Yahudi dalam sejarah mereka dan bagaimana mereka disesatkan oleh hawa nafsu serta Abbasiah keturunan hingga ditegah mereka daripada sampai kepada cahaya kebenaran lantas Allah menyebut pula berkenaan dengan ayat-ayat-Nya untuk diambil iktibar dan manfaat.

Iktibar dan fiqh ayat 108:

lAl-Maraghi berkata: "Setiap perintah dan larangan yang diberikan Allah SWT kepada mereka semata-mata dimaksudkan untuk memberi petunjuk kepada mereka, menyempurnakan fitrah mereka, dan menyempurnakan lagi tatatertib jemaah mereka."Jika menderhakai perintah-Nya, nescaya mereka akan dikenakan bencana. Hal ini bermaksud mereka telah menzalimi diri mereka sendiri lantaran perpecahan dan perselisihan mereka dan perbuatan dosa yang lain yang mencakupi tatatertib masyarakat dan menjadikan warganya sengsara".

lSheikh Muhammad al-Thahir Ibn Asyur dalam tafsirnya al-Tahrir wa al-Tanwir mengemukakan bahawa tilawah adalah mengulangi suatu ucapan dengan maksud menyampaikannya sesuai redaksinya. Ia sama dengan qiraat hanya untuk mengulangi suatu pembicaraan yang tertulis.

lHamka berkata: "Islam akan terus hidup selama dakwah masih dilakukan dan akan terpadam sekiranya ia telah padam dan tidak aktif. Akan berlaku perpecahan dan perselisihan yang sangat ketara dan semuanya akan hancur lebur dimamah usia mahupun tidak terlibat secara langsung dalam memartabatkan Islam".

lAl-Sonhadji berkata: "Apa-apa yang telah Allah SWT jelaskan daripada al-Quran dan yang telah lalu itu, adalah benar jangan diragukan lagi. Dan tiadalah Allah menghendaki penganiayaan terhadap penduduk alam. "Tuhan tidak akan menganiaya sesiapa pun daripada hamba-Nya umpamanya menyeksa seseorang dengan tidak ada kesalahan. Hanya orang yang berbuat maksiat atau derhaka terhadap Tuhan jualah yang menganiaya dirinya sendiri".

Iktibar dan fiqh ayat 109:

lIbn Kathir berkata: "Semuanya adalah milik Allah dan hamba kepada-Nya sedangkan Dia yang melaksanakan di dunia atau di akhirat segala urusan".

lAl-Maraghi berkata: "Seorang membebankan hambanya atau membebani binatang-Nya di luar kemampuannya, dia dikatakan orang yang zalim dan seorang yang mengurangi hak orang lain, bererti dia telah melakukan kezaliman kepadanya".

lHamka berkata: "Dengan ayat ini Tuhan menjelaskan bahawa buka saja dalam pergaulan hidup manusia ada sosiologi, falsafah sejarah, kenaikan dan keruntuhan, pasang naik dan pasang surut, keinsafan dan kelalaian bahkan merekalah punca saya lewat hadir ke sekolah. "Di mana-mana sahaja manusia tidak akan dapat lari daripada peraturan".

lAl-Sonhadji berkata: "Setelah Allah menjelaskan bahawasanya Allah itu tidak berkehendak dan tidak berhajat sama sekali untuk menganiaya sesiapa pun dari penduduk alam ini, lalu menyatakan pula sifat kesempurnaan-Nya dengan menunjukkan kebesarannya iaitu langit dan bumi dengan segala isinya itu adalah kepunyaan-Nya."Dan urusan semua makhluk-Nya akan terpulang kepada-Nya untuk menguruskannya".

Sebab Nuzul ayat 110

Ibn Jauzi berkata: Sebab nuzul ayat ini bahawa Malik bin Al-Daif dan Wahab bin Yahuza, kedua-duanya di kalangan Yahudi berkata kepada Ibn Mas'ud dan Salim: Agama kami lebih baik daripada apa yang kamu dakwah dan kami lebih afdal daripada mu.

Lantas turun ayat ini dan inilah pendapat Ikrimah dan Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat:

Dalam konteks sosiologis, umat adalah himpunan manusiawi yang seluruh anggotanya menuju satu arah yang sama, tolong menolong dan bergerak secara dinamik di bawah kepimpinan yang padu.

lIbn Jauzi berkata: "Empat pendapat berkenaan maksud ayat ini:l Ahli Badar.l Golongan Muhajirin.l Semua sahabat.l Semua umat Nabi Muhammad SAW.Seluruh pendapat tersebut dinisbahkan kepada Ibn Abbas.

lAl-Maraghi berkata: "Umat Islam ini tetap menjadi umat yang terbaik selama mana mereka tidak meninggalkan tugas menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran."Kedua-dua tugas ini (menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran) ditinggalkannya sejak timbulnya pemerintahan diktator, yang dipopularkan oleh raja dan amir dari golongan Bani Umaiyah dan pemerintah yang meniru jejak langkah mereka. Orang pertama dari pemerintah Bani Umaiyah yang berani melakukan perbuatan maksiat dan kurang ajar adalah Abd. Malik Ibn Marwan, ketika di atas mimbar beliau berkata: "Barang siapa yang berani menegurku dengan ungkapan takutlah kamu kepada Allah SWT, nescaya aku akan penggal lehernya".

lMuhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat di atas menggunakan kata ummah atau umat. Kata ini digunakan untuk menunjuk semua kelompok yang dihimpun oleh sesuatu seperti agama yang sama, waktu atau tempat yang sama, baik penghimpunannya secara terpaksa, mahupun atas kehendak mereka. Demikian al-Raghib dalam al-Mufradat Fi Gharib al-Quran. Bahkan al-Quran dan hadis tidak membatasi pengertian umat hanya pada kelompok manusia. Tidak satu burung pun yang terbang dengan kedua sayapnya kecuali umat-umat juga seperti kamu. (Terjemahan surah al-An'am: 38 ). Semut yang berkeliaran, juga umat dari umat-umat Tuhan. (riwayat Muslim ).

lHamka berkata: "Pada ayat yang telah lalu telah diperintahkan dengan nyata dan tegas supaya di kalangan jemaah Islamiah itu diadakan umat yang khusus menyuruh kepada kebaikan dan melarang perbuatan yang mungkar."Dijelaskan sekali lagi, bahawa kamu mencapai darjat yang tinggi kerana memenuhi ketiga-tiga syarat iaitu amar makruf nahi munkar, iman kepada Allah SWT dan ketiga itulah disebut sebaik-baik umat".

lAl-Sonhadji berkata: "Tuhan telah menyifatkan demikian terhadap Nabi Muhammad SAW serta sahabat-sahabatnya waktu turunnya ayat ini. Mereka telah bermusuhan sesama mereka pada masa lampau kemudian disatukan hati mereka lalu berpegang teguh dengan tali Allah SWT.Al-Sonhadji berkata: "Kebaikan umat bergantung kepada tiga perkara:l Menyuruh berbuat kebajikan.l Melarang melakukan kejahatan.l Percaya kepada Allah SWT.

Jika ini ditinggalkan, sudah tidak ada lagi kebaikannya kepada umat.

Semoga Allah menjadikan kita golongan yang putih mukanya dan berseri kerana mendapat rahmat Allah. Amin.

Hukum menikahi wanita yang hamil

Hukum menikahi wanita yang hamil

SOALAN:
Apa hukumnya menikahi wanita yang sedang hamil (luar nikah). Benarkah jika seorang lelaki menikahi wanita yang hamil terlebih dahulu hukumnya tidak sah dan harus menikah sekali lagi jika anak yang di kandung sudah lahir? (sesudah anak berusia 40 hari).

Apakah status anak itu kerana setahu saya anak tersebut tidak boleh dibinkan menurut nama si ayah dan jika anak itu perempuan maka si ayah tidak boleh menjadi wali.

Jawapan:

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami, hukum tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai 'zina' dalam bidang fikah adalah fatwa mazhab Maliki.

Namun tidak disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti berusia 40 hari atau lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.

Mazhab ini mensyaratkan lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana wanita yang terlibat dengan zina perlulah memastikan rahimnya suci terlebih dahulu. Caranya, dengan menunggu sehingga tempoh tiga kali datang bulan (haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan dari saat terakhir dia melakukan zina (al-istibra').

Jumhur ulama bersepakat mewajibkan istibra' demi menjaga kesucian susur galur keturunan kerana ia akan melibatkan status anak sah taraf atau tidak untuk dibinkan kepada suami yang dikahwini setelah zina berlaku, kemudian masalah wali kahwin bagi anak perempuan dan masalah pewarisan harta dari segi hukum-hakam Islam.

Jika syarat ini diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya dihukumkan fasid atau rosak yakni tidak sah di mana perpisahan dihukumkan wajib bagi pasangan tersebut; sama ada zahir pada wanita itu tanda-tanda hamil atau tidak.

