Sunday, November 18, 2007

Ulul Albab: Individu ulul albab pakar rujuk masyarakat

Oleh Abdurrahman Haqqi

PERKATAAN "ulu" (sama dengan 'zawu', jamak 'zu') dalam bahasa Arab mempunyai beberapa pengertian termasuk konotasi pemilikan atau kepunyaan yang dimanfaatkan atau banyak disebut dalam al-Quran. Yang menarik perhatian penulis adalah penggunaan al-Quran perkataan itu yang digandingkan dengan perkataan saling mempunyai hubung kait satu sama lain, antaranya kedekatan, tali persaudaraan, berakal, berilmu, kuat, kekayaan, kekuasaan dan kelebihan akal.

Setidaknya kita mendapati dalam al-Quran kata-kata 'ulu' dan 'uli' diikuti 'al-qurba' (Surah al-Nisa: 8), 'al-amr' (Surah al-Nisa: 59), 'baqiyyah' (Surah Hud: 116), 'al-arham' (Surah al-Anfal: 75), 'al-nuha' (Surah Taha: 54, 128), 'al-'ilm' (Ali 'Imran: 18), 'al-ba's; ba's' (Surah al-Isra: 5; Surah al-Naml: 33), 'al-quwwah; quwwah' (Surah al-Qasas: 76; Surah al-Naml: 33), 'al-tawl' (Surah al-Taubah: 86); dan 'al-albab' yang disebut sebanyak 16 kali.

Ulul albab dengan dammah atau 'di depan' disebut tujuh kali iaitu dalam surah al-Baqarah: 269, Ali 'Imran: 7, al-Ra'du: 19, Ibrahim: 52, al-Zumar: 9, 18, Sad: 29, manakala Ulil Albab dengan fathah atau 'di atas' disebut sebanyak empat kali iaitu dalam surah al-Baqarah 179, 192, al-Maidah: 100; al-Talaq: 10; dan dengan kasrah atau 'di bawah' disebut lima kali iaitu dalam surah Ali 'Imran: 190, Yusuf: 111, Sad: 43, al-Zumar: 21, al-Mukmin: 54.

Ulul albab sebagai kelompok manusia yang dekat dengan Allah mempunyai dua karakter penting seperti disebutkan al-Quran iaitu karakter al-zikr (selalu ingat dan mengingati Allah) dan karakter al-tafakkur (selalu berfikir). Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Surah Ali 'Imran: 190-91)

Kelompok ulul albab dalam masyarakat akan menjadi pemimpin dan petunjuk mereka untuk mencapai kejayaan dan keselamatan hidup seperti ditegaskan al-Quran dengan menggunakan lafaz 'ulu baqiyyah' maksudnya: "Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dulu daripada kamu itu, orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya daripada perbuatan jahat di muka bumi; tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit saja iaitu orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang yang berdosa. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri." (Surah Hud: 116-17)

Ia kerana ulul albab adalah kelompok yang berilmu dan melaksanakan hukum Allah. Di dalam al-Quran disebutkan maksudnya: "Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 179) Di dalam ayat lain maksudnya: "Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya." (Surah al-Baqarah: 269)

Orang yang melaksanakan hukum Allah dan memperoleh hikmat kebijaksanaan adalah yang berilmu di mana kesaksian mereka disejajarkan dengan kesaksian Allah dan malaikat seperti dalam firman-Nya bermaksud: "Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Surah Ali 'Imran: 18)

Ulul albab adalah orang yang perkasa dalam segala bidang termasuk bidang pertahanan seperti yang ditunjukkan oleh ketua kaum Ratu Bilqis. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang kuat gagah, dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walaubagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan." (Surah al-Naml: 33)

Ulul albab adalah orang pilihan yang selalu melihat masa hadapan dan mempersiapkan diri masa kini untuk mencapai kejayaan hakiki. Al-Quran menyebutkan maksudnya: "... dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya." (Surah al-Baqarah: 197)

Ulul albab adalah kelompok manusia yang boleh mempertimbangkan segala sesuatunya dengan menggunakan akal sihat dan waras mereka. Mereka boleh membezakan mana yang patut dibuat dan mana yang patut ditinggalkan. Mereka boleh memilih yang terbaik dari yang terbaik. Allah berfirman maksudnya: "... oleh itu gembirakanlah hamba-Ku yang berusaha mendengar perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (dari segi hukum agama); mereka itulah orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 17-8)

Ulul albab adalah kelompok manusia yang sudah ditetapkan Allah sebagai orang yang bertakwa. Al-Quran menegaskan maksudnya: "Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya." (Surah Al-Maidah: 100) Dan juga maksudnya: "Maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal sempurna dari kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepadamu peringatan." (Surah al-Talaq: 10)

Ulul albab adalah kelompok manusia yang menjadikan kisah silam sebagai pengajaran dan iktibar untuk memperbaiki diri dan meningkatkan taraf kehidupan supaya mereka mencapai kejayaan dengan petunjuk Ilahi. Allah berfirman maksudnya: �Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman." (Surah Yusuf: 111)

Ulul albab adalah sekumpulan manusia menjadi pakar rujuk masyarakat demi memperoleh petunjuk dan hidayah dari Allah. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang yang berakal sempurna. (Surah al-Ra'd: 19) Dalam ayat lain disebutkan: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 9)

Ulul albab juga tidak terlepas daripada keperluan terhadap sains dan teknologi kerana mereka dituntut untuk berfikir secara saintifik. Al-Quran menyebutkan maksudnya: "Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar: 21)

Ulul albab bukan hanya milik umat Islam. Ia adalah fenomena semula jadi masyarakat dunia supaya mereka kembali kepada kehendak Allah, agar mereka sentiasa sedar bahawa mereka adalah makhluk Allah yang memerlukan petunjuk dan hidayah-Nya. Allah berfirman maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberikan Nabi Musa hidayah petunjuk, dan Kami berikan kaum Bani Israil mewarisi Kitab Taurat sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang yang berakal sempurna." (Surah al-Mukmin: 54) Di tempat yang lain disebutkan maksudnya: "(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf." (Surah Ibrahim: 52).

Dengan pelbagai karakter dan kelebihan ulul albab, mereka juga diingatkan supaya memiliki kesabaran supaya semua langkah mereka membuahkan hasil yang lebih. Dalam menceritakan kisah Nabi Ayub, Allah berfirman maksudnya: "Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya - keluar-ganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang)." (Surah Sad: 43).

Kelompok ulul albab diinginkan al-Quran dalam ayat- yang disebutkan di atas diterjemahkan oleh Kerajaan Terengganu dengan program Generasi Ulul Albab: Quranik, Ensiklopeadik, Ijtihadik seperti dijelaskan Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini. Ia sebagai kesinambungan pemikiran ulul albab Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi. Semoga berjaya dan menjadi contoh. Wallahul Musta'an.

Saturday, November 17, 2007

Niat ikhlas, ilmu tentukan jemaah raih haji mabrur

MENDAPAT haji mabrur adalah cita-cita semua jemaah haji yang pergi ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam kelima kerana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak ada ganjaran bagi haji mabrur, kecuali syurga.”

Namun, bukan mudah untuk mencapai haji mabrur memandangkan usaha ke arah itu memerlukan perjuangan, cabaran, dugaan dan syarat yang mesti dipenuhi setiap peribadi jemaah haji termasuk niat.

Justeru, setiap jemaah haji hendaklah membetulkan niatnya dan dengan tekad kuat yang tertanam dalam lubuk hati sanubari, maka kemantapan ibadat akan terjamin baik.

Membetulkan niat ditentukan oleh kebersihan hati kerana hati yang bersih menentukan setiap langkah akan terfokus kepada hal yang baik dan telus. Kebersihan itu adalah dengan memohon doa kepada sanak saudara, keluarga, jiran tetangga dan sahabat taulan. Kita tidak tahu daripada mulut yang mana dan daripada siapa, doa itu akan dimakbulkan Allah.

Darjat haji mabrur sangat ditentukan oleh hati (niat yang ikhlas). Banyak orang melaksanakan ibadat haji, tetapi tidak mendapatkan nilai haji mabrur. Antara sebabnya, kerana ibadat haji tidak didasarkan atas niat ikhlas dan tulus.

Oleh itu, sejak awal lagi setiap jemaah haji hendaklah segera memantapkan niat suci untuk menunaikan ibadat haji semata-mata kerana Allah. Luruskan niat, bersihkan hati dan memohon ampunan daripada Allah. Pergunakan kesempatan menunaikan ibadat haji dengan sebaiknya.

Di samping itu, fahami tatacara mengerjakan haji supaya dapat melaksanakan ibadat itu dengan baik dan sempurna kerana keadaan di tanah suci yang dipenuhi berjuta umat Islam dari seluruh negara boleh memberi cabaran kepada jemaah haji.

Selain niat haji, bekalan tauhid juga penting untuk membina kekuatan diri menjadi insan bertakwa kerana sesiapa yang bertakwa, dialah orang yang hampir dengan Tuhannya dan memperoleh kejayaan.

Imam Bukhari mengatakan, ilmu itu adalah pimpinan amalan dan amalan itu mengikuti ilmu. Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah hingga Ihya Ulumuddin selalu menekankan supaya mendahulukan ilmu sebelum melakukan kegiatan (amalan). Ia menjelaskan jemaah haji mestilah membekalkan dirinya dengan ilmu sebelum menunaikan ibadat haji.

Oleh itu, jemaah perlu memantapkan niat dan keilmuannya sebelum melaksanakan ibadat haji supaya nanti hajinya tidak menjadi sia-sia.

Budaya demonstrasi jalanan tak selari tuntutan syarak

Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

ISLAM mengajar penganutnya untuk sentiasa melaksanakan sesuatu perkara dengan penuh hikmah tanpa menjurus kepada suasana yang boleh merosakkan ketenteraman awam dan membuka ruang untuk menimbulkan kejadian tidak diingini.

Slogan bagi pendakwah Islam dalam melaksanakan tugas mereka adalah seperti firman Allah bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)

Nabi SAW melaksanakan segala urusan dakwahnya dengan penuh hikmah serta memerintahkan sahabat untuk berdakwah menggunakan kebijaksanaan sesuai dengan perintah Allah supaya hambanya berpesan ke arah kebenaran dengan kesabaran.

Oleh itu, sewajarnya bagi mereka yang terbabit dalam demonstrasi jalanan baru-baru ini menilai semula adakah tindakan mereka itu selari dengan perintah Allah dalam melaksanakan kerja dakwah mereka.

Tidakkah mereka terfikir betapa tindakan itu menimbulkan kesusahan serta keresahan kepada pihak yang tidak terbabit dalam demonstrasi berkenaan. Mungkin mereka menyatakan niat mereka baik, tetapi Islam adalah agama yang berpegang kepada konsep ‘matlamat tidak menghalalkan cara’.

Adakah di Malaysia ini sudah ketandusan cara untuk berbincang dalam apa juga masalah hingga memerlukan cara demonstrasi jalanan yang bukan saja menyalahi undang-undang, malah bercanggah dengan syarak?

Berkaitan dengan demonstrasi, Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz berkata: “Demonstrasi yang dilakukan bukanlah jalan keluar. Bahkan saya beranggapan bahawa hal itu termasuk daripada sebab musibah, kejelekan, kebencian manusia dan terjadinya permusuhan di antara manusia yang tidak sesuai dengan kebenaran. Adapun cara yang disyariatkan yakni: menulis surat, memberikan nasihat serta berdakwah kepada kebaikan dengan jalan ditetapkan syariat yang tentunya dijelaskan caranya oleh ahli ilmu, sahabat Rasulullah dan orang yang mengikuti Baginda dalam kebaikan yakni dengan menulis surat dan berhadapan langsung dengan pemimpin untuk memberikan nasihat tanpa menyebarkan perbuatan mereka lakukan di atas mimbar sehingga menimbulkan sesuatu tidak diinginkan, hanyalah Allah yang menjadi penolong.”

Rasulullah SAW dan sahabat juga melalui pelbagai ujian dan fitnah yang begitu hebat, namun tidak ada seorang pun daripada mereka menggunakan cara demonstrasi untuk meluahkan ketidakpuasan hati. Ia menunjukkan budaya demonstrasi bukan sebahagian tuntutan syarak.

Budaya berdemonstrasi ini juga boleh mengarahkan kepada pergaulan di antara lelaki dan wanita yang tidak selari dengan syarak.

Lebih mendukacitakan, demonstrasi sebenarnya menunjukkan sikap penentangan secara terbuka kepada kerajaan yang dipimpin pemimpin beragama Islam dan hal ini menunjukkan ciri golongan Khawarij.

