Wednesday, November 14, 2007

Ibu difardukan menyusu anak

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: Hukum yang berikut ialah hukum yang berhubung dengan penyusuan kanak-kanak selepas talak.

Undang-undang keluarga pastilah mengandungi penjelasan mengenai hubungan yang tidak dapat diputuskan di antara suami dan isteri selepas talak, iaitu hubungan anak yang telah disumbangkan oleh mereka berdua. Dan si anak inilah yang mengikatkan mereka berdua.

Apabila ayah dan ibu tidak dapat hidup bersama lagi, maka si anak yang masih mentah itu pastilah mendapat jaminan-jaminan yang hemat dan terperinci yang meliputi segala keadaan.

Firman Allah: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik. Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya. Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa) kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya. Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 233)

Firman Allah s.w.t.: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu

Al-Mawardi berkata: Perkataan haul di sini bermaksud tahun pada asalnya mempunyai dua pendapat:

Pertama: Dengan maksud perubahan dari waktu pertama.

Kedua: Dengan maksud perubahan dari tempat iaitu perpindahan ke tampat yang lain.

Si ibu yang dicerai mempunyai kewajipan terhadap anaknya yang masih menyusu, iaitu kewajipan yang difardukan Allah ke atasnya. Allah tidak membiarkan si ibu itu dalam menghadapi perkara ini kepada fitrah dan emosinya yang mungkin dirosakkan oleh perbalahan-perbalahan suami isteri dan menyebabkan si anak yang kecil itu menanggung penderitaan.

Oleh itu Allah sendiri yang memelihara si anak dan memfardukan kewajipan itu ke atas leher ibunya, kerana Allah lebih melindungi manusia daripada mereka melindungi diri sendiri, kerana Allah lebih berbakti darpada mereka dan lebih kasihan daripada ibu bapa mereka. Allah memfardukan ke atas si ibu menyusukan anaknya selama dua tahun genap kerana Allah s.w.t mengetahui bahawa tempoh yang paling penting dari segi kesihatan dan kejiwaan seseorang kanak-kanak.

Firman Allah s.w.t, …dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik.

Menurut hasil kajian kesihatan dan kejiwaan pada hari ini ternyata bahawa tempoh dua tahun adalah satu tempoh yang perlu untuk membolehkan kanak-kanak itu subur dengan kesuburan yang sihat dari segi kesihatan dan kewajipan, tetapi nikmat Allah kepada kaum Muslimin tidak menunggu mereka mengetahui hakikat ini daripada hasil ujian mereka.

Tabung simpanan insaniah yang mengandungi perbendaharaan pengalaman zaman kanak-kanak tidak pernah ditinggalkan hingga dimakan oleh kejahilan selama masa yang panjang ini kerana Allah Maha Pengasih terhadap para hamba-Nya terutama terhadap kanak-kanak yang kecil yang memerlukan kepada kasih sayang dan belaan.

Dan bagi si ibu pula telah diwajibkan ke atas bapa si anak, sebagai balasan terhadap kewajipan yang difardukan Allah kepadanya, supaya memberi kepada si ibu perbelanjaan makan dan minum dan pakaian mengikut pertimbangan yang baik kerana kedua-duanya berkongsi dalam tanggungjawab itu. Kedua-duanya bertanggungjawab terhadap bayi yang masih menyusu itu.

Si ibu membantu dengan susu dan jagaan dan si bapa pula membantu dengan makanan dan pakaian untuk membelanya. Kedua-duanya menunaikan kewajipan masing-masing dalam batas kemampuannya.

Firman Allah s.w.t.: Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya.

Syeikh al-Maraghi berkata: Tidaklah membebankan seseorang kecuali mengikut kemampuannya.

Sonhaji berkata: Si ayah tidaklah diberati dengan nafkah anak dan ibu tadi, melainkan sekadar yang termampu oleh ayah atau sekadar yang ada, jangan sampai ibu dan anak itu menuntut yang berlebihan sehingga terkeluar dari batas kesanggupannya.

Firman Allah s.w.t.: Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa).

Sonhaji berkata: Ibu yang bersedia menyusukan anaknya, janganlah anaknya itu diambil untuk disusui oleh perempuan lain, kerana yang demikian itu menyusahkannya. Atau ibu itu terpaksa menyusukan supaya menjadi beban dan kesusahan kepadanya. Padahal ia tidak sanggup menyusukannya. Dalam pada itu, menyusukan anak itu tiadalah wajib baginya.

Begitulah pula ayah anak itu, janganlah dibebankan dengan meletakkan anaknya kepadanya, padahal anak itu perlu disusui oleh ibunya sehingga menyusahkan ke atas dirinya dan iri kanak-kanak itu.

Walhasil salah seorang darpadai kedua-dua ibu bapa itu janganlah saling sakit menyakiti dan susah menyusahkan, disebabkan adanya kanak-kanak tadi. Jangan pula keduanya menyusahkan anak mereka, bahkan hendaklah keduanya bertanggungjawab ke atas kehidupannya.

Selain kedua-duanya bertanggungjawab, waris kanak-kanak itu pun ikut bertanggungjawab pula - manakala bapanya meninggal dunia – misalnya waris tersebut datuk, abang, bapa saudara dan seumpamanya daripada ahli waris sebelah lelaki. Mereka hendaklah menanggung mana-mana yang patut tentang nafkahnya. Dan ahli waris pula, janganlah mendatangkan kesusahan kepada kanak-kanak tersebut.

Firman Allah s.w.t.: Kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya.

Sonhaji berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa ibu bapa tidak berdosa menceraikan susu anaknya sebelum anak itu berumur dua tahun, iaitu sekiranya tiada mendatangkan mudarat kepada anak-anak tersebut.

Firman Allah s.w.t: Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik.

Al-Baghawi berkata: Bagi anak-anak kamu ada penyusu-penyusu selain ibu mereka jika ibu mereka enggan menyusukannya ataupun dengan sebab sakit dan tiada susu. Maka bolehlah dicarikan ibu susuan untuk menyusukan kanak-kanak tersebut, asal dibayar upahnya. Atau mengupah kepada ibu kanak-kanak itu sendiri. Perbuatan demikian tiadalah berdosa.

Firman Allah s.w.t.: Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang dilakukan kamu.

Nyata takwa merupakan puncak kepada segala kebaikan dan kebajikan. Dengan sebab itu manusia akan mematuhi segala arahan Allah dan menjauhi segala larangannya.

Sonhaji berkata: Tiadalah sekali-kali tersembunyi di sisi Allah segala perbuatan yang kamu lakukan.

Iktibar Ayat

- Pensyariatan penyusuan bagi ibu-ibu kepada anak-anaknya.

- Nafkah yang diberikan mengikut kadar kemampuan seseorang bapa.

- Hak hadanah berdasarkan ayat di atas adalah milik ibu.

Tuesday, November 13, 2007

Takwa asas toleransi Islam


Ir. Dr. Muhamad Fuad Yeoh Abdullah.

Sebagai negara yang diiktiraf model negara Islam, Malaysia perlu sentiasa menunjukkan contoh terbaik bukan sahaja dalam aspek pembangunan negara dan insan tetapi merangkumi hubungan dengan masyarakat pelbagai kaum.

Malah, sikap toleransi yang diamalkan selama ini dikatakan adalah antara faktor kejayaan negara memahat nama di mata dunia dalam tempoh 50 tahun merdeka.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa memelihara perpaduan kaum dengan mengamalkan sikap toleransi.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET menemu bual Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang juga Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Ir. Dr. Muhamad Fuad Yeoh Abdullah bagi mengupas isu ini.

Mega: Apakah asas pergaulan sesama makhluk dalam Islam?

DR. MUHAMAD FUAD: Pergaulan sesama manusia dalam Islam adalah berasaskan al-ta’awanun alal-birri wattaqwa iaitu bekerjasama di atas dasar kebaikan dan takwa.

Ini dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, Riyadhus Salihin. Beliau membicarakannya dalam bab khas bertajuk ‘Bab kelebihan bergaul dengan manusia serta menghadiri perjumpaan dan perkumpulan mereka yang baik, majlis zikir bersama mereka, menziarahi mereka yang sakit dan yang meninggal, membantu yang memerlukan, membimbing mereka yang jahil dan selainnya yang mempunyai kebajikan, bagi yang mampu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah mungkar serta menahan diri daripada menyakiti dan bersabar apabila disakiti.

Imam Nawawi menegaskan, itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w serta para anbiya di samping khulafah ar-rasyidin, para sahabat dan ulama selepas mereka termasuk Imam Syafie dan Ahmad.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud, Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa...(al-Maidah: 2)

Seorang Muslim dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanahnya sebagai khalifah serta hamba Allah, memang perlu bergaul dan bekerjasama sesama manusia.

Kehidupan bermasyarakat tidak dapat diwujudkan tanpa pergaulan dan jalinan serta kerjasama di kalangan anggotanya.

Dalam mentaati Allah sebagai seorang hamba, seseorang itu perlu bergaul sesama manusia termasuk jirannya untuk menunaikan hak-hak sesama insan. Menunaikan hak tersebut adalah pelaksanaan praktikal asas konsep taawun tadi.

Bila disebut toleransi, apakah hadnya?

DR. MUHAMAD FUAD: Toleransi sesama manusia khususnya terhadap kaum dan agama lain adalah sesuatu yang wujud dalam Islam. Allah mencipta manusia daripada pelbagai bangsa dan puak, pada masa yang sama tidak memaksa semua manusia memeluk Islam. Maka toleransi adalah satu hakikat dalam Islam.

Perbezaan agama dan bangsa memberi peluang untuk berkenalan sebagai mana firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13.

Mempertahankan

Had toleransi adalah seperti yang digariskan oleh asas pergaulan sesama manusia iaitu kerjasama dalam kebaikan dan takwa. Jika keluar daripada garis panduan ini maka tamatlah toleransi dalam pergaulan dan seseorang Muslim hendaklah menghentikan pergaulan berkenaan.

Ketika itu bermulalah kedudukan sebagaimana firman Allah, Untukmu agamamu dan untukku agamaku. (al-Kafirun: 6)

Mereka bebas melakukan mengikut cara dan kepercayaan mereka tanpa mengganggu dan mengkhianati orang Islam. Jika terhadap pengkhianatan dan permusuhan, maka hendaklah kaum Muslimin mempertahankan cara hidup dan takwa mereka.

Sebagai orang bukan Melayu, apakah isu yang selalu atau boleh menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini?

DR. MUHAMAD FUAD: Hal ini BOLEH berlaku apabila berlaku interaksi antara kedua-dua belah pihak dan ada pihak yang menjadi antagonis. Ia juga berlaku kerana adanya prejudis orang Islam kepada bukan Islam dan sebaliknya.

Prejudis ini adalah pendirian yang diambil sebelum mengetahui hakikat sebenarnya. Contoh, melabel orang Islam sebagai ganas. Demikian juga prejudis mengatakan orang bukan Islam memang menentang Islam.

Antara sebab ia berlaku ialah tidak ada kefahaman dan ketiadaan peluang berinteraksi untuk bertukar-tukar pandangan antara kedua-dua pihak. Jika peluang untuk berinteraksi tidak ada, suasana ke arah mewujudkan kefahaman mungkin tidak dapat diwujudkan.

Di antara isu yang mungkin mencetuskan ketegangan kaum ialah isu yang ada kaitan dengan beberapa hak istimewa orang Melayu dan kedudukan agama Islam. Tanpa mengambil kira latarbelakang perkara berkenaan, perspektif yang semata-mata berasaskan norma-norma hak asasi dan keadilan sosial boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan ketegangan.

Contoh, hak bukan Islam menyebar agama mereka kepada orang Islam. Begitu juga soal murtad yang jika tidak ditangani secara berhemah boleh menjejaskan keharmonian kaum. Tidak dinafikan, mungkin ada yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh. Mereka membakar semangat perkauman dengan mempersoalkan hal seperti hak mewarisi harta dan mengapa anak-anak belum baligh perlu memeluk Islam apabila si bapa memeluk Islam. Mereka mahu kebebasan memilih agama diberi kepada semua tanpa kecuali walaupun seseorang itu dilahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam.

Adakalanya timbul isu oleh golongan tertentu yang seolah-olah mahu menguji kesabaran orang Islam. Adakah ini disebabkan kurang faham tentang Islam atau memang disengajakan?

DR. MUHAMAD FUAD: Kumpulan yang terlibat selalunya adalah yang memperjuangkan hak asasi manusia atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai agenda tertentu. Tetapi ada juga orang Islam yang berfikiran begitu.

Ada juga orang Islam yang melihat mengapa hanya agama Islam diberi keistimewaan dan dilindungi. Seterusnya mempersoalkan adakah iman orang Islam lemah sehingga mereka terus perlu dilindungi? Pendek kata, mereka memperjuangkan liberalisme dan pluralisme dalam beragama.

Hakikatnya, ia bukanlah soal itu sahaja. Sebaliknya, ia melibatkan Perlembagaan negara iaitu kontrak sosial yang dipersetujui oleh orang Islam atau Melayu dengan bukan Melayu sebelum mencapai kemerdekaan. Orang Melayu sanggup memberi hak tertentu kepada bukan Melayu dan begitu juga orang bukan Melayu.