Jika wanita itu didapati mengandung hasil hubungan zina, maka istibra'nya ialah kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum wanita itu bersalin berdasarkan hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya). (riwayat Abu Daud dan juga oleh al-Tirmizi yang menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz 'anak orang lain').

Termasuk satu lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita tawanan perang Awtas susulan daripada peperangan Hunain yang dibahagi-bahagikan kepada para pejuang yang bermaksud: "Tidak disetubuhi seorang wanita hamil itu sehingga bersalin".

Syarat ini juga digunapakai dalam mazhab Hanbali terutamanya bagi lelaki yang telah mengetahui status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seorang lelaki menyetubuhi seorang wanita yang hamil bukan dari benihnya".

Syarat tambahan mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha terhadap dosa besar yang telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya daripada hukum asal al-Quran ke atas penzina: Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina pula tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman. (al-Nur: 3)

Lebih-lebih lagi jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang diisyaratkan di akhir ayat tersebut.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Seseorang yang benar-benar bertaubat daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang suci daripada segala dosa".

Kemudian baginda membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 222: Sesungguhnya Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka bertaubat dan sentiasa menjaga kesucian.

Sementara mazhab Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain jika dapat dipastikan wanita itu tidak hamil.

Jika wanita itu hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak boleh menyetubuhi wanita itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat 23-24 dari surah al-Nisaa' yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram dinikahi:

Telah diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan anaknya). Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang masih berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Hukumnya haram ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan) ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain daripada yang disebut (di atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan memperisterikannya dengan harta kamu dengan menikahinya secara yang sah, bukan secara berzina… (an-Nisaa': 23 dan 24).

Pendapat ini dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan perlakuan zina wanita yang telah berkahwin: Anak yang dilahirkan itu bagi empunya kamar tidur (iaitu hak suami yang sah), dan batu bagi penzina (rejam). Ia menggambarkan bahawa air mani penzina tidak mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.

Mazhab ini bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang mengharamkan persetubuhan kepada lelaki yang mengahwini wanita yang mengandung bukan dari benihnya. Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan hadis yang sama: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya)". (riwayat Abu Daud).

Mazhab Syafie pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.

Perbuatan haram mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan pernikahan yang sah di mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh jumhur ulama.

Nasab bayi

Menurut fatwa jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan berkahwin, maka anak itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.

Jika kurang dari tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali dia berkeras mengaku bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada bukti jelas ia adalah hasil daripada hubungan zina terutamanya dalam menjaga maruah seorang Muslim.

Tempoh minimum enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di mana pada masa pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang melahirkan anak setelah enam bulan mengandung.

Dia telah dibawa menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan menjalani hukum rejam. Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali lalu beliau berkata: Wanita itu tidak sepatutnya direjam.

Kata-kata beliau akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus menghantar utusan bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.

Saidina Ali terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga genap tempoh dua tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses penyusuan…. Kemudian beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang bermaksud: Dan tempoh mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya mengambil masa selama 30 bulan….

Perbezaan kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan - 24 bulan bersamaan dengan 6 bulan).

Jadi, kelahiran itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian, mereka telah membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.

Hanya status undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh berbinkan suami kepada wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya tidak boleh berwalikannya.

Menurut fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10 Jun 2003 penjelasan istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti berikut:

*Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;

*Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah; dan

*Anak yang dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak seperti proses li'an.

Thursday, August 6, 2009

Perkasa kemahiran insaniah

Perkasa kemahiran insaniah


Siswazah perlu melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah bagi memudahkan mereka menembusi pasaran pekerjaan. - Gambar hiasan


SENARIO di sebelah sering terjadi kepada graduan masa kini. Limpahan graduan yang tidak bekerja menjadi tanda tanya kepada semua pihak. Adakah graduan yang terhasil daripada sistem pendidikan kita tidak cukup bermutu dan berkualiti? Adakah wajar kita menyalahkan pihak pengajian tinggi di dalam hal ini?

Semua aspek perlu diteliti dengan menyeluruh supaya pendekatan yang bersepadu diambil bagi mengatasi permasalahan ini.

Menurut Wikipedia, kemahiran insaniah atau diistilahkan sebagai soft skills merujuk kepada istilah sosiologi yang merujuk kepada ciri-ciri keperibadian, daya tarik sosial, kemampuan berbahasa, norma peribadi, sikap kepekaan atau kepedulian serta sikap optimis seseorang.

Ia melengkapi kemahiran lahiriah (hard skills) iaitu kemahiran yang berkaitan dengan keupayaan teknikal dalam pekerjaan dan ilmu yang berkait rapat dengan sistem terkini.

Kemahiran insaniah mencakupi beberapa aspek iaitu kualiti peribadi yang merangkumi erti tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berinteraksi, pengendalian diri, integriti dan kejujuran.

Ia juga melibatkan keterampilan interpersonal, misalnya bergaul secara anggota masyarakat, berkongsi pengetahuan dengan orang lain, melayani pelanggan, daya kepimpinan, kemampuan berunding serta upaya kerja dalam pelbagai situasi dan ragam.

Melihat kepada ruang lingkup kemahiran insaniah ini, kita mampu membayangkan watak insan yang bakal dilahirkan sekiranya setiap manusia terutamanya remaja dilengkapi dengan kualiti-kualiti tersebut.

Seorang remaja yang dididik dengan kemahiran insaniah yang menyeluruh bakal memimpin masyarakat dengan karisma dan kredibiliti yang tersendiri.

Justeru, menyedari kepentingan kemahiran ini, institusi pengajian tinggi serta syarikat-syarikat perniagaan mensasarkan setiap ahli mereka dilengkapkan dengan kualiti-kualiti mengenai kemahiran ini.

Zaman menghafal ilmu dan memuntahkan segalanya semasa peperiksaan harusnya berlalu. Sistem pendidikan kini mesti berupaya melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan terbuka terhadap perubahan zaman. Terbuka terhadap perubahan tidak bermakna menerima bulat-bulat setiap yang datang, tetapi harus datang dengan rasa tanggungjawab serta kewaspadaan terhadap maklumat yang diterima.

Kemakmuran negara bergantung kepada pembangunan sumber manusia yang strategik menerusi pengajian tinggi universiti. Kementerian Pengajian Tinggi telah mula melaksanakan program-program meningkatkan kemahiran insaniah di kalangan mahasiswa di IPTA.

Ia merupakan strategi menambah nilai diri graduan dan kebolehpasaran mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Begitu juga dengan syarikat perniagaan yang kini banyak menekankan kemahiran berinteraksi antara individu dengan individu atau dengan anggota masyarakat yang lain. Sebahagian besar daripadanya juga jelas memberikan tumpuan kepada kemahiran berkomunikasi.

Antara yang jelas kelihatan ialah tumpuan kepada komunikasi dalam organisasi, komunikasi individu dan komunikasi dalam bidang perniagaan. Oleh itu, kemahiran insaniah kini merupakan elemen yang penting yang perlu diterapkan dalam pendidikan dewasa ini.

Islam tidak mendidik kemahiran insaniah?

Islam juga mengajarkan umatnya supaya memperlengkapkan diri menjadi Muslim yang berilmu, berketerampilan, berfikiran terbuka dan mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan.

Rasulullah SAW sendiri adalah seorang insan contoh yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi. Baginda mempunyai kemahiran berkomunikasi yang penuh dengan hikmah, sesuai dengan watak baginda sebagai seorang Rasul.

Baginda berdakwah dengan penuh berhemah serta lemah lembut, tanpa mengenepikan prinsip yang benar dan hak.

Sebagai seorang pemimpin kepada umat dan negara, baginda juga seorang yang berfikiran jauh dan strategik, menggalakkan perkongsian ilmu dan pembinaan tamadun Islam. Islam juga mengajarkan umatnya bersifat amanah, jujur dan berintegriti.

Integriti merupakan komponen yang menjadi cermin kepada etika. Bagi menjadikan individu itu seorang insan yang berintegriti, etika wajib dijadikan pegangan, bahkan dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian secara berterusan dan konsisten.

Oleh itu, adalah tidak benar sekiranya kita mengaitkan Islam dengan kejumudan fikiran dan peribadi. Kenyataan bahawa orang Islam adalah umat yang tidak menekankan aspek kemahiran insaniah harus diubah sama sekali kerana ajaran Islam mengajarkan umatnya bersikap profesional, terbuka serta berusaha mempertingkatkan kemahiran diri.

Persepsi negatif media berhubung mahasiswa juga harus dihentikan. Paparan media yang menjengkelkan seperti kadar pengangguran yang tinggi, pakej graduan yang tidak produktif, meliputi aspek tidak mempunyai keterampilan, kurang kemahiran kritikal seperti komunikasi, penguasaan bahasa inggeris yang lemah, kurang kemahiran bersosial dan tidak bermotivasi.

Mahasiswa perlu memupuk sikap keterbukaan ketika menimba ilmu, menerima komen-komen penilaian dan menggunakan sebaik-baiknya kemahiran yang telah diturunkan sewaktu menghadiri sesi temuduga dan melangkah ke alam pekerjaan.

