Saturday, June 27, 2009

Lupus harta tidak patuh syariah di Baitulmal

Lupus harta tidak patuh syariah di Baitulmal

Oleh MURID FAZLI MUSA

hasil pendapatan syubhah seperti pelaburan Internet yang tidak diluluskan syarak boleh dilupuskan melalui Baitulmal. - Gambar hiasan

Pengurusan harta ummah telah mendapat perhatian sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Tanpa penggunaan istilah Baitulmal secara rasmi, ia telah wujud dari segi pengamalannya sebagai satu tempat khusus untuk menyimpan harta atau khazanah umat Islam pada ketika itu.

Menurut sarjana Islam, Baitulmal telah ditubuhkan secara rasmi pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab dikenali sebagai Diwan dan kemudiannya dinamakan semula sebagai Baitul-Mal lil-Muslimin (rumah harta bagi orang-orang Islam), mempunyai fungsi seperti Perbendaharaan Negara dalam konteks amalan masa kini.

Sumber pendapatan baitulmal terdiri daripada pelbagai bentuk seperti zakat, jizyah, kharaj, harta wakaf, harta rampasan perang, perlombongan, harta karun, lebihan pusaka yang tidak berwaris dan lain-lain lagi termasuk juga sumber-sumber yang diputuskan oleh pemerintah melalui ijtihad dan maslahah.

Di Malaysia, Baitulmal ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan urusan agama di bawah senarai negeri.

MAIN diberikan tanggungjawab untuk menguruskan pentadbiran agama Islam di negeri-negeri terutamanya yang melibatkan soal harta dan kewangan Baitulmal.

Harta tidak patuh syariah merujuk kepada apa-apa jenis harta yang diperolehi hasil daripada transaksi yang bertentangan dengan syariat Islam seperti riba, judi dan rasuah, atau kerana campur aduk antara aktiviti yang dibenarkan oleh syarak dengan yang sebaliknya.

Oleh demikian, harta tidak patuh syariah ini boleh jadi haram, dan dalam keadaan yang tertentu boleh jadi juga syubhah (samar-samar).

Islam melarang umatnya untuk menggunakan tatacara yang tidak berlandaskan syariat Islam dalam pengumpulan harta seperti amalan riba, judi, rasuah dan sebagainya kerana ia boleh membawa kepada impak-impak yang negatif seperti penindasan dan pertelingkahan.

Firman Allah SWT mafhum-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu. (al-Nisa': 29)

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki sebaliknya ia menjadi milik kepada maslahah 'ammah seperti dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan antaranya membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah SWT, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.

Harta tidak patuh syariah juga tidak boleh digunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri atau keluarga. Menurut al-Qaradawi, ia juga haram secara yakin untuk ditinggalkan dalam akaun bank konvensional (dalam kes faedah riba).

Harta tidak patuh syariah ini jika daripada jenis yang boleh dimanfaatkan seperti wang, ia tidak seharusnya dimusnahkan seperti dengan membakar atau mencampakkannya ke dalam laut.

Fuqaha semasa seperti al-Qaradawi menjelaskan bahawa perbuatan ini menyalahi kaedah syarak yang melarang tindakan idha'ah al-mal iaitu mensia-siakan harta tanpa dimanfaatkan oleh sesiapa.

Mungkin ada yang mempertikaikan, bagaimana harta yang haram dan tidak baik ini boleh disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin atau perkara-perkara kebajikan sedangkan kita sendiri tidak tergamak untuk menggunakannya? Menjawab persoalan ini, al-Qaradawi menjelaskan bahawa pada hakikatnya harta tersebut sememangnya haram dan tidak baik dalam konteks orang yang mendapatkannya secara tidak halal.

Sebaliknya, dalam konteks fakir miskin dan juga perkara-perkara kebajikan, ia adalah baik dan harus untuk digunakan.

Institusi Baitulmal dalam konteks maslahat umum ini, boleh berfungsi sebagai pemegang amanah kepada harta tidak patuh syariah untuk dibelanjakan demi kepentingan masyarakat secara umum.

Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 yang telah menetapkan bahawa: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".

Dana Baitulmal sememangnya boleh dinikmati oleh semua golongan termasuk orang bukan Islam. Agihan dalam bentuk maslahah 'ammah terutamanya dalam bentuk infrastruktur seperti pembinaan terusan atau tali air, jalan raya, jambatan, bangunan awam, bandar-bandar baru dan sebagainya boleh dimanfaatkan oleh semua pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Secara prinsipnya, zakat itu diambil daripada orang Islam yang kaya dan diagihkan kepada golongan fakir dari kalangan mereka juga. Bagaimanapun, fuqaha bersepakat mengharuskan pemberian kepada bukan Islam dalam bentuk sedekah yang sunat (tatawwu') pada perkara yang tidak bercanggah dengan kepentingan Islam.

Sehubungan itu, hasil-hasil Baitulmal yang sedemikian bolehlah diberikan kepada golongan fakir dan miskin yang memerlukan bantuan sama ada dari kalangan orang Islam mahupun bukan Islam.

Ini jelas menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang adil dan agama untuk semua. Di samping mengutamakan kepentingan umatnya, ajaran Islam turut menekankan kebajikan penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam dalam menikmati manfaat daripada dana umat Islam seperti dana baitulmal, sedekah, kemudahan awam dan sebagainya.

Didapati ramai dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita kebuntuan atau tidak sedar akan kaedah penjernihan yang sepatutnya dilakukan apabila terlibat dengan penghasilan wang tidak patuh syariah terutamanya wang riba hasil simpanan di bank-bank konvensional dan juga sekuriti-sekuriti tidak patuh syariah.

Alternatif-alternatif dalam sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, takaful, al-rahnu dan sebagainya telah tersedia di hadapan kita. Sekiranya masih terjebak juga dengan aktiviti tidak patuh syariah, kaedah melupuskan hasilnya juga telah diterangkan secara jelas oleh ulama.

Dalam konteks ini, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) serta agensi lain sedang giat mempromosikan penyaluran wang tidak patuh syariah ke Baitulmal demi pembangunan ummah. Antara program pentarbiahan terkini yang akan diadakan ialah penganjuran Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 1430H/2009M yang akan diadakan hari ini dan esok di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur oleh Jawhar dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Al-Khansa penyair tersohor

Al-Khansa penyair tersohor

TUMADHAR binti Amru yang lebih terkenal dengan gelaran al-Khansa. Dia merupakan seorang penyair tersohor dalam kesusasteraan Arab.

Al-Khansa berasal dari keturunan Muzar dan mempunyai dua saudara lelaki iaitu Muawiyah dan Sakhr. Ayah al-Khansa ialah ketua keturunan Muzar.

Ayahnya telah memberikan nama Tumadhar kepadanya kerana memiliki kulit yang putih melepak dan cantik. Ini adalah kerana masyarakat Arab pada ketika itu, menamakan anak perempuan mereka yang kulit putihnya dengan gelaran Tumadhar.

Al-Khansa merupakan seorang wanita yang sempurna akal dan jiwanya. Dia merupakan seorang fasih berbicara dan bijaksana dalam menyusun perkataan dalam ucapannya.

Kedua-dua saudara lelaki dan ayahnya selalu memuji kepintaran dan kebijaksanaan al-Khansa dalam berbicara. Al-Khansa pula sangat menyayangi kedua saudara lelakinya dan bangga dengan kemampuan fizikal dan mental yang dimiliki oleh mereka berdua.

Al-Khansa berkahwin dengan Rawahah bin Abdul Aziz dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdullah. Walau bagaimanapun, usia pernikahan itu tidak bertahan lama apabila suaminya meninggal pada usia muda.

Kemudian dia bernikah pula dengan seorang pemuda bernama Abdul Azza. Hidup menjadi malang kerana Abdul Azza adalah seorang yang boros dan suka berjudi.

Akhirnya keluarga al-Khansa tidak memiliki apa-apa akibat sikap suaminya yang suka berjudi sehingga habis semua harta bendanya.

"Saya mahu keluar dari rumah ini. Tak ada wang atau harta yang boleh saya gunakan untuk berjudi," kata Abdul Azza pada suatu hari.

"Jangan tinggalkan kami. Saya akan pergi berjumpa dengan Sakhr untuk meminta bantuan wang darinya," pujuk al-Khansa kepada suaminya yang sudah membungkus pakaiannya.

"Baiklah. Saya akan tinggal di sini jika kamu pulang dengan wang nanti," Abdul Azza tidak jadi keluar dari rumahnya.

Al-Khansa berjumpa Sakhr dan mengadukan sikap suaminya yang suka berjudi sehingga mereka tidak memiliki apa-apa harta benda. Sakhr yang simpati dengan saudara perempuannya akhirnya memberikan separuh dari hartanya kepada al-Khansa bagi membantunya.

Namun sikap suaminya yang suka berjudi masih juga tidak berubah. Abdul Azza berjudi lagi sehingga harta yang diberikan oleh Sakhr juga habis.

Al-Khansa berjumpa Sakhr buat kali kedua bagi memohon bantuan kewangan dan sekali lagi dia memberikan separuh lagi hartanya kepada al-Khansa untuk membantunya. Harta yang diberikan oleh Sakhr habis digunakan oleh Abdul Azza bagi berjudi sehingga keluarga al-Khansa tidak memiliki apa-apa.

"Suami al-Khansa itu suka berjudi. Semua bantuan kewangan yang diberikan kepada al-Khansa tidak ada faedah selagi suaminya tak berhenti bermain judi.

"Berikanlah satu perlima harta sahaja daripada harta kamu jika kita masih bersaudara dengan al-Khansa. Saya yakin wang itu pun akan dihabiskan oleh suaminya untuk berjudi.

"Kebaikan dan kejahatan ada pada diri suaminya," nasihat isteri Sakhr kepada Sakhr apabila al-Khansa datang lagi buat kali ketiga bagi mendapatkan bantuan kewangan.

"Al-Khansa adalah saudara saya. Saya tidak mahu berkira menolongnya. Saya akan bahagikan harta yang ada kepada dua bahagian. Al-Khansa, ambil bahagian yang paling baik bagi diri kamu," Sakhr tidak terpengaruh dengan nasihat isterinya kerana terlalu sayang pada saudara perempuannya.

Abdul Azza akhirnya meninggal dunia tidak berapa lama kemudian. Selepas itu al-Khansa berkahwin dengan Mirdas bin Ali Ameer dan mendapat lagi tiga anak lelaki.

Al-Khansa mula menulis dan membaca syair setelah kematian Muawaiyah. Muawiyah terbunuh dalam pertempuran dengan Hashim dan Zaid dari keturunan Murrah.

Ini menyebabkan Sakhr memikul tanggungjawab menuntut dendam ke atas kematian saudaranya. Sakhr dapat membunuh empat orang lelaki keturunan Murrah untuk membalas dendam ke atas kematian Muawiyah.

Ini merupakan adat yang diamalkan oleh kabilah kaum Arab sebelum kedatangan Islam.

Namun demikian keberanian Sakhr itu telah membawa kepada kematiannya. Ini berlaku apabila Sakhr terpanggil untuk menentang keturunan Ashar yang menyerang orang-orangnya.

Dia mendapat luka akibat tikaman lembing Abu Saur al-Asadi yang menentangnya dalam serangan itu. Luka itu sembuh pada luaran tetapi Sakhr tidak sedar pendarahan dalaman badannya telah meragut nyawanya tiga tahun kemudian.

Al-Khansa sedih dan sayu dengan kematian saudara lelaki yang disayanginya. Dia mula menulis pelbagai syair yang ditujukan khas buat Sakhr untuk menyatakan kesedihan dan duka citanya di atas kehilangan Sakhr.

Akhirnya syair-syair itu menjadi syair yang paling terkenal dalam bidang syair duka cita dan kesedihan. Di antara syair yang bagus yang al-Khansa ciptakan adalah:

Kedua mataku menangis dan tiada akan membeku

Bagaimana mata tidak menangis untuk Shakhr yang mulia

Bagaimana mata tidak menangis untuk sang pemberani

Bagaimana mata tidak menangis untuk seorang pemuda yang luhur

Bagaimana mata tidak menangis untuk seorang ketua kabilah yang gagah

Pada suatu hari al-Khansa datang bersama kaumnya dari keturunan Salim berjumpa dengan nabi Muhammad untuk memeluk agama Islam. Nabi selalu meminta al-Khansa membaca syairnya. Nabi telah memuliakan al-Khansa sebagai pakar dalam bidang syair dalam satu pertemuannya dengan Adi bin Hatim.