Daripada Ummu Salamah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia sudah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia sudah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (saja) dengan pedang? Baginda menjawab: Jangan, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi bermaksud: “Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu. Kamu mendoakan mereka, mereka pula mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu membenci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu. Baginda ditanya: Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang? Jawab Baginda: Tidak, selagi mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang dikuasai penguasa, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, dia hendaklah membenci maksiat tersebut, namun jangan mencabut tangan daripada ketaatan.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidak dapat disangkal lagi demonstrasi jalanan lebih banyak menimbulkan mudarat dan menyusahkan pihak lain seperti peniaga di kawasan berdekatan, selain menyebabkan kesesakan lalu lintas kepada pengguna jalan raya.

Jika perhimpunan orang ramai itu menjadi tidak terkawal, ia boleh membawa kepada berlakunya rusuhan hingga berlaku kerosakan harta benda serta pergaduhan dengan pihak berkuasa di mana ada yang tercedera.

Apabila diajukan bahawa demonstrasi lebih membawa keburukan kepada umat, pasti mereka akan menyangkal dengan mengatakan niat hanyalah untuk menuntut keadilan bagi rakyat.

Wajar bagi seluruh rakyat Malaysia untuk memahami jika budaya demonstrasi diteruskan, ia boleh membawa kepada sebuah negara yang huru-hara, menimbulkan pertumpahan darah, musnahnya harta benda serta tersebarnya kerosakan.

Galakan baca al-Quran di kubur

Oleh Hasliza Hassan

AMALAN membaca al-Quran di atas kubur adalah permasalahan ranting agama yang bersifat elektif untuk seseorang mukmin, bukan permasalahan tunjang yang mendasari iman dan Islam. Oleh itu, mengamalkannya dikira satu kebaikan, manakala meninggalkannya bukanlah satu kecelaan.

Perkara itu dijelaskan Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain al-Ghari, supaya masyarakat tidak memberi tafsiran songsang hanya kerana mereka gagal menemui nas bahawa perbuatan itu dilakukan Rasulullah SAW.

Justeru, katanya, permasalahan furu’ atau cabang perlu difahami secara menyeluruh berserta dalil dan kaedah syariah yang jelas supaya sesuatu isu dirumus benar-benar menepati tuntutan syarak, selain mengelak daripada sikap fanatik serta melampau.

“Hukum syarak amat fleksibel dalam apa juga permasalahan. Maknanya, jika tidak ada hadis yang menunjukkan amalan itu dilakukan Rasulullah SAW, itu tidak bermakna ia menyalahi hukum kerana kita ada dalil lain.

“Tinjauan kita kepada isu membaca al-Quran di atas kubur menemukan beberapa dalil berkaitan yang dapat difahami serta dihayati dengan baik,” katanya.

Dalam masalah membaca al-Quran di atas kubur, katanya, ada banyak ayat al-Quran yang bersifat umum, tetapi boleh dijadikan panduan bagi menjawab persoalan apabila mafhum ayat itu dibincangkan serta diberi tafsiran lebih mendalam.

Contohnya, firman Allah bermaksud: “Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (Surah al-Tur, ayat 21)

Zamihan berkata, ayat itu bersifat umum, tetapi menjelaskan bahawa amalan mereka yang masih hidup dapat memberi manfaat kepada yang sudah mati seperti amalan puasa, wakaf, haji dan membaca al-Quran yang termasuk dalam sedekah.

Katanya, jika pahala amalan puasa dan haji yang dilaksanakan untuk orang meninggal dunia sampai, begitu juga pahala membaca al-Quran yang disedekahkan kepada ahli keluarga yang sudah meninggal dunia juga akan sampai kepada mereka.

“Ia bermakna diharuskan kita membaca al-Quran tidak kira di mana sama ada di rumah, pejabat, dalam kapal terbang atau di atas kubur sekalipun. Membaca di atas kubur suasananya lain sikit kerana ini akan membuatkan kita insaf, ingat kepada mati dan mensyukuri nikmat Allah,” katanya.

Katanya, amalan membaca al-Quran di atas kubur berteraskan kepada dalil yang pelbagai, ada kalanya berstatus sahih, hasan, daif dan amat daif.

Imam Muslim meriwayatkan: “Setiap anggota tubuh kamu berpagi-pagian dengan sedekah ke atasnya. Setiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh yang makruf adalah sedekah. Melarang yang mungkar adalah sedekah. Semua itu dapat diperoleh melalui dua rakaat solat pada waktu duha.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Qurtubi mengatakan: “Berdasarkan dalil inilah ulama menggalakkan menziarahi kubur kerana bacaan al-Quran itu bagaikan buah tangan untuk si mati yang dibawa oleh penziarah kubur.”

Sementara Imam Abdullah bin al-Siddiq al-Ghumari mengatakan: “Hadis ini memberi kita satu kefahaman bahawa bacaan al-Quran juga termasuk dalam erti kata sedekah berdasar syarak.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan: “Menceritakan kepada kami al-Hussain bin Ishak al-Tustari, menceritakan kepada kami Ali bin Hajr, menceritakan kepada kami Mubasyir bin Ismail, menceritakan kepada kami Abd Rahman bin al-A’la bin Lajlaj daripada bapanya, katanya, berkata Abu al-Lajlaj Abu Khalid: “Wahai anakku, apabila aku meninggal dunia kebumikanlah aku. Apabila kamu meletakkan jasadku di liang lahad, bacalah: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah SAW, kemudian curahkanlah tanah dengan cermat ke atasku. Kemudian bacalah di sisi kepalaku permulaan surah al-Baqarah dan penutupnya, kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda sedemikian.”

Imam al-Haitsami dalam Majma al-Zawaid mengatakan bahawa rangkaian perawi ini terdiri daripada kalangan perawi yang siqah (dipercayai), manakala Imam al-Hakim membawa kesaksian hadis ini dalam kitabnya al-Mustadrak.

Zamihan berkata, membaca al-Quran di atas kubur ternyata bukan bid’ah yang sesat kerana ada nas yang membuktikan bahawa Ibn Umar dan Abu Khalid al-Lajlaj mendengar galakkan daripada Nabi SAW supaya dibacakan ayat suci al-Quran di tanah perkuburan.

Beliau berkata, sebenarnya hadis yang bertali arus dengan amalan membaca al-Quran di atas kubur masih banyak dan perbezaan pendapat di kalangan ulama adalah perkara biasa terutama dalam permasalahan cabang agama.

Oleh itu, katanya, apabila Rasulullah SAW tidak melakukan sesuatu perkara itu tidak bermakna ia salah dan tidak wajar ada pihak yang memberi hukuman melampau kerana Baginda juga tidak melakukan semua amalan yang diharuskan syarak.

“Namun, kita perlu mengambil pendekatan bijak dan bersikap sederhana ketika berinteraksi dengan keadaan ini. Hal ini penting supaya aktiviti kehidupan kita menepati tuntutan syarak dan merapatkan kita kepada takwa.

“Ia sekali gus mengelakkan kita daripada bersikap keras kepala terhadap amalan yang sudah sebati dalam masyarakat dan diperakui pihak yang mempunyai kuasa dalam bidang berkenaan. Sebenarnya isu klasik ini sudah ditangani ulama, tetapi masih ada pihak sengaja membangkitkannya,” katanya.

Katanya, perlu diingat bahawa amalan yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan generasi salaf tidak boleh dijadikan alasan untuk mengharamkan sesuatu amalan selagi tidak ada tegahan putus daripada nas syarak.

Friday, November 16, 2007

Cenderahati unik dari Chendrasari


ALLYN Rabiah Siddiq menunjukkan salah satu produk bingkai 3D paling terkini yang terdapat di kedai Chendrasari, Ampang Point, Ampang, Selangor.

DI MANA ada usaha di situ ada kejayaan. Nampak mudah sahaja caranya untuk beroleh kejayaan. Namun sekadar usaha sahaja tidak mencukupi, ia memerlukan kepada faktor lain antaranya kesabaran, pengorbanan, keyakinan, tidak berputus asa, tawakal, berserah, kreatif dan banyak lagi.

Pun begitu, satu lagi yang sering seseorang usahawan itu terlepas pandang akui Allyn Rabiah Siddiq, 37, ialah aspek kritikan. Ini kerana kata Pengarah Chendrasari Enterprise Sdn. Bhd. itu, prinsipnya yang terbuka dengan segala kritikan pelanggan membolehkan kedai cenderahati yang diusahakan kira-kira tujuh tahun lalu terus bertahan dan semakin dikenali.

Ikuti temu ramah wartawan, ZUARIDA MOHYIN dan jurufoto, HALIM KHALID bersama wanita kelahiran Muar, Johor ini di Lot Mo3B, tingkat mezzanine, Pusat Membeli Belah Ampang Point, Ampang, Selangor bagi berkongsi rahsia kejayaannya sehingga memiliki aset lot bangunan tiga tingkat, premis stor dan membuka cabang perniagaan lain.

MEGA: Bagaimanakah perniagaan puan bermula dan terangkan serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan ini?

ALLYN RABIAH: Perniagaan yang diusahakan sekarang ini bukanlah yang pertama pernah saya ceburi. Saya pernah mencuba perniagaan jualan langsung tetapi semuanya menjadi serius apabila kerjaya sebagai remiser gagal ketika pasaran saham jatuh merudum pada tahun 2000 dulu.

Semenjak itulah saya mula bertapak secara kecil-kecilan menumpang di pejabat suami dan menggunakan wang simpanan sendiri. Pada masa itu, saya belum membuka kedai untuk mempamerkan produk-produk cenderahati yang ditawarkan. Malah pada masa itu saya bermula dengan seorang staf sahaja. Saya lebih banyak membuat sendiri kerja-kerja promosi dan pemasaran.

Alhamdulillah, pertemuan dengan seorang teman lama yang memperkenalkan saya kepada pelanggan dari sebuah bank tempatan yang mahukan cenderahati untuk pelanggan mereka, menjadi pembuka jalan.

Oleh kerana pada masa itu, kami masih baru saya cuba nasib dengan menghantar tender. Siapa sangka saya berjaya menerima tempahan. Kejayaan sulung ini menjadi pemangkin semangat dan titik tolak kepada permulaan Chendrasari Enterprise Sdn. Bhd. untuk terus bertapak dalam dunia perniagaan barangan cenderahati khusus bagi syarikat korporat mahupun persendirian.

Disebabkan ramai yang menceburi bisnes ini, ia menjadikan perniagaan ini mempunyai persaingan hebat. Cuma, kami mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang berlainan dengan syarikat cenderahati yang lain.

Salah satunya, produk-produk yang terdapat dan ditawarkan oleh kami tidak memfokus kepada produk tempatan semata-mata. Di Chendrasari, para pelanggan kami boleh mendapatkan produk cenderahati yang diimport dari seluruh dunia seperti dari Indonesia, India, Thailand, China, Dubai, Syria dan beberapa lagi.

Mengapa perniagaan ini yang dipilih dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?

ALLYN RABIAH: Memandangkan kami dalam keluarga memang semuanya terlibat dengan perniagaan, mungkin ini secara tidak langsung mengalir darah berniaga.

Mengapa saya pilih perniagaan membekalkan produk-produk cenderahati? Salah satu sebabnya saya lihat masih kurang bumiputera yang terlibat dalam perniagaan sebegini pada awal-awal dahulu.

Tambah pula apabila berjaya mendapat tender membekalkan barangan cenderahati dalam kuantiti yang banyak, ia sekali gus menyakinkan saya bahawa perniagaan ini boleh pergi jauh dan terus berkembang.

Cuma saya sudah bersedia dengan idea-idea baru, unik dan membawa konsep yang lain daripada syarikat lain.

Alhamdulillah, selepas tujuh tahun saya bersyukur dan berbangga, kerana kini kita telah ada beberapa syarikat seperti yang mengendalikan pengurusan acara, korporat video, katering serta bangunan sendiri.

Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?

ALLYN RABIAH: Apa yang dicapai sekarang ini pun sudah begitu membanggakan dan di luar jangkaan. Dilihat dalam tempoh tujuh tahun dengan apa yang dicapai kini, ia merupakan sesuatu yang boleh menjadi pembakar semangat untuk kami teruskan perjuangan dalam dunia perniagaan.

Apa tidaknya, bisnes yang dipilih ini memang ramai yang menceburinya. Namun alhamdulillah dengan konsep berlainan yang Chendrasari ketengahkan telah membawa kami terus ke hadapan dan mampu bersaing.

Saya juga berterima kasih kepada para pelanggan kami yang sentiasa memberi sokongan dan buah fikiran serta kritikan yang secara tidak langsung menjadikan kami lebih baik dan tambah kreatif.