Kesimpulan

Kelesuan remaja terutamanya golongan mahasiswa yang terdedah dengan sifat malas, terikut-ikut kawan, pengaruh luaran boleh mendorong mahasiswa untuk gagal memperoleh kerjaya profesional lalu akhirnya terjebak dalam gejala kemaksiatan dan kebejatan sosial.

Justeru, remaja perlu aktif melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan rekreasi, bengkel dan sebagainya kerana program-program seumpamanya menyumbang kepada aspek kepimpinan dan daya pemikiran yang lebih kritis supaya manfaatnya dapat dikecapi bukan sahaja oleh untuk diri sendiri, tetapi juga untuk pembangunan negara dan umat.

Keperibadian ahli hadis

Keperibadian ahli hadis

Oleh MOHD. NORZI NASIR

KELAHIRAN dan kebangkitan para ulama hadis sepanjang zaman merupakan satu kurniaan luar biasa daripada Allah SWT. Sumbangan tidak ternilai mereka berupa penyusunan pelbagai kaedah dan metod dalam ilmu hadis telah berjaya dijadikan garis panduan dan digunakan secara ilmiah untuk meneliti kesahihan sesebuah hadis.

Usaha yang disumbangkan oleh para ulama melalui karya-karya agung secara tidak langsung adalah bukti mereka mempertahankan kredibiliti Rasulullah SAW sebagai penyampai wahyu Allah melalui lidah, perbuatan dan pengakuan, para sahabat selaku generasi pertama yang mengambil periwayatan daripada baginda.

Semua gerak kerja yang dilakukan oleh para ulama hadis adalah demi mempertahankan hadis-hadis Rasulullah SAW daripada diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam.

Meneladani dan mengetahui visualisasi sebenar keperibadian ahli hadis merupakan tuntutan dalam usaha melahirkan generasi al-hadis ke arah meniti kegemilangan ummah pada masa hadapan.

Ahli hadis merupakan generasi yang memiliki tingkat kepercayaan yang paling tinggi dalam meyakini manhaj Rasulullah SAW, berjalan di atas manhaj atau jalan yang ditempuh oleh para sahabat Rasulullah SAW, para tabien dan tabi’ altabien.

Mereka juga merupakan kadir-kadir yang tetap di atas perkara yang asas dalam agama dan cabangnya sesuai dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasul-Nya berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kalian semua kepada tali Allah (al-Quran) dan janganlah berpecah-belah. (ali-‘Imran: 103)

Menurut al-Sabuni, “Ahli hadis meneladani Nabi dan para sahabatnya. Mereka meneladani generasi salaf yang saleh dari para imam dan para ulama kaum muslimin. Mereka berpegang teguh kepada agama yang kukuh dan kebenaran yang pasti. Mereka membenci ahli-ahli bidaah yang sering mengada-adakan sesuatu dalam persoalan agama”. (Aqidah al-Salafi Ashab al-Hadis, hlm. 99-100)

Pujian ulama terhadap ahli hadis

Rasulullah SAW mendoakan secara khusus kepada sesiapa yang mempelajari hadis baginda SAW. Sabda baginda yang bermaksud: “Semoga Allah SWT memberikan cahaya kepada seseorang yang mendengar hadis daripadaKu lalu menghafaznya sehingga dia menyampaikannya kepada orang lain”. (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibn Hibban dalam Kitab Sahihnya)

Sufyan al-Thauri mengatakan: “Aku tidak mengetahui suatupun yang dipersembahkan kepada Allah SWT melebihi (daripada mempelajari dan mengajar) hadis”.

Imam al-Syafie berkata: “Kamu hendaklah bersama ashab al-hadis. Merekalah orang yang paling tepat”. Bahkan beliau pernah bersyair dengan maksud: “Ilmu yang sebenar ialah yang ada padanya haddasana. Dan yang tiada demikian (tiada sanad riwayat dan tiada asal daripada Nabi SAW), maka semua itu hanyalah bisikan syaitan”.

Al-Imam Ahmad ibn Hanbal: “Tidak ada satu kaum pun di sisiku yang lebih baik daripada ahli hadis”.

Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan: “Seandainya para ulama hadis tidak menjaga hadis-hadis, tidak mengumpulkannya, tidak mengeluarkan kefahaman daripadanya dan mengamati sanad-sanadnya, nescaya terbatallah syariat Islam dan hilanglah hukum hakamnya, kerana semuanya itu diambil daripada hadis-hadis yang dihafal (dan terjaga) dan diriwayatkan (oleh mereka)…”.

Membela sunnah Rasulullah SAW

Abu Hurairah r.a dan Kewibawaan Dalam Ilmu Hadis:

Beliau ialah Abu Hurairah al-Dawsi al-Yamani. Para ulama berselisih pendapat tentang nama beliau. Nama beliau dikatakan sebagai Abd. al-Rahman ibn Sakhar, atau ibn Ghunm, atau Abdullah ibn A’iz, Abd. Shams dan beberapa nama lain. Sewaktu zaman Jahiliah nama beliau dikatakan sebagai Abd. Syams.

Abu Hurairah memeluk Islam pada tahun 7H, tahun berlakunya peperangan Khaibar. Beliau memeluk Islam setelah mendengar dakwah dari Tufayl ibn Amr al-Dawsi yang pernah datang ke Madinah menghadap baginda SAW.

Abu Hurairah terkenal sebagai tokoh yang berpegang teguh pada sunnah Rasulullah dan sentiasa memberikan khidmat bakti kepada baginda. Sejak memeluk Islam, Abu Hurairah sering berdampingan dengan Rasulullah SAW.

Menurut Ajjaj al-Khatib, Abu Hurairah sering bersama Rasulullah dan mempunyai banyak kesempatan belajar serta menerima hadis berlainan dengan para sahabat yang sibuk menguruskan ladang-ladang, dagangan-dagangan dan yang membantu Rasulullah SAW dalam pertempuran dan pertahanan negara.

Abu Hurairah dianugerahkan hafalan yang kuat. Kekuatan hafalan beliau adalah sebagai satu bukti keberkatan doa baginda SAW. Hal ini sebagaimana kisah yang diungkapkan oleh Abu Hurairah sendiri seraya Abu Hurairah berkata, “Wahai Rasulullah, aku mendengar hadis yang banyak daripada-Mu, tetapi aku sering lupa, Rasulullah SAW berkata, “Hamparkanlah selendangmu. Lalu aku menghamparkannya, lalu Rasulullah SAW memegang dengan kedua tangannya dan baginda SAW. bersabda, “Ikatlah”. Lalu aku mengikatnya. Sejak itu aku tidak pernah lupa. (riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab Hifz al-Ilm, hadis 119].

Ketekunan Abu Hurairah dalam menerima, mendengar dan mempelajari hadis daripada baginda SAW terbukti apabila beliau merupakan perawi pertama yang menanyakan hadis gerangan yang paling bahagia kerana mendapat syafaat daripada baginda pada hari kiamat.

Kewibawaan beliau sebagai seorang perawi hadis telah diakui oleh baginda, para sahabat dan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Beliau turut dikenali sebagai salah seorang ahli suffah yang tinggal di wakaf masjid. Sifat amanah dan takwa yang dimiliki oleh beliau menjadi kebanggaan baginda sehingga baginda SAW melantik beliau sebagai pengagih makanan untuk ahli suffah iaitu golongan fuqara’ muhajirin yang tiada tempat tinggal.

Abu Hurairah menghembuskan nafas terakhir pada 57 atau 58 H (676-678 M) dalam usia 78 tahun di Madinah. Beliau telah mewafatkan warisan yang amat berharga kepada umat Islam dan merupakan sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW iaitu 5,374.

Wednesday, August 5, 2009

Bulan Zakat Kebangsaan 2009

Bulan Zakat Kebangsaan 2009

Oleh AB. RAHIM ZAKARIA

ZAKAT sebagai rukun Islam yang ketiga perlu dimartabatkan untuk menjana ekonomi umat Islam. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda telah menggunakan hasil zakat bagi memerdekakan hamba-hamba dan membasmi kemiskinan.

Saidina Abu Bakar r.a sendiri pernah mengisytiharkan perang ke atas mereka yang enggan membayar zakat.

Berdasarkan dua contoh di atas, jelas bahawa zakat amat diberi perhatian kerana merupakan komponen ekonomi terpenting umat Islam yang wajib dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Di Malaysia, zakat ditadbir oleh Kerajaan Negeri kerana hal ehwal agama Islam adalah terletak di bawah kuasa negeri. Walau bagaimanapun tugas memartabatkan zakat turut didokong bersama Kerajaan Pusat.

Dengan kerjasama erat Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) akan sentiasa berusaha ke arah meletakkan zakat sebagai salah satu elemen terpenting dalam pembasmian kemiskinan di kalangan umat Islam.

Bagi maksud di atas, sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) telah diadakan bermula tahun 2008 dan diteruskan sepanjang bulan Syaaban 1430H tahun ini.