Memang pada mulanya, mereka kurang faham tetapi adakalanya ia disengajakan atas tiket mempertahankan kebebasan dan hak asasi manusia.

Bagi orang Islam yang terlibat dalam perkara sebegini mungkin mereka tidak berfikir panjang tentang kesannya yang amat besar kepada Islam. Jika ia dibiarkan berterusan bermakna, Islam kena dikorbankan.

Tetapi umat Islam tidak boleh membenarkan hal ini berlaku kerana kita kelak perlu membayar harga yang terlalu besar jika ini berlaku.

Bukan mudah nak memahamkan golongan bukan Islam terutama dalam bab amalan agama. Adakah petua mengatasi masalah ini?

DR. MUHAMAD FUAD: Orang Islam perlu menunjukkan contoh yang baik kepada bukan Islam. Ia sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w yang menjadi contoh tauladan terbaik kepada manusia.

Masalahnya, kadang-kadang perbuatan orang Islam sendiri yang menimbulkan salah-faham kepada bukan Islam. Contohnya, keruntuhan akhlak orang Islam, sikap suka mengumpat dan bergaduh sesama sendiri. Apabila ini berlaku di manakah yang dikatakan umat Islam itu bersaudara?

Umat Islam juga prejudis kepada bukan Islam. Kalau 20 tahun lalu, orang Cina Muslim yang makan guna chopstick mungkin dilabel ‘murtad’ kerana masyarakat tidak boleh menerima budaya tersebut. Alhamdulillah, keadaan sudah berubah sekarang.

Kalau orang Islam berpendirian begitu bagaimana pula dengan orang bukan Islam. Sudah tentu, prejudis mereka terhadap kita lebih banyak lagi.

Dengan media Barat yang tidak membantu, sudah tentu prejudis terhadap orang Islam semakin bertambah. Saya berpendapat label Islam sebagai pengganas itu akan kekal untuk satu jangka masa yang panjang. Bagaimanapun sebagai Muslim kita hendaklah terus menghayati Islam dalam kehidupan seharian, berinteraksi dengan akhlak yang mulia mengikut ajaran Islam. Dengan demikian insya-Allah, amalan agama kita yang sebenarnya akan lebih difahami.

Bumi semakin tidak selamat?

Oleh W. RAHIMAH DRAMAN

BUMI tidak selamat lagi untuk kehidupan! Ini bukan momokan sang penyair tetapi sudah banyak terbukti hakikatnya di depan mata. Perubahan iklim dunia dengan suhu melampau dan kemusnahan alam di mana-mana menjadikan kehidupan makhluk bumi semakin terancam.

Kadar kepanasan suhu bumi semakin jauh daripada upaya manusia mengawalnya meskipun 70 peratus dari permukaan bumi dilitupi air dan bermacam teknologi moden direka cipta.

Malah kebakaran berlaku di mana-mana pada bila-bila masa. Kejadian banjir, ribut taufan dan ribut salji melanda tanpa mengikut ‘jadual manusia’ lagi.

Pakar peramal iklim dunia pula semakin tidak berupaya untuk mengesan dan berteori terhadap gelagat fenomena alam mutakhir ini, terutama di kawasan yang mengalami perubahan cuaca ekstrem.

Apa lagi untuk mengawal dan mengesan isi khazanah yang sarat terpendam dalam perut bumi daripada memuntahkan lahar dan memusnahkan persekitaran silih berganti di sana sini tanpa belas kasihan.

Adakah ini petanda hayat bumi sudah di penghujung dan Kiamat sudah dekat? Yang jelas elemen keseimbangan ekologi bumi ciptaan Allah s.w.t. untuk melancarkan kelangsungan hidup manusia dan makhluk hidupan lain sudah hilang.

Puncanya adalah angkara kerakusan dan ‘kedajalan’ manusia sendiri sebagai antara makhluk hidupan di muka bumi ini.

Allah s.w.t. menjelaskan ini melalui marfum-Nya; Ingatlah ketika Allah berfirman kepada para Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (wakil) di muka bumi.’ Mereka (para Malaikat) berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi manusia yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Tuhan berfirman: `Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah 30).

Setiap kejadian alam maya ini dikhususkan untuk memanfaat manusia dan seluruh isi alam. Tetapi manusia yang ditugas untuk memakmurkan bumi sendiri yang menyebabkan kemusnahannya.

Allah s.w.t. telah menjelaskan melalui firman-Nya; Tidakkah kamu perhatikan bahawa Allah memudahkan untuk apa yang di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmati Nya lahir dan batin. Di antara manusia ada yang membantah tentang Allah tanpa ilmu, tanpa petunjuk dan tanpa kitab yang terang. (Luqman: 20).

Hakikatnya, tiada kejadian dan makhluk yang kekal. Manusia yang sememangnya lemah, haloba dan mudah tunduk pada hawa nafsu, tidak akan dapat melaksanakan amanah Allah bagi memakmurkan bumi.

Sayyid Quthb melalui tafsir Fi Zhilalil Quran berkata; “Mengenai kekuatan alam, sikap manusia yang Muslim ialah berusaha mengenalinya dan bersahabat dengannya (alam), bukan takut dan memusuhi. Sebab kekuatan manusia dan kekuatan alam bersumber dari iradah dan kehendak Allah s.w.t., sentiasa tunduk patuh pada iradah dan kehendak-Nya serta saling membantu dan memerlukan untuk bersama-sama menuju kepada Allah Penciptanya’.

Ini dijelaskan melalui firman-Nya: Tidakkah engkau lihat bahawa Allah menurunkan air hujan dari langit, lalu Dia jalankan air itu menjadi mata air dalam bumi, kemudian dengan air itu Dia tumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang bermacam-macam warnanya, kemudian tumbuhan itu menjadi kering sehingga engkau lihat kuning warnanya kemudian Allah menjadikannya pecah-pecah. Sesungguhnya tentang demikian itu menjadi peringatan bagi orang-orang yang berakal. (az-Zumar: 21)

Jika apa yang tersurat dan tersirat pada Kalam Allah dikaji dan difahami, tidak timbul persoalan adakah planet lain sedia menerima makhluk terutama manusia, bagi kesinambungan hayat penghuni alam jagat setelah bumi tidak selamat lagi.

Namun, kerana manusia diberi kelebihan daripada lain-lain makhluk melalui akal fikiran dan nafsu, menjadi tanggungjawab manusialah membetulkan kesilapan untuk kembali kepada tugas hakiki sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.

Jadi bukanlah sesuatu yang aneh apabila Pengarah Strategi Antarabangsa dan Pengurangan Risiko Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geneva, Salvano Briceno melalui penyelidikannya, mengatakan manusia punca utama kemusnahan bumi dan akibatnya memberi kesan kepada manusia itu sendiri.

Menurut Briceno, kira-kira 105 juta penduduk bumi terdedah kepada sekurang-kurangnya tiga bahaya akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia sendiri.

Kata beliau, kajian juga mendapati perubahan iklim dan kemusnahan bumi tidak berlaku secara semula jadi melainkan berpunca dari aktiviti manusia.

“Inilah harga yang perlu dibayar oleh manusia akibat perbuatan mereka yang menyebabkan perubahan iklim dan kemusnahan bumi,” tegasnya.

Briceno berkata demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk, Kemusnahan Semula jadi dan Pengurangan Risiko pada Persidangan Serantau Mengenai Perubahan Iklim di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Persidangan dua hari pada 29 dan 30 Oktober anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tinggi British itu menghimpun lebih 30 profesional dalam penyelidikan dan kajian iklim dunia.

Mereka mewakili pelbagai agensi penyelidikan antarabangsa dan rantau Asean berbincang dan berkongsi maklumat serta hasil kajian bagi menangani kesan perubahan iklim dunia.

Pengarah Perubahan Iklim Antarabangsa, Analisis dan Udara United Kingdom, Henry Derwent pula berkata, pengunaan sasaran pengurangan pengeluaran karbon (CERT) adalah salah satu langkah mengurangkan penggunaan sumber tenaga yang melepaskan karbon dioksida di atmosfera.

“Konsep ini (CERT) dapat meningkatkan penggunaan sumber tenaga tanpa karbon daripada solar dan elektrik,” katanya dalam kertas kerja bertajuk, Kemusnahan Semulajadi dan Pengurangan Risiko.

Isu perubahan iklim bumi kini turut menjadi agenda penting pemimpin dunia kerana ia memberi impak bukan sahaja pada kesihatan dan keselamatan manusia tetapi pada ekonomi dan seluruh ekosistem global.

Namun keberkesanan Protokol Kyoto yang digubal 1997 untuk dikuatkuasa sejak Februari 2005, melalui mekanisme insentif kewangan dan teknologi mesra alam masih jadi tanda tanya, terutama bagi negara miskin dan kurang membangun.

Perlaksanaan Protokol Kyoto ini akan berakhir pada 2012, tetapi sumber kewangan dan teknologi mesra alam yang dicanangkan negara maju lagi kaya tidak pernah mengalir ke negara miskin dan kurang membangun.

Semua sumber dan teknologi menangani pengawalan pelepasan gas kloro floro karbon (CFC) dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca melalui pensijilan Certified Emission Reduction (CER) bagi mewujudkan Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) sebaliknya terus dimonopoli dan berlegar di kalangan negara-negara kaya yang maju sahaja.

Itulah yang dibangkitkan para peserta Malaysia dan Asean pada persidangan di PWTC lalu apabila masing-masing mahu peruntukan kewangan direalisasikan, manakala teknologi baru dikembangkan melalui kontrak usahasama antara sesebuah kerajaan dengan kos yang minimum.

Persidangan dua hari di PWTC yang dihadiri lebih 200 peserta itu akan disusuli pertemuan lebih penting dalam Forum Protokol Kyoto pada Persidangan Pihak Terbabit (COP) di Bogor, Bali Indonesia awal Disember ini.

Keseriusan dunia dalam menangani perubahan iklim bumi diteruskan dengan perbincangan peringkat menteri-menteri negara seluruh dunia di Poland (2008) dan Denmark (2009) nanti.

Ini kerana menurut Penasihat Ekonomi Pasukan Strategi Ulasan Stern Antarabangsa dari United Kingdom, Su-Lin Garbett, jika perkara itu tidak ditangani secara serius, seluruh dunia mungkin mengalami kemunduran ekonomi yang menyebabkan kehilangan lebih banyak Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, semakin besar risiko perubahan iklim dunia akan lebih besarlah kadar kesusutan ekonomi negara dan dunia.

“Pelaburan dunia bagi menangani perubahan iklim bagi tempoh 10 hingga 20 tahun ini hanya akan memberi impak bagi tempoh 50 tahun akan datang,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Impak Ekonomi Terhadap Perubahan Iklim.

Sebab itu tegas Garbett, perkongsian pandangan dan penguatkuasaan undang-undang perlu digembleng oleh semua peringkat dari seluruh dunia.

Bukan Yang Pertama (Siri 132)

Oleh SALINA IBRAHIM

Dingin di ruang menunggu bagaikan tidak terasa. Kesepian yang membelenggu suasana sudah tidak menggigit. Sebaliknya debar dan gementar dalam dada yang lebih menekan. Darah mengepam bagaikan tidak ketahuan alunannnya.

Yasmin Zulaikha tersandar lesu di kerusi. Umar Khalil di sebelahnya menggenggam erat tangan si isteri. Anis kelihatan terlentok di deretan kerusi keras di hadapan mereka. Seorang dua jururawat sesekali keluar masuk entah menguruskan apa di dalam.

Dingin penyaman udara ditokok dengan dingin pagi masih tidak mampu menyamankan hati yang lara.

“Mak akan okey. Dia akan okey...” Umar Khalil berbisik, merenung wajah Yasmin Zulaikha, mengejapkan pautan tangannya.

Yasmin Zulaikha membalas genggaman tangan itu, terasa diri selamat di bawah naungan suami. Pandangan Umar Khalil beralih pula pada tangan isteri, melihat jari-jemari yang masih dimerahi inai. Dia cuba menyelami perasaan yang membelenggu dada isteri.

“Insya-Allah,” Yasmin Zulaikha membalas.

Seorang jururawat melintas di hadapan mereka, mengumbarkan senyuman sebelum bergegas masuk ke bilik rawatan.

Yasmin Zulaikha memicit kepala yang terasa pusing. Ingatannya berpusar balik ke wajah emak yang pucat. Subuh tadi mereka gempar sejenak ketika Anis memaklumkan emak mengadu sakit teramat sangat.

“Anis hendak ke bilik air ambil wuduk. Ternampak emak merangkak keluar dari bilik...” beritahu adiknya itu dalam cemas.

“Mak pening sangat. Nampak gelap semuanya. Mak nak ke bilik air, tapi tak nampak jalan...” Emak sempat mengadu, menceceh dalam suara perlahan tertahan.

Dia dan Anis tolong mewudukkan emak sebelum orang tua itu solat baring di atas katil. Kemudian dia mengadu pening teramat dan mahu tidur sebentar.

“Kita pergi klinik ya mak...” Anis memujuk tetapi orang tua itu menggeleng menandakan keengganan.