Saya juga ada menerima tawaran untuk buat francais namun ia semuanya dalam proses perbincangan lagi dan sedang memikirkannya.

Saya bukanlah keberatan namun bak kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Ini bukan juga bermaksud menolak peluang tetapi apabila kewangan semakin kukuh, saya mungkin tidak teragak-agak untuk menerima tawaran menarik ini.

Selain itu, saya juga sedang merancang mencari peluang-peluang perniagaan yang serupa di negara orang. Ini juga masih terlalu awal untuk diceritakan.

Kami di Chendrasari mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat untuk menjadi ejen, sama ada untuk sepenuh masa ataupun sambilan.

Penglibatan mereka amatlah digalakkan lebih-lebih lagi, perayaan Hari Natal atau Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi. Di samping itu, para ejen ini juga bakal memperoleh banyak kelebihan seperti mendapatkan bekalan produk pada harga yang istimewa dan banyak lagi.

Mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 03-4251 1488 atau datang ke kedai kami di Pusat Membeli Belah Ampang Point, Ampang, Selangor.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?

ALLYN RABIAH: Soal cabaran dalam dunia perniagaan memanglah pelbagai, bergantung kepada bentuk perniagaan yang diusahakan. Bagi saya cabaran-cabaran yang dihadapi inilah lebih mematangkan dan menjadikan kita lebih berwaspada dan mahir dalam selok-belok alam perniagaan.

Satu cabaran yang ketara sepanjang saya menguruskan Chendrasari ialah berhadapan dengan pesanan-pesanan yang memerlukan pengesahan segera. Sebab itulah hendak atau tidak hendak, kita kena sentiasa mempunyai stok sesuatu produk itu.

Pun begitu, saya sudah dapat menjangkakan bahawa sesuatu produk itu cepat ditiru oleh syarikat lain, jadi saya tidak simpan ia terlalu lama dan akan cuba menghabiskan mana-mana stok yang ada.

Selain itu, kita juga perlu sentiasa mendapatkan barang-barang eksklusif dari negara-negara luar. Sebab itulah saya kerap ke luar negara.

Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?

ALLYN RABIAH: Apabila tender yang kita hantar diterima dan idea yang dikemukakan disukai pelanggan, terutamanya pelanggan yang terdiri dari syarikat-syarikat korporat yang terkemuka itu merupakan satu kepuasaan kepada saya.

Hakikatnya, bukan mudah untuk memuaskan hati mereka tetapi dengan adanya kesabaran, sentiasa beranggapan pelanggan sentiasa betul, perbincangan dua hala, jujur dan memberikan perkhidmatan terbaik, sudah pasti hasilnya juga menakjubkan dan pelanggan lama-kelamaan berkeyakinan dengan kemampuan kita. Bagi saya, bersikap mengalah dan menurut kehendak pelanggan ada banyak kelebihannya dan ia tidak merugikan sedikitpun perniagaan.

Saya juga gembira apabila hasil kerja dan produk-produk cenderahati yang terdapat di kedai ini mendahului trend semasa dan menjadi ikutan. Ia membuatkan saya lebih berminat untuk mencari idea-idea. Pun begitu, di Chendrasari kami tidak memfokuskan kepada pelanggan besar sahaja bagi yang mempunyai peruntukan yang terhad juga ada ditawarkan produk yang harganya berpatutan.

Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan puan berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

ALLYN RABIAH: Itu memanglah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi. Semenjak berkecimpung secara serius dalam bidang perniagaan, kita akan rasai apa yang tersirat di sebalik saranan baginda Rasulullah itu tadi. Pokoknya, perniagaan itu mestilah melalui jalan yang diredai Allah dan bukan semata-mata untuk mengejar keuntungan.

Ahli sunah larang ithbat tempat bagi Allah

SOALAN: Sekiranya ada seseorang bukan muslim bertanyakan saya di manakah Allah, apakah jawapan yang sesuai yang saya harus berikan kepada beliau?

JAWAPAN:

Ustaz nukilkan di sini dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis (orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah Allah?

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam.

Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta kredibilitinya.

Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai.

“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha Agung. Dia beristighfar terus.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.

Membantu guru

Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri. Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.

“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku...Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah labuh telah ku kalahkan...!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa”.

Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa darjat. (Al-Mujadalah: 11)

Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.

“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula...?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.

“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa...,” Abu Hanifah berhujah.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa...!,” sahut Dahri.

“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu...? Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak Dahri seketika.

Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak...?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu berada...? Di bahagian atasnya atau di bawahkah...?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.

“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung...!”

“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti...” soal Dahri lagi.

“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu....Tuhan wujud tanpa ada permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepas-Nya....?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.

Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya ke langit.

Tidak terfikir

Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya...” Dahri membelek-belek jarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah.”

“Jadi...! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”

Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu bertanya.

“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.

“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus, berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk Abu Hanifah:

“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini... !”

Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu di mana sahaja kamu berada.

Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya, memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.

Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan oleh makhluk.

Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-9222 4967

Thursday, November 15, 2007

Mohd. Syakir ubat rindu dengan mengingati Allah

Oleh ZUARIDA MOHYIN


Mohd. Syakir Abdullah.

KALAU saudara baru yang lain sekadar kehilangan kasih sayang keluarga dan teman-teman, apa yang dialami oleh pemuda kelahiran Sri Lanka, Mohd. Syakir Abdullah, 37, lebih memeritkan.

Katanya, siapa yang tidak sedih apabila kasih dan kemesraan yang selama ini tercurah dalam kehidupannya sekeluarga tiba-tiba hilang keceriaan dan sentuhannya apabila ahli keluarga yang lain tidak dapat menerima berita pengislaman beliau.

“Bagi saya, kalau seseorang itu melihat kehidupan ini semata-mata memenuhi kehendak duniawi dan dari segi material, pastinya kehilangan kemewahan daripada harta keluarga menjadi sesuatu yang sukar diterima, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergantung dengan kesenangan tersebut.

“Pun begitu, pegangan dan kepercayaan yang diperoleh dan ditemui dalam Islam mengatasi segalanya, waima dikatakan telah menconteng arang ke muka keluarga atau dikira ‘anak derhaka’.

“Bagi saya, ia bukannya seperti yang mereka sangkakan, apa yang saya pilih adalah jalan yang benar,” terang perunding penjualan dalam pertemuan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, baru-baru ini.

Malah akui Mohd. Syakir, kebenaran Islam tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak, sekali gus meletakkan Islam sebagai agama yang begitu syumul.

Bahkan katanya, sebelum mengenal Islam, beliau terlebih dahulu menyelami dan menyelidik agama-agama lain. Semuanya bagi memastikan, dirinya membuat keputusan yang jitu dan bukan sekadar ikutan ataupun dengan niat atau mengharapkan sesuatu kepentingan.

“Sepanjang pencarian saya, saya dapati Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna serta sesuai dengan fitrah kehidupan manusia. Islam mampu menjawab apa yang ada di dunia nyata dan di alam selepas kematian.

“Malah dengan Kalam Allah, semua persoalan tentang kehidupan, alam, nabi, rasul, kejadian makhluk dan banyak lagi telah diterangkan secara jelas di dalamnya,” jelasnya.

Sebenarnya, beliau tidak menyangka akan bergelar Muslim suatu hari nanti kerana Islam bukanlah sesuatu yang baru dalam hidupnya. Semasa kecil-kecil dulu, keluarganya tinggal di kawasan yang ramai masyarakat Islam iaitu di Kanday, Sri Lanka.

“Sepanjang pembesaran saya itulah, saya mampu mengikut laungan azan yang berkumandang setiap kali masuk waktu solat. Sehinggalah apabila menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Hidraulik di salah sebuah universiti di Eropah, pada masa itu, semua berkaitan tentang Islam terhenti seketika,” cerita Mohd. Syakir mesra.

Takdir

Terang anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini lagi, mungkin jalannya kepada Islam adalah takdir Ilahi. Ini kerana semasa di Eropah, beliau kerap ke Malaysia atas urusan kerja. Apabila berada di bumi Malaysia inilah, memori tentang Islam berputik kembali.

“Saya mula mendekatkan diri dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau Perkim di Jalan Ipoh, memandangkan ia banyak menyediakan maklumat berkaitan Islam. Apatah lagi, bagi mereka yang sedang berjinak-jinak dengan agama itu,” katanya.

Melihatkan kepelbagaian bangsa yang datang ke Perkim, Mohd. Syakir tidak janggal sepanjang berada di kalangan mereka. Paling seronok ialah sewaktu majlis berbuka puasa yang merupakan satu acara tradisi bagi Perkim. Selain memperoleh ilmu agama, beliau juga sempat berkenal-kenalan antara satu sama lain.

“Lama-kelamaan, hati saya tertarik dan terpikat dengan keramahan masyarakat Muslim di negara ini. Beberapa ustaz yang ada di sana sangat membantu mungkin disebabkan mereka juga di kalangan mualaf,” terang Mohd. Syakir yang mengucap dua kalimah syahadah pada 28 Mei tahun lalu di ibu pejabat Perkim, Jalan Ipoh oleh Ustaz Amran Abdullah.

Selepas pengislaman, Mohd. Syakir terus bertandang ke Perkim untuk mengikuti kelas-kelas agama yang disediakan buat golongan saudara baru. Di samping itu, buku-buku pemberian daripada teman istimewa dan bakal bergelar permaisuri hatinya, Suzana banyak membantu dalam proses beliau mendalami Islam.

“Apa yang paling saya teruja dengan agama Islam ialah bagaimana dekatnya hubungan seorang hamba itu dengan Penciptanya. Dalam ibadat solat misalnya, hanya agama Islam sahaja yang mewajibkan sembahyang lima waktu sehari. Ini membuktikan kekerapan kita bertemu Allah malah kita tidak memerlukan perantara dalam memohon hajat atau berinteraksi dengan-Nya,” kata beliau.

Begitu juga dengan ibadat wajib yang lain seperti puasa, zakat dan sebagainya. Tahun ini merupakan kali kedua beliau menyambut Ramadan dan Syawal di Malaysia.

“Saya masih ingat bagaimana mencabarnya melaksanakan ibadat puasa. Pada tahun pertama saya terpaksa meninggalkan lima hari kerana tidak tahan. Tetapi, tahun ini saya berjaya berpuasa penuh, Alhamdulillah,” cerita Mohd. Syakir berkongsi pengalaman mempraktikkan puasa Ramadan.

Beliau juga bersyukur diperkenalkan dengan Mohamad Zamzam, 63, yang lebih mesra dipanggil pak cik kerana sekurang-kurangnya ada juga insan yang saling ingat-mengingati terutamanya dalam urusan agama Islam.

“Kami selalu sembahyang berjemaah dan ada ketikanya pak cik membantu menerangkan tentang pelbagai persoalan yang terbuku di fikiran,” katanya ringkas.

Jauh di sudut hati Mohd. Syakir, berharap agar ibu bapanya menerima keputusan pengislaman beliau serta sentiasa berdoa agar mereka juga dicurahkan dengan hidayah Ilahi sepertinya.

Sungguhpun mereka belum boleh menerima sepenuhnya, beliau tetap menghubungi mereka, bertanyakan khabar dan mengirim sumbangan sebagai tanda penghargaan dan tanggungjawab seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa.

“Tanpa mereka, saya tidak lahir di dunia ini. Maka walaupun mereka menyisihkan saya, ini bukan penyudahnya. Saya percaya Allah itu Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui akan isi hati hambanya.

“Bagaimanapun, kesedihan itu tidaklah sehingga menimbulkan kekecewaan malah jauh sekali untuk menarik balik lafaz syahadah yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kerelaan hati serta keinsafan diri ini. Saya akan buktikan kepada mereka tentang kebenaran Islam,” katanya mengakhiri perbualan kami tengah hari itu.

Keska bantu ibu tunggal

Oleh MUHAMMAD SANIY MOHAMED

BERBAKTI kepada masyarakat boleh dilakukan melalui pelbagai cara. Ini dibuktikan oleh Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (Keska) yang menceriakan keluarga ibu tunggal, Tom Mat di Kampung Langsat, Changlun, Kedah, baru-baru ini.

Sejak lapan tahun lalu, Tom yang berusia 63 tahun bergantung kepada lampu minyak tanah dan air basuhan dari aliran parit berhampiran rumahnya untuk kegunaan seharian.

Turut menyertai rombongan ialah ahli jawatankuasa Kelab Senifoto Universiti Utara Malaysia (UUM). Tom Mat tinggal bersama tiga orang anak lelaki Sabri Wahab, 28, Mohd. Rafi Wahab, 25, dan Mohd. Shukr Wahab, 20.