Sambutan ini adalah bercorak pendidikan dan pendedahan dengan motonya Zakat 1 Kewajipan, 1 Juta Harapan.

Konsep pendidikan dan pendedahan ini dipilih kerana adalah diyakini bahawa pendidikan merupakan proses terpenting kepada masyarakat, memandangkan masih ramai yang belum memahami tanggungjawab berzakat dengan jelas dan menyeluruh.

Pendidikan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu diberikan pendedahan tentang pentingnya amalan yang ditunaikan secara serius dan aktif. Dengan cara ini diharapkan akan membawa impak yang besar kepada masyarakat untuk bangkit sama-sama memartabatkan zakat.

Pendedahan tidak hanya disasarkan kepada individu dan mereka yang berpotensi membayar zakat sahaja. Sebaliknya kepada masyarakat umum dengan meuar-uarkan program yang telah dijalankan dengan hasil pungutan zakat dan menerangkan bentuk-bentuk program pembangunan asnaf yang telah dan akan dilaksanakan.

Objektif utama sambutan BZK 2009 adalah menyebarluaskan maklumat dan meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berzakat dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap pengurusan zakat di negara ini.

Sebahagian masyarakat Islam umumnya masih beranggapan zakat yang wajib hanyalah zakat fitrah, sedangkan pada hakikatnya zakat harta merupakan komponen yang lebih besar.

Melalui kefahaman ini, diharapkan agar masyarakat akan lebih meyakini fungsi dan peranan institusi-institusi zakat dan seterusnya menggalakkan masyarakat untuk menjadi pembayar zakat yang aktif.

Pelancaran sambutan BZK 2009 akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom yang juga akan menyampaikan ucaptama perasmian iaitu pada 11 Ogos 2009 bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Serentak dengan perasmian pelancaran BZK 2009, Konvensyen Zakat Kebangsaan 2009 turut diadakan.

Konvensyen itu tidak hanya menumpukan kepada pungutan zakat semata-mata. Sebaliknya menyentuh semua aspek zakat lain yang wajar dihebahkan bagi membangkitkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan dan peranan zakat dalam memantapkan sosio-ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Sepanjang konvensyen, sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan dan satu sesi dialog akan diadakan bagi membincang, merumus dan menghasilkan gagasan resolusi yang akan dipanjangkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk dikaji dan diambil tindakan sewajarnya dalam memperkasakan institusi zakat di Malaysia.

Para pembentang dipilih daripada kalangan ahli-ahli akademik, wakil-wakil pengurusan zakat negeri-negeri, agensi korporat dan pakar-pakar perundangan.

Konvensyen ini dijangka dihadiri oleh 400 orang peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada ahli akademik IPTA/IPTS, pegawai-pegawai dari agensi korporat, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Syarikat Mengurus Zakat (SMZ), Pejabat Mufti dan ahli-ahli Persatuan Percukaian Malaysia.

Sepanjang tempoh sambutan BZK 2009 ini, berbagai aktiviti telah dirangka oleh MAIN dan SMZ untuk dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing bagi memastikan hasrat dan objektif program ini tercapai.

Di peringkat kebangsaan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan di samping majlis perasmian dan Konvensyen Cukai dan Zakat Kebangsaan 2009 adalah:-

a) Pameran - Seperti mana tahun lalu, perasmian pada tahun ini akan diserikan dengan penglibatan MAIN, SMZ dan lain-lain agensi yang berminat merai dan memeriah majlis perasmian BZK 2009.

Pameran sehari yang akan diadakan di ruang legar PWTC diharap dapat memaparkan kepada masyarakat umum tentang fungsi dan peranan MAIN dan SMZ tentang pengurusan zakat. Terutamanya dari aspek kutipan dan agihan di negeri masing-masing di samping memapar komitmen Kerajaan Persekutuan dalam pengurusan zakat.

Gerai pameran juga akan dibuka kepada mana-mana pihak yang ingin memasarkan produk mereka, khususnya dari kalangan asnaf.

b) Kempen Promosi Zakat - Aspek utama yang akan diberi tumpuan sepanjang tempoh sambutan BZK 2009 ialah bidang promosi zakat. Kempen sebegini seharusnya merupakan aktiviti berterusan berjalan tanpa henti sepanjang tahun, tetapi diperhebatkan dalam tempoh sambutan BZK 2009.

Khutbah Jumaat yang menjadi saluran perdana media umat Islam akan dipergunakan bagi menyampaikan mesej, di samping iklan zakat melalui radio dan televisyen.

Risalah-risalah promosi zakat akan diperbanyakkan dan diperluaskan edarannya bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran orang ramai.

Sepanjang bulan Februari 2009 telah dilangsungkan sambutan Bulan Dakwah Kebangsaan 2009, manakala sepanjang bulan Syaaban 1430H (Julai/Ogos 2009) dilangsungkan pula sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2009.

Kedua-dua sambutan ini bertujuan tidak lain meningkatkan kefahaman dan kesedaran umat Islam seterusnya meningkatkan komitmen dan istiqarah mereka terhadap ajaran Islam dan ibadah yang dilalukan demi untuk kebaikan mereka dan umat Islam seluruhnya dunia dan akhirat.

Monday, July 20, 2009

Sukarelawan Al-Falah kini berdikari

Sukarelawan Al-Falah kini berdikari


OPS Tautan Kasih adalah program khidmat bakti dalam bentuk bantuan kemanusiaan. Program yang diperkenalkan beberapa tahun lalu ini melibatkan semua golongan masyarakat tanpa mengira usia.


ISLAM telah menggariskan bahawa tugas mengajak manusia membuat kebaikan dan meninggalkan maksiat, adalah seruan dan saranan kepada setiap individu Muslim.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka yang demikian itu adalah orang yang berjaya. (ali-Imran: 104)

Meskipun, tidak dinafikan bahawa kerja-kerja dakwah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk, iaitu tidak setakat menghulurkan sumbangan atau derma. Pun begitu, berkeperibadian unggul, menuntut ilmu dan berusaha kuat juga adalah bentuk dakwah yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Menyedarinya, apabila kita sebut keberkesanan berdakwah, tidak dapat tidak, kita perlu menggunakan kaedah yang sistematik dan teratur.

Ini kerana, ia juga mampu melahirkan pendakwah dan sukarelawan Islam yang benar-benar komited, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan umat secara menyeluruh.

Lantaran itu, kewujudan Sukarelawan Al-Falah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang kini telah memasuki fasa kedua penubuhan, dikira satu usaha ke arah memartabatkan dan mempertingkatkan tahap profesionalisme sukarelawan dari badan dakwah Islam agar sentiasa berada di barisan hadapan.

Istilah sukarela bukanlah sesuatu yang baru bagi masyarakat Malaysia terutamanya di kalangan orang Melayu Islam kerana kita lebih terdedah dengan konsep gotong-royong. Ia telah menjadi amalan biasa untuk kita menggerakkan sesuatu program atau kerja-kerja khidmat masyarakat.

"Cumanya kini di dalam Sukarelawan Al-Falah konsep gotong-royong itu memang digunakan tetapi ia lebih terancang dan sistematik. Kita menggubal satu kurikulum yang kemas bagi memastikan latihan yang teratur, praktikal dan bersesuaian dijalankan.

"Sejak tempoh penubuhan iaitu pada 2000 hingga kini, pelbagai aktiviti dijalankan di seluruh negeri terutamanya, latihan asas, latihan kepimpinan, program khidmat bakti, kursus pengurusan jenazah, klinik solat, kursus imam muda, ekspedisi.

"Ini tidak termasuk bantuan selepas berlaku bencana alam seperti banjir yang melanda beberapa negeri di sini," jelas Komander Sukarelawan Al-Falah, Mohammad Noor Abdul Rahman dalam pertemuan di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Mohammad Noor lagi, jumlah keanggotaan terkini adalah 40,000 orang meliputi Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Sesuatu yang membanggakan, ujarnya, apabila menyaksikan Sukarelawan Al-Falah bergerak sebagai satu pasukan dengan ikatan persaudaraan sejati serta semangat berjuang dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Namun paling menyentuh akui beliau, apabila melihat silaturahim, kemesraan yang terpancar menerusi dua generasi iaitu muda dan tua. Ini dibuktikan menerusi keanggotaan semuda usia 15 tahun hingga kepada 75 tahun.

"Melihat ukhuwah yang terbina bagaikan anak-beranak umpama seperti satu keluarga besar yang penuh dengan nilai-nilai kasih sayang, kerjasama dan keceriaan, di situ nampak kekuatan Sukarelawan Al-Falah berbanding pasukan beruniform yang lain.

"Malah kami turut menerima keanggotaan daripada ahli bukan Islam, sungguhpun peratus mereka masih agak kecil," katanya.

Menurut Mohammad Noor, ini bertepatan kehendak Islam yang tidak mahu melihat kebaikan itu dari satu sudut yang kecil. Bagi mereka, setiap orang itu ada potensi masing-masing adalah menjadi pegangan pasukan.