"Ya Rasulullah, sesungguhnya antara kami ada orang yang pakar dalam syair, ada juga orang yang paling dermawan di antara manusia dan orang yang pakar dalam menunggang kuda," kata Adi bin Hatim kepada nabi yang sedang duduk di rumahnya.

"Siapakah mereka?" tanya nabi.

"Orang yang pakar bersyair ialah Qais bin Hajar, manakala orang yang paling dermawan ialah Hatim bin Sa'ad (ayah Adi) dan orang yang pakar dalam menunggang kuda ialah Amru bin Maarib," jelas Adi bin Hatim dengan bangga.

"Tidak benar apa yang kamu ucapkan tadi. Orang yang pakar bersyair ialah al-Khansa binti Amru, orang yang paling dermawan ialah Muhammad bin Abdullah dan orang yang pakar dalam menunggang kuda ialah Ali bin Abu Talib," kata nabi setelah mendengar penerangan Adi bin Hatim itu.

Furuu’ Al Massa il buah tangan terbaru Abu Hassan

Furuu’ Al Massa il buah tangan terbaru Abu Hassan

BENARLAH bagai dikata menerusi pepatah berbahasa Inggeris, Don't judge a book by it's cover.

Pada deretan kemas buku-buku agama koleksi peribadi Datuk Abu Hassan Din al-hafiz yang diletakkan di rak kayu sebelah meja komputer pada salah sebuah ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu, selain koleksi buku-buku Arab, rupa-rupanya terselit sebuah kitab lama yang bukan sebarangan kitab.

Akui Hassan, kitab berwarna kuning dalam bahasa Melayu klasik yang ditulis dengan tulisan Jawi lama itu, tidak lebih seperti kitab-kitab lain yang pernah dibaca sebelum ini.

Lantaran itulah, kitab itu sudah lama terperap sebagai sebahagian daripada koleksi khazanah ilmu malah jarang sekali dibuka untuk tujuan rujukan. Tidak hairanlah, jika dikatakan empunya milik kitab lama ini juga tidak mengetahui bila dan di mana ia diperoleh.

"Tetapi entah macam mana, bila hendak merujuk tentang satu masalah, saya dapati permasalahan yang cuba dicari itu tidak ada di dalam kitab-kitab Arab dan tanpa disengajakan, tangan saya tercapai dan terbuka kitab Furuu' Al Massa il ini. Kebetulan pula di dalamnya ada mengenai masalah yang saya cari itu.

"Sejak itu, minat membuat rujukan berkaitan masalah fikah mula berubah iaitu kalau dahulu lebih kepada kitab-kitab bahasa Arab, kini beralih kepada kitab-kitab hasil ulama nusantara terutamanya buku Furuu' Al Massa il yang telah diterjemahkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah Fatani, seorang ulama Melayu yang tersohor suatu masa dahulu.

"Semakin lama saya tatap buku ini, saya dapati ia mempunyai satu khazanah ilmu yang amat bernilai walaupun ia hanya sebuah kitab lama yang telah dialihbahasakan daripada kitab asalnya yang berbahasa Arab.

"Saya dapati isi kandungannya amat padat sekali, walaupun ia ditulis beratus tahun yang lalu. Tambah pula isu perbahasannya masih relevan membicarakan permasalahan semasa yang timbul pada hari ini," jelas Abu Hassan mengenai kerja penulisan terbarunya itu.

Menurut beliau lagi, kitab itu merupakan sebuah karya terjemahan dalam bentuk soal jawab yang menyentuh soal-soal syariat yang merangkumi aspek-aspek ibadat, munakahat, muamalat dan jinayat, cuma bezanya ia ditulis dengan menggunakan bahasa Jawi lama yang hanya boleh difahami segelintir orang tertentu sahaja.

"Akhirnya dengan kehendak Allah jua, terdetik persoalan di hati saya, kenapa kitab yang seindah ini, disimpan hanya untuk menjadi tatapan dan rujukan golongan tertentu sahaja.

"Alangkah baiknya sekiranya kitab yang bermutu seperti ini dapat dimanfaat oleh generasi masa kini, khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi dan ditatapi bersama.

"Maka timbullah keinginan serta membulatkan tekad saya untuk menyusun semula atau memodenkan kitab tersebut dengan gaya bahasa masa kini untuk memudahkan generasi hari ini membaca dan memahaminya, khususnya bagi mereka yang sentiasa dahagakan ilmu.

"Cuma persoalannya, oleh kerana penulisnya telah lama kembali ke rahmatullah, kepada siapakah sepatutnya saya memohon untuk mendapatkan kebenaran dan keizinan bagi menyalin semula kitab tersebut, sedangkan penulis asalnya dan berkemungkinan para warisnya bukan dari negara ini?," cerita beliau lagi.

Kepada Allah diserahkan segalanya, Abu Hassan segera melaksanakan beberapa kali solat sunat Istikharah dan akhirnya terbukalah hati beliau untuk meneruskan cita-cita, menyalin semula serta memodenkan kitab ini dalam susunan bahasa yang mudah difahami tanpa terlebih dahulu mendapat restu dan keizinan daripada para warisnya. Apa yang beliau harapkan, sekiranya usaha ini ada ganjarannya, maka ganjarannya akan turut dikongsi bersama oleh penulis asalnya.

Kata Abu Hassan, hanya dengan cara ini sahaja beliau berkeyakinan akan dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini yang berminat untuk mendalam urusan agama mereka.

Akhirnya pada hari Rabu tanggal 23 Julai 2003 bersamaan 23 Jamadilawal 1424, tangan Abu Hassan mula mengetuk kekunci komputer bagi mencoret semula tinta pujangga yang hampir pudar ditelan masa, sekali gus bererti beliau mengambil masa selama hampir dua tahun untuk menyalin semula kitab tersebut.

"Jangka masa yang begitu lama adalah disebabkan kesibukan tugas harian saya, di samping kesukaran untuk memahami susunan bahasanya.

"Untuk menyelami ke dasar maksud dan mafhumnya, terkadang satu soalan dan jawapannya mengambil masa sehari suntuk untuk memahaminya, malah ada yang terpaksa saya tinggalkan terus kerana tidak dapat hendak memahami maksud soalan maupun jawapannya.

"Di sesetengah tempat pula, ada yang saya terpaksa tokok tambah sedikit penjelasan dan huraian dengan menggunakan huruf condong agar ia lebih jelas dan mudah difahami. Ada sesetengah soalan dan jawapannya pula terpaksa diubah atau dirombak supaya apa yang dibicarakan itu tersusun kemas," kata Abu Hassan tentang buku yang dijangka berada di pasaran pada Julai ini. Insya-Allah.

Jelas Abu Hassan lagi, di awal penyiapan kitab ini, beliau tidak memikirkan sangat tentang penerbit untuk kitab ini. Yang penting, beliau mahukan kandungannya itu dikongsi umat Islam. Namun apabila buku tersebut hampir siap iaitu sekitar 2005, beliau mula memikirkan tentang penerbit.

Kebetulan pula kerjasama di antara beliau dengan sebuah syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. sudah lama bermula, atas platform penerbitan cakera padat.

Siapa sangka usaha terbaru beliau itu telah menarik minat Telaga Biru, lantas persetujuan kerjasama termeterai. Kini, ia sudah berada di peringkat akhir penyiapan.

Ilmu akidah bersumber karya ulama silam Melayu

Ilmu akidah bersumber karya ulama silam Melayu

SHeikh Nuruddin Ar-Raniri antara ulama yang terawal mengarang ilmu akidah di alam Melayu pada abad ke-16.


Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH



ILMU Aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah sangat luas jika dibicarakan dari sumber-sumber asalnya yang meliputi berpuluh-puluh, beratus-ratus bahkan ribuan kitab.

Sebahagian kecil sejarah ringkas Ilmu Tauhid di Dunia Melayu dalam beberapa judul penting yang telah ditulis oleh para ulama Dunia Melayu, telah penulis perkenalkan dalam ruangan-ruangan sebelum ini dan dimuatkan juga dalam buku Faridatul Faraid, Sheikh Ahmad al-Fathani.

Maka dirasakan tidak perlu ia diulang perkara yang sama. Oleh itu, untuk perbicaraan ini, penulis hanya mengehadkan kepada sumber-sumber tradisional karya ulama dunia Melayu sahaja.

Senarai kitab akidah ulama dunia Melayu


Sebelum memasuki sejarah penulisan akidah Islami yang berhaluan Ahlus Sunnah wal Jamaah di Dunia Melayu, terlebih dahulu ada baiknya penulis senaraikan pelbagai judul kitab yang dikarang oleh ulama-ulama silam kita.

Karya-karya akidah itu dapat dibahagi kepada empat corak iaitu:

lKarya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Melayu.

lKarya ilmu tauhid yang khas membicarakan tentang itu yang ditulis dalam bahasa Arab.


lKarya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu.

lKarya tauhid yang ditulis dalam karya ilmu fiqh atau tasauf yang diletakkan di bahagian permulaan kitab yang ditulis dalam bahasa Arab.


Daripada keterangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu berkebolehan mengarang kitab-kitab dalam bentuk bahasa Arab yang setaraf dengan orang-orang Arab sendiri.

Bahawa demikian pentingnya ilmu tauhid (akidah) sehingga dalam perbicaraan mengenai fiqh atau tasauf pun masih juga membicarakan perkara akidah.

Disimpulkan bahawa ulama silam Dunia Melayu sependapat bahawa “Mengenal Allah dan Rasul-Nya melalui akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah adalah wajib, mendapat tempat yang pertama dan utama dari ilmu-ilmu lainnya”.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al Fathani dalam karyanya Jumanatut Tauhid dalam bentuk syair menulis, maksudnya: “Dan sesudah itu maka Ilmu Tauhid itu pada pelbagai ilmu, seumpama matahari di antara sekelian bintang”.

Adapun senarai kitab akidah yang disenaraikan tersebut dapat dijelaskan sebagai yang berikut:

i. Karya Ilmu Tauhid Dalam Bahasa Melayu

Antara karya-karya yang berkaitan untuk bahagian ini telah ditemui agak banyak. Antaranya ialah:

lIlmu Tauhid karya Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) yang ditulis dalam tahun 1032 H (kira-kira 1622 M),


lDurarul Faraid bisyarhil ‘Aqaid karya Sheikh Nuruddin ar-Raniri, tahun penulisan 1045 H (kira-kira bersamaan 1635 M).


lBidayatul Hidayah karya Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, tahun penulisan 1170 H (kira-kira 1757 M).

lZahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1178 H (kira-kira 1764 M).

lTuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imanil Mu’minin wa Yufsiduhu min Riddatil Murtaddin karya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, tahun penulisan 1188 H (kira-kira 1774 M).

lKifayatul Mubtadi fi Ushuli I’tiqadil Mursyidin, atau dengan judul lain iaitu Irsyadu Athfalil Mubtadi-in fi ‘Aqaidid Din wa Ad’iyah an Nafi’ah ad Din karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).

lRisalatu Ta’alluqi bi Kalimatil Iman karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

lDhiyaul Murid fi Ma’rifati Kalimatit Tauhid karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (tiada disebut tahun penulisan).

lAd Durruth Tsamin fi ‘Aqaidil Mu’minin karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1232 H (kira-kira 1817 M).

l‘Iqdatul Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M).

lWarduz Zawahir li Hilli Alfazhi ‘Iqdil Jawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1245 H (kira-kira 1831 M) dan banyak lagi yang tidak dapat disenaraikan kesemuanya.

ii. Karya Ilmu Tauhid Yang Khas Yang Membicarakan Tentang Itu Yang Ditulis Dalam Bahasa Arab

Kitab-kitab Ilmu Tauhid yang ditulis oleh ulama silam Dunia Melayu dalam bentuk bahasa Arab tidaklah sebanyak seperti yang ditulis dalam bahasa Melayu. Di antara yang dapat dicatat disenaraikan seperti berikut:

lJumanatut Tauhid karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).

lMunjiatul ‘Awam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1293 H (kira-kira 1876 M).

lSabilus Salam atau dengan judul yang lain Minhajus Salam karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1306 H (kira-kira 1888 M).

lFat-hul Majid fi Syarhid Durril Farid fi ‘Ilmit Tauhid karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1294 H (kira-kira 1877 M).

lNuruzh Zhalam ‘alal Manzhumati al-Musammah bi ‘Aqidatil ‘Awam karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).

lSyarhul Futuhatil Madaniyah fisy Syu’bil Imaniyah karya Sheikh Muhammad Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani, tanpa menyebut tahun penulisan.