Sabri anak ketiga daripada lima beradik bekerja sebagai pengawal di Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (SRJKC) manakala adiknya Mohd. Shukri bekerja sebagai pembantu gerai makanan.

Mohd. Rafi pula baru bertugas sebagai tukang kebun. Dua lagi anaknya iaitu Samdudian dan Suriani masing-masing telah mendirikan rumah tangga.

Penasihat Kelab Senifoto UUM yang juga Pengarah Jabatan Perhubungan Awam, Mohd. Zaini Nasri berkata, ketabahan ibu tunggal itu dan tiga anak lelaki yang sanggup bersama menempuhi kehidupan ini amat menyentuh hati.

“Saya bangga dengan sikap tiga anak lelakinya yang berada di samping ibu mereka setelah kematian bapa mereka lapan tahun dahulu dan sanggup bersama membantu ibu membasuh dan mendapatkan bekalan air,” kata Mohd. Zaini.

Kunjungan dan sumbangan yang disampaikan kepada mereka yang kurang bernasib baik sudah menjadi amalan ahli kelab dan universiti ini.

Sementara itu, Presiden Keska UUM, Ku Azmi Ku Ibrahim yang turut hadir berharap masyarakat tampil membantu keluarga ini untuk memberi bantuan atau mendapatkan kemudahan seperti elektrik dan air.

“Walaupun bukan ahli kesatuan yang kami bantu tetapi bantuan dan sokongan ini adalah selaras dengan konsep masyarakat penyayang yang diamalkan di negara ini,” katanya.

Lebih 20 ahli jawatankuasa KSFUUM dan Keska turut hadir di majlis itu.

Memanfaatkan cuti panjang

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

Ahmad berasa tidak sabar dan begitu teruja dengan cuti persekolahan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Pelbagai rancangan diatur dalam mindanya. Pelbagai aktiviti yang dirasakan boleh dilakukan dengan rakan dan keluarga sepanjang cuti yang panjang itu. Namun berbeza pula dengan rakannya Amir. Cuti atau tidak, harinya tetap sama, cuma tidak perlu menghadiri sekolah sahaja. “Tambah bosan sahaja, tidak tahu nak buat apa di rumah.”

ANDA tergolong di golongan mana? Adakah anda di kalangan mereka yang sudah mempunyai rancangan sepanjang cuti sekolah atau adakah anda masih kabur tentang apa yang harus dilakukan semasa cuti?

Bagi remaja seperti Ahmad, sudah tentu masa cutinya dirancang dengan aktiviti yang berfaedah dan terisi, namun bagi remaja seperti Amir, pasti berasa bosan dan hilang arah apabila tibanya musim cuti sekolah. Apakah perancangan yang remaja boleh rangka dalam mengisi waktu ini? Apa pula peranan ibu bapa dalam mengisi masa anak-anak mereka supaya lebih berkualiti dan produktif?

Manfaatkan Cuti Secara Terancang

Cuti persekolahan atau cuti semester yang bakal tiba ini pastinya adalah saat-saat yang ditunggu bukan sahaja oleh pelajar sekolah dan universiti, malah ibu bapa. Tempoh cuti yang panjang ini menyediakan peluang waktu untuk pelbagai aktiviti lain yang tidak sempat dilakukan ketika hari persekolahan atau kuliah.

Namun jika pengisian cuti tidak dirancang dengan sebaiknya, berkemungkinan remaja bakal terheret ke kancah kebosanan atau kelalaian. Sesetengah remaja mungkin cenderung untuk menghabiskan masa dengan menonton televisyen, melayari Internet atau bermain permainan komputer.

Adalah tidak salah bagi para remaja mendapat kerehatan daripada rutin waktu persekolahan atau kuliah dengan aktiviti sedemikian. Tetapi adalah amat merugikan sekiranya sebahagian besar masa pelajar pada cuti panjang ini sekadar dipenuhi dengan aktiviti yang berbentuk hiburan semata-mata.

Maksud hadis Rasulullah ada menyatakan agar kita manfaatkan; waktu lapang sebelum tiba waktu sibuk, dan waktu muda sebelum tua. Justeru remaja harus menyedari akan betapa bernilainya waktu senggang yang tersedia kini lalu menggunakannya secara berkualiti.

Pada ketika ini juga adalah peluang untuk remaja dan ibu bapa berusaha meningkatkan keperibadian masing-masing mencakupi aspek pendidikan yang tidak sempat diberi penekanan pada ketika hari persekolahan. Sebagai contoh, ibu bapa dapat memantapkan lagi pembinaan sahsiah dan rohani dalam diri anak-anak dengan merancang aktiviti-aktiviti yang bersifat spiritual dan kembara.

Dalam Islam, pendidikan harus berjalan sejak dilahirkan sehinggalah ke nafas yang terakhir. Maka proses pendidikan terhadap anak-anak tidak seharusnya terhenti dengan berakhirnya hari persekolahan atau kuliah.

Mengisi waktu dengan aktiviti yang berfaedah semasa cuti panjang ini adalah sebahagian daripada pendidikan berterusan (continuous learning). Ketika ini pendidikan secara tidak formal boleh berjalan dengan ibu bapa boleh menjalankan peranan mereka sebagai murabbi kepada anak-anak dengan lebih berkesan.

Mengikuti Kursus Intensif

Tempoh waktu cuti yang panjang ini juga menyediakan jangka waktu yang ideal untuk remaja mengikuti pelbagai kursus intensif atau kelas pengajian. Dengan memilih mana-mana kursus atau kelas pengajian yang sesuai dengan minat dan bakat maka dapat mengembangkan potensi diri remaja.

Terdapat pelbagai kursus intensif yang boleh diikuti seperti kursus berkaitan teknologi maklumat (aplikasi web, pengaturcaraan), kemahiran teknikal (menjahit) dan pembinaan diri (ucapan umum, kem motivasi). Ilmu yang diperoleh dapat memberikan nilai tambahan kepada remaja apabila melanjutkan pelajaran ke menara gading atau ketika hendak memohon pekerjaan nanti.

Kursus bahasa seperti bahasa Inggeris juga amat bermanfaat dalam meningkatkan kemahiran pelajar dalam sesuatu bahasa itu. Bagi yang bakal menghadapi peperiksaan pada tahun hadapan, mereka juga boleh mengambil tuisyen intensif musim cuti demi mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut.

Di samping itu, para remaja juga boleh mengikuti kelas pengajian agama, seperti kelas membaca al-Quran, kelas tahfiz, kursus pengurusan jenazah ataupun kem ibadah. Program-program sedemikian mampu meningkatkan ilmu dan kefahaman agama para remaja serta membentuk jiwa dan peribadi remaja Muslim yang sejati.

Menghidupkan Budaya Membaca

Kesempatan cuti panjang ini adalah waktu terbaik untuk remaja menghidupkan budaya membaca. Remaja boleh memilih sebuah buku atau lebih yang berkualiti untuk dibaca sehingga habis dalam tempoh cuti ini. Kegiatan ini bukan sahaja mengisi masa remaja malah remaja bakal beroleh input yang bermanfaat daripada buku yang dibaca.

Selain itu, remaja juga boleh melawat ke perpustakaan awam atau kedai-kedai buku untuk meninjau dan membaca pelbagai jenis buku yang baru. Amalan sedemikian akan turut menyumbang ke arah mewujudkan minat membaca dalam diri remaja.

Upah Bekerja Amat Bermakna

Bagi mereka yang mengambil kesempatan untuk bekerja, bekerja juga dapat dilihat sebagai satu pendidikan berterusan kerana ia melatih diri untuk mematuhi disiplin kerja. Hal ini merangkumi aspek penampilan diri, perhubungan awam serta pematuhan etika kerja.

Upah atau gaji yang didapati hasil titik peluh remaja sendiri sudah tentu amat bermakna. Justeru remaja perlu menggunakan wang tersebut dengan cara yang sebaiknya. Sebahagian juga adalah disyorkan untuk disimpan bagi perbelanjaan ke universiti kelak, seperti di dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa seorang pelajar swasta perlu membelanjakan RM10,000 bagi setiap semester. Justeru perkara ini seharusnya membuka mata mereka yang bakal menerima upah agar berjimat cermat demi masa depan.

Beriadah, Berziarah Memupuk Ukhuwah

Aktiviti riadah seperti melancong ke tempat peranginan dapat menyegarkan jiwa dan minda serta memberi kekuatan baru kepada remaja. Di samping itu, kegiatan melancong bersama keluarga dapat membolehkan ibu bapa mendekati anak-anak, membina hubungan, serta memahami jiwa dan kehendak mereka.

Amalan berziarah sanak saudara atau sahabat handai juga dapat dilakukan pada ketika cuti sekolah ini. Berziarah tidak terhad kepada musim perayaan sahaja. Malah ketika ini ibu bapa boleh membawa anak-anak berziarah datuk nenek atau sanak saudara di kampung dengan kuantiti masa yang lebih banyak.

Kesimpulan

Musim cuti persekolahan yang bakal tiba ini memberi ruang kebebasan waktu untuk remaja. Justeru remaja perlu bijak merancang agar cuti dapat dimanfaat sebaik mungkin. Perancangan cuti dengan penyertaan ibu bapa dapat memastikan pengisian membina dan seterusnya menyumbang ke arah pembentukan keluarga bahagia.

Forum Perdana Ehwal Islam

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyiarkan siaran langsung Forum Perdana Ehwal Islam di RTM1 bertajuk, Menempah Puaka pada 15 November (Khamis) pukul 9 malam. Forum ini diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang, Bagan Datoh, Perak. Ia anjuran Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak, Pusat Perkhidmatan Ahli Parliman Keawan Bagan Datoh dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Ahli panel ialah Datuk Dr. Amran Kasimin (Pengamal Perubatan), Prof. Datuk Dr. Yusoff Hussein (Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan) dan Ustazah Siti Norbahyah Mahamood (Penceramah Bebas).

Pengerusi ialah Ustaz Zakaria Othman (Jakim) dan perantara ialah Mohammad Hafiz Hamidon (Jabatan Mufti Negeri Selangor).

Jamuan Aidilfitri Yadim

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) tidak ketinggalan meraikan bulan Syawal yang baru berlalu sebagaimana agensi kerajaan dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Pelbagai juadah hidangan meraikan tetamu diserikan dengan persembahan nyanyian untuk halwa telinga tetamu.

Bertempat di perkarangan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Kuala Lumpur, sekumpulan anak-anak yatim di Kampung Lundang, Hulu Selangor menjadi tetamu istimewa pada majlis tersebut.

Selain dirai dengan hidangan dan agihan sumbangan Hari Raya Yadim, anak-anak yatim di bawah kendalian program Briged Al-Falah Yadim turut menghiburkan tetamu melalui persembahan nyanyian.

Sebagai menghargai khidmat tulus tenaga kerja di institusi dakwah itu pula, Yadim turut menyampaikan anugerah khas kepada mereka yang cemerlang.

Personaliti: Kecemerlangan hasil didikan agama

Oleh Hasliza Hassan




Bimbingan Children Islamic Centre bentuk generasi muda berfikiran lebih rasional

MULANYA beliau mencari pusat didikan dan penjagaan kanak-kanak yang dapat memenuhi semua aspek diperlukan anaknya tetapi sebaliknya, beliau sendiri yang mengikuti kursus prasekolah dan akhirnya wujudlah Children Islamic Centre (CIC).

Begitulah mula cerita Pengasas CIC, Qutreen Nada Ahmad, 36, mengenai sejarah penubuhan pusat didikan dan penjagaan kanak-kanak CIC yang awalnya hanya bertujuan memenuhi kehendak hati untuk memberi yang terbaik kepada anaknya.

"Bukan tidak ada institusi prasekolah yang bagus saya jumpa tetapi jika ada pun, tetap ada kekurangan di sana sini. Dan apabila jumpa yang memang bagus pada pandangan saya dan menepati keperluan anak, ia dipelopori bukan Islam pula.


"Sebagai ibu, saya mahukan macam-macam untuk anak saya. Malangnya sukar untuk jumpa pusat didikan yang boleh beri apa yang saya mahukan itu. Akhirnya, saya fikir kenapa tidak saya saja yang sediakan apa yang saya mahukan untuk anak.

"Saya ikuti kursus prasekolah dan buat program untuk anak saya. Apabila ada permintaan, saya sewa rumah di Puchong dan mulakan secara kecil-kecilan," katanya pada pertemuan di pejabat ProQuaz Sdn Bhd di Presint 9, Putrajaya.

CIC yang nama asalnya Pusat Perkembangan Kanak-kanak Nada mula beroperasi pada 1997 dengan objektif melahirkan kanak-kanak cemerlang yang mampu menguasai ilmu dunia serta akhirat dan mahir dalam bahasa Melayu serta Inggeris.