"Malah program Kembara Dakwah Kebangsaan yang dilaksanakan awal tahun ini boleh dikatakan majoritinya disertai golongan remaja.

"Hasilnya, sedikit sebanyak membuka mata masyarakat luar bahawa golongan sebegini sebenarnya perlu dan harus didekati.

" Sebenarnya, di sebalik kenakalan dan penampilan bebas mereka itu, ada terselit nilai yang positif," kata beliau.

Menurut Mohammad Noor, Sukarelawan Al-Falah telah diasingkan daripada pentadbiran Yadim bagi memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai sebuah pasukan sukarela. Kini, ia diletakkan di bawah Majlis Suruhanjaya Sukarelawan Al-Falah.

Sejajar dengan perubahan tersebut, Mohammad Noor berkata, pejabat pentadbiran berpindah ke Jalan Rahmat melalui Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

"Kalau sebelum ini, dana diperoleh daripada Yadim tetapi sekarang Sukarelawan Al-Falah perlu mencari dana mereka sendiri," jelasnya.

Langkah pertama yang sedang giat dilakukan adalah mengemaskini pangkalan data, mewujudkan pasukan bantuan kecemasan dan seterusnya, mendapatkan tanah atau bangunan pejabat sendiri.

"Pun begitu fokus kami masih kepada pemantapan pasukan ini iaitu dengan tumpuan kepada pengukuhan anggota dan pasukan, penglibatan golongan remaja, penyatuan anggota lama dan baru, penglibatan golongan profesional, menyusun pasukan di setiap negeri dan memantapkan jaringan pasukan," ujar Mohammad Noor yang sedang merancang satu program pertemuan semula (reunion) kesemua anggota pasukan Sukarelawan Al-Falah.

Jelas beliau lagi, langkah sedemikian perlu memandangkan ada di kalangan anggota ini yang telah menerima latihan, tetapi terputus hubungan atas sebab-sebab seperti menyambung pengajian ke peringkat menara gading atau setelah berkahwin.

Oleh itu, mereka inilah yang perlu dicari agar kembali aktif supaya melahirkan sebuah pasukan yang mempunyai kesinambungan golongan belia kepada golongan dewasa.

Akui Mohammad Noor lagi, pihaknya tidak menghadapi masalah komitmen daripada golongan dewasa yang majoriti mereka adalah pesara.

Sayangnya, golongan belia dan beliawanis yang kaya tenaga dan kebolehan inilah yang turut diperlukan bagi memperkasakan Sukarelawan Al-Falah.

Malah tidak dinafikan, 60 peratus keanggotaannya adalah golongan remaja namun penggerak pasukan ini masih diterajui oleh golongan dewasa. Oleh itu, satu usaha bagi mencari pelapis muda sebagai penggerak sedang dicari mekanismenya demi melahirkan sukarelawan Al-Falah yang terlatih, berwibawa dan disegani.

"Sekiranya perkara seperti ini serta pencarian dana tidak ditangani segera secara berhikmah, dibimbangi saranan agar Sukarelawan Al-Falah maju atas tiket sukarelawan Islam serta demi mengisi kelompangan penglibatan di peringkat antarabangsa tidak dapat direalisasikan serta terlaksana.

"Kita tidak mahu peristiwa di mana sukarelawan dari badan-badan dakwah Islam sentiasa terkebelakang dalam segala usaha gerakan dakwah jika dibandingkan dengan badan bukan Islam berlaku lagi.

"Lihat sahaja apa yang berlaku ketika dunia dikejutkan dengan peristiwa ombak besar tsunami di Aceh.

"Kita boleh melihat betapa gerakan dakwah bukan Islam begitu aktif membantu mangsa ombak besar ini. Hendaknya kita mencontohi sikap mereka," jelas beliau.

Kata Mohammad Noor, setakat ini, sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa pendakwah Islam ketinggalan berbanding pendakwah dari pertubuhan sukarelawan agama lain yang berada di barisan hadapan apabila bantuan mereka diperlukan untuk kepentingan umat Islam

"Gerakan dakwah yang bersifat profesional akan juga berupaya membawa lambang Islam secara khusus untuk menandingi pertubuhan-pertubuhan sukarelawan agama lain," tambahnya.

Marilah bersama Sukarelawan Al-Falah berbakti dan memperkasa ummah dengan bergelar anggotanya yang berdisiplin dan terlatih dalam pelbagai bidang ilmu.

Gambaran tentang malaikat

Gambaran tentang malaikat

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

GAMBARAN fizikal mengenai Malaikat Jibrail? Dikatakan malaikat itu mempunyai enam ratus sayap, yang luas dan lebar sayapnya itu mampu menjangkau dari kedudukan masyrik sehingga ke maghrib (Barat ke Timur) dan mengenakan busana kebesaran rona putih laksana mutiara yang dilarutkan dengan rupa yang elok dan menawan. Apabila bercakap mengenai kekuatan, Malaikat Jibrail mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa dahsyat dan penuh mukjizat!

Maklumat gambaran itu diambil dari laman Wikipedia sebagai cuba memenuhi permintaan pembaca ruangan ini yang mahukan Malaikat Jibrail, yang tugasnya menyampaikan wahyu kepada nabi-nabi, dapat diberi gambaran dengan lebih jelas.

Namun begitu tanpa ada dukungan daripada mana-mana nas atau dalil, gambaran seperti yang diceritakan itu tentunya jauh daripada kesahihan.

Begitupun dalam sebuah hadis ada disebutkan sedikit mengenai gambaran fizikal malaikat itu, iaitu malaikat Jibrail. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Aku pernah berpeluang bertemu dengan salah seorang malaikat yang membawakan risalah wahyu untukku. Dan aku dapati jarak antara cuping telinga dan bahunya sahaja adalah bersamaan dengan jarak perjalanan yang sejauh 700 tahun lamanya". (riwayat Abu Daud)

Maka, terpulang bagaimana kesemua gambaran fizikal ini dapat kita terima. Apa yang pasti malaikat berbeza ciptaannya dan ciptaannya pasti penuh dengan kehebatan yang sukar digambarkan oleh kata-kata mahupun lakaran lukisan.

Bagi sesetengah kita, gambaran fizikal mengenai malaikat ini penting untuk dikaji dan diketahui. Ini apabila tiada ilmu mengenai itu, maka kita terutama di kalangan anak-anak mungkin mudah terpengaruh dengan pelbagai gambaran mengenai rupa bentuk malaikat, mengikut sesetengah pandangan, walaupun kita tahu semua itu adalah tidak benar.

Ini termasuk yang terpengaruh akibat membaca kisah-kisah penglipurlara misalnya, malaikat digambarkan sebagai kuasa baik (kerana adanya kuasa-kuasa jahat), mempunyai imej seperti hologram dan pelbagai gambaran ilusi yang lain. Malah ada yang dapat 'menerima' apabila malaikat digambarkan sebagai bayi yang comel, gebu dan sihat serta bersayap dan juga lelaki atau perempuan muda berjubah putih dan terdapat lingkaran putih (Halo) di atas kepala dan juga bersayap di belakang mereka.

Namun sebagai umat Islam mempercayai mengenai kewujudan para malaikat adalah menjadi satu kemestian. Ini sebagaimana yang terkandung dalam Rukun Iman yang lima walaupun kita tidak dapat melihatnya.

Namun kita tahu malaikat itu wujud sebagaimana ada tugas-tugas mereka menanti masa dan waktu sahaja untuk dilaksanakan hatta sehingga pada Hari Kiamat sekalipun.

Begitupun mempercayai secara kosong sahaja mampu menjejaskan keimanan seseorang itu kelak. Ini kerana dipercayai kepercayaan yang ada, tidak lebih hanya di peringkat asas sahaja iaitu sebagaimana yang diajar semasa kecil atau pendidikan di peringkat rendah dalam ruang lingkup yang sempit atau tidak meluas.

Oleh itu, kepercayaan berlandaskan ilmu atau daripada ilmu yang sentiasa digali pasti dapat meningkatkan lagi makam keimanan setiap individu Muslim itu.

Persoalan tentang malaikat

Ini kerana yang penting, kita mampu menjawab pelbagai persoalan mengenai malaikat. Ini termasuklah apabila dalam agama-agama lain, penganutnya juga percaya agama mereka turut dikuatkan dengan unsur malaikat.

Jadi bagaimana anda dapat menjawab persoalan mengenai malaikat dari perbezaan sudut agama yang berbeza dan seterusnya mengangkat kedudukan malaikat dalam Islam itu melebihi daripada segala-gala kepercayaan kepada unsur yang sama ini.

Perkataan Malaikat merupakan perkataan Arab (yang dibaca: malaa-ikah) iaitu jamak daripada perkataan asalnya iaitu Malak bererti kekuatan.

Maka dari aspek lughah itu dapatlah kita kaitkan bahawa barisan para malaikat merupakan kekuatan-kekuatan yang sangat patuh kepada perintah dan suruhan Allah.