Perlu penulis sebutkan bahawa selain Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Nawawi al-Bantani, terdapat beberapa ulama Dunia Melayu yang menjalankan aktivitinya di Mekah yang juga meninggalkan beberapa karya dalam bahasa Arab termasuk karangan perkara akidah.

Mereka ialah Sheikh Muhammad Mukhtar bin Atarid Bogor, Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau (pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah), Sheikh Abdul Hamid Kudus (juga pernah menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafiie di Mekah menggantikan Sheikh Ahmad Khatib Minangkabau).

iii. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Melayu)

Sebagai petanda bahawa perkara akidah tradisional menurut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berpunca dari Sheikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi sangat penting, maka ulama-ulama Dunia Melayu dalam kitab-kitab fikah yang dikarang terlebih dahulu menulis tentang akidah tersebut di bahagian awal karya fikah berkenaan.

Demikian juga dilakukan terhadap kitab-kitab tasauf. Di antara kitab-kitab fikah ataupun tasauf yang didahului dengan ilmu akidah di antaranya:

lPada bahagian awal Hidayatus Salikin karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1192 H (kira-kira 1778 M).

lSiyarus Salikin (jilid 1) karya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, tahun penulisan 1194 H (kira-kira 1780 M).

lHidayatul Muta’allim wa ‘Umdatul Mu’allim karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1244 H (kira-kira 1828 M).

lFathul Mannan li Shafwatiz Zubad karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1249 H (kira-kira 1833 M).

lAl-Jawahirus Saniyah fi Syarhil ‘Aqaidid Diniyah karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).

lSullamul Mubtadi fi Ma’rifatil Muhtadi karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1252 H (kira-kira 1836 M).

lFuru’ul Masail wa Wushulul Washail karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tahun penulisan 1254 -1257 H (kira-kira 1838-1841 M).

lMathla’ul Badrain wa Majma’ul Bahrain karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1303 H (kira-kira 1885 M).

lWusyahul Afrah wa Ashbahul Falah karya Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, tahun penulisan 1313 H (kira-kira 1895 H).

lBahjatul Mubtadin wa Farhatul Mujtahidin karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1310 H (kira-kira 1892 M).

l‘Unwanul Falah wa ‘Unfuwanus Shalah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1319 H (kira-kira 1902 M) dan


lDi bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah karya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, tahun penulisan 1323 H (kira-kira 1905 M).

iv. Karya Tauhid Yang Ditulis Dalam Karya Ilmu Fiqh Yang Diletakkan Di Bahagian Permulaan Kitab (Dalam Bahasa Arab)

Di bahagian ini hanya dapat disenaraikan beberapa karya Sheikh Nawawi al-Bantani sebagai contoh. Hal ini disebabkan kurang mendapat maklumat dan sedikit sekali ulama silam Dunia Melayu melakukannya.

Di antara kitab-kitab karya Sheikh Nawawi al-Bantani tersebut ialah:

l Di bahagian awal Syarah Sullamul Munajah, Mirqatu Shu’udit Tashdiq fi Syarhi Sullamit Taufiq, dan Ats Tsimarul Yani’ah fir Riyadhil Badi’ah, yang kesemuanya kitab tersebut tiada dinyatakan tahun penulisan.

Sebuah lagi adalah di bahagian awal kitab Syarah Kasyifatis Saja ‘ala Safinatin Naja fi Ushuliddin wal Fiqh, tahun penulisan 1277 H (kira-kira 1860 M).

Demikianlah senarai ringkas karya-karya ulama silam Dunia Melayu yang membahas perkara akidah Islamiah yang sekali gus dari tahun-tahun penulisan. Dengan ini dapat kita ketahui bahawa ilmu tersebut telah ditulis bersama-bersama dengan ilmu-ilmu keislaman di bidang lainnya, yang dapat kita kaji sejak abad ke-16 Masihi lagi.

Kita berkeyakinan bahawa ilmu-ilmu yang membahas perkara akidah telah sampai di rantau ini dibawa serentak dengan kedatangan agama Islam itu sendiri.

SUKATAN PELAJARAN ILMU TAUHID TRADISIONAL DI DUNIA MELAYU

Dalam dunia pendidikan moden, kita mengenal istilah sukatan pelajaran atau kurikulum. Walaupun istilah tersebut dalam pendidikan tradisional tidak diperkenalkan secara meluas, namun dari karya-karya peninggalan mereka dapat kita mengerti bahawa hal itu telah berlaku sejak lama di Dunia Melayu.

Kurikulum pelajaran tauhid secara tradisional dapat dibahagi kepada berikut, iaitu: Peringkat Awal/Permulaan, Peringkat Menengah dan Atas dan Peringkat Pembahasan dan Penyelidikan. Peringkat-peringkat tersebut dapat dibicarakan satu persatu bahagiannya sebagai berikut:

I. Peringkat Awal/Permulaan

Dimaksudkan dengan Peringkat Awal / Permulaan ialah orang-orang yang baru memasuki pelajaran Ilmu Tauhid dan tidak terikat dengan umur.

Adakalanya seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun atau seorang yang telah tua hingga melebihi 40 tahun mereka wajib diberi pengertian asas tauhid dengan cara menghafal.

Bezanya hanyalah cara menyampaikannya sahaja, tentu saja tidak sama menerapkannya antara seorang kanak-kanak dengan seorang yang telah berumur.

Untuk peringkat ini Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani sekurang-kurangnya telah menyusun dua kitab Ilmu Tauhid iaitu Irsyadul Ithfal dan ‘Iqdatul Jawahir.

‘Iqdatul Jawahir tersebut selain merupakan asas akidah, dapat juga digunakan sebagai penolong ke arah sastera klasik kerana ia ditulis dalam bentuk syair dua bait, dua bait tak ubahnya seperti ‘Gurindam Dua Belas’ gubahan Raja Ali Haji dari Riau.

Barangkali gaya bahasa sastera Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani seperti tersebut telah mempengaruhi sasterawan yang berasal dari Riau itu. Ini kerana tidak dapat dinafikan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah termasuk salah seorang guru kepada Raja Ali Haji sewaktu dia ke Mekah dalam tahun 1245 H (kira-kira 1831 M), iaitu tahun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan karya beliau ‘Iqdatul Jawahir.

Selain mengarang dua kitab dalam bahasa Melayu untuk peringkat ini, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menekankan supaya kanak-kanak digalakkan menghafal akidah berbentuk dalam bahasa Arab.

Hal ini disedari beliau kerana untuk pengiktirafan menjadi seorang ulama peringkat antarabangsa adalah dimestikan menguasai bahasa Arab dalam pelbagai bentuk keilmuannya.

Ada empat karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk peringkat ini, iaitu dua dalam bahasa Arab dan dua dalam bahasa Melayu.

Judul kitab dalam bahasa Arab ialah Jumanatut Tauhid dan Munjiatul ‘Awam. Kedua-duanya ditulis di Mesir dan telah diuji oleh pengarangnya mengajar kedua-dua kitab itu di Masjid Jamek Azhar, Mesir kepada orang-orang yang bukan berasal dari Dunia Melayu.

Dua karya Sheikh Ahmad al-Fathani untuk Peringkat Awal dalam bahasa Melayu pula ialah An Nurul Mubin dan ‘Aqidah Ushuluddin Pendek.

Dalam kedua-dua kitab kecil tersebut, beliau menyimpulkan seluruh akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk kanak-kanak dan orang awam adalah meliputi beberapa perkara berikut, antaranya: tentang rukun Islam, rukun iman, Sifat Kamalat yang wajib bagi Allah ada 13 sifat, demikian juga lawannya, kemudian ditambah lagi tujuh sifat yang dinamakan Sifat Ma’nawiyah dan sebagainya yang banyak tidak dapat dimuatkan keseluruhannya di sini.

Dua karya yang beliau tulis dalam bahasa Arab yang berbentuk syair pula. Kandungannya jauh lebih lengkap daripada yang ditulis dalam bahasa Melayu. Hal ini dapat dimaklumi kerana kedua-dua kitab bahasa Arab itu adalah untuk diajar di pondok-pondok yang bercorak pengkaderan bukan untuk orang awam.

Dari segi akidah jelas mencerminkan suatu ajaran yang dapat dipertanggungjawabkan. Ditinjau dari segi bahasa Arab, Sheikh Ahmad al-Fathani nampaknya berusaha supaya dari peringkat kanak-kanak lagi perlu diajar bahasa Arab yang begitu tinggi hingga sampai kepada gaya bahasa sasteranya.

Ditinjau dari segi kelengkapan kandungan, sebagai contoh seperti tertulis dalam Jumanatut Tauhid pada bait pertama (tidak dapat dipaparkan contoh dalam bahasa Arab) iaitu, maksudnya, “bahawa wajib memelihara kulliyat lima atau enam perkara, iaitu: agama Islam, diri, harta, nasab, kehormatan, dan akal”.

Pada bait yang lain antaranya ditinjau dari sudut politik, bahawa untuk memelihara yang tersebut itu adalah “menghendaki kepada pentadbiran yang baik pula”.

Politik yang baik dan pentadbiran yang baik menurut Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya yang lain ialah menurut yang telah diperintahkan Allah kepada para RasulNya. Diakui atau tidak ketokohan ulama kita ini mengkaderkan tokoh-tokoh politik di Dunia Melayu melalui akidah Islamiah yang berkesinambungan memerlukan analisis, pengkajian dan pandangan secara jujur secara saksama dan mendalam.

Sebagai bukti, sehingga tertulis dalam buku Kurikulum Bersepadu Seolah Menengah Sejarah Tingkatan 2 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia tahun 1989, halaman 182 sebagai yang berikut: “Di Tanah Melayu pada masa itu, telah ada tokoh yang menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani membentuk sebuah negara Islam. Tokoh tersebut ialah seorang ulama terkenal di Mekah. Beliau ialah Sheikh Haji Wan Ahmad bin Haji Wan Muhammad Zain yang berasal dari Patani. Beliau menganjurkan agar negeri Kelantan dan Patani bersatu untuk menentang Siam dan membentuk sebuah kerajaan Islam yang akan dilindungi oleh Empayar Turki”.

Di bahagian akhir kitab Jumanatut Tauhid diperlengkapkan dengan beberapa bait pengertian akidah yang bersangkut paut dengan tasauf. Untuk melengkapi akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah di peringkat awal sebagai pengkaderan di pengajian pondok tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis di dalam Munjiyatul ‘Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam dengan beberapa bait tentang tanda-tanda kiamat.

Penutup

Seterusnya untuk dua peringkat yang tidak dibicarakan lagi iaitu peringkat Menengah/atas dan peringkat perbahasan/ penyelidikan dalam sukatan ilmu tauhid tradisonal di Alam Melayu ini akan disambung perbicaraannya pada ruangan yang sama pada minggu hadapan.

Untuk bahagian pertama ini, dapat disimpulkan bahawa ulama-ulama silam Dunia Melayu yang dapat dipercayai dan dipertanggungjawabkan ilmunya di bidang akidah Islamiah telah berhasil mengarang ilmu tersebut dalam banyak judul kitab, sama ada dalam bahasa Melayu mahupun dalam bahasa Arab.

Malahan terdapat beberapa judul kitab akidah yang ditulis dalam bahasa Arab dapat diajarkan di luar Dunia Melayu, termasuk orang-orang Arab sendiri menggunakan karya ulama Melayu tersebut.

Nabi beruzlah daripada berhala di Kaabah

Nabi beruzlah daripada berhala di Kaabah

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

DI zaman arab jahiliah, Kaabah dicemari dengan beratus-ratus berhala pelbagai bentuk tetapi sehingga kini Rumah Allah itu bersih dan menjadi destinasi utama umat Islam mendekatkan diri kepada Allah.

TAHUKAH anda apa yang dimaksudkan dengan dosa warisan (Original sins) yang dihukum kepada umat manusia, yang kemudiannya ditebus oleh Nabi Isa a.s dalam ajaran Kristian?

Dosa itu dianggap yang paling berat kerana akibat kesalahan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa telah menyebabkan manusia tidak lagi berpeluang menemui tuhan, iaitu Allah.

Maka jangan salahkan manusia apabila mereka akhirnya menyembah patung dan berhala kerana semua itu merupakan manifestasi mereka hendak menemui dan mengenali tuhan.