Kemudian, apabila beliau merasakan perlu untuk pusat berkenaan lebih fokus iaitu menjadikannya pusat khusus untuk kanak-kanak Islam, maka Pusat Perkembangan Kanak-kanak Nada bertukar nama kepada Children Islamic Centre.

Selain menyediakan pendidikan prasekolah, kehadiran CIC juga bagi memberi alternatif kepada ibu bapa yang mencari pusat didikan dan jagaan yang menawarkan pendidikan menyeluruh dengan penekanan kepada agama serta kecemerlangan akademik.

Qutreen Nada berkata, selepas tahu hala tuju yang jelas, CIC berusaha mengembangkan program sesuai bagi memenuhi keperluan kanak-kanak Islam dalam bidang pendidikan serta pembangunan sahsiah untuk melahirkan umat Islam yang cemerlang.

Katanya, beliau bersyukur kerana program disusun awalnya hanya untuk memberi yang terbaik kepada anaknya diterima baik ibu bapa yang berkongsi pandangan serupa hingga membolehkan CIC terus bertahan hingga hari ini dan mempunyai 10 cawangan.

"Memang mulanya saya buat untuk anak tetapi sekarang matlamat saya ialah mewujudkan pusat didikan yang mampu melahirkan generasi contoh. Maknanya, jika dia jadi jurutera, biarlah jurutera yang agamanya tidak hilang dan boleh menjadi contoh kepada masyarakat.

"Begitu juga jika dia menjadi penyanyi, biar dia menjadi penyanyi yang memberi manfaat kepada peminat serta masyarakat. Mungkin ada yang pentingkan sijil tetapi saya pentingkan makna dan mahu anak pandai daripada sudut makna.

"Apabila dia faham, tidak kira apa bakal dia jadi di masa depan, dia akan membawa kebaikan kepada semua. Saya harap dapat melahirkan Perdana Menteri di kalangan anak-anak di CIC ini," katanya.

Katanya, beliau percaya pendidikan awal kanak-kanak perlu memasukkan elemen agama secara praktikal serta mementingkan pembinaan jati diri kanak-kanak sebagai seorang Muslim. Kanak-kanak perlu mengenal Allah dan apakah tuntutan-Nya terhadap manusia. Hasilnya, jati diri kanak-kanak dan tindakan semasa dewasa diharapkan berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Beliau juga mahukan anaknya dapat menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik dan hasrat itu turut diterjemahkan oleh CIC menggunakan kaedah whole word approach untuk bahasa Inggeris, Fonik untuk bahasa Melayu dan 'Mental Arithmetic' untuk matematik.

Qutreen Nada berkata, apa yang dimahukan untuk anaknya, itulah yang disediakan di CIC yang menyediakan perkhidmatan taman asuhan kanak-kanak (taska) untuk kanak-kanak dua bulan hingga dua tahun, Kelas Agama Fardu Ain (Kafa) menerusi pendekatan Islam dengan menggunakan buku rujukan daripada Iqra' Institute Chicago.

Katanya, kanak-kanak di CIC juga diperkenalkan dengan program Creating Story di mana mereka perlu mencipta mengikut imaginasi bagi memperkayakan mereka dengan kosa kata dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, pada usia awal, otak kanak-kanak dapat menerima maklumat dengan mudah dan program berkenaan memberi peluang mereka mengembangkan idea melalui teknik pengulangan sebutan dalam masa tertentu.

Katanya, agama juga diajar dalam bahasa Inggeris supaya mereka boleh menjadi pendakwah yang mampu berhadapan dengan masyarakat antarabangsa selain mengembangkan syiar Islam kepada bukan Islam supaya dapat memahami Islam yang sebenar.

"Kita juga bimbing kanak-kanak menggunakan rasional. Saya tidak setuju pandangan sesetengah ustaz yang melarang menggunakan akal sebab kononnya tidak sampai. Sebaliknya guna nas. Pada saya, akal tidak bercanggah dengan nas, kerana itulah Allah jadikan kita manusia yang berakal.

"Contohnya, Israk Mikraj tidak masuk akal tetapi kita perlu terima. Itu tidak benar sama sekali. Tidak masuk akal ketika itu tetapi sekarang, angkasawan negara Dr Sheikh Muszaphar sudah pergi angkasa lepas. Maknanya kita tidak boleh kata tidak masuk akal.

"Hadis Nabi SAW juga ada menjelaskan, berfikir satu minit lebih baik daripada ibadat setahun. Ini tandanya berfikir boleh membawa kita kepada puncak ibadat. Ada mengatakan orang akal pintar tidak boleh terima agama. Kita tidak boleh kata begitu kerana ini akan merendahkan agama," katanya.

Justeru katanya, pendekatan pembelajaran untuk kanak-kanak perlu menggalakkan pelajar berfikir secara rasional dengan membimbing mereka memahami sesuatu hakikat itu supaya mereka lebih kreatif tanpa menidakkan kepentingan berpegang kepada al-Quran dan sunnah.

Graduan jurusan ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, cabaran yang dihadapi untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kanak-kanak yang dihantar ke CIC ialah melahirkan pasukan yang bagus.

Katanya, hanya pasukan yang bagus dapat memastikan moto CIC, A Home Away From Home iaitu memberi pengalaman berada di rumah sendiri walaupun jauh dari rumah kepada kanak-kanak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, ada kalanya kegagalan mengekalkan pasukan yang bagus mendesak hatinya untuk menutup pusat didikan dan jagaan yang kini mencapai usia 10 tahun tetapi berkat sokongan suami, Azizi Ahmad, CIC masih terus dipertahankan.

"Moto kita ialah supaya kanak-kanak berasa seperti di rumah sendiri. Oleh itu, guru seperti ibu mereka sendiri. Untuk melahirkan guru yang juga ibu bukan mudah tetapi kita usahakan dengan memberi mereka kemahiran serta kursus.

"Ada juga yang menjadikan pusat kita sebagai batu loncatan. Setelah mengikuti kursus dan latihan, mereka tinggalkan kita. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana masih ada yang komited untuk memberi pendidikan terbaik kepada kanak-kanak Muslim," katanya.

Qutreen Nada berkata, selain keluarga serta pasukan CIC yang sentiasa bersemangat, beliau sentiasa berpegang dengan falsafah diri untuk melakukan apa yang perlu dan apabila sudah mula berlari, jangan pandang belakang tetapi terus berlari.

Ilmuwan Islam ketengah tokoh silam, kontemporari

PROGRAM dokumentari Ilmuwan Islam musim ketiga terbitan TV3 membuka tirainya dengan episod pengenalan yang akan disiarkan esok, jam 7.30 malam. Kembara Ilmuwan Islam kali ini mengetengahkan sembilan tokoh ilmuwan kurun kelapan hingga ke-14 Masihi.

Berteraskan konsep Dokumentari Sejarah Biografi, rancangan ini mengekalkan objektif penerbitan iaitu menyemai semangat mencipta kecemerlangan menerusi ilmu pengetahuan daripada kejayaan dicapai tokoh ilmuwan Islam cemerlang.

Tokoh yang diketengahkan dalam siri Ilmuwan Islam 13 episod termasuk Al-Razi yang masyhur dalam bidang perubatan, Al-Jahiz (zoologi), Ibn-Al Awwam (botani), Ziryab (muzik), Al-Zarqali (aeroangkasa), Jamshid Al-Kashi (matematik), Al-Sufi (meteorologi), Al-Majriti (kimia) dan Al-Jazzar (pemakanan).


Dokumentari ini juga memaparkan rahsia di sebalik pembinaan Hammam atau rumah mandi wap, masyarakat Asia Barat dan sejauh mana pengaruhnya kepada struktur binaan sauna moden dalam episod seni bina.

Turut dimuatkan, episod kejuruteraan yang akan mengupas bagaimana sumber alam semula jadi seperti angin, matahari dan tumbuhan boleh dieksploitasi sebagai punca tenaga alternatif. Lokasi rakaman penerbitan musim ini dilakukan di Mesir, Syria, Iran dan Turki.

Selain tokoh ilmuwan terdahulu, siri Ilmuwan Islam kali ini akan menampilkan tokoh kontemporari yang terbabit dalam bidang yang pernah dikuasai ilmuwan Islam seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang juga pakar sejarah Islam, Prof Dr Ekmeleddin Ihsanouglu.



Tokoh lain ialah pakar Geologi dari Mesir, Prof Dr Zaghlul al Najjar; pakar matematik dari Universiti Pertanian Malaysia, Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail; pakar Kardiologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad dan beberapa pakar lagi yang menyumbang pandangan serta kajian dalam memantapkan pengisian dokumentari Ilmuwan Islam musim ini.

Krew penerbitan yang terbabit menyediakan 13 episod yang menemui penonton setiap Jumaat itu terdiri daripada Wan Farid Wan Mohamed selaku penerbit bagi kumpulan pertama, Mohd Fasil Mohd Idris (penerbit kumpulan kedua), Nor Azman Nahar (pengarah), Khairuzzaman Mohamad dan Mohamed Ali Othman (jurukamera) dan Nasran Hassan (wartawan).

Episod pengenalan membawa penonton memahami objektif kembara krew Ilmuwan Islam musim ketiga dan pertemuan dengan Prof Dr Ekmeleddin yang menegaskan bahawa, �Tidak ada sebarang percanggahan atau pemisahan antara sains dan agama.�

Ternyata, persamaan yang dapat dilihat daripada kejayaan dicapai Ilmuwan Islam sama ada dulu dan kini yang akan dipaparkan dalam setiap episod ialah al-Quran menjadi motivasi kepada mereka dalam kajian dilakukan.

Program Ilmuwan Islam adalah cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mula disiarkan pada 2005 bertujuan menyuntik semangat masyarakat Islam hari ini melangkah setapak lagi dan menyedarkan mereka bahawa umat Islam pernah cemerlang.

Suntikan semangat itu selaras dengan 10 prinsip Islam Hadhari diperkenalkan kerajaan yang menekankan pentingnya umat Islam menguasai ilmu pengetahuan untuk berjaya dan maju serta menyumbang dalam pelbagai bidang.

Matlamat penerbitan dokumentari biografi sejarah ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada penonton mengenai keagungan tokoh Islam yang kurang ditonjolkan.

Ilmuwan yang pernah diketengahkan melalui siri ini ialah Ibnu Sina, Ibnu Baytar, Ibnu Khaldun, Al-Jazari, Al-Zahrawi, Al-Idrisi, Jabir Hayyan, Mimar Sinan, Khawarizmi, Cheng Ho dan tokoh ilmuwan negara, Abdullah Fahim.

Hak Muslim: Wanita kena pukul, maki masih sayang suami

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
exco_pgsm@yahoo.com

SAYA dan suami berkahwin atas pilihan sendiri. Keluarga saya dan suami merestui perkahwinan kami walaupun sebenarnya keluarga saya sudah ada calon untuk menjadi suami saya. Rumah tangga yang kami bina aman dan bahagia sehingga sejak dua tahun lalu, saya menghadapi masalah rumah tangga yang agak teruk.

Kami selalu bergaduh disebabkan suami terlalu kasar. Suami saya mula memukul dan memaki saya serta tidak menghormati orang tua saya lagi. Dia juga mengungkit mengatakan ibu bapa saya tidak sukakannya kerana mereka sudah ada calon suami yang lain sedangkan kedua ibu bapa saya menerima beliau sebagai menantu. Kami belum ada anak.

Bagaimana dapat saya menasihati suami dan membuat dia sedar akan kesalahannya. Buat masa ini saya tidak berniat untuk berpisah kerana saya percaya suami masih boleh dinasihati.


Isteri Solehah
Bangi, Selangor

Sikap positif puan dalam hasrat ingin mempertahankan keluarga adalah baik. Hanya puan dan suami saja yang mengetahui apa terbaik bagi keluarga puan. Orang lain hanya dapat membantu saja ke arah itu.

Perselisihan faham adalah lumrah rumah tangga. Namun, jika perselisihan faham itu membawa kepada pergaduhan lebih besar seperti maki hamun dan memukul tanpa sebab munasabah, ia mungkin akan tersasar daripada landasan dibenarkan hukum syarak.


Antara tujuan perkahwinan dalam Islam ialah untuk memupuk kasih sayang dan memenuhi naluri semula jadi manusia. Islam menggariskan peranan, tanggungjawab dan hak suami isteri.