Adakah kekuatan itu berpunca daripada unsur penciptaan malaikat itu sendiri? Wallahu 'alam, Allah jua lebih tahu termasuk jumlah sebenar malaikat yang dikatakan beratus ribu bilangannya diciptakan oleh Allah.

Namun, yang jelas kesemua barisan malaikat ini diciptakan oleh Allah dari cahaya (nur). Ini sebagaimana hadis Rasulullah yang menyebut; Malaikat telah diciptakan daripada cahaya. (riwayat Muslim).

Begitupun, jangan sama sekali kita mengambil kesimpulan bahawa malaikat itu adalah sejenis makhluk halus pula. Iaitu sebaris dengan makhluk-makhluk halus ciptaan Allah yang lain termasuk syaitan, jin dan sebagainya.

Malaikat bukan sejenis makhluk halus kerana tidak sahaja kerana kemuliaan kejadiannya tetapi yang penting malaikat merupakan satu-satunya makhluk yang tugasnya hanya menyembah Allah, taat kepada segala tugas dan perintah-Nya dan mereka tidak pernah berdosa (tidak ada malaikat baik atau malaikat yang jahat - yang sering kali dikatakan malaikat jahat itu adalah iblis). Lalu bandingkan mereka dengan makhluk halus yang lain, adakah wajar bagi malaikat mempunyai kedudukan yang sama seperti syaitan, jin, hantu dan sebagainya itu?

"Ingatlah segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua. Malaikat-malaikat yang ada di sisi-Nya tidak membesarkan diri untuk beribadat kepada Allah dan tidak pula mereka merasa penat dan letih. Mereka selalu bertasbih siang dan malam dengan tidak berhenti-henti." (al-Anbiya': 19-20)

Tetapi bolehkah kita katakan malaikat itu sebagai makhluk ghaib? Hanya, jika kita maksudkan malaikat itu ghaib kerana kita tidak dapat melihat, mendengar, meraba dan menciumnya (bau) dengan lain perkataan, kita tidak dapat menghampiri malaikat itu melalui pancaindera yang lima.

Ciptaan Allah

Tetapi apabila memahami bahawa malaikat itu ciptaan Allah yang begitu hebat, dalam jumlah yang tidak diketahui itu, dengan pelbagai tugas dan keupayaan mereka yang tersendiri tidak bermakna ada kelemahan di sisi tuhan sehingga menyebabkan adanya pembantu seperti yang dilakukan oleh para malaikat.

Allah sebenarnya tidak perlukan apa pun ciptaan termasuk malaikat ini tetapi dengan mempunyai pengetahuan dan kepercayaan terhadap apa juga yang menjadi ciptaan tuhan tidakkah itu semua bagi menggambarkan kekuasaan Dia Yang Maha Agung? Untuk menciptakan apa sahaja yang disukaiNya. Malah dengan kehebatan ciptaan-ciptaannya itu adalah menjadi satu bukti yang jelas kepada kebesaran dan keagungan Maha Kuasa itu.

Walaupun disebutkan manusia tidak dapat melihat malaikat namun ada hakikat yang jelas yang kita tidak mampu untuk menafikannya, malaikat pernah ditemui oleh para nabi.

Ini termasuk Nabi Muhammad iaitu dalam bentuk manusia lelaki walaupun kita tahu bahawa malaikat itu tidak mempunyai jantina tertentu sama ada lelaki atau perempuan.

Namun jangan lupa juga malaikat boleh menjelmakan dirinya di hadapan manusia itu sendiri. Ini sebagaimana yang dialami oleh ibu Nabi Isa a.s, Siti Maryam bagi memberitahu bahawa beliau bakal mengandung atau hamil seorang anak lelaki suci (bakal menjadi nabi).

"Maka dia (Siti Maryam) membuat tabir untuk melindungi dirinya daripada mereka. Lalu Kami menghantarkan kepadanya roh Kami (Malaikat Jibrail) yang dijelmakan sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. (Maryam: 17).

Malaikat yang dimaksudkan menerusi ayat itu merupakan malaikat Jibrail itu sendiri, iaitu antara 10 malaikat yang wajib diketahui dan dipercayai oleh umat Islam.

Bercerita lanjut mengenai malaikat Jibrail ini, malaikat ini ada disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Baqarah (ayat 97-98) dan surah at-Tahrim (ayat 4).

Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) malaikat-malaikat-Nya dan rasul-rasul-Nya khususnya malaikat Jibrail dan Mikail maka sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang yang kafir. (al-Baqarah: 98)

Sebagaimana yang dikisahkan sebelum ini pertemuan Nabi Muhammad dengan malaikat itu di Gua Hira' bagi bermulanya lembaran baru untuk baginda memulakan penyebaran dan dakwah Islamiah kepada penduduk Arab yang telah sekian lama tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan.

Namun bagi Nabi Muhammad dan isterinya, Siti Khadijah masih dalam keraguan benarkah yang 'menyapa' baginda di Gua Hira itu benar-benar malaikat Jibrail? Benarkah melalui Jibrail itu ada perintah yang mesti diterima oleh baginda?

"Demi Maha Kudus Dia, Demi Maha Kudus Dia. Itulah Namus Besar yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa. Alangkah baiknya kalau aku masih muda, alangkah baiknya jika aku masih hidup ketika kaummu mengusirmu.

"Kalaulah aku masih ada hari engkau mengalaminya, pasti akanku tolong engkau dengan bersungguh-sungguh,"

Kata-kata itu adalah dari bapa saudara Siti Khadijah, Warakah bin Naufal sebagai seorang penganut agama Nasrani yang sangat mengetahui mengenai isi kandungan Kitab Injil.

Kata-katanya itu sebagai mengesahkan mengenai kehadiran malaikat Jibrail dan kebenaran 'berita' yang dibawa oleh Namus itu.

Namus Besar (an-Namus'l-akbar) itu tidak diberikan pengertian tertentu oleh Haekal. Namun beliau menyebut mengikut Orientalis, Montgomery Watt, Namus diambil dari perkataan Yunani, iaitu "Nomos" bererti undang-undang atau kitab Suci yang diwahyukan. Namun bukan dimaksudkan sebagai al-Quran.

Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah

Israk Mikraj daulatkan ketuanan Rasulullah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SECARA umumnya faedah dan maksud terpenting yang dapat dipetik melalui peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah menzahirkan kekuasaan Allah yang meliputi tiap-tiap sesuatu tanpa sebarang batasan.

Di sudut yang lain pula, menzahirkan ketuanan, kemuliaan dan keutamaan kekasih-Nya, Sayyiduna Muhammad SAW berbanding makhluk lain.

Telah thabit melalui riwayat yang sahih bahawa Rasulullah telah diperjalankan ke Masjid al-Aqsa dan di sanalah Baginda menjadi imam kepada sekelian rasul bagi membuktikan keutamaan dan kemuliaannya sebagai penghulu bagi sekelian nabi Allah SWT.

Apabila kita telah mengetahui dan mengakui hakikat tersebut, maka secara tidak langsung kita telah mengikrarkan di dalam diri bahawa kemuliaan Rasulullah itu adalah sentiasa mendahului para rasul yang lain.

Sebarang penghormatan yang dikurniakan ke atas mereka juga adalah terlebih layak dan utama dianugerahkan ke atas Baginda. Maka sesuailah Baginda digelar dengan gelaran penghormatan yang selayaknya dengan kedudukannya sebagai kekasih Allah yang paling agung dalam sejarah umat dan bangsa semenjak kejadian Nabi Adam lagi.

Para ulama yang telah dikurniakan basiroh (pandangan mata hati) oleh Allah telah menyatakan beberapa pendapat yang indah dan menakjubkan berdasarkan peristiwa Baginda diperjalankan ke langit.

Di sisi mereka, perjalanan Baginda ke langit melepasi tingkatan-tingkatan yang ada pada setiap tingkat tersebut para rasul yang mulia bukanlah sekadar melintasi suatu lapisan langit ke satu lapisan yang lain.

Bahkan, ia adalah suatu simbolik ruhiyyah bahawa kemuliaan Baginda itu naik setingkat demi setingkat melebihi kemuliaan para rasul dan nabi yang lain. Demikian juga Baginda naik sehingga ke suatu peringkat yang tidak boleh dinaiki oleh Jibril. Ia bertepatan dengan iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Rasulullah adalah lebih mulia daripada Jibril.

Kewajaran Gelaran Sayyiduna

Di antara cara memelihara adab dengan Baginda ialah dengan menggandingkan namanya dengan sebutan yang mulia seperti Kekasih Allah, Nabi Termulia atau Penghulu yang agung atau menggandingkan nama Nabi dengan lafaz siyadah (ketuanan) seperti Sayyidi atau Sayyiduna yang bermaksud 'Penghuluku' atau 'Penghulu Kami'.