Ini membawakan mereka mempunyai definisi mengenai wahyu yang sangat berbeza daripada apa yang Islam tetapkan mengikut landasan al-Quran dan hadis.

Ini apabila manusia masih berpeluang untuk menemui tuhan mereka dengan kehadiran Nabi Isa itu sendiri, maka apa sahaja yang keluar dari mulut Nabi itu dikenali sebagai Hazrat Isa atau dikenali sebagai Kalimah Allah turut juga dikenali sebagai wahyu!

Nabi Isa dengan lain perkataan dikatakan mempunyai persamaan taraf dengan al-Quran, kalam Allah sementara Nabi Muhammad SAW tidak lebih hanyalah seorang pelapor-pelapor wahyu (Reporters of the Revelation). Adakah benar begitu?

Sebagai umat Islam pastinya apa yang mereka hujahkan mengenai persoalan wahyu itu sama sekali tidak benar. Walaupun mereka cuba meletakkan kedudukan wahyu yang sebenarnya kononnya adalah lebih tinggi berbanding daripada apa yang ditetapkan dalam Islam.

Namun sebelum kita pergi jauh kepada persoalan wahyu ini, lebih-lebih lagi sejarah penurunan wahyu pertama dari Allah kepada Nabi Muhammad ketika baginda berkhalwat di dalam Gua Hira sebagaimana ada yang bertanyakan mengapa baginda tidak menjadikan Kaabah sebagai medan untuk baginda beruzlah (menyendiri daripada orang lain)?

Jawapannya tentu mudah. Ini apabila Kaabah telah dicemari dengan beratus-ratus patung berhala yang diperbuat daripada ukiran batu dan kayu, yang memenuhi di dalam dan di luar Kaabah selain yang boleh didapati disetiap rumah masyarakat Arab Jahiliah pada masa itu.

Bagaimana dalam keadaan ‘sekotor’ seperti itu membolehkan Nabi Muhammad mampu melakukan uzlah. Walaupun kaum keluarga baginda, Bani Quraisy merupakan penjaga Kaabah yang mampu membersihkan Kaabah dari sebarang upacara-upacara kepercayaan karut dan tahyul, percaya kepada benda-benda yang mati itu. Tetapi baginda dalam usaha untuk mengumpulkan kekuatan iman, sekental moyangnya, Nabi Ibrahim yang mampu memusnahkan kesemua berhala-berhala itu seorang diri.

Persoalan ini juga tidak memberikan jawapan kerana baginda takut terpengaruh dan akhirnya turut sama menyembah berhala jika baginda menjadikan Kaabah, medan untuk baginda beruzlah!

Ini kerana kebencian baginda terhadap berhala-berhala berkenaan sudah tertanam kuat sekian lama dan bagaikan pokok yang sudah berakar umbi, kebencian itu tidak akan mudah dapat dicabut!

Bayangkan sahaja dalam penaklukan atau peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathul Makkah) selepas lapan tahun baginda berhijrah ke Madinah (tahun 8 Hijrah), perkara pertama yang terus baginda lakukan tanpa dapat dihalang-halang lagi ialah memusnahkan kesemua patung-patung berhala itu selain mencium batu hajaral aswad.

Tidak satu pun baginda tinggalkan berhala itu hatta untuk tujuan untuk ditunjukkan kepada anak cucu atau umat Islam yang lain. Sebaik sahaja semua dapat dihancurkan, baginda juga segera membasuh luar dan dalam Kaabah dengan air zamzam seolah-olah Kaabah disamak akibat terkena najis yang berat!

Persoalan kedua mengapa baginda perlu mengasingkan diri, jika segala persoalan mengenai penciptaan alam, kepercayaan terhadap tuhan yang bersarang di minda baginda mungkin dapat dijawab oleh pendita Yahudi atau Nasrani?

Andai ini yang baginda lakukan, tidak dinafikan baginda akan beroleh pelbagai jawapan. Malah baginda akan diajar pelbagai perkara lain termasuk membaca dan menulis demi untuk kebaikan baginda sendiri.

Tetapi telah diaturkan oleh Allah agar pesuruh-Nya ini tidak berguru dengan para pendita tersebut. Jawapannya mudah, supaya kepandaian membaca dan menulis itu kelak tidak akan memakan diri baginda.

Pastinya baginda akan dituduh oleh musuh-musuh Islam sebagai dalang yang menulis semua isi kandungan al-Quran sedangkan kitab itu merupakan kalam-kalam suci dari Allah yang bukan ditulis oleh sesiapa pun terutama sekali Nabi Muhammad.

Walaupun baginda dikurniakan dengan pelbagai kebolehan dan keistimewaan tetapi bukan dalam hal menulis kitab itu.

Lagipun baginda sendiri tidak mengharapkan kebenaran yang dicarinya itu akan terdapat dalam kisah-kisah lama atau dalam tulisan-tulisan para pendita. Melainkan dari alam sekitar itu sendiri, iaitu soal keluasan langit dan bintang-bintang, panahan sinaran bulan dan matahari, padang pasir di kala panas membakar di bawah sinar matahari yang terik dan sebagainya lagi.

Namun, tidak kurang yang berkata, baginda memilih untuk berkhalwat di Gua Hira itu semata-mata berdasarkan atau alamat dari satu mimpi.

Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis dari Saidatina Aishah r.a mengenai peristiwa penurunan wahyu yang pertama ini.

Daripada Aisyah Ummil Mukminin r.a dikhabarkan bahawa beliau telah berkata: “Permulaan wahyu yang dimulakan kepada Rasulullah SAW ialah melalui mimpi yang baik lagi benar di dalam tidur, maka tiadalah Baginda bermimpi satu mimpi melainkan datanglah mimpi itu seperti cahaya subuh. Kemudian disukakan (dikemukakan) kepadanya untuk berkhalwat berasingan diri. Lalu Junjungan berkhalwat di Gua Hira’ untuk bertahannuth (beribadat) di dalamnya, iaitu beribadat dalam masa beberapa malam”.

Dalam peristiwa kedatangan Malaikat Jibril yang membawakan perintah kerasulan dan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad bagaimana baginda diperintahkan oleh Jibrail supaya membaca, “Iqra’!” yang diulang-ulang oleh malaikat itu sebanyak tiga kali. Tetapi baginda hanya dapat menjawab; “Ana biqari!” (Saya tidak tahu! Saya tidak tahu! Saya tidak tahu!)

Persoalannya benarkah baginda tidak tahu?! Adakah baginda benar-benar seorang yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) atau buta huruf?

Sedangkan yang sebenarnya baginda tahu membaca tetapi jawapan baginda kepada Jibrail yang mengatakan tidak tahu bermaksud sebenarnya, baginda tidak tahu apa yang hendak dibaca!

Ikuti selanjutnya persoalan wahyu ini di keluaran akan datang dan perdebatan benarkah Nabi Muhammad seorang yang ummi!

Kaum Musyrikin ingkari perjanjian damai Hudaibiah

Kaum Musyrikin ingkari perjanjian damai Hudaibiah

Oleh Hashim Ahmad

PERJANJIAN damai dimeterai Rasulullah adalah detik penting dalam sejarah perkembangan Islam yang membawa kemakmuran di Kota Makkah dan membolehkan jutaan umat Islam menunaikan umrah dan haji hingga hari ini.

Kebijaksanaan Rasulullah hadapi pengkhianatan Quraisy pikat penduduk Makkah peluk Islam

PERJANJIAN Hudaibiah yang dimeterai antara Nabi Muhammad SAW dan orang Quraisy Makkah pada Zulkaedah tahun keenam Hijrah adalah perjanjian damai pertama dalam sejarah perkembangan Islam.

Perjanjian itu mengambil sempena tempat bernama Hudaibiah di mana rombongan Muslimin yang dipimpin Nabi Muhammad SAW berhenti, sementara menunggu izin daripada penduduk Makkah untuk melakukan haji dan umrah.

Kaum Muslimin tidak jadi menunaikan umrah pada tahun itu tetapi dibenarkan membuat haji pada tahun depan. Sesungguhnya Perjanjian Hudaibiah itu pada lahirnya dianggap merugikan kaum Muslimin dan banyak menguntungkan orang Quraisy.

Bagaimanapun, bagi Nabi Muhammad SAW, perjanjian ini penting untuk faedah jangka panjang kepada kaum Muslimin dan perkembangan Islam. Lima perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu:

l Tidak ada lagi serang menyerang antara kaum Muslimin di Madinah dan kaum Quraisy di Makkah selama 10 tahun.

l Setiap orang yang lari dari Makkah ke Madinah wajib di kembalikan kepada kaum Quraisy di Makkah.

l Setiap orang yang lari dari Madinah ke Makkah tidak boleh dikembalikan ke Madinah.

l Kaum Muslimin pada tahun itu harus pulang ke Madinah dan tidak boleh meneruskan hajat untuk menunaikan haji di Makkah.

l Kaum Muslimin boleh datang ke Makkah untuk mengerjakan haji pada tahun depan, tetapi tidak boleh tinggal di Makkah lebih daripada tempoh menunaikan haji iaitu selama tiga hari. Mereka tidak boleh membawa senjata perang kecuali membawa pedang di dalam sarungnya saja.

Kesan segera daripada perjanjian itu amat menyayat hati kaum Muslimin kerana pada hari itu juga muncul seorang pelarian dari Makkah bernama Abu Jandal bin Suhail yang sudah masuk Islam di Makkah tetapi ditahan oleh orang Quraisy Makkah dan diseksa dalam penjara.

Dia meminta diselamatkan oleh Nabi Muhammad SAW sedangkan tangannya masih terikat dan badannya penuh dengan luka serta calar akibat diseksa orang Quraisy. Dengan serta-merta wakil orang Quraisy menuntut Abu Jandal diserahkan kembali kepada mereka berdasarkan perjanjian Hudaibiah yang baru dimeterai antara mereka.

Walaupun Nabi Muhammad SAW menawarkan wang untuk membeli Abu Jandal dengan tujuan membebaskannya, kaum Musyrikin menolak tawaran itu. Dengan air mata berlinang, Nabi Muhammad SAW serta sahabat terpaksa melepaskan Abu Jandal untuk menunjukkan tanda ikhlas dan jujur kaum Muslimin pada perjanjian yang sudah dipersetujui.

Beberapa hari kemudian, datang pula seorang lelaki yang baru masuk Islam iaitu Abu Basir bersama dua orang lain tetapi Nabi Muhammad SAW juga terpaksa menolak mereka.

Dalam perjalanan ke Makkah, seorang daripada mereka dibunuh oleh orang Quraisy. Lalu Abu Basir dan temannya yang tinggal, dibenar Nabi Muhammad SAW pergi ke satu tempat di pinggir Laut Merah untuk tinggal di sana kerana daerah itu tidak terbabit dengan Perjanjian Hudaibiah.

Tidak lama berselang, muncul kembali Abu Jandal yang dapat meloloskan diri dari tahanan orang Quraisy dan beliau membawa 70 orang Islam bersamanya.

Oleh sebab mereka tidak dibenar tinggal di Madinah, mereka pun bersatu dengan Abu Basir dan berazam menentang orang Quraisy dengan melakukan perang gerila terhadap rombongan dagang mereka yang sering melalui daerah pinggir Laut Merah itu dalam perjalanan ke Syria.

Akhirnya gerombolan mereka bertambah kuat dengan lebih 300 pejuang setiap masa menyerang dan mengganggu perjalanan kafilah dagang kaum Quraisy sehingga akhirnya kemakmuran kota Makkah terhenti dan beransur-ansur menjadi kota mati.

Penduduk Quraisy menjadi gelisah dan hidup mereka tambah terhimpit. Mereka tidak boleh berdagang keluar negeri kerana tidak lagi merasa selamat daripada serangan gerombolan Abu Jandal dan Abu Basir.

Kini mereka sedar bahawa Perjanjian Hudaibiah itu merugikan mereka. Orang yang menyerang mereka bukan dari Madinah dan Nabi SAW tidak boleh dibabitkan dalam perbuatan itu. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW tidak berkuasa menghentikan serangan ke atas kafilah perdagangan Makkah.

Akhirnya, datanglah utusan bangsa Quraisy kepada Nabi SAW meminta supaya fasal dua dan tiga daripada Perjanjian Hudaibiah itu dihapuskan. Mereka juga meminta gerombolan Abu Jandal dan Abu Basir itu dipanggil balik ke Madinah.