Umar Khalil yang kerisauan sedikit memaksa dan akhirnya emak mengalah. Namun doktor di pusat rawatan menyarankan supaya mereka ke hospital saja.

“Saya tengok emak encik ni seperti penat sangat. Lebih elok ke hospital. Kami di klinik biasa ni tak banyak kemudahan...” kata doktor kepada Umar Khalil.

Menyirap

Umar Khalil mengisar tubuh. Yasmin Zulaikha tersentak, bercempera ingatan lalu. Dia membetulkan duduk, menegakkan badan. Mengalih pandangan, tertampan pada Anis yang masih lena-lena ayam.

Umar Khalil menerpa bangun sejurus melihat pintu bilik rawatan terbuka. Seorang doktor lelaki keluar bersama seorang jururawat. Yasmin Zulaikha juga sedikit tergesa tergopoh-gapah menurut.

“Emak encik perlu ditahan di wad. Senang kami memantau keadaan...” doktor separuh umur itu bersuara.

“Buatlah apa yang terbaik doktor,” Yasmin Zulaikha menyampuk.

Umar Khalil mengangguk tanda bersetuju.

“Er, satu lagi... eloklah panggil adik beradik lain datang. Saya tidak bermaksud apa-apa, tapi jika apa-apa berlaku, tidaklah terkilan sangat....” doktor itu sekali lagi berhati-hati mengatur bicara.

Yasmin Zulaikha terasa darah menyirap naik ke wajah. Tetapi dia cuba bertenang. Umar Khalil mengangguk, berjanji akan berbuat sesuatu.

Emak kelihatan sebegitu lesu tidak bermaya ketika diusung dan ditempatkan di wad. Namun dia sudah boleh membuka mata dan cuba tersenyum melihat anak menantu mengelilinginya.

Yasmin Zulaikha memegang tangan emak. Mahu mendengar sesuatu dari mulut emak tersayang.

“Mak rasa mak tak lama lagi...”

“Jangan cakap begitu. Mak hanya penat sangat...” si anak cuba menenangkan.

“Minta maaf sebab menyusahkan Min dengan Umar. Patutnya kamu berdua gembira pergi bercuti tapi sekarang kena jaga mak pula...” orang tua itu masih mahu bersuara dalam letih sedunya.

“Kita biar mak berehat. Nanti kita datang balik...” Umar Khalil memegang bahu isterinya.

Menjelang petang, emak dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana sesak nafas pula. Ketika dijengah ke sana, dia sekadar membuka mata sedikit. Sekadar itu isyarat yang mampu diberikan ketika melihat satu demi satu wajah anak menantu dan cucu-cucu yang bergilir-gilir masuk menemuinya.

Yasmin Zulaikha berwajah muram di sudut. Dalam hati paling dalam, memanjatkan harapan yang bukan sedikit. Dia cuba menanam benih optimis dalam diri. Berkali-kali dia berbisik bahawa emak akan selamat walau dalam situasi apa pun dirinya sekarang.

“Zu baliklah dulu, berehat,” Umar Khalil menyarankan ketika melihat dia tersepuk lemah di kerusi keras di luar unit rawatan rapi.

“Zu okey lagi...” dia membalas.

“Zu nak makan, nak minum apa-apa? Abang boleh pergi beli...” Sekali lagi suami menawarkan khidmat.

“Tak mengapa, Zu pergi sendiri. Abang nak kirim apa-apa?”

Umar Khalil menggeleng. Yasmin Zulaikha beredar keluar ke kafeteria, sementara suaminya masuk semula menjenguk emak di dalam kamar.

Menatap

Sepanjang laluan ke kafeteria terasa sunyi sepi. Senja semakin menyerkup alam. Sudah lebih 10 jam dia berada di hospital ini sejak awal pagi tadi. Selepas emak dimasukkan ke wad pagi tadi, mereka pulang sebentar ke rumah untuk berehat. Tetapi nyata hati tidak tenteram untuk berehat. Umar Khalil bergegas keluar semula dan dia mengambil keputusan mengikut.

Anis datang lewat sedikit bersama Abang Yassin, kakak ipar dan anak-anak saudaranya. Kemudian beberapa orang jiran tetangga akrab termasuk Tok Ketua Alang Karim suami isteri tiba. Mereka hanya sekadar dapat menatap wajah emak tetapi tidak boleh berbual apa-apa dengannya.

Melangkah masuk ke ruang kafeteria yang hanya ada dua tiga orang penghuni, membeli secawan kopi dan sebiji roti ban, dia duduk menyendiri di sudut. Merenung kopi hitam di dalam cawan yang mengeluarkan asap nipis, jelas dia sudah kehilangan selera.

Terasa berat dugaan yang melanda. Tetapi selalu dia bisik-bisikkan dalam diri, ini bukan kali pertama diuji. Sudah berkali-kali dia diuji. Makanya dia harus tabah dan kuat.

“Seorang?” Seorang wanita ramah menegur. Tersentak tetapi segera dia mempersilakan wanita itu duduk.

Hukum alam

“Nama kakak Fatiha. Rasa janggal makan seorang. Kawan berdua, boleh juga berbual-bual. Adik tunggu orang? Kalau tak silap, tadi kakak nampak adik di luar unit rawatan rapi....”

“Tunggu mak saya...” lesu dia membalas. Suara terasa serak sebak tidak semena-mena. Terasa wajah tegang dan gagal lagi menarik senyuman.

Wanita di hadapannya tersenyum juga. Walaupun tawar tetapi jelas terasa ikhlas.

“Sabarlah. Kadangkala kita perlu persiapkan diri untuk hadapi kehilangan. Ini hukum alam. Jangan rasa terlalu terikat, kalau tidak, kita akan terseksa sendiri. Belajar untuk melepaskan kerana lambat atau cepat, kita akan kehilangan juga...” lembut teratur suara wanita itu menuturkan.

Yasmin Zulaikha membetulkan duduk. Dia mengangkat cawan, menghirup sedikit, membiarkan kafein mempengaruhi deria rasanya.

“Kakak pernah kehilangan?” dia menyoal ketika cawan kembali mengambil tempat di dalam piring.

“Hospital ini sudah macam rumah kedua kakak sejak tiga empat tahun kebelakangan ini. Tiga anak kakak seorang demi seorang masuk ke sini. Kata doktor, kerana sakit keturunan. Sudah dua anak kakak meninggal dunia, sekarang anak ketiga menunjukkan tanda penyakit yang sama...”

Yasmin Zulaikha termenung panjang.

(Bersambung)

Perspektif IKIM: Berakhlak agih laba harmonikan niaga

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan


REZEKI HALAL: Kecekapan yang tinggi dalam mengurus perniagaan mampu menghasilkan pendapatan lumayan.

Kemuliaan pemimpin firma utama tanggungjawab sosial bina taraf hidup rakyat

PERNIAGAAN adalah amalan ekonomi yang penting dalam menyusun serta membangun sesebuah masyarakat dan negara. Bahkan, keutuhan sesebuah tamadun masyarakat berkait rapat dengan amalan perniagaan dalam masyarakat terbabit.

Nabi SAW mengingat umat Islam mengenai pentingnya amalan perniagaan. Baginda SAW ada bersabda bahawa 90 peratus punca rezeki di dunia adalah daripada amalan perniagaan.

Memahami peringatan Nabi SAW itu, umat Islam perlu memberi tumpuan penting kepada sektor perniagaan. Dalam hubungan itu, Malaysia berhasrat mewujudkan masyarakat peniaga dan perindustrian Bumiputera yang cemerlang dan berjaya.


Dalam usaha ke arah pencapaian itu, kita perlu membangun satu pendekatan dalam amalan perniagaan yang berdaya maju secara berterusan, menghala kepada keharmonian kehidupan masyarakat keseluruhannya semoga tamadun yang dibina akhirnya menepati keredaan Ilahi.

Memantapkan budaya perniagaan semoga usaha gigih golongan berkenaan terus cemerlang dalam suasana globalisasi ekonomi masa kini, pendekatan perniagaan yang unggul perlu diketengahkan iaitu keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial.

Pendekatan ini jika dihayati dengan tepat pasti akan membawa hasil positif bukan saja kepada prestasi perniagaan, sekali gus dapat membangun keadilan sosioekonomi dan tamadun masyarakat.


Pendekatan itu menganjurkan kepada keharmonian antara kepentingan atau hak peniaga menerusi amalan kebajikan masyarakat. Pendekatan itu turut menjadi asas kepada penyusunan dan pembinaan sesebuah tamadun masyarakat manusia.

Dalam teori perniagaan semasa, pendekatan pemegang saham adalah memberi tumpuan kepada kebajikan hasil daripada perniagaan dinikmati semua yang terbabit seperti pemilik modal, pekerja, pemerintah, pelanggan, alam persekitaran dan sebagainya dalam membangun sektor perniagaan.

Prinsip hidup berharmoni ini menjelaskan bahawa sesebuah sistem pengendalian perniagaan negara, jika ingin maju dan terus membangun, kepentingan peniaga dalam usaha kegiatan dalam apa bentuk perlu mendapat ganjaran atau pulangan yang adil kepada peniaga terbabit.

Keuntungan yang berpatutan daripada usaha perniagaan dan perdagangan kepada peniaga adalah sesuatu hukum tabii serta adil. Prinsip ini menghormati individu peniaga, sekali gus menjaga kepentingan keutuhan hidup bermasyarakat.

Keuntungan dalam perniagaan adalah hasil usaha gigih serta berkesan seseorang peniaga. Setiap kegiatan perniagaan tidak semestinya menghasilkan keuntungan. Ada kala peniaga terpaksa menghadapi kerugian.

Untung dan rugi adalah hukum lumrah. Justeru, memperoleh keuntungan bukan sesuatu yang perlu dipandang serong. Jika kegiatan perniagaan tidak menyalahi agama dan keuntungan berpatutan diperoleh, ia menggambarkan satu kejayaan mulia dan boleh dibanggakan. Ia kerana pendekatan itu mampu membawa kepada perolehan keuntungan berpanjangan.

Mengakui hukum pulangan sebagai sesuatu yang lumrah akan membina semangat setiap peniaga semoga halus dan rapi dalam menjalankan kegiatan perniagaan dan perdagangan mereka. Dalam pengiraan awal mereka, kerugian perlu sentiasa cuba dijauhi.

Keuntungan akan diperoleh apabila jumlah hasil mengatasi kos. Jika sesuatu perniagaan diurus dan dilaksana secara positif, jumlah hasil mampu ditingkatkan melalui jumlah jualan barangan terbabit. Dalam dunia tidak berbatas ini, jumlah jualan tidak terhad. Yang membatasi ialah persaingan sengit daripada pengusaha dan peniaga dalam serta luar negara.

Ruang untuk mengembangkan jumlah jualan, luas terbentang. Berjaya menembusi pasaran antarabangsa mencermin kemampuan peniaga menguasai saham pasaran barangan itu. Mengikut hukum perniagaan, mutu kegunaan dan harga adalah dua faktor utama menentukan permintaan kepada barangan.

Untuk mencapai kejayaan secara berterusan bagi jangka panjang, strategi penguasaan pasaran untuk sesuatu barangan perlu menjadi strategi organisasi perniagaan. Pencapaian kepada matlamat memerlukan syarikat terbabit dengan usaha kajian dan penyelidikan berterusan.

Matlamat itu tidak mungkin diperoleh menerusi jalan mudah bahkan, ia memerlukan kepada wawasan dan usaha yang jujur serta gigih pihak pengeluar dan peniaga setiap masa. Usaha positif memerlukan akhlak kepimpinan syarikat yang jitu supaya kejayaan berterusan demi kepentingan bersama peniaga serta kebajikan pengguna.

Menerusi barangan perniagaan bermutu serta harga berpatutan, jumlah besar jualan akan diperoleh dan dapat dipasarkan bukan saja dalam negara, malah pada peringkat antarabangsa. Kejayaan itu dapat meningkat jumlah keuntungan syarikat.

Harga berpatutan juga dapat meluaskan faedah kegunaan barangan kepada golongan pengguna berpendapatan rendah. Kebajikan daripada kepenggunaan barangan makin meluas.

Daripada aspek kos kepada syarikat, beberapa bentuk kos perlu ditangani supaya jumlahnya dapat dikurangkan. Kos membabitkan modal, pengurusan penyelidikan, pengeluaran dan pemasaran.

Menerusi perancangan dan kepakaran tinggi serta sentiasa menanamkan sikap untuk mengurangkan pembaziran, nescaya usaha itu akan menghasilkan penurunan kos termasuk kos sosial seperti keruntuhan akhlak pekerja dan pencemaran alam persekitaran.

Kos sosial itu adalah faktor negatif yang turut menjejaskan kemajuan prestasi syarikat dalam jangka masa panjang. Tanpa akhlak pekerja yang tinggi serta alam persekitaran sihat, prestasi syarikat akan menurun. Suasana negatif itu jelas akan meruntuhkan kestabilan dan kebajikan masyarakat.

Kos langsung dan kos tidak langsung seperti kos sosial perlu diambil kira dalam pengurusan kos syarikat. Ia menepati semangat pendekatan keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial. Kejayaan mengurangkan kos mengikut perspektif di atas adalah suatu kejayaan memaparkan tahap kepakaran pengendalian perniagaan. Ia juga menggambarkan usaha mengurangkan kos meliputi amalan akhlak pekerja serta alam persekitarannya.