Lafaz penghormatan seumpama ini bukanlah merupakan suatu pelampauan dan berlebih-lebihan dalam memberi penghormatan. Bahkan ia merupakan suatu perkara yang baik yang telah dipetik oleh ulama-ulama tentang keharusannya melalui firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah memberikan khabar gembira kepadamu dengan kelahiran seorang bayi bernama Yahya sebagai membenarkan kalimah Allah, menjadi Sayyid (penghulu), lelaki yang menahan diri dari menurut runtunan nafsu dan sebagai seorang Nabi dari kalangan Nabi-nabi yang soleh. (al-Maidah: 39 )

Berdasarkan ayat di atas, dapat difahami bahawa Allah telah menggelarkan Nabi Yahya sebagai Sayyid. Maka adalah terlebih utama bagi kita menggunakan lafaz 'Sayyiduna' atau 'Tuan' atas Penghulu Sekelian Rasul iaitu Sayyiduna Rasulullah SAW.

Dalam menguatkan lagi pendapat ini, Sheikh al-Islam al-Imam al-Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud yang merupakan seorang Sheikh al-Azhar yang terunggul di kurun ini menyatakan di dalam fatwanya yang bermaksud: "Adalah Rasulullah merupakan seorang yang tawaduk dan tidak memandang sesuatu melainkan sebagai suatu tanda pengabdian kepada Allah.

"Tatkala Baginda ditanya bagaimana caranya hendak mengucapkan selawat ke atasnya, maka Baginda tidak menyebut lafaz siyadah di dalam selawat tersebut.

"Akan tetapi Baginda tatkala menceritakan tentang nikmat Allah SWT ke atasnya, maka Baginda bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Aku adalah Sayyid (Penghulu Anak-anak Adam) pada hari kiamat dan aku tidaklah berbangga, di tanganku terdapat Liwa' al Hamdi (panji kepujian) dan aku tidaklah hendak berbangga-bangga dengannya. (Fatawa al Imam Abdul Halim Mahmud. Jilid 1, Halaman 270-271)

Di dalam perenggan yang lain pula beliau menyatakan tegahan terhadap orang yang melarang dan melampau-lampau dalam meninggalkan lafaz siyadah dengan katanya: "Maka yang tinggal lagi yang hendak saya nyatakan di sini bahawa sesetengah manusia terlalu melampau dalam meninggalkan lafaz siyadah terhadap Nabi SAW lalu mengharamkan sebutannya.

"Tatkala dia tidak menemui dalil syarak sebagai sandarannya untuk menghukumnya sebagai haram, maka dia pun mencipta hadis-hadis palsu yang secocok dengan hawa nafsunya iaitu mendakwa Rasulullah bersabda: "Janganlah kalian mengucapkan sayyiduna ke atasku di dalam solat".

Sesungguhnya perkataan ini bukanlah hadis dan seperti yang dinyatakan oleh al-Sakhawi dan selainnya dari kalangan ulama-ulama hadis: Hadis ini tidak ditemui asalnya dalam mana-mana kitab hadis." (Fatawa, Jilid 1, Halaman 271)

Demikian juga telah diriwayatkan banyak hadis yang mana Baginda menggelar para sahabat dengan lafaz sayyid. Semua ini secara tidak langsung menggugurkan tuduhan sesetengah pihak bahawa tidak boleh mengucapkan lafaz Sayyiduna pada nama Rasulullah kerana ia terlalu mendewa-dewakannya dan gelaran sayyid hanya untuk Allah.

Di sini dipaparkan beberapa kalam Rasulullah yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai suatu perlampauan dalam memberikan penghormatan:

Pertama: Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa tatkala penghulu bagi kaum Ansar yang bernama Saad ibnu Muaz masuk ke dalam majlis, Rasulullah memerintahkan para sahabat berdiri dengan sabda yang bermaksud: Bangunlah kalian bagi memuliakan Sayyid (penghulu) kalian. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad)

Kedua: Diriwayatkan oleh al-Bukhari bahawa Sayyiduna Umar ra berkata: Abu Bakar adalah Sayyiduna (penghulu kami) dan beliau telah memerdekakan Sayyiduna (Bilal r.a).

Ketiga: Rasulullah SAW bersabda mengenai cucunya al Hasan, maksudnya: Sesungguhnya cucuku ini adalah Sayyid. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al Tirmizi, Abu Daud, al Nasa'i dan Ahmad)

Menunaikan Perintah dan Memelihara Adab

Di antara perkara yang sering dibangkitkan dan menyemarakkan lagi fitnah dalam masyarakat Islam kini adalah pendapat bahawa haram hukumnya mengucapkan lafaz Sayyiduna dalam bacaan tasyahhud ketika solat.

Ada juga pendapat yang lebih melampau daripada itu menyatakan haram dan batal solat seseorang yang mengucapkannya.

Pendapat ini pada hakikatnya dipetik dan dikeluarkan oleh hati-hati yang dikuasai nafsu. Jika dikaji dan diteliti, hanya terdapat dua sebab lemah yang menjadi dalil sandaran mereka dalam memarakkan lagi fitnah dalam kehidupan masyarakat umat Islam:

Pertama: Hadis larangan mengucapkan selawat ke atas nabi di dalam solat.

Kedua: Lafaz selawat yang diajarkan oleh Nabi SAW tiada sebutan Sayyiduna dan Nabi tidak melafazkannya di dalam solat dan tidak dilakukan pula oleh para salaf.

Dalil pertama di atas telah pun kita sebutkan mengenai martabatnya sebagai hadis dusta yang tidak diriwayatkan oleh mana-mana imam dan kitab hadis yang muktabar. Dalil yang kedua pula mengajak kita sama-sama merenung tentang bagaimana para sahabat mempraktikkan persembahan adab terhadap Rasulullah SAW dan mendahulukannya daripada menunaikan perintah.

Ketika Rasulullah gering yang membawa kepada kewafatan, Baginda SAW memerintahkan Abu Bakar r.a menjadi imam solat. Jika diteliti ini adalah suatu perintah. Akan tetapi Abu Bakar tidak berganjak ke depan untuk menjadi imam bagi menunaikan perintah tersebut. Apabila Nabi keluar dari rumahnya, maka Baginda bertanya kepadanya, lalu Abu Bakar menjawab: "Tidaklah harus bagi anak kepada Abu Quhafah (Abu Bakar) mendahului Rasulullah SAW dalam hal ini".

Maka Rasulullah mengakui (taqrir) mengenai perbuatan Abu Bakar tersebut dalam mengutamakan persembahan adabnya.

Telahpun kita ketahui sebelum ini bahawa hadis yang menerangkan kaifiat membaca selawat telah dilafazkan oleh Baginda SAW tanpa lafaz Sayyiduna dan di masa yang sama tidak terdapat dalil menunjukkan Baginda melarang atau mengharamkannya. Maka dari perkara seumpama inilah ulama fiqh menerbitkan kaedah: Al-Tarku La Yuntiju Hukman. Maksudnya, sesuatu yang ditinggalkan tidak dilakukan oleh Nabi SAW tidak membawa hukum haram selagi tiada dalil menunjukkan tentang pengharamannya. Bahkan telah didatangkan pula banyak hadis yang terdapat lafaz Sayyid disifatkan kepada Nabi SAW.

Maka tiada masalah dan terlebih utama sekiranya lafaz Siyadah diharuskan dalam ucapan selawat baik di dalam dan di luar solat sebagai suatu cara mempersembahkan adab dan memuliakan Nabi SAW.

Pendapat yang baik ini disokong dan didokong oleh ramai ulama di antaranya al-'Allamah al-Muhaqqiq al-Usuli Jalaluddin al-Mahalli dengan katanya: "Dan ucapan orang yang solat yang menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhudnya adalah satu tanda menunaikan perintah memuliakan Nabi SAW berdasarkan dalil-dalil dan menambahkan lagi penerangan mengenai realiti kemuliaan Nabi (dengan melafazkan siyadah) adalah suatu adab, maka ucapan sayyiduna lebih utama diucapkan daripada ditinggalkan."

Al Hafiz Ibnu Hajar al-Haitami menaqalkan, sesungguhnya pendapat yang menyatakan bahawa menambah lafaz Sayyiduna dalam tasyahhud membatalkan solat adalah pendapat yang jelas salah, maka hendaklah ia dijauhi.

Semoga kita semua sentiasa ditawfiqkan untuk mendaulatkan ketuanan Nabi kita Muhammad SAW serta memelihara adab-adab dan hak Baginda ke atas kita dengan sesempurna mungkin.

Jakim didik pelapis pendakwah guna kaedah berhikmah

Jakim didik pelapis pendakwah guna kaedah berhikmah

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

MOHD HAMDAN dan Nurhazwani peserta terbaik Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jakim.

Program Kembara Dakwah dedahkan belia strategi terbaik sebar syiar Islam

INGINKAN keputusan cepat, kadangkala terlalu ekstrem dan hendakkan nama menyebabkan gerakan dakwah tidak dapat berkembang dengan berkesan. Suka menuding jari tanpa melakukan apa-apa juga satu ancaman kepada gerakan dakwah.