Rasulullah SAW menerima baik cadangan itu dan pasukan pejuang pimpinan Abu Jandal dan Abu Basir disatukan dengan kekuatan tentera Muslimin di Madinah sehingga kaum Muslimin merasa lebih kuat dan selamat.

Walaupun fasal dua dan tiga dari perjanjian itu terbatal, kaum Muslimin masih boleh pergi menunaikan haji mulai tahun depan kerana keamanan masih berterusan selama 10 tahun.

Bagaimanapun, pembatalan dua fasal dalam perjanjian itu ditafsirkan kaum Quraisy sebagai kelemahan di pihak Muslimin. Mereka menyangka kaum Muslimin kini takut berperang kerana mungkin mereka merasa lemah dan kecewa oleh perjanjian itu.

Anggapan itu menimbulkan rasa berat di hati mereka sehingga sanggup merancang untuk melanggar perjanjian damai 10 tahun itu. Mereka menyiapkan diri untuk menyerang kaum Muslimin yang dijangka datang menunaikan haji ke Makkah tidak lama lagi.

Pengkhianatan mereka itu dilaporkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kesan balasan tentulah dapat diduga. Ketika Baginda SAW menyiapkan kumpulan kaum Muslimin yang akan berangkat ke Makkah pada musim haji tahun berikutnya, Baginda memperlengkapkan mereka dengan senjata, bukan sekadar untuk perlindungan diri tetapi untuk peperangan yang dijangka berlaku.

Azam Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin kali ini ialah sama ada mereka dibenar menunaikan haji atau akan ditentang oleh kaum Quraisy. Namun mereka akan pergi juga pada tahun itu. Secara kebetulan, kekuatan kaum Muslimin ketika itu sudah besar kerana ramai yang memeluk Islam.

Ini termasuk beberapa pembesar Quraisy seperti Abbas, bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang selama ini memimpin pasukan Quraisy melawan Baginda dan Abu Sufian yang dianggap sebagai ketua besar kaum Quraisy Makkah sesudah kematian Abu Jahal.

Ketika rombongan besar kaum Muslimin hampir sampai ke Makkah, Nabi Muhammad SAW mengirim perutusan yang dituju kepada penduduk kota itu. Pengumuman itu dibuat berdasarkan keyakinan bahawa peperangan akan meletus dan dalam peperangan itu tentu ada jiwa yang terkorban.

Perutusan Nabi SAW itu adalah satu jaminan keselamatan bagi penduduk Makkah dalam pertempuran nanti. Pengumuman itu berbunyi: "Siapa saja yang masuk atau berlindung di rumah Abu Sufian di Makkah akan terlindung daripada serangan kaum Muslimin. Dan siapa yang tinggal di dalam rumah sendiri akan aman. Akan aman juga daripada sebarang bencana siapa yang berlindung dalam Masjidil Haram di sekitar Kaabah."

Nabi Muhammad SAW mempersilakan Abu Sufian sendiri menyampaikan pengumuman itu kepada penduduk Kota Makkah sebelum pasukan besar kaum Muslimin sampai ke sana. Lalu pergilah Abu Sufian bersama beberapa orang pilihannya ke Makkah.

Beliau menyampaikan pengumuman penting itu yang berbunyi: "Wahai penduduk Makkah! Seperti yang kamu tahu, aku sudah memeluk agama Islam. Muhammad akan tiba ke sini sebentar lagi dengan angkatan perang yang besar. Jika kamu masih berazam untuk mempertahankan bumi Makkah daripada kemasukan kaum Muslimin, tiada guna kamu menentang mereka sebab kamu tidak akan berupaya.

"Oleh itu, Muhammad memberi jaminan kepada kamu supaya aku sampaikan. Siapa yang masuk berlindung ke dalam rumahku akan terselamat daripada bencana; siapa yang tinggal dalam rumah sendiri atau berlindung di pekarangan Kaabah (dalam Masjidil Haram juga akan terselamat daripada serangan kaum Muslimin."

Penduduk Makkah yang merasa ketakutan menanti kedatangan tentera Muslimin itu terus merasa lega. Mereka berkumpul dalam Masjidil Haram atau di rumah Abu Sufian. Ramai enggan tinggal di rumah sendiri. Mereka yang enggan tunduk mengambil keputusan melarikan diri keluar Makkah.

Tidak lama kemudian, sampailah kumpulan besar kaum Muslimin yang bersenjata lengkap itu ke kota Makkah. Penentangan hebat yang dibincangkan Nabi Muhammad SAW tidak berlaku. Nabi memasuki Makkah dengan aman.

Seluruh Kota Makkah sunyi sepi dan orang yang kelihatan hanya berpusu-pusu di sekitar Masjidil Haram. Tidak ada seorang pun kelihatan di jalan-jalan kota itu yang mahu menentang kaum Muslimin walaupun pada mulanya mereka berazam untuk menentang habis-habisan.

Selepas Nabi Muhammad SAW dan kaum Muslimin tawaf serta masuk ke dalam Kaabah sambil membersihkan Kaabah daripada segala macam patung berhala yang mengotori kesuciannya selama ini, Baginda pun berdiri pada sebuah tiang masjid dan berkhutbah kepada orang ramai.

Antara isi kandungan khutbah Baginda SAW ialah: "Hai penduduk Kota Makkah. Tindakan apakah yang akan saya lakukan sekarang sesudah mencapai kemenangan atas nama Allah ini. Demikian pertanyaan yang tentu kamu tanyakan dalam hati kamu masing-masing. Tindakan saya sebenarnya lain tidak, hanya supaya kamu pulang ke rumah masing-masing, bebas daripada segala tuntutan dan pembalasan."

Dengan hati yang lega dan puas, penduduk Makkah bersorak menyatakan rasa gembira dan memuji sikap nabi yang tidak diduga mereka sebelum ini. Sejak saat itu berduyun-duyun orang Quraisy memeluk Islam, dari rakyat pada peringkat paling rendah hingga ke peringkat paling tinggi.

Ramailah panglima perang Quraisy yang dahulunya memusuhi Nabi SAW dan kaum Muslimin dengan tulus ikhlas menyerahkan jiwa raga mereka bagi mempertahankan Islam sebagai pahlawan Allah yang riwayat hidup mereka terukir dengan tinta emas dalam sejarah perkembangan Islam dari dulu hingga kini.

Ingat mati ukur persediaan bekalan hidup di akhirat

Ingat mati ukur persediaan bekalan hidup di akhirat

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

RASULULLAH berpesan orang paling cerdik ialah yang sering mengingati kematiannya.

Perbanyak amal untuk mudah hadapi maut, pastikan kehidupan lebih baik selepas itu

KEMATIAN adalah hal yang pasti dan semua manusia akan melaluinya apabila tiba masa. Mungkin kita pernah mengiringi jenazah ahli keluarga, sanak saudara atau rakan dan sudah tentu suasana hiba menyelubungi setiap insan yang menghantar jenazah ke tanah perkuburan.

Mereka yang mati berdepan dengan alam barzakh dan bagi yang hidup, tidak terlintas di sanubari untuk menginsafi diri suatu ketika nanti beginilah keadaan nyawa berpisah daripada jasad.

Sepatutnya saat menziarah jenazah dan mengiringi ke perkuburan membuka ruang keinsafan yang menjurus kepada bermuhasabah demi membetulkan segala dosa silam yang pernah kita lakukan.

Itulah saat paling murni untuk membayangkan apakah persediaan kita menanti saat itu tiba.

Alangkah indahnya jika kematian itu membuahkan keinsafan hakiki lalu menjernihkan lubuk hati setiap pengiring jenazah bahawa inilah hari hamba Allah tadi dan tidak tahu bila pula waktu yang dijanjikan untuk kita.

Saat itu sepatutnya meluaskan pandangan kita terhadap kehidupan yang dilalui apakah ia turut diperlengkapkan dengan perkara wajib dilaksanakan bagi memastikan perjumpaan dengan Allah yang menjadikan atau kehidupan dilalui sebelum ini tidak ada satu pun yang menjanjikan kebaikan untuk akhirat kerana jika itu keadaannya, tibalah masa memperbaiki kelemahan diri seterusnya merencana agenda serta tindakan supaya kita tidak datang ke alam satu lagi dengan tangan kosong.

Justeru, tanpa mengabaikan keperluan hidup di dunia ini, penekanan perlu diberikan kepada matlamat akhir iaitu mencapai kejayaan dan kebahagiaan di akhirat serta termasuk dalam golongan yang akan berbahagia dengan bekalan amalan dibawa.

Pintu taubat sentiasa terbuka dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Mengasihani. Ambil tindakan awal dan mulakan dari sekarang untuk menghasilkan bekalan bagi kehidupan yang sejahtera di akhirat nanti.

Buangkan jauh hasutan yang melalaikan. Jangan fikir hanya kerana diri masih muda, tenaga masih kuat dan wajah belum berkedut, kita masih boleh melambatkan usaha menyediakan bekalan untuk akhirat.

Lihat di sekeliling kerana kita tidak perlu membuat statistik atau perangkaan umur kematian kerana setiap peringkat umur berdepan kematian, baik bayi dalam rahim yang baru dilahirkan, masih belum umur setahun, sudah remaja, dewasa serta yang semakin tua.

Semua tidak dapat lari kerana apabila tiba masanya, tiada siapa boleh menahan, melambatkan atau mempercepatkan. Itu sudah dijelaskan dan difahamkan, malah semua umat Islam yang beriman kepada Allah mengakui hakikatnya.

Oleh itu, beruntung mereka yang sentiasa mengingati kematian dan memastikan setiap saat kehidupan di bumi ini dilalui bagi memenuhi keperluan hidup di dunia dan akhirat.

Keseimbangan memainkan peranan penting tetapi tidak dinafikan agak sukar untuk menyeimbangkan diri memenuhi tanggungjawab di dunia apa lagi akhirat yang menjadi hentian abadi makhluk yang diciptakan Allah ini.

Kata Imam al-Ghazali: "Mengingati kematian itu menghasilkan kemanisan iman sekali gus menguatkan rasa bertuhan dan dekat kepada Allah."

Kelebihan mengingati mati juga akan melembutkan hati serta jiwa yang keras. Percayalah hati kita menjadi lembut apabila sentiasa ingat Allah dan mati.

Dikisahkan, ibu saudara Nabi SAW dan ibu kepada Saidina Zubair Ibnu 'Awwam iaitu Sayyidah Safiyyah binti Abdul Mutalib menceritakan: "Seorang perempuan bertemu Aisyah mengadu mengenai hatinya yang keras dan kusut. Aisyah berkata: Banyakkan mengingati mati, nanti akan lembut dan tenanglah hatimu itu.

"Perempuan itu mengamalkan pesanan Aisyah. Hasilnya, hati perempuan itu tenang dan kembali lembut. Kemudian dia berkunjung semula menemui Aisyah untuk mengucapkan terima kasih."

Demikianlah ceritanya bagaimana hati seseorang yang keras dan tidak tenang dapat dilembutkan dengan mengingati mati. Oleh itu, apabila menghadapi masalah yang menyusahkan hati, ingatlah mati semoga hati menjadi lembut dan bersedia meneruskan kehidupan mencari keredaan Allah.

Jangan jadikan kematian sesuatu yang menakutkan atau menggugat ketenangan jiwa sebaliknya, jadikan mati sebagai janji Allah dan kesenangan untuk mereka yang sentiasa melakukan persediaan menghadapi saat itu.

Jangan tanya bagaimana hendak menghadapi kematian sebaliknya sentiasa memperbanyakkan amalan yang akan memudahkan kita menghadapi saat itu selain memastikan satu kehidupan lebih baik selepas itu.

Sentiasalah mengingati mati dan melakukan persediaan menghadapinya kerana Rasulullah SAW menyatakan orang paling cerdik adalah yang paling banyak mengingati mati.

Muhasabah, empati diri elak perlakuan sakiti insan lain

Muhasabah, empati diri elak perlakuan sakiti insan lain

Oleh Edry Faizal Eddy Yusof

MENJADI kebiasaan manusia untuk menilai diri sendiri dengan pandangan lebih belas kasihan. Henry Wadsworth Longfellow bekata: "Kita menilai diri kita dengan apa yang kita rasa kita mampu lakukan, manakala orang lain menilai kita dengan apa yang sudah kita lakukan."

Pandangan penuh belas kasihan terhadap diri mempunyai kebaikan yang boleh dipacu dalam menyelesaikan banyak konflik sama ada membabitkan perbezaan ideologi, pandangan, kefahaman politik atau agama.