Peranan, tanggungjawab dan hak itu mesti dipikul secara bersama dan tidak boleh dipisahkan. Jika objektif rumah tangga itu tidak dapat dicapai dan mungkin menimbulkan mudarat kepada isteri atau suami, maka pihak berkenaan boleh memohon untuk membubarkan perkahwinan berdasarkan alasan dan cara yang dibenarkan hukum syarak.

Antara inisiatif yang boleh puan lakukan ialah meminta bantuan pihak ketiga iaitu kenalan rapat suami, keluarga suami, pakar kaunseling atau sesiapa saja yang puan rasa suami hormati.

Bagaimanapun, puan perlu berhati-hati dalam memilih perantara supaya masalah tidak diperbesar yang menimbulkan masalah lain pula.

Puan juga perlu tahu punca perubahan suami. Pastikan sama ada ia berpunca daripada sifat semula jadi suami, tekanan kewangan, tekanan di tempat kerja dan masalah keluarga. Jika puan dapat mengenal pasti puncanya, cara untuk menangani masalah itu akan menjadi lebih mudah.

Umpamanya, jika ia berpunca daripada faktor tekanan kewangan yang menyebabkan suami menjadi selalu tidak tentu pasal dan naik angin, puan mungkin boleh menolong suami meringankan bebannya.

Jika ia sifat semula jadi suami, mungkin ia mengambil sedikit masa bagi suami berubah dan eloklah anda berdua mendapatkan khidmat pakar kaunseling.

Puan juga boleh berbincang sambil membawa kembali kenangan saat bahagia semasa awal perkahwinan dulu. Mungkin dengan ini suami akan sedar kesilapannya dan betapa bertuahnya mengahwini puan.

Hanya dengan perbincangan kita akan mengetahui isi hati pihak satu lagi. Berbincanglah dengan penuh keikhlasan.

Setelah berusaha, berserahlah kepada Allah bagi menentukan hasil usaha puan itu. Berdoalah kepada-Nya bagi membuka ruang di hati suami dan menanam benih kesedaran dalam jiwanya untuk berubah.

Bertawakal kepada-Nya kerana ini adalah ujian yang ditentukan oleh-Nya. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan apa yang mampu dihadapi oleh hamba itu.

Di samping itu juga puan perlu mengetahui hak di sisi undang-undang syariah supaya kebajikan dan keselamatan puan terpelihara. Jika khuatir keselamatan puan akan terancam, boleh memohon kepada mahkamah syariah suatu perintah menghalang suami daripada mengganggu dan memukul puan.

Bagi memudahkan mahkamah membuat pertimbangan untuk memberikan perintah tegahan itu, dokumen seperti laporan perubatan, laporan polis dan apa-apa dokumen berkaitan dengan insiden pukul itu hendaklah dikemukakan kepada mahkamah untuk pertimbangan.

Oleh itu puan dinasihatkan supaya mengumpul dokumen itu bagi digunakan jika perlu untuk memohon perintah tegahan di mahkamah nanti. Puan juga berhak memohon di Mahkamah Syariah untuk perintah pembubaran perkahwinan secara fasakh ataupun takliq jika terbukti suami memukul dan mencederakan puan.

Oleh itu, puan perlu bijak membuat keputusan sama ada untuk terus hidup dengan suami ataupun mengakhiri perkahwinan berkenaan.

Jika matlamat perkahwinan itu tidak dapat dicapai setelah segala usaha dilakukan dan keselamatan puan juga terancam, mungkin jalan terbaik ialah berpisah.

Namun begitu, berusahalah sedaya upaya terlebih dulu untuk mencari jalan terbaik menjernihkan suasana dan kembali kepada syariat yang sudah ditentukan, mudah-mudahan hidup kita akan diberkati Allah.

Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar. Sebarang soalan, sila kirimkan ke exco_pgsm@yahoo.com

Wednesday, November 14, 2007

Peguam Syarie Menulis: Wanita boleh sumpah 'al yamin' jika tiada saksi

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
exco_pgsm@yahoo.com.

APABILA berbicara mengenai isu gender di Mahkamah Syariah, sering kali perkara yang diketengahkan sesetengah ahli masyarakat adalah undang-undang Islam menindas golongan wanita.

Idea ini pula diperbahaskan dengan terperinci oleh golongan yang kurang memahami falsafah undang-undang Islam itu sendiri sehingga dikatakan dengan jelas undang-undang Islam mengaibkan dan mendiskriminasi wanita menyebabkan mereka tidak mendapat keadilan di Mahkamah Syariah.

Contoh yang selalu digunakan adalah kenapa lelaki mendapat dua kali ganda berbanding wanita di dalam pembahagian pusaka (faraid). Mengapa dua orang saksi wanita hanya menyamai kesaksian seorang saksi lelaki.

Mengapa wanita perlu mendapat izin suaminya apabila ingin keluar dari rumah, kenapa ada peruntukan suami boleh memukul isteri yang nusyuz, kenapa al-Quran menggunakan ganti nama lelaki apabila merujuk kepada orang beriman dan pelbagai persoalan lain lagi.

Persoalan sebegini bukan hanya ditimbulkan orang bukan Islam, malah sebahagian orang Islam juga menimbulkan polemik ini seolah-olah agama Islam tidak mengambil kira kedudukan dan jasa wanita serta mengesampingkan peranan dimainkan golongan berkenaan.

Berhubung undang-undang keterangan Islam, adakah benar undang-undang Islam menindas wanita hingga menyebabkan keadilan tidak dapat dinikmati mereka di Mahkamah Syariah? Persoalan yang acap kali ditimbulkan ialah mengenai kesaksian di Mahkamah Syariah.

Berbeza daripada Mahkamah Sivil, di Mahkamah Syariah kesaksian boleh dibahagikan kepada dua kategori besar iaitu �syahadah� dan �bayinnah� selain ikrar. Untuk kesaksian dalam bentuk syahadah, sebenarnya bukanlah dengan membawa mana-mana lelaki untuk bersyahadah maka mahkamah akan membenarkan dan memberi kemenangan kepada pihak terbabit.

Setiap syahadah sama ada daripada lelaki atau wanita tertakluk kepada pemeriksaan ketat yang dipanggil �tazkiyah al syuhud�. Dalam Islam, sesuatu penghakiman mesti dibuat dalam keadaan hakim itu pasti mengenai penghakimannya.

Apatah lagi dalam kes jenayah membabitkan jenayah hudud umpamanya, ia hendaklah dibuktikan melampaui sebarang keraguan. Di mahkamah sivil pula, beban pembuktian hanyalah melampaui keraguan yang munasabah. Ini antara sebab kenapa elemen kesaksian amat dititikberatkan dalam Islam.

Adakah ini bermakna wanita yang berulang-alik ke Mahkamah Syariah yang membabitkan permohonan cerai, fasakh dan lain-lain akan dinafikan hak mereka kerana tidak dapat mengemukakan saksi lelaki?

Jawapannya tentulah tidak. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai saksi atau pembuktian mencukupi, mereka masih berpeluang untuk menang kes. Perkara ini mustahil berlaku di Mahkamah Sivil.

Ada prosedur menurut hukum syarak yang dinamakan �al yamin� atau sumpah, berbeza dengan sumpah yang ditadbir di Mahkamah Sivil ataupun sumpah apabila memberi keterangan di Mahkamah Syariah. Ia adalah sumpah khusus yang menggunakan nama Allah.

Untuk ini Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggarap Arahan Amalan berhubung Amalan Sumpah Mahkamah Syariah. Arahan Amalan No 2 2006 itu berkuatkuasa 1 Jun 2006 dan dipakai ke atas segala prosiding tuntutan mal (sivil) di Mahkamah Syariah.

Arahan Amalan itu memperincikan antara lain hak yang boleh menerima pakai al yamin, cara bagaimana mentadbir sumpah al yamin, syarat dan pelaksanaannya serta kuasa hakim memerintahkan pihak bersumpah.

Dengan wujudnya arahan amalan itu, wanita yang gagal mengemukakan keterangan mencukupi boleh bersumpah mengikut kaedah yang ditetapkan dan hakim akan membuat keputusan berdasarkan sumpahnya.

Amalan sumpah diwujudkan bagi memudahkan pelaksanaan perbicaraan di Mahkamah Syariah kerana ia akan mengelakkan kes ditangguhkan kerana ketiadaan saksi. Ia juga akan menghindar daripada perbicaraan panjang yang sudah tentunya membabitkan kos dan perbelanjaan tinggi.

Sejak terpakainya arahan amalan itu, kes di Mahkamah Syariah dapat dipacu dengan kadar yang berkesan di samping tidak meminggirkan keadilan kepada mana-mana pihak. Cara sebegini tidak ada dalam tatacara di Mahkamah Sivil kerana Mahkamah Sivil bukan mahkamah yang diasaskan berpaksi kepada kepercayaan kepada Tuhan.

Dalam keadaan sedemikian, kita sering mendengar kisah orang yang berani memberi keterangan palsu di mahkamah. Tetapi jika keterangan palsu diberikan selepas al yamin di Mahkamah Syariah, maka laknat Allah akan melanda orang yang bersumpah itu.

Kegerunan terhadap Allah menjadi benteng untuk berkata benar. Sudah banyak kali terbukti di Mahkamah Syariah seseorang yang berbohong selepas bersumpah dilaknat Allah dengan pelbagai penghinaan.

Bagaimanapun, peruntukan yang diadakan itu tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah. Adakah dalam keadaan seperti ini Mahkamah Syariah dan undang-undang Islam harus dipersalahkan?

Justeru, apabila kita membandingkan sesuatu, kita hendaklah membandingkannya dengan betul. Jangan hanya kerana dalam 'syahadah' seorang saksi lelaki sama dengan dua orang saksi wanita kita melabelkan undang-undang syariah sebagai mendiskriminasi dan menindas wanita.

Ada jalan keluar yang digariskan hukum syarak bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua orang dan hak diberikan kepada mereka yang berhak saja.

Oleh itu, apabila membicarakan isu gender, yang penting bukanlah kita berlumba antara golongan lelaki dan wanita untuk dianggap sama tara dalam semua keadaan. Keadilan itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu mengikut tempat sepatutnya.

Apa yang perlu diutamakan ialah untuk mendapat keredaan Allah. Di dalam mencari keredaan Allah tiada perbezaan antara lelaki dan wanita. Masing-masing mempunyai peluang yang sama dalam mencapai kasih sayang dan keredaan Allah.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PSM). Semua komentar boleh dikirim ke exco_pgsm@yahoo.com.

Bersama YaPEIM: Tawakal, keimanan teguh elak penyakit jiwa

Oleh Penulis Khas YaPEIM

Umat Islam dilarang sama sekali putus asa dalam usaha capai kebahagiaan hidup dunia, akhirat

PENYAKIT psikologi seperti tekanan perasaan, bimbang, sedih, hasad dengki serta putus asa sebenarnya berpunca daripada fikiran tidak rasional yang ada dalam minda seseorang. Ia berlegar di sekitar salah faham terhadap empat perkara pokok iaitu Allah, hakikat diri insan, hakikat dunia dan hari akhirat.

Beberapa contoh salah faham terhadap Allah ialah seseorang yang berusaha keras dan berasakan dengan pasti bahawa dia akan mendapat apa yang diusahakannya. Namun apabila gagal, dia akan berasa sedih dan tertekan.

Begitu juga keadaan seseorang yang putus kasih, akhirnya menyebabkan dia berada dalam kesedihan yang melampau serta putus harap. Sama juga yang sedih dan terkilan kerana segala pengorbanannya tidak diiktiraf oleh majikan hingga melemahkan semangat untuk terus cemerlang.

Banyak lagi contoh yang dapat diketengahkan, namun apa yang pasti semua permasalahan psikologi tadi disebabkan jahilnya kita dengan hakikat Allah atau jauhnya Allah daripada kehidupan kita.

Harus diingat bahawa Allah yang menentukan segala keputusan. Kita hanya sekadar merancang dan melakukan yang terbaik. Selebihnya serahkan kepada Allah. Dengan berpendapat bahawa kita mesti dapat apa saja diusahakan adalah sesuatu yang tidak rasional dan akhirnya menyebabkan kita tertekan serta merana.

Di sinilah konsep tawakal dan kepercayaan kepada qada dan qadar perlu diingatkan. Bagi individu yang putus kasih, seharusnya beliau memahami jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Dalam hal seseorang yang terkilan kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya, beliau harus ingat bahawa Allah maha mengetahui dan segala sesuatu pastinya tidak terlepas daripada pandangan-NYA.

Sebab itulah kita sewajarnya bersikap ikhlas dalam pekerjaan kerana mungkin kita tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan duniawi, namun kita akan mendapat ganjaran lebih besar dan bermakna di akhirat nanti. Contoh di atas, jelas menunjukkan kejahilan terhadap Tuhan punca penyakit psikologi yang kita alami.