Berdasarkan logik analisis, jelas keuntungan menerusi pendekatan berakhlak adalah suatu pendekatan berdaya maju yang menjelaskan sifat tanggungjawab tinggi dihayati syarikat dalam kegiatan perniagaan mereka. Pendekatan itu rata-rata menjadi budaya syarikat swasta yang berjaya beroperasi pada peringkat sejagat.

Prinsip keuntungan perniagaan menerusi tanggungjawab sosial jika dihayati akan menghasilkan budaya perniagaan sihat, mampu memperoleh kejayaan syarikat, sekali gus dapat membangunkan taraf dan mutu hidup masyarakat.

Dengan pengenalan pendekatan perniagaan ini, semangat juang dan amalan tanggungjawab sosial dapat dicetuskan. Membina budaya positif bukan perkara mudah dan dapat dihasil dalam masa singkat terutama dalam budaya di mana kepentingan individu menjadi teras utama.

Memupuk kesedaran kepada golongan yang berjaya dalam perniagaan untuk sama-sama menangani persoalan sosioekonomi masyarakat jika berhasil adalah satu kejayaan besar.

Pendekatan Islam bercorak syumul yang menyarankan pendekatan keuntungan perniagaan melalui tanggungjawab sosial hendaklah difahami dan dihayati. Ia seharusnya dilihat sebagai salah satu garis panduan pendekatan dari awal hingga penghujung kegiatan perniagaan sesebuah syarikat.

Pendekatan ini bukan sekadar untuk mencapai peningkatan keuntungan sesebuah syarikat dan pembangunan ekonomi negara saja, bahkan ia hendaklah diyakini sebagai usaha memantap nilai kemanusiaan dalam membina sebuah tamadun yang mulia.

Kecekapan yang tinggi dalam mengurus perniagaan sangat dituntut Islam. Tanpa usaha gigih dan berkesan ke arah pencapaian kecekapan mengendalikan urusan perniagaan, peniaga Muslim mustahil akan dapat berperanan di arus perdana ekonomi negara dan antarabangsa.

Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Mustahil Islam melumpuhkan kehidupan

Oleh Masmawi Abdullah

MENILAI tahap pencapaian orang Melayu dalam bidang ekonomi, sosial, pelajaran apatah lagi bidang sains dan teknologi, masih boleh dianggap lemah. Apakah kelemahan orang Melayu disebabkan oleh agama Islam?

Apakah Rukun Islam yang lima adalah suatu beban yang mengekang dan menghalang kegiatan untuk mengejar kemajuan. Apakah disebabkan adanya hukum haram halal dan pelbagai undang-undang dalam Islam menyekat dan membelenggu kebebasan hidup orang Melayu?

Pendapat seperti ini sekarang sedang meresap perlahan-lahan meracuni pemikiran orang Melayu terutama di kalangan generasi baru. Jelaslah tercetusnya kegelisahan terhadap keteguhan agama Islam itu hanya ekoran daripada penyelewengan pandangan oleh generasi terdahulu.

Kebanyakan orang dulu berpegang teguh bahawa Islam adalah untuk akhirat semata-mata.

Tanggapan seperti inilah yang masih menyeleweng pemikiran dan mengongkong pertumbuhan pemikiran generasi baru yang dibimbing untuk membangun.

Tanggapan itu juga yang akhirnya mencetuskan kekusutan pada pemikiran generasi baru terhadap bagaimana hendak membuat penyesuaian antara dunia dan akhirat kerana apa yang ada dalam tanggapan mereka, tidak mungkin keduanya dapat disatukan. Sebab itulah mengapa mereka berpendapat agama untuk bekalan mati.

Oleh yang demikian, bagaimanakah mereka akan mengetahui bahawa Islam tidak sekali-kali menyekat manusia untuk memburu kemajuan dan al-Quran mempunyai falsafah yang dapat membimbing hidup manusia.

Cabaran generasi hari ini ialah mencungkil serta mendalami isi kandungan al-Quran untuk mengetahui pelbagai ilmu pengetahuan termasuk sains, ekonomi, politik, undang-undang, sosial, kesihatan dan psikologi.

Dengan itu mereka akan tahu bagaimana hendak menyelaraskan kehidupan di dunia dan pada masa sama bersedia menghadapi kehidupan akhirat. Sekali gus ia dapat menyangkal pendapat bahawa agama hanya untuk beribadat saja.

Islam adalah cara hidup dan sewajarnya umat Islam mempraktikkan ajaran agama dalam kehidupan seharian supaya kejayaan yang dicapai di dunia adalah kejayaan sebenar yang akan membantu mereka di akhirat nanti.

Pendapat mengatakan Islam melumpuh dan melemahkan kehidupan orang Melayu adalah tidak benar. Sebaliknya gejala dan punca besar kemunduran itu berlaku kerana sikap orang Melayu sendiri yang jahil dan menyeleweng daripada kehendak Islam sebenar.

Islam mahukan umatnya berjuang menentang rintangan untuk mencapai kejayaan tetapi tidak dinafikan ada orang Melayu yang tidak sanggup menempuh cabaran menyebabkan mereka gagal menempatkan diri dalam kelompok berjaya.

Islam juga ‘mewajibkan’ setiap umatnya belajar pelbagai ilmu pengetahuan, malangnya anak Melayu tidak mengutamakan pelajaran serta memandang ringan terhadap persekolahan menyebabkan mereka terbabit dengan perkara tidak mendatangkan manfaat.

Nyatalah bahawa Islam tidak sekali-kali menjadikan kehidupan orang Melayu lemah dan mundur. Jika orang Islam pada zaman khalifah agung boleh mencapai kemajuan, tidak mustahil bagi masyarkat Islam hari ini dengan pelbagai kemudahan serta teknologi yang ada.

Sewajarnya, kelebihan orang Islam dengan al-Quran sebagai panduan hidup yang lengkap mencapai kejayaan serta berani berhadapan cabaran kerana Islam yang syumul sudah menyediakan cara bagaimana untuk menghadapi pelbagai dugaan.

Agama tidak pernah menjadi penghalang sebaliknya Islam menyediakan panduan lengkap untuk umatnya membina keyakinan diri serta berdaya saing dengan bangsa lain untuk mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

Ufuk Minda: Bangsa teras kuat pengimbang kemakmuran

Bersama Prof Dr Sidek Baba

SEJARAH pembentukan bangsa Malaysia tidak dapat menafikan kepentingan bangsa Melayu sebagai bangsa teras.

Pembinaan perlembagaan negara tidak saja mengambil kira faktor universal dan setempat, malah memberi peruntukan bagi mengukuhkan bangsa teras supaya menjadi pancang dalam kekuatan bangsa Malaysia.

Konsep bangsa teras tidak harus dilihat dalam perspektif perkauman atau bangsa lain sebagai bangsa kelas kedua atau ketiga.

Corak budaya dan kehidupan yang mengakar sekian lama di bumi Malaysia ini adalah pancaran nilai dan amalan yang memupuk jiwa harmoni serta damai di kalangan warganya.

Bangsa teras adalah penting bagi Malaysia kerana ia menjadi faktor kestabilan dalam konteks bangsa yang berbilang. Ia tidak harus menafikan pembabitan bangsa lain dalam proses bina negara dan merasai kemakmuran secara bersama.

Bangsa teras adalah bangsa yang dirujuk sebagai bangsa pengimbang yang memberi ruang kepada setiap warga negara bergerak maju dan menyumbang terhadap pembangunan negara.

Sejarah subur tradisi Baba dan Nyonya di Melaka memperlihatkan bagaimana kelompok daripada tamadun besar mampu melakukan penyesuaian dengan masyarakat setempat teras tanpa perlu mereka memeluk agama Islam.

Asas ini amat menarik untuk dikaji walaupun gelombang kedua kedatangan orang luar ke Malaysia suatu ketika dulu membawa orientasi yang berbeza daripada tradisi Baba dan Nyonya.

Sejarah membuktikan pendekatan asimilasi dalam beberapa hal berjaya mewujudkan integrasi yang hebat.

Kekuatan masyarakat teras yang dimulakan Tun Perak dalam sejarah Kesultanan Melaka memberikan landasan kekuatan bangsa Melayu sebagai perancang, ahli strategi, pentadbir, ahli perniagaan dan maritim yang berjaya mengundang lebih 84 negara berdagang (Kitab Sejarah Melayu).

Sejarah Tun Perak dan kemajuan Melaka adalah lambang pembebasan tahyul dan fahaman feudal yang menebal dan membawa bangsa Melayu ke cabaran hidup sebenar.

Melaka pada zaman Tun Perak amat dibanggakan kerana bangsa Melayu mampu menjadi teras dan pelabuhan Melaka menjadi pusat pelabuhan masuk yang terkenal.

Ternyata Melaka selepas zamannya terjebak dalam kemelut kepemimpinan yang 'lupa' dikelilingi oleh penasihat yang 'berkepentingan' dan akhirnya Melaka dijajah untuk ratusan tahun.

Kisah peminangan Puteri Gunung Ledang adalah satira klasik membayangkan kerakusan nafsu pemimpin pada waktu itu melupakan amanah kepemimpinan dan amanah rakyat.

Sejarah boleh mengulangi jejak. Amat penting bangsa teras mempunyai kekuatan sebagai bangsa pembimbing dan bangsa memimpin dengan kualiti kepimpinan dan pengikut yang mantap dan berwibawa.

Bangsa teras adalah bangsa yang memiliki ilmu, keahlian dan kebijaksanaan. Bangsa ini dicontohi dan dihormati orang lain. Ia bukan dihormati semata-mata kerana status-quo atau kenyataan sejarah menyebabkannya demikian. tetapi keupayaan mengurus negara dan sistem menjadikannya dihormati.

Sejak merdeka kuasa politik masih berada di tangan orang Melayu, kemajuan pendidikan berkembang dengan baik, penguasaan ekonomi masih dalam pertikaian dan upaya kepemimpinan memperlihatkan cabaran baru hasil faktor setempat dan dunia.

Keupayaan bangsa teras yang seharusnya mampu menimbulkan rasa hormat orang lain ialah terletak kepada wibawa yang dimiliki. Antara wibawa yang membentuk jalan berfikir dan bertindak bangsa Melayu ialah kekuatan Islam yang menjadi pedoman hidup dan upaya pengurusannya.

Islam yang seharusnya mendasari jalur berfikir orang Melayu tidak saja sifatnya rohaniah tetapi terbentuk dengan tunjangan ilmu yang sifatnya membina jalan tamadun. Asas fardu ain yang sekian lama dikembangkan kepada anak tidak memadai menghadapi cabaran terkini.

Cabaran terkini tidak saja di sekitar persoalan akhlak dan tingkah laku tetapi menuntut upaya intelektual serta saintifik yang tinggi supaya perubahan atau kemajuan yang dibina berada dalam acuan kita sendiri.

Acuan kita sendiri tidak saja melihat kepentingan ilmu Barat dan Timur sebagai faktor berbanding yang menyumbang tetapi dalam masa sama harus memiliki kemampuan mengolah pembangunan modal insan dengan memperkasa sistem pendidikan yang lengkap.

Pendidikan lengkap bakal menemukan kekuatan ilmu konvensional dan gandingan ilmu Islam yang mampu mendukung tamadun.

Dasar pendidikan negara menghantar pelajar terpilih ke luar negara adalah suatu langkah bijak mendedahkan generasi muda terhadap ilmu baru dan kajian terkini bagi membolehkan pelbagai ilmu pengetahuan diambil yang sifatnya menyumbang ke arah perubahan dan pembangunan negara.

Pada masa sama, perlu ada suatu pendekatan supaya modal insan yang terbaik dikenal pasti dan diperkasa bagi latihan pada tahap tinggi supaya kualiti pencapaiannya dapat menyumbang ke arah mengangkat martabat bangsa teras sebagai bangsa yang mampu mengolah zaman dan membimbing perubahan.

Pendekatan ini harus dijadikan keutamaan supaya negara mempunyai tenaga pakar yang mampu menghasilkan penemuan baru yang menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

Monday, November 12, 2007

Syeikh Muhammad Ali Abdur Rasyid As-Sumbawi - Kadi Sumbawa

Koleksi penyelidikan ALLAHYARHAM Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah
DALAM percakapan, beberapa catatan dan penulisan kitab Melayu/Jawi memang dijumpai beberapa nama ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini.

Di antara mereka antaranya; Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi, dan ramai lagi. Nama ulama ini, mulai penulis kesan daripada sebuah karyanya berjudul, Al-Yawaqitu wal Jawahir yang ditulis pada 1243 H/1827 M.

Beberapa maklumat tentang beliau, penyelidikan awal dapat diketahui dan dipetik daripada dua buah karyanya iaitu, satu di antaranya ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir, di bahagian tepi atau pinggirnya turut dicetak sebuah kitab berjudul 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Buat pertama kali tentang ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa ini, penulis tulis dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Fiqh dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara, jilid 1 (cetakan pertama, C.V.Ramadhani, hlm :127-128). Kemudian penulis singgung dengan agak ringkas dalam buku Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyah Mu'tabarah di Dunia Melayu (cetakan pertama, Khazanah Fathaniyah, 2000, hlm : 113-114).