Pembetulan sikap yang diperlukan adalah menjadikan cara memandang diri sendiri sebagai jambatan empati untuk cuba bertindak adil terhadap orang lain. Kita pasti tidak mahu orang memperlakukan sesuatu yang tidak diingini terhadap kita dan begitu juga sebaliknya.

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam mengaplikasikan perkara itu. Pernah suatu hari seorang pemuda berjumpa Rasulullah SAW dan meminta keizinan Baginda untuk berzina. Di kalangan sahabat ada yang memarahi pemuda itu, tetapi Rasulullah SAW mendekatinya. "Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?" soal Baginda kepada pemuda itu.

"Sekali-kali tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda," jawabnya. "Begitu juga kebanyakan manusia. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan terhadap ibu mereka," ujar Rasulullah SAW. "Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap anak perempuanmu?" tanya Rasulullah SAW lagi.

"Sekali-kali tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda," jawabnya. "Begitu juga kebanyakan manusia. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan ke atas anak perempuan mereka.

"Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap kakak atau adik perempuan kamu?" soal Rasulullah SAW kepada pemuda itu lebih lanjut. "Tidak wahai Rasulullah, demi Allah yang menjadikanku sebagai tebusan anda," jawabnya. "Begitu juga kebanyakan manusia. Mereka tidak ingin zina itu terjadi ke atas kakak atau adik perempuan mereka," ujar Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi. "Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap ibu saudaramu?" sambung Rasulullah SAW. "Tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda," jawabnya lagi. "Begitulah juga orang lain. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan terhadap ibu saudara mereka," balas Rasulullah SAW.

Lalu Nabi SAW meletakkan tangan Baginda ke atas dada pemuda itu dan mendoakannya: "Ya Allah, bersihkanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya serta ampun dosa pemuda ini." (Kisah riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya)

Jelas melalui hadis itu, Rasulullah SAW menerbitkan empati pemuda berkenaan untuk menghalangnya daripada merosakkan insan lain. Ada juga hadis lain yang jika difikirkan dengan mendalam, turut mendidik kita untuk belajar berempati terhadap insan lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa saja yang menutupi aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat." (Diriwayatkan Imam Muslim)

Rasulullah SAW memberi peringatan bahawa Allah akan menutupi aib sesiapa yang menutupi aib saudara Muslimnya. Jika direnung lebih mendalam, ia juga boleh difahami Allah tidak akan menutupi aib sesiapa yang suka mendedahkan aib saudaranya.

Peringatan itu sepatutnya menyentak kesedaran. Jika seorang insan tidak mahu aibnya terdedah baik di dunia atau akhirat, ia harus menutupi aib saudaranya . Sekali lagi konsep hukum emas yang dibincangkan diguna pakai.

Dalam berhadapan dengan perbezaan ideologi, kefahaman atau pandangan. Hukum emas empati perlu diamalkan dengan cuba untuk tidak memperlakukan orang lain seperti diri sendiri tidak mahu diperlakukan.

Empati serba sedikit dapat mengendurkan ketegangan dan menumpulkan konflik yang kian tajam. Secara tidak langsung dapat memelihara perhubungan daripada musnah dimamah konflik.

Monday, June 22, 2009

AGAMA : ISNIN 22 JUN 2009

Furuu’ Al Massa il buah tangan terbaru Abu Hassan
BENARLAH bagai dikata menerusi pepatah berbahasa Inggeris, Don't judge a book by it's cover.


Ilmu akidah bersumber karya ulama silam Melayu
Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH


Nabi beruzlah daripada berhala di Kaabah
TAHUKAH anda apa yang dimaksudkan dengan dosa warisan (Original sins)yang dihukum kepada umat manusia, yang kemudiannya ditebus oleh NabiIsa a.s dalam ajaran Kristian?

Kewajipan mencintai Nabi SAW
Berbekalkan keyakinan bahawa manhaj risalah dan dakwah Islamiah yangsebenar adalah berteraskan perasaan cinta dan kasih yang mendalamkepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, ruangan ini pada minggu lepastelah mengimbau mengenai hakikat kasihnya Rasulullah SAW terhadapumatnya dan pengorbanan yang telah Baginda SAW sembahkan sebagai tandacinta dan kasih kepada umatnya.






Melepak, buang masa dibolehkan untuk 5 perkara
GEJALAlepak di kalangan remaja dan warga tua adalah fenomena biasa dalammasyarakat hari ini. Jika remaja semakin ramai mengerumuni kawasankompleks beli-belah, golongan dewasa pula melepak di kedai kopi ataukedai makan.

Islam gariskan pelbagai panduan bantu umat capai kejayaan
BANYAKorang tidak selesa menghadapi kesulitan dan kesusahan, tetapi tidaksedikit pula yang dapat bertahan ketika menghadapi kemudahan ataukesenangan. Ada yang bersabar ketika tidak mempunyai harta, tetapibanyak yang tidak dapat mengendalikan diri apabila diberi hartamelimpah.

Bertunang janji murni ke arah penuhi Sunnah
PERTUNANGANbertujuan memberi kesempatan kepada lelaki dan perempuan lebihmengenali diri serta keluarga masing-masing, bukan tiket untuk bergaulmesra seumpama suami isteri yang sah kerana perhubungan lelaki danwanita mempunyai batasan tertentu.

Dr Fathi arkitek dakwah, gerakan Islam lebih setengah abad
DUNIAdakwah dan gerakan Islam dikejutkan dengan berita kematian Syeikh DrFathi Yakan, 76, pada 13 Jun lalu. Beliau cukup dikenali di seluruhdunia meninggalkan legasi dakwah hebat sehingga idea, gagasan danpemikirannya melahirkan generasi unik Muslim yang mengagumkan.

Sunday, June 21, 2009

AGAMA : AHAD 21 JUN 2009

Punca keruntuhan akhlak
SOALAN: Apakah pandangan ustaz tentang masalah sosial yang berlaku sekarang ini? *HASAN, Seri Kembangan, Selangor.





Ulul Albab: Ummatan wasatan ciri insan cemerlang
ADAkisah menarik berlaku pada zaman Rasulullah SAW yang perlu kitaperhatikan dengan bijaksana dan saksama demi menjaga keutuhan dalamberbangsa dan bernegara.

Persoalan Agama: Menangani gangguan syaitan ikut syarak
SEJAKakhir-akhir ini semakin ramai mengakui bomoh dan mampu mengelak sertamenghalau gangguan di rumah. Terus terang, saya sendiri tidak berapayakin kerana bimbang ilmu diamalkan bertentangan dengan syarak.Persoalan saya, apakah ada sebarang petua yang boleh diamalkan bagi'mendinding' rumah daripada gangguan seperti ini.

Persoalan Agama: Taubat nasuha bersihkan dosa, solat ditinggal wajib qada
SAYAseorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dan bakal mengambilpeperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Sebelum mendudukiSPM, saya nak selesaikan beberapa perkara kerana bimbang perbuatan sayaboleh mempengaruhi keputusan saya kelak.

Saturday, June 20, 2009

AGAMA : SABTU 20 JUN 2009

Prosedur kahwin warga asing
Soalan Saya merancang untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.Pasangan saya adalah warga Pakistan yang telah tiga tahun menetap diMalaysia. Apakah prosedur yang perlu dilakukan untuk melangsungkanperkahwinan. Adakah pasangan saya perlu mengikuti kursuspraperkahwinan?

Hayati perjuangan 10 tokoh sarjana Islam
MUNGKIN tiada kaitan antara tragedi pembunuhan 11 jemaah yang sedangbersolat Isyak termasuk imam yang mati ditembak oleh sekumpulan lelakidi Masjid Al Furqan, Kampung Air Tempayan di daerah Cho-ai-rong,Narathiwat, selatan Thailand baru-baru ini, dengan buku yang menjadiulasan pada minggu ini.

Penyembelihan Nabi Ismail
NABIIsmail cukup terkenal dengan kisah penyembelihan agung. Pada Hari RayaAidiladha, peristiwa ini pasti meresap kembali dalam ingatan seluruhumat Islam di seluruh dunia. Bagi umat Islam yang berkemampuan merekaakan menyembelih haiwan ternakan sebagai korban bersempena denganperistiwa penyembelihan Nabi Ismail.

Hukum sertai pertandingan memancing
Soalan: SAYA gemar memancing dan sering menyertai pertandinganmemancing. Persoalannya, adakah menyertai pertandingan memancing yangmenawarkan hadiah seperti RM5,000 bagi tempat pertama juga termasukdalam judi?

Kajian membawa Miller kepada Islam
BELIAU seorang pakar dalam bidang matematik. Ini kerana beliau sukasesuatu yang logik, yang boleh diselesaikan melalui kekuatan dan bolehditerima oleh akal. Oleh itu beliau tidak mudah untuk menerima sesuatuitu jika ia tidak logik atau masuk akal.

Image
Khidmat masyarakat Perkim dengan Orang Sungai
Panduan iman, amal dan ilmu adalah faktor-faktor penting bagimelahirkan generasi pendakwah muslim unggul. Lebih-lebih lagi sebagaipendakwah merupakan suara atau jurubicara kepada masyarakat.




Mengatasi krisis identiti umat Islam Australia
KEPELBAGAIANadalah perkataan tepat menggambarkan masyarakat Islam di Australia yangterdiri daripada 70 etnik yang masih kuat dipengaruhi budaya negaraasal walaupun sudah lama berhijrah dan membina kehidupan di sana.

Riak ketika ibadat lebih bahaya daripada dajal
RIAKialah penyakit hati yang paling ditakuti Rasulullah SAW menimpa umatnyakerana ia boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, hatta ketika menunaikansolat yang sepatutnya dilakukan dengan ikhlas.

Tiga watak manusia perosak agama, masyarakat dan negara
DISEBUTKANdalam al-Quran watak manusia yang selalu mengganggu ketenteraman dankesejahteraan iaitu watak yang mempersenda agama serta merosakkan ummah.

Friday, May 29, 2009

AGAMA : JUMAAT 29 MEI 2009

Penipuan iblis di syurga
IBLIS selalu berikhtiar untuk masuk ke dalam syurga kembali danmenggunakan tipu muslihatnya untuk memperdayakan Nabi Adam danisterinya, Hawa.

Hukum berniaga semasa tunai haji
Huraian

Hanya Islam diterima Allah
Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah menjelaskan, bahawa Dia telahmengambil janji daripada para nabi agar beriman dengan kenabianMuhammad SAW.

Membongkar rahsia pejuang agung
TIADA berita yang lebih menarik terutama kepada 'kaki-kaki' dan'ulat-ulat buku' apabila kerajaan memperuntukkan sebanyak RM20 jutauntuk membina Kota Buku di Kuala Lumpur, hujung tahun ini.

Wajib bergaul baik dengan isteri
Soalan:

Wang zakat segera diagih
Soalan:





Budaya ukhuwah landasan eratkan perpaduan umat Islam
CIRIutama ibadat dalam Islam berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan.Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji antaralain membina ukhuwah serta perpaduan.

Tabiat ke masjid patut dibiasakan sejak usia muda
PERSEPSIyang bertapak di minda masyarakat bahawa masjid hanya tempat bagimereka berkelapangan, orang tua yang bersara atau yang alim ilmukeagamaan, persepsi jumud yang tidak harus wujud pada zaman ketandusanaspek nilai murni hidup bermasyarakat.

Belia perlu amal gaya hidup sihat berteraskan syariat
PERANANdan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat.Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Makkahsehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali,Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbasdan ramai lagi menjadi penggerak kepada arus perdana perubahanmasyarakat.

Tegur, nasihat hindar diri daripada sifat munafik
GOLONGANmunafik sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itudigunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-puramengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atauragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati.

Thursday, May 28, 2009

AGAMA : KHAMIS 28 MEI 2008

Memanfaatkan liberalisasi ekonomi negara
Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meliberalkan ekonomiMalaysia bukan perkara yang baru. Pada tahun 90-an, Malaysia pernahmembuka ruang untuk pelabur luar membeli saham atau ekuiti sehingga 30peratus dalam badan korporat Malaysia.

Image
Autobiografi Malcolm X sumber hidayah Amina
MALCOLM X, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya bagimereka yang mengikuti sejarah Amerika. Kisah kehidupan pemidato danaktivis hak asasi manusia terkemuka ini, sentiasa menjadi pemangkinsemangat serta idola sepanjang zaman, khasnya kepada golongan AfrikaAmerika.




Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan
HARIini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baruberkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya,tiada persefahaman, akibat masalah yang mungkin remeh-temeh atau tiadamasalah langsung, tetapi itulah berlaku apabila jodoh tidakberpanjangan.

Hak Muslim: Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000
SUAMIberhutang dengan saya sebanyak RM45,000 iaitu tunggakan perintah nafkahanak. Saya sudah memfailkan saman penghutang penghakiman terhadapbeliau di Mahkamah Syariah. Adakah ia suatu tindakan tepat atau adapermohonan lain lebih sesuai. Boleh atau tidak saya membuat permohonanperisytiharan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai caramendapatkan semula hutang itu. Selain permohonan muflis dengan JabatanInsolvensi Malaysia, apa alternatif lain boleh diambil.

Memanfaatkan liberalisasi ekonomi negara

Memanfaatkan liberalisasi ekonomi negara

Oleh MOHD. HILMI RAMLI

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meliberalkan ekonomi Malaysia bukan perkara yang baru. Pada tahun 90-an, Malaysia pernah membuka ruang untuk pelabur luar membeli saham atau ekuiti sehingga 30 peratus dalam badan korporat Malaysia.

Tujuan ketika itu adalah untuk menarik perhatian pelabur luar supaya menyimpan dan melabur duit mereka di negara ini dan mempromosikan Malaysia sebagai salah satu pusat kewangan antarabangsa yang mampan.

Dasar Perdana Menteri yang baru ini sebenarnya melakukan pendekatan yang dinamik dalam menguruskan ekonomi negara, umpama 'getah' yang boleh dilenturkan sebesar yang mungkin.

Meliberalkan ekonomi boleh difahami sebagai satu usaha menggalakkan persaingan secara merit dalam usaha membangunkan sumber/lebihan aset negara atau individu.

Dalam kerangka falsafah dan wacana liberal ekonomi semasa, apa yang mereka perjuangkan adalah kebebasan mutlak individu atau pasaran yang menentukan perjalanan ekonomi. Bahkan mereka boleh menolak campur tangan kerajaan yang hanya secara dibenarkan secara minimum.

Dari Adam Smith, David Hume, David Ricardo, sehingga tokoh ekonomi liberal kontemporari seperti Friedrich Hayek dan Milton Friedman, semua mengangkat darjat humanisme sebagai ukuran mutlak kejayaan sesuatu ekonomi. Tidak ada peranan kerajaan, bahkan agama sebagai pemandu dan panduan ekonomi negara.

Bagi mereka, manusia perlu diberi kebebasan mutlak mengaut keuntungan, walaupun dengan menggondolkan tanah, menipu, merampas hak orang atau menindas.

Dasar meliberalkan ekonomi negara tidak sama dengan kerangka falsafah pemikiran yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh seperti itu. Hakikatnya, Malaysia masih mengambil pendekatan dualistik atau 'serampang dua mata', iaitu membuka ruang pesaing luar untuk melabur dan pada masa yang sama kerajaan berperanan teguh dan berdisiplin mengawal secara hikmah ekonomi negara.

Dalam konteks falsafah ekonomi negara, dasar ekonomi negara merupakan adunan tiga bentuk pemikiran falsafah ekonomi yang dominan iaitu sosialisme, kapitalisme (neo-liberal) dan Islam sendiri.

Walaupun ada ilmuwan ekonomi Muslim seperti Umar Chapra yang menentang apabila mengatakan orientasi kapitalisme dan sosialisme, ada juga persamaan kefahamannya dengan orientasi Islam.

Bagi beliau, kefahaman itu menunjukkan kedangkalan prinsip asas dalam ketiga-tiga dasar pemikiran itu.

Namun hakikatnya ada nilai yang dikongsi bersama dalam ketiga-tiga pemikiran tersebut yang akhirnya boleh ditemui dalam ajaran Islam sendiri.

Tidak keterlaluan mengatakan corak dan gaya mengurus ekonomi Malaysia tidak akan lari daripada tiga komponen falsafah pemikiran ekonomi ini. Tidak boleh mengatakan ekonomi Malaysia kapitalisme per-se, apabila melihatkan penumpuan besar kepada pembangunan projek mega dan pembukaan sektor ekonomi yang menggalakkan keuntungan maksimum.

Ini kerana, Malaysia banyak membantu mengangkat martabat ekonomi masyarakat miskin dan kaum yang memerlukan. Contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara (DPDPN), Dasar Penswastaan dan banyak lagi.

Membasmi kemiskinan

Hatta kerajaan sentiasa mengumumkan agenda membasmi kemiskinan, yang boleh dilihat kejayaannya, apabila mensasarkan tahun 2010 sebagai sifar kemiskinan tegar.

Menurut kajian Jabatan Statistik, pendapatan isi rumah Malaysia meningkat kepada RM3,686 sebulan pada 2007, daripada RM3,249 pada tahun 2004. Peningkatan sebanyak 4.3 peratus itu disebabkan pertumbuhan ekonomi positif yang menjana peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat Malaysia. (Bernama, 7 April 2008)

Malah, jika mengatakan menggunakan kerangka ekonomi Islam secara menyeluruh, tidak tepat juga. Walaupun ada menjurus kepada mengangkat keadilan dan mengurus kemiskinan, melalui pembahagian wang zakat dan seumpamanya, hakikatnya masih ada lagi yang perlu diperbaiki.

Jika kerangka ekonomi Islam digunakan, seharusnya falsafah ekonomi Islam diajar dan dijadikan silibus utama dalam semua pendidikan ekonomi yang ada di sekolah dan universiti.

Tokoh ekonomi Muslim seperti Al- Maqarizi, Ibn Khaldun, Abu Yusuf dan ramai lagi diperkenalkan dan dikembangkan ideanya.

Apa yang ada adalah subjek dan buku teks ekonomi yang didominasi oleh kerangka fikir Barat yang sama ada berpaksikan kapitalisme atau sosialisme. Hanya yang ada ialah usaha bersendirian dan sesetengah pihak sahaja yang bersungguh mengangkat wacana ekonomi Islam sebagai teras utama.

Kehadiran perbankan Islam dilihat sebagai 'menyelamatkan' sektor ekonomi secara keseluruhan, kerana menggunakan kerangka 'syariah' dalam menguruskan aktiviti perbankan. Walaupun masih muda dan berpotensi jauh, perbankan Islam sebenarnya harus melonjak jauh dengan 'membersihkan' diri daripada elemen perbankan konvensional yang masih melekat.

Antara isu yang perlu ditangani ialah sistem riba, wang fiat dan fractional reserve system. Apabila melihat dasar yang dinamik dan unik ini, Malaysia berusaha menguruskan ekonomi negara menggunakan acuan tersendiri.

Usaha ini boleh menampakkan kejayaan dalam sejarah mengurus negara, terutamanya pada tahun krisis 1997. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad 'melawan arus', apabila tidak meminjam daripada Dana Mata Wang Antarabangsa (IMF) untuk menguruskan ekonomi negara, berbanding negara-negara lain.

Kini, dasar meliberalkan ekonomi negara itu kembali dan beberapa faktor perlu dilihat secara kritis.

Apabila kerajaan membuka polisi untuk pelabur luar memiliki saham/ekuiti sehingga 70 peratus dalam perbankan Islam, bank pelaburan, takaful dan syarikat insurans adalah usaha yang positif. Tujuannya mempromosi pelabur luar ke Malaysia.

Apabila sejumlah wang yang besar dilaburkan di Malaysia, ekonomi negara boleh dipacu dengan segera. Putaran ekonomi dan kuasa membeli dari sektor kerajaan sehingga individu dapat dijana. Namun demikian, bagi perbankan Islam, cabaran sangat getir.

Ekuiti 70 peratus yang diperoleh oleh pelabur luar dalam sesebuah perbankan Islam tempatan sebenarnya 'mencabar' dasar kuota yang sering dipertahankan. Namun dalam konteks ekonomi semasa, dasar ini melawan arus.

Sudah tentu bagi orang Melayu, secara diam-diam, polisi terbuka dan merit telah berjalan dan menuntut supaya lebih bersedia dan berdaya saing.

Secara objektif, tidak ada penentangan secara kuat daripada orang Melayu, memandangkan mungkin subjek ekuiti dalam perbankan Islam masih jauh dan tidak melekat di sanubari mereka. Dua lesen perbankan Islam kepada pemain luar negara dengan modal RM3.5 bilion menuntut perbankan Islam sedia ada bersaing dengan kuat dan dedikasi.

Dari segi modal 'poket', perbankan Islam dari luar negara, hakikatnya mempunyai lebihan modal yang besar dan banyak, kerana industri minyak yang membantu. Justeru memungkinkan mereka mempunyai pakej produk dan servis, serta fasiliti perbankan yang lebih menarik dan dinamik.

Malah, dalam konteks produk perbankan Islam, pemain luar negara mampu menawarkan produk yang kurang kontroversi. Berbanding perbankan Islam tempatan, apabila Hakim Wahab Patail mengisytiharkan produk Bai' Bithamin Ajil (BBA) tidak mematuhi syariah pada Julai 2008, yang menjadi wake up call kepada semua perbankan Islam.

Maknanya, ia akan menjejaskan hampir majoriti portfolio perbankan Islam yang menggunakan BBA akan dikategorikan sebagai tidak patuh syariah.

Walaupun begitu, keputusan itu dikritik kerana tidak menggunakan kaedah yang kemas dalam mengeluarkan penghakiman. Sebabnya tidak merujuk kepada pakar syariah perbankan Islam. Bahkan dikatakan telah re-write kontrak sedia ada yang telah dipersetujui oleh pelanggan dan bank.

Namun, pada Mac 2009, keputusan terbaru mengenai kepatuhan syariah produk BBA oleh Bank Islam telah diisytiharkan kemenangan moral kembali kepada perbankan Islam.

Namun demikian, tidak selamanya perbankan Islam tempatan boleh selesa dengan produk yang sedia ada. Persaingan apabila 'langit luas terbuka' menuntut kreativiti yang dinamik dan ketajaman membaca situasi pasaran untuk mempromosikan produk tempatan.

Polisi 70 peratus tidak dibuka kepada perbankan komersial konvensional, hanya perbankan pelaburan sahaja. Pelabur luar sebenarnya berminat dengan perbankan komersial konvensional.

Hakikatnya, kerana pakej dan pasaran perniagaan semasa (retail market) lebih menarik dan mudah mengaut untung.

Permintaan

Permintaan membeli rumah, kereta, deposit dan sebagainya mempunyai permintaan yang berterusan dan boleh menjamin pusingan pasaran yang konsisten. Berbanding perbankan pelaburan, yang menumpukan kepada modal pasaran seperti bon dan hartanah yang terlalu terhad.

Justeru, apakah manfaat liberalisasi ekonomi kepada rakyat secara keseluruhan? Mungkin peringkat mikro ekonomi, dasar ini tidak dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia, terutama bila mahu dikaitkan dengan penyelesaian masalah ekonomi seharian.

Namun, di peringkat makro ekonomi dan jangka panjang, liberalisasi ekonomi ada peluang untuk dijayakan. Terutamanya menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan Islam sedunia.

London berjaya dari segi menarik pelabur sebagai hab kewangan konvensional antarabangsa. Malaysia semestinya merancang dan menyusun strategi ke arah itu.

Liberalisasi ekonomi harus menguntungkan rakyat Malaysia. Ia boleh dicapai dengan meningkatkan kesedaran menyokong produk dan servis perbankan Islam di kalangan massa, menggalakkan pelaburan yang mematuhi syariah, menggalakkan pembelian emas dinar sebagai pelaburan masa depan.

Autobiografi Malcolm X sumber hidayah Amina

Autobiografi Malcolm X sumber hidayah Amina


Malcolm X


MALCOLM X, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya bagi mereka yang mengikuti sejarah Amerika. Kisah kehidupan pemidato dan aktivis hak asasi manusia terkemuka ini, sentiasa menjadi pemangkin semangat serta idola sepanjang zaman, khasnya kepada golongan Afrika Amerika.

Malah kisah penghijrahan akidah lelaki kelahiran Omaha, Nebraska ini atau nama Islamnya, El-Hajj Malik El-Shabazz turut menjadi sumber inspirasi serta titik perubahan akidah kepada pelbagai ras masyarakat di Amerika. Salah seorang daripadanya ialah gadis yang bernama Amina Cisse Muhammad

Kata Amina, semuanya bermula semasa dia mengikuti pengajian bidang sosiologi di kolej kira-kira tahun 1970-an. Pada masa itu juga, dia dikehendaki membaca buku berjudul Autobiografi of Malcolm X, di mana Malcolm menjadi penulis bersama dengan Alex Haley.