Justeru, peserta terbaik Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Hamdan Mohd Sharif, 23, mengajak pelbagai persatuan menggembleng tenaga melakukan dakwah ikut kemampuan.

"Semua pihak sama ada individu, persatuan atau organisasi saling melengkapi. Apa juga aliran dakwah, kita boleh menyumbang mengikut kemampuan supaya gerakan ini dilaksanakan dengan berkesan. Islam dan ajarannya tidak boleh dikembangkan kerana sifat nafsi dan suka menunjuk 'akulah yang terbaik' selain tidak mahu memahami orang lain," katanya.

Ahli Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia (Pembina) itu berkata, Kembara Dakwah selama tujuh hari bermula 3 Julai lalu memberi banyak maklumat kepada peserta untuk melihat kaedah dakwah dijalankan Jakim.

Pada masa sama, peserta mengalami serta menghayati pengalaman berdakwah yang dilaksanakan Rasulullah SAW iaitu berjumpa orang di luar sana untuk mengajak kepada kebenaran serta kebaikan.
TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz bermesra dengan peserta Kembara Dakwah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kami bukan saja berpeluang bertemu masyarakat Islam, tetapi juga bermesra dengan bukan Islam dan menjalankan dakwah bil hal iaitu berbuat kebaikan kepada orang lain, berkongsi cerita dan pengalaman dengan saudara baru," katanya.

Program Kembara Dakwah Kepemimpinan Belia Malaysia 2009 dikendalikan Bahagian Dakwah Jakim bertujuan memberi pendedahan kepada kepemimpinan belia mengenai pelaksanaan program dakwah di negara ini.

Pengisian program ialah melatih belia, memantapkan sahsiah meliputi akidah, syariah dan akhlak serta meningkatkan jalinan dua hala antara kepemimpinan belia dalam bidang dakwah bagi meningkatkan syiar Islam.

Seramai 50 peserta menyertai program ini terdiri daripada pemimpin persatuan beliau dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLiUC), Darul Quran Jakim, Kolej Darul Hikmah (KDH), Pembina dan Persatuan Belia Masjid Selangor.

Antara lokasi kembara ialah Pusat Pemantapan Akidah Jelebu, Perkampungan Orang Asli Sungai Melut Sepang, Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Pusba) Sungai Petani dan Masjid Al-Bukhary.

Bagi peserta terbaik wanita pula, Nurhazwani Abd Rani, 23, penyertaan wanita dalam program itu bakal melahirkan lebih ramai pendakwah untuk mendekati kaum sejenis. Mengakui cabaran dihadapi pendakwah wanita, pelajar jurusan Pendidikan itu berkata, ia bukan halangan untuk wanita asal menjaga syariat dan batasan agama.

"Untuk bawa diri di kalangan pendakwah lelaki yang mendominasi bidang ini bukan senang, tetapi Islam tidak mengharamkan pergaulan lelaki dan wanita. Kita juga perlu menjaga batasan supaya niat yang baik tidak bertentangan dengan syariah," katanya.

Beliau berkata, hakikat pendakwah wanita tidak ramai juga menjadikan penyertaan mereka dalam Kembara Dakwah itu penting kerana wanita mudah memahami serta mendampingi belia wanita yang menjadi kumpulan sasaran. Mereka juga menggunakan pendekatan kita mungkin lebih berhikmah.

Nurhazwani berharap persepsi pendakwah milik orang tertentu dan wanita perlu berjubah serta bertudung labuh dapat diperbetulkan kerana setiap yang mengucap syahadah adalah pendakwah.

Katanya, semua mampu menyampaikan dan mengajak kepada kebaikan. Tanggungjawab itu perlu dipikul semua pihak supaya syiar Islam terus disebar dan dihayati dalam kehidupan bermasyarakat.

"Apabila lihat saudara baru saya dapat rasakan mereka ikhlas berpegang kepada Islam dan kisah mereka mendapat hidayah Allah membuatkan saya bersyukur dilahirkan sebagai Muslim," katanya menceritakan pengalaman manis bermesra dengan saudara baru di Pusba.

Pengarah Dakwah Jakim, Abd Halid Sintol, berkata maklum balas diberikan peserta menampakkan usaha menggerakkan belia kepada suasana kemasyarakatan mencapai matlamat. Modul kepemimpinan yang menekankan semangat silaturahim dan ukhuwah berjaya meningkatkan kepemimpinan peserta sebagai pelapis dalam gerakan dakwah masa akan datang.

"Pengisian program juga sesuai dengan mereka termasuk acara serta aktiviti bersifat ilmiah, tazkirah dan bersifat sahsiah seperti gotong-royong dan sukaneka," katanya.

Tanpa menafikan pendekatan dakwah perlu fleksibel, Abd Halid berkata, Jakim sentiasa menganalisis pengisian dan strategi sesuai bagi belia terbabit dakwah.

Katanya, memahami jiwa remaja yang sukakan keseronokan, Bahagian Dakwah Jakim mendedahkan dakwah bukan saja dengan perkataan, malah melalui tindakan yang boleh mempengaruhi sasaran untuk menerima dakwah mereka.

"Belia adalah zaman penuh cabaran dan perlu pendekatan berbeza. Kita guna pendekatan menyeronokkan. Jika jumpa kumpulan remaja, senyum dan beri salam seperti dianjur Islam," katanya.

Beliau berkata, Jakim berhasrat meneruskan Kembara Dakwah dengan pengisian lebih menarik dan penyertaan lebih ramai sebagai pendekatan mengembangkan sayap dakwah kepada kumpulan sasaran remaja dan belia.

Lima pengajaran utama peristiwa Israk Mikraj

Lima pengajaran utama peristiwa Israk Mikraj
Oleh Mohd Ali Muhamad Don

Kembara Rasulullah ke alam lain perkuat lagi akidah mengenai kepercayaan ghaib, perintah solat

KINI selepas 40 tahun angkasawan Niel Amrstrong bersama Apollo 11, menjejakkan kaki ke bulan, masih banyak lagi rahsia langit yang tidak diketahui akal fikiran manusia. Malah akal tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai pancaindera. Justeru, wahyu dan pertolongan Allah SWT saja yang boleh merungkai segala rahsia alam.

Contohnya peristiwa kembara agung Rasulullah SAW ke langit menjadi bukti kepada orang beriman betapa Allah Maha berkuasa menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi perjalanan menakjubkan daripada Masjidil Haram di Makkah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitul Maqdis di Palestin, lalu dibawa naik melepasi langit ke tujuh dalam satu malam bertemu zat Allah SWT Yang Maha Mulia.

Peristiwa menghairankan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud;

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui . (Surah al-Isra':1)

Sehubungan dengan itu, umat Islam diingatkan agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak yang menyelerakan saja tanpa berusaha mengambil pelajaran daripada kejadian itu. Banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Antaranya ialah;

# Wajib beriman dengan perkara ghaib

Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab murtad kerana tidak dapat menerima perkhabaran disampaikan Nabi Muhammad SAW. Mana tidaknya, perjalanan mengambil masa berbulan-bulan ditempuhi Baginda SAW tempoh satu malam. Oleh itu, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar kerana di dunia ini banyak perkara dibuktikan sains wujud tetapi tidak terlihat pandangan mata kasar. Contohnya oksigen dihidu oleh manusia setiap masa masih tidak diketahui hakikat sebenarnya.

# Perintah wajib mengerjakan sembahyang � Ibadah sembahyang yang difardukan Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj adalah suatu kaedah unik yang diadaptasi daripada pelakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT. Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini, dalam apa situasi tanpa sebarang persoalan. Sembahyang lima waktu adalah tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredaan.

# Wajib percaya dengan hari Kiamat

Sayugia difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara, seluruh manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab segala perlakuan ketika di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini di ambang kehancuran. Oleh itu setiap orang Islam bukan saja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari dahsyat itu. Individu Muslim disaran agar meletakkan diri dalam realiti seorang pengembara dalam perjalanan bertemu Allah SWT dengan membawa berbagai bekalan kebajikan semasa di dunia bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju. Disamping itu persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.

# Wajib percaya dengan azab Tuhan

Berbagai-bagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj akibat perbuatan zina, makan riba', ingkar menunaikan kewajipan sembahyang dan membayar zakat, selalu berdusta serta pecah amanah membuktikan betapa Allah SWT Maha Berkuasa menghukum hamba yang berdosa. Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi perbuatan dosa.

Dari sudut lain, gambaran kurnia Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang tinggi terutama ketika berhadapan dengan syaitan.

# Wajib percaya dengan qada dan qadar

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah. Nabi Muhammad SAW sebagai insan biasa juga tak lekang daripada ujian itu. Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan 2 individu penting dalam karier dakwahnya iaitu Aminah isterinya dan Abu Talib bapa saudaranya. Tetapi baginda SAW tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga dipertemukan dengan Kekasihnya di malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan. Maka selayaknya umat Islam mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba-hambanya.

Ada pelbagai lagi iktibar yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan berbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa yang berlaku.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.