Daripada bahan-bahan bertulis tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa ulama yang berasal dari Sumbawa yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi. Beliau hidup sezaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Bahkan pada sektor penerimaan Thariqat Syaziliyah, kedua-dua ulama tersebut adalah seperguruan. Kedua-duanya menerima bai'ah dari Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais (1187 H/1773 M-1240 H/1824 M).

KARYA

Hanya sebuah yang telah pasti karyanya, kerana namanya terdapat pada kitab itu, sedang sebuah lagi diduga juga karya beliau. Karya yang telah pasti itu diberi judul lengkap ialah Al-Yawaqitu wal Jawahir fi 'Uqubati Ahlil Kabair. Dan kitab yang masih belum jelas hasil karya beliau ataupun tidak, tetapi sentiasa dicetak kombinasi dengan Al-Yawaqitu wal Jawahir diberi judul, 'Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain.

Ada pun karya beliau yang pertama Al-Yawaqitu wal Jawahir adalah terjemahan hadis targhib dan tarhib yang berasal daripada karangan Syeikh Abdul Wahhab as-Sya'rani. Yang diutamakan ialah menceritakan seksaan orang yang melakukan dosa besar, yang terdiri dari Dua Belas Bab.

- Bab Yang Pertama: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meninggalkan Sembahyang

- Bab Yang Kedua: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Durhaka Bagi Ibu dan Bapanya

- Bab Yang Ketiga: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Minum Arak dan Tuak

- Bab Yang Keempat: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Berzina

- Bab Yang Kelima: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Liwat

- Bab Yang Keenam: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Makan Riba

- Bab Yang Ketujuh: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Meratap

- Bab Yang Kelapan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Tiada Mengeluarkan Zakat Hartanya

- Bab Yang Kesembilan: Pada Menyatakan Seksaan Orang Yang Membunuh Orang Islam

- Bab Yang Kesepuluh: Pada Menyatakan Hak Perempuan Atas Lakinya dan Hak Laki Atas Isterinya

- Bab Yang Kesebelas: Pada Menyatakan Susah dan Kesakitan Pada Hari Kiamat

- Bab Yang Keduabelas: Pada Menyatakan Sifat Syurga dan Orang Di Dalam Syurga.

Al-Yawaqitu wal Jawahir diselesaikan hari Isnin, sesudah Asar, 18 Zulkaedah 1243 H. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan Al-Yawaqitu wal Jawahir, di antaranya cetakan mutawal oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Matba'ah al-'Amirah al-Islamiyah, Matba'ah Fathul Karim al-Islamiyah, 1310 H, cetakan pertama Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1329 H, Maktabah wa Matba'ah Sulaiman Mar'i Singapura, Penang, Kota Bharu. Juga pernah dicetak oleh Maktabah wa Matba'ah al-Ma'arif Pulau Pinang dan lain-lain.

Penerbitan-penerbitan awal kitab Al-Yawaqitu wal Jawahir ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan terbitan-terbitan mutakhir ditashhih oleh Syeikh Ilyas Ya'qub al-Azhari (Indonesia).

Pada mukadimah Al-Yawaqitu wal Jawahir Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi dinyatakan, "Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah pada tahun 1243 daripada tahun hijrah Nabi s.a.w. atas yang mempunyai dia yang terlebih afdhal rahmat dan yang terlebih suci haluannya, telah menuntut daripada hamba yang fakir, lagi hina, yang mengaku berdosa, lagi taqshir, iaitu Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi yang ada diam di Makkatul Musyarrafah; oleh setengah daripada orang yang mempunyai kelebihan, lagi mulia, iaitu setengah daripada sahabat kami. Bahwasanya hamba terjemahkan kitab syeikh yang alim, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya'rani yang dinamakan dia Al-Yawaqitu dan Jawahir) pada menyatakan seksaan segala orang yang berdosa yang besar, sekalian kesusahan, dan kesakitan pada hari kiamat, dan pada menyatakan sifat Syurga, dan sekalian orang yang di dalam Syurga, daripada bahasa Arab kepada bahasa Jawi. Maka hamba perkenankan dengan yang demikian itu" (petikan hlm: 2-3, cetakan pertama, Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah,1329 H).

Ada pun karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang satu lagi, iaitu Uqudul Lujjain fi Huquqiz Zaujain, kandungan keseluruhannya merupakan akhlak atau adab isteri kepada suaminya. Adalah merupakan ancaman yang sangat keras terhadap isteri yang durhaka kepada suaminya. Walaupun kedua-dua karya Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang tersebut di atas dapat dikategorikan kepada hadis targhib dan tarhib, namun tidak dapat dinafikan bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi adalah seorang ulama fiqhi (Faqih) dan ulama shufi ahlit Thariqah.

PENDIDIKAN, PERSAHABATAN DAN MURID

Sewaktu belajar di Mekah, Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid as-Sumbawi adalah seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Di antara guru Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi yang telah pasti ialah, Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim ar-Rais. Mengenai ini ada dinyatakan oleh seorang muridnya bernama Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah (Kalimantan Barat), dalam sebuah manuskrip mengenai Thariqat Syaziliyah.

Dipercayai bahawa Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi bersahabat dengan Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi. Syeikh Idris bin Utsman as-Sumbawi pula adalah pernah menerima Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah daripada Syeikh Shiddiq bin Umar Khan, juga tarekat yang sama kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Oleh sebab Syeikh Shiddiq bin Umar Khan juga guru kepada Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, maka dipercayai ulama yang berasal dari Banjar ini juga bersahabat dengan Syeikh Muhammad Ali as-Sumbawi.

Daripada maklumat tersebut, dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad Ali bin Abdur Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi as-Sumbawi sekurang-kurangnya mengamalkan tiga jenis tarekat shufiyah, ialah Thariqat Syaziliyah, Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dan Thariqat Syathariyah.

Mengenai muridnya pula, selain Syeikh Umar ibnu Umaju' Mempawah, termasuk juga seorang ulama Sumbawa yang sangat terkenal ialah al-Alim al-Allamah al-Fahamah asy-Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Beliau ini juga murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan menerima bai'ah Thariqat Syathariyah daripada ulama Pattani tersebut.

Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi sekurang-kurang menghasilkan dua buah karangan dalam bahasa Melayu yang terkenal di peringkat seluruh dunia Melayu, ialah Sirajul Huda (mengenai 'aqidah) dan Minhajus Salam (mengenai fiqh). Kedua-dua kitab yang tersebut masih terdapat di kedai-kedai kitab di seluruh dunia Melayu.

Elak jadikan ibadat haji aktiviti membeli-belah

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI


Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaf.

Ibadah haji merupakan ibadat yang diwajibkan kepada setiap Muslim sebagaimana yang telah difirmankan-Nya sebagai salah satu Rukun Islam. Ia perlu ditunaikan oleh setiap mukalaf berkemampuan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan mengikut syariat.

Ia juga dilihat sebagai salah satu amalan yang membentuk perpaduan dan sarwajagat di kalangan umat Islam tanpa mengira warna kulit, ras, bangsa asalkan memegang kalimah Allah sebagai tuhan sekalian alam.

Bagaimanapun tuntutan dalam melaksanakan Rukun Islam kelima mungkin telah menjadi sebagai satu medan membeli-belah sehinggakan terpesong fokus utama mereka untuk mendapatkan haji yang mabrur.

Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang, Prof. Madya Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaf ketika menerangkan konsep sebenar haji berkata, ia bergantung kepada niat seseorang sama ada fokus untuk haji atau membeli-belah.

“Pertama sekali untuk melakukan apa sahaja ibadah atau urusan dalam sudut pandangan Islam ialah niat. Oleh itu untuk menunaikan haji bergantung pada niat dan tujuan pergi ke Mekah.

“Adakah untuk menunaikan ibadat haji kerana Allah s.w.t atau untuk tujuan lain seperti membeli-belah?” katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Syed Omar menambah, mana-mana ibadat termasuk haji yang dilaksanakan akan diterima dan diampunkan dosa jika ia diniatkan hanya kepada Allah. Sekiranya untuk tujuan lain maka ibadahnya tidak sempurna.

Bagaimanapun, katanya, fenomena itu hanya melibatkan segelintir jemaah yang tidak memahami konsep ibadah haji menyebabkan perkara tersebut diabaikan.

“Oleh itu mungkin ada dii kalangan jemaah haji kita bukan tidak memahami konsep haji bahkan tidak memahami konsep ibadah, iaitu memperhambakan diri kepada Allah dan kesempurnaan amal ibadah itulah akan membentuk insan yang bertakwa.

“Konsep ibadah adalah sangat rapat hubungannya dengan konsep ketakwaan, konsep manusia diciptakan dan konsep mensyukuri nikmat kejadian manusia,” ujarnya.

Ditanya sama ada umat Islam kini hilang ketelitian dalam melakukan ibadah termasuklah ibadah haji, Syed Omar berkata, konsep ibadah ini memerlukan ketelitian dalam pelbagai aspek.

Beliau memberi contoh ibadah haji yang menyingkap sejarah mengambil pengajaran, iktibar dan contoh daripada Abu al Anbiya’ (bapa para nabi) iaitu Nabi Ibrahim a.s. yang memulakan ibadah haji untuk menegakkan syiar tauhid dengan hati yang tulus ikhlas.

Istislam

“Islam ialah istislam iaitu menyerah diri kepada Allah s.w.t. Setelah berikrar dengan lidah iaitu mengucap dua kalimah syahadah kemudian dibuktikan dengan percaya serta tunduk dan patuh kepada semua perintah Allah sama ada berbentuk suruhan atau larangan.

“Kepatuhan dan ketaatan itu bukan sahaja di dalam perkara ibadah tertentu seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji tetapi meliputi semua perkara dalam urusan kehidupan,” kata beliau.

Merungkai persoalan sama ada tumpuan haji semata-mata hanyalah ibadah tanpa berbelanja, beliau menolak andaian tersebut.

Ini kerana, walaupun jemaah menunaikan haji, tidak bermakna mereka langsung tidak boleh membeli-belah. Cuma jangan melampau hingga terhutang atau membazir atau sehingga lupa bahawa ke Mekah bertujuan membeli-belah bukan untuk beribadat atau menganggap bahawa wajib bawa pulang barangan untuk hadiah.

“Anggapan wajib adalah salah kerana tidak diwajibkan oleh Allah dan jika hendak membeli-belah jangan melanggar apa yang dilarang oleh Allah s.w.t.

“Oleh itu, jika mampu dan ada kelebihan rezeki yang dikurniakan oleh Allah maka boleh berbelanja tetapi berhati-hatilah semasa berbelanja,” tambahnya.

Islam menganjurkan berbelanja mengikut keperluan dengan tidak berlebihan dengan kata lain bersederhana dalam berbelanja.

Ini kerana manusia amat berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain. Manusia mempunyai akal yang menjadikannya mulia dan dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin di atas muka bumi.

Dengan akal yang dimiliki manusia dapat mengawal keinginan diri sendiri supaya tidak berlebihan dalam berbelanja. Pembaziran adalah suatu perkara yang dilarang oleh Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 26–27, maksudnya: Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang- orang yang boros itu adalah saudara- saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.

Syed Omar juga mengulas tentang kesederhanaan dalam mengekang nafsu berbelanja yang mana kesederhanaan dalam berbelanja termasuk mengawal nafsu supaya mengekang keinginan untuk memiliki sesuatu yang tidak manfaat.

Dengan cara tersebut, perbelanjaan dapat dijimatkan dan dapat dibelanjakan ke arah yang lebih mendatangkan manfaat.

Ia juga dilihat sebagai asas menjadikan perjalanan hidup lebih teratur dan dapat membantu seseorang apabila terjadi sesuatu kecemasan dan memerlukan kewangan kerana masih ada wang simpanan.

Ditanya mengenai isu berbelanja di Tanah Suci lebih berkat berbanding tempat-tempat lain, beliau menolak dakwaan tersebut.

Katanya, pandangan tersebut haruslah diubah kerana ia boleh menjadikan akidah umat Islam terpesong.

“Sebenarnya tiada barangan yang ada di tanah suci mendatangkan barakah. Semua barangan di sana diimport dari pelbagai negara untuk dijual kepada jemaah haji.

“Sekiranya ada barangan yang mendatangkan barakah, tentu diwaridkan oleh al-Quran atau sunah,” katanya.

Menumpukan perhatian

Pada masa yang sama, Syed Omar menasihatkan jemaah haji agar menumpukan perhatian kepada ibadah haji itu sendiri dan amalan tambahan yang warid seperti sembahyang atau tawaf di Masjidil Haram yang pahalanya berganda-ganda.

Beliau juga menasihatkan jemaah haji untuk berusaha mendapatkan haji mabrur iaitu haji yang tidak dicampuradukkan dengan dosa semasa mengerjakannya, iaitu tidak sekali-kali melakukan sama ada dosa besar atau dosa kecil.

“Oleh itu set minda jemaah haji hendaklah kearah itu. Untuk menukarkan set minda jemaah haji ke arah itu, tiada jalan lain melainkan memastikan bahawa mereka memahami betul betul konsep ibadah terutamanya ibadah haji itu sendiri, sebelum mereka mempelajari bagaimana mengerjakan haji.