Salah faham terhadap hakikat diri, contohnya seseorang yang berfikiran bahawa harta dapat menjamin kabahagiaan, tetapi apabila harta sudah banyak, bukannya hati bertambah senang, malah semakin tertekan.

Anak beranak berpecah belah kerana harta dan ada yang sanggup berbunuhan kerana tamakkan harta. Tidur malam tidak sempurna sama ada asyik memikirkan bagaimana mahu menambah harta atau takut harta dilarikan orang.

Jika kita mengenali siapa kita sebenarnya, iaitu hakikat ruh dan jasad, kita akan mengetahui hakikat diri yang sebenar adalah ruh bukannya jasad. Jasad hanya kenderaan bagi ruh dan harta pula hanya sekadar memenuhi kehendak jasad.

Apabila mati, jasad kita tinggalkan akan hancur musnah, tetapi roh (yang kita rujuk sebagai �aku�) akan meneruskan perjalanan ke alam berikutnya.

Faktor utama yang membahagiakan roh adalah kenal dan dekatnya ia dengan Tuhannya. Sebab itu, lagi dekat kita dengan Allah, lagi bahagia kita rasakan, tetapi lagi jauh kita dengan Tuhan, bertambah sengsara kita rasakan.

Orang kaya-raya dan berkedudukan, tetapi tidak mengamalkan ajaran Allah dan Rasul, rohnya sakit dan tidak akan bahagia. Hatinya penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam penyakit psikologi lain. Namun jika rohnya sihat, tetapi berkurangan sedikit daripada aspek keperluan jasadiah, dia masih tersenyum bahagia.

Salah faham terhadap dunia berlaku apabila kita mengharapkan sesuatu bersifat duniawi akan kekal. Kasih suami pada isteri, ibu pada anak, biar seutuh mana sekalipun, pastinya akan berkesudahan dengan perpisahan.

Tiada yang kekal kecuali Allah. Oleh itu, mengharapkan sesuatu yang tidak kekal supaya kekal adalah tidak rasional. Kita yang akan merana jika fahaman sebegini berada dalam kotak fikiran.

Disebabkan itu, dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan pemilihan pasangan, Rasulullah SAW menyuruh kita memilih pasangan yang beragama, kerana agama adalah sesuatu yang kekal. Rumah tangga yang dibina atas asas agama pasti lebih utuh daripada yang dibina atas asas kecantikan dan harta yang sifatnya sementara.

Salah faham terhadap hari kemudian berlaku apabila kita menganggapnya tidak penting kerana ia jauh dan tidak nampak. Namun sebaliknya, hari akhirat adalah penting kerana ia adalah destinasi terakhir dan abadi.

Memahami hakikat ini, kita sewajarnya tidak mudah menangis dan berasa sedih apabila berhadapan dengan permasalahan duniawi. Kita sepatutnya tahu menyusun keutamaan dengan mendahulukan apa yang dapat menjamin kebahagiaan kita di sana.

Ada tiga perkara yang perlu kita usahakan sebagai bekalan di akhirat nanti seperti yang disaran Rasulullah SAW iaitu anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.

Bersesuaian dengan pentingnya amal jariah, penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai institusi amal jariah haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Banyak penyakit psikologi dialami masyarakat hari ini berpunca daripada kejahilan atau kurangnya ilmu khususnya berkaitan empat perkara. Sumber ilmu yang benar seharusnya daripada agama. Agama memberikan mekanisme pertahanan yang kuat untuk kita berdepan segala cabaran di dunia.

Amalan tarekat di Perak perlu didaftarkan di JAIP

Oleh AZMI ABDUL MALEK

AMALAN dan ajaran sesat sekumpulan umat Islam yang berlaku di negara ini membimbangkan ulama dan pemimpin kerajaan. Akidah yang terpesong boleh menyebabkan seseorang itu ia dianggap murtad atau terkeluar daripada agama.

Sehubungan itu Jabatan Kebajikan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama di setiap negeri mempunyai tugas berat memantau kumpulan pengamal agama Islam, terutamanya yang masih lemah dalam penguasaan ilmu dan iman kepada Allah.

Antara pengamal agama Islam terkenal di negara ini ialah kumpulan tarekat yang sudah bertapak beberapa tahun lalu.

Namun begitu ada sebilangan yang mengaku mereka sebagai kumpulan tarekat tetapi amalannya terpesong daripada ajaran agama Islam sebenar.

Mereka yang melakukan kesalahan boleh didakwa di mahkamah syariah dengan dikenakan hukuman berat.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) mengenakan denda RM5,000 atau penjara tiga tahun terhadap pengamal tarekat yang tidak mendaftarkan kumpulannya dengan jabatan berkenaan apabila Enakmen Kawalan Tarekat Negeri Perak dilaksanakan mulai tahun depan.

Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury berkata, mana-mana syeikh yang tidak mempamerkan perakuan pendaftaran tarekat, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, mana-mana orang yang mengamalkan tarekat di suatu tempat tanpa kebenaran pendaftar, adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“JAIP akan melaksanakan Enakmen Kawalan Tarekat Negeri Perak mulai tahun depan bagi memastikan perjalanan institusi murni itu selaras dengan kehendak syarak dan mengawal penyelewengan dan perlanggaran undang-undang sedia ada,” katanya kepada Mega di pejabatnya di Ipoh, baru-baru ini.

Jamry berkata, setiap institusi atau organisasi tarekat diminta mendaftarkan kegiatan mereka dengan JAIP apabila enakmen itu dikuatkuasakan nanti.

Beliau berkata, institusi terbabit dikehendaki mengemukakan laporan senarai keahlian dan murid yang menjadi pengikut, kurikulum pengajian dan kitab rujukan utama digunakan.

Katanya, tujuan tindakan ini dibuat bukan disebabkan JAIP mahu menyekat perkembangan tarekat sebaliknya mahu memastikan institusi terbabit terus murni dan berjalan mengikut syariat Islam dan jauh daripada gejala penyelewengan yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Jamry berkata, berdasarkan pengalaman dan kajian pegawai JAIP dan tokoh akademik, sesuatu ajaran sesat dan penyelewengan boleh dikesan walaupun penampilan mereka menggunakan pelbagai rupa dan nama.

Beliau yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam Perak (MAIP) berkata, antara kriteria ajaran sesat ialah:

* mendakwa Allah menjelma dalam diri guru atau seseorang,

* mendakwa diri mereka sebagai nabi atau malaikat,

* mengamalkan nikah batin,

* mendakwa guru mereka memegang kunci syurga dan

* pengikutnya sahaja dijamin masuk syurga.

Selain itu katanya, golongan pengamal ajaran sesat turut mendakwa guru mereka boleh menebus dosa, percaya guru mereka menerima wahyu seperti nabi dan rasul, guru mempunyai mukjizat, meninggalkan kefarduan yang telah diijmakkan seperti solat Jumaat tanpa keuzuran syarak dan mendakwa ajaran mereka diambil terus dari Rasulullah secara jaga bagi menyelesaikan sesuatu masalah semasa.

“Sesetengahnya berselindung dengan amalan zikir tetapi sebenarnya lain yang diucapkan dan dilakukan.

“Banyak lagi perkara pelik yang mencabar kewibawaan JAIP, pemikir dan umat Islam di negara ini,” katanya.

Jamry berkata, draf enakmen berkaitan sudahpun disiapkan dan akan diserahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Perak untuk semakan sebelum dibentangkan kepada Majlis Fatwa dan MAIP untuk diluluskan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Menurutnya, satu seminar mengenai tarekat diadakan baru-baru ini bagi membuka peluang umat Islam di negeri ini memahami ajaran sebenar amalan kumpulan berkenaan, di samping mengelakkan mereka terjebak dalam kumpulan ajaran sesat yang semakin berleluasa ketika ini.

Pakej umrah dan ziarah menanti pembaca Utusan

BERSEMPENA musim haji 2008 ini, Utusan Melayu (M) Berhad dan Serba Wangi Sdn. Bhd., bekerjasama bagi menyemarakkan syair Islam dengan mengagungkan Baitullah Al-Haram dan Tanah Suci Mekah melalui tawaran pakej Umrah dan Ziarah secara percuma.

Peluang mengerjakan umrah dan ziarah secara percuma itu merupakan hadiah kemuncak bagi umat Islam bertuah yang menyertai Peraduan Ilmu & Amal Utusan-Jati bermula 5 November lalu.

Berkonsepkan berilmu dan beramal, Utusan selaku syarikat penerbitan akhbar terunggul Malaysia dan syarikat pengeluar beras utama negara, Serba Wangi menawarkan pakej khas ibadah umrah dan ziarah sebagai menghargai pembaca dan pengguna Islam, sekali gus menyemarakkan roh ibadah dan suasana musim haji 2008 yang bakal menjelang pada 8 hingga 13 Zulhijjah nanti.

Jalinan kerjasama akhbar penyebar fikiran rakyat, Utusan dan Mingguan Malaysia beserta jenama beras Jati itu juga merupakan kemuncak aktiviti menghargai pelanggan melalui program Kita Bersama.

Pakej Umrah dan Ziarah bernilai RM10,000 beserta wang tunai sebanyak RM5,000 menanti peserta sebagai hadiah utama peraduan berkenaan.

Selain itu, hadiah mingguan pakej Umrah dan Ziarah bernilai RM4,500 juga disediakan kepada pemenang bertuah untuk cabutan pada setiap minggu.

Peraduan Ilmu & Beramal Utusan-Jati selama sebulan sepanjang November 2007 itu dilancarkan di Kompleks PKNK, Shah Alam pada 1 November lalu.

Untuk memenangi hadiah-hadiah menarik pakej istimewa yang ditaja oleh Beras Jati, para pembaca Utusan Malaysia hanya perlu menjawab dua soalan mudah mengenai haji dan umrah serta keagamaan yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 5 November.

Untuk menyertai peraduan itu pula, peserta hanya perlu mengumpul semua jawapan dari soalan-soalan yang dikemukakan dengan melekatkannya di atas sehelai kertas kosong bersaiz A4 sebagai satu set berserta borang penyertaan asal yang lengkap.

Set jawapan dan borang penyertaan dipenuhi dengan lengkap hendaklah di hantar kepada Utusan Malaysia di alamat yang ditetapkan.

Penyertaan peraduan ini akan ditutup pada setiap hari Jumaat minggu yang berikutnya dan penyertaannya terbuka kepada pembaca beragama Islam di seluruh negara.

Hanya seorang pemenang akan dipilih sebagai penerima hadiah mingguan berupa pakej Umrah dan Ziarah bernilai RM4,500.

Pemilihan dibuat berdasarkan sistem cabutan borang penyertaan terawal yang menepati syarat beserta jawapan yang betul.

Para pemenang mingguan ini pula akan bersaing melalui proses cabutan dan penilaian lebih teliti untuk memilih pemenang hadiah utama pakej Umrah dan Ziarah bernilai RM10,000 beserta wang tunai RM5,000.

Bukan Yang Pertama (Siri 133)

Oleh SALINA IBRAHIM

YASMIN Zulaikha berjalan tenang ke kamar emak selepas menunaikan solat Maghrib dan meluangkan masa 15 minit untuk menghabiskan surah Yassin. Dia berasa beroleh kekuatan selepas itu. Terasa separuh bebannya terangkat pergi.

Dia reda. Kesusahannya tidaklah sesukar mana sebenarnya. Senja ini dia bertemu seorang wanita lain, Fatiha, yang sudah kehilangan dua orang anak dan kini barangkali anak ketiganya sedang tenat, mungkin juga sedang menanti maut.

Jadi apalah sangat bebannya sekarang ini. Dia harus belajar menerima hakikat bahawa cepat atau lambat, dia tetap akan kehilangan orang tersayang. Itu hukum alam yang mesti dia akuri; bahawa kehidupan di dunia ini memang bersifat sementara.

Dia tiba di kamar emak. Sunyi, kesunyian yang biasa tetapi tiba-tiba ada terdetik rasa aneh di hatinya. Ada debar yang menghentam hatinya.

Umar Khalil muncul entah dari mana, terus menarik tangannya ketika dia berada di hadapan pintu. Tergamam dia tetapi suaminya itu perlahan menariknya duduk di kerusi kosong yang berderetan.

“Abang nak Zu tenang dan sabar....” Umar Khalil renung matanya dalam-dalam.

Yasmin Zulaikha menarik nafas, dalam dan melepaskan dengan teratur.

“Zu dah sedia, bang...”

“Mak dah tak ada...”