Akui gadis Afrika Amerika lagi, pengetahuannya tentang Islam sekadar menerusi buku teks yang digunakan oleh guru semasa peringkat sekolah rendah dan menengah. Itupun tertumpu kepada penyebaran Islam menerusi pedang.

Hakikatnya, pengetahuan Amina tentang Islam menerusi pembacaan, bukannya cetek tetapi langsung tidak ada. Lantaran itu, buku biografi tersebut sangat terkesan buatnya, terutamanya di bab terakhir, mengisahkan insiden yang membawa kepada penemuan Malcolm dengan agama yang syumul iaitu agama Islam.

Kata Amina, Malcolm pada zamannya merupakan seorang jurucakap bagi pihak atau golongan masyarakat pendatang yang tertindas selama ini di Amerika. Selama 12 tahun sebagai pengikut setia kepada Elijah Muhammad, ketua Nation of Islam, Malcolm percaya bahawa kesengsaraan yang dialami oleh orang kulit hitam di situ adalah kesan daripada ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan yang dilakukan oleh orang kulit putih.

"Disebabkan pandangannya itulah maka dia dilabel sebagai seorang kulit putih yang bersikap perkauman dan pencetus kepada pelbagai keganasan dan rusuhan.

"Walau bagaimanapun, sebelum dia dibunuh pada 1965, Malcolm telah dipilih oleh Allah SWT untuk menerima dan mengakui kebenaran Islam. Hidayah itu diperoleh semasa beliau menunaikan haji setahun sebelum itu.

"Sewaktu di Tanah Suci itulah beliau menyaksikan erti sebenar kesamarataan dan semangat saudara seagama tanpa mengira perbezaan warna kulit, bangsa dan status kehidupan. Saat itu semua manusia sama di sisi Allah Yang Esa," kata Amina dalam perkongsian kisah yang membawa kepada pengislaman dirinya di laman web IslamOnline.net.

Tambah Amina, kisah Al Hajj Malik benar-benar menjadi titik tolak kepada perubahan, terutamanya dari segi pandangan serta matlamatnya dalam melihat kehidupan sebagai seorang wanita muda Afrika Amerika.

Keazamannya untuk mencari satu sistem kepercayaan yang mana ia bukan sahaja praktikal tetapi boleh digunakan dalam kehidupan sehariannya semakin membuak-buak.

Apa yang Amina impikan ialah sebuah sistem kepercayaan yang mengajar tentang perpaduan, kasih-sayang, persaudaraan dan dilaksanakan secara ikhlas dan jujur oleh mereka yang mengakui sebagai pengikut.

Pencarian

Pun begitu, pencarian itu tidak dimulai dengan agama Islam tetapi memilih untuk mendalami dahulu agama Kristian anutan turun temurun keluarganya terlebih dahulu. Kata Amina agama itu telah ditinggalkan sejak melanjutkan pengajian peringkat kolej.

"Saya mula membaca kitab Injil dan mula mengunjungi gereja. Namun keraguan saya terhadap agama Kristian tidak pernah reda, malah kekosongan jiwa yang dialami masih belum mampu terisi.

"Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk mencurahkan jiwa dan raga kepada Allah SWT serta menyerahkan kepada-Nya agar ditunjukkan jalan yang benar," jelas beliau.

Pada masa sama, Amina berkenalan dengan seorang lelaki yang kini bergelar suami. Mereka mengikuti kelas falsafah yang sama. Cuma dia lebih dahulu memeluk Islam. Mengapa Amina tertarik dengannya, sukar hendak dijelaskan dengan kata-kata.

"Lama-kelamaan, dia mula menceritakan tentang agama Islam dan hati saya semakin luntur dan selesa dengan agama anutan teman lelaki saya itu. Akhirnya, saya reda dan hati mula terbuka untuk bergelar Muslim," kata Amina yang terus mengutus surat kepada ibu bapa memberitahu tentang hasrat dan telah mengambil keputusan muktamad untuk mengucap kalimah syahadah.

Akuinya lagi, berbeza dengan kelompok mualaf yang terpaksa menghadapi tentangan keluarga, Amina tidak pernah dibuang atau disisihkan keluarga. Kalau adapun cuma beberapa kali percubaan mengkristiankan dilakukan oleh keluarga tetapi tidak berjaya.

"Kakak sulung pernah bertanya kepada saya apakah tidak timbul rasa pelik, jika saya satu-satunya di dalam keluarga yang beragama Islam, sedangkan mereka semua percaya kepada Kristian? Bila saya menjawab, sayalah paling bertuah kerana telah dipilih oleh Allah, membuatkan kakah bertambah jengkel dengan reaksi spontan saya.

"Sayangnya pengislaman saya kurang meninggalkan kesan kepada ahli keluarga yang lain. Kalaupun ada ia tidak terlalu ketara. Seperti dalam satu insiden pada 1988, di mana saya baru kematian suami.

"Adik perempuan saya kagum bagaimana, saya mampu menghadapi saat sedih itu dengan begitu tabah dan sabar.

"Malah dia sendiri mengakui tidak sekuat dan cekal seperti saya. Tidakkah mereka tahu bahawa kekuatan itu adalah kerana Allah dan agama Islam itu sendiri dan sesuatu yang ditakdirkan kepada kita itu adalah qada dan qadar-Nya.

"Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui meskipun apa yang dihadapi itu amat perit dan menyakitkan. Pastinya ada hikmah di sebalik semua kejadian itu," ujar Amina lagi.

Perbandingan

Menurut Amina lagi, apabila dibuat perbandingan antara agama Islam, Yahudi dan Kristian didapati bahawa agama Islam dengan jelas menerangkan setiap rasul, nabi, kitab dan pelbagai perkara mukjizat. Berbeza dengan agama-agama lain yang menerima sesuatu itu mengikut kehendak atau sesuka hati mereka.

"Yang pasti, nur Islam telah membawa ketenangan di dalam kehidupan saya ini. Islam mengajar saya untuk menyempurnakan diri agar sentiasa diredai dan diberkati bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat yang kekal abadi.

"Malah Islam juga memberi matlamat dan arah tujuan di dalam hidup ini dan telah mengisi kekosongan yang selama ini dicari-cari. Islam telah menyediakan satu medium agar saya lebih menghampiri-Nya dan berusaha untuk melaksanakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang dengan sebaik mungkin.

"Hakikatnya, surah Al-Maidah ayat tiga yang bermaksud: ...Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agamamu, dan Aku telah cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama bagimu..., menjadikan aku hamba-Nya yang bersyukur kepada Allah kerana memberikan Islam dan menerimanya sebagai hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan

Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan

Oleh Nik Salida Suhaila

Pasangan harus mengetahui punca krisis, urus perdamaian sebelum memilih untuk bercerai

HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya, tiada persefahaman, akibat masalah yang mungkin remeh-temeh atau tiada masalah langsung, tetapi itulah berlaku apabila jodoh tidak berpanjangan.

Ada yang mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami, dan anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan seorang ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Keluarga adalah institusi paling kecil, tetapi utama dalam pembinaan tamadun. Asas kukuh menjadi tunjang kepada peradaban yang sihat dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, keutuhan dan kerukunan perlu dicapai setiap unit keluarga bagi membolehkan membina tamadun manusia. Pincang institusi itu bermakna akan ada pelbagai bentuk kerosakan di muka bumi.

Permulaan untuk membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang serta ketenangan terhasil daripada ikatan yang suci.

Ia juga untuk memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat keturunan sebagai penyambung tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi di samping mengelakkan masalah sosial yang semakin meruncing akibat hubungan terlarang antara manusia.

Asas kepada perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur. Persoalan mengenai penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita rentetan daripada perkahwinan tidak timbul langsung dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan oleh suami, isteri berhak menuntut perceraian.

Antara penyebab berlakunya konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Lagi pun, talak perkara paling dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah perceraian." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan yang tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan sebuah kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian juga mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika ada masalah yang mengganggu keharmonian, ia hendaklah diselesaikan seberapa upaya. Untuk menguruskan perdamaian akibat perbalahan antara pasangan, pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh berlarutan. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, maka tiada perdamaian 'hati' yang boleh diusahakan lagi.

Selain itu, suami boleh memulihkan keadaan dengan tujuan memberi pengajaran mungkin dalam bentuk teguran, amaran atau pukulan yang tidak menyakitkan. Jika salah satu pihak cuai menjalankan tanggungjawab menyebabkan konflik dalam perkahwinan, suami atau isteri boleh membuat aduan dan tindakan mahkamah. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman, maka hukuman ini bolehlah juga dikatakan sebagai amaran.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi pula menidakkan ajaran dan bimbingan dalam sebuah keluarga, akhirnya wujudlah anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya, dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan ia sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina 'jati diri' menghadapi kemungkinan kemudian hari. Akhirnya rumah tangga bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak yang lebih mengusutkan.

Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan membawa kepada krisis yang besar sehingga pasangan bertindak untuk tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah.

Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu. Ia tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain yang timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar. Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah bermaksud: "Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 226)

Bukan tiada caranya untuk menangani konflik rumah tangga, tetapi jika tidak kembali kepada ajaran-Nya, tentulah masalah menjadi semakin runcing, suami mesti sentiasa menjadi pemimpin, isteri setia dibimbing, anak pula jangan dikesamping.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Hak Muslim: Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000

Hak Muslim: Suami belum jelaskan nafkah tertunggak RM45,000


Soalan:
SUAMI berhutang dengan saya sebanyak RM45,000 iaitu tunggakan perintah nafkah anak. Saya sudah memfailkan saman penghutang penghakiman terhadap beliau di Mahkamah Syariah. Adakah ia suatu tindakan tepat atau ada permohonan lain lebih sesuai. Boleh atau tidak saya membuat permohonan perisytiharan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai cara mendapatkan semula hutang itu. Selain permohonan muflis dengan Jabatan Insolvensi Malaysia, apa alternatif lain boleh diambil.
Ingin tahu,
Selangor.

Jawapan:
Pertamanya, tindakan puan memfailkan saman penghutang penghakiman adalah satu tindakan yang tepat. Jika suami mengaku berhutang seperti jumlah dinyatakan tadi, maka Mahkamah Syariah boleh mensabitkan terhadap tuntutan itu.

Bagaimanapun, jika suami menafikan dakwaan atau tuntutan puan, Mahkamah Syariah akan membuat siasatan terhadap suami. Mahkamah juga mengambil kira kemampuan suami membuat bayaran sama ada secara sekali gus atau ansuran jika tuntutan atau dakwaan puan berjaya disabitkan.

Bagi isu sama ada puan boleh membuat permohonan perisytiharan muflis, secara dasarnya perintah Mahkamah Syariah tidak disebut dalam akta muflis. Akta itu hanya menyebut perkataan 'mahkamah' saja. Ini bermakna bagi isu permohonan muflis puan harus membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Sivil melalui seksyen 88 Akta Kebankrapan 1967.

Sementara itu , bagi permohonan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia, puan boleh memohon sendiri memandangkan puan adalah pihak yang memberi hutang kepada suami. Secara umumnya, jumlah hutang kepada pemiutang hendaklah sekurang-kurangnya RM30,000.

Syarat bagi jumlah itu sudah dipenuhi. Tambahan pula, hutang yang dituntut hendaklah untuk satu jumlah yang boleh ditentukan yang perlu dibayar segera atau kemudian dengan syarat terakhir suami puan adalah pemastautin di Malaysia dalam tempoh setahun sebelum petisyen difailkan.

Untuk pengetahuan puan, ada juga syarat lain yang perlu dipenuhi dalam seksyen 5 Akta Kebankrapan 1967. Bagi prosiding dan perintah atas petisyen pemiutang, seksyen 6 akta yang sama menggariskan panduan bagaimana mahkamah ingin mengisytiharkan seseorang itu dikategorikan sebagai muflis.

Mengikut seksyen itu, perkara penting yang perlu ada sepanjang prosiding mahkamah berlaku ialah bukti hutang pemiutang.

Namun, adalah lebih baik puan membuat aduan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK). Bahagian itu akan membantu puan melaksanakan perintah dikeluarkan mahkamah.

Pihak BSK akan membuat pemantauan terhadap suami untuk memastikan nafkah yang tertangguh dan diputuskan mahkamah diselesaikan.

Jawapan disediakan ahli Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Nor Azmi Mohd Arif