“Ini kerana melakukan sesuatu ibadah tanpa memahami konsepnya maka amalan praktikalnya tiada membawa apa-apa manfaat,” jelas beliau.

Sabah catat 820 bakal haji tahun ini

Oleh ARSHAD HUSSIN

UMAT Islam yang ingin menunaikan fardu haji disaran mendaftar lebih awal hanya dengan simpanan asas RM1,300 bagi mendapatkan keutamaan kuota haji.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Tun Sakaran, menjelaskan Tabung Haji telah pun memperkenalkan sistem pendaftaran haji terbuka yang memberi peluang kepada mereka yang mendaftar untuk diberikan keutamaan menunaikan ibadat haji.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Jawatankuasa Masjid dan Kariah di negeri Sabah serta jabatan agama peringkat negeri dan persekutuan melalui kerjasama pihak Tabung Haji memainkan peranan masing-masing. Mereka perlu menerangkan aspek pendidikan dan pembelajaran mengenai ibadat haji kepada umat Islam bermula dari peringkat awal khususnya di kalangan generasi muda Islam mengenai penghayatan ibadat haji.

Katanya, jika dihayati dengan lebih terperinci hikmah haji itu merangkumi aspek ekonomi, kemasyarakatan, kesihatan dan agama.

Tambahnya, ibadah haji menggalakkan umat Islam berusaha meningkatkan hasil pendapatan memperoleh sumber kewangan yang mencukupi untuk menunaikan haji, sekali gus menjana ekonomi diri, keluarga dan masyarakat.

Selain itu katanya, ibadat haji mendidik bakal haji hidup bermasyarakat berorientasikan konsep berjemaah, musyawarah dan memerlukan pengorbanan diri dan harta.

“ Haruslah diingat ibadat haji adalah ibadat yang memerlukan kekuatan diri dari segi mental dan fizikal untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan lebih selesa dan lancar,” katanya.

Nasir yang juga Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di Sabah menasihatkan bakal-bakal haji yang terpilih hendaklah bersyukur dengan memanfaatkan sebaik mungkin rezeki yang dianugerahkan sebagai tetamu Allah. Ia melalui pelaksanaan ibadah haji dan umrah dengan sempurna serta bersungguh-sungguh semata-mata ikhlas kerana-Nya.

Beliau berkata demikian sempena merasmikan Kursus Perdana Haji bagi musim 1428H/2007M di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah.

Kursus Perdana Haji selama dua hari bermula 26 Oktober itu disertai lebih 500 bakal haji bagi kawasan Pantai Barat.

Hadir sama sempena majlis itu Pengarah Tabung Haji Sabah, Abu Bakar Yusoff, Timbalan Pengarah Tabung Haji, Rasali Ghani dan Imam Besar Masjid Bandaraya, Asli Abdul Karim.

Antara lain, Kursus Perdana Haji itu bertujuan mendedahkan semua bakal haji negeri itu dengan suasana yang bakal dihadapi sepanjang berada dan menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah al-Mukarramah.

Sebelum itu bakal-bakal haji itu telah mengikuti Kursus Haji Bersiri selama 16 siri dan juga kursus intensif selama dua hari.

Pada tahun ini bakal jemaah haji negeri Sabah yang terpilih seramai 820 orang termasuk 341 orang dari sekitar Kota Kinabalu, Pantai Barat Utara dan Pedalaman; 186 orang dari daerah Tawau; daerah Sandakan 90 orang; Semporna 62 orang; 87 orang dari daerah Lahad Datu; Wilayah Persekutuan Labuan seramai 33 orang dan Beaufort seramai 121 orang.

Kesemua bakal haji itu akan berangkat ke Tanah Suci dengan Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kota Kinabalu terus ke Madinah bermula dengan penerbangan pertama dijangka pada 20 November 2007 (KT 30) dan penerbangan kedua berangkat pada 23 November 2007 (KT39).

Kesemua penerbangan dan keberangkatan bakal jemaah diatur dan diurus melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu oleh Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah.

Newati idamkan jawatan pensyarah

Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK (shushaq_80@yahoo.com)

PEMBANGUNAN luar bandar perlu diberi penekanan dalam usaha membangunkan kemajuan rakyat dan kebudayaan yang cuba diketengahkan dalam arena pembangunan kini.

Satu anjakan paradigma untuk membangunkan kawasan luar bandar mampu menyediakan perspektif, fokus dan hala tuju baru dengan dinamik dan progresif demi mempersiapkan Sabah untuk menyahut pelbagai cabaran semasa dan mendatang.

Kawasan luar bandar diharap dapat dibangunkan sama rata iaitu pembangunan yang tidak hanya memfokuskan di bandar-bandar besar tetapi pembangunan perlu seiring dengan kemajuan kawasan di pedalaman supaya masyarakat di bumi Malaysia ini dapat menikmati kemajuan secara adil dan saksama

Dalam memastikan kebajikan dan kepentingan masyarakat luar bandar tidak dipinggirkan maka pembangunan sektor utama disaran untuk menyediakan satu rantaian merangkaikan masyarakat ini dengan aktiviti-aktiviti ekonomi moden.

Negeri Sabah khususnya merupakan sebuah negeri yang giat membangun dengan kemudahan dan infrastruktur kelas pertama dunia.

Keunikannya dengan pemimpin yang terdiri daripada berbilang kaum serta budaya diharapkan menjadi lambang dan simbol bagi negeri Sabah untuk berkembang ke persada antarabangsa, terutama dalam memajukan sektor ekonomi pelancongan.

Peningkatan kualiti perlancongan di Sabah melalui program-program dan usaha menjadikan satu negeri yang produktif, menarik, maju dan menguntungkan semua pihak dalam memastikan produk dan tempat yang menarik untuk dilawati di samping mengekalkan nilai etnik dan budaya.

Prinsip dan perjuangan ini menjadi impian seorang anak gadis kelahiran Sabah, Newati Wid, 27 dalam mencapai cita-citanya menjadi seorang pemimpin muda dan pendidik demi merealisasikan impiannya membawa nama Sabah ke mercu kejayaan pada satu hari nanti.

Beliau yang menyandang jawatan tutor di Universiti Malaysia Sabah menggarap satu harapan demi membawa kemajuan pendidikan di negeri itu.

Ia adalah satu usaha yang berterusan dan seimbang dengan pembangunan insan yang dinamis oleh masyarakat Sabah terutama dalam meningkat ilmu pengetahuan dan kemahiran di peringkat yang lebih tinggi.

“Dengan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan hidup, keluarga dapat dipertingkatkan dalam masyarakat.

“Malah ia melahirkan cerdik pandai serta golongan elit profesional yang sama-sama dapat turun padang membimbing rakyat di negeri ini untuk terus bersaing membangunkan manusia ke arah memodenkan bangsa dan budaya,” jelasnya.

Katanya, walaupun kini rakyat Sabah sudah berada di tahap yang membanggakan dari segi pencapaian akademik di kalangan pelajar-pelajarnya.

Namu, usaha ini perlu dipertingkatkan dalam penguasaan ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi supaya seiring dengan dunia globalisasi kini.

“Misalnya, apabila menuntut ilmu, jangan biarkan jarak antara semenanjung Malaysia dan Sabah menjadi penghalang khususnya kepada masyarakat Sabah untuk takut melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di semenanjung atau mencari peluang-peluang pekerjaan di sana.

“Mereka harus berani dalam memantapkan jati diri untuk menimba pengalaman yang lebih luas di samping mengelakkan sifat rendah diri kerana ia merupakan penghalang. Maka untuk menjadi manusia yang terhebat mereka perlu menangani cabaran untuk mengetahui keupayaan diri sendiri, optimis dalam apa jua situasi,” jelasnya.

Katanya lagi, kemajuan mampan dalam ekonomi di Sabah dalam sumber tenaga merupakan penolak usaha produktif untuk membangunkan minda pelajar khususnya dan masyarakat amnya supaya lebih bergiat aktif dalam dunia perniagaan.

“Perniagaan yang diterokai menjadi pemangkin untuk masyarakat di Sabah dalam menguasai ekonomi secara langsung membawa pulangan yang baik dalam menjadi pencatur usaha membawa dimensi dan peluang-peluang pekerjaan baru.

“Untuk menjadi bangsa yang berjaya, rakyat sabah harus bijak dan mempunyai semangat yang kuat serta berpegang teguh kepada agama dan adat-adat ketimuran dengan inisiatif dan perasaan tanggungjawab setiap anggota masyarakat dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik,” jelasnya.

Ditanya mengenai harapan dan cita-cita untuk negara, Newati kini sedang merancang untuk memberi sumbangan di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan supaya dapat mengkomersialkan hasil kajian itu dalam membantu perkembangan ekonomi.

Ia bermatlamat memberi peluang pendidikan bina insan berasaskan kehendak, keperluan dan keupayaan masyarakat tempatan dalam membina masyarakat yang maju, berdaya saing dan berdikari.

“Kajian pendidikan daripada prospek ekonomi dikenalpasti melalui pembangunan faktor-faktor rantaian jaringan dalaman dan luaran agar usaha untuk mengalihkan pelaksanaan kajian pembangunan dapat direalisasikan dengan baik,” jelasnya.

Bukan Yang Pertama (Siri 131)

Oleh SALINA IBRAHIM

MADAH emak bersimpang-siur di minda, terasa lunak di telinga, sedap dihadamkan di lidah fikir, kenyang ditelan oleh perut keinsafan. Madah emak terasa sejuk bagaikan air yang jatuh dari pergunungan membasahi kepala fikir, menyegarkan taman akalnya, dan bakal menumbuhkan benih-benih baru yang kekal bertahan.

Sudah lama dia rindukan nasihat emak yang lembut lunak dan indah begitu. Terasa segar minda apabila mendengar kalimah yang manis itu. Kata-kata yang baik juga suatu doa, justeru dia berharap itulah doa emak untuknya. Doa emak untuk dia yang bakal memulakan episod baru dalam kehidupan.

Madah emak, alangkah...

Dia memejamkan mata, cuba menghayati kalimah manis milik Asma binti Kharijah Fazari.

“Mak pinjam pesanan Asma binti Kharijah Fazari untuk diberikan kepada Min. Mak akan cukup puas kalau Min ingat, hayati dan amalkan pesanan itu...” suara dan wajah emak menggoda mindanya.

Yasmin Zulaikha membuka mata, tersentak bagaikan disergah sesuatu. Dia terasa tubuh menggigil tiba-tiba. Kata-kata emak entah mengapa menumbuhkan suatu ketakutan yang tidak terhanggau dek mindanya. Kata-kata itu juga buat dia terasa masa semakin menghampiri puncak, terasa detik bagaikan terhenti seketika.

Adakah itu satu tanda atau sememangnya minda dia sahaja yang sengaja buat perangai?

“Itu kan satu pesanan biasa,” suami mengujarkan ketika dia meluahkan ragu yang bertunas di minda.

“Tapi Zu rasa luar biasa...” dia membalas, merenung mata Umar Khalil di sebelahnya.

“Ada-ada sajalah Zu ni...” Umar Khalil bagaikan tidak ambil parwah.

Dia terkesima sedetik. Terasa Umar Khalil agak memperlekehkan naluri dan hati kecilnya. Terasa suaminya itu seperti tidak mengambil berat langsung akan rasa hatinya ketika ini.

Umar Khalil menoleh, terperasan wajah isteri yang berubah muram. Akal sedar cepat memberitahu sesuatu. Akal sedar cepat mengajar supaya meluahkan simpati dan mengujarkan kata-kata pujukan.

nikah

“Zu, fikir dan doa yang baik-baik saja, okey. Isteri abang ni terlalu banyak berfikir. Sejak sebelum nikah lagi, Zu selalu fikir yang bukan-bukan. Fikiran yang ragu-ragu itu membuatkan syaitan mudah merasuk, mengganggu dan mengacau...” Umar Khalil meletakkan tangannya ke atas kura tangan isteri.

Cepat mengemukakan rasional. Pantas tersedar minda isteri yang terkacau dek perkara bukan-bukan.

“Entahlah, Zu rasa macam-macam. Penat agaknya...” dia membalas lewa.

“Itu sebenarnya perasaan normal. Itu tandanya Zu ada hubung kait yang amat rapat dengan mak. Bukan sekadar rapat dari segi fizikal tetapi dari segi mental juga. Sehingga Zu dapat rasa apa yang mak rasa...” Umar Khalil melanjutkan bicara apabila melihat si isteri diam memikir.

“Abang saja nak ambil hati kan...” dia balas renungan mata Umar Khalil.

Si suami tersenyum lembut. Terasa terperangkap.

“Apa lagi yang abang boleh kata? Abang hanya harap yang baik-baik saja mengenai mak. Abang harap, abang boleh menumpang kasih mak Zu. Abang harap abang boleh jaga mak Zu sebab dulu abang tak sempat jaga mak abang...”