Yasmin Zulaikha mengetap bibir. Dia memejamkan mata sejenak. Menahan air mata daripada tumpah, tetapi saat membuka mata kembali, setitik air terlerai jatuh jua.

“Bila?” sepatah pertanyaannya.

“Kurang 10 minit tadi. Masa Zu tengah solat tadi.”

Innalillahiwainnalilaihirajiun... daripada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali. Demikian dia bergumam dalam hati.

Beberapa minit dia terasa longlai di kerusi. Beberapa minit dia terasa bagaikan sukar mahu percaya. Tetapi dalam masa beberapa minit itu juga, dia membisikkan kalimah Allah berkali-kali.

“Bangun...kuatkan hati. Kita masuk, beri penghormatan terakhir untuk mak,”

Umar Khalil sedikit menegaskan suara.

Jenazah emak selamat dibawa pulang beberapa jam kemudian selepas selesai segala urusan di hospital. Malam pekat tetapi kediaman terang-benderang ketika jenazah tiba. Jiran tetangga dan saudara mara terdekat sudah menunggu. Kumpulan wanita di bawah pimpinan Ustazah Wan Faezah malah sudah selesai menghabiskan satu pusingan bacaan Yasin.

Yasmin Zulaikha melangkah masuk ke rumah dengan langkah longlai. Rumah ini sudah berdepan tiga kematian. Bermula dengan abah, kemudian Azlan dan sekarang emak tersayang. Tetapi dia reda. Dia harus tabah. Kerana kematian itu pasti, sama ada cepat atau lambat.

Dia sudah bersedia untuk menerima hakikat kehilangan emak tersayang. Dia sudah bersedia untuk melayari kehidupan dan membuat keputusan sendiri tanpa bimbingan emak lagi selepas ini.

Kuat.

Dia bisikkan kalimah itu berkali-kali. Ini bukan kali pertama dia berdepan kematian. Ini bukan kali pertama dia kehilangan orang tersayang. Kematian abah beberapa tahun lalu tidak kurang menekan minda. Juga pemergian Azlan yang tidak terduga, suatu kehilangan yang tidak pernah disangka-sangka.

Sekarang, apabila berdepan kematian emak, sepatutnya dia sudah cukup tabah dan gagah untuk mengawal emosi!

Beberapa orang saudara mara dan orang tua menggesa dia supaya berehat. Dia turutkan pesanan mereka. Melangkah masuk ke kamar, terhidu harum kamar pengantin dan hiasan yang masih elok, dia menitiskan air mata. Teringat pesanan-pesanan emak, terngiang-ngiang nasihat yang tepu berisi, semua itu buat dia jadi tambah sebak.

Dia meletakkan kepala di bantal, berusaha untuk tidur, mahu mendapatkan rehat sejenak. Dia harus menjana tenaga untuk esok. Esok jenazah emak akan disemadikan. Emak tentunya akan bergabung bersama Allahyarham abah dan Azlan yang sudah pergi dahulu.

Damailah emak di alam sana.

Anak-anak emak akan mendoakan kesejahteraan emak.

Alunan ayat-ayat suci memenuhi seisi kediaman, menusuk ke telinganya.

Dia melihat wajah emak tersenyum puas. Dia nampak emak berwajah lega. Dia andaikan emak sudah puas menikmati kehidupan di dunia dan amat bersedia untuk melangkah ke alam barunya.

“Kita reda. Memang itu yang terbaik untuk dia....” suara Umar Khalil tidak sudah-sudah memujuk.

“Abang rasa emak memang sudah tahu masanya akan tiba?”

“Dia tenang sangat. Dia nampak aman sangat. Insya-Allah itu tandanya dia bahagia di sana...”

“Zu teringat mak kerap bercakap yang pelik-pelik kebelakangan ini...”

“Hisy! Itu persepsi orang kita. Kita suka benar mengaitkan orang yang meninggal dunia dengan kelakuan dan sikap aneh yang ditunjukkan sebelum dia meninggal. Kononnya, dia macam sudah tahu yang dia akan meninggal dunia, cumanya dia tidak boleh meluahkan secara terus-terang. Abang sebenarnya kurang gemar kita berfikir begitu.”

Yasmin Zulaikha diam menelinga, menghadamkan fakta itu ke dalam minda.

Jenazah emak selamat disemadikan jam 11 pagi esoknya. Dia puas dapat menatap wajah emak sungguh-sungguh. Dia sendiri yang terlibat memandikan jenazah emak walaupun mula-mulanya ada beberapa orang jiran perempuan sedikit risau membenarkan dia ikut serta.

Barangkali mereka bimbang dia lembik dan tidak kuat semangat ketika melihat jenazah emak.

“Saya anaknya. Lebih afdal saya ikut memandikan jenazah emak saya...” balasnya, begitu yakin.

“Kak Min yakin?” Anis memandangnya, sedikit ragu.

“Insya-Allah...”

Ustazah Wan Faezah masuk campur, menyokongnya. Guru agama Allahyarham emaknya itu mengetuai kumpulan kecil menguruskan jenazah, memandikan dan seterusnya mengkafankan.

Bibirnya tidak putus-putus melafazkan kalimah suci, sedekah terakhir untuk emak yang sudah meniti ke alam sana dan kini tubuhnya sedang diuruskan sebelum dikirimkan ke liang lahad.

Semua itu terus ranai di ingatan. Pasti kekal tercetak di minda selama-lamanya.

“Abang sempat temankan mak semasa di hospital. Dia ada pesan apa-apa?” Yasmin Zulaikha menoleh, renung wajah suami yang berbaring di sebelahnya.

Malam sudah terlalu larut. Seisi rumah pasti sudah terlelap kerana keletihan menguruskan kematian siang tadi.

Umar Khalil menoleh.

“Tak banyak. Dia hanya berpesan...”

“Pesan apa?”

“Jadi suami yang baik pada Yasmin Zulaikha. Jadi abang yang baik pada Anis...”

Yasmin Zulaikha mengetap bibir.

Air matanya berladung.

Emak... sehingga hujung nyawanya masih tetap mengutamakan kepentingan anak-anak.

Bersambung

Ibu difardukan menyusu anak

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: Hukum yang berikut ialah hukum yang berhubung dengan penyusuan kanak-kanak selepas talak.

Undang-undang keluarga pastilah mengandungi penjelasan mengenai hubungan yang tidak dapat diputuskan di antara suami dan isteri selepas talak, iaitu hubungan anak yang telah disumbangkan oleh mereka berdua. Dan si anak inilah yang mengikatkan mereka berdua.

Apabila ayah dan ibu tidak dapat hidup bersama lagi, maka si anak yang masih mentah itu pastilah mendapat jaminan-jaminan yang hemat dan terperinci yang meliputi segala keadaan.

Firman Allah: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik. Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya. Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa) kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya. Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 233)

Firman Allah s.w.t.: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu

Al-Mawardi berkata: Perkataan haul di sini bermaksud tahun pada asalnya mempunyai dua pendapat:

Pertama: Dengan maksud perubahan dari waktu pertama.

Kedua: Dengan maksud perubahan dari tempat iaitu perpindahan ke tampat yang lain.

Si ibu yang dicerai mempunyai kewajipan terhadap anaknya yang masih menyusu, iaitu kewajipan yang difardukan Allah ke atasnya. Allah tidak membiarkan si ibu itu dalam menghadapi perkara ini kepada fitrah dan emosinya yang mungkin dirosakkan oleh perbalahan-perbalahan suami isteri dan menyebabkan si anak yang kecil itu menanggung penderitaan.

Oleh itu Allah sendiri yang memelihara si anak dan memfardukan kewajipan itu ke atas leher ibunya, kerana Allah lebih melindungi manusia daripada mereka melindungi diri sendiri, kerana Allah lebih berbakti darpada mereka dan lebih kasihan daripada ibu bapa mereka. Allah memfardukan ke atas si ibu menyusukan anaknya selama dua tahun genap kerana Allah s.w.t mengetahui bahawa tempoh yang paling penting dari segi kesihatan dan kejiwaan seseorang kanak-kanak.

Firman Allah s.w.t, …dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik.

Menurut hasil kajian kesihatan dan kejiwaan pada hari ini ternyata bahawa tempoh dua tahun adalah satu tempoh yang perlu untuk membolehkan kanak-kanak itu subur dengan kesuburan yang sihat dari segi kesihatan dan kewajipan, tetapi nikmat Allah kepada kaum Muslimin tidak menunggu mereka mengetahui hakikat ini daripada hasil ujian mereka.

Tabung simpanan insaniah yang mengandungi perbendaharaan pengalaman zaman kanak-kanak tidak pernah ditinggalkan hingga dimakan oleh kejahilan selama masa yang panjang ini kerana Allah Maha Pengasih terhadap para hamba-Nya terutama terhadap kanak-kanak yang kecil yang memerlukan kepada kasih sayang dan belaan.

Dan bagi si ibu pula telah diwajibkan ke atas bapa si anak, sebagai balasan terhadap kewajipan yang difardukan Allah kepadanya, supaya memberi kepada si ibu perbelanjaan makan dan minum dan pakaian mengikut pertimbangan yang baik kerana kedua-duanya berkongsi dalam tanggungjawab itu. Kedua-duanya bertanggungjawab terhadap bayi yang masih menyusu itu.

Si ibu membantu dengan susu dan jagaan dan si bapa pula membantu dengan makanan dan pakaian untuk membelanya. Kedua-duanya menunaikan kewajipan masing-masing dalam batas kemampuannya.

Firman Allah s.w.t.: Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya.

Syeikh al-Maraghi berkata: Tidaklah membebankan seseorang kecuali mengikut kemampuannya.

Sonhaji berkata: Si ayah tidaklah diberati dengan nafkah anak dan ibu tadi, melainkan sekadar yang termampu oleh ayah atau sekadar yang ada, jangan sampai ibu dan anak itu menuntut yang berlebihan sehingga terkeluar dari batas kesanggupannya.

Firman Allah s.w.t.: Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa).

Sonhaji berkata: Ibu yang bersedia menyusukan anaknya, janganlah anaknya itu diambil untuk disusui oleh perempuan lain, kerana yang demikian itu menyusahkannya. Atau ibu itu terpaksa menyusukan supaya menjadi beban dan kesusahan kepadanya. Padahal ia tidak sanggup menyusukannya. Dalam pada itu, menyusukan anak itu tiadalah wajib baginya.

Begitulah pula ayah anak itu, janganlah dibebankan dengan meletakkan anaknya kepadanya, padahal anak itu perlu disusui oleh ibunya sehingga menyusahkan ke atas dirinya dan iri kanak-kanak itu.

Walhasil salah seorang darpadai kedua-dua ibu bapa itu janganlah saling sakit menyakiti dan susah menyusahkan, disebabkan adanya kanak-kanak tadi. Jangan pula keduanya menyusahkan anak mereka, bahkan hendaklah keduanya bertanggungjawab ke atas kehidupannya.

Selain kedua-duanya bertanggungjawab, waris kanak-kanak itu pun ikut bertanggungjawab pula - manakala bapanya meninggal dunia – misalnya waris tersebut datuk, abang, bapa saudara dan seumpamanya daripada ahli waris sebelah lelaki. Mereka hendaklah menanggung mana-mana yang patut tentang nafkahnya. Dan ahli waris pula, janganlah mendatangkan kesusahan kepada kanak-kanak tersebut.

Firman Allah s.w.t.: Kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya.

Sonhaji berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa ibu bapa tidak berdosa menceraikan susu anaknya sebelum anak itu berumur dua tahun, iaitu sekiranya tiada mendatangkan mudarat kepada anak-anak tersebut.

Firman Allah s.w.t: Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik.

Al-Baghawi berkata: Bagi anak-anak kamu ada penyusu-penyusu selain ibu mereka jika ibu mereka enggan menyusukannya ataupun dengan sebab sakit dan tiada susu. Maka bolehlah dicarikan ibu susuan untuk menyusukan kanak-kanak tersebut, asal dibayar upahnya. Atau mengupah kepada ibu kanak-kanak itu sendiri. Perbuatan demikian tiadalah berdosa.

Firman Allah s.w.t.: Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang dilakukan kamu.

Nyata takwa merupakan puncak kepada segala kebaikan dan kebajikan. Dengan sebab itu manusia akan mematuhi segala arahan Allah dan menjauhi segala larangannya.

Sonhaji berkata: Tiadalah sekali-kali tersembunyi di sisi Allah segala perbuatan yang kamu lakukan.

Iktibar Ayat

- Pensyariatan penyusuan bagi ibu-ibu kepada anak-anaknya.

- Nafkah yang diberikan mengikut kadar kemampuan seseorang bapa.

- Hak hadanah berdasarkan ayat di atas adalah milik ibu.