Yasmin Zulaikha terdiam. Ada sayu terjentik ke hati. Dia cuba imbas semula sejarah lampau Umar Khalil. Teringat cerita suaminya itu mengenai ibu bapanya yang lama berpergian ke rahmatullah. Ibunya meninggal dunia lebih awal ketika Umar Khalil masih bersekolah rendah kerana kanser payudara. Sejak itu bapanya menyendiri dan tidak berhajat langsung untuk mencari pengganti sehinggalah dia menyusul ke alam sana lima tahun kebelakangan ini.

“Abang hanya sempat berkhidmat sekejap saja pada arwah ayah. Hanya sempat menjaganya ketika dia sakit. Itu pun sekejap sangat, beberapa bulan saja...” demikian dia terhimbau kisah Umar Khalil.

Sebagai anak, dia mengharapkan yang terbaik sahaja untuk emak. Dia masih perlukan emak, masih mahukan bimbingan terutamanya selepas melangkah ke alam baru sekarang. Emak bakal jadi gurunya yang terbaik, itu yang pasti.

Lagi pun sejak dahulu, dia memang mengagumi keutuhan istana cinta emak dan Allahyarham abah. Justeru dia memerlukan ramuan dan rahsia agar rumah tangganya juga sempurna seperti itu. Kalau pun tidak boleh jadi sempurna, tetapi sekurang-kurangnya dia dan Umar Khalil hidup dalam tenteram.

Malam tua merangkak menuju dinihari. Di luar tentu gelap bukat. Di dalam hatinya pula, ada samar masih bertarung. Dia terbayang-bayang wajah emak yang tenang dalam letihnya. Dia terngiang-ngiang suara emak yang sendu tetapi penuh redha.

Dalam hati, dia mengulang-ulang surah Al-Ikhlas, Al-Alaq dan An-Nas; minta dijauhkan gangguan makhluk-makhluk yang tidak diingini. Dia sedar gangguan mindanya barangkali disebabkan rasa bimbang terhadap kesihatan emak. Maka disebabkan itu dia kerap berfikir yang bukan-bukan.

“Mak pinjam pesanan Asma binti Kharijah Fazari untuk diberikan kepada Min. Mak akan cukup puas kalau Min ingat, hayati dan amalkan pesanan itu...” lagi larik bicara pesanan emak datang dan pergi dalam minda luar sedarnya. Berulang-ulang menjadi talun yang bergema-gema.

“Emak penat. Tapi mak puas hati. Mak seronok sangat. Mak lega tengok anak perempuan mak sudah lepas dan selamat berumah tangga. Mak serahkan Min pada Umar dengan senang hati...” kalimah itu pula sekejap datang dan sekejap menghilang dalam cepu kepala.

Dia melihat senyuman paling manis tersungging di wajah emak.

Dia lihat kepuasan yang tidak terhingga terselit dalam bicara emak.

“Min masih perlukan emak. Min nak belajar banyak lagi daripada emak...”

“Min cepat belajar. Min sudah pun belajar sekarang...”

“Emak...”

“Kak Min! Abang Umar!”

“Zu...”

“Kak Min!!”

“Zulaikha!”

Dia tersentak, terentak bangun.

Terpinga-pinga melihat Umar Khalil dalam samar di sebelahnya.

Sejenak baru dia tersedar, ada suara Anis di luar bersama ketukan yang agak tidak teratur di pintu kamar.

Umar Khalil sedikit menerpa ke pintu, merenggangkan daun kamar dan terdengar suara Anis yang semacam cemas.

“Zu... mari tengok mak cepat!” Umar Khalil menggesa.

(Bersambung)

Aktiviti Dakwah

KEM HAFAZAN AL-QURAN
GALERI Ilmu Sdn. Bhd. (ASUH) dengan kerjasama Aqram Tilawah Bestari akan mengadakan Kem Hafazan al-Quran dan Pemantapan Solat pada 25 hingga 29 November 2007 dan pada 9-13 Disember 2007 di Sri Bayu Eko Resort, Ulu Tiram, Johor.

Pelajar berumur 9-15 tahun digalakkan menyertainya. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Cik Suriati di talian 03-772 60 772 atau 013-6697 992, email:suriati@galeriilmu.com.my

KEM SMART SOLAT
PUSAT Pengajian Quran Sistem Individu dan Edu Excell Management & Consultancy akan menganjurkan Kem Smart Solat & Motivasi Anak Soleh dan Kem Smart Study & Pemantapan Akhlak sempena cuti sekolah iaitu pada 17, 18 dan 19 November di Kem Paya Indah, Jalan Dengkil-Kuala Langat, Selangor.

Mereka yang berminat hubungi 019-2202327/016-227 2327/012-988 3817 dan 03-5543 2520 atau mendaftar secara talian terus: www.pupaqsi.edu.my

Demokrasi kita selari kehendak Islam

Oleh Mohd Ayop Abd Razid


AMALAN DEMOKRASI: Umno yang mengetuai pimpinan kerajaan menjalankan dasar selari dengan tuntutan Islam.

Usaha parti memerintah diterima rakan politik orang bukan Muslim

DALAM perkembangan kontemporari, persoalan yang wujud dan terus dibahaskan ialah apakah sistem demokrasi diamalkan di negara kita tidak bercanggah dengan konsep negara Islam. Persoalan kedua, apakah Malaysia sebuah negara Islam?

Umum mengetahui Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Dalam sistem ini, parti politik diizinkan bersaing (bertanding) dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan.


Memang dari segi pengertiannya, demokrasi menegaskan bahawa pemerintah mendapat kuasanya daripada manusia, bukan Tuhan. Namun, dalam konteks Malaysia, parti yang dipilih dan mengetuai kerajaan sejak merdeka adalah Umno, parti orang Melayu-Islam yang tidak melupakan kepentingan menegakkan syiar Islam di negara ini.

Sebahagian yang menentang sistem ini berhujah bahawa kemunculan parti politik untuk bertanding pada pilihan raya bagi meraih sokongan rakyat lebih banyak membawa kepada perpecahan umat.

Justeru, ia dilihat tidak selari dengan tujuan Islam iaitu mewujudkan solidariti umat. Namun, dilihat dari sudut lain pula, ia dapat diterima kerana sistem ini memberi suara kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka secara bebas dan terbuka.


Ia adalah kebebasan yang diberikan Islam. Di Kelantan, Parti Islam seMalaysia (Pas) dipilih oleh rakyat Kelantan untuk membentuk kerajaan negeri adalah juga melalui proses pilihan raya. Jika kita berhujah sistem ini kufur, maka ini bermakna Pas menghalal cara untuk mencapai matlamatnya.

Timbul pula persoalan, dalam proses pilihan raya calon yang diketengahkan mungkin terdiri di kalangan calon yang dianggap fasik. Dalam hal ini pendapat Imam Ghazali boleh dijadikan rujukan.

Iman Ghazali berpendapat apabila syarat yang diperlukan untuk kelayakan seseorang menjadi ketua (mengikut syarat Islam) tidak dapat dipenuhi dan kuasa itu dipegang oleh seorang yang mempunyai kekuatan (shaukah) walaupun ia fasik, maka pelantikannya dan pemerintahannya sah seperti sahnya pemerintahan orang yang zalim (bughat).

Persoalan mengenai sama ada Malaysia negara Islam atau sekular sudah lama dibincangkan. Perbincangan secara politik muncul disebabkan Pas menuduh Malaysia negara sekular. Pada September 2001, Mantan Perdana Menteir, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan menyatakan Malaysia adalah negara Islam.

Beberapa bulan lalu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Malaysia adalah negara Islam disanggah oleh Setiausaha Agung MCA.

Apakah asas yang perlu ada bagi sebuah negara Islam? Ia perlu difahami supaya kita tidak menggambarkan negara Islam itu hanya melaksanakan hukuman hudud semata-mata atau bersifat autokratik.

Secara asasnya, negara Islam ditegakkan di atas empat prinsip penting iaitu Prinsip Syura, Prinsip Keadilan, Kebebasan dan Persamaan.

Prinsip syura (permesyuaratan) adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud: �Bermesyuaratlah dengan mereka dalam satu-satu urusan.� (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Prinsip keadilan dalam ajaran Islam adalah untuk semua termasuk warga bukan Islam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Siapa yang menyakiti Dhimmi (bukan Muslim) akulah musuhnya."

Prinsip kebebasan juga menjadi asas dan amalan pemerintahan Islam yang diberikan kepada seluruh rakyat yang taat setia kepada negara sama ada dari golongan Muslim atau bukan Muslim.

Islam memberi kebebasan beragama, bercakap, memberi pendapat, memiliki harta, bergerak dan berhijrah. Namun, semua jenis kebebasan yang diberikan mestilah dalam lingkungan tanggungjawab yang tidak memudaratkan kepentingan awam dan negara.

Islam tidak membezakan manusia berdasarkan keturunan, warna kulit, bahasa dan kebudayaan. Justeru, dalam prinsip persamaan, Islam meletakkan setiap kaum adalah sama sebagai rakyat. Mereka adalah sama dalam hak, kebebasan dan tanggungjawab di hadapan undang-undang.

Jika diamati, keempat-empat prinsip itu memang diamal dan dilaksanakan di Malaysia. Prinsip kebebasan dan hak asasi manusia semuanya termaktub dalam Perlembagaan negara. Berdasarkan pandangan Abu Zahrah, maka Malaysia boleh dianggap sebuah negara Islam bukan saja dilihat dari segi majoriti penduduk Muslim, malah suasana keamanan yang wujud di negara ini.

Selain itu, kepemimpinan negara adalah jelas diterajui orang Melayu-Islam. Walaupun konsep perkongsian kuasa diamalkan, Umno masih menjadi kuasa politik dominan dalam pemerintahan.

Ahli dan pendokongnya adalah orang Melayu-Islam yang masih berpegang kuat kepada ajaran Islam. Umno turut memperjuangkan kedudukan Islam dan kedudukan orang Melayu tanpa mendiskriminasi orang bukan Islam.

Kerajaan pimpinan Umno sudah melahirkan banyak institusi Islam pada peringkat negeri dan Pusat. Kawalan makanan berdasarkan syariat Islam dilaksanakan dengan berkesan bagi memastikan umat Islam di negara ini mendapat makanan yang halal.

Sistem kewangan Islam juga diperluaskan operasinya. Pusat pengajian Islam terus berkembang dan proses Islamisasi dalam pelbagai bidang terus berjalan dengan pesatnya. Semua ini berperanan menegakkan syiar Islam.

Pembangunan Islam Hadhari yang menekankan 10 prinsip juga memenuhi tuntutan Islam. Usaha Umno ini tidak ditentang oleh rakan politiknya kerana ia juga memberi manfaat kepada orang bukan Islam.

Dari segi Perlembagaan dan undang-undang, walaupun masih ada beberapa peruntukan warisan penjajah, sebahagian daripada prinsip dan semangat perundangan kita tidak banyak beza dengan Islam. Ini termasuk hukum takzir dalam kesalahan maksiat.

Undang-undang keluarga Islam adalah berasaskan kepada undang-undang Islam. Negara juga mempunyai beberapa akta yang mengikut syariah seperti Akta Bank Islam, Akta Takaful dan sebagainya.

Perkara 3(1) dan beberapa perkara lain dalam perlembagaan negara jelas menggambarkan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular seperti didakwa Pas.

Perkara 3(1) jelas mengisytiharkan Islam sebagai 'agama persekutuan', sekali gus meletakkan Islam sebagai agama anutan negara.

Walaupun Islam agama persekutuan, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kebebasan kepada orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agama mereka. Perkara 121(1A) mengenai bidang kuasa mahkamah syariah juga jelas memperkukuhkan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular dalam erti kata memisahkan agama daripada kehidupan.

Justeru, penolakan pihak tertentu yang menyatakan Perlembagaan negara adalah sekular sepenuhnya dan mengkufurkan pihak lain semata-mata tidak mengikut versi negara Islam mereka kehendaki adalah satu tuduhan melulu dan bersifat politik.

Perlu diingat bahawa Perlembagaan Madinah yang dikenali sebagai Shahifah Madinah tidak dihubungkan dengan nama Islam (perlembagaan Islam atau perlembagaan Allah). Yang penting ialah isi dan dasar peraturan asas, bukan bentuk.

Kesimpulannya, al-Quran dan hadis tidak menetapkan suatu sistem pemerintahan, sebaliknya hanya menggariskan dasar pemerintahan secara umum. Catatan sejarah Islam menunjukkan tidak terdapat cara yang tetap dalam menentukan pemilihan pemimpin negara.

Antara cara yang dikenal pasti ialah pemilihan secara terbuka dan warisan. Tanggungjawab umat Islam ialah melaksana dan mempertahankan prinsip asas Islam seperti permesyuaratan, keadilan, persamaan, tanggungjawab, kebebasan, jaminan kemasyarakatan dan ketinggian syariah.

Soal perincian aspek pemerintahan terserah kepada kebijaksanaan dan perkembangan semasa. Yang penting, prinsip asas dalam Islam dipertahankan.

Penulis lulusan Sarjana (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) kini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan.

Sikap benci kemungkaran didik pelajar berdisiplin

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

KEMENTERIAN Pelajaran kini sedang mengambil beberapa langkah untuk membendung gejala sosial di kalangan murid sekolah di negara ini. Beberapa insiden sejak beberapa tahun lalu membuka mata banyak pihak bahawa permasalahan disiplin memerlukan perhatian sewajarnya.

Ramai kalangan pelajar kini bukan saja berani melanggar peraturan dan disiplin sekolah, malah mula terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah seperti menagih dadah, mencuri, peras ugut serta menjadi ahli kongsi gelap.

Menurut kajian Kementerian Pelajaran pada 1984, hampir separuh kes pelanggaran disiplin yang berlaku berpunca daripada sikap pelajar itu sendiri seperti sentiasa bersifat menentang, bertindak mengikut perasaan, nakal dan malas.

Teman sebaya sangat berpengaruh dalam tingkah laku pelajar, lantaran itulah Islam sentiasa menitikberatkan pemilihan sahabat yang sebenar dalam kehidupan seharian. Di luar rumah, pelajar berdepan pelbagai keadaan yang banyak mempengaruhi corak kehidupan mereka.

Anak di luar kawalan ibu bapa inilah selalunya akan mendapat khidmat rakan sebaya untuk meneruskan kehidupan mereka.

Walaupun pelbagai faktor dikatakan menjadi penyebab kepada peningkatan kes pelanggaran disiplin, keruntuhan moral dan akhlak pelajar serta remaja hari ini, namun sikap menuding jari pada saat genting ketika pelbagai insiden negatif sedang terjadi bukan sikap terpuji.

Sebaliknya usaha segera dan berterusan perlu diambil bagi membendung ia terus berleluasa di kalangan pelajar di sekolah. Lanjutan insiden itu juga, kita semua pasti dengan segera akan terbayangkan pelbagai gejala tidak sihat yang terus bernanah menjadi �penyakit masyarakat�.

Banyak pihak sudah menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai cara atau kaedah yang perlu diambil bagi membendung, seterusnya membanteras hal berkenaan.

Keadaan yang kian genting ini jika dibiarkan berterusan, pasti akan membawa kesan besar kepada pembangunan bangsa Malaysia yang sedang bangkit menuju kemajuan.

Ketika kita bercakap mengenai strategi mencapai tahap negara maju seperti diimpikan dalam wawasan perdana, tugas itu perlu dilakukan secara kolektif supaya meninggalkan kesan terbaik.

Nasihat menasihati dan ingat mengingati antara satu sama lain supaya tidak tergelincir daripada landasan Islam sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim. Tanggungjawab itu bergantung kepada keupayaan diri seseorang apabila berada dalam kelompok manusia tertentu mengikut tahap keilmuwan yang dimiliki seseorang individu.

Firman Allah yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang mengerjakan amalan salih dan nasihat menasihati agar mentaati kebenaran dan kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Sebagai ibu bapa dan penjaga kepada anak terutama yang sedang dalam usia remaja, ibu bapa memainkan peranan besar menentukan hala tuju dan arah hidup mereka. Pengawasan yang ketat dengan kebebasan fleksibel perlu dirangka dan dilaksanakan bagi mengelakkan mereka mudah terjerumus dalam insiden yang tidak memberi manfaat.

Hadis riwayat Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kamu melakukan yang makruf dan menegah perkara yang mungkar. Sebelum (sampai masanya) kamu berdoa kepada-Ku tetapi Aku tidak memperkenankannya, (perintah dan tegahlah) sebelum (sampai masanya) kamu meminta pertolongan-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu."

Justeru, semua anggota masyarakat perlu berusaha memikir dan mengambil langkah jangka panjang bagi membendung dan membanterasnya. Allah berpesan dalam al-Quran supaya manusia bersatu padu dalam melakukan apa juga bentuk kebaikan untuk kesejahteraan bersama dan jangan sekali-kali bersatu melakukan sesuatu yang boleh membawa ke arah dosa dan kerosakan.

Allah berfirman yang bermaksud: �Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran yang baik dan bijaksana, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.� (Surah an-Nahl, ayat 125)

Salah satunya ialah dengan kembali ke pangkal iaitu pembinaan jati diri dalam diri setiap warga terutama pelajar yang masih di bangku sekolah yang menjadi harapan negara pada masa depan. Sejak awal lagi anak perlu ditanam supaya membenci segala bentuk kemungkaran dan mencintai yang makruf.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia menuntut ilmu, siapa yang inginkan akhirat, maka dia perlu menuntut ilmu, dan sesiapa yang ingin kedua-duanya maka hendaklah ia menuntut ilmu."

Peranan mendidik anak tidak harus dilepaskan kepada guru dan pihak sekolah semata-mata. Dalam pendidikan akhlak umpamanya, ibu bapa berperanan besar dalam menentukan sahsiah diri anak mereka.

Tajdidi Iman:Fahaman liberal punca umat rapuh ibadah

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

SETIAP hari kita melakukan aktiviti yang menjadi rutin harian dengan matlamat tertentu. Kadang-kadang kita lupa di sebalik matlamat ditetapkan, ada sesuatu terlepas daripada pemikiran iaitu kesedaran bahawa segala perbuatan hari ini ditulis sebagai ibadat jika menepati kehendak Allah.

Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata dalam risalahnya mengenai al-'Ubudiyyah: "Ibadah ialah satu kata nama merangkumi semua disukai Allah dan diredai-Nya; sama ada percakapan atau perbuatan, zahir mahupun batin. Seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar, amanah, berbuat baik kepada kedua orang tua, menghubung silaturahim, menunai janji, menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar, berjihad, berbaik dengan jiran, orang miskin dan musafir, membaca al-Quran, berdoa, berzikir dan lain-lain lagi yang seumpamanya."

Maknanya, ibadat itu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Daripada serendah-rendahnya seperti beradab dalam makan dan minum sehingga sebesar-besar seperti membina negara, mengurus politik pemerintahan, ekonomi, teknologi hingga urusan keselamatan negara.

Agama ini bukan milik orang berjubah dan berserban saja tetapi milik politikus yang amanah, saintis dan pakar ekonomi pintar, yang boleh menjadi pengabdi Tuhan yang tidak kalah hebatnya.

Mungkin ada yang tertanya kenapa Abu Hurairah banyak meriwayatkan hadis Baginda Rasulullah SAW melebihi sahabat terdekat Baginda SAW seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab, tidak diletakkan sebagai sahabat paling utama berbanding keduanya?

Sejarah mencatatkan kedua-dua sahabat utama ini aktif dan sibuk menguruskan hal ehwal umat sehingga tertinggal di belakang daripada Abu Hurairah dalam periwayatan hadis. Abu Hurairah sememangnya menjadi orang sentiasa berada di sisi Nabi SAW dan aktif menghafal hadis Baginda.

Namun, Baginda SAW tetap meletakkan kedua-dua sahabat paling dikasihi itu sebagai orang yang istimewa di hati Baginda SAW kerana sumbangan dalam pengurusan umat menjadi merit besar dalam penentuan kedudukan keagamaan mereka.

Amat bahaya jika kita beranggapan Islam yang baik itu mesti melepak di masjid sepanjang masa dan meninggalkan urusan mencari nafkah demi membangun umat. Ibadat dalam Islam terlalu luas dan menjadi hak milik semua golongan, tidak kira hamba sahaya atau orang kaya, tua dan muda, yang lahir di barat atau timur, semuanya berhak dinilai di sisi Allah sebagai ahli ibadah.

Kadang-kala manusia menilai sesuatu daripada luaran saja, yang bersongkok kononnya lebih alim pada hal yang memakai kot lebih luas pemahaman Islamnya kerana aktif melayari laman web Islam di internet.

Boleh jadi mereka ini lebih berpandangan terbuka dan mahu berfikir dibandingkan orang yang hanya mengamalkan Islam secara ikut-ikutan tanpa dalil, taklid membabi buta dan secara berbahaya serta mengabaikan usaha pencarian ilmu secara mendalam.

Agama ini milik semua, yang berhak menilai siapa yang terbaik ibadatnya hanya Allah. Mengapa kita perlu mengingati diri supaya tetap berada dalam zon ibadat kepada Allah? Kerana ramai yang mengasingkan ibadat dalam kehidupan, mereka mengkotak-kotakkan tempat, waktu dan suasana ibadat menurut fahaman liberal mereka.

Mereka yang menganut prinsip ini dengan selambanya boleh meneguk arak malam ini dan bertahlil esok malamnya. Atau, pergi haji 40 hari dan kemudian lupakan Allah sepanjang tahun. Betapa sempitnya ruang pemikiran mereka mengenai agama.

Mereka rasa layak dipanggil Muslim hanya dengan cukup melakukan ibadat pada saat besar seperti perayaan yang bersifat formaliti. Maka akhirnya agama itu menjadi barang mainan dan sendaan. Tiada roh syariat mengalir dalam darah daging mereka.

Agama tidak dijadikan penggerak dalam membuat keputusan. Agama cuma diamal jika boleh mendatangkan keuntungan. Mereka memakai pakaian mengikut aturan Islam ketika majlis akad nikah di masjid kerana begitulah pakaian untuk ke masjid sedangkan di luar sana bebas lepas semahunya.

Mereka mengenal al-Quran ketika ada saudara mara yang meninggal dunia saja sedangkan al-Quran diturunkan sebagai perintah dan arahan untuk orang yang hidup, bukan untuk sesudah mati dan tiada taklif.

Mereka bersedekah sebagai alat mengumpulkan sokongan dan pujian sedangkan sedekah adalah bukti benarnya iman kepada Allah, bukannya harapan pujian manusia sementara. Pelbagai lagi perbuatan seumpamanya yang amat berbahaya kepada imej dan pengamalan sejati Islam.

Akibat sikap berbahaya ini, agama bagi mereka bagaikan mayat yang dihias dengan secantik-cantik perhiasan, namun tetap ia tiada serinya. Tiada roh Islam yang mengalir dalam tubuhnya.

Apakah wajah Islam sebegini yang mahu digayakan umat hari ini? Jika demikian, sudah pasti rahmat Allah akan menjauh daripada mereka.

Fenomena sempitnya ibadat dalam pemikiran umat adalah disebabkan faktor yang mendasar yang tidak digarap dengan sempurna. Iaitu asas akidah sudah dilangkau bahkan dibuang ke tepi semata-mata mahu menanamkan ibadat yang kering semata-mata dalam kehidupan.

Sungguh bahaya jika melaksanakan ibadat tanpa memahami akidah yang sahih. Persoalan mengapa kita mesti beribadah tidak terjawab, kerana aspek keimanan kepada Allah dan Rasul juga masih terlalu susah dicerna oleh pemikiran umat yang sememangnya cetek ilmu.

Mereka belum memahami bahawa iman itu menuntut ketundukan dan ketaatan. Seperti kata Shaikhul Islam Ibnu Taimiyah: �Sesiapa yang tunduk kepada seorang manusia pada hal dia membencinya (tunduk dalam keadaan terpaksa), dia tidak dianggap menjadi hamba kepada orang itu. Begitu juga jika dia suka kepada seorang manusia tetapi dia pun tidak mahu tunduk kepadanya maka dia bukan hamba kepadanya juga.�

Untuk beribadah kita perlukan jiwa hamba yang sedia mencintai Allah, taat dan setia dan menyokong syariat-Nya tanpa memilih yang lain. Aspek akidah sebegini belum betul-betul terpacak dalam peribadi umat.

Begitu pula halnya dengan keimanan kepada Rasulullah SAW. Tidak hairan apabila ditanya: �Kenapa kamu melakukan sembahyang dengan cara dan kaedah yang begitu," jawapan mudahnya ialah: "Saya ikut cara orang ramai sembahyang, jika saya salah maka ramai lagi yang lain salah."

Hakikatnya ramai yang tidak tahu bagaimana cara sembahyang Rasulullah SAW, apa dalil dan sandaran Baginda melakukan sembahyang sebegitu. Biasanya manusia jahil hanya akan beralasan: "Emak aku ajar begini, buat sajalah. Tidak perlu nak susah-susah menuntut ilmu."

Pada hal, ibadat yang diterima Allah menurut kesepakatan ulama mestilah memenuhi dua syarat, iaitu ikhlas kepada Allah dan betul caranya menurut ajaran Rasulullah SAW. Betapa pentingnya ilmu dicari kerana tingkat kecintaan hamba kepada Allah dan Rasul-Nya adalah berdasarkan ilmunya mengenai Allah dan Rasul. Bukan cuma ikut-ikutan saja.

Jika ibadat dilaksanakan kerana dorongan akidah yang kuat, maka ibadat itu akan mampu melahirkan peribadi sempurna. Seperti firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya perkataan diucapkan oleh orang yang beriman ketika mereka diseru kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya ialah supaya mereka menetapkan Rasul menjadi Hakim yang memutuskan hukum di antara mereka. Mereka hanya berkata: Kami dengar dan kami taat. Dan mereka itulah orang yang beroleh kejayaan." (Surah al-Nur, ayat 51)

Alangkah rapuhnya nilai ibadat dalam diri hamba yang tidak memahami akidah yang sahih. Dia beribadah tetapi bersamaan dengan itu dia juga menolak hukum Allah, dia beribadah tetapi sekali gus dia menghina sunnah Rasulullah SAW. Ibadat tidak lebih sekadar aksesori pelengkap untuk mencantikkan penampilan, sedangkan jiwanya sudah mati tanpa disedari, kosong tanpa berpenghuni